Khamis, 4 Julai 2013

CADANGAN YANG BAIK...TAK MINUM LAGI BAGUS

Mad Said didesak jelaskan skandal balak, wang panas

Khairul Azlam Mohamad, 03 Jul 2013
KUALA TERENGGANU: “Saya tidak boleh berdiam diri dalam skandal balak 12,000 ekar yang berlaku di negeri (Terengganu) ini. Tanah ini adalah tanah rakyat, wang RM30 juta juga wang rakyat.

“Mereka yang rasuah dan menyeleweng wang rakyat hendaklah dibawa ke pengadilan mahkamah.

“Rakyat mesti terus mendesak mendapat penerangan dan penjelasan yang ‘masuk akal’ dan bukannya penerangan samar-samar untuk mencari jalan mereka yang bersalah terlepas dari tindakan mahkamah,” kata Penaung Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat), Tengku Sri Paduka Raja Tengku Ibrahim Sultan Ismail kepada Harakahdaily.

Beliau turut mengulangi desakan agar Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said segera menjawab isu skandal balak serta wang ‘panas’ tersebut.

Katanya, skandal pemberian 12,000 ekar kawasan balak kepada 12 buah kilang papan di Terengganu belum lagi mendapat jawapan munasabah daripada Ahmad.

“Saya mahukan MB Terengganu berhenti main sandiwara murahan dengan memberi jawapan yang samar-samar dan tidak bertanggungjawab dalam kes skandal balak ini,” ujarnya.

Surat terbuka untuk bakal calon Kuala Besut

Dr Azman Ibrahim,
Sahabatku Ustaz Nik Zulhaiza yang dihormati,
Pilihanraya Kecil Kuala Besut adalah suatu catatan sejarah penting bagi Negeri Terengganu khususnya dan politik Malaysia amnya. Di saat margin perbezaan jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri Terengganu terlalu hampir, takdir Allah mengatasi segalanya. Semoga Allah mengampuni arwah yang telah pergi dan kita yang tinggal perlu terus menggalas tanggungjawab sebagai khalifah di bumi Allah.

Sahabatku,
Melihat laporan media, nama saudara antara yang tersenarai sebagai bakal calon mewakili BN dalam PRK nanti, tentunya saya sebagai sahabat yang paling awal akan mengutuskan ucapan tahniah. Tentunya kenangan kita bersama di Sekolah Menengah Agama Maarif, Kampung Raja sekitar tahun 1988-1989 dulu masih segar diingatan. Tinggal bersama di Asrama Yayasan Terengganu, bersama bermandi peluh mewakili sekolah dalam pasukan bolasepak, bersama mewakili sekolah dalam ‘musabaqah’, saudara sebagai qari, saya sebagai pemidato. Kebolehan saudara dalam mengalunkan ayat-ayat suci al Quran sangat saya hormati.

Walaupun kita sekarang berbeza lapangan, saudara sebagai Qadhi, saya sebagai pengamal perubatan tetapi saya yakin, kita sama-sama bekerja untuk meninggikan syariat Allah yang tertulis di dalam al Quran tersebut. Al Quran ini jugalah yang diletakkan oleh parti dokongan saya, PAS! sebagai sumber rujukan tertinggi.

Sahabatku Nik Zulhaiza,
Sejujurnya, saya tidak memaklumi sekiranya saudara ada memegang apa-apa posisi jawatan di dalam Umno walaupun saudara tentunya memaklumi bahawa saya adalah salah seorang pimpinan PAS Terengganu yang pernah bertanding mewakili parti di dalam Pilihanraya Umum. Perbezaan pandangan politik ini diharap tidak menghalang kita untuk kekal saling menghormati dan menghargai.

Sahabatku,
Sebagai Qadhi, sahabat tentu lebih memaklumi bahawa menjadi calon pilihanraya untuk memikul amanah kepimpinan adalah suatu ‘tragedi’ bagi mereka yang memaklumi beratnya persoalan yang akan ditanggung di hadapan Allah di ‘yaumul hisab’ nanti. Kerana itulah, ucapan tahniah saya sekiranya saudara dipilih adalah bersyarat supaya saudara memikirkan sehalusnya beberapa perkara berikut:

Yang pertama, saya memberikan pesanan kepada saudara supaya bertaqwa kepada Allah kerana ketaqwaan kepadanya akan memberikan jalan keluar bagi setiap masalah yang kita hadapi.

Yang kedua, saya mengingatkan diri saya dan saudara bahawa dengan amanah kepimpinan yang dipegang, kita wajib untuk kita menyebarkan kebaikan dengan semampunya dan mencegah kemungkaran dengan sehabis daya. Apatah lagi apabila kita adalah sebahagian dari kerajaan yang memerintah.

Yang ketiga, sekiranya kita tidak mampu melakukan kebaikan, hendaklah kita memberikan pertunjuk dan membantu orang lain yang ingin melakukan kebaikan. Jangan sekali-kali dengan kuasa yang kita ada, kita menjadi penghalang kepada orang lain yang ingin melakukan kebaikan.

Yang keempat, keharmonian masyarakat perlu dipelihara dan jangan sekali-kali sebagai pemimpin kita menjadi pencetus suasana tidak sihat dalam masyarakat. Hendaklah berusaha keras untuk menolak apa sahaja yang tidak membawa kebaikan kepada diri sendiri dan orang lain.

Yang kelima, memikul amanah kepimpinan bermakna memikul tugas khilafah di atas muka bumi. Khalifah bermakna penganti. Menganti dengan makna kita perlu mentadbir muka bumi ini sebagaimana yang dikehendaki oleh tuan punya bumi ini, Allah!

Yang keenam, berhati-hatilah dengan kenikmatan duniawi yang selalu akan datang mengiringi ‘anugerah’ jawatan dan kepimpinan. Akibat buruknya telah banyak merosakkan ramai manusia dan keperibadian insan.

Akhir sekali, saya berdoa semoga Allah melimpahkan rahmat kepada saudara dan keluarga. Ingatlah misi utama sebagai pemimpin adalah untuk menjaga kemurnian agama dan memimpin dunia dengannya. Islam adalah agama yang memiliki batasan-batasannya, ketentuan-ketentuan. Sesiapa yang dapat melaksanakan dengan sempurna maka sempurnalah imannya dan sesiapa yang belum dapat melaksanakan dengan baik, belum sempurnalah imannya.

Penulis AJK Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu.

Surau 100 tahun terbakar rayu sumbangan

Harakahdaily, 03 Jul 2013


TAIPING: Surau Kampung Sungai Petai di Bukit Gantang di sini hangus dalam kejadian kebakaran kira-kira jam 10 malam tadi.

Surau yang berusia hampir 100 tahun diasaskan oleh Allahyarham Tuan Guru Haji Ahmad Sungai Petai.

Beliau merupakan bekas Ahli Majlis Fatwa Negeri Perak dan ayahanda kepada Ustaz Idris Hj Ahmad Ahli Parlimen Bukit Gantang.

Menurut Ustaz Idris, surau tersebut baharu sahaja dibaik pulih tiga tahun lepas bagi tujuan keselesaan masyarakat di sini untuk menunaikan ibadah dan mengaji agama.

Difahamkan di surau inilah Program Ijtimak Muzakarah bulanan yang diadakan pada Ahad minggu pertama hampir 100 tahun yang diasas oleh ayah beliau.

"Sekarang program ini masih diteruskan oleh Sohibussamahah Datuk Seri Hj Hasan Ahmad Mufti Negeri Pulau Pinang, Datuk Soleh Haji Ahmad Ahli Majlis Fatwa Negeri Perak dan Ustaz Zakaria Hj Ahmad," katanya.

Sehubungan itu, beliau merayu kepada umat Islam perihatin agar menghulurkan sumbangan bagi membina semula surau tersebut.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank Ahli Parlimen Malaysia Kwsn Bkt Gantang di nombor 558051300273.

Adun BN tidak bijak tolak pelantikan negeri

Mohd Sabri Said, 03 Jul 2013
GEORGETOWN: Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pembangkang daripada BN menolak untuk menganggotai Jawatankuasa MMK Kebajikan dan Alam Sekitar Negeri Pulau Pinang sangat mendukacitakan.

Demikian kata Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh (gambar) mengulas penolakan tersebut sebagai tidak bijak dan menghampakan.

Katanya, walaupun surat telah dihantar namun dua daripadanya iaitu Adun Sungai Acheh,  Datuk Mahmud Zakaria dan Adun Pulau Betong, Muhamad Farid Saad telah menolak cadangan menduduki MMK Kebajikan dan Alam Sekitar Negeri bersama kerajaan negeri.

"Saya amat kesal mereka yang boleh membantu MMK Kebajikan dan Alam Sekitar Negeri tidak dapat bersama tanpa memberikan apa-apa alasan yabg kukuh," terangnya.

Manakala Ketua Pembangkang, Datuk Jahara Abdul Hamid dan Adun Pinang Tunggal masih tidak menjawab surat yang dihantar pada 14 Mei lalu.

Phee Boon Poh yang juga Adun Sungai Puyu menambah, sepatutnya mereka bersetuju seperti mana yang dilakukan sewaktu Pakatan Rakyat menjadi pembangkang sebelum 2008.

"Sewaktu jadi pembangkang dulu, kami daripada Pakatan Rakyat sanggup menduduki MMK demi memastikan politik tidak menghalang untuk kemajuan negeri yang dicintai," jelas beliau pada sidang media bersama Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Doakan semoga Morsi komited pimpin Mesir

Harakahdaily, 03 Jul 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak mendoakan agar pentadbiran Mesir di bawah kepimpinan Dr Mohamed Morsi (gambar) akan dipelihara seterusnya mengembalikan hak rakyat sebaik mungkin.

Ketuanya, Mohd Zawawi Hassan berkata, Pemuda PAS negeri berpendirian pertembungan yang berlaku di Mesir merupakan satu agenda untuk melumpuhkan Islam bagi diaplikasikan dalam sistem pentadbiran dan budaya masyarakat umumnya.

Menurutnya, pihaknya sentiasa mengikuti perkembangan semasa yang berlaku di Mesir sebagai langkah persediaan sekiranya berlaku sesuatu di luar jangkaan.

“Kami meminta seluruh umat Islam di tanah air mendoakan agar pergolakan yang berlaku ini berakhir dengan aman tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

“Diharapkan kerjasama daripada semua pihak teutama wakil kerajaan Malaysia KBMK, EME, Pegawai HEP dan persatuan pelajar (PMRAM dan KPIPM) terus digembleng demi memastikan tahap keselamatan dan kebajikan pelajar terjaga,” katanya dipetik PeraKite Daily.

Zawawi menjelaskan, peranan media dalam melaporkan keadaan yang berlaku perlu telus dan amanah sebagai makluman kepada ahli keluarga di tanahair.

Maklumat tersebut, katanya mestilah diperolehi daripada wakil kerajaan atau persatuan pelajar Mesir supaya lebih tepat dan benar.

“Sesungguhnya perjuangan dalam membawa risalah Islam akan sentiasa dihujani cabaran dan ujian.

“Semoga Dr Morsi komited dalam memimpin Mesir ke arah satu tahap yang dapat membuktikan pada dunia akan nilai Islam yang sebenar,” jelasnya yang juga Adun Gunung Semanggol.

Azalina pun Azalina lah, asalkan ada perubahan

Harakahdaily, 03 Jul 2013
KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung Umno yang mendatang sudah menampakkan keretakan dalam Umno yang menunggu masa untuk berpecah, tulis pemerhati politik, Aspan Alias.

Jika dahulu, tgulis beliau ahli-ahlinya mempunyai segan silu untuk mengkritik pimpinan tetapi sekarang sudah ada unsur-unsur yang menunjukkan budaya segan silu itu sudah mula hilang selepas pilihanraya yang lalu.

Menurutnya, Wanita Umno akan melihat pertandingan di antara Shahrizat Jalil yang sentiasa menjadi orang kesayangan Presiden Umno pada hari ini.

“Azalina Othman Said akan menandingi beliau sebagai Ketua Pergerakan Wanita Umno,” ujarnya.

Baginya, Azalina beranggapan yang Najib tidak memberi komitmen secukupnya dalam pembangunan wanita sebagai sebab beliau akan menandingi Shahrizat yang telah terjurumus dalam isu National Feedlot Corporation (NFC).

Tetapi, ujarnya yang hendak melawan Shahrizat ini pun bukannya tidak ada isu dan isu yang masih di dalam ingatan ramai ialah Pembangunan Pusat Sukan di Herdforshire England semasa beliau menjadi Menteri Belia dan Sukan dahulu dan isu itu bukannya isu yang kecil.

“Tetapi apakan daya, seperti yang selalu saya sebut sejak beberapa tahun dahulu Umno sudah ketiadaan pimpinan yang tidak mempunyai isu rasuah. Maka yang hendak membetulkan keadaan pun tidak betul, apatah lagi pimpinan yang hendak dibetulkan itu,” tulis Aspan lagi.

Menurutnya, mesti satu di antara kedua belah pihak itu akan memenangi pertandingan itu, tetapi keadaan tidak juga akan berubah.

Mahu tidak mahu, katanya terpaksa jugalah Umno menggunakan nama-nama yang sama tahap imej mereka untuk mengganti pihak yang ada sekarang, kata pepatah ‘tidak ada rotan akar berguna juga’.

“Ada di kalangan wanita sendiri bercakap, ‘Azalina pun Azalina lah, asalkan ada perubahan. Mana nak cari lagi pemimpin wanita yang berwibawa?’,” tulis beliau lagi.

Cadangan Dr Xavier wajar dipanjang kepada Pusat

Harakahdaily, 03 Jul 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyokong gesaan dan cadangan Dr Xavier Jayakumar agar kerajaan Selangor melarang meminum minuman keras di tempat awam.

“Ia menyebabkan keharmonian masyarakat terganggu di samping botol-botol arak yang bertaburan dan pecah di kawasan orang ramai,” ujar Ketua Penerangannya, Riduan Mohd Nor dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau mengulas cadangan Adun Sri Andalas itu agar Kerajaan Selangor memperkenalkan undang-undang baru bagi melarang perbuatan meminum minuman keras di tempat awam seperti taman permainan, kawasan rekreasi dan padang bola.

Dr Xavier Jayakumar turut mencadangkan agar kerajaan negeri melarang dan mengharamkan jualan arak murah yang boleh diperolehi dengan udah di kedai runcit, kedai perubatan Cina dan pasaraya di seluruh negeri.

“Saya merasa teruja bagaimana seorang yang bukan beragama Islam boleh mencadangkan sedemikian,” kata Riduan.

Pastinya, kata beliau berita cadangan Dr Xavier tidak akan disiarkan di mana-mana media rasmi negara ataupun ianya disiarkan dengan perspektif yang negatif.

“Inilah kelebihannya apabila Pakatan Rakyat menerajui kerajaan dengan pemimpinnya sentiasa berfikir masalah rakyat di bawah,” katanya lagi.

Katanya, Dr Xavier Jayakumar mengetahui bahawa meminum minuman keras adalah haram di sisi Islam.

Namun demikian, jelas Riduan Islam tidak melarang penganut bukan Islam meminum minuman keras.

Walaupun begitu, ujarnya implikasi arak kepada tubuh seperti yang diketahui boleh memudaratkan kesihatan, malah boleh menyebabkan berlakunya gejala sosial yang lebih parah serta jenayah yang tidak terkawal.

“Cadangan Dr Xavier juga wajar dipanjangkan kepada kerajaan Persekutuan agar penguatkuasaan tersebut dapat dilaksanakan ke semua daerah dan kawasan di seluruh negara,” katanya.

Katanya, kerajaan perlu berikan kuasa kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Polis agar dapat menguatkuasakan larangan tersebut di tempat yang dimaksudkannya.

Larangan itu, ujar Riduan bukan bermaksud untuk mengharamkan terus minuman keras kepada penganut bukan Islam.

Menurutnya, mereka masih boleh memilikinya, namun terhad hanya kepada rumah dan kediaman mereka.

“Golongan bukan Islam tidak perlu khuatir dengan cadangan ini kerana ia tidak menjejaskan kehidupan mereka, malah mereka akan lebih selamat, masyarakat akan tenteram dan hidup dalam keadaan harmoni,” ujarnya lagi.
Tulisan penuh Aspan boleh dibaca di sini.

S’gor perlu larang minuman keras di tempat awam

Selangorku, 03 Jul 2013
SHAH ALAM: Sebuah enakmen melarang meminum minuman keras secara terbuka di tempat awam seperti taman permainan perlu dikuatkuasa Kerajaan Selangor bagi menjaga keharmonian penduduk dan mencegah gejala sosial.

Ini kerana menurut Adun Sri Andalas, Dr Xavier Jayakumar, beliau menerima banyak aduan daripada penduduk yang merasa terganggu oleh aktiviti minuman keras oleh pihak tidak bertanggungjawab di sekitar kawasan awam.

Menurutnya, enakmen itu telah digunapakai di beberapa negara luar seperti Canada, Australia, Finland, Hungary, Norway, Poland, Sepanyol dan Amerika Syarikat.

“Enakmen melarang minuman keras di tempat awam ini perlu diluluskan dalam masa terdekat untuk memberi kuasa kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan anggota polis bagi melaksanakannya.

“Saya menerima banyak aduan daripada orang ramai mengenai orang yang minum di taman permainan hingga larut malam dan meninggalkan botol kosong berselerakan di tempat tersebut.

“Keadaan ini menyebabkan kacau ganggu kepada keharmonian penduduk setempat apabila mereka terdedah kepada bunyi bising dari kumpulan tersebut dari larut malam hingga awal pagi,” katanya ketika membahaskan titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, di sini semalam.

Katanya, penguatkuasaan terhadap permohonan permit juga perlu diambil kira sekiranya terdapat permintaan daripada orang ramai untuk membawa minuman keras di tempat awam sewaktu majlis keraian.

Beliau turut meminta kerajaan negeri supaya menghalang penjualan minuman keras berharga murah yang boleh didapati dengan mudah di kedai runcit atau pasaraya seluruh negeri.

Ini kerana tegasnya, minuman keras dengan harga murah mempunyai kandungan alkohol yang tinggi dan berisiko untuk menjejaskan kesihatan dan membawa kepada masalah sosial.

Dalam pada itu, Dr Xavier turut mencadangkan supaya kilang-kilang yang menghasilkan minuman keras murah ini dihadkan operasi mereka kepada tiga tahun sahaja.

Statistik keberkesanan SPRM masih rendah

Harakahdaily, 03 Jul 2013
KUALA LUMPUR: Perangkaan membuktikan stigma yang masih wujud dan menebal di kalangan rakyat yang meragui keberkesanan dan kebebasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menjalankan siasatan.
Apatah lagi, kata Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli, apabila hanya satu dari setiap lima laporan yang dibuat yang berakhir dengan siasatan sedangkan sebahagian besar dikategorikan sebagai ‘tiada tindakan lanjut’.

“Ini adalah cabaran besar buat Senator Datuk Paul Low yang diberi mandat untuk menaikkan imej dan kepercayaan rakyat terhadap SPRM,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pandan menyatakan demikian merujuk kepada jawapan di Parlimen yang diberikan oleh Senator Datuk Paul Low mengenai jumlah pertuduhan bersabit kes rasuah yang telah dibuat yang ada dilampirkan bersama.

Katanya, untuk menentukan keberkesanan SPRM, maklumat itu perlu dibaca bersama dengan data-data operasi SPRM dan dibandingkan dengan maklumat yang sama dari negara yang diiktiraf berkesan menangani gejala rasuah.

Beliau telah mengkaji perkara ini dengan lebih mendalam dan mendapati bahawa keberkesanan SPRM berbanding dengan Suruhanjaya Bebas Pencegahan Rasuah Hong Kong (ICAC) boleh dibandingkan menggunakan data-data berikut:

1)      Jumlah laporan dan maklumat per kapita


SPRM
ICAC
Jumlah maklumat yang diterima dalam tahun 2011 (mengikut laporan tahunan masing-masing)
6,475
4,010
Jumlah penduduk terkini
28,600,000
7,173,900
Peratus laporan diterima per kapita
0.02%
0.06%

Jumlah maklumat yang diterima oleh SPRM per kapita adalah jauh lebih rendah berbanding maklumat yang diterima oleh ICAC (satu pertiga dari maklumat yang diterima ICAC). Ini bermakna banyak kejadian rasuah masih belum dilaporkan kepada SPRM, sama ada berpunca dari persepsi rakyat yang tidak yakin dengan keupayaan SPRM ataupun rakyat yang masih menerima perlakuan rasuah sebagai amalan biasa. Keadaan ini adalah salah satu sebab kenapa indeks persepsi rasuah (CPI) tidak meningkat walaupun pelbagai jalan diambil kerana rakyat tahu dikalangan mereka masih banyak kes rasuah yang berlaku tetapi tidak diambil tindakan (besar kemungkinan kerana tidak dilaporkan pun kepada SPRM).

2)     Jumlah tindakan dan kertas siasatan berbanding maklumat yang diterima


SPRM
ICAC
Jumlah maklumat yang diterima dalam tahun 2011 (mengikut laporan tahunan masing-masing)
6,475
4,010
Jumlah tindakan yang diambil dalam bentuk kertas siasatan yang dibuka
1,304
3,072
Peratus tindakan diambil berbanding laporan diambil
20%
77%

Perbandingan statistik di antara SPRM dan ICAC mengukuhkan lagi persepsi yang meragui keberkesanan SPRM apabila jumlah tindakan yang diambil apabila maklumat diberikan (dalam bentuk kertas siasatan dibuka) hanyalah 1,304 berbanding 6,475 maklumat yang diterima.

Ini bermakna daripada setiap 5 maklumat berkenaan rasuah yang diberikan, hanya 1 yang berakhir dengan kertas siasatan dibuka. Ini jauh lebih rendah berbanding dengan kadar 77% tindakan diambil ke atas setiap satu maklumat yang disampaikan kepada ICAC.


3)     Jumlah siasatan yang berakhir dengan pendakwaan


SPRM
ICAC
Jumlah kes yang dibawa untuk pendakwaan (2009 hingga 2013) mengikut jawapan menteri[1], berbanding kes ICAC bagi tahun 2011
1,310
152
Jumlah pendakwaan yang disabitkan kesalahan
888
131
Peratus kejayaan pendakwaan
68%
86%

Untuk menilai keberkesanan pendakwaan yang berakhir dengan sabitan kesalahan, saya membandingkan peratusan purata bagi tempoh 2009 hingga Mei 2013 bagi Malaysia (seperti jawapan Menteri) dengan kes-kes yang telah diputuskan di mahkamah Hong Kong yang dibawa oleh ICAC bagi tahun 2011. Sekali lagi, sabitan kesalahan kes yang dikendalikan ICAC adalah lebih tinggi hingga mencecah 86% berbanding dengan sabitan kesalahan kes-kes yang dibawa oleh SPRM.

Sehubungan itu, Rafizi akan memantau setiap tahun angka-angka ini dan akan terus membawanya ke Parlimen supaya ia dapat menghasilkan tindakan yang memperbaiki kelemahan-kelemahan SPRM sedia ada.

Tiada ulasan: