Khamis, 4 Julai 2013

BANTU.....SEKURANG2NYA KITA BERDOA

Krisis Mesir: Solat hajat, munajat esok

Harakahdaily, 04 Jul 2013
KUALA LUMPUR: PAS menyeru umat Islam di Malaysia untuk melakukan solat hajat dan munajat selepas sembahyang Jumaat esok memohon bantuan Allah kepada mereka yang dizalimi di Mesir.

Dalam pada itu, PAS mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tentera Mesir merampas kuasa Presiden Dr Mohamed Morsi, yang dipilih rakyat melalui jalan demokrasi yang sah iaitu pilihanraya yang adil dan bersih.

“Kemenangan Mohamed Morsi telah dirampas melalui cara yang paling tidak demokratik dan penuh kezaliman,” ujar Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan.

PAS juga, tegasnya mengutuk tindakan media massa di Malaysia yang melabel Morsi sebagai regim diktator.

Beliau berkata, PAS berharap semua pihak di Mesir mengelak melakukan provokasi yang boleh mencetuskan perang saudara.

“Buat Presiden Morsi dan Gerakan Islam Ikhwan Muslimin Mesir supaya bertahan, tabah dan tidak tunduk kepada tekanan perusuh,” katanya.

Mesir dan kejatuhan Morsi

Dr Mujahid Yusof Rawa, 04 Jul 2013
Morsi Diguling

Semasa artikel ini ditulis Morsi iaitu Presiden Mesir pertama yang dilantik secara demokratik telahpun digulingkn oleh tentera. Ini berpandukan kepada kenyataan pihak Tentera bahawa Morsi sudahpun berada dalam tahanan rumah manakala pemimpin Ikhwan yang lain juga turut ditahan.

Di Medan Tahrir, penentang Morsi merayakan berita tersebut manakala perhimpunan pro-Morsi dan penyokong Ikhwan di Rabaa’ Adawiah masih terkejut dengan perkembangan ini. Namun respons penggulingan ini tidak akan berakhir begitu mudah malah Mesir dijangka akan berada dalam keadaan krisis yang panjang dan sekali lagi akan mendapat perhatian dunia.

Demokrasi Melampau

Adakah istilah ‘demokrasi melampau’? Sebelum revolusi rakyat pada 25 Jan 2011 rakyat Mesir tidak pernah memahami erti demokrasi kerana sejak penggulingan Raja Farouk oleh Gamal Abdul Naser dan kemudian Anwar Saddat yang mati di bunuh, Hosni Mubarak meneruskan legasi penguasaan tentera yang membenam demokrasi di Mesir.

Penguasaan tentera tidak hanya dalam bidang politik dan menentukan kepimpinan negara tetapi tentera menguasai hampir 40% agihan ekonomi Mesir. Penguasaan tentera hampir sukar untuk dihapuskan bagi membuka jalan kepada demokrasi untuk menentukan masadepan politik Mesir. Dua tahun setelah Mubarak dijatuhkan dengan kekuatan rakyat demokrasi seolah masih mencari wajahnya yang sebenar apabila Morsi menjadi mangsa demokrasi melampau.

Gambaran penggulingan Morsi seolah-olah memberi isyarat bahawa rakyat boleh buang siapa sahaja Presiden yang mereka rasa tidak layak walaupun Presiden Morsi dilantik secara demokratik dan terma perlantikannya hanya akan berakhir 3 tahun lagi.

Para analisis menggambarkan kebimbangan mereka apakah jaminan Presiden akan datang tidak akan diperlakukan dengan cara demokrasi melampau ini? Adakah di atas nama demokrasi, Mesir akan menuju ke arah anarki? Atau adakah kebangkitan rakyat dalam revolusi 25Jan yang mahukan kuasa tentera dikurangkan hanya akan mengukuhkan lagi cengkaman tentera? Berbagai persoalan yang memerlukan jawapan kepada masadepan peneraju Arab Spring di Mesir.

Ikhwan Gagal?

Salah satu faktor yang dikatakan menyebabkan kepimpinan Morsi dipertikaikan ialah tanggapan bahawa Ikhwan telah mendominasi politik Mesir sedangkan kebangkitan rakyat adalah terjemahan berbagai pihak. Tanggapan bahawa Morsi tidak mewakili kehendak rakyat dan hanya mewakili kelompoknya adalah asas yang menjadi kempen penentang Morsi. Perlu diingatkan bahawa Morsi memenangi Pilihanraya Presiden dengan meraih 52% sahaja sokongan rakyat. Golongan liberal sekular tiada pilihan calon mereka kerana Morsi yang mewakili parti Kebebasan dan Keadilan adalah cabang politik Ikhwan yang dilihat lebih tersusun dan mempunyai penyokong akar umbi yang kuat.

Kemenangan Morsi dilihat sebagai terjemahan kepada kekuatan Ikhwan yang wujud sekian lama (hampir 85 tahun) dan berjaya kekal dalam suasana politik yang tidak menyebelahinya sepanjang proses itu. Kegagalan Ikhwan mentadbir negara yang cuba digambarkan oleh musuh politiknya dari kalangan liberal sekular akan meninggalkan bekas yang buruk kepada Ikhwan malah ia adalah isyarat kepada potensi kegagalan mana-mana parti Islam yang mahukan kuasa politik di mana-mana negara lain.

Ikhwan Muslimin dianggap sebagai paling kanan dan menjadi idola kepada hampir semua gerakan Islam dunia malah mempunyai cawangannya di hampir seluruh dunia Islam khususnya. Propaganda ini berjaya membunuh dua burung dengan satu batu atau serampang dua mata untuk meranapkan cita-cita politikal Islam yang menyertai proses demokrasi hari ini.

Masa Depan Partisipasi Islamis

Istilah Islamis menggambarkan kelompok penyertaan gerakan Islam dalam gerakan politik dan sivil sebagai salah satu komitmen terhadap proses demokrasi. Ia berbeza dengan istilah teroris yang bergerak di luar kerangka demokrasi yang mengimani cara keganasan sebagai mencapai matlamat Islamnya.

Ikhwan di Mesir selama ini menegaskan dirinya sebagai entiti yang meyakini cara aman untuk memenangkan cita-citanya, malangnya sebelum Revolusi 25 Jan, Ikhwan tiada banyak pilihan melainkan terpaksa berhadapan dengan tekanan yang kuat dari regim tentera. Walaupun tertindas begitu lama, namun ia mampu menyesuaikan diri dengan keadaan tanpa hilang pengaruh dan kekuatan prinsipnya.

Setelah Revolusi Rakyat, Ikhwan muncul sebagai entiti yang paling berpengaruh dan tersusun berbanding dengan golongan lain. Pasti nya penyertaan dalam proses demokrasi post Revolusi memberikan Ikhwan kelebihan lantas memenangi Pilihanraya Presiden setahun yang lalu. Dari sudut prinsip demokrasi, Ikhwan telah memenangi pilihanraya melalui Parti Kebebasan dan Keadilan secara demokratik namun kemenangannya terus diragui dari sudut keyakinan dan tindakan politiknya yang sering disalahtanggap.

Malah kemenangan Ikhwan tempoh hari dianggap sebahagian sebagai kebangkitan Islamic Fascism. Kejatuhan Morsi pasti akan memberi kesan yang besar kepada persoalan partisipasi politikal Islam dalam proses demokrasi.

Memberi Keadilan

Adakah benar dakwaan terhadap Morsi? Ataukah ianya tuduhan yang tidak berasas malah sengaja direka secara terancang untuk mengapuskan pengaruh Islam yang terlibat dalam proses demokrasi? Morsi sering mengulangi aduannya bahawa saki baki regim Mubarak masih menguasai beberapa kementerian di mana Morsi gagal untuk membentuk struktur barunya. Ini tidak termasuk dakwaan sabotaj kepada kerajaannya dengan menimbulkan krisis kekurangan tenaga, minyak yang membawa kesan kepada keselesaan rakyat. Rakyat menuduh Morsi gagal dan alasan membuangnya menjadi semakin kukuh pada pandangan awam yang rata-rata berada pada pendapatan US 2.5 dollar seorang.

Faktor ekonomi menjadi tekanan terhadap Morsi namun ramai yang mempertikaikan kemampuan untuk reformasi ekonomi dalam jangka masa setahun dan Morsi tidak boleh dipersalahkan. Kementerian Dalam Negeri masih dalam penguasaan saki-baki Mubarak menyebabkan sukar bagi Morsi mengembalikan keadaan stabil dalam negara kerana terlalu banyak sabotaj ke atas inisiatif Morsi.

Reaksi Pro-Morsi

Penganalisis masih menanti reaksi penyokong Morsi yang kebanyakannya ialah dari anggota Ikhwan dan para aktivisnya dan simpatiannya. Kebimbangan para analisis berpandukan kepada keupayaan Ikhwan untuk menggerakkan penyokongnya yang bertebaran di seluruh Mesir bagi membalas tindakan terhadap penggulingan Morsi.

Ikhwan terkenal dengan keberanian, disiplin ahlinya dan kesediaan mereka untuk mempertahankan ideologinya dan sebarang kenyataan yang provokatif mampu untuk menambahkan minyak ke atas api yang sedang membara. Walaupun demikian hingga saat ini, Ikhwan masih senyap dan tetap menyatakan bahawa mereka akan terus membantah tindakan penggulingan Morsi dengan cara aman.

Namun siapa yang boleh beri jaminan bahawa kerapuhan yang ada di Mesir berupaya untuk mencetuskan kekacuan kelompok yang sukar untuk dikawal.

Amerika Bersuara

Obama mengeluarkan kenyataan bahawa Amerika mengambil berat apa yang berlaku dan meminta supaya demokrasi dikembalikan dalam suasana yang telus dan mahkan penguasaan tentera dikembalikan kepada kuasa awam.

Malah Obama mahukan tindakan undang-undang tidak dikenakan ke atas Morsi dan penyokongnya. Sudah tentu Amerika akan bertindak balas kerana Amerika mempunyai kepentingan besar di Mesir. Mesir adalah negara Arab pertama yang mengiktirafi Israel pada tahun 1979, sebelum ini Mesir mendapat bantuan ekonomi dan ketenteraan yang besar. Setelah revolusi, bantuan awal US 250 juta diberikan atas semangat reformasi demokrasi dan US 1billion dijanjikan untuk perkembangan selanjutnya ketika Morsi membuat lawatan ke Amerika baru-baru ini.

Amerika juga berharap Mesir terus kekal menjadi rakan bagi mengimbangi kuasanya memelihara kewujudan Israel. Morsi tidak dilihat dapat memenuhi kehendak ini berpandukan kepada sikap Ikhwan yang keras terhadap Israel.

Definisi Kuasa Rakyat

Pelik memahami perkembangan di Mesir kerana Revoulusi Rakyat 25 Jan mahukan kuasa tentera dikawal tetapi perhimpunan terkini di Tahrir Square menjemput kuasa Tentera untuk menggulingkan Morsi.

Apakah matlamat awal revolusi dikhianati dengan memberikan kuasa kepada tentera hanya setelah 2 tahun revolusi? Apakah kehendak rakyat hanya boleh disampaikan melalui tentera? Lebih penting ialah apakah makna demokrasi jika perlantikan seseorang boleh dibatalkan di jalanraya tanpa peti-peti undi?

Para penentang Morsi menegaskan bagaimana mereka tidak turun ke jalanraya sedangkan Morsi gagal membentuk kerajaannya secara demokratik? Mesir akan melalui fasa-fasa yang menyukarkan dalam menemui wajah sebenar demokrasi setelah terlalu lama dicengkam otokrasi. Kesan reaksi selanjutnya sukar dibayangkan kerana selagi tentera terus mempunyai kata putus dan kedua kelompok berkonflik mahu menyatakan sikapnya, Mesir akan menyaksikan konflik berterusan.

Menarik kata-kata Qaradhawi seorang ulamak besar yang menjadi penyokong terkuat revolusi rakyat di Mesir bahawa “Bagaimana kita boleh bersabar dengan Mubarak selama 30 tahun, tapi tidak boleh bersabar dengan Morsi setahun? - http://drmujahid.com

Penulis ialah AJK PAS Pusat dan juga Ahli Parlimen Parit Buntar.

Malaysia digesa tolak kerajaan kudeta Mesir

Harakahdaily, 04 Jul 2013


KUALA LUMPUR: Kerajaan Mesir hanya boleh diiktiraf dunia melalui sistem demokrasi dalam pilihanraya yang diangkat oleh rakyatnya sendiri dan bukan melalui rampasan kuasa seperti yang berlaku sekarang.

Justeru, Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kudeta atau rampasan kuasa pasukan tentera Mesir yang menggulingkan kerajaan negara itu pimpinan Dr Mohammad Morsi, Presiden yang sah dilantik oleh rakyat melalui pilihan raya paling demokratik.

“DPPM juga mengutuk tahanan tentera di rumah yang dikenakan ke atas Dr Morsi bersama 12 orang pembantunya,” kata Naib Ketuanya, Dr Raja Ahmad Al Hiss dalam satu kenyataan.

Katanya, penahanan itu dianggap sebagai suatu pencabulan hak asasi manusia serta dendam yang berpanjangan antara golongan sekular dengan pemimpin parti Islam itu.

Justeru, tegasnya DPPM mendesak agar tentera Mesir membebaskan segera Dr Morsi bersama pembantunya di samping memperlakukan beliau dengan baik serta seluruh pemimpin-pemimpin Ikhwan Muslimin yang lain.

Katanya, Panglima Tentera Jeneral Abdel Fattah al-Sisi yang bertanggungjawab melancarkan rampasan kuasa tersebut perlu dihukum dan diheret ke muka pengadilan atas kesalahannya itu.

“Apa yang dibimbangkan adalah sejarah hitam Mesir akan kembali mewarnai negara itu dan akan kembali diperintah secara diktator seperti yang ditinggalkan oleh legasi Hosni Mubarak,” katanya.

Justeru, ujarnya DPPM merasa sedih di atas perkembangan yang berlaku dan melihat pasukan tentera tidak berhak masuk campur dalam urusan pentadbiran negara itu.

Ini, kata beliau bererti pemerintahan sekarang yang telah mengangkat Adly Mansour, Ketua Mahkamah Perlembagaan Agung, sebagai ketua interim negara, sebagai telah menghina rakyat Mesir dan menghina sistem demokratik yang mereka dokong semasa pilihan raya Presiden setahun yang lalu.

“DPPM juga mendesak agar kerajaan Malaysia supaya menyatakan bantahan keras terhadap pemerintahan baru Mesir dengan mendesak kerajaan baharu berundur dan menyerahkan kembali kepada Dr Morsi sebagai Presiden Mesir yang sah,” katanya lagi.

Kerajaan juga, ujarnya perlu menolak kerajaan kudeta yang diangkat oleh tentera di bawah Adly Mansour.

Bersih 2.0: K’jaan diarah bayar RM50,000 kepada Salahuddin, Mahfuz

Muhammad Faizal, 04 Jul 2013



KUALA LUMPUR: Mahkamah Rayuan hari ini mengarahkan Kerajaan Malaysia membayar ganti rugi sebanyak RM50,000 kepada dua Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar.

Ganti rugi itu adalah berhubung dengan kes saman yang difailkan oleh mereka selaku plantif terhadap tangkapan yang tidak sah ketika perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai 2011 di KL Sentral.

Sebelum itu Mahkamah Rayuan yang diketuai oleh Hakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus memutuskan bahawa rayuan kerajaan Malaysia terhadap keputusan saman kedua-dua plantif adalah dibenarkan berhubung ganti rugi sahaja.

Kedua-dua plaintif telah berjaya dalam tindakan saman mereka di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan diputuskan ganti rugi sebanyak RM70,000 tiap seorang atas tangkapan salah dan tidak sah tersebut.

Kedua-dua plantif diwakili peguam Muhammad Faiz Fadzil Noor, Abdul Aziz Hamzah dan Surya Putra Taulan Rasul.

Manakala Kerajaan Malaysia diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Habibah Haron.


WWW1 – Utusan kantoi lagi, DS Nizar menang RM250 000

Oleh pada 04 Jul, 2013 | 1 Comment
Nizar_DSUtusan Malaysia kantoi lagi. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengarahkan Utusan Malaysia membayar ganti rugi RM250 000 kepada bekas MB Perak, Mohammad Nizar Jamaluddin kerana fitnah membabitkan nombor pendaftaran WWW1 milik Sultan Johor.
Peguam Fitri Asmuni memberitahu bahawa Nizar telah dianugerahkan ganti rugi am dan teladan selepas hakim Rosnani Saub mendapati unsur fitnah ke atas DS Nizar.
Fitri berkata DS Nizar kini berada di Australia dan telah dimaklumkan melalui sistem pesanan ringkas tentang keputusan tersebut.
Peguam itu juga berkata, hakim mendapati Utusan Malaysia tidak menyiarkan laporan benar dan memutar berita sehingga sengaja menimbulkan fitnah kepada DS Nizar.
Amacam cai-cai, selalu aje kitab rujukan hangpa kalah saman!!

Unisel semakin popular di sebalik laporan negatif

Selangorku, 04 Jul 2013
SHAH ALAM: Populariti Universiti Selangor (Unisel) semakin meningkat sepanjang lima tahun kebelakangan ini di sebalik imej negatif yang sering dipaparkan Umno BN menerusi media kepunyaan mereka.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan negeri, Dr Halimah Ali (gambar) berkata, permohonan pelajar untuk memasuki Unisel semakin bertambah terutamanya bagi pengajian pilihan seperti fakulti perniagaan.

“Sekarang ini Unisel mempunyai masalah yang bersifat positif, iaitu jumlah pelajar yang memohon untuk memasuki Unisel sudah melimpah terutamanya fakulti perniagaan.

“Sehingga Unisel terpaksa merayu kepada Kerajaan Selangor untuk membantu mereka menyediakan bangunan untuk menampung keperluan tempat kuliah kerana kebanjiran pelajar ini,” ujarnya.

Dr Halimah berkata demikian dalam ucapan penggulungannya dalam Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), pagi ini.

Sebelum ini, Umno BN didakwa memburukkan Unisel dengan mendakwa prestasi jumlah pelajar Unisel semakin merosot sejak 2008.

Mengulas lanjut, Dr Halimah berkata, ibu bapa dan pelajar di Selangor dan luar negeri ini sudah tidak percaya kepada dakwaan Umno BN selepas melihat sendiri keadaan di Unisel.

“Terima kasih kepada BN yang telah melonjakkan publisiti Unisel dengan memaparkan imej negatif Unisel dalam media arus perdana selama ini khususnya sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) lalu,” katanya yang juga Adun Selat Klang.

Selangor tidak hadapi masalah bekalan air - Khalid

Harakahdaily, 04 Jul 2013
KUALA LUMPUR: Selangor tidak menghadapi masalah kekurangan bekalan air kerana jumlah penyediaan air terawat di semua 34 loji melebihi kadar keperluan harian rakyat negeri itu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjelaskan jumlah pengeluaran adalah sebanyak 4,832 juta liter sehari (JLH) berbanding keperluan harian di antara 3,000 hingga 3,500 JLH bagi seluruh Selangor.

Menurutnya, mengikut Kajian Semula Sumber Air Negara dari 2000 hingga 2050, Selangor dengan keluasan Selangor sebanyak 8,396 kilometer persegi (kps) menerima taburan hujan tahunan kira-kira 2,190 milimeter (mm).

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Adun Dengkil, Shahrum Mohd Sharif dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di Shah Alam, hari ini.

Tambahnya, tamburan hujan itu menghasilkan jumlah air larian permukaan sebanyak 6.38 bilion meter padu setahun bersamaan dengan 17,000 JLH sehari setelah mengambil kira jumlah penyejatan dan susupan semula air bumi.

Jelasnya lagi, di Selangor terdapat tujuh empangan utama yang membekalkan air.

“Sehingga hari ini, semua empangan itu mempunyai kapasiti air untuk dirawat dan masih berada pada tahap yang tidak membimbangkan,” ujarnya dipetik Selangorku.

Tiada ulasan: