Sabtu, 9 Julai 2011

DUNIA..AKHIRAT DAN SELURUHNYA DALAM KEKUASAAN ALLAH SWT...HANYA TAKUT PADA ALLAH...BUKANNYA TAKUT PADA MANUSIA....

Ambiga dan Hadi dibebaskan petang ini
Jul 9, 11 7:24pm

Pengerusi BERSIH 2.0, Datuk S Ambiga dan presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dibebaskan petang ini selepas memberi kenyataan di Ibupejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Bercakap selepas dibebaskan pada jam 6.30 petang ini, Ambiga mengucap syabas kepada rakyat Malaysia yang keluar beramai-ramai menyertai perarakan BERSIH hari ini.

Beliau adalah antara tujuh orang terawal yang ditahan di IPK KL, yang telah dibebaskan.

Husam: Episode Bersih 2, BN terluka parah
Husam Musa
Akhirnya, kami sampai di kawasan bersebelahan bangunan sebuah tokong Budha di sebuah jalan menghala Stadium Negara.

Ribuan berhimpun. Tidak lama, ia menjadi belasan ribu, kalau pun tak puluhan ribu.

Sungguh pun ada barisan FRU menghalang jalan itu ke Stadium Negara, perhimpunan berjalan aman betul-betul bersebelahan sekatan FRU.

Pak Samad Said di situ. Saya melihat mata kanannya merah. Terkena semburan gas pemedih mata di KL Sentral sebelum ke sini. Diserbu FRU bersama pimpinan Bersih dan PR ketika mereka mula nak bergerak dari sana.

Ustaz Hadi ditahan. Pimpinan lain juga.

Ada yang cedera. Salah seorang adalah pengiring Datuk Seri Anwar Ibrahim. Luka parah dengan lumuran darah di pipi kanan beliau.

Saya tiba beberapa minit selepas rombongan bergerak dari Hilton. Sempat menyaksikan polis mengheret pimpinan ke dalam trak FRU.

Pak Samad terlepas bersekali Haris. Ia ke sini. Meneruskan tapak-tapak perjuangan rakyat yang cintakan damai menuntut kesaksamaan pilihanraya, sekalipun sukar.

Bukan dekat berjalan kaki ke sini. Hampir lima belas minit berjalan laju.

Saya berucap dulu.

Kagum. Sekatan polis begitu mencengkam seluruh kotaraya Kuala Lumpur.

Amaran polis dan pimpinan Umno/BN sebelum tarikh ini bertubi-tubi. Malam tadi saya menyaksikan kenyataan Ketua Polis Negara, polis akan melakukan apa sahaja untuk menghalang perhimpunan ini.

Serbuan di mana sahaja ada rakyat berhimpun.

Namun, di depan mata saya ada belasan ribu. Ribuan lagi di berbagai lokasi di kora raya. Hebat rakyat Malaysia. Serta merta rasa bangga dengan keberanian rakyat Malaysia semua kaum menyerap masuk ke dalam hati kecil saya. Lebih membanggakan, bagaimana mereka boleh menembusi semua sekatan yang ada???

Adakah strategi kepungan polis Malaysia begitu naif???

Adakah polis kita memerlukan penilaian semula terhadap pendekatan dan kaedah berfikir mereka?

Atau ombak semangan rakyat begitu cekal?

India, Cina, Melayu, tua, muda, bahkan berkeluarga, Sabahan, Sarawak juga, satu hati membuktikan kuasa rakyat lebih kuat dari kuasa polis!

Ugutan tidak boleh meleburkan tekad mereka. Sekatan, serbuan dan gas pemedih mata ala Tahrir Square adalah kecil di mata kebangkitan. Jangan lupa ini.

Ombak rakyat lebih tinggi dari gunung, lebih hebat dari tsunami. Lebih kukuh dari kekerasan, kekejaman dan hilang pedoman pihak berkuasa yang paling kuat sekalipun.

HUjan yang turun mendamaikan gas pemedih mata yang dilepaskan oleh polis menjadi bukti Tuhan bersama rakyat yang inginkan politik yang BERSIH.

Jika pemimpin UMNO/BN dan polis bersopan, mendengar nasihat Yang Di Pertuan Agung, mengizinkan perhimnpunan aman di Stadium, tidak lah UMNO/BN dan polis dimalukan sebegini.

Tidaklah dunia menjadi saksi Najib menyembunyikan sebuah perjalanan pilihanraya yang penuh dengan penyelewengan untuk meneruskan talian hayatnya.

Kini, dunia menyaksikan Malaysia sedang menyusur jalan kejatuhan yang sama dengan regim kotor yang lain. Terakhir, perubahan politik di negara jiran, Thailand.

SPR, keluar dari eiposod BERSIH 2, sebagai kaldai tunggangan UMNO/BN.

Keutuhannya hancur. Kehendak Perlembagaan Negara 114(2) menghendaki SPR mendapat KEPERCAYAAN AWAM.

Kepercayaan awam terhadapnya telah hancur dengan sikapnya menjelang Bersih 2.

Izin Agung lantik SPR baru


Pengerusi dan anggota SPR wajar mengosongkan kerusi mereka jika mereka benar menyokong pilihanraya yang bersih dan bukan berada di situ melindungi nyawa UMNO/BN. Izinkan YDP Agung membentuk anggota SPR yang baru.

Pandanglah kebangkitan rakyat di tengah kepungan polis ini sebagai lambang tuntutan kepada sistem yang bersih. Demi negara tercinta, pandanglah pada semua penyelewengan yang anda sendiri memang mengetahuinya (tetapi berpura-pura tidak mengetahuinya), dengan bertindak jujur dan memberikan peluang reformasi yang sangat penting untuk keselamatan negara.

Kenyataan berunsur perkauman para pemimpin UMNO/BN sebelum perhimpunan ini telah meletakkan jurang yang amat dalam antara pemimpin ini dengan majoriti rakyat yang rasional dan cintakan keharmonian.

Wajah sebenar Najib dan pentadbirannya yang bermuka-muka dan sanggup membelakangkan teras demokrasi, keharmonian rakyat Malaysia dan kesopanan dengan Raja Melayu, terserlah. Ia cukup menggerikan. Kelayakan pemimpin sperti ini untuk memimpin rakyat pelbagai kaum di negara ini dan meletakkan keselamatan rakyat tanpa memilih bulu telah hilang.

Ugutan dan terkeman kumpulan ektremis sepanjang episode BERSIH 2 yang dibiarkan tanpa sebarang tindakan membuktikan perlunya pimpinan baru mengambil alih negara jika kita inginkan keamanan dan keselamatan, kestabilan dan keharmonian. Minda gelap mereka berada di mana-mana.

Kekerasan tidak bertempat yang ditunjukkan oleh polis di pelbagai insiden pada hri ini, menyerlahkan minda mereka meletakkan keselamatn regim yang ada lebih penting dari sumpah dan tugas mereka menjaga keselamtan rakyat.

Darah banyak yang menitis, kecederaan, pemimpin di cekup dan diseret seperti penjenayah dan lainnya, bukan berlaku angkara peserta demo yang seluruhnya datang dengan niat yang BERSIH.

Andalah yang telah mengotorkan himpunan ikhlas 9 Julai ini. Akhirnya, andalah yang cedera parah dalam minda majoriti rakyat yang cintakan damai.... Malang....

Jangan sangka gari, peluru boleh takutkan orang
Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 9 Julai: “Jangan menyangka gari dan peluru boleh menakutkan semua orang,” kata Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Justeru hati beliau cukup remuk mendengar nasib yang sedang dihadapi oleh sahabat-sahabat pimpinan pada saat ini.

Sehubungan itu, beliau yang juga Menteri Besar Kelantan menuntut agar dibebaskan segera pimpinan-pimpinan yang ditangkap oleh polis semasa menyertai perhimpunan aman Bersih 2.0 di sekitar ibu negara petang tadi.

Beliau menyatakan demikian sebagai respons terhadap penangkapan beberapa pemimpin PAS termasuk presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Pakatan Rakyat semasa menyertai perhimpunan itu.

“Saya tegas untuk menyatakan bahawa tindakan yang dilakukan ini hanya akan menambahkan kebencian rakyat terhadap Umno.

“Sekalipun yang bertindak ialah polis, tetapi semua pihak mengetahui bahawa alat kawalan jauhnya dipegang oleh Perdana Menteri yang mengetuai kerajaan yang juga merupakan Presiden Umno,” kata beliau yang kini berada di Mekah kerana menunaikan umrah dalam kenyataan kepada Harakahdaily, petang ini.

Berikut kenyataan penuh beliau.

Saat ini saya sedang berada di Masjidil Haram, Makkah al-Mukarramah menunggu waktu solat Zohor dan menghadap wajah saya ke Kaabah. Insya Allah selepas Asar, saya akan bertawaf wida’ dan akan meninggalkan Tanah Suci. Baru sebentar tadi saya dimaklumkan tentang penahanan Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS.

Saya juga dimaklumkan bahawa Timbalan Presiden PAS dan beberapa orang pimpinan tertinggi PAS dan Pakatan Rakyat adalah antara beratus-ratus orang yang telah ditangkap oleh polis kerana menyertai Bersih 2.0 pada hari ini.

Hati saya cukup remuk mendengar nasib yang sedang dihadapi oleh sahabat-sahabat pimpinan pada saat ini. Saya menuntut agar dibebaskan segera pimpinan-pimpinan yang ditangkap oleh polis. Jangan menyangka gari dan peluru boleh menakutkan semua orang.

Saya tegas untuk menyatakan bahawa tindakan yang dilakukan ini hanya akan menambahkan kebencian rakyat terhadap Umno. Sekalipun yang bertindak ialah polis, tetapi semua pihak mengetahui bahawa alat kawalan jauhnya dipegang oleh Perdana Menteri yang mengetuai kerajaan yang juga merupakan Presiden Umno. Padahal, apa masalahnya dengan berhimpun?

Bukankah Presiden Umno baru saja mengumpulkan sejuta belia beberapa minggu yang lalu tanpa ada sedikitpun halangan? Sejuta belia yang dikhabarkan hadir dengan penuh layanan mesra oleh pihak berkuasa tiba-tiba hari ini hanya untuk mengumpulkan 300 ribu orang dibalas dengan gari dan semburan gas? Bukankah orang yang sama juga pernah menjanjikan bahawa himpunan akan dibenarkan jika dibuat di dalam stadium bahkan diberikan keizinan untuk ‘melalak sampai pagi’?

Saya yakin, apa yang berlaku pada hari ini hanya akan menaikkan kemarahan rakyat kepada Umno. Buatlah setakat mana yang boleh dibuat, sesungguhnya kezaliman yang boleh dilakukan ini hanya setakat kehidupan di dunia sahaja. Di akhirat, setiap tangan yang digari, tubuh yang disakiti dan maruah yang dicalari akan dituntut bayar di hadapan Allah SWT. Kepada mereka yang dizalimi hari ini, jangan lupa menuntut balasannya di hadapan Allah SWT nanti. Umno barangkali tidak tahu bahawa orang yang dizalimi mempunyai senjata yang ampuh iaitu doa.

Saya menyeru kepada semua umat Islam agar marilah bersama-sama berdoa di dalam sujud kita kepada Allah SWT agar dilaknat kezaliman yang dilakukan pada hari ini. Yakinlah, perjuangan menuntut keadilan ini pasti akan berjaya. Umno pasti akan jatuh tersembam juga akhirnya. Tentangan dan penindasan ini hanyalah tanda perjuangan keadilan akan berjaya. Umpama layang-layang yang tidak akan terbang melainkan dengan melawan angin, begitu juga dengan perjuangan, tidak akan berjaya melainkan dengan menghadapi tentangan!

Allahu Akbar!!!

NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT

Masjidil Haram, Makkah al-Mukarramah.

Dicatat pada: 12.00 tengah hari (5.00 petang waktu tempatan)

7 Syaaban 1432/9 Julai 2011.





Tiada ulasan: