Bahagian 2
PERMULAAN WAHYU SEHINGGA HIJRAH KE HABSYAH
A) Peristiwa-peristiwa Sejarah
Di dalam tempoh ini, peristiwa-peristiwa sejarah berikut terbukti berlaku:
1.Wahyu diturunkan kepada Rasul s.a.w.: Apabila Nabi s.a.w. berusia genap 40 tahun,
Jibril turun membawa wahyu kepada Baginda. la berlaku pada hari Isnin, 17 Ramadhan. Imam al-Bukhari r.hm. meriwayatkan kepada kita tentang cara penurunan wahyu dalam Kitab Sahihnya dengan sanad yang bersambung kepada Aishah, kata beliau:
Perkara pertama yang mula-mula berlaku kepada Rasulullah s.a.w. ialah mimpi baik semasa tidur. Baginda hanya bermimpi melihat ia datang seperti cahaya subuh. Kemudian ditimbulkan kepada Baginda rasa cinta untuk berkhulwah (bersendirian). Baginda berkhulwah di Gua Hira. Baginda beribadat di dalamnya untuk beberapa malam sebelum pulang menemui keluarganya bagi mengambil bekalan untuk khulwah seterusnya. Kemudian Baginda kembali menemui Khadijah, mengambil bekalan yang seumpamanya. Sehinggalah wahyu kebenaran diturunkan kepada Baginda ketika berada di Gua Hira. Malaikat (Jibril) datang menemui Baginda seraya berkata: Bacalah. Baginda berkata: Aku tidak tahu membaca. Baginda menceritakan: Maka dia memegang dan menutupi aku sehingga aku merasa kepenatan. Kemudian dia melepaskan aku. Dia berkata lagi: Bacalah. Maka aku berkata: Aku tidak tahu membaca. Maka dia memegang dan menutupi aku untuk kali kedua sehingga aku merasa penat. Kemudian dia melepaskan aku. Dia berkata kembali: Bacalah. Maka aku berkata: Aku tidak tahu membaca. Maka dia memegang dan menutupi aku untuk kali ketiga. Kemudian dia melepaskan aku seraya berkata:
BERMAKSUD....
Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. (Al-Alaq: 1-5)
Setelah itu, Rasulullah s.a.w. pulang dalam keadaan gementar. Baginda mendapatkan Khadijah binti Khuwailid r.ha. seraya berkata: "Selimutkan aku, selimutkan aku." Khadijah segera menyelimutkan Baginda sehingga hilang rasa takut. Baginda menceritakan apa yang berlaku dan berkata: "Aku bimbangkan diriku."
Lantas Khadijah berkata: "Tak mungkin. Demi Allah, Allah tidak sekali-kali akan menghina kamu. Kamu menyambung silaturrahim, menanggung pihak yang lemah, memberi pendapatan kepada yang tidak berharta, memuliakan tetamu dan menolong mereka yang hak."
Setelah itu, Khadijah bersama Rasulullah s.a.w. berangkat menemui Waraqah bin Naufal bin Asad bin 'Abdul 'Uzza. Waraqah merupakan sepupu Khadijah. Beliau seorang lelaki yang menganut agama Nasrani semasa jahiliyah. Beliau juga boleh menulis dalam
bahasa Ibrani. Beliau telah menulis Injil dengan bahasa Ibrani setakat yang dikehendaki Allah. Ketika pertemuan ini, dia telah tua dan buta. Khadijah berkata: "Wahai sepupuku, dengarlah (kisah) daripada anak sahabatmu." Maka Waraqah bertanya kepada Baginda: "Wahai anak sahabatku, apa yang kamu lihat?" Lantas Rasulullah s.a.w. menceritakan apa yang telah dilihatnya. Waraqah berkata: "Ia adalah Namus (pembawa wahyu, iaitu Jibril) yang pernah turun kepada nabi Musa a.s.. Alangkah baiknya kalau aku masih muda remaja dan kuat. Semoga aku masih hidup ketika kaum kamu mengusirmu keluar." Lantas Rasulullah s.a.w. bertanya: "Adakah mereka akan mengusir aku keluar?" Dia berkata: "Ya. Tiada seorang lelaki yang datang membawa seperti apa yang kamu bawa, pasti akan dimusuhi. Sekiranya aku sempat dengan hari itu, aku akan menolong kamu semampuku." Tidak lama kemudian, Waraqah meninggal dunia. Sementara wahyu pula telah terhenti sementara waktu.
Dalam riwayat Ibnu Hisyam daripada Ibnu Ishaq disebut: Jibril datang menemui Rasulullah s.a.w. ketika Baginda sedang tidur di Gua Hira. Dia datang dengan membawa sejenis bekas daripada sutera yang diletakkan kitab di dalamnya. Jibril berkata:" Bacalah
(wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melaluipena dan tulisan. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya." (Al-Alaq: 1-5). Baginda berkata: "Maka aku membacanya. Kemudian, setelah
selesai dia beredar, lalu aku terjaga daripada tidur. Seolah-olah tertulis dalam hatiku satu tulisan." Baginda berkata: "Maka aku keluar (daripada gua itu) sehingga aku berada di tengah-tengah bukit. Aku dengar satu suara daripada langit berkata: "Wahai Muhammad, kamu adalah utusan Allah, aku adalah Jibril." Baginda berkata: "Lantas aku mendongak kepalaku ke langit untuk melihat. Tiba-tiba (muncul) Jibril dalam bentuk seorang lelaki yang menyandarkan kedua-dua kakinya di ufuq langit. Dia berkata: "Wahai Muhammad, kamu adalah utusan Allah dan aku adalah Jibril." Baginda berkata: "Aku tercegat melihatnya, tidak mara mahupun berundur. Aku memalingkan mukaku daripadanya di ufuq langit. Namun apabila aku memandang ke arah langit yang lain, aku tetap melihatnya juga. Aku terus tercegat berdiri, tidak ke depan mahupun ke belakang sehinggalah Khadijah mengutuskan utusan-utusannya mencariku.... (hingga akhir riwayat).
2.Orang pertama yang beriman dengan Baginda dan memeluk Islam ialah isteri Baginda, Khadijah r.ha., kemudian sepupu Baginda, Ali r.a.. Ketika itu Ali masih kanak- kanak berumur 10 tahun. Kemudian diikuti pula oleh bekas hamba Baginda, Zaid bin Harithah. Kemudiannya Abu Bakar as-Siddiq r.a.. Hamba sahaya yang mula-mula sekali memeluk Islam ialah Bilal bin Rabah al-Habsyi. Oleh itu, Khadijah merupakan orang yang pertama beriman dengan Baginda secara mutlak. Rasulullah s.a.w. telah bersembahyang bersamanya pada petang hari Isnin. la merupakan hari pertama Baginda bersembahyang. Solat ketika itu dilakukan dua rakaat di waktu subuh dan dua rakaat di waktu petang.
3.Kemudian wahyu terhenti untuk seketika. Berlaku perselisihan riwayat tentang tempohnya. Yang paling lama ialah tiga tahun dan paling singkat ialah enam bulan. Riwayat enam bulan itulah yang sahih. Ketika tempoh terputusnya wahyu, Rasulullah s.a.w. merasa susah hati dan amat dukacita, sehingga Baginda hampir-hampir keluar ke kawasan bukit dan ingin menghumbankan diri daripada puncaknya2. Baginda menyangka Allah telah membencinya setelah memilihnya untuk tugas risalah yang mulia. Selepas itu, wahyu kembali turun kepada Baginda, sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam kitab
2 Ayat: "hampir-hampir menghumbankan diri daripada kemuncak bukit kerana dukacita wahyu terhenti
sekalipun terdapat dalam kitab Sahih al-Bukhah, ia adalah daripada retorika az-Zuhri. Ia tidak bersambung kait
dengan riwayat asal. Sebagaimana yang disebut oleh pengarang kitab Fathul Bah. Lihat Fathul Bah 12/316.
Sahihnya, daripada Jabir bin Abdullah al-Ansori, daripada Nabi s.a.w.:
Ketika aku sedang berjalan-jalan, tiba-tiba aku mendengar satu suara daripada langit. Aku mengangkat pandanganku. Rupa-rupanya ia adalah malaikat yang telah datang kepada aku di Gua Hira'. Malaikat itu sedang duduk di atas kerusi di antara langit dan bumi. Aku merasa takut kepadanya, lantas aku pulang. Aku berkata: Selimutkan aku. Maka Allah Taala telah menurunkan:
BERMAKSUD....
Wahai orang yang berselimut! Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia). Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaran-Nya! Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan. Dan segala kejahatan, maka hendaklah engkau jauhi. (Al-Muddathir: 1-5)
Setelah itu wahyu turun berterusan.
4.Selepas itu, Rasulullah s.a w. mula berdakwah kepada Islam di kalangan orang yang dipercayai (kerasionalan) akalnya selama tiga tahun cukup. Hasilnya, beberapa orang lelaki dan wanita yang terkenal dengan pemikiran yang matang dan jiwa yang sejahtera, telah memeluk Islam.
Setelah bilangan mereka yang memeluk Islam mencapai kira-kira 30 orang, Allah memerintahkan Rasul-Nya s.a.w. untuk menyampaikan dakwah secara terang-terangan. Ini dinyatakan dalam firman-Nya:
BERMAKSUD....
Oleh itu, sampaikanlah secara berterus-terang apa yang diperintahkan kepadamu (wahai Muhammad), dan janganlah engkau hiraukan bantahan dan tentangan kaum kafir musyrik itu. (Al-Hijr: 94)
5.Ekoran dakwah secara terang-terangan itu, bermulalah peringkat menyakiti orang- orang mukmin yang baru memeluk Islam. Bahkan Rasulullah s.a.w. turut disakiti. Orang musyrik merasa bimbang apabila Rasul memperbodohkan pemikiran mereka, membongkar kecacatan tuhan-tuhan mereka dan mengemukakan agama baru kepada mereka. Agama itu mengajak kepada Tuhan yang Esa. Tuhan yang tidak dapat dilihat oleh mata dan pandangan, sedangkan Dia yang mengetahui hakikat pandangan mata. Dia juga Tuhan yang Maha Lemah Lembut lagi Maha Mengetahui apa yang telah dan akan berlaku.
6.Dalam tempoh ini Rasul s.a.w. bersama orang-orang mukmin berhimpun secara sulit di rumah al-Arqam bin Abi al-Arqam. Al-Arqam bin Abi al-Arqam ketika itu telah memeluk Islam. Baginda membacakan ayat-ayat al-Quran al-Karim yang diterimanya kepada mereka di samping mengajar mereka hukum-hakam dan syariat agama yang telah diturunkan ketika itu.
7.Pada suatu hari, Rasul s.a.w. diperintahkan untuk memberi amaran kepada kaum keluarganya yang terdekat. Maka Baginda berdiri di bukit Sofa, menyeru satu persatu keluarga Quraisy. Baginda mengajak mereka kepada Islam dan meninggalkan penyembahan berhala. Baginda memotivasi mereka kepada syurga dan memberi amaran tentang neraka. Ekoran dakwah itu, Abu Lahab menengking Baginda: "Celaka kamu, adakah untuk ini kamu mengumpulkan kami?"
8.Qurais8y ingin bertindak ke atas Rasul s.a.w., namun bapa saudara Baginda, Abu Tolib
melindunginya. Beliau enggan menyerahkan Baginda kepada mereka. Setelah Quraisy beredar, Abu Tolib meminta Baginda untuk mengendur-kan dakwahnya. Baginda menyangka bapa saudaranya tidak lagi mahu membantunya, maka Baginda mengucapkan kata-katanya yang masyhur:
BERMAKSUD....
"Demi Allah, wahai bapa saudaraku! Kalau mereka meletakkan matahari di sebelah kananku dan bulan di sebelah kiriku supaya aku meninggalkan urusan ini, sekali-kali aku tidak akan meninggalkannya, sehingga-lah Allah memenangkannya atau aku binasa kerananya".
9.Selepas peristiwa tersebut, orang musyrik semakin hebat menyakiti Rasul s.a.w. dan
para sahabat. Sehingga ada yang mati diseksa dan ada yang buta.
10.Apabila Quraisy melihat orang-orang mukmin tetap teguh dengan aqidah mereka (sekalipun diseksa dan disakiti), mereka membuat keputusan untuk berunding dengan Rasul s.a.w.. Mereka menawarkan harta sebanyak mana yang Baginda mahu, atau melantik Baginda sebagai raja mereka. Namun Baginda menolak semua tawaran itu.
11.Melihatkan kedegilan dan penyiksaan berterusan Quraisy terhadap para sahabat, Rasulullah s.a.w. berkata kepada para sahabatnya: "(Bagaimana) kalau sekiranya kamu keluar ke bumi Habsyah. Di sana ada seorang raja yang tidak menzalimi sesiapa yang tinggal di negerinya. (Kamu tinggal di sana) sehinggalah Allah menjadikan untuk kamu jalan keluar kepada kesulitan kamu ini."
Oleh itu, para sahabat berhijrah ke sana untuk kali pertama seramai 12 orang lelaki dan 4 wanita. Namun, selepas menerima khabar pengislaman Umar dan kejayaan Islam, mereka pulang kembali ke Makkah. Akan tetapi, tak lama kemudian mereka pergi semula ke Habsyah bersama orang-orang mukmin yang lain. Bilangan mereka dalam hijrah kali kedua ke Habsyah ini seramai 83 orang lelaki dan 11 orang wanita.
12.Selanjutnya, orang-orang musyrik bertindak memboikot Rasulullah s.a.w., Bani Hasyim dan Bani Muttolib. Orang musyrik tidak lagi berjual beli, bernikah dan bergaul dengan mereka. Orang musyrik juga tidak menerima sebarang perdamaian daripada mereka. Pemboikotan itu berlanjutan selama dua atau tiga tahun. Rasul s.a.w. dan orang yang bersamanya berhadapan dengan kesulitan yang teruk kesan pemboikotan tersebut. Ia berakhir hasil usaha tokoh-tokoh Quraisy yang rasional.
B) Pengajaran dan Pedoman
1.Apabila Allah ingin mendorong seseorang hamba berdakwah kepada kebaikan dan pengislahan, Dia akan mencampakkan ke dalam hatinya, rasa benci kepada kese-satan dan kerosakan yang dilakukan oleh masyarakatnya.
2.Nabi Muhammad s.a.w. tidak pernah bercita-cita menjawat tugas kenabian dan tidak pernah mengimpikannya. Apa yang Allah ilhamkan kepada Baginda hanyalah rasa cinta untuk berkhulwah melakukan ibadat. Allah mengilhamkan perasaan tersebut sebagai proses pembersihan dan persediaan rohani untuk memikul bebanan risalah. Sekiranya Baginda s.a.w. bercita-cita memperolehi kenabian, nescaya Baginda tidak takut ketika wahyu diturunkan kepadanya. Baginda juga tidak akan menemui Khadijah meminta penerangan tentang rahsia kejadian yang dilihatnya dalam Gua Hira itu. Rasul s.a.w. mendapat kepastian bahawa Baginda adalah Rasul, hanya setelah melihat Jibril. Begitu juga setelah Waraqah bin Naufal menegaskan perkara itu kepada Baginda. Waraqah memberitahu Baginda, apa yang dialami
Baginda di dalam gua tersebut adalah wahyu yang pernah diturunkan kepada nabi Musa a.s..
3.Jika dakwah islah merupakan satu perkara yang janggal kepada kepercayaan dan mentaliti kebanyakan orang ramai, pendakwah tidak perlu menyampaikannya secara lantang. Dia perlu menangguh langkah dakwah secara terang-terangan sehinggalah sebilangan manusia telah mengimani dakwah tersebut dan sanggup berkorban apa sahaja, mahal mahupun murah, demi jalan dakwah. Langkah ini dilakukan supaya jika pelopor dakwah disakiti, para pengikut yang beriman dengan dakwahnya akan bangkit melakukan kewajipan dakwah (menggantikan beliau). Dengan itu, kesinambungan dakwah akan terjamin.
4.Rasulullah s.a.w. telah mengejutkan Arab dengan perkara yang asing bagi mereka. Oleh itu, mereka menyanggah keras dakwah Baginda. Cita-cita mereka hanya untuk menghapuskan Baginda dan para sahabat. Penentangan ini merupakan jawapan dalam bentuk sejarah terhadap dakwaan pejuang perkauman. Mereka mendakwa nabi Muhammad s.a.w. dan risalah Baginda mewakili cita-cita dan aspirasi Arab ketika itu. Ini adalah dakwaan yang melucukan. la ditolak oleh fakta-fakta sejarah yang diperakui, sebagaimana yang kita dapati. Sebab yang mendorong mereka membuat dakwaan sebegini hanyalah berpunca daripada sikap ekstrim dalam mendokong seruan perkauman. Dakwaan ini juga didorong oleh keinginan mereka menjadikan Islam sebagai urusan yang lahir daripada keperibadian dan pemikiran Arab. la juga merupakan keingkaran yang nyata terhadap kenabian Rasul s.a.w. di samping merendahkan-rendahkan risalah Islam.
5.Walaupun setelah golongan jahat dan sesat mengenakan seksaan dan penindasan ke atas orang-orang mukmin, mereka tetap berpegang dengan akidah mereka. Ini menjadi bukti kejujuran iman dan keikhlasan pegangan akidah mereka. la juga menunjukkan ketinggian jiwa dan rohani mereka. Mereka menganggap kesakitan yang menimpa hanyalah sebagai satu kerehatan perasaan, juga ketenangan jiwa dan akal. Mereka lebih mendambakan keredhaan Allah Jalla Sya'nuh berbanding penyeksaan, halangan dan penindasan yang dialami oleh jasad mereka.
Penguasaan hakiki bagi orang-orang mukmin yang jujur dan pendakwah yang ikhlas adalah kepada roh-roh mereka, bukan kepada tubuh badan mereka. Mereka segera menyahut tuntutan rohani tanpa menghiraukan kerehatan, kekenyangan dan kelazatan yang dituntut oleh jasad mereka. Dengan sikap inilah, dakwah telah menang dan kebanyakan orang ramai ber-jaya dibebaskan daripada kegelapan kesesatan dan kejahilan.
6.Sabda Rasul s.a.w. kepada bapa saudara Baginda Abu Tolib dan keengganan Baginda menerima tawaran harta dan takhta yang ditawarkan oleh Quraisy menjadi bukti kebenaran dakwaan kerasulan Baginda. la juga menjadi bukti kesungguhan Baginda membawa petunjuk kepada manusia. Demikian juga, seseorang pendakwah sepatutnya tekad meneruskan dakwahnya walau bagaimana golongan batil berhimpun menentangnya. Dia perlu mengalih pandangannya daripada godaan mereka yang menawarkan kemegahan dan pangkat. Bagi orang-orang mukmin, susah payah di jalan kebenaran merupa-kan kerehatan jiwa dan hati mereka. Pada mereka, redha Allah dan syurga-Nya lebih mulia dan lebih berharga daripada segala pangkat, kemegahan dan harta dunia.
7.Pendakwah mestilah berada bersama-sama para penyokongnya untuk tempoh tertentu pada setiap hari atau setiap minggu. la bertujuan untuk mempertingkat-kan keimanan mereka terhadap dakwah, mengajar mereka tentang jalan, cara dan adab dakwah. Dia wajib menjadikan perhimpunan mereka rahsia apabila bimbang keselamatan diri dan jamaahnya terancam ekoran perhim-punan terang-terangan. Langkah ini agar golongan batil tidak berkomporomi menghapuskan mereka atau mening-katkan penyeksaan dan penindasan ke atas mereka.
8.Seorang pendakwah mestilah mengambil berat tentang kaum kerabatnya. Dia perlu menyampaikan dakwah islah kepada mereka. Namun sekiranya mereka menolak, dia akan mempunyai alasan di hadapan Allah dan manusia terhadap kerosakan dan kesesatan kaum kerabatnya itu.
9.Apabila pendakwah mendapati jamaahnya dalam bahaya, sama ada kepada nyawa atau berbentuk ancaman fitnah kepada pegangan akidah, dia mestilah menyediakan tempat yang selamat untuk penyokongnya daripada pencerobohan golongan batil tersebut. Usaha ini tidak menafikan kewajipan para pendakwah kebenaran untuk berkorban. Namun jika bilangan mereka sedikit, golongan batil akan berjaya menghapuskan mereka dan melenyapkan dakwah sekaligus. Sementara kewujudan mereka di tempat yang selamat, menjadi jaminan kepada kesinambungan dakwah dan penyebarannya.
10.Perintah Rasulullah s.a.w. kepada para sahabat agar berhijrah ke Habsyah sebanyak dua kali menunjukkan ikatan agama sesama golongan beragama (walaupun berbeza agama mereka) adalah lebih kuat dan kukuh. Ini berbanding ikatan mereka dengan penyembah berhala dan golongan atheis. Agama-agama Samawi dari segi sumber dan asas-asasnya yang aahih, sepakat dalam objektif utama sosial. la juga sepakat dalam persoalan keimanan kepada Allah, rasul-rasul-Nya dan hari Akhirat. Kebersamaan ini menjadikan jalinan kekerabatan antara agama-agama ini lebih kukuh berbanding mana-mana jalinan lain; Sama ada ikatan kaum kerabat, hubungan darah ataupun tempat tinggal yang berpasakkan pegangan atheism, keberhalaan dan kekufuran terhadap syariat Allah.
11.Golongan batil tidak mudah menyerah kalah kepada pendokong kebenaran. Setiap kali usaha pembasmian dakwah yang digunakan gagal mencapai objektifnya, mereka akan mencipta cara dan medium yang lain. Demikianlah penentangan ini akan berterusan sehinggalah
kebenaran
benar-benar
mencapai kemenangan yang muktamad dan
kebatilan menghembus nafasnya yang terakhir
Tiada ulasan:
Catat Ulasan