Jumaat, 18 Februari 2011

BANYAK BENDA KITA TAK TAHU...TAPI BERLAGAK TAHU...BANYAKLAH MEMBACA ATAU TANYA..SELIDIK DULU.. BARU BERI KENYATAAN....

Muhyiddin buta sejarah
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 19 Feb: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin disifatkan sebagai buta sejarah apabila mengeluarkan kebimbangan PAS akan memecah belahkan masyarakat Islam jika ia memasuki Sarawak.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad berkata, Umno sering menuduh PAS menyebabkan perpecahan Melayu dan Islam sedangkan dari sudut sejarah, Umno sendiri ditubuhkan ketika sudah ada parti Melayu yang pertama, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang ditubuhkan pada tahun 1945.

"Memang (Muhyiddin) buta sejarah. Kalau tengok sejarah dahulu kenapa tubuhkan Umno ketika sudah ada Parti Kebangsaan Melayu Malaya? Bukankah ini juga boleh menimbulkan perpecahan?" soalnya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Sehubungan itu ujarnya, kebimbangan Muhyiddin itu tidak berasas sama sekali sebaliknya PAS sudah banyak memberikan kefahaman kepada orang bukan Islam mengenai agama itu.

"Dalam Pakatan Rakyat, PAS sudah banyak menerangkan ajaran Islam kepada bukan Islam berbanding Umno yang gagal menjelaskan hukum halal haram kepada rakan komponen dalam BN," katanya.

Muhyiddin hari ini dilaporkan meminta rakyat Sarawak agar tidak mudah menerima dasar politik PAS kerana dikatakan berangan-angan untuk meluaskan kuasa.



Media sosial tunggu waktu untuk meletup ...
Ahmad Lutfi Othman
Ketika negara-negara lain, khususnya di dunia ketiga, terutama di Timur Tengah sekarang, berada dalam landasan yang betul bagi proses pendemokrasian, Malaysia mengambil langkah mundur ke belakang. Semasa indeks kebebasan akhbar kita -- seperti hasil kaji selidik Reporters without Borders dan Freedom House -- masih berada pada tahap yang memalukan dan mencatatkan kemerosotan dari tahun ke tahun, komitmen kerajaan terhadap autonomi ruang siber yang ditawarkan semasa pelancaran Koridor Raya Multimedia (MSC) pada 1997 mula diceroboh.

Dalam suasana pengamal media tradisional terikat kuat dengan kekangan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, di samping menyedari beberapa laman web dan blog sudahpun menghadapi pelbagai bentuk tindakan intimidasi pemerintah, namun dunia internet kita masih boleh disifatkan bebas. Suara kritikan dan bangkangan, yang mula dicetuskan secara lantang semasa gerakan reformasi 1998, masih dapat digemakan dengan berkesan sekali melalui media baru ini.

Informasi yang dikawal ketat regim pemerintah pada akhir 1990-an itu telah bocor dan terdedah melalui kreativiti dan kesungguhan anak-anak muda yang begitu cepat menguasai teknologi maklumat terkini, terutama tentang program komputer yang kompleks. Kebanyakan penggeraknya melakukan penyamaran identiti sebenar, dengan persediaan menghadapi risiko tinggi, selain terpaksa menampung kos dari segi kewangan dan masa. Mereka yang tidak dikenali ini merupakan wira-wira baru yang secara tidak sedar sedang membentuk lanskap politik Malaysia yang berbeda sama sekali daripada era sebelumnya.

Secara tiba-tiba seorang individu "tidak ternama" boleh memegang kuasa mutlak di alam siber tanpa perlu melalui proses pemilihan yang lazim dipakai dalam struktur organisasi dan lapis-lapis masyarakat. Pandangan dan sikap politik seorang insan kerdil mampu membentuk opini awam jika ia mempunyai hujahan yang mantap dan bernas, serta diolah dengan pendekatan menarik. Seolah-olah kongkongan yang mencengkam dunia sebenar dapat dipecahkan dengan jayanya.

Sememangnya gelombang reformasi ketika itu telah merangsang penggunaan internet dengan kadar pertumbuhan yang tinggi, termasuk di kalangan orang awam, apatah lagi penggerak masyarakat sivil dan komuniti politik. Kadar pertumbuhannya melonjak pada tahun 1998, 1999 dan 2000, dengan masing-masing mencatatkan peratusan 97.6%, 64.9% dan 148.4%. Kini pengguna internet di Malaysia melewati 19 juta jauh lebih banyak daripada jumlah pengundi berdaftar.

Pemerintahan Dr Mahathir Mohamad 1998-99 menghadapi tekanan yang cukup dahsyat dan teriakan "reformasi" Anwar Ibrahim yang diaibkan telah mendapat reaksi luar biasa. Biarpun internet hanya dihubungkan melalui dial-up dan belum menyeluruh penggunaannya, namun sambutan terhadap laman-laman web reformasi begitu memberangsangkan. Bahan-bahan (kebanyakannya sensasi dan terkini) internet dimuat-turun dengan penuh rasa ingin tahu bagi tujuan penyebaran segera secara manual untuk kelompok lebih luas. Lebih menakjubkan, keterangan di dalamnya mudah diterima tanpa saringan, meskipun fakta dan khayalan bercampur-baur.

Jelas sekali, internet cukup menyerlah sebagai alat mobilisasi bagi menggerakkan kesedaran rakyat, sekali gus meranapkan monopoli eksklusif media tradisi. Rakyat mudah mendapat maklumat terutama mengenai perhimpunan-perhimpunan awam proreformasi di sekitar Kuala Lumpur dan kisah sebenar yang cuba disembunyikan elit penguasa, seperti cerita mata lebam Anwar. Tiba-tiba saja Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, khususnya pada petang hujung minggu, menjadi meriah dengan aksi protes dan anak-anak muda tidak gerun lagi berdepan tembakan gas pemedih mata dan meriam air. Mereka mula mengenali belantan, cota, gari, brutaliti pihak polis dan manipulasi jahat media talibarut pemerintah.

Suasana baru itu menyemarakkan minat anak-anak muda untuk berpartisipasi -- menurut cara mereka -- dengan dunia politik yang selama ini tidak begitu dihiraukan. Selain memenuhi lapangan tunjuk perasaan, mengikuti ceramah dan mengedarkan risalah, berpusu-pusu mereka mendaftarkan diri sebagai pengundi, mungkin didorong niat "untuk mengajar BN dan Dr Mahathir" dalam pilihan raya umum terdekat. Malangnya, disebabkan proses pendaftaran terpaksa melalui prosedur yang lama-lembab, lebih 650,000 pengundi baru tidak dapat menunaikan hak mereka pada November 1999.

Kita tentu dapat membayangkan bagaimana resahnya Mahathir berdepan dengan kehebatan pengaruh internet dan dunia siber yang sebenarnya dirintis oleh beliau sendiri. Zaman rakyat menelan segala muntahan pemerintah sudah berakhir. Kematangan berpolitik mulai terserlah secara menyeluruh terutama di kalangan orang Melayu. Mereka sudah berani mempersoalkan daleh pemerintah yang sejak sekian lama memperbodohkan logika.

Melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) pelbagai sekatan dan hambatan dikenakan (beberapa penerbitan berbahasa Melayu seperti Detik, Wasilah dan Eksklusif diharamkan, manakala Harakah dikurangkan kekerapannya) tetapi kebebasan internet masih terpelihara. Mahathir belum bersedia untuk meracuni bibit-bibit yang disemainya sendiri atau beliau sedar kerumitan dunia maya masih boleh ditanganinya. Jika internet disekat, pelbagai risiko buruk, khususnya dari segi pelaburan asing, terpaksa ditanggungnya.

Rupanya pilihan raya umum 1999 tidak mencukupi untuk merealisasikan tuntutan reformasi seutuhnya. BN masih berkuasa dan memegang majoriti dua pertiga di Parlimen. Pembentukan Barisan Alternatif (menggabungkan PAS, DAP, KeADILan dan PRM) hanya mampu meriuhkan sidang Dewan Rakyat (itu pun tanpa kelibat Lim Kit Siang dan Karpal Singh) selain PAS menguasai Terengganu. Pengundi bukan Melayu seperti tidak tersentuh langsung dengan perubahan lanskap politik yang mula terbentuk itu.

Abdullah Ahmad Badawi, pengganti Mahathir pada penghujung 2003, beberapa bulan sebelum PRU11, berjaya memukau rakyat dengan retorik politik yang mempesonakan. Jaminan pembaharuan yang dipakej dengan baik sebagai propaganda politik Abdullah telah "menjinakkan" suara protes. Internet semakin meluas penggunaannya, laman-laman baru muncul tetapi dilihat tidak lagi memainkan peranan yang besar bagi menarik sokongan rakyat kepada pembangkang.

Dalam masa sama, laman web yang begitu popular semasa Anwar dipenjarakan seperti kehilangan bisanya. Proses kemaskini bahan terabai, dan semakin berkurangan isu-isu penting, sensitif dan sensasi yang ditawarkan laman-laman berkenaan. Kerjasama dalam BA makin longgar. DAP kemudiannya meninggalkan BA. Tiada lagi "barisan alternatif" ataupun bayangan "kerajaan menanti". Ramai mempersoalkan, apakah elemen "politik baru" yang muncul bersama PRU10 pada 1998-99 begitu mudah menghilang, dan "politik lama" kembali bertakhta?

Dalam "kesedihan" (tetapi langsung tidak terkejut, malah sudah menduganya) menatap keputusan PRU11, saya tetap optimis tentang masa depan demokrasi di negara kita. Politik Malaysia, yang kian dipengaruhi faktor dinamika ruang siber, tidak mudah berpatah balik lagi. Realiti 2004 yang menyaksikan penguasaan kerusi BN di Parlimen melebih 90 peratus -- dan ini satu rekod -- sebenarnya bukan jaminan suara oposisi tidak mampu bangun lagi. Era politik Malaysia sudah berubah.

Suasana tertekan di zaman Dr Mahathir (1981-2003) menyebabkan rakyat mahu memberi peluang regim baru melakukan pembaharuan. Sekiranya amanah dan harapan besar rakyat itu "dikhianati", seperti ditunjukkan sepanjang 2004-2008, mereka mungkin bersedia untuk memutuskan "hukuman lebih tegas" buat elit pemerintah. Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi, dan juga agen risikannya, gagal mengesan "riak yang timbul di permukaan".

Apabila rakyat mudah akses dengan bahan berita, dan pihak pembekal maklumat (tidak lagi terhad kepada organisasi media, tetapi boleh dilakukan sesiapa saja melalui laman web, blog, dan media sosial) sentiasa mengemaskinikannya, manakala kewibawaan jurnalisme portal berita seperti Malaysiakini dan Harakahdaily terus meningkat, maka siapa pun yang memerintah, segalanya tidak mudah lagi. Aspek-aspek ketelusan, integriti dan kebertanggungjawaban akan sentiasa diperhatikan. Benar kata-kata Najib, zaman kerajaan mengetahui semuanya sudah berlalu.

Air yang tenang jangan disangka tiada buaya. Mungkin di "waktu aman", riak dan kocakannya tidak ketara. Namun apabila pemerintah mulai menyeleweng, lupa diri, amalan rasuah dan pilih kasih berleluasa, khazanah negara dirampok secara terang-terangan, hak rakyat dinafikan, daya intelektualisme diperbodohkan, skandal kewangan merebak, jurang pendapatan kaya-miskin semakin dalam, anak muda sukar mendapat pekerjaaan walaupun berpendapatan tinggi, harga barangan keperluan harian memuncak, maka tunggulah kebangkitan yang menggerunkan!

Mungkin hari ini kandungan media sosial seperti Facebook dan blog anak-anak muda kita dipenuhi cerita-cerita remeh, personal serta tidak menyentuh "wilayah larangan" tetapi ia tetap berpotensi untuk menyalur dan mengembangkan keresahan, kebingungan, kegelisahan, kemarahan dan segala amukan perasaan sekiranya persekitaran mereka sudah berubah ataupun kesedaran politik semakin meningkat. Ruang untuk mereka berinteraksi, berkongsi idea dan mehamai rasa bagai tiada batasan.

Harus diingat, kita tidak perlu menunggu fenomena kelaparan, kebuluran atau tahap pengangguran yang tinggi untuk melihat dunia siber kita bergolak dan merakamkan kegelisahan-kebejatan sosial itu. Rakyat yang tangkas dan cerdas minda politiknya berupaya diyakinkan untuk melakukan perubahan bagi menikmati pembaharuan yang membawa manfaat bersama melalui peti undi. Dan inilah yang dibimbangi kerajaan.

Rakyat Malaysia di negara yang begitu makmur dan kaya ini (khazanah negara melimpah tetapi dipunggah rakus kroni suku-sakat) sepatutnya tidak menanggung bebanan hidup berganda jika pemerintahannya dibersihkan daripada segala perasuah yang tamak dan penzalim yang angkuh-bongkak. Angka-angka penyelewengan yang terbongkar tidak mudah ditutup lagi. Malah, melalui teknologi maklumat yang mampu menyembunyikan "tukang tiup wisel", orang dalam sendiri lebih terdorong membocorkannya. Dan segalanya sukar disembunyikan.


Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin ketika mengulas sanggahan pemimpin kerajaan bahawa negara kita sama sekali berbeda dengan suasana di Timur Tengah, menegaskan, walaupun Malaysia jauh lebih makmur berbanding Mesir, namun rasa tidak puas hati rakyat boleh dicetuskan oleh aspek lain seperti kebebasan bersuara yang terhakis. "Tidak puas hati rakyat itu berbeza mengikut negara. Negara miskin mungkin tak puas hati kerana tak ada makanan. Negara yang lebih 'educated' mungkin tak puas hati kerana tiada kebebasan menyuarakan pendapat," katanya

Di permukaan nampak diam, tetapi jalinan mesej bertali arus di dunia internet mampu mengheret pemerintah korup ke alam kubur. Justeru, usah berdiam diri melihat gerak terancang penguasa bagi maksud mengawal kandungan ruang siber kita ... Menarik sekali ulasan sebuah harian terkemuka di Mesir selepas Presiden Hosni Mubarak tersungkur: "Revolusi Facebook berjaya menumbangkan Mubarak dan simbol rejim pemerintahannya," lapor Al-Ahram, sambil menyifatkan laman sembang sosial itu sebagai "ibu pejabat majlis pemerintah revolusi."


Mukhriz sebenarnya ludah BN Perak
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 18 Feb: Pemuda PAS Perak mendakwa Umno 'mudah lupa' ekoran menghentam tindakan kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang mewujudkan portfolio hal ehwal bukan Islam di negeri itu.

Timbalan Ketuanya, Mohd Munir Ali berkata, Umno sepatutnya sedar, merekalah terlebih dahulu mewujudkan potfolio itu di Perak selepas negeri itu diambil alih BN dan diterajui Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

"Sedang pada hakikatnya, setelah rampasan kuasa oleh Umno Barisan Nasional di negeri Perak, kepimpinan Umno BN Perak di bawah Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang sebenarnya telah terlebih dahulu mewujudkan portfolio yang sama di dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Perak.

"Jawatan potfolio Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Bukan Islam tersebut dipegang oleh seorang wakil tunggal MCA iaitu Datuk Mah Hang Soon. Tidak pula ianya dijadikan isu oleh Umno dan tidak pula Umno mengatakan bahawa taktik yang sama untuk menarik undi rakyat?" soalnya.

Dalam satu kenyataan hari ini beliau berkata, amat jelas bahawa Umno BN mengamalkan 'double standard' dalam memberikan persepsi yang buruk terhadap musuh politik mereka dan mudah melupakan keburukan sendiri yang telah mereka lakukan.

Semalam, Mukhriz yang juga timbalan pengerusi Umno Kedah dilaporkan berkata penubuhan portfolio baru itu taktik DAP untuk menarik undi rakyat.

Sehubungan itu, Munir mahu BN Perak menyatakan pendirian ataupun membidas kritikan yang telah dilemparkan oleh Mukhriz terhadap kerajaan Pulau Pinang kerana kritikan tersebut juga terkena kepada kerajaan negeri Perak di bawah BN yang telah menubuhkan portfolio yang sama.

"Adalah tidak adil tindakan Datuk Mukhriz yang tidak mencemuh perkara yang sama berlaku di Perak hanya kerana ianya di bawah pemerintahan BN dan cuma menjadikan mana-mana kerajaan negeri di bawah PR sebagai sasaran serangan politik busuk mereka," katanya.



Suara mahasiswa disekat, idealisme dikongkong
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 18 Feb: Ahli-ahli Parlimen, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dan wakil parti-parti komponen Pakatan Rakyat mewakili seluruh masyarakat dan rakyat Malaysia berasa kesal dengan peraturan universiti yang menyekat hak dan kebebasan akademik mahasiswa dalam mengorientasikan proses demokrasi di dalam kampus.

Demikian kenyataan media bersama terdiri daripada Nurul Izzah Anwar (Ahli Parlimen Lembah Pantai), Teo Nie Ching (Ahli Parlimen Serdang), Nik Nazmi Nik Ahmad (Adun Seri Setia), Chan Ming Kai (Adun Simpang Pulai), Shamsul Iskandar Mohd Akin (Ketua Angkatan Muda Keadilan) dan Rafizi Ramli (Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat).

Menurut mereka, sekatan dan halangan sedemikian rupa terus-terusan menafikan hak kebebasan mahasiswa untuk berkempen dan melaksanakan tanggungjawab mereka untuk mengundi dan memilih kepimpinan di kalangan mahasiswa haruslah telus dan adil tanpa sebarang campur tangan pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP).

Bagi mereka, sudah tiba masanya untuk pihak kerajaan memikirkan kembali kerelevenan Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) diserahkan kepada mahasiswa sendiri untuk mengendalikannya dan segala sistem yang meragukan harus dihapuskan serta merta kerana ini jelas mencabuli prinsip demokrasi yang bebas dan adil.

“Kami menggesa pihak Menteri Pengajian Tinggi untuk mengambil serius perkara Pemilihan Majlis Perwakilan Mahasiswa ini dan Pemilihan yang diadakan ini haruslah telus dan adil tanpa sebarang campur tangan pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) yang berkepentingan.

“Kami juga berpendirian bahawa sudah tiba masanya untuk pihak kerajaan memberikan hak kepada mahasiswa untuk mengadakan pilihanraya sendiri tanpa sebarang campur tangan,” ujar mereka dalam satu kenyataan.

Sehubungan dengan itu, mereka menuntut agar pihak Kementerian Pengajian Tinggi memberikan kebenaran kepada mahasiswa untuk berkempen di dalam Pilihanraya Kampus dengan bebas dan adil.

Mereka juga menuntut masa berkempen dipanjangkan dari 3 hari kepada 7 hari bagi memberikan ruang dan masa yang panjang untuk sesi kempen dan menyampaikan manifesto kepada mahasiswa

Pihak berkenaan juga perlu menghormati autonomi mahasiswa dalam keterlibatan mahasiswa di lapangan masyarakat serta menghentikan segala intimidasi terhadap mahasiswa-mahasiswa.

“Mematuhi dan menghormati kebebasan bersuara mahasiswa seperti yang terdapat dalam Artikel-19 Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia dan Artikel-10 Perlembagaan Malaysia iaitu mahasiswa juga warganegara Malaysia.

“Memberi kebebasan sepenuhnya kepada mahasiswa untuk terlibat dan bersuara di dalam apa jua aktiviti yang membina karisma dan idealisme tanpa dikongkong dan disekat atau diancam dengan ugutan oleh mana-mana pihak mahupun Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU),” ujar mereka lagi.

Mereka juga mendesak pihak terbabit memastikan ketelusan dalam proses Pilihanraya Kampus bagi kesemua kampus di Malaysia, dan bukan sahaja bagi dua (2) kampus yang dibangkitkan itu.


Calon Pro-M UPSI mungkin disingkir
Harakahdaily

SERDANG, 18 Feb: Malam menjelang hari pernamaan calon bagi pilihan raya kampus hari ini, menyaksikan seorang calon, Adam Adli dari Pro-Mahasiswa (Pro-M) Universti Perguruan Sultan Idris (UPSI) telah menerima notis untuk menghadiri pendengaran berkaitan dengan penglibatannya dalam kempen 'Kembalikan Hak Air Rakyat' pada Disember tahun lepas.

Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching (gambar) berkata, jika pelajar terbabit dituduh di bawah Auku Bahagian 15, maka beliau yang menyertai barisan Mahasiswa Progresif mungkin akan menghadapi tindakan penyingkiran atau hilang kelayakan sebagai calon.

Katanya, jika Adam memerlukan keizinan daripada pihak pentadbiran untuk menyertai demonstrasi kempen air tersebut atau menghadapi tindakan penyingkiran daripada kampus, maka barisan Mahasiswa Nasional yang cenderung kepada sekolah juga patut dikenakan tindakan yang sama.

Justeru, ujarnya Presiden MCA dan Presiden Gerakan perlu memberi penjelasan berhubung dengan kem latihan yang diadakan di Universiti Putra Malaysia yang diadakan pada 7 hingga 9 Januari lalu dalam suasana pilihan raya kampus.

Menurutnya, setiap peserta yang kesemuanya mahasiswa Cina telah membincangkan masalah berkaitan kempen yang akan diadakan.

“Saya masih ingat lagi pada tahun 2009, ketua perdebatan sastera MCA, Chen Jin Hui bersama 5 orang ahli kumpulannnya telah menjemput Gua Su Qin masuk ke dalam kampus untuk pameran tsunami politik 2008.

“Mengapa mereka dibenarkan menjemput Guo Su Qin?” soalnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Jelas, katanya Malaysia mengamalkan ‘double standard’ dalam melaksanakan undang-undang.

Sehubungan itu, tambahnya Kementerian Pengajian Tinggi dan jabatan-jabatan yang berkaitan patut bertindak lebih adil dalam melaksanakan undang-undang terhadap isu itu.

“Manakala bagi ahli-ahli BN yang ingin memberi bantuan kepada pelajar dalam kempen-kempen pilihan raya seharusnya bersama-sama pihak kami dalam usaha menghapuskan Auku daripada meneruskan perlaksanaan undang-undang ‘double standard',” katanya yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan.



Bawa pendakwah China ke Malaysia
Ismail Hashim

Badan-badan Islam disaran berusaha membawa pendakwah dari Negara China terutama golongan Ahong yakni imam yang mempunyai kepakaran dan pengalaman luas di dalam mengamalkan kehidupan beragama untuk tujuan dakwah kepada masyarakat Cina di negara ini.

Penyandang Pertama Kursi Pengajian Melayu Kerajaan Malaysia di China, berpangkalan di Beijing Foreign Studies University (BFSU), Prof Dr Awang Sariyan (gambar) berkata, Islam yang dibawa ke negara itu sekitar pertengahan abad ke 7 oleh Sahabat Nabi Muhammad bernama Saad Abi Waqas diterima baik oleh Maharaja China dewasa itu.

Menurutnya, sehingga kini jumlah umat Islam di negara Asia Timur itu sekitar 70 juta dengan nilai keIslaman dan syiar agama yang hebat seperti pintu gerbang ke kediaman mereka yang bertulis Basmallah dan Allah Muhammad.

Prof Awang menyampaikan ucapan itu dalam majlis Syarahan Sarjana Pelawat anjuran Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam di sebuah pusat pengajian tinggi di Shah Alam, 16 Februari lalu.

Ucapan sekitar dua jam bertajuk Kembara Bahasa di China; Memupuk Kerjasama Ketamadunan Melayu-China itu banyak memberikan input baharu kepada khalayak pendengar dengan bentuk penyampaian beraudio visual.

Turut hadir di dalam majlis itu adalah ketua jabatan, pensyarah kanan, pensyarah dan staf yang kelihatannya sangat berpuas hati dengan pendedahan maklumat termasuk hubungan Malaysia China, perkembangan agama dan kemajuan Bahasa Melayu mutakhir.

Prof Dr Awang Sariyan adalah Penyandang Pertama Kursi Pengajian Melayu Kerajaan Malaysia di China, berpangkalan di Beijing Foreign Studies University (BFSU) sejak awal 2008.

Sebelumnya Pengarah Jabatan Bahasa DBP, Profesor Bahasa di UPM dan di UM; tenaga akademik UIAM, Universiti Brunei Darussalam dan UPSI; Profesor Tamu Pusat Pengajian Asia Tenggara, Universiti Frankfurt, Jerman dan Universiti Sumatera Utara; Perunding Seberang Laut Kementerian Pendidikan Singapura.

Presiden Persatuan Linguistik Malaysia (2000-2008) dan anggota Kumpulan Perihatin; pernah aktif dalam Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) dan Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM).

Penyampai lebih 200 ucap utama, syarahan, kertas dasar dan kertas kerja di dalam dan di luar negara (Australia, Belanda, Brunei Darussalam, Indonesia, Jerman, Kampuchea, Korea Selatan, Perancis, Rusia, Republik Rakyat China, Singapura, Sri Lanka, Thailand); penatar kurus bahasa dan penulisan profesional; penulis lebih 50 judul buku bahasa, pendidikan, kamus serta Profesor Adjung UPSI.

Menjawab satu soalan, Prof Awang berkata, kedatangan Islam pada abad ketujuh itu diterima baik sehinggakan Maharaja China menaja pembinaan banyak masjid sebagai lambang agama Islam.
Kerana itu, ujarnya, bagi mereka yang pertama kali menjejakkan kaki ke negara itu, jangan terkejut jika melihat terdapat colok gaharu diletakkan di mimbar-mimbar masjid dan ukiran binatang di tempat ibadat.

"Colok gaharu dan ukiran binatang itu adalah budaya masyarakat China yang sedikit pun tidak mencacatkan aqidah umat Islam," tegasnya.

Beliau berkata, terdapat perbezaan besar antara orang China yang datang ke Melaka bersama gerombolan Laksamana Cheng Ho yang membawa Islam dengan mereka yang dibawa datang ke Tanah Melayu oleh penjajah Inggeris.

Katanya, Laksamana Cheng Ho atau dalam Bahasa Chinanya disebut sebagai Zheng He adalah seorang pahlawan utusan Maharaja China yang datang ke Melaka adalah seorang Islam.
Cheng Ho pula jelasnya mengikut kajian absah, merupakan seorang pahlawan hebat yang mempunyai susur galur darah keturunan Saidina Hassan, cucu Rasulullah SAW. yakni anak kepada Saidina Ali dan Fatimah.

Bercakap tentang Ahong, beliau berkata, setiap orang daripada mereka mempunyai kelayakan hebat kerana mereka diwajibkan mengikuti Pengajian Agama Islam selama tiga tahun.

Mereka mempunyai kemahiran berbahasa etnik termasuk Bahasa Arab yang fasih, jelasnya, mereka juga merupakan penghafaz Al-Quran yang dilatih khas bagi memenuhi keperluan agama dan umat.

Tamadun China sangat hebat dengan usianya melebihi 5,000 tahun dengan 56 kumpulan etnik berbanding dengan tamadun Melayu yang baharu berusia 2,000 tahun, jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, interaksi tamadun Malaysia China bukan hanya berlaku pada 1974 tetapi bermula sejak Zaman Han Shu pada 140 S.M. ekoran pelayaran utusan Maharaja Wu Di ke India melalui Tanah Melayu.

Hubungan China dengan alam Melayu melonjak ke peringkat lebih tinggi sesudah munculnya Dinasti Tang (618-907M) dan Empayar Sriwijaya di alam Melayu pada abad ke-7.

Dalam majlis itu, Prof Awang banyak mengemukakan saranan bernas antaranya; penyelidikan hubungan Malaysia/alam Melayu dengan China dalam pelbagai aspek, ketamadunan seperti politik, ekonomi, kebudayaan, bahasa dan falsafah/pemikiran dari zaman dahulu hingga kini berdasarkan sumber China dan Melayu sendiri.

Begitu juga dengan perkembangan Islam di Tanah Besar China dan kaitannya dengan pengIslaman di alam Melayu, kajian-kajian perbandingan dengan pelbagai aspek dalam tamadun China dan Islam termasuk budaya dan bahasa.


Tiada ulasan: