Ahad, 20 Februari 2011

BILA MANUSIA MENGUTAMAKAN KUASA SERTA PERIBADI DARI NYAWA MANUSIA@RAKYAT...ADAKAH MEREKA TAK INGAT TUA DAN MATI

Rakyat digesa bertenang


SEORANG penunjuk perasaan yang cedera selepas pasukan keselamatan melepaskan tembakan diusung rakan lain untuk dibawa ke hospital di Manama, semalam.
SEORANG penunjuk perasaan yang cedera selepas pasukan keselamatan melepaskan tembakan diusung rakan lain untuk dibawa ke hospital di Manama, semalam.

MANAMA: Putera Mahkota Bahrain berikrar akan mengadakan dialog kebangsaan selepas pasukan keselamatan melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan di ibu negara itu dengan 55 orang dilaporkan cedera.

Putera Mahkota, Sheikh Salman bin Hamad al-Khalifa berjanji mengadakan sesi dialog kebangsaan sebaik keadaan di negara itu kembali tenang. Raja Hamad juga mengumumkan beliau melantik warisnya itu untuk memulakan perbincangan.

Putera Salman yang muncul di kaca televisyen turut menyampaikan takziah kepada rakyat Bahrain terhadap ‘detik-detik sukar yang dilalui sekarang.’

“Saya ingin menyampaikan mesej kepada rakyat Bahrain supaya bertenang.

Golongan muda kita berhimpun di jalanan dan percaya mereka tidak mempunyai masa depan di negara ini. Namun, negara ini milik anda semua, rakyat Sunnah dan Syiah,” ujarnya.

Beliau turut menggesa semua pihak sama ada anggota tentera, polis dan orang awam supaya mengawal diri dan menjunjung nilai etika.

Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama pula mengecam tindakan keganasan ke atas penunjuk perasaan di Bahrain yang disuarakannya dalam perbualan melalui telefon dengan pemimpin negara itu yang menjadi sekutu utama AS di Teluk.

Obama berkata: “Kestabilan di Bahrain bergantung kepada rasa hormat terhadap hak rakyatnya dan proses reformasi yang memenuhi aspirasi semua rakyat,” lapor kenyataan dikeluarkan Rumah Putih, semalam.

Pasukan keselamatan Bahrain, semalam melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan yang berhimpun untuk menuju ke Dataran Pearl.

Saksi memberitahu, tembakan dilepaskan ke arah orang ramai berhampiran Hospital Salmaniya, kira-kira dua kilometer ke arah selatan bandar raya ini.

“Secara keseluruhannya, 55 orang cedera termasuk empat dalam keadaan kritikal. Mereka dikejarkan ke Hospital Salmaniya,” kata anggota Parlimen parti pembangkang berfahaman Syiah, Abdel Jalil Khalil Ibrahim.

Sementara itu, parti pembangkang utama Syiah menolak sidang dialog yang diusulkan pemerintah.

“Tiada sesiapa yang akan berdialog dengan pemerintah sekiranya pihak tentera masih membunuh orang awam,” kata anggota parti Wefaq yang meletakkan jawatan di Parlimen, Ibrahim Mattar. - AFP/Reuters




Petugas perubatan turut titiskan air mata



MANAMA: Pasukan keselamatan Bahrain dikecam pelbagai pihak kerana melakukan keganasan terhadap penunjuk perasaan antikerajaan, semalam.

Suasana di Hospital Salmaniya berhampiran dengan insiden kejadian amat tegang hingga petugas perubatan turut menitiskan air mata.


“Dia ditembak di kepala. Saya menyaksikan kejadian itu,” kata jururawat kepada sekumpulan wanita yang ternganga mendengar cerita petugas perubatan berkenaan.

Sementara itu, di satu sudut hospital, seorang doktor wanita menangis di bahu rakan doktor lain. Pakar bedah Ortopedik, Bassem Deif merenung imbasan sinar-X tengkorak kepala seorang penunjuk perasaan yang retak dibedil peluru. Dua peluru lagi turut menembusi paha dan lengannya. “Saya tidak tahu senjata jenis apa digunakan mereka kerana saya tidak pernah menyertai perang. Tetapi keadaan ini bagaikan peperangan,” katanyanya. Melihat keadaan petugas perubatan sibuk merawat mangsa yang cedera, kumpulan penunjuk perasaan lain turut menghulurkan bantuan.


Mereka mengagihkan air minuman dan makanan kepada anggota keluarga mangsa, petugas hospital dan menyuraikan orang ramai bagi memudahkan petugas bergegas membawa mangsa untuk rawatan. - AP



30 cedera dalam demonstrasi tuntut taraf kerakyatan Kuwait



KUWAIT: Kira-kira 30 orang cedera dalam pertempuran antara pasukan keselamatan dengan bangsa Arab yang menuntut taraf kerakyatan di bandar raya ini, semalam.

Protes yang tercetus di Jahra di barat-laut Kuwait itu yang pertama berlaku di negara Arab terbabit sejak insiden pergolakan tercetus di Timur Tengah mulai akhir tahun lalu. Menurut sumber tentera, seramai 50 orang ditahan selepas demonstrasi dilakukan. Protes sama juga berlaku di desa Salibiya apabila 80 orang berhimpun. Dilaporkan tujuh yang cedera di Jahra adalah anggota tentera yang meleraikan demonstrasi dengan bom asap dan semburan water cannon selepas penunjuk perasaan enggan bersurai walaupun sudah diberikan amaran. Sumber Kementerian Dalam Negeri pula melaporkan penunjuk perasaan turut membaling batu apabila diarahkan bersurai.


Mereka yang menuntut taraf warganegara itu adalah penduduk yang sudah lama tinggal di Kuwait atau lebih dikenali sebagai ‘badwi jinsiyya’ (tanpa warganegara). Golongan itu menuntut taraf kerakyatan, pendidikan percuma, kemudahan kesihatan percuma, pekerjaan dan hak keistimewaan seperti yang diterima rakyat Kuwait. - Reuters


Korban protes antikerajaan di Libya meningkat ke-84



TRIPOLI: Angkatan tentera Libya membunuh 35 orang di timur bandaraya Benghazi, tengah malam semalam dalam insiden terburuk pergolakan di negara itu, lapor Organisasi Pemerhati Hak Kemanusiaan sebagai memetik kenyataan saksi dan sumber hospital.

Bantahan terhadap pemerintahan pimpinan Muammar Ghaddafi yang tercetus minggu ini ekoran kejayaan di Tunisia dan Mesir ditangani pihak kerajaan dengan kekerasan.


Organisasi pemerhati yang beribu pejabat di New York itu berkata, pembunuhan tengah malam semalam menjadikan jumlah kematian mencatat 84 orang sejak tiga hari bantahan bermula yang tertumpu di Benghazi kira-kira 1,000 kilometer di timur Tripoli.

Insiden semalam berlaku apabila pihak tentera melepaskan tembakan ke arah orang ramai yang membantah kematian seorang penunjuk perasaan pada hari sebelumnya selepas menghadiri acara pengebumian mangsa.


“Anggota tentera khas yang setia dengan Muammar berusaha untuk mengekalkan kedudukan pemimpin itu dan mereka bertempur dengan orang ramai di jalanan,” kata penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Mohammed.


Menurut seorang pemerhati politik, keadaan di Libya berbeza dengan Mesir kerana Maummar bijak mengatur masalah sosial yang timbul, selain dihormati di negaranya. - Reuters



Revolusi generasi muda



RAKYAT Mesir berpesta mengibarkan bendera negara mereka selepas Presiden Hosni Mubarak meletakkan jawatan, malam semalam.
RAKYAT Mesir berpesta mengibarkan bendera negara mereka selepas Presiden Hosni Mubarak meletakkan jawatan, malam semalam.

KAHERAH: Rakyat Mesir bangun dari tidur dengan harapan baru semalam selepas pemerintahan autokratik selama 30 tahun di bawah pimpinan Presiden Hosni Mubarak berjaya dijatuhkan dalam tempoh 18 hari dengan pihak tentera mengambil alih kuasa bagi menentukan masa depan yang belum tentu hala tujunya.

Sebaik laungan azan Subuh berkumandang di Kaherah, bunyi hon disambut dengan sorakan orang ramai kedengaran semakin kuat selepas berjuta-juta rakyat Mesir berpesta malam sebelumnya bagi meraikan peletakan jawatan Hosni.


‘Rakyat menggulingkan regim.’ ‘Revolusi generasi muda memaksa Hosni berundur’, lapor tajuk muka depan akhbar al-Ahram.

Pada malam sebelumnya, beratus-ratus ribu rakyat Mesir menari, menangis dan berdoa dalam suasana riuh-rendah di Dataran Tahrir selepas Hosni meletakkan jawatan.


Penunjuk perasaan bersorak kegembiraan hingga ada yang memeluk anggota tentera sementara ahli keluarga mengambil gambar bersama di depan kereta perisai di jalan raya yang dipenuhi lautan manusia. Mereka yang tidak saling mengenal berpelukan sesama sendiri, sesetengahnya mengucup tanah dan ada juga yang berdiri tertegun seakan-akan tidak percaya apa yang berlaku.


“Saya berusia 21 tahun dan ini kali pertama dalam hidup, saya rasa bebas,” kata Abdul-Rahman Ayyash yang lahir lapan tahun selepas Hosni memegang tampuk pemerintahan sambil memeluk penunjuk perasaan lain.

Pihak tentera yang mengambil alih kuasa selepas Hosni meletakkan jawatan kelmarin memberitahu pengumuman akan dibuat mengenai langkah seterusnya termasuk membubarkan Parlimen dan membentuk kerajaan sementara.


Kejatuhan Hosni di tangan kebangkitan generasi muda rakyat Mesir dalam sejarah moden dunia Arab mengejutkan sekutunya seperti Amerika Syarikat, Barat, Israel dan pemimpin negara Arab lain.


Protes kumpulan penunjuk perasaan yang bermula daripada kumpulan kecil aktivis muda di Internet sebulan lalu yang hanya mampu mengumpulkan 100 orang berjaya mempengaruhi beratus-ratus ribu orang dalam tempoh dua minggu hingga menumbangkan kerajaan pimpinan Hosni.


Strategi aktivis menggunakan rangkaian laman sosial terutama Facebook dan laman sosial lain mencetuskan kesedaran rakyat Mesir khususnya mengenai isu polis yang menyalahgunakan kuasa dan rasuah.


“Facebook yang menjatuhkan regim Hosni,” kata seorang penganjur demonstrasi, Sally Toma. - AP



AS bimbang siapa bakal pimpin Mesir

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama mengumumkan pengunduran secara aman Presiden Mesir Hosni Mubarak menandakan permulaan untuk pemerintahan demokrasi di negara paling ramai penduduk di dunia Arab itu.

Namun, beliau menambah, “Detik sukar akan menanti.” Obama dan kerajaan AS meluahkan kebimbangan siapakah yang akan menerajui pemerintahan di Mesir dan sama ada pemerintah baru itu akan bersekutu dengan AS mengenai isu polisi negara itu di Timur Tengah.


AS juga khuatir isu di Mesir itu akan merebak ke negara Arab lain dan kemampuan pihak tentera melaksanakan pilihan raya secara adil dan bebas. - AFP


Penduduk dunia Arab rai kejayaan


BEIRUT: Penduduk di seluruh dunia Arab meraikan kegembiraan selepas Presiden Hosni Mubarak meletakkan jawatan, malam semalam.

Dari Beirut ke Gaza, berpuluh-puluh ribu orang mengagihkan manisan, membakar bunga api dan melepaskan tembakan sebagai tanda sokongan kepada penunjuk perasaan selain kerajaan Jordan, Iraq dan Sudan turut menyampaikan ucapan kesyukuran di atas kejayaan rakyat Mesir.


Malah, di Israel yang mengikuti perkembangan 18 hari kebangkitan rakyat Mesir itu berpendapat, penunjuk perasaan sudah menang. Bekas Menteri Pertahanan Israel, Ben-Eliezer dalam kenyataannya kepada televisyen saluran 10 negara itu, berkata: “Tiada apa lagi yang boleh dilakukan. Tindakan Hosni itu yang terbaik.” Pemimpin Hamas pula menyeru kerajaan baru Mesir supaya membuka sempadan di Gaza.

“Hari ini, Mesir mencatat bab baru dalam sejarah dunia Arab dan saya lihat sekatan di Gaza mengalami keretakan sekarang,” kata Perdana Menteri kerajaan Hamas di Gaza, Ismail Haniyeh.


Beribu-ribu penduduk Gaza pula keluar beramai-ramai memenuhi jalan raya meraikan kegembiraan mereka. “Tuhan merahmati Mesir, hari ini hari yang penuh kegembiraan dan Insha-Allah, semua pemimpin yang zalim di dunia ini akan digulingkan,” kata penduduk, Radwa Abu Ali yang mengagihkan manisan.


Sementara itu, akhbar di Britain pula menyambut penyingkiran Hosni dan mengiktirafnya sebagai detik bermakna dalam sejarah walaupun terdapat kebimbangan terhadap masa depan yang belum pasti di Mesir. Kebanyakan muka depan akhbar di negara itu menyiarkan gambar penunjuk perasaan meraikan kemenangan mereka di Dataran Tahrir di Kaherah. ‘Sejarah Dicatat’, lapor tajuk muka depan akhbar The Times. Kejatuhan Hosni membawa kegembiraan, harapan dan kebebasan kepada rakyat Mesir tetapi turut menjanjikan keadaan tidak pasti terhadap perubahan di negara berkenaan, lapor akhbar itu. - AFP



Profil Hosni Mubarak


4 Mei 1928 - Muhammad Hosni Sayyid Mubarak dilahirkan di Kahel-el-Meselha, sebuah kampung di Delta Sungai Nil, anak kedua daripada lima beradik.

1949 - Tamat latihan di Akademi Tentera Kebangsaan Mesir

1950 - Sertai pasukan tentera udara.

1975 - Dilantik menjadi Naib Presiden oleh Anwar Sadat.

1981 - Menjadi Presiden Mesir yang keempat, tujuh hari selepas Presiden Anwar Sadat ditembak mati pada 6 Oktober 1981 kerana menandatangani perjanjian damai dengan Israel.

1980 - Sokong Saddam dalam Perang Iraq-Iran.

1991 - Sokong AS memerangi Saddam selepas Iraq menceroboh Kuwait.

1995 - Terselamat daripada cubaan membunuhnya. Sepanjang 30 tahun pemerintahannya, Hosni terselamat daripada 10 cubaan membunuh.

1999 - Bersetuju mengepam gas asli ke Israel dan wilayah Palestin.

2005 - Membenarkan buat kali pertama pilihan raya pelbagai parti yang dimenangi secara selesa oleh Parti Demokratik Kebangsaan (NDP) yang diketuainya. Mengalahkan Ikhwanul Muslimin yang terpaksa meletak calonnya sebagai calon bebas kerana masih diharamkan.

25 Januari 2011 - Beribu-ribu rakyat Mesir menunjuk perasaan membantah pemerintahannya, mencontohi pemberontakan rakyat Tunisia.

28 Januari 2011 - Buat kali pertama lantik naib presiden.

1 Februari 2011 - Umum tidak akan bertanding dalam pilihan raya September ini.
10 Februari 2011 - Ulangi pendirian akan kekal menjadi presiden hingga September

11 Februari 2011 - Berlepas ke Sharm El-Sheikh. Naib Presiden, Omar Suleiman umumkan peletakan jawatan Hosni.



Penunjuk perasaan kembali ke Dataran Pearl


BEBERAPA penunjuk perasaan meraikan kejayaan mereka sejurus tentera Bahrain berundur dari Dataran Pearl di Manama semalam.


MANAMA - Polis Bahrain menembak gas pemedih mata semalam untuk menyuraikan tunjuk perasaan anti-pemerintah di Dataran Pearl, di sini, sejurus tentera berundur dari kawasan tersebut.

Tindakan itu dilakukan selepas ratusan penunjuk perasaan kembali ke dataran tersebut dengan menaiki kereta dan berjalan kaki.

Polis kemudian dilihat menaiki bas-bas yang membawa mereka dan berundur dari dataran tersebut.

Beberapa jam sebelumnya, deretan kereta kebal dan lain-lain kenderaan tentera dilihat berundur dari Dataran Pearl di sini bagi memenuhi tuntutan pihak pembangkang.

Pengunduran itu dilakukan selepas pihak pembangkang menegaskan bahawa mereka hanya akan berunding dengan pemerintah Bahrain, Raja Hamad Isa al-Khalifa, mengenai konflik politik yang melanda negara itu, jika tentera diundurkan.

"Tentera akan berkawal di luar Manama dan polis akan bertugas mengembalikan ketenteraman awam," kata seorang pegawai keselamatan.

Kelmarin, beribu-ribu orang, termasuk pengikut Sunnah dan Syiah, berhimpun di Dataran Pearl untuk menyingkirkan keluarga diraja Bahrain dan mengembalikan pemerintahan awam.

Dalam demonstrasi besar-besaran itu, empat orang terbunuh manakala 85 orang cedera selepas polis menembak peluru hidup ke arah para penunjuk perasaan.

Tindakan polis itu berakhir dengan tentera dikerahkan untuk mengawal Dataran Pearl bagi mengelakkan demonstrasi daripada berulang. - Agensi


Berlusconi adakan parti 'bunga bunga'


PERDANA MENTERI Itali, Silvio Berlusconi (kanan) dan Karima El Mahroug.


ROM - Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi campur tangan dalam penangkapan Karima El Mahroug, gadis Maghribi yang didakwa dibayar olehnya untuk mendapatkan habuan seks, kerana beliau bimbang Karima akan mendedahkan tentang parti 'bunga bunganya'.

Sebuah akhbar melaporkan Karima kelmarin sebagai berkata, apabila dia ditangkap kerana didakwa mencuri pada Mei tahun lalu, Berlusconi campur tangan supaya dia dibebaskan bagi menutup mulutnya.

"Semua orang berbogel pada parti 'bunga bunga' dan apabila saya ditahan polis, Berlusconi jadi takut (rahsianya akan terbongkar)," kata Karima.

Menurutnya, dia diberitahu oleh Berlusconi bahawa 'bunga bunga' bermaksud gundik-gundik yang dikaitkan dengan parti seks.

Dakwa Karima yang kini berusia 18 tahun, Berlusconi mempelajari perkataan tersebut daripada pemerintah Libya, Muammar Ghadafi.

Karima yang merupakan seorang penari gelek menyatakan, dia pertama kali berkenalan dengan Berlusconi semasa menghadiri parti persendiriannya di Vila San Martino pada 14 Februari tahun lalu, ketika dia berusia 17 tahun.

Selepas makan malam, dia dan sekitar 30 wanita lain dibawa ke sebuah bilik bawah tanah di kediaman itu dikenali sebagai bilik bunga bunga untuk acara parti liar.

Pada minggu ini, Berlusconi diperintahkan menghadiri perbicaraan pada 6 April depan atas dakwaan salah guna kuasa dan membayar gadis bawah umur untuk seks. - Agensi



Pembalasan Berlusconi



ROM: Panel dianggotai tiga wanita akan menghakimi Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi (gambar) dalam perbicaraan skandal seksnya April depan.

Akhbar mingguan Katolik, Famiglia Cristiana dalam ruangan editorialnya berkata, kegiatan pelacuran menghidupkan roh Nemesis - dewa pembalasan Yunani kuno. “Berlusconi, anda kerap mempermainkan wanita, kini mereka akan menghakimi anda,” lapor akhbar itu. Dewa Yunani itu menjadi simbol paling tepat bagi kes Berlusconi yang dituduh membayar untuk khidmat seks dengan pelacur bawah umur, Karima El Mahroug (Ruby) dan membantunya bebas daripada tahanan polis bagi menutup jenayah dilakukannya. Tiga hakim itu yang dipilih secara rawak melalui komputer adalah wanita iaitu Giulia Turri, Carmen D’Elia dan Orsolina De Cristofaro.


Pihak pendakwaan dalam kes itu diketuai Ilda Boccassini yang sebelum ini menjalankan beberapa siri siasatan mengenai tuduhan rasuah ke atas perdana menteri itu. Majistret bertugas yang meluluskan permohonan supaya Berlusconi dibicarakan atas tuduhan jenayah seksual dan penyalahgunaan kuasa juga wanita, begitu juga dengan pegawai polis yang diarahkan Berlusconi supaya membebaskan Ruby.

Kebanyakan wanita Itali berpendapat, siri skandal seks Berlusconi sedang menuju ke garisan penamat.


“Semua wanita yang terbabit dengan Berlusconi sama ada mereka terkenal atau tidak dikenali, rakan ataupun musuh...sudah menjangkakan kejatuhannya. Era pemimpin yang suka menggoda sudah berakhir,” kata ketua pejuang hak wanita di Itali, Ida Dominjanni. - AFP

Tiada ulasan: