Ahad, 20 Februari 2011

SAMPAI BILA NAK TIPU...GUNA TEKTIK KOTOR...KONGLIKONG...DLL YG SAMA DENGANNYA...YANG JATUHKAN IALAH ALLAH YG MAHA KUASA SERTA MAHA BESAR...

BN tindas, rakyat Malaysia boleh bangkit
Nazri Abdullah

ALOR SETAR, 20 Feb: PAS mengingatkan Umno agar mengambil iktibar dengan kejatuhan pemerintah Tunisia dan Mesir akibat kebangkitan rakyat yang ditindas pemerintah.

Dengan nada memberi amaran, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, rakyat Malaysia juga boleh bangkit sedemikian jika pemimpin Umno BN terus menindas rakyat.

"Rakyat ni macam spring, bukan mati hidup, tapi ada perasaan.

"Kalau orang tekan spring ni, bila lama dia pedih tangan dia lepas, spring naik kemuka dia. Ha ingat-ingat..," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ceramah di hadapan lebih 30 ribu rakyat di perkarangan Kompleks PAS, Kota Sarang Semut di sini malam tadi.

Turut serta berceramah pada malam kemuncak Himpunan 30K Dewan Pemuda PAS itu adalah Timbalannya, Nasharuddin Mat Isa, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ustaz Azizan Abd Razak dan Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Azman Shapawi Abdul Rani.

Sehubungan itu tambahnya, sebelum Umno BN dimalukan dengan kejatuhan sebegitu, mereka perlu memberikan padang sama rata kepada parti-parti politik lain dalam pilihan raya, agar kejatuhan mereka lebih bermaruah.

"Kita mintak pemimpin Umno ni jaga maruah, jangan tipu pilihan raya.

"Jangan guna media untuk sebelah pihak sahaja," katanya lagi.

PAS ganti Umno

Dalam pada itu, beliau turut mengulangi pendirian bahawa PAS perlu menggantikan Umno.

Katanya, Umno telah terbukti tidak mampu membawa keadilan Islam untuk rakyat semua kaum dengan sistem penjajah yang diwarisi mereka, apatah lagi sistem sekular itu sendiri merosakkan Islam.

Sebagai bukti katanya, umat Islam negara ini masih lemah walaupun dipimpin orang Islam sendiri dari Umno BN sejak negara merdeka.

"Kenapa lemah? Kerana kepimpinan Malaysia ini mewarisi pemikiran penjajah barat, pemimpin negara tidak berperangai Islam, tak boleh tolong orang Islam, tak boleh tunjuk contoh baik kepada orang bukan Islam.

"Maaflah orang bukan Islam, pemimpin negara ini nama sahaja Islam tapi amalan pemerintahan dia, rasuah boleh, tipu rakyat boleh," katanya lagi.

Keadaan itu berlaku katanya kerana Islam dikurung di pejabat agama sahaja.

Skop Islam juga disempitkan hanya tertumpu kepada sembahyang, puasa, perkahwinan dan zakat sahaja.

Selain turut menghakis Bahasa Melayu, Umno BN juga didakwa gagal mengurus ekonomi negara sehingga berlaku kenaikan harga barangan yang membebankan rakyat.

Kekayaan negara katanya, hanya berpusing di kalangan pemimpin atasan mereka sahaja dan tauke-tauke yang berkepentingan.

"Orang Melayu kena sedar, bila pilihan raya, tauke-tauke besar bagi duit kepada Umno.

"Bila habis pilihan raya, harga barang dinaikan sebab nak tolong tauke dia yang tolong dalam pilihan raya," tambahnya.

Sehubungan itu beliau mahu rakyat khususnya ahli PAS bekerja kuat untuk memastikan Pakatan Rakyat menggantikan Umno pada Pilihan Raya Umum nanti.

"Pertahankan Kedah ini, kalau Kedah kamu tak perkuat, nak pergi Pptrajaya macam mana.

"Jangan cakap sahaja nak putrajaya, kerja malas, daftar pengundi tak buat, ceramah datang berbatu-batu, tapi nama bila nak mengundi tak ade," tegasnya.


Detik-detik kejatuhan Mubarak penuh penghinaan
Suhaimi Mokhtar

Suasana hening dan tenang menyelubungi Dataran Tahrir ditengah-tengah ibunegara Mesir,Kaherah pada tanggal 11 Febuari lalu ketika para penunjuk perasaan dari satu kebangkitan revolusi rakyat menunaikan solat Fajr (Subuh) berjemaah beramai-ramai didataran itu,selang beberapa jam selepas Hosni Mubarak,Presiden Mesir selama 30 tahun melepaskan kuasa yang mengongkong rakyat Mesir.

Suara azan dan suara imam yang syahdu mengimankan solat memecah kesunyian pagi dengan memuji kebesaran Allah yang akhirnya menganugerahkan kebebasan selepas 18 hari para penunjuk perasaan berdemonstrasi menentang regim diktator Mubarak, yang melindungi regim zionis yahudi yang dilindungi pula, oleh negara kuasa Amerika Syarikat(AS) dan sekutu baratnya.

Selama 18 hari Dataran Tahrir dan di seluruh Mesir termasuk bandar besar seperti iskandariah,Suez dan lain-lain menyaks ikan demonstrasi besar-besaran yang berterusan hingga mencapai angka berjuta rakyat yang keluar berhimpun untuk membebaskan diri dari belenggu regim kejam dan ganas yang dibiayai oleh kuasa AS dn barat.

Kemenangan revolusi rakyat Mesir ini yang bermula pada 25 Januari,sama ada secara kebetulan atau tidak,jatuh pada hari yang sama kemenangan revolusi Islam Iran pada 11 Febuari 1979,32 tahun sebelumnya yang menyaksikan kejatuhan dynesti Pahlavi,Shah Iran,sahabat baik AS dan barat.

Tarikh keramat itu juga menyamai tarikh syahidnya Hassan Al-Bana,pengasas danpengerak Ikhwan Al-Muslimin pada tahun 1949.Tarikh-tarikh ini semuanya ketentuan Allah yang maha mengetahui segala-galanya dan yang merancang semuanya.

Kebangkitan revolusi rakyat Mesir ini bukan berlalu tanpa sebarang pengorbanan,ramai yang syahid,lebih 300 orang dan ramai juga yang cedera.Dataran Tahrir yang membawa erti kebebasan itu turut mengorbankan nyawa mereka dalam satu perjuangan pembebasan dan membela maruah.

Selama 18 hari 18 malam para penunjuk perasaan tidak meninggalkan Dataran Tahrir.Iltizam mereka yang begitu padu dan gigih akahirnya menyebabkan Mubarak yang berdegil pada mulanya mengakhiri pemerentahan kukubesinya melalui satu pengumuman paling ringkas,hanya beberapa saat,oleh Naib Presiden yang dilantiknya Omar Sulaiman.

Sebelumnya Mubarak tiga kali muncul di TV negaranya,cuba mempertahankan regimnya,tetapi segala rayuan dan kata-kata untuk membuktikan jasa-jasa cemerlangnya mempertahankan bumi Mesir sedikit pun tidak diendahkan oleh segala lapisan rakyat yang membencinya dengan meneruskan demonstrasi .

Pengumuman pemergian Mubarak dengan penuh penghinaan itu disambut meriah oleh kalangan penunjuk perasaan terdiri dari pelbagai kalangan,tua dan muda,wanita,kanak-kanak,para cendekiawan,ahli akadamik dan seluruh rakyat.Mubarak meninggalkan istana presiden di Kaherah menuju bandar perainginan Sharm-Al-Sheikh dan sehingga kini tidak diketahui dimana Mubarak berada,sama ada masih di Sharm-Al-Sheikh atau telah meninggalkan Mesir.

Rakyat mahu Mubarak dibawa kemuka pengadilan kerana jenayah yang dilakukan terhadap rakyat Mesir terutama penentang-penentang politiknya yang ditahan tanpa bicara ,melesapkan wang negara dengan mengumpulkan kekayaan dikalangan keluarga mereka dan kuncu-kuncu pemerintahannya.

Selama pemerinthannya ,Ikhwan Al-Muslimin bukan sahaja diharamkan,tetapi para pemimpin ikhwan dipenjarakan.Di era pemerintahan Gamal Nasser dan di ikuti dengan Anwar Sadat,pemimpin dan pengikut ikhwan menjadi mangsa apparatus keselamatan regim-regim ini yang telah menjangkau usia 60 tahun lamanya.

Dengan berakhirnya pemerintahan Mubarak,pengharaman terhadap Pergerakan Ikhwan Al-Muslimin hendaklah ditarik balik,undang-undang darurat ditarik,parlimen di buburkan dan perlembagaan di pinda bagi membolehkan satu pilihanraya demokratik yang adil dan telus diadakan.Setakat ini Jawatankuasa pindaan perlembagaan telah ditubuhkan dan parlimen telah dibubarkan bagi memenuhi desakan rakyat.

Pemerintahan sementara Majlis Tertinggi Angkatan Bersenjata Mesir yang diberikan amanah untuk mengembalikan Mesir pada era baru hendaklah melaksanakan tuntutan rakyat yang mahukan kebebasan ini.Mesir baru tidak lagi akan menyamai Mesir dibawah Mubarak dan inilah yang dikhuatiri dan dibimbangi oleh AS dan barat dan regim haram mereka,regim zionis.

Dalam pilihanraya demokratik Ikhwan Al-Muslimin dijangka akan menjadi tenaga politik baru diMesir melalui satu pilihanraya adil dan telus dan AS serta sekutu baratnya jangan cuba mengatur agendanya yang bukan-bukan seperti yang berlaku di Palestin apabila Hamas memenangi pilihanraya pada 2006 dan FIS yang memenangi pilihanraya Algeria.Kemenangan-kemenangan ini semuanya tidak diiktiraf dalam usaha mereka untuk membendung kebangkitan islam.Kuasa AS dan barat perlu mengetahui bahawa kebangkitan islam tidak dapat dibendung lagi.Kuasa sehebat manapun mana mampu membendung kuasa Allah.

Disebalik pelbagai reaksi,riang ria menyambut kemenangan yang dipertontonkan di Dataran Tahrir,para penunjuk perasaan yang majoriti terdiri dari anak-anak muda tidak lupa mengerjakan solat berjemaah setiap waktu ,sama ada sebelum kemenangan atau selepas kemenangan, yang memberi petanda baik bahawa para penunjuk perasaan adalah mereka yang mentaati perintah Allah dan Rasulnya.

Ia adalah petanda yang memberi harapan besar pada masadepan Mesir ,bumi ambia’ yang sudah begitu lama dinodai dan diperkosa kemuliaannya.Pimpinan baru Mesir yang antaranya dilahirkan dari Dataran Tahrir yang telah membentuk pimpinan mereka sendiri, bersama dengan pimpinan lain termasuk pimpinan IKhwan Al-Muslimin bakal memberi pimpinan, pembelaan terbaik kepada rakyat Mesir mendahului pertimbangan-pertimbangan lain.

Pimpinan sementara Mesir yang terdiri dari anggota Majlis Tertinggi Angkatan Bersenjata ini perlu menunaikan inspirasi rakyat Mesir dan bukan menuruti kahendak negara kuasa atau regim zionis yang Mesir mempunyai perjanjian damai dengan nya.Rakyat Mesir yang telah menghapuskan halangan dan ketakutan dari apparatus keselamatan Mesir yang kejam dan ganas , yang membelenggui mereka selama ini tidak akan ragu-ragu untuk turun keDataran Tahrir lagi untuk memenuhi inspirasi dan tuntutan mereka,jika pihak tentera cuba menghajick tuntutan mereka.AS dan sekutunya sedang berusaha melalui hubungan baiknya dengan pihak tentera Mesir untuk mengekalkan status quo di Mesir.

Selepas Tunisia,Mesir dan kini rakyat seluruh Jazerah Arab sedang bangkit untuk melakukan perubahan dengan menjadikan revolusi kebangkitan rakyat di Mesir terutamanya sebagai inspirasi kebangkitan.

Kebangkitan diJordan ,Algeria,Bahrian,Yaman,Libya,Moroco dan lain-lain tempat akan merebak keseluruh pelusuk semenanjung Arab termasuk Saudi Arabia dan ia tidak lagi dapat dibendung walaupun negara-negara ini menggunakan peralatan dan kelengkapan keselamatannya dengan ganas sekali bagi membendung kebangkitan ini.

Jika Mesir yang merupakan negara Arab yang paling ramai penduduk dan mempunyai segala kekuatan tidak dapat membendung revolusi kebangkitan rakyat,maka adalah tidak mungkin negara-negara yang sedang dilanda kebangkitan ini mampu menungkah arus kebangkitan rakyat yang dizalimi ini.

AS dan barat cuba mengaitkan kebangkitan di kota Tehran,Iran menyamai kebangkitan dinegara-negara semenanjung Arab,sedangkan hakikatnya ia adalah tidak sama.Mereka yang berdemonstrasi di Tehran hanya segelintir kecil sahaja.Ia di api-apikan dan didalangi oleh kuasa AS,barat dan regim zionis.

Kejatuhan Mubarak di Mesir dan bakal kejatuhan beberapa regim kukubesi lagi dirantau Timur Tengah akan mengubah lanskap politik dan keselamatan dirantau itu.AS dan barat terus akan kehilangan rakan stratijik mereka dan regim zionis tidak mungkin lagi dilindungi oleh Mesir,walaupun pemerintah sementara tentera berikrar mahu mengekalkan segala perjanjian damai dengan regim zionis.Kejatuhan satu demi satu regim diktator diTimur Tengah nanti akan mampu membawa kepada pembebasan bumi Palestin.

Selepas pilihanraya yang bakal berlangsung tahun ini,segala-galanya akan berubah.Ia tidak akan sama lagi,Mesir era baru akan menyesuaikan diri dengan tuntutan dan inspirasi rakyat.


Mubarak jatuh kerana rakyat tolak pilihanraya tipu
Mohamed Zainal Abidin Hussin

KOTA BHARU 20 Feb: Antara faktor penting kejatuhan regim Hosni Mubarak di Mesir adalah disebabkan penolakan rakyat terhadap pilihanraya-pilihanraya penuh penipuan.

Setiap kali pilihanraya, pihak pemerintah sentiasa mendapat kemenangan luarbiasa sedangkan hak sebenar rakyat dalam proses itu dinafikan.

Demikian dinyatakan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap di majlis makan malam anjuran Keadilan Kelantan di PUTIK kelmarin.

Meskipun dalam bentuk berbeza, keresahan rakyat berkait perkara yang sama di negara ini bukan sesuatu yang harus dipandang mudah.

Rakyat yang semakin sedar dan mengikuti secara dekat tuntutan rakan-rakan mereka di Asia Barat perlu menuntut hak supaya pihak pemerintah tidak terus menerus mempermainkan rakyat dengan pelbagai kesangsian dalam proses ini.

"Rakyat boleh terima siapa kalah, siapa menang tapi rakyat tidak harus kompromi jika terang-terang pilihanraya dikendalikan dengan cara tidak adil dan berat sebelah, kata Anwar.

Perbahasan berkaitan pelbagai kes meragukan dalam pilihanraya di negara ini memang telah berlanjutan setiap kali pilihanraya berjalan.

Dari perkara paling asas, daftar pemilih hingga soal hak semua calon di media dan sokongan berat sebelah jentera kerajaan kepada calon parti pemerintah terus menerus dipertikaikan.

Proses pendaftaran pengundi di negara ini amat aneh dan meragukan. Pendaftaran pengundi dijalankan oleh SPR melalui ejen badan itu sendiri atau melalui parti-parti politik.

Menurut SPR sendiri, begitu ramai rakyat tidak mendaftar. Manakala ramai yang terdaftar sebenarnya tinggal di kawasan lain.

Bila berlaku pilihanraya, jumlah mereka yang boleh mengundi amat kecil berbanding jumlah sebenar rakyat.

Sebahagian besar mereka yang ada dalam senarai di sesebuah lokasi pengundian pula datang dari kawasan lain, sama sekali tidak di kenali penduduk setempat.

Keadaan ini menimbulkan satu isu dipanggil "pengundi hantu" di mana setiap kali pilihanraya, terutama pilihanraya kecil menjadi gawat dan tegang.

Pada pilihanraya ke 12 lalu SPR dalam perundingan dengan sebuah badan yang menuntut pilihanraya adil, BERSIH, SPR bersetuju untuk menggunakan dakwat cat jari bagi mengurangkan keserahan pihak-pihak yang bertanding.

Malang dan mengejutkan, SPR membatalkan persetujuan ini di saat akhir selepas sejumlah besar perbelanjaan telah pun dibuat membeli dakwat dari negara asing.

Lebih besar dan mengelirukan ialah berkenaan hak semua calon untuk berkempen dalam media massa milik kerjaan atau pihak lain yang dilesenkan.

Calon-calon yang dikemukakan parti pemerintah akan diberi ruang tanpa batas dalam semua media sedangkan calon-calon lain seperti tidak bertanding atau "pengacau" kalau liputan media sama diperhati.

Lebih teruk ialah penggunaan wang rakyat melalui egensi-agensi yang dibiayai rakyat dalam menyokong calon-calon yang sebakul dengan pemerintah.

Dalam kes terbaru di plihanraya kecil DUN Tenang baru-baru ini adalah satu contoh malapetaka kepada demokrasi. Sejak Awal lagi secara terbuka jabatan pelajaran Johor, di peringkat negeri mahupun peringkat daerah Labis bekerja lebih keras dari jentera parti Umno dalam menyokong calon Barisan Nasional.

Sepanjang kempen, tidak perlu diceritakan lagi bagaimana pelbagai agensi diperalat secara bogel memihak calon parti kerajaan. Lebih mengejutkan kali ini jetolak celorong celoreng (milik tentera) turut datang membaiki longkang di kampung yang terlibat dengan pengundian.

Ini semua hanya yang jelas dilakukan dan boleh dilihat semua orang. Ramai yang bercerita tentang pelbagai pelbagai sogokan dalam gelap yang dilakukan. Inilah mungkin sebab dalam pilihanraya kecil, parti kerajaan enggan meletakkan calon wanita walaupun begitu serius di desak.

Seperti kata Anwar, kalau benar negara ini mahu muncul sebagai negara dan bangsa bermaruah, semua ini mesti dihapuskan. Kalah menang adat pertandingan, tapi kalau terang-terang padang senget sebelah, mana ada pasukan yang boleh berkompromi.



Pemuda PAS ikrar pertahan Kedah
Khairul Izwan

ALOR SETAR, 20 Feb: Pemuda PAS menunjukkan isyarat jelas bahawa kemenangan PAS di Negeri Kedah perlu di pertahankan dalam PRU-13 nanti daripada pengkhianat agama dan bangsa, Barisan Nasional.

Naib Presiden PAS Pusat berkata Pemuda PAS perlu bersiap sedia dalam apa jua keadaan sama ada senang atau pun susah.

“Hari ini pemuda PAS telah menunjukkan isyarat bahawa negeri Kedah ini perlu di pertahankan.

“Pemuda Islam perlu bersiap sedia dalam apa jua keadaan, senang mahupun susah untuk menunjukkan ketaatan kepada perjuangan Islam” katanya dalam Himpinan 30,000 Pemuda PAS di Markas PAS Kedah, Kota Sarang Semut.

Beliau yang juga mantan ketua Pemuda PAS Pusat berkata jiwa pemuda Islam tudak boleh dibeli dengan wang ringgit.

Sementara itu, AJK PAS Pusat, Ustaz Abu Bakar Chik berkata, Pemuda perlu berubah sekarang dan menyelesaikan masalah remaja di dalam masyarakat.

“Pemuda perlu rapat dengan rakan-rakan sebaya, kawan-kawan. Pemuda perlu menyelesaikan masalah masyarakat” katanya dalam pidato beliau.

Naib Presiden PAS Pusat, Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man menggesa Pemuda PAS menterjemahkan akidah perjuangan dalam gerak kerja Islam.

Beliau juga menyarankan Pemuda PAS berusaha memahami sejarah perjuangan pergerakan Islam.

Himpunan hari ini di meriahkan dengan kehadiran selebriti Bob Lokman di atas pentas bersama pimpinan PAS.

Acara petang ini akan di teruskan dengan persembahan daripada Bob Lokman, Radzi ‘Melisa’ dan Pak Long.

Peserta himpunan juga akan menyaksikan perlawanan bola sepak antara wakil Pemua PAS dan veteran bola sepak kebangsaan.



Siapa akan tinggalkan negara
Mohd Sabri Said

PERMATANG PAUH, 20 Feb: Siapa yang akan lari meninggalkan negara selepas pilhan raya umum nanti jika Barisan Nasional (BN) tumpas buat pertama kalinya dalam sejarah, kata Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tambahnya, terlalu banyak penyelewengan, skandal pembunuhan dan mengaut kekayaan kroni menyebabkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak senang duduk di negara ini.

Secara sinis, katanya atau Pakatan Rakyat yang memerintah ketika itu akan menghantarnya sebagai Duta Besar ke Mongolia.

"Najib tuduh saya akan lari jika kalah kali ini. Saya nak bagi tahu dia, siapa sebenarnya yang berbuat demikian semua rakyat akan tengok dan tunggu.

“Jika saya nak lari, saya sudah bertindak begitu tahun 1998 lagi apabila saya dipecat dan dituduh dengan berbagai cara. Saya takut Najib yang akan bergegas langkah keluar macam pemimpin Tunisia," tegasnya.

Anwar ketika berceramah di Padang Awam, Seberang Jaya malam tadi menyifatkan penolakan Najib untuk berdebat jelas kerana bimbang masalah negara boleh menyebabkannya tidak lagi diterima sebagai pemimpin.

Jelasnya, tiga persoalan maut akan dibangkitkan seandainya Najib enggan berdebat soal negara tetapi lebih kepada peribadi iaitu kesudahan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu, komisyen RM500 juta pembeliaan kapal selam dan apa yang berlaku di bilik hotel pada tahun 1997.

Menurut Anwar, beliau tidak berminat berdebat soal peribadi takut Najib dipermainkan oleh rakyat sebaliknya ingin menyentuh berkaitan Buku Jingga atau soal ekonomi yang Najib sendiri mendakwa jika Pakatan Rakyat melaksanakan tawaran dalam buku itu negara akan bankrap.

Katanya, Najib gusar kerana jika Buku Jingga dijadikan pedoman tidak mustahil Malaysia menuju kegemilangan semula bukannya bankap atau musnah.

Tambahnya, sebaliknya masa depan rakyat terjamin sebab 100 hari pemerintahan Pakatan memberi seribu kebaikan seperti penghapusan tol, penurunan harga minyak dan seumpamanya.

"Saya tidak mahu berdebat soal peribadi tetapi soal ekonomi dan Buku Jingga. Tetapi jika Najib enggan dan mahu menumpukan soal peribadi, saya sanggup untuk tiga soalan saja. Saya pasti Najib demam," jelasnya yang juga Ahli parlimen Permatang Pauh.

Hadir sama dalam ceramah anjuran PKR Cabang Permatang Pauh itu ialah Pengerusi PKR negeri, Datuk Mansor Othman, Adun Pantai Jerjak, Sim Tze Tzin, Adun Batu Maung, Abdul Malik Kasim dan Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusuf.




PRK Kerdau, Merlimau serentak elak asakan Pakatan
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 20 Feb: Keputusan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengadakan pilihan raya kecil (PRK) Merlimau dan Kerdau secara serentak merupakan isyarat jelas pilihan raya negeri Sarawak akan diadakan dalam masa terdekat, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Beliau berkata, PAS dan Pakatan Rakyat harus berwaspada dengan isyarat itu kerana kemungkinan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak akan dibubarkan sejurus selepas kedua-dua PRK ini.

"Ini satu isyarat yang harus diberi perhatian oleh PAS dan Pakatan Rakyat untuk persiapan menghadapi pilihan raya umum Sarawak.

"Kemungkinan SPR menyegerakan (pilihan raya kecil) Kerdau ini kerana mereka nak tumpu Sarawak. Kemungkinan selepas sahaja pilihan raya kecil di kedua-dua tempat ini, Dun Sarawak akan dibubarkan maka pilihan raya kecil itu disegerakan," kata beliau ketika ditemui di Konvensyen Nasional Pengupayaan Bangsa-jaminan PAS di Shah Alam semalam.

Mahfuz yang juga ahli Parlimen Pokok Sena turut mendakwa Umno BN mahu PRK Merlimau dan Kerdau diadakan serentak kerana enggan berhadapan dengan asakan Pakatan Rakyat seperti siri PRK sebelum ini.

Umno BN dalam setiap PRK, katanya terpaksa menghabiskan wang yang banyak untuk menawan hati pengundi bagi bersaing dengan Pakatan yang menurunkan kekuatan jentera dari seluruh negara.

Contoh yang paling hampir ujarnya pada PRK di Tenang yang menyaksikan Umno BN terpaksa berusaha keras menarik hati pengundi meskipun kawasan itu merupakan kubu kuat Umno.

"Seperti di Tenang, walaupun Tenang itu kawasan kuat Umno tapi mereka tidak lagi mudah menang seperti pilihan raya kecil sebelum ini.

"Mereka terpaksa berhadapan dengan asakan Pakatan Rakyat, terpaksa berbelanja banyak untuk melaksanakan tawaran yang dijanjikan kepada rakyat kerana kita mengumpulkan seluruh tenaga kita di Tenang.

"Mereka mengharapkan dengan buat pilihan raya kecil serentak, tenaga kita tidak tertumpu kepada satu-satu tempat sahaja, terpaksa dipisah dua. Jadi pilihan raya itu tidak serancak yang berlaku sebelum ini," katanya.

Namun demikian, Mahfuz mahu jentera Pakatan Rakyat melihat keputusan itu secara positif dan menjadikannya sebagai latihan praktikal terakhir untuk menghadapi pilihan raya umum.

"Kepada petugas parti saya harap mereka melihat secara positif kerana memang pun dalam pilihan raya umum jentera di peringkat jentera kawasan dan negeri masing-masing yang berkerja. Kita boleh berkerja dan boleh menang di beberapa negeri.

"Kita harap kita hadapi pilihan raya kecil ini seperti kita hadapi pilihan raya umum. Tiada siapa yang membantu kita tapi jentera tempatan itu akan lebih agresif," katanya.

Selain itu katanya, Pakatan Rakyat boleh menggunakan waktu ini untuk mengenal pasti kelemahan sebelum ini dan memperbaikinya.

"Kita harap ini akan menjadi lapangan sasar menembak terakhir untuk membuat latihan praktikal hadapi pilihan raya umum untuk kita lihat di mana kelemahan kita sebelum ini yang perlu dibaiki.

"Jabatan pilihan raya pusat dan negeri perlu kenal pasti kenapa setiap negeri yang ditugaskan di setiap peti undi tak dapat nak meningkatakan lonjakan undi," katanya.

PAS, katanya akan membuat pengagihan jentera dengan sebaik mungkin untuk bertugas di kedua-dua kawasan.

"Kita akan buat pengagihan selepas ini supaya jentera dapat dimanfaatkan sebaiknya," katanya.




BN buktikan Buku Jingga dapat dilaksana
Harakahdaily

TEMERLOH, 20 Feb: Walaupun dikecam hebat sebelum ini, tindakan Barisan Nasional (BN) baru-baru ini dalam memberikan insentif-insentif kepada rakyat semakin melegitimasikan reformasi yang dijanji oleh Pakatan Rakyat di dalam Buku Jingga, kata Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Antara janji dalam 100-hari Pakatan Rakyat yang dikecam hebat oleh BN sebelum ini ialah pemberian insentif RM500 gaji tambahan bulanan kepada para guru sekiranya diberikan mandat untuk memerintah pada pilihanraya umum ke 13.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyifatkan janji Pakatan Rakyat kepada guru tersebut tidak realistik dan akan melingkupkan kewangan negara.

Namun, kata Tuan Ibrahim, pengumuman Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memberikan ganjaran kepada 924 guru besar dari seluruh negara untuk menerima insentif sebanyak RM7,500 seorang telah membuktikan bahawa janji Pakatan rakyat kepada guru dapat dilaksanakan.

“Dalam tawaran tersebut, Pakatan Rakyat menyedari betapa terabainya guru-guru yang dibebani tugas yang tidak setimpal dengan tugas, maka Pakatan Rakyat berjanji akan menaikan gaji mereka sebanyak RM500 sebulan.

Keadaan ini mencemaskan BN kerana khuatir ribuan guru akan memberi undi kepada Pakatan Rakyat dalam pilihanraya umum akan datang.

Maka, tindakan menaikkan taraf elaun kepada Guru Besar dan Pengetua adalah secara mengejut dan pencapaian prestasi 600 peratus adalah luar biasa.

“Tindakan ini sekali lagi membuktikan apa yang dijanjikan oleh Pakatan Rakyat dalam tawaran merupakan perkara yang mampu dilaksanakan,” ujar Tuan Ibrahim, yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Pahang.

Terdahulu, Muhyiddin berkata seramai 12.1 peratus guru besar berjaya memimpin sekolah untuk melepasi sasaran prestasi ditetapkan, yang merupakan pertambahan sebanyak 600 peratus daripada jangkaan asal sebanyak dua peratus.

Muhyiddin turut mengumumkan bahawa insentif yang bakal diberikan adalah di bawah inisiatif “Tawaran Baru” di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan yang diumumkan tahun lalu, yang bakal menyaksikan setiap guru besar layak menerima RM7,500 seorang, lima peratus guru paling cemerlang akan menerima RM1,800 seorang dan selebihnya RM900 seorang.

Di samping itu, Tuan Ibrahim turut menyifatkan bahawa tindakan Najib untuk merendahkan kadar tol dari RM 1.60 ke RM 1 di Plaza Tol Petaling Jaya Selatan 2, Lebuh Raya Baru Pantai, N-P-E, di Kampung Medan sebagai satu bukti lagi keresahan Barisan Nasional terhadap tawaran 100-hari Pakatan Rakyat walaupun sebelumnya kerajaan berulang kali menafikan apa yang ditawarkan dalam Buku Jingga berhubung pelarasan kadar tol.

“Bahkan PR yakin menjelang pilihanraya umum akan banyak lagi tawaran yang bertepatan dengan tawaran Buku Jingga akan diberikan kepada rakyat. Ini kemenangan permulaan kepada apa yang kita perjuangkan, manakala kemenangan berikutnya ialah kejayaan menumbangkan BN dalam pilihanraya umum akan datang,” katanya.

Dalam tawaran 100-harinya, Pakatan Rakyat telah berjanji untuk menghapuskan sistem tol dengan mengarahkan Khazanah Nasional Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan badan milik kerajaan yang memiliki konsesi lebuh raya untuk menyempurnakan ambil alih aset lebuh raya oleh kerajaan.



Saman ekor: Bukti BN kejam pada rakyat
Wak Jono

Setelah sekian lama kaedah saman ekor ini dipertikaikan oleh rakyat tetapi kerajaan BN masih melaksanakannya. Lebih mendukacitakan rakyat ialah belum ada Perdana Menteri yang sanggup mengambil tindakan "blakck list" ke atas rakyat kecuali Datuk Seri Najib. Malahan Tun Mahathir di mana di zamannyalah saman ekor diperkenalkan tetapi beliau sendiri tidak menngambil tindakan blacklist. Apakah kerana kerajaan pimpinan Najib benar-benar terdesak kerana menghadapi masalah kewangan yang kronik? Antara kelemahan saman ekor yang paling ketara kezalimannya ialah:

i. Saman dikeluarkan ke atas kenderaan bukan pemandu.

Keadaan ini boleh menyebabkan terjadinya penganiayaan. Kita sedia maklum banyak kenderaan di atas jalan yang dipandu bukan oleh pemiliknya. Contohnya suami memandu kereta milik isteri, anak memandu kereta ayahnya, adik memandu kereta kakak dan juga kawan memandu kereta kawan. Kita ada terbaca bagaimana seorang ibu terpaksa bergadai bergolok untuk menyelesaikan saman anaknya bernilai ribuan ringgit yang memandu keretanya. dan kesannya kepada anaknya. tiada apa-apa kerana yang menyelesaikan saman ialah ibunya. Malahan dalam keadaan sekarang di mana pembiayaan pinjaman kereta sehingga 9 tahun, ramai yang menjual kereta melalui kaedah “sambung bayar” kerana bagi mengelakkan kerugian susut nilai. Bagaimana pula dengan kereta yang menggunakan plat kenderaan palsu. Saya ada seorang kawan yang sengaja membuang 1 nombor pendaftaran keretanya bagi mengelakkan saman ekor. Dan terbukti setelah lebih 10 tahun dia memandu “kaedah”nya memang berkesan.

ii. Saman disampaikan secara postal bukan secara terus

Pemilik kenderaan yang mana kenderaannya melakukan kesalahan had laju akan menerima makluman melalui pos. Kelemahannya di sini ialah jarak tempoh yang lama dari tarikh kesalahan kenderaan di buat dengan tarikh penerimaan surat saman. Ada yang menerimanya 2 atau 3 bulan setelah kesalahan dibuat dan ada yang selepas hampir setahun. Malahan ada yang tidak terima sebarang makluman langsung. Ini menyukarkan pemilik kenderaan mengingati siapa yang memandu pada ketika kesalahan dibuat. Kaedah menamakan pemandu di keratan penghujung surat saman juga dilihat tidak praktikal kerana tarikh kejadian yang telah lama serta hanya akan menyebabkan pertengkaran sesama saudara atau dengan rakan.

iii. Jumlah saman yang dikenakan sama tanpa mengira had laju

Jumlah kompaun yang sama iaitu RM300 biasanya dikena tanpa mengira had laju yang di catatkan adalah amat tidak adil. Kalau kita lihat dalam undang-undang contohnya rasuah, denda yang dikenakan bebeza mengikut jumlah rasuah yang di ambil, begitu juga dalam pengedaran dadah. Justeru PDRM sewajarnya mengenakan jumlah saman yang bebeza bergantung pada had laju. Contohnya kereta yang dipandu melebihi had laju tetapi masih di bawah had laju kebangsaan iaitu 90km sejam dikenakan saman RM100. Seperti memandu 78km di kawasan had laju 60km. Mereka yang memandu melebihi 90km hingga 110km dikenakan saman RM200 dan yang memandu melebihi 110km barulah dikenakan kompaun maksimum RM300. Rasionalnya ialah mereka yang memandu di bawah 90km ini bukan dalam golongan “kaki racing”, mereka cuma kadang tidak terpandang papan tanda hadlaju atau jalan yang lengang ketika itu. Tetapi mereka yang memandu melebihi 110km sejam memanglah boleh di kategorikan sebagai “kaki racing” yang boleh menyebabkan kemalangan dan wajar dikenakan kompaun maksimum.

iv. ‘Blacklist’ hendaklah dibuat setiap tahun bukan setelah 10 tahun

PDRM dan JPJ sepatutnya menyenarai hitam pemandu yang enggan membayar saman ini setiap tahun bagi mengelakkan ianya tertunggak telalu lama yang mana akan menyukarkan pemandu untuk membayar jumlah yang terlalu banyak seperti yang berlaku sekarang. Walaupun kerajaan ada memberi insentif diskaun tetapi apabila jumlah yang terkumpul terlalu lama ianya pasti menjadi bebanan kepada rakyat untuk menjelaskannya dalam masa yang singkat. Bukan semua rakyat berkemampuan lebih-lebih lagi ketika ekonomi jatuh seperti sekarang. Kita tidak mahu natijahnya nanti lebih teruk di mana mereka akan mamandu kenderaan tanpa cukai jalan bagaimana nanti jika berlaku kemalangan? Dan lebih parah lagi ada yang maminjam along untuk menyelesaikan saman bagi memastikan mereka boleh memperbaharui cukai jalan.

Maka boleh kita simpulkan di sini kaedah penyelesaian yang terbaik ialah pihak PDRM perlu mengkaji mekanisma baru bagi perlaksanaan saman ekor ini. Antaranya ialah seperti yang pernah PDRM lakukan sekitar tahun 1990-an. Di mana pada ketika itu saman ekor di buat secara “tembak, tahan dan tulis saman” (3T). Kereta yang dipandu melebihi had laju akan dikesan oleh seorang anggota polis lalu akan ditahan selepas 1 atau 2 kilometer dari tempat kejadian oleh 2 atau 3 orang anggota polis lain serta saman terus di beri kepada pemandu. Ini secara langsung akan menyelesaikan semua masalah. Sekiranya PDRM menghadapi masalah kekurangan anggota mohonlah pertambahan anggota bukannya menjadi pak turut untuk melakukan kezaliman kepada rakyat.

Justeru saya amat-amat berharap kempen anti saman ekor (Kase) oleh PAS ini dapat terus diperjuangkan sehingga tercapai matlamatnya. LAWAN TERUS LAWAN! Kerajaan BN mesti diajar bahawa rata-rata rakyat faham akan rasionalnya penggunaan perangkap had laju, rakyat bersedia untuk membayar saman sekiranya perlaksanaannya teratur dan telus bukannya dengan cara menzalimi rakyat. Dan apa yang lebih jijik lagi ialah menjadikannya sumber pendapatan haram kerajaan.

Tiada ulasan: