Rabu, 23 Februari 2011

BILA NAK BERKUASA ATAU MENGEKALKAN KUASA JANGAN SAMPAI...MELAKUKAN KEGANASAN ATAU PENIPUAN SERTA TEKTIK JAHAT@PENYAMUN TARBUS

Banyak cara selesai kemelut, bukan guna peluru
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 23 Feb: Dewan Pemuda PAS Pusat hari ini menyerahkan memorandum kepada Kedutaan Libya bagi membantah kekejaman pemerintah negara itu membunuh rakyat sendiri berdemonstrasi anti kerajaan.

Penyerahan diketuai Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Azman Shapawi Abd Rani diiringi Setiausaha, Khairul Faizi Ahmad Kamil, Bendahari, Mohd Adram Musa, Naib Ketua Pemuda PAS Wilayah, Suhaimi Abd Aziz dan yang lain.

Memorandum diserahkan kepada wakil kedutaan itu kira-kira jam 11.05 pagi di hadapan pintu masuk ke bangunan itu dengan dikawal anggota FRU.

Azman pada sidang media selepas itu berkata, pemuda PAS mengecam sekeras-kerasnya tindakan kejam kerajaan pimpinan Muammar Gaddafi.

"Dewan Pemuda PAS melahirkan rasa sedih dengan kematian begitu ramai rakyat Libya akibat tindakan kerajaan mereka yang penyelesaian menggunakan cara keras.

"Kita yakin banyak lagi cara lain untuk menyelesaikan kemelut politik Libya selain menggunakan senjata api, peluru dan darah kepada rakyat negara itu," katanya.

Beliau turut menyifatkan kenyataan Gaddafi yang tidak akan tunduk kepada desakan rakyat dan sanggup membunuh peserta demonstrasi sebagai kenyataaan angkung dan sombong pemimpin itu.

Pada masa sama, satu kumpulan rakyat Libya turut mengadakan bantahan di luar bangunan kedutaan.

Kumpulan terdiri dari 100 orang itu melaungkan selogan 'Free Libya', 'Down Gaddafi', 'Gaddafi Go To Hell' sambil membawa gambar rakyat mereka yang terkorban dan pelbagai sepanduk menghentam kekejaman kerajaan negara mereka itu.

Sehingga hari ini dilaporkan lebih 500 orang telah terbunuh dalam bantahan anti kerajaan di negara itu.

Keadaan bertambah buruk selepas kumpulan anti kerajaan bertembung dengan kumpulan pro kerajaan.

Turut difahamkan, angka kematian akan terus meningkat ekoran tindakan kerajaan itu yang menggunakan bom dan peluru yang dilepaskan dari helikopter ke atas himpunan.

Gaddafi ketika bercakap di televisyen semalam menegaskan beliau tidak akan meletakkan jawatan meskipun berhadapan dengan kebangkitan rakyat, secara besar-besaran yang tidak pernah disaksikan sebelum ini.

Beliau dengan angkuh mendakwa pemuda yang menyertai demonstrasi itu sebagai sebagai “tikus dan askar upahan”, yang mahu menjadikan Libya sebagai negara Islam.

Sementara itu, PAS akan mengadakan himpunan aman di kedutaan sama selepas solat Jumaat, 25 Februari ini.

Himpunan anjuran Lajnah Antarabangsa PAS dengan kerjasama beberapa NGO itu akan diketuai Ahli Jawatan Kuasa PAS Pusat, Mohammad Sabu dan beberapa kepimpinan lain.


Presiden PAS, Datuk Fauzi di Kerdau malam ini
Harakahdaily

TEMERLOH, 23 Feb: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan menyampaikan ceramah di Kampung Teluk Sentang, Kerdau malam ini.

Pegawai Media PAS Pahang, Hashim Abdullah berkata, ceramah bersama Presiden PAS itu adalah aktiviti biasa parti bagi memberikan penjelasan kepada rakyat terhadap isu-isu semasa yang berlaku.

Ini, katanya dengan harapan rakyat memperoleh kesedaran yang tinggi untuk melakukan perubahan sama ada dalam pilihan raya kecil Dun Kerdau dan pilihan raya umum akan datang.

Bersama Ustaz Abdul Hadi ialah Naib Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Pengerusi PKR Negeri Pahang, Datuk Fauzi Abdul Rahman dan Ketua Penerangan PAS Pahang, Hasanuddin Salim.

“Kami menyeru orang ramai terutamanya masyarakat setempat hadir beramai-ramai bagi mendapatkan penjelasan tentang isu-isu semasa yang berlaku di samping dapat bersuai kenal dengan pimpinan tertinggi PAS dan Pakatan Rakyat,” katanya.



Zairil Khir dilantik setiausaha politik Guan Eng
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 23 Feb: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengumumkan perlantikan Zairil Khir Johari sebagai setiausaha politiknya.

“Perlantikan ini akan berkuatkuasa dengan serta merta,” katanya pada sidang media di ibu pejabat parti itu, di sini hari ini.

Tambahnya, tugas Zairil adalah untuk membantunya dalam urusan politik sama ada dalam parti mahupun pada peringkat kebangsaan yang berpusat di Sekretariat DAP di Kuala Lumpur.

Katanya, Zairil mempunyai latar belakang dalam pelbagai bidang iaitu berkelulusan Sarjana dalam Pengajian Antarabangsa dan Diplomasi daripada School of Oriental and African Studies, University of London dan juga Sarjana Muda dalam Kejuruteraan Sistem Maklumat.

Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, Zairil merupakan usahawan dalam industri coklat tempatan, di mana beliau telah memperkenalkan teknologi percetakan penuh warna di atas coklat yang pertama di Malaysia.

“Saya yakin dengan pengalamannya yang luas dan pelbagai, Zairil akan memberi sumbangan yang positif kepada parti dalam perjuangan kita untuk menongkah arus demi mencapai matlamat kenegaraan yang adil dan saksama untuk setiap warga Malaysia,” ujarnya.

Zairil adalah anak bekas Menteri Pelajaran, Allahyarham Tan Sri Khir Johari.


Pemuda PAS bersama intifadah rakyat Libya
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 23 Feb: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) bersama anak muda di Malaysia menyambut dan menyokong kebangkitan dan intifadhah rakyat Libya yang bermatlamat untuk menolak rejim para diktator yang korup dan berjuang untuk menegakkan kerajaan berasaskan pilihan rakyat dan yang menjaga kebajikan rakyat.

“Kami kagum dan menyatakan hormat kami kepada keberanian rakyat Libya, kebanyakannya diterajui oleh anak muda, yang tidak takut kepada kereta kebal, jet pejuang serta peluru tentera,” tegas Pengerusi Lajnah Antarabangsa DPPP, Dr Raja Ahmad al-Hiss dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, katanya DPPP menyampaikan takziah kepada keluarga yang telah kehilangan ahli yang telah mempertaruhkan nyawa mereka untuk memperjuangkan kebebasan dan keadilan.

Sehingga ini dilaporkan lebih 200 rakyat Libya yang menyertai bantahan terhadap rejim Muammar Gaddafi terbunuh.

(Gambar: Rakyat Libya menyertai Pemuda PAS Pusat menyerahkan memo kepada Kedutaan Libya di ibu negara, pagi ini.)

DPPP turut mendesak Kerajaan Malaysia menyatakan pendirian terbuka di atas insiden pembunuhan kejam penunjuk perasaan rakyat Libya oleh rejim Gadaffi.

Ahmad menambah, pihak juga menyeru Persidangan Negara Islam (OIC) menghantar tentera pemantau bagi memastikan tiada lagi insiden pembunuhan kejam oleh rejim Gadaffi.

DPPP juga mendesak regim Muammar Gaddafi berundur dan kuasa secara aman perlu dilaksankan segera kepada sebuah kerajaan transisi sehingga piliharanraya yang bebas diadakan, mendesak tentera Libya supaya bersama kebangkitan rakyat.

Tambahnya, kerajaan Malaysia perlu menggunakan saluran diplomatik untuk memberi tekanan kepada Muammar Gaddafi untuk berunding dengan golongan pro-demokrasi agar peralihan kuasa berlaku dengan aman kepada kerajaan transisi sehingga piliharan raya yang bebas dan adil dilaksanakan.

“DPPP menyeru semua rakyat Malaysia untuk bersama untuk solidariti kebangkitan umat Islam Libya,” ujarnya.

Persekutuan Hak Asasi Manusia Antarabangsa (IFHR) melaporkan bahawa beberapa buah bandar di Libya termasuk Benghazi dan Sirte telah dikuasai para penunjuk perasaan anti-pemimpin Muammar Gaddafi selepas pasukan-pasukan tentera dikatakan berpaling tadah dengan menyertai tunjuk perasaan.

Pendekatan kekerasan yang digunakan oleh pihak rejim dalam menangani kumpulan penunjuk perasaan anti-kerajaan dikecam hebat oleh pemimpin tempatan mahupun luar negara.

Amerika Syarikat melalui Setiausaha Negaranya, Hillary Clinton telah menggesa pihak rejim untuk menghentikan pertumpahan darah yang berlangsung sejak awal minggu lepas.

Walau bagaimanapun, gesaan itu dibalas dengan serangan-serangan peluru berpandu serta bom oleh pesawat-pesawat pejuang dan helikopter-helikopter rejim ke atas penunjuk perasaan yang berhimpun di sekitar ibu negara Libya, Tripoli.

Insiden yang berlaku terhadap penunjuk perasaan yang tidak bersenjata itu dilihat sebagai satu tindakan yang tidak berperikemanusiaan oleh rejim terhadap rakyat Libya.

Kelmarin anak lelaki Muammar, di samping menjanjikan reformasi yang signifikan terhadap pentadbiran, beliau telah memberi amaran kerajaannya akan mempertahankan negara itu daripada demonstrasi sehingga peluru dan anggota pasukan keselamatan terakhir, malah memberi amaran perang saudara akan tercetus.

Ekoran daripada beberapa peristiwa berdarah yang berlaku, ramai tokoh penting dalam pentadbiran rejim yang dicemari dengan nepotisme telah menyertai tindakan pembangkang. Antaranya termasuklah Menteri Keadilan, Mustapha Abdul Jalil dan Duta Libya ke Liga Arab, Abdel Moneim al-Honi yang mengumumkan beliau menyertai revolusi. Manakala duta ke India, Ali al-Essawi pula memberitahu BBC, beliau meletakkan jawatan ekoran tindakan ganas kerajaan ke atas penunjuk perasaan.

Kuasa Muammar yang sudah memerintah negara itu selama 42 tahun semakin lemah dari hari ke hari. Letusan kuasa rakyat dijangka pasti lambat laun menghancurkan rejim kejam itu.


Mintalah sungai pun nescaya akan dapat
Harakahdaily

TEMERLOH, 23 Feb: PAS yakin semua permintaan rakyat di Kerdau dan Merlimau akan ditunaikan oleh Barisan Nasional (BN) sempena dengan pilihan raya kecil kedua-dua kawasan itu sekarang.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, beliau yakin, jika rakyat minta sungai atau betulkan jalan yang bengkang bengkok pun akan ditunaikan oleh kerajaan BN sekarang.

"Tuan-tuan mintalah apa sahaja. Musim ini tuan-tuan, kalau nak sungai pun mereka akan lulus. Kalau tuan-tuan nak luruskan jalan yang bengkang bengkok pun, mereka akan buat," kata beliau di majlis ceramah dekat sini.

Namun begitu, Tuan Ibrahim yang juga Yang Dipertua PAS kawasan Kuala Krau dan Pesuruhjaya PAS Pahang mengingatkan rakyat kawasan itu agar mengingati apa yang berlaku dalam kawasan pilihan raya kecil sebelum ini.

"Sebelum tuan-tuan percaya kepada janji-janji mereka, tuan-puan kena ingat pilihan raya kecil Sanggang di Temerloh sebelum ini. Ketika itu, beratus-ratus lori bawa batu jalan masuk ke kampung-kampung untuk membaiki jalan yang berlubang.

"Namun, akhirnya selepas pilihan raya, batu itu tinggal batulah. Jalan raya tuan-puan tetap macam itu juga," katanya mengingatkan janji BN semasa pilihan raya kecil Sanggang sebelum ini.

Kerdau adalah kawasan pilihan raya yang berjiran dengan kawasan pilihan raya kecil Sanggang sebelum ini.

Dalam pilihan raya itu, PAS meletakkan Datuk Hishamudin Yahya untuk bertanding namun kalah di tangan calon BN.

Tuan Ibrahim mengingatkan, kali ini orang-orang yang sama dengan watak-watak yang sama akan datang lagi ke Kerdau.

"Namun tuan-puan kena ingat, jangan sampai tertipu buat kali kedua," katanya.

Menurut Tuan Ibrahim, walaupun BN menang beberapa pilihan raya kecil kebelakangan ini, mereka sangat takut dengan kebangkitan rakyat sejak 2008 hingga kini.

"Walaupun PM menang besar dalam pilihan raya umum 2008, namun kenaikan yang ketara jumlah pengundi di Pekan menunjukkan PM sendiri sangat bimbang.

"Sebab itu, Perdana Menteri selalu saja mengulangi, Mesir tidak sama dengan Malaysia. Percayalah di Malaysia, rakyat yang kena dulu, Mesir tidak," katanya merujuk kepada kebangkitan rakyat Mesir.

Menurut Tuan Ibrahim, Umno sangat bimbang dengan tawaran 100 hari pertama Pakatan Rakyat melalui buku Jingganya.

"Sewaktu kita tawarkan program 100 Paktan Rakyat, PM berulang kali berkata, negara akan bangkrap jika ia dilaksanakan," katanya.

Sebenarnya, kata Tuan Ibrahim, tawaran yang dibuat oleh Pakaran Rakyat itu berdasarkan kajian teliti dan penyelidikan mendalam yang dibuat dan atas kemampuan negara.

"Yang paling menakutkan mereka, bila kita berjanji nak beri RM500 elaun tambahan sebulan kepada semua guru di Malaysia. Mereka kata, negara akan bangkrap.

"Namun, baru-baru ini, lebih 800 guru-guru besar dinaikkan gaji mereka...boleh pula," kata Tuan Ibrahim.

Pakatan Rakyat juga, kata Tuan Ibrahim, menawarkan untuk menghapuskan tol dalam program 100 harinya.

"Baru-baru ini, Perdana Menteri mengumumkan penurunan kadar tol....kalau panjanglah lagi tempoh menjelang pilihan raya ini, mereka akan tiru satu persatu cadangan kita," kata beliau.

Klik untuk tonton video ucapan Tuan Ibrahim


Lawak jenaka Mahathir dan politik Ikhwan
Ahmad Lutfi Othman
Untuk merampas kembali beberapa negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat, selain mempastikan Putrajaya masih dalam genggaman, maka jentera Umno-BN tentunya ligat mencari dan mengusahakan jalan keluar. Usaha meraih sokongan dan simpati melalui kerja-kerja propaganda secara terbuka tidak dapat menyembunyikan komplot atau konspirasi lebih besar, yang terselindung daripada pengetahuan umum, malah sukar untuk dihidu.

Sejak merdeka, Umno gagal membuktikan keupayaannya untuk memenangi pilihan raya secara "anak jantan". Segala kemudahan dan perkakas kerajaan diperalatkan, manakala kekuatan pembangkang dilumpuhkan melalui pelbagai tindakan kekerasan dan penggunaan undang-undang. Jarang hujah saingan politiknya disanggah dengan argumen. Mereka berlindung di sebalik akta zalim seperti ISA, di samping mengamalkan rasuah politik dan menimbulkan budaya takut.

Apabila BN menghadapi kejutan dalam pilihan raya 1999, ekoran era Reformasi, apabila majoriti pengundi Melayu menunjukkan penentangan terbuka kepada Dr Mahathir Mohamad, ramai menyifatkan Umno bagai lembu nazak selepas disembelih, hanya menunggu maut menjemput. Saya cuba melihat di sebaliknya. Umno masih berkuasa penuh.Ia masih memegang majoriti dua pertiga. Kemudahan kerajaan termasuk institusi penting demokrasi, khususnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), terbuka untuk diperalatkannya.

Masakan Mahathir hanya menunggu takdir melihat Umno dibungkus sejarah dan beliau terlucut jawatan perdana menteri. Secara licik, perancangan dilakukan penuh strategik. Senarai pendaftaran pemilih dan proses persempadan semula kawasan Parlimen dijadikan tumpuan. Untuk mendapat kerjasama SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) misalnya bagi mewujudkan "pengundi hantu", adalah perkara mudah.

Pembangkang hanya mampu melahirkan rasa terkejut dengan penambahan mendadak jumlah pendaftaran pengundi baru di kawasan tertentu, khususnya Terengganu, tanpa menyedari ia satu grand design merampas balik negeri yang kaya dengan minyak itu.

PRU12 lebih buruk berbanding 1999. Mustahil strategis Umno (termasuk Apco) duduk diam atau "biasa-biasa sahaja" menghadapi PRU13 nanti. Benar, Najib cuba menjana pelbagai bentuk transformasi, namun di belakang tabir, saya yakin banyak "perancangan kotor" yang sedang berjalan secara cukup sulit. Dibimbangi kita hanya tersedar selepas pelan licik itu berjaya disempurnakan dalam pilihan raya nanti.

Pendedahan wartawan Saidah Hairan tentang operasi pertukaran alamat penduduk Sabah -- yang mendapat kerjasama sepenuhnya pejabat JPN di Shah Alam -- untuk mengundi di Selangor mungkin cebisan kecil daripada konspirasi lebih besar yang masih belum dapat dibongkar. Saidah berada di lokasi kejadian dan sempat berbual-bual dengan mereka yang terlibat.

Umno Selangor yang diterajui Najib Razak sendiri sedang meniti laluan "hidup atau mati". Apa jua akan dilakukannya bagi memastikan Umno dapat merampas Selangor dalam PRU13 sebelum kekuatan Pakatan Rakyat terasas lebih kukuh di negeri paling maju itu.

Ramai syak bahawa ada operasi lebih besar berkaitan senarai daftar pemilih, juga melibatkan kerjasama erat JPN dan SPR. Ia bukan sekadar mengagihkan pengundi ke lokasi lebih strategik berdasarkan kepentingan politik Umno, tetapi juga membabitkan warga asing yang mungkin diberikan kad pengenalan untuk kegunaan di hari mengundi. Proses penyamaran identiti dan mengundi lebih sekali bukan perkara baru di Malaysia.

Usaha membersihkan proses pilihan raya di negara ini masih meniti jalan-jalan penuh krikil ... Harakah mengalu-alukan informasi tentang konspirasi Umno ini jika anda mempunyai bahan bukti atau sumber cerita yang boleh kami lanjutkan.

II. Mahathir, Menteri Dalam Negeri yang paling lemah kuasanya?

Dr Mahathir Mohamad, 17 Feb lalu, berkata beliau sebenarnya mahu memansuhkan ISA ketika memegang tampuk pemerintahan negara selama 22 tahun. Bagaimanapun, dakwanya, usaha itu gagal kerana Polis Diraja Malaysia (PDRM) menolak cadangan tersebut.

"ISA harus digunakan ikut keperluan tapi bila saya jadi perdana menteri saya mahu ia dimansuhkan tetapi polis menentang. Bila saya cadangkan usul itu, ia ditolak," katanya pada Forum Cabaran Semasa Demokrasi dan Perlembagaan ke Arah Pencapaian Wawasan 2020 di bangunan Parlimen. Sebelum ini, merujuk Ops Lalang 1987 yang melibatkan lebih 100 orang tokoh masyarakat dan penggantungan empat akhbar, Mahathir juga menyalahkan pihak polis.

Saya pelik mengapa Mahathir perlu menimbulkan isu ini dengan nada berbeda. Apakah Mahathir mahu menulis semula sejarah daripada kacamatanya sendiri, walaupun terpaksa melakukan pendustaan terang-terangan? Mungkinkah rasa bersalah bekas Perdana Menteri ini membuatkan beliau resah-gelisah sehingga sanggup berbicara apa sahaja menurut sedap hatinya?

Regim Mahathir memang penuh babak-babak kontroversial. Beliau diasak pelbagai masalah, sama ada dari dalam Umno, dengan raja-raja, pihak peguam, kesatuan sekerja, ulamak, hakim dan lama sebelum itu, dengan mahasiswa. Tidak sedikit korban yang gugur ekoran pertembungan itu. Paling menjolok mata, partinya sendiri, Umno, diharamkan atas kehendak beliau. Kebebasan institusi kehakiman musnah; tiga hakim Mahkamah Agung termasuk Ketua Hakim Negara dipecat melalui proses tribunal yang mengelirukan.

Khususnya selepas pemilihan presiden Umno 1987, yang menyaksikan beliau hampir tumpas kepada Tengku Razaleigh Hamzah, Mahathir bertindak keras mengetatkan lagi akta zalim seperti Akta Polis, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan dan ISA. Elok ditekankan di sini, Mahathir juga sepanjang pemerintahannya melakukan siri pindaan perlembagaan bagi membataskan kuasa hakim dan mahkamah, sebaliknya memperuntukkan lebih kuasa kepada eksekutif, iaitu dirinya sendiri.

Saya masih ingat situasi cemas yang sengaja diwujudkan sekitar pertengahan 1987 membawa kepada hari gelita, 27 Oktober 1987. Kedudukan Mahathir memang terancam. Sentimen perkauman berkaitan isu sekolah Cina sengaja diapi-apikan. Anehnya, tokoh-tokoh politik Umno dan MCA yang galak menimbulkan rasa gelisah ketika itu, termasuk Najib Razak, tidak pula dikurung. Pimpinan PAS pula yang ditahan, antaranya Mohamad Sabu, Khalid Samad, Halim Arshat dan Mahfuz Omar.

Mahathir boleh saja mendapat sokongan bekas Ketua Polis Negara, Abd Hamid Omar atas dakwaannya bahawa inisiatif penahanan dimulakan oleh polis tetapi saya tidak mempercayainya, sekali gus beranggapan ia satu lagi "jenaka terbaik" Mahathir. Gerak itu mesti bermula dan dirancang oleh orang politik yang berkepentingan. Tiada pihak paling mendapat manfaat daripada Ops Lalang itu melainkan Mahathir.

Memang semasa mula menjadi PM, Mahathir membebaskan beberapa orang tahanan ISA. Najib juga meneladaninya. Tetapi apabila berdepan krisis, berikutan dasar dan pendekatan pemerintahannya yang menimbulkan banyak penentangan, Mahathir "akan menggunakan sebesar-besar senjata walaupun untuk memusnahkan musuh yang kecil".


Okey, kita terimalah dulu lawak Mahathir itu. Bersopan sungguh Mahathir dalam kerjanya, ya? Sentiasa mengutamakan pandangan pihak lain walaupun bercanggah dengan dirinya. Soalnya, kalaupun ISA tidak dapat dimansuhkan, mengapa pula Mahathir sentiasa memperketatkan akta itu dari masa ke semasa walaupun ancaman komunis bersenjata yang menjadi punca penggubalan ISA sudah berakhir? Berbanding tiga PM sebelumnya, Ops Lalang membabitkan paling ramai penahanan tokoh masyarakat berprofil tinggi.

Mengapa apabila berdepan permohonan habeas corpus Lim Kit Siang, salah seorang tahanan ISA 1987, dan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang terpaksa melepaskannya, maka dengan segera dan tergesa-gesa Mahathir melakukan pindaan akta berkenaan apabila kes ditangguhkan. Hari ini pindaan dibahaskan di Dewan Rakyat, esok dibawa ke Dewan Negara dan kemudiannya pantas diwartakan. Apabila kes Kit Siang disambung perbicaraan, peluang beliau dibebaskan tertutup rapat disebabkan hakim telah menggunakan akta yang baru dipinda itu!

Begitu juga dengan kes penangkapan Karpal Singh, di bawah Ops Lalang. Pada 9 Mac 1988, Mahkamah Tinggi Ipoh membebaskannya disebabkan fakta pertuduhan pihak polis didapati tidak benar. Karpal didakwa memberi ucapan berbaur hasutan di satu lokasi sedangkan beliau berada di tempat lain ketika itu. Hanya beberapa jam selepas dibebaskan mahkamah, Karpal ditangkap semula. Pihak Peguam Negara kemudiannya membuat rayuan kepada Mahkamah Agung atas keputusan Mahkamah Tinggi.

"Jangan dok merapu lagilah Mahathir," SMS seorang kawan.

III. Gerak politik Ikhwan semasa Revolusi 1952 tersasar?

Ikhwan Muslimin -- walaupun selepas ditekan dan dianiayai selama lebih 60 tahun -- diakui gerakan paling tersusun, kuat dan berpengaruh di Mesir. Kini, selepas Hosni Mubarak tersungkur, bukan saja warga Mesir menanti langkah dan kebijaksanaan pemimpin Ikhwan, malah dunia sedang memerhatikannya penuh minat. Revolusi rakyat yang turut menganugerahkan ramai syuhada itu membawa harapan cukup besar bagi memastikan proses pembaharuan berjalan lancar.

Semasa saya mencari-cari catatan pengalaman demonstran di Medan Tahrir (disebabkan rasa kagum dengan kecekalan dan kehebatan mereka bertahan selama hampir 20 hari), saya disuakan dengan analisis menarik pakar Timur Tengah, Dr Mohammad Redzuan Othman tentang Ikhwan. Bagaimanapun perkembangan yang disorotnya itu bukan situasi terkini, tetapi bedah-siasat kegagalan Ikhwan dalam konflik politik di Mesir, antara tahun 1948-1954. Umumnya, artikel itu seperti menonjolkan banyak kelemahan Ikhwan tetapi saya berasakan ia penting untuk melihat sejauhmana pemimpinnya kini dapat memanfaatkan iktibar masa lalu, berdepan realiti kritikal hari ini.

Ikhwan ketika itu muncul sebagai organisasi yang paling mendapat sambutan rakyat dengan keahlian dua juta. Hinggakan apabila meletus perang di Palestin, Ikhwan merupakan satu-satunya organisasi yang berjaya menghantar sukarelawan terlatih untuk menentang Israel. Pasukan ini mendapat sanjungan kerana keberanian dan kehebatannya. Bagaimanapun, dengan pengalaman dan pemilikan senjata, Ikhwan terdedah kepada risiko besar terutama disebabkan tindakan segelintir anggotanya yang melakukan keganasan politik, di luar pengetahuan dan kawalan Hasan Al-Banna.

Berpunca daripada insiden "keganasan", Ikhwan diharamkan, dan 32 anggotanya ditangkap bersama sejumlah senjata. Al-Banna menegaskankan senjata itu untuk menentang Israel dan kewujudannya diketahui pemerintah. Pembunuhan Perdana Menteri, Nokrasyi Pasya, memburukkan lagi imej Ikhwan. Selepas Al-Banna ditembak syahid pada 1949, Ikhwan bukan saja sukar menjadi pengganti sedinamik beliau, malah menghadapi masalah perebutan kuasa, yang mengakibatkan pengaruhnya semakin lemah. Hasan Al-Hudaibi, bagi pimpinan Ikhwan tertentu, bukan pengganti terbaik kerana dikira masih baru dalam jamaah dan bukan dari kalangan pengasas; perlantikannya mencetuskan perpecahan dalaman. Beliau berlatarbelakang perundangan, seorang yang bersikap sederhana, tenang dan lemah-lembut.

Mesir pula mencatat sejarah apabila Raja Farouk digulingkan dalam Revolusi Julai 1952, yang digerakkan sekumpulan pegawai tentera, Free Officers (diketuai Mohamed Neguib dan Gamal Abdul Nasser). Secara tidak langsung kemarahan rakyat kepada raja turut disumbangkan oleh Ikhwan. Free Officers dianggarkan hanya dianggotai 50 pegawai tentera, dengan hubungan yang longgar dan spontan. Menyedari Ikhwan mempunyai pengaruh besar di kalangan rakyat serta mantap organisasinya, Free Officers sedaya upaya cuba mewujudkan kerjasama dan persefahaman, terutama di peringkat awal.

Sebagai tanda persahabatan, Free Officers memenuhi tuntutan Ikhwan, antaranya membuka kembali kes pembunuhan Al-Banna, membebaskan anggota yang ditahan, pembubaran polis rahsia dan pelantikan seorang penyokongnya, Kolonel Rashad Muhanna sebagai salah seorang menteri kabinet dalam kerajaan sementara. Ikhwan nampak berpuas hati dan memberikan sokongan, tetapi pada masa sama Free Officers memperkukuhkan dominasinya dalam politik Mesir bagi membolot kuasa, selain berhasrat melakukan komplot jahat memusnahkan Ikhwan. Pada 14 Oktober 1952, Rashad MUhanna digugurkan daripada Majlis Revolusi disebabkan beliau lantang bersuara supaya dilaksanakan Perlembagaan Islam di Mesir.

Semasa Free Officers memperkukuhkan kedudukannya, Ikhwan pula dilanda krisis demi krisis. Dalam mesyuarat majlis syira pada 9 Disember 1953, beberapa tokoh penting Ikhwan dipecat keanggotaannya, seperti Muhammad Al-Ghazali dan Sayyid Sabiq. Nasser menyedari kewujudan krisis dalaman itu dan beliau mengambil kesempatan melaga-lagakan pemimpin Ikhwan. Regim tentera juga berjaya menyusup masuk. Perancangan rapi diatur bagi mengharamkan Ikhwan, dan hanya selepas satu setengah tahun sahaja selepas revolusi, ia diharamkan, manakala 450 anggotanya ditangkap termasuk semua ahli majlis syura dan Mursyidul Amnya, Hasan Al-Hudaibi.

Susulan itu, pada 26 Oktober 1954, "drama" pembunuhan Nasser dilakonkan apabila beberapa das tembakan dilepaskan ketika beliau memulakan ucapannya di Iskandariah. Penembaknya dikatakan seorang anggota pertubuhan bersenjata Ikhwan. Tiada yang cedera, cuma beberapa mentol lampu sahaja pecah. Nasser meneruskan ucapan dan menonjolkan imejnya sebagai manusia yang mendapat perlindungan Allah daripada angkara "pengkhianat". Peristiwa itu digunakan regim tentera untuk menghapuskan Ikhwan. Sebelum subuh 27 Oktober 1954, lebih 7,000 penyokong dan pemimpin Ikhwan ditangkap. Tujuh pemimpinnya dihukum gantung dan tujuh lagi dipenjarakan seumur hidup.

Redzuan merumuskan, Ikhwan membuat beberapa perhitungan politik yang boleh dipertikai. Walaupun mempunyai pengaruh dan kekuatan tetapi Ikhwan tidak menggunakan kesempatan apabila sampai masanya dan kesempatan ini disebut pihak lain. Mereka tidak menggunakan tawar-menawar politik yang berkesan di peringkat awal ketika Free Officers masih lemah. Inggeris juga melakukan sabotaj dalam perundingan dengan Ikhwan (sehingga dituduh membelot kepada negara) dan ini memberi tekanan lagi kepadanya. Kewibawaan Nasser, terutama dari segi imiginasi politiknya yang baik, berjaya menyingkirkan semua saingannya. Nasser bukan saja membunuh ramai pemimpin Ikhwan, malah memaksa mereka melarikan diri sehingga ke Eropah.

Kini, masa berubah. Gerak politik Ikhwan selepas Revolusi Rakyat Medan Tahrir tentu juga berbeda.

Tiada ulasan: