Rabu, 16 Februari 2011

JIKA DAH LAMA BERKUASA DAN RASA RAKYAT TAK SUKA...BERHENTILAH@LETAK JAWATAN...DAN SEDAR DAH BANYAK ZALIM DAN MENIPU RAKYAT...HUKUM MENUNGGU DIAKHIRAT

Hosni Mubarak jatuh sakit


SEBAHAGIAN kecil penunjuk perasaan Mesir masih berada di Dataran Tahrir di Kaherah semalam.


KAHERAH - Media Mesir mengeluarkan pelbagai laporan berhubung tahap kesihatan presiden Mesir yang disingkirkan, Hosni Mubarak, lapor sebuah akhbar semalam.

Kelmarin, sebuah akhbar Bahrain, Alwasat News menyatakan, Hosni kini tidak sedarkan diri. Sebuah lagi akhbar tempatan, Al Masry Al Youm pula melaporkan pemimpin tersebut tidak sedarkan diri sejak Sabtu lepas dan beliau berada di bawah penjagaan perubatan yang rapi.

Sebuah akhbar tempatan lain melaporkan Hosni jatuh sakit tetapi beliau enggan menerima rawatan perubatan.

Agensi berita rasmi Roee Nahmias semalam menafikan bekas presiden Mesir itu kini koma tetapi mengakui bahawa beliau jatuh sakit.

Bekas presiden berusia 82 tahun itu mengalami tekanan mental yang teruk dan menolak untuk dirawat walaupun beliau jatuh sakit, lapor sebuah lagi akhbar, Al-Gomhuria yang memetik beberapa sumber yang rapat dengan Hosni.

Menurut laporan tersebut, Hosni kini dipercayai berada di resort tepi pantai di Sharm el-Sheikh.

Dalam perkembangan berkaitan, Duta Mesir ke Amerika Syarikat (AS), Sameh Shoukry semalam tidak menolak bahawa kesihatan Hosni semakin terjejas ketika ditanya berhubung laporan media bahawa beliau mungkin diserang strok atau berada dalam keadaan koma.

"Saya mengikuti desas-desus dan laporan media tentang kesihatan beliau (Hosni) dan mendapat maklumat yang menunjukkan kesihatan beliau kini terjejas," kata Sameh dalam satu temu bual dengan program bual bicara Today Show terbitan NBC.

Bagaimanapun, duta berkenaan menegaskan: "Saya tidak mendapat maklumat mencukupi. Justeru saya tidak mahu membuat spekulasi tentang punca Hosni jatuh sakit."

Pada tahun lalu, Hosni berkunjung ke Jerman untuk menjalani pembedahan pundi hampedu.

Hosni meletak jawatan dan menyerahkan kuasa kepada tentera Mesir pada Jumaat lalu selepas 18 hari berdepan tunjuk perasaan anti-pemerintah.

Kepimpinan tentera yang baru telah membubarkan Parlimen dan menggantung perlembagaan negara kelmarin.

Sementara itu, pihak tentera yang memerintah negara itu selepas Hosni meletakkan jawatan meminta semua pekerja tidak melancarkan mogok dan protes di Dataran Tahrir.

Permintaan itu dianggap sebagai satu amaran sebelum pihak tentera melarang semua bentuk perhimpunan dan mogok.

Semalam, askar-askar membersihkan sampah sarap dan timbunan bangkai kereta serta khemah di Dataran Tahrir yang menjadi tempat para penunjuk perasaan berkampung sejak 25 Januari lalu bagi menuntut Hosni meletakkan jawatan. - Agensi

Pekerja awam pula protes


TAK PUAS HATI...pekerja pengangkutan Mesir berkumpul di depan ibu pejabat stesen televisyen negara itu di Kaherah, semalam, bagi menuntut kenaikan gaji.
TAK PUAS HATI...pekerja pengangkutan Mesir berkumpul di depan ibu pejabat stesen televisyen negara itu di Kaherah, semalam, bagi menuntut kenaikan gaji.

KAHERAH: Ribuan kakitangan awam Mesir mengadakan protes, semalam, bagi mendesak diberi gaji serta keadaan kerja lebih baik.

Di luar bangunan stesen radio dan televisyen kerajaan, beratus-ratus pekerja pengangkutan awam berdemonstrasi menuntut kenaikan gaji, manakala ratusan ahli Pertubuhan Belia dan Sukan Mesir turut menunjuk perasaan di Dataran Tahrir membuat tuntutan sama.


Di seberang Sungai Nil di daerah Giza, beratus-ratus pemandu ambulans - dengan tuntutan kenaikan gaji dan diberi kerja tetap - turut mengadakan protes.

Di tengah Kaherah, kira-kira 200 anggota polis terus mengadakan protes untuk hari kedua.


Selain mahu membersihkan nama sebagai tali barut rejim Hosni Mubarak, anggota keselamatan itu juga mahu diberi gaji lebih baik.


Sambil membawa gambar rakan mereka yang terbunuh dalam pertempuran dengan penunjuk perasaan sebelum ini, anggota polis terbabit turut menyalahkan rejim Hosni.


Disebabkan mogok kakitangan bank terbesar Mesir - Bank Nasional - Bank Pusat terpaksa mengarahkan semua bank di negara itu ditutup.


Operasi dijangka disambung semula esok selepas cuti Maulidur Rasul hari ini.

Bagaimanapun, pasaran saham akan terus ditutup sehingga minggu depan walaupun sebelum ini pentadbirannya mengumumkan bursa itu akan dibuka esok selepas tergendala selama tiga minggu.


Majlis Tertinggi Angkatan Tentera yang mengambil alih kuasa daripada Hosni pada Jumaat lalu berkata, keselamatan dan pemulihan keadaan dalam negara menjadi keutamaan mereka.


Mereka juga menyeru orang ramai kembali bekerja bagi menyelamatkan ekonomi Mesir yang terjejas akibat protes besar-besaran selama 18 hari.


Tentera turut menggalakkan golongan muda mempertimbangkan idea menubuhkan parti politik dan berjanji mengadakan pertemuan dengan mereka secara kerap. - AP



Aktivis reformasi berunding dengan junta tentera


KAHERAH: Aktivis dalam talian yang menganjurkan kebangkitan rakyat semalam berkata, mereka kini membincangkan isu reformasi dengan pemerintah tentera Mesir.

Menurut mereka, junta tentera - yang menggantung Perlembagaan pada Ahad lalu - berjanji memindanya dalam tempoh 10 hari dan mengadakan pungutan suara tidak lama lagi.


Majlis Tertinggi Angkatan Tentera menetapkan tempoh enam bulan untuk menyerahkan semula kerajaan kepada pihak awam dan mengadakan pilihan raya umum.

Bagaimanapun, Kabinet baru yang dilantik Hosni Mubarak pada 31 Januari lalu tidak akan dibubarkan.


Eksekutif Google yang pernah ditahan rejim Mesir, Wael Ghonim, bersama bloger Amr Salama, mengesahkan berbincang dengan junta tentera bagi mengetahui pandangan mereka mengenai isu semasa.


“Kami mahu memahami pendirian mereka sambil menyampaikan pandangan kami,” katanya. - AFP



Penunjuk perasaan di Dataran Tahrir diberi kata dua



KAHERAH: Tentera Mesir memberi kata dua kepada penunjuk perasaan yang masih berhimpun di Dataran Tahrir semalam, dalam usaha mereka memulihkan kehidupan orang ramai di negara itu.

Terkenal sebagai pusat menjatuhkan Hosni Mubarak, tentera mahu penunjuk perasaan meninggalkan dataran itu atau berdepan dengan tangkapan.


Kelmarin, berlaku pergelutan apabila tentera membuka semula kawasan itu untuk aliran trafik.

Bagaimanapun, kira-kira 40 penunjuk perasaan masih bertegas mahu terus berkumpul di situ sehingga tuntutan mereka untuk memulihkan demokrasi di Mesir ditunaikan.


Seorang daripada pemimpin penunjuk perasaan, Yahya Saqr, berkata polis tentera kini mengepung kawasan itu.


“Kami masih berbincang untuk menentukan langkah selanjutnya,” katanya.


Menurut pemimpin demonstrasi itu, mereka tidak teragak-agak akan menggerakkan protes baru jika tuntutan reformasi mereka tidak diendahkan.


Mereka juga merancang mengadakan ‘Perarakan Kemenangan’ pada Jumaat ini bagi meraikan kejayaan menumbangkan Hosni daripada kekuasaannya sebagai presiden Mesir selama 30 tahun.


Perarakan itu juga dianggap langkah golongan muda menunjukkan kekuatan mereka untuk berdepan tentera jika perlu.


Kebanyakan poster dan kain pemidang mengecam Hosni di dataran itu dibuang, tetapi gambar anak muda Mesir yang terbunuh dalam kebangkitan rakyat itu - digelar Syuhada Revolusi - masih dibiarkan tergantung di tiang lampu.


Sukarelawan pula bekerjasama membersihkan dataran serta jalan raya daripada longgokan sampah-sarap ditinggal penunjuk perasaan sebelum ini.


Di tengah bulatan di dataran yang dipenuhi khemah sehingga Ahad lalu, pengguna jalan raya dapat melihat satu bendera gergasi Mesir.


Pada bendera itu ditulis: Hari yang indah di Dataran Tahrir. Kami cintakan kamu”. - Reuters



Ribuan mahasiswa, peguam desak Presiden Yaman undur segera



SANAA: Beribu-ribu mahasiswa dan peguam mengadakan tunjuk perasaan menuntut Presiden Yaman, Ali Abdullah Saleh, meletak jawatan semalam, sebelum bertempur dengan polis antirusuhan.

Seorang saksi berkata, lebih 3,000 penunjuk perasaan berarak dari Universiti Sanaa ke Dataran al-Tahrir bagi menyatakan protes mereka.

Pengguna jalan raya pula menyatakan sokongan dengan menjeritkan kata-kata “Selepas Mubarak, Ali!” merujuk kepada bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak.

Ali menjadi presiden sejak 32 tahun lalu.

Selain bertempur dengan polis, penyokong kerajaan turut mengadakan protes dan menyerang kumpulan prodemokrasi. - AFP

Tiada ulasan: