Rabu, 23 Februari 2011

BILA SKANDAL SEX DAH JADI BIASA...DAH TAK TERASA MALU...KES ROGOL DAN KES ZINA....BUANG ANAK TERUS MENINGKAT...SEBAB KES2 NI BERKAITAN...DA BERLAKU SEX...ADA YANG MENGANDUNG....UNDANG ALLAH...TAK ADA URA2 NAK DILAKSANAKAN...



Facebook haramkan gambar wanita mengandung




LONDON - Seorang wanita terkejut kerana gambarnya dalam keadaan hamil diharamkan oleh laman sosial Facebook, lapor akhbar The Sun semalam.
Gambar itu menunjukkan wanita tersebut, Angela Hurst (gambar) bergaya seperti aksi pelakon Demi Moore.
Gambar Angela yang dirakam oleh seorang jurugambar profesional itu dijadikannya sebagai gambar profil di muka surat Facebooknya.
Ia tidak sama seperti gambar Demi untuk majalah Vanity Fair pada Ogos 1991 yang dirakamkan dalam keadaan bogel. Sebaliknya, Angela memakai pakaian yang tidak menjolok mata.
Namun, hanya selepas tiga hari ia menjadi gambar profilnya, Facebook mengeluarkan gambarnya kerana dianggap menyalahi terma 'berbogel'.
Angela yang berusia 34 tahun dari Lee-on-Solent dekat Hampshire, England menyatakan bahawa gambar itu bukannya lucah kerana seluruh tubuhnya ditutup.
"Saya menerima banyak mesej, terutama daripada kaum wanita yang memberitahu mereka menyukainya. Mengingati tempoh mengandung ialah sesuatu yang menarik dan ia tidak bersifat seksual. Jika Demi boleh buat (merakamkan tubuhnya semasa hamil), kenapa tidak saya?" kata Angela.
Suami Angela, David berkata: "Gambar itu cantik. Tindakan ini agak berlebih-lebihan."
Sementara itu, seorang jurucakap Facebook pula menegaskan pihaknya melarang wujudnya unsur-unsur berbogel di laman tersebut. - Agensi


tengok keratan dan muka depan harian sinar.....

Kasanova perdaya wanita, lelaki, kaut RM60,000

22/02/2011 5:48pm

KUALA LUMPUR - Bermodalkan rupa paras menarik dan ayat-ayat yang meruntun jiwa, seorang lelaki berjaya mengaut RM60,000 daripada lima wanita dan seorang lelaki lain sejak Julai tahun lepas sehingga awal tahun ini.
Kesemua mangsa yang membuat aduan kepada Biro Pengaduan Awam MCA di sini mendakwa berkenalan dengan lelaki yang dikenali Ken Isaac itu menerusi laman sosial sebelum menjalin perhubungan dan persahabatan.
Ketua Biro Datuk Michael Chong ketika mendedahkan taktik lelaki itu kepada pemberita, di sini berkata, secara umum lelaki tersebut akan menagih bantuan kewangan daripada mangsa selepas tiga bulan menjalin perhubungan.
Selain itu kasanova ini yang mendakwa bekerja dalam industri pengiklanan dan mempunyai perniagaan sendiri turut menuntut hubungan seks daripada mangsa wanita, katanya.
Chong berkata, kasanova itu menggunakan modus operandi serupa ke atas semua mangsa dan akan menghilangkan diri selepas memperolehi sejumlah wang. - Bernama


Kandungan SMS Beng Hock didedah

22/02/2011 5:45pm

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya siasatan untuk kematian Teoh Beng Hock hari ini mendedahkan beberapa isi kandungan khidmat pesanan ringkas (SMS) dari telefon bimbit milik setiausaha politik Exco Selangor itu.
Jurubahasa Mandarin menterjemah beberapa SMS tersebut dan antara yang menarik perhatian adalah SMS yang diterima pada hari kematian Beng Hock 16 Julai 2009) daripada seseorang yang bimbang dengan keadaannya.
Ia tertulis “Beng Hock awak sudah popular, awak macam mana, kami bimbangkan awak, sudah keluar nanti jangan lupa hubungi kami yang awak selamat” dan “Beng Hock apa khabar, tadi ada orang mengatakan awak mati terjun bangunan, saya sangat takut buat saya terkejut. Selepas itu ada orang kata awak tak apa-apa, baru senang hati, harap awak tidak apa-apa, kak Lan"
Kedua-dua SMS tersebut dibuka dari ”inbox” telefon bimbit mendiang oleh seseorang yang masih tidak diketahui dan terdapat juga SMS yang menyatakan kehadiran pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan tindakan mereka memeriksa komputer.
Pada inkues lepas di Mahkamah Koroner Shah Alam, pihak yang terlibat tidak pernah menyoal mengenai maklumat di dalam telefon ini. - Bernama



Saintis dedah punca utama barah tekak

COLUMBUS - Saintis mendapati seks oral lebih berisiko menyebabkan barah tekak berbanding penggunaan tembakau menerusi aktiviti merokok, lapor sebuah akhbar semalam.
Berdasarkan hasil kajian terbaru, saintis-saintis mendapati aktiviti itu merupakan punca utama barah tekak dalam kalangan individu berusia di bawah 50 tahun.
Mereka berkata, virus papilomma manusia (HPV) yang merebak ketika aktiviti itu menjadi punca peningkatan barah tekak sejak beberapa dekad kebelakangan ini.
"Berpandukan bukti saintifik semata-mata, kami tidak tahu sama ada vaksin itu dapat mengekang jangkitan HPV yang menyebab-kan kanser," kata seorang penyelidik berkenaan, Profesor Maura Gillison dari Universiti State Ohio di sini.
"Namun, pakar-pakar bidang perubatan optimistik bahawa pelalian dapat mencegah jangkitan barah tekak akibat HPV," tambahnya.
Sebelum ini, HPV didapati menjadi punca 70 peratus kes kanser serviks dalam kalangan wanita.
Sejak 2008, gadis berusia 12 dan 13 tahun di sekolah-sekolah telah diberi pelalian mencegah virus tersebut. - Agensi


Karima mengaku skandal seks dengan Ronaldo


KARIMA El MAHROUG


ROM - Seorang penari gelek, Karima El Mahroug, 18, yang mempunyai hubungan mesra dengan Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi mengaku dia pernah menjalin hubungan seks dengan bintang bola sepak Portugal, Cristiano Ronaldo, lapor sebuah akhbar semalam.
Pengakuan tersebut dibuat Karima kepada pihak pendakwa raya yang melakukan siasatan sama ada perdana menteri itu pernah membuat bayaran kepadanya untuk melakukan hubungan seks.
Karima yang berketurunan Maghribi dan menggunakan nama komersial Ruby Rubacuori memberitahu, dia dan Ronaldo mengadakan hubungan seks selepas mereka bertemu di sebuah kelab malam.
Karima mendakwa, dia hanya berusia 17 tahun ketika bertemu dengan Ronaldo di sebuah hotel di Milan pada Januari 2010.
Menurutnya, sebaik sahaja dia bangun selepas aktiviti itu, Ronaldo yang merupakan bekas pemain kelab Manchester United (MU) itu sudah menghilangkan diri sambil meninggalkan wang tunai berjumlah 4,000 euro (RM16,625).
Akibat kecewa dengan tindakan Ronaldo, Karima mencurahkan minuman champagne kepada Ronaldo selepas mereka terserempak di sebuah kelab.
Bagaimanapun, Ronaldo yang dibeli Real Madrid dari MU dengan nilai 94 juta euro (RM390.15 juta) pada Jun 2009 itu menafikan tuduhan tersebut.
Dalam kenyataan Ronaldo menerusi laman maya GestiFute yang merupakan firma yang mewakili dirinya menjelaskan: "Beberapa media antarabangsa bertanya kepada saya tentang skandal seks bersama Karima yang sebelum ini mencipta kontroversi dengan kes Perdana Menteri Itali mengenai bayaran tutup mulut dan soal bawah umur.
"Laporan itu tidak benar sama sekali. Saya sendiri tidak mengenali wanita muda yang dimaksudkan ini. Saya juga tidak pernah bertemu, mengadakan janji temu atau terserempak dengannya sebelum ini. Buktinya, saya sedang mengadakan latihan bersama Real Madrid pada 29 Disember 2009.
"Secara fakta masa di antara Disember 2009 dan Jun 2010, saya tidak pergi ke Milan. Saya hanya menjadi mangsa akibat satu lagi laporan palsu. Namun, saya tidak akan sekadar berdiam diri terhadap sesiapa yang cuba mereka-reka cerita sambil memburukkan reputasi saya demi kepentingan peribadi mereka."
Karima baru-baru ini mengejutkan umum apabila dia dikaitkan dalam skandal seks dengan Berlusconi, 74.
Berlusconi, 74, akan dibicarakan di Itali pada April depan berhubung skandal seksnya dengan Karima semasa dia berumur 17 tahun oleh pihak pendakwa raya Milan. - Agensi


Gadis 17 tahun seberat 254kg


BENTUK tubuh Georgia Davis yang mempunyai berat
sehingga 254 kilogram.


ABERDARE, Wales - Berat seorang gadis berusia 17 tahun, Georgia Davis mencecah sehingga 254 kilogram (kg), lapor sebuah akhbar semalam.
Menurut Georgia, punca dia gemuk adalah kerana tekanan yang menyebabkan dia makan terlalu banyak.
Gadis itu akan meninggal dunia jika dia terus dengan tabiat pemakanannya.
Bagaimanapun, kata Georgia, dia kini berusaha untuk mengurangkan berat badannya.
"Saya tidak berusaha untuk memikirkan mengenai berat badan saya kerana ia akan menyebabkan saya berasa panik dan ia membuatkan masalah pemakanan saya akan menjadi lebih serius," katanya.
Georgia akan menutup cermin dengan kain di bilik tidurnya bagi mengelak dia melihat tubuhnya.
Gadis itu cuma keluar sehari seminggu dan kerap makan makanan segera pada waktu tengah hari.
Berat badan Georgia bertambah 44.45kg semasa dia berumur 15 tahun menyebabkan beratnya menjadi 209.55kg.
Menurut gadis itu, berat badannya berkurangan 95.25kg pada 2009 selepas mengikuti program diet di sebuah akademi di Carolina Utara, Amerika Syarikat.
Namun, berat badannya bertambah apabila kembali pulang ke sini kerana dia tidak lagi memakan makanan kurang berlemak disebabkan ibunya tidak mempunyai masa untuk memasak.
Dia kini berharap Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan milik kerajaan dapat membantunya untuk menguruskan badan. - Agensi



Ayam betina hasilkan telur gergasi


SEEKOR ayam betina mengeluarkan sebiji telur ayam gergasi (kanan) di Hampshire, Britain pada Khamis lalu.


WINCHESTER, Britain - Seekor ayam betina menelurkan sebiji telur gergasi yang besarnya lebih lapan kali ganda daripada normal, lapor sebuah akhbar semalam.
Telur itu seberat 161.59 gram dan sepanjang 8.89 sentimeter di Hampshire.
Pemilik ayam itu, Jeremy Paget, 50, memberitahu: "Isteri saya membawa telur itu kepada saya dan meminta saya menutup mata. Dia menyatakan akan membawa hadiah untuk saya."
Setelah melihat telur itu pada Khamis lalu, kedua-dua mereka berasa amat terkejut.
Menurut Paget, ayam peliharaan mereka itu tidak menunjukkan sebarang tingkah laku ganjil dan kelihatan bimbang selepas ia bertelurkan telur gergasi itu.
Pada kebiasaannya telur ayam hanya sepanjang 5.84 sentimeter. - Agensi








Ibu minta anak mati di lokap disiasat

KUALA LUMPUR: “Saya mahu polis menyiasat semula punca kematian anak saya demi keadilan,” kata ibu kepada Hairul Amri Aliyas, 26, yang meninggal dunia dalam lokap di Balai Polis Kuala Selangor.
Zaleha Bahari, 48, mendakwa kesal tindakan polis yang seolah-olah ‘menyembunyikan’ punca sebenar kematian anak lelakinya itu, awal pagi 17 Februari lalu.

Dia yang hadir menyerahkan memorandum kepada Ketua Polis Negara di Bukit Aman, di sini, semalam memberitahu dia hanya dimaklumkan mengenai kematian anaknya selepas dua anggota polis datang ke rumahnya.
Zaleha berkata, anaknya ditahan dua anggota polis yang datang ke rumahnya di Kampung Baru Sungai Buluh, Jeram pada 11 Februari lalu kerana dituduh mencuri di sebuah pasar raya, kira-kira jam 9.30 malam.

“Dia direman di Balai Polis Kuala Selangor selama tujuh hari.

“Selepas tiga hari ditahan, anak saya mengadu sakit perut dan dihantar ke Hospital Tanjung Karang (HTK) untuk rawatan. “Sebaik dirawat, dia dibawa pulang ke lokap semula. Ketika itu, saya dibenarkan melihatnya.

“Sehari sebelum meninggal dunia, dia dibawa sekali lagi ke HTK kerana sakit perut dan diberi rawatan sebagai pesakit luar.

“Anak saya meninggal dunia kira-kira jam 4.30 pagi keesokan harinya dalam lokap,” katanya ketika ditemui di pekarangan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, semalam.

Zaleha berkata, hasil bedah siasat menyatakan punca kematian anaknya kerana ulser namun banyak terdapat kesan lebam pada badan dan bahnya.

Berikutan itu, dia mendapatkan bantuan Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam bagi membela kematian anaknya yang dianggap misteri.

Sementara itu, Manikavasagam berkata, pihaknya sudah menubuhkan badan khas untuk menyiasat kes itu dan berharap polis menjalankan siasatan semula bagi membela keadilan.



Penjawat awam terpedaya dengan kekasih 'Mat Salih'



RAUB: Perkenalannya dengan seorang lelaki ‘Mat Salih’ melalui laman rangkaian sosial facebook tidak sampai dua bulan, tetapi sudah cukup membuatkan seorang penjawat awam wanita berpangkat pegawai mempercayai lelaki terbabit sepenuh hati hingga dia kerugian RM10,000.
Mangsa berusia 40-an berkenalan dengan lelaki terbabit pada 1 Januari lalu dan suspek mengaku berbangsa Inggeris berasal dari United Kindom.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata, sepanjang perkenalan itu, suspek menggoda mangsa dengan memanggilnya menggunakan panggilan manja.
“Pada 14 Februari lalu, mangsa menerima mesej mengatakan suspek akan datang ke negara ini dengan membawa wang yang banyak.

“Pada 17 Februari, mangsa menerima panggilan daripada suspek mengatakan barang yang dibawanya ditahan pihak imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan meminta mangsa bercakap dengan pegawai bertugas,” katanya.

Lelaki terbabit memberitahu bahawa mangsa perlu membayar denda sebanyak RM15,000 untuk membebaskan rakannya itu, namun mangsa hanya dapat membayar sebanyak RM10,000.

“Tanpa berfikir panjang, mangsa memasukkan wang berkenaan ke akaun persendirian di sebuah bank di bandar ini sebelum bertolak ke KLIA untuk menyelesaikan masalah berkenaan,” katanya.

Wan Mohd Samsudin berkata, pada 18 Februari lalu kira-kira jam 11.30 malam, mangsa tiba di KLIA dan berhubung dengan pegawai Imigresen di situ tapi diberitahu rakannya itu tidak memasuki negara ini.



Bersalah bunuh rakan



MELAKA: Seorang jurukimpal yang membunuh rakannya pada Ogos 2009 dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi, di sini, semalam.
Hakim Datuk Ahmadi Asnawi menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh, Nazdmir Nasmi, 23, selepas mendapati dia gagal dalam pembelaannya.

Beliau berkata, mahkamah yang meneliti keseluruhan keterangan saksi dan hujah peguam dan timbalan pendakwa raya mendapati pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
“Pendakwaan pula berjaya membuktikan kes mereka melampaui keraguan munasabah. Mahkamah juga berpuas hati apa yang dilakukan tertuduh adalah terangkum dalam kesalahan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Pembelaan tertuduh adalah penafian semata-mata selain diisi dengan unsur keterangan ‘after thought’,” katanya.

Ahmadi juga berkata, mahkamah mendapati asas pembelaan tertuduh tidak dikemukakan kepada saksi ketika kes pendakwaan, sekali gus menafikan mereka untuk memberikan keterangan.

“Mahkamah dengan ini mendapati tertuduh bersalah dan disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Hanya ada satu hukuman saja, iaitu hukuman mati. Saya dengan ini memerintahkan kamu (tertuduh) digantung dengan tali di leher hingga mati,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Nazdmir didakwa membunuh Mohd Thaudin Juancho, 28, pada 9 Ogos 2009, kira-kira jam 8.10 malam di hadapan rumah No 13, Jalan Wira Ria, Taman Peruna, Sungai Udang, dekat sini.

Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Haslinda Abu Bakar.



Terpaksa solat secara sorok-sorok



KUALA LUMPUR: Seorang wanita mualaf mendakwa bekas suami tidak membimbingnya menjadi Muslim yang baik sepanjang lima tahun perkahwinan di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam.
Menurut Audrey Amira Goon Abdullah, 34, bekas suaminya, Ablen Rosmon Gamid, 35, dan ahli keluarganya juga tidak mengamalkan ajaran Islam dengan baik.

Katanya, sepanjang tinggal dengan mentua, tidak pernah lihat mereka menunaikan solat dan solat Jumaat selain turut percaya perkara syirik.
Bekas suaminya juga pernah menceritakan pernah minum arak dan ke kelab malam ketika ke luar negara.

“Saya terpaksa solat secara sorok-sorok kerana tidak mahu diketahui ahli keluarga mentua sebab takut dikatakan berlagak.

“Sekali-sekala adik bekas suaminya juga membawa pulang kawan perempuannya dan tidur bersama satu bilik dalam pengetahuan ibu bapa mentua,” jelasnya yang turut mengakui pernah tidur bersama bekas suaminya di rumah sama sebelum berkahwin.

Pengurus Kanan Korporat Kewangan itu berkata demikian ketika memberi keterangan berhubung tuntutan hak penjagaan anak Alya Natasha, 5, daripada bekas suaminya.



Ruby terima hadiah mahal dari Berlusconi



ROME: Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi, menghadiahkan penari gelek bawah umur - digelar Ruby Si Pencuri Hati - pelbagai hadiah mahal dengan jumlah keseluruhan hampir RM1 juta.
Laporan media menyatakan, Ruby - atau nama sebenarnya Karima El-Mahroug - menerima dua jam tangan Rolex dan satu daripadanya bernilai RM221,425.

Turut dihadiahkan, satu selendang bulu bernilai RM73,805.
Berlusconi, 74, juga menghadiahkan Ruby, 18, satu rantai berlian bernilai RM59,048 buatan pengeluar barang kemas berpangkalan di Valenza.

Syarikat itu pernah menyediakan cincin kepada Berlusconi untuk dihadiahkan kepada 24 ahli Parlimen dan 13 senator wanita negara itu pada Krismas lalu.

Perdana menteri itu diarah hadir di mahkamah di Milan pada 6 April ini untuk menghadapi dakwaan mengadakan hubungan seks dengan pelacur remaja.

Dia juga dituduh menyalahgunakan kuasa bagi menekan polis membebaskan Ruby yang ditahan kerana disyaki mencuri pada Mei tahun lalu.

Tidak cukup dengan itu, Berlusconi turut berdepan dengan tiga pertuduhan lain kerana disyaki mengelak cukai serta terbabit dalam rasuah.


Ruby diperkenalkan kepada Berlusconi oleh seorang kawan rapatnya pada tahun lalu ketika mereka mengadakan pesta bogel ‘bunga bunga’ di vila mewah milik perdana menteri itu.

Pesta berkenaan turut dimeriahkan dengan kehadiran ramai wanita cantik dan pelacur.

Pendakwa Itali berkata, Berlusconi dan Ruby bertemu 15 kali, selain berbalas-balas mesej pesanan ringkas atau panggilan telefon sebanyak 67 kali.

Ruby menafikan pernah mengadakan hubungan seks dengan Berlusconi.

Ahli politik itu pula tetap mendakwa tidak pernah memberi serangan upah kepada penarik gelek berkenaan bagi melayan nafsunya. - DM


Bakar suami kerana wang

HANOI: Seorang isteri wartawan semalam mengaku menyimbah suaminya yang juga seorang wartawan dengan minyak tanah sebelum membakarnya ketika mangsa tidur.
Rakan wartawan berkenaan sebelum ini bimbang kematian itu berpunca daripada tindakan membalas dendam terhadap laporan siasatan yang dilakukan mangsa.

Kumpulan hak asasi media antarabangsa turut menyuarakan kemarahan selepas laporan awal mendakwa penceroboh memasuki kamar tidur mangsa, Le Hoang Hung menerusi tingkap dan membakarnya.
Wartawan berusia 50 tahun itu bekerja untuk akhbar Nguoi Lao Dong dan rakannya khuatir laporan siasatannya mengenai rasuah dan kegiatan penyeludupan menjadikannya sasaran pihak yang tidak berpuas hati.

Media Vietnam berkata, polis percaya isteri Hung, Tran Thi Thuy Lieu, 40, ketagih judi dan mereka sering bergaduh kerana masalah kewangan.

Tran dibawa ke balai polis semalam dan mengaku membunuh suaminya, kata Ketua Penyiasat Wilayah Long An, Lt Kolonel Pham Van Tien.

Dia bagaimanapun enggan memberi butir lanjut kecuali berkata wanita itu ditahan untuk siasatan.

Hung, 50, mati pada 29 Januari lalu selepas dirawat selama 10 hari. Akhbar Pekerja semalam memetik sumber polis sebagai berkata, Tran mahu memberi amaran kepada suaminya selepas mereka bertengkar mengenai wang dan tidak berhasrat membunuhnya.

Polis berkata, wanita itu rugi lebih sebilion dong (RM142,000) selepas 22 kali ulang-alik ke Kemboja untuk berjudi sepanjang Disember lalu.

Menurut media lain, dia mendesak suaminya menjual rumah mereka di bandar Tan An tetapi Hung tidak bersetuju dengan cadangan itu. - AP



Sampainya hati ibu

PASIR GUDANG – Tiga beradik malang yang ditemui terkurung di dalam rumah mereka sendiri di Taman Chendana di sini bukan sahaja tidak terurus malah keadaan mereka, malah begitu kelaparan.

Setiap kali ibu mereka pergi ke tempat kerja, setiap kali itulah mereka akan terkurung di dalam rumah tanpa disediakan bekalan makanan.

Tetapi kali ini nasib anak-anak itu lebih malang apabila ibu mereka langsung tidak pulang menyebabkan mereka hampir kebulur.

Seorang jiran yang enggan dikenali berkata, ibu ke kanak-kanak malang itu dikatakan mencari rezeki di sebuah stesen minyak untuk menampung perbelanjaan keluarga.

Menurutnya, wanita tersebut yang merupakan ibu tunggal langsung tidak mengambil berat soal keselamatan anaknya yang ditinggalkan dalam keadaan rumah tidak terurus.

“Saya kerap melihat mereka bertiga ditinggalkan kelaparan dan pernah sebelum ini salah seorang daripada mereka memakan najisnya sendiri kerana terlalu lapar.

“Jiran ada membantu menghulurkan makanan kerana kasihan melihat tetapi ibunya akan mengamuk dan memukul anaknya jika mengetahui mengambil makanan daripada kami,” katanya.

Beliau turut mendakwa kerap melihat asap keluar dari rumah kanak-kanak yang dikurung itu kerana adik yang masih kecil bermain api, tetapi sempat dipadam.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Penduduk Rumah Pangsa Taman Cendana, Shamsul Bahrin Ibrahim berkata, ibu kanak-kanak itu adalah penerima bantuan perumahan Majlis Agama Islam Negeri Johor (Maij).

Menurutnya, pihaknya menerima aduan mengenai tiga kanak-kanak yang ditinggalkan sendirian sejak keluarga itu menetap di rumah pangsa itu tiga tahun lalu.

“Kita difahamkan kanak-kanak itu pernah dihantar ke pusat perlindungan kanak-kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum ini, tetapi diambil ibunya, kecuali anak sulungnya berumur 10 tahun masih di Rumah Anak Yatim Darul Hanan Pasir Gudang.

Menurutnya, hasil bantuan anggota polis dari Balai Polis Pasir Gudang, kanak-kanak itu berjaya dikeluarkan dan dibawa ke balai polis untuk dihantar ke pusat perlindungan kanak-kanak JKM kerana keselamatan di tempat itu lebih terjamin.

Dalam pada itu, Pegawai JKM Daerah Johor Bahru, Mohd Faizal Abu Bakar berkata, kanak-kanak itu akan ditempatkan di wad selama semalaman untuk pemeriksaan perubatan sebelum dibawa ke mahkamah pada hari ini untuk mendapatkan perintah perlindungan siasatan selama 30 hari.

“Dalam tempoh 30 hari kanak-kanak itu akan dihantar ke Pusat Perlindungan Kanak-Kanak Juwita, Johor Bahru sebelum siasatan terhadap ibu dilakukan untuk mengenal pasti siapa layak menjaga mereka,” katanya.

Tiada ulasan: