Rabu, 16 Februari 2011

BERILAH ANUGERAH SAPE YANG LAYAK...JANGAN BERI....YANG MEREKA SENDIRI TAK BERIMAN DAN PERCAYA PADA RASULLULLAH SAW...TENTU JADI SESUATU YG TAK KENA


PKR kutuk akhbar palsu Selangor Terkini
Ismail Hashim
SHAH ALAM, 15 Feb: Wanita Keadilan Selangor mengutuk pihak yang bertanggungjawab sehingga tersebarnya akhbar palsu, Selangor Terkini yang menyerupai akhbar sah terbitan Kerajaan Selangor, SelangorKini.

Ketuanya, Haniza Mohamed Talha berkata, Wanita Keadilan Selangor mendesak pihak berkuasa segera mengambil tindakan kerana ia berniat jahat, menghasut rakyat dan cuba menimbulkan ketidaktenteraman dalam masyarakat awam.

"Wanita Keadilan Selangor mengajak seluruh rakyat Selangor mengutuk perbuatan terdesak Umno yang sengaja menimbulkan kekecohan kerana khuatir dengan sokongan rakyat yang bertambah terhadap kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor," tegasnya.

Haniza yang juga Adun Taman Medan berkata, SelangorKini adalah akhbar terbitan dua kali sebulan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor bagi menyampaikan berita-berita perkembangan kerajaan negeri kepada raikyat Selangor.

Namun begitu ada yang berpandangan lain pula. Bagi mereka, tindakan Umno meniru akhbar kerajaan negeri ini melambangkan akhbar kerajaan negeri, Selangorkini berkesan kepada orang ramai.

"Apa yang mengejutkan, seorang menteri telah sudi ditemubual oleh wartawan akhbar palsu itu.

"Beliau telah membiarkan dirinya digunakan oleh akhbar palsu tersebut, mengelirukan rakyat Selangor khususnya dan orang ramai amnya," jelas Haniza yang juga Timbalan Speaker Dun Selangor.

Tambahnya, hasil siasatan beberapa pihak, jelas menunjukkan isi kandungannya mengandungi fakta-fakta yang salah berkaitan Kerajaan Selangor dan diedarkan di rumah-rumah dan tempat-tempat awam.

Akhbar palsu Selangor Terkini yang diedarkan menggunakan logo Kerajaan Selangor dengan rekabentuk seperti akhbar Selangor Kini, jelas bertujuan mengelirukan rakyat dan memfitnah Kerajaan Selangor, ujarnya.



Pensyarah, Imam Muda terima anugerah Maulidur Rasul
Mohd Sabri Said

GEORGETOWN, 15 Feb: Johan program realiti TV Imam Muda, Mohamad Ashraf Mohd Ridzuan dan pensyarah Falkuti Sains Kimia Farmasi Univesiti Sains Malaysia (USM), Zhari Ismail mendapat anugerah khas Maulidur Rasul sempena Sambutan Maulidur Rasul 1432H peringkat Negeri Pulau Pinang yang di adakan di Dewan Sri Pinang pagi tadi.

Mereka mendapat cenderahati tanda satu penghargaan dari Kerajaan Negeri kerana berbakti pada negeri, negara serta meningatkan martabat Islam mengikut cara masing-masing.

Semua anugerah khas itu disampaikan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dr. Abdul Rahman Abas. Hadir sama Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp), Ustaz Elias Zakaria, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman, Exco Agama Kerajaan Negeri, Abdul Malik Kasim dan Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Datuk Abdul Halim Husain.

Mohamad Asyraf yang kini sedang menyambung izajah pengajian sarjana Syariah di Univesiti Malaya pernah diberikan penghormatan menjadi imam di Masjid Wilayah Persekutuan sejurus menjuari rancangan Imam Muda musim pertama lalu.

Menurutnya, anugerah yang diperolehi menambahkan semangatnya untuk terus berbakti pada Islam pada masa depan.

Namun apa pun katanya, penganugerahan itu merupakan satu sanjungan yang tidak terhingga daripada sebuah kerajaan kepada pendakwah yang bekerja kuat untuk meningkatkan syariat yang sedia ada.

"Saya bersyukur kerana mendapat anugerah ini dan berharap ia dapat menyuntik semangat baru demi memastikan syariat Islam mencapai kemenangan," ujarnya.

Seorang lagi yang mendapat anugerah khas tahun ini, Zhari menambah, beliau tidak menyangka akan memperolehi anugerah tersebut.

Kepada Kerajaan Negeri tambahnya, ia satu pengiktirafan yang tidak terhingga terhadap bidang sains yang menjadi minatnya sejak kecil.

Beliau yang juga pernah melibatkan diri dengan tugasan luar berperanan sebagai pemeriksa luar untuk calon PhD dan M. Sc dari Univesiti Malaya, Univesiti Kebangsaan Malaysia, Univesiti Sains Malaysia dan Univesiti Putra Malaysia.

"Ianya satu pengiktirafan yang tinggi dalam bidang sains dan merupakan satu usaha yang bagus," jelasnya.

Sambutan Maulidur Rasul tahun ini menyaksikan 46 kontijen mengambil bahagian mengelilingi Dewan Sri Pinang sejauh satu kilometer bermula jam 8.30 pagi.

Perarakan tahun ini diketuai oleh Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman.

Selain peserta orang ramai juga disajikan dengan persembahan nasyid dari Penjara Pulau Pinang iaitu johan Festival Nasyid Peringkat Negeri, alunan ayat-ayat Al-Quran dari Adik Awatif Abdul Majid selaku Johan Tilawah Al-Quran Sekolah Menengah Pulau Pinang serta penceramah dari Jabatan Agama Islam Kedah, Sheikh Faisol Omar.


Pulau Pinang lantik Karpal saman Farid
Mohd Sabri Said

GEORGETOWN, 15 Feb: Kerajaan Negeri Pulau Pinang melantik Karpal Singh untuk menyaman malu terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Betong, Mohamad Farid Saad dan Utusan Malaysia kerana menabur fitnah pada 2 Februari lalu kononnya Kerajaan Negeri telah mengedar risalah My Balik Pulau dalam laporan bertajuk 'lupa sejarah hina Melayu'.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menegaskan, Utusan Malaysia sengaja mengadu domba isu berkenaan bagi tujuan menghidupkan sentimen perkauman selain memburukan nama baik Kerajaan Negeri yang dimenang Pakatan Rakyat.

Padahal My Balik Pulau merupakan isu yang diluluskan semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN) dulunya sebab ada antara penyumbangnya terdiri daripada tokoh Umno.

"Kita telah memberi masa untuk menarik balik atau memohon maaf tetapi beliau enggan. Maka, tidak jalan lain melainkan menyaman malu terhadap beliau dan Utusan Malaysia, " jelanya.

Menurut beliau lagi, keputusan menyaman itu diputuskan dalam mesyuarat Exco minggu lalu kerana ia sengaja dibuat untuk menjatuhkan maruah negeri kerana Umno sangat kecewa ekoran perancangan Kerajaan Pakatan Rakyat dapat menjalinkan kerjasama yang utuh di kalangan rakyat.

Untuk menghentam Kerajaan Negeri mereka sengaja mendedahkan isu ini tanpa disedari bahawa ianya memakan diri kerana yang mengeluarkan adalah Umno dan Kerajaan Persekutuan.

"Saya telah mendapat nasihat daripada Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri supaya saya berbuat demikian ke atas Mohamad Farid dan Utusan Malaysia," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Air Puteh, Balik Pulau.

Justeru itu Kerajaan Pakatan Rakyat bertekad akan terus berjuang membasmi kejahatan Umno dan BN yang berterusan merancang kebencian rakyat terhadap Kerajaan Negeri yang bertujuan menutup skandal Pulau Jerejak yang dianggarkan RM30 juta semasa di bawah pemerintahan Ketua Menteri, Tan Sri Koh Tsu Koon.


Pemuda PAS sokong sekat konsert Mohsen
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 15 Feb: Dewan Pemuda PAS Pusat menyokong penuh kerajaan membatalkan permit penganjuran dan menghalang kemasukan Mohsen Namjoo untuk membuat persembahan.

Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata ini kerana Mohsen sememangnya mendapat sambutan hangat di barat, namun sebagaimana yang dilaporkan oleh media bahawa beliau adalah seorang penyanyi yang gemar menghina Islam dalam persembahannya.

Sebelum ini, negara digemparkan dengan langkah pihak tertentu yang mahu membawa penyanyi itu ke KLCC pada 18 Februari ini.

Penyanyi itu diberi jolokan sebagai "Iran Bob Dylan" oleh New York Time satu ketika dahulu.

Mohsen Namjoo merupakan seorang penyanyi kelahiran Iran dilaporkan kini beliau tidak lagi menetap di Iran.

“Apa yang menjadi persoalan ialah latar belakang artis ini mencetus kontraversi apabila beliau dikatakan telah menghina Islam menerusi lagu-lagu yang dinyanyikannya,” ujar Nasrudin kepada Harakahdaily.

Mohsen juga, katanya dilaporkan pernah dipenjara oleh kerajaan Iran atas kesalahan itu dan kemudiannya dibebaskan setelah beliau memohon maaf, namun masih mengulangi perbuatan yang sama.

Tambahnya, terakhir beliau membuat persembahan di Berlin dan masih mengekalkan sikap mengejek, menghina dan sinis terhadap agama Islam.

“Saya bimbang kehadhirannya ke negara ini dengan sifat beliau sebagai figure yang suka menghina Islam akan menyinggung dan mencetus kemarahan ummat Islam.

“Justeru itu, di masa akan datang kerajaan melalui kementerian terbabit mestilah terlebih dahulu teliti dan mengkaji latar belakang penyanyi ini sebelum memberi tempat kepada beliau untuk membuat persembahan di negara ini,” katanya.

Beliau berkata, selayaknya artis yang mempunyai rekod serta masih menghina Islam, mencetus ketegangan antara agama dan kaum, menyinggung perasaan masyarakat dengan persembahan keterlaluan seperti berunsur lucah tidak diberi laluan atau kebenaran oleh pihak berkuasa untuk tampil membuat persembahan dan membiarkan ia menjadi ikon kepada masyarakat.

“Kami percaya masih ramai artis dalam atau luar negara yang baik dan positif penampilan serta persembahannya yang boleh diundang untuk membuat persembahan,” ujarnya.

Soalnya, kenapa mesti mengundang atau membiarkan artis yang mencetus kontroversi sebegini diberi laluan.

“Apakah kerajaan terlepas pandang atau sengaja tidak memandangnya?” soalnya.



Musa Fathullah, Harlina terima anugerah tokoh
Ismail Hashim

SHAH ALAM, 15 Feb: Dua tokoh terkenal, Dr Musa Fathullah Harun dan Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj dianugerahkan sebagai Tokoh Imam Ghazali dan Tokoh Siti Khadijah sempena Sambutan Maulidur-Rasul Peringkat Negeri Selangor, hari ini.

Berdasarkan pengalaman dan sumbangan besar di dalam bidang masing-masing kepada rakyat Negeri Selangor khususnya, mereka berdua termasuk pemenang tiga anugerah lain dinobatkan dalam majlis gilang gemilang yang berlangsung di Stadium Malawati, dekat sini.

Dr Musa merupakan tokoh aktif sehingga kini dengan bilangan buku yang banyak dihasilkan secara ilmiah; karya terbaharu adalah mengenai jawapan beliau terhadap mereka yang menidakkan Maulidur-Rasul yang dilancarkan di Indonesia, baru-baru ini.

Antara buku terkenal beliau juga adalah Perjalanan Rabbani, Merentasi Alam Dunia, Barzakh dan Akhirat dan Undang-undang Jenayah Islam, ketika ditemui berazam menghabiskan usianya dengan menulis buku sebagai satu bentuk penyebaran ilmu.

Dr Harlina pula terlibat di dalam bidang sosial masyarakat, acapkali suaranya berkumandang di stesen radio yang bercakap tentang kesihatan tubuh badan dan keperluan kesihatan jiwa dan perasaan manusia sebagai hamba Allah.

Beliau merupakan Ketua Wanita Jemaah Islah Malaysia dan banyak memberikan sumbangan dalam membantu anggota masyarakat agar kembali berpegang teguh kepada ajaran agama meskipun kini berada dalam negara yang bergerak ke arah lebih maju.

Majlis itu telah disempurnakan oleh Tengku Panglima Diraja Selangor, Tengku Sulaiman Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj mewakili Sultan Selangor yang kini berada berada di luar negara.

Menteri Besar,Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Exco-exco, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Khusrin Munawi, Mufti Selangor, Datuk Seri Setia Mohd Tamyez Abdul Wahid dan pegawai kerajaan serta orang ramai.

Sebelum itu, sekitar 100 kontinjen dari berbagai agensi kerajaan, badan korporat, NGO, masjid dan pelajar sekolah telah menyertai perarakan dari Stadium Mini Shah Alam menuju ke Stadium Malawati sejak awal pagi mewujudkan suasana panca warna.

Dalam majlis sama, Siti Nadhirah Shafie, 18, dinobatkan dengan Anugerah Saidina Ali, Tan Sri Hashim Meon (Anugerah Omar Abdul Aziz) dan Mohd Nasir Abdul Ghani (Anugerah Khalid AlWalid).

Nadhirah merupakan calon termuda SPM dalam usia 15 tahun dan pelajar Matrikulasi UIAM dalam usia 16 tahun kini melanjutkan pengajian dalam Diploma Kepimpinan dan pengurusan Strategik Kolej Al-Itqan.

Beliau juga merupakan Johan Menghafaz Al-Quran pada 2009 dan 2010 peringkat Kebangsaan 30 juzuk dan mewakili Malaysia ke peringkat antarabangsa di Jordan untuk pertandingan 30 juzuk pada 2009.

Nadhirah merupakan anak keenam kepada Pengasas Kaedah Hafaz Al-Quran Al-Muqri, Dr Shafie yang kini mengasaskan Kolej Al-Itqan dengan lebih 200 pelajar pengkhususan kajian Al-Quran di Ampang.

Tan Sri Hashim Meon merupakan bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang memperkenalkan penggunaan ICT secara meluas dalam pentadbiran negeri, Pengerusi Majlis Agama islam Selangor (MAIS) dan Ahli Majlis Diraja Selangor.

Mohd Nasir pula adalah pegawai Bomba yang banyak menjadi pengarah operasi besar antaranya seperti Highland Towers dan merupakan Bendahari anggota Bomba Malaysia.


Maulidur Rasul: 1,500 guru Kafa akan terima RM100
Harakahdaily
GEORGETOWN, 15 Feb: Kesemua 1,500 guru Kafa akan diberikan RM100 sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul Pulau Pinang bertemakan “Wasatiyyah (Kesederhanaan) Tonggak Kecemerlangan Ummah.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, bayaran RM100 one-off itu akan melibatkan perbelanjaan RM150,000 dan akan dicadangkan olehnya kepada mesyuarat Exco Khamis ini.

Pada tahun lepas, katanya kerajaan negeri telah memberikan RM100 one-off kepada guru-guru Kafa sempena perayaan Awal Muharaam.

Tambahnya, buat kali pertama juga dalam tahun 2010, semua guru Kafa telah diberikan RM250 duit raya menyambut Hari Raya Puasa.

"Pembayaran ini dapat dibuat kerana kerajaan negeri mengamalkan perbelanjaan berhemah; urustadbir CAT yang cekap, akauntabel dan telus; serta kempimpinan integriti, bersih dan bersih daripada rasuah.

"Kejayaan ini diakui bukan sahaja oleh Laporan Ketua Audit Negara 2008 dan 2009 yang memuji lebihan Bajet paling besar sebanyak RM88 juta pada 2008 dan RM77 juta pada 2009 tetapi juga oleh badan anti-rasuah antarabangsa terunggul Transparency International," ujarnya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Katanya, kesederhanaan dalam Islam akan menolak dakwaan pemimpin BN tertentu bahawa Islam adalah ekstrimis, mundur, miskin, tidak demoktratik dan korup.

Ini, katanya seperti yang dinyatakan oleh ulamak Islam terkenal Dr Yusof Al Qaradhawi bahawa kesederhanaan dalam Islam disumberkan daripada kesederhanaan method dan undang undang seperti kesederhanaan adalah adil, kesederhanaan adalah konsisten, kesederhanaan adalah keamanan, kesederhanaan adalah lambang kebaikan, kesederhanaan adalah lambang kekuatan dan kesederhanaan adalah tunjang kekuatan.

Beliau menambah, kerajaan negeri percaya amalan kesederhanaan dalam kehidupan rakyat tanpa kira agama dan kaum akan dapat menyatupadukan rakyat untuk menikmati bersama kemakmuran, keamanan dan harmoni serta kamajuan membina modal insan.

Tiada ulasan: