Khamis, 24 Februari 2011

PATUT KUTUK....TAPI SEPATUTNYA KUTUK SEGALA BENTUK KEKERASAN DAN KEKEJAMAN....JANGAN PILIH BULU....PILIH KASIH....ORANG TENGOK DAN FIKIR PUN TAK BAGUS

1,000 maut di Libya


RIBUAN penduduk berhimpun dekat sebuah bangunan mahkamah di Benghazi, Libya semalam.


BENGHAZI - Tindakan pemimpin Libya, Muammar Gaddafi mahu menamatkan tunjuk perasaan yang menuntutnya meletakkan jawatan telah menyebabkan 1,000 orang terbunuh, kata Menteri Luar Itali, Franco Frattini semalam.

"Kami percaya anggaran kematian kira-kira 1,000 orang boleh dipercayai," kata Frattini merujuk kepada tindakan Gaddafi yang mengarahkan pasukan keselamatan membedil dan menembak para penunjuk perasaan.

Sebelum ini, pertubuhan hak asasi, Human Right Watch menganggarkan 233 orang terbunuh dengan 62 penduduk di ibu kota Libya, Tripoli sejak dua hari lalu.

Menurut Frattini, beliau mengetahui bahawa wilayah timur Libya, Cyrenaica yang merupakan lokasi yang menempatkan banyak simpanan minyak tidak lagi berada di bawah kawalan Gaddafi.

Di bandar Benghazi, para penunjuk perasaan meraikan kemenangan dengan bermain bunga api dan membunyikan hon ekoran pertumpahan darah sudah berakhir.

Kawasan timur Libya dikatakan sudah berada dalam penguasaan penduduk yang menentang pemerintahan Gaddafi.

Sebuah penjara turut dibakar di Benghazi dan imej televisyen Sky News menunjukkan sebuah pesawat antipeluru berpandu Libya ditinggalkan di sebuah pangkalan tentera dekat Tobruk.

Menurut akhbar Quryna, di Sabratah, 80 kilometer ke barat Tripoli, tentera Libya menempatkan sejumlah besar askar selepas para penunjuk perasaan memusnahkan hampir kesemua pejabat perkhidmatan keselamatan. - Reuters


Raja Arab Saudi umum insentif RM106 bilion


SEJUMLAH rakyat meraikan kepulangan Raja Abdullah yang menaiki sebuah kereta ke Riyadh semalam.


RIYADH - Pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah kembali ke tanah airnya semalam selepas tiga bulan berada di luar negara untuk menjalani rawatan perubatan sakit tulang belakang.

Sekembalinya ke Arab Saudi, Raja Abdullah, 87, mengumumkan beberapa insentif baru kepada rakyat yang dianggarkan bernilai AS$35 bilion (RM106 bilion).

Arab Saudi adalah pengeksport minyak terbesar dunia.

Insentif-intensif itu termasuk dana untuk mengurangkan inflasi negara dan membantu golongan belia menganggur serta keluarga untuk memiliki rumah mampu milik.

Semua peruntukan itu diberikan ketika protes merebak di banyak negara Arab kesan daripada rakyatnya yang hidup dihimpit kemiskinan, rasuah dan tekanan pemerintah.

Langkah tersebut bagaimanapun tidak melibatkan reformasi politik seperti yang dituntut oleh golongan liberal dan pihak pembangkang.

Arab Saudi mengamalkan pemerintahan beraja mutlak dan tidak memiliki Parlimen atau parti-parti politik.

"Saya berpendapat inisiatif itu baik tetapi kita perlu melihat lebih banyak reformasi seperti pilihan raya perbandaran dan urus tadbir yang lebih baik.

"Peruntukan kewangan hanya akan berjaya sekiranya para pegawai melaksanakan tanggung jawab mereka," kata seorang penganalisis politik tempatan. - Reuters



Gaddafi ikrar syahid di Libya


PENUNJUK perasaan melaungkan slogan antikerajaan di Dataran Tobruk di timur Libya, semalam.  Tentera di bandar ini berkata, mereka tidak lagi menyokong Gaddafi dan memberitahu, wilayah timur negara itu kini sudah bebas daripada penguasaan kerajaan.
PENUNJUK perasaan melaungkan slogan antikerajaan di Dataran Tobruk di timur Libya, semalam. Tentera di bandar ini berkata, mereka tidak lagi menyokong Gaddafi dan memberitahu, wilayah timur negara itu kini sudah bebas daripada penguasaan kerajaan.

TRIPOLI: Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi semalam menggesa rakyat negara itu berarak sebagai usaha untuk menunjukkan sokongan mereka kepadanya ketika rejim pemerintahannya semakin terpinggir.

Sambil mengumumkan beliau akan mati sebagai syuhada di negara sendiri, Gaddafi mengancam memusnahkan penentangnya dari rumah ke rumah dan ‘inci demi inci,’mendorong rayuan di peringkat antarabangsa supaya keganasan di tamatkan.


Kerajaan Libya berkata, 300 orang, termasuk 111 askar terbunuh dalam tunjuk perasaan yang bermula 15 Februari lalu selepas pemimpin di Tunisia dan Mesir di singkirkan dalam kebangkitan serupa.

China, India, Korea Selatan dan Amerika Syarikat adalah antara negara yang bertindak pantas untuk memindahkan rakyat masing-masing dari negara Afrika Utara itu sementara masyarakat antarabangsa mengecam gerakan ganas kerajaan Gaddafi terhadap penunjuk perasaan.


Sambil berkata beliau mendapat sokongan rakyat, Gaddafi mengerahkan tentera dan polis menangani pemberontakan menentang pemerintahan kuku besinya selama 41 tahun yang sudah meragut ratusan nyawa sepanjang lapan hari lalu.


“Rakyat Libya bersama-sama saya.” katanya sambil menggesa mereka menunjuk perasaan.

“Keluar dari rumah anda dan serbu mereka. Tangkap tikus-tikus itu,” katanya lagi, merujuk kepada penunjuk perasaan antikerajaan Gaddafi, 68, juga tidak menunjukkan sebarang tanda untuk berundur ketika menyampaikan ucapannya itu.

“Muammar Gaddafi adalah pemimpin revolusi. Muammar Gaddafi tidak mempunyai sebarang kedudukan rasmi untuk membolehkannya meletak jawatan.


“Beliau ialah pemimpin revolusi untuk selama-lamanya,” kata Gaddafi.

Sementara itu, Presiden Parlimen Libya, Mohamed Zwei berkata, keamanan berjaya diwujudkan semula di sebahagian besar bandar.

“Pasukan keselamatan dan tentera sudah berada semula di kedudukan masing-masing,” katanya.


Beliau juga berkata, sebuah suruhanjaya sudah ditubuhkan untuk menyiasat pemberontakan selama sembilan hari itu.


Dalam pada itu, anak Gaddafi, Seif al-Islam dijangka mengadakan sidang akhbar selepas tersebar laporan kononnya keluarga pemimpin itu bertelagah kerana berebut empayar perniagaan. — AFP



Lebih 1,000 Maut Di Libya

PARIS: Keganasan yang tercetus di Libya didakwa sudah meragut lebih 1,000 nyawa dengan 600 orang daripadanya di ibu negara, Tripoli, kata Nouri el-Mismari, bekas ketua protokol kepada Presiden Muammar Gaddafi, pada Rabu.

Mismari, yang tinggal di Perancis hujung tahun lalu kerana masalah kesihatan berkata, keadaan kekacauan akibat kemarahan orang ramai kepada regim itu jauh lebih teruk dengan lebih 1,000 nyawa terkorban.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan asas merujuk kepada anggaran angka kematian yang diberikannya itu. Selasa lalu, pemerintah Libya buat pertama kali mendedahkan seramai 300 rakyatnya terbunuh dalam tunjuk perasaan yang tercetus lebih seminggu lalu tetapi Persekutuan Antarabangsa Mengenai Hak Asasi (IFHR) semalam menyatakan bahawa sekurang-kurangnya 640 orang maut.

“Ini amat, amat serius. Rakyat Libya tidak akan berhenti untuk menamatkan pemerintahan 41 tahun Gaddafi ini," kata Mismari.

“Ini adalah penamat kepada Muammar Gaddafi. Beliau langsung tidak memperoleh lima peratus sokongan rakyat negaranya," katanya.

Mismari berkata, apa yang menyedihkan regim Gaddafi menembak bebas penunjuk perasaan dan tidak sepatutnya tentera udara dibenar melepaskan tembakan dari pesawat.

Beliau berkata, Gaddafi akan bernasib baik sekiranya dia terbunuh atau rakyat negara itu akan mendakwanya di mahkamah seperti Saddam Hussein. -AFP



Bandar Misurata jatuh ke tangan pemberontak


TRIPOLI: Bunyi kuat senjata api kedengaran di bandar raya ini semalam, ketika tentera yang setia kepada Muammar Gaddafi melepaskan tembakan di jalan raya selepas pemimpin itu berikrar untuk mempertahankan pemerintahannya.

Pertempuran di Tripoli meletus selepas pembangkang dilapor menguasai bandar Misurata dan saksi berkata, orang ramai membunyikan hon kenderaan sambil mengibarkan bendera pra-pemerintahan Gaddafi.

Misurata menjadi bandar utama di barat Libya jatuh ke tangan kumpulan antikerajaan yang sebelum ini tertumpu di timur.

Seorang doktor tempatan, Faraj al-Misrati berkata, enam penduduk terbunuh dan 200 cedera sejak 18 Februari lalu apabila penunjuk perasaan menyerang pejabat dan bangunan yang ada hubungan dengan rejim Gaddafi.


Katanya, penduduk bersatu membentuk jawatankuasa untuk melindungi bandar berkenaan. - AP



Duta ke Indonesia, Brunei letak jawatan



JAKARTA: Duta Libya ke Indonesia, Singapura dan Brunei meletak jawatan semalam sebagai membantah tindakan ganas pemimpin negara itu, Muammar Gaddafi terhadap penunjuk perasaan.

Dalam kenyataannya kepada akhbar The Jakarta Post, Salaheddin M El Bishari berkata, ia keputusan peribadinya dan beliau bimbang terhadap keselamatan keluarganya di Libya.

“Tentera membunuh orang awam tanpa belas kasihan, menggunakan senjata berat, jet pejuang dan tentera upahan terhadap rakyat.

“Ia tindakan yang tidak boleh diterima. Saya tidak boleh bertolak ansur lagi” katanya. - AFP



Gaddafi semakin terdesak


Imej daripada stesen televisyen Libya merakamkan aksi Gaddafi semasa berucap ke seluruh negara di Tripoli, kelmarin. Gaddafi memberi amaran akan memburu musuhnya hingga ke titisan darah terakhir. - AP


TRIPOLI 23 Feb. - Pemimpin veteran Libya semakin terdesak apabila beliau mengerahkan pasukan tentera termasuk menggunakan senjata berat, kereta kebal dan jet pejuang selain askar upahan untuk mematahkan pemberontakan di negaranya.

Selain itu, beliau turut menerima tekanan di peringkat antarabangsa termasuk daripada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Kesatuan Eropah (UE) dan negara-negara lain yang mengecam tindakan kekerasan yang diambil rejimnya untuk mematahkan tunjuk perasaan rakyat Libya yang masuk seminggu hari ini.

Setakat ini, hampir 300 orang terkorban dalam tunjuk perasaan 'Revolusi 17 Februari' yang dilancarkan oleh penduduk Libya bagi mendesak Gaddafi meletakkan jawatan setelah 41 tahun memerintah negara ini.

Gaddafi turut menerima tekanan apabila Menteri Dalam Negeri Libya, Abdel Fatah Yunes mengumumkan peletakan jawatan dan meminta angkatan bersenjata Libya menyokong pemberontakan serta Duta Libya ke Indonesia, Singapura dan Brunei, Salaheddin M. El Bishari turut mengambil tindakan serupa.

Timbalan Duta Libya ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ibrahim Dubbashi semalam berkata, beliau dimaklumkan bahawa penghapusan bangsa bermula di wilayah tersebut.

Saksi pula mendakwa rejim Gaddafi menggunakan senjata berat termasuk kereta kebal dan jet pejuang bagi mematahkan tunjuk perasaan.

Di timur Libya, pasukan tentera yang berpangkalan di wilayah itu mengumumkan berpaling tadah daripada Gaddafi dan menyatakan sokongan kepada penunjuk perasaan.

Di Benghazi, bandar kedua terbesar di Libya, penunjuk perasaan menyatakan bahawa mereka sudah menguasai pangkalan tentera di bandar itu juga mendakwa mereka sudah menguasai hospital di bandar itu.

Penunjuk perasaan turut mendakwa mereka sudah menguasai beberapa bandar di negara ini dengan bandar Misrata di barat Libya menjadi bandar pertama jatuh di tangan penunjuk perasaan antikerajaan setelah berlaku pertempuran antara tentera dan penyokong Gaddafi dengan penunjuk perasaan antikerajaan sejak 18 Februari lalu.

Menteri Luar Itali, Franco Frattini berkata, kira-kira 1,000 terbunuh sejak pemberontakan meletus di Libya seminggu lalu.

Di Tokyo beratus-ratus penduduk Libya menyerbu Kedutaan Libya di Tokyo.

Gaddafi muncul di televisyen semalam memberi amaran akan memburu 'musuh rejimnya' dengan mengeledah 'dari rumah ke rumah' dan memburu mereka hingga le lubang cacing. 'di setiap inci' bumi Libya. - Agensi



Majlis Keselamatan kutuk rejim Libya

NEW YORK 23 Feb. - Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam mengutuk tentera rejim Muammar Gaddafi melakukan kekejaman terhadap penunjuk perasaan sehingga meragut beratus-ratus nyawa dan mendesak keganasan dihentikan segera.

Majlis dianggotai 15 negara itu turut mendesak tindakan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab menggunakan kekerasan terhadap rakyat Libya.

Ia turut mengutuk penggunaan tentera terhadap penduduk awam dan menyuarakan kesal atas kekejaman yang dilakukan terhadap rakyat yang mengadakan bantahan secara aman.

Sementara itu, negara-negara luar termasuk dari Asia hari ini bersedia membawa keluar lebih 100,000 rakyat mereka, kebanyakannya bekerja sebagai buruh kasar di kawasan-kawasan pembinaan yang kini terkandas di Libya.

Urusan membawa keluar semua pekerja itu menggunakan kapal, pesawat dan laluan darat ke Mesir sedang diusahakan oleh kerajaan-kerjaan terbabit ketika mereka berusaha menjamin keselamatan rakyat di negara ini di tengah-tengah keganasan yang semakin meningkat di negara ini serta sistem komunikasi yang terjejas.

Mereka merupakan buruh kasar dari Bangladesh (60,000), Filipina (30,000), Thailand (23,000) dan India (18,000).

China juga dilapor bersedia membawa pulang kira-kira 30,000 rakyatnya yang kebanyakannya bekerja sebagai jurutera dalam projek pelaburan minyak, jalan kereta api dan sektor telekomunikasi. - AFP



Bahrain bebas banduan politik


Penunjuk perasaan antikerajaan menjulang seorang tahanan yang diberi pengampunan oleh Raja Bahrain Hamad bin Isa al-Khalifa selepas dia dibebaskan dari tahanan di Dataran Mutiara, Manama, semalam. – REUTERS


MANAMA 23 Feb. – Bahrain hari ini membebaskan banduan dan tahanan politik termasuk 23 yang didakwa terlibat untuk menyingkirkan pemerintahan monarki pimpinan golongan Sunah di negara ini, kata seorang pemimpin pembangkang Syiah.

“Ini satu langkah yang bagus,” kata Ibrahim Mattar daripada parti utama Syiah, Wefaq kepada Reuters dengan menyatakan bahawa lebih 100 banduan telah dibebaskan sebelum subuh.

Tambahnya, mereka yang dibebaskan termasuklah 21 pesalah yang melakukan jenayah biasa.

Pembebasan tahanan politik merupakan tuntutan utama penunjuk perasaan yang mahukan pembaharuan politik di Bahrain, yang menyaksikan tujuh orang maut sementara beratus-ratus yang lain cedera dalam bantahan jalanan pada minggu lalu.

“Membenarkan orang ramai menjalankan protes dan membebaskan tahanan adalah satu langkah yang bagus.

“Pihak pembangkang kini menanti keluarga diraja menerima prinsip monarki Perlembagaan sebelum mereka ingin memulakan dialog,” kata Mattar.

Jelasnya, apa yang pembangkang perlukan kini adalah inisiatif kepada pembaharuan politik kerana sehingga kini Raja Bahrain, Hamad bin Issa al-Khalifa masih belum menjanjikan apa-apa. – REUTERS


Penduduk India pula anjur protes


Penunjuk perasaan membawa pinggan sambil mengangkat sepanduk mengadakan demonstrasi membantah kenaikan harga barangan di New Delhi, semalam. - REUTERS


NEW DELHI 23 Feb. - Beratus-ratus ribu ahli kesatuan pernigaaan termasuk yang mempunyai kaitan dengan kerajaan berarak di jalan-jalan raya sekitar bandar raya ini bagi memprotes kenaikan harga makanan.

Demonstrasi itu merupakan gelombang terbaru siri protes di negara ini, yang sebelum ini melanda Asia Barat Timur dan Afrika utara ekoran bantahan terhadap kenaikan harga barang dunia.

India yang mempunyai ekonomi ketiga terbesar di Asia dengan penduduk berjumlah lebih satu bilion sedang bergelut menghadapi kadar inflasi makanan berganda yang memberi kesan besar kepada ratusan juta rakyat miskin di negara ini.

Pada protes anti-kerajaan yang merupakan antara terbesar sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sekurang-kurangnya 50,000 orang mewakili kesatuan perniagaan yang mempunyai hubungan dengan parti politik berarak di tengah-tengah bandar raya ini menuju ke bangunan Parlimen.

Dalam lautan bendera merah dan topi yang tertera nama kesatuan, penunjuk perasaan melaung-laungkan slogan dan membawa sepanduk antaranya membawa maksud 'harga sekarang membunuh rakyat biasa'. dan meminta kerajaan memberi jaminan agar makanan mencukupi untuk semua golongan rakyat.

"Kami dibayar antara 100 rupee (RM6.74) ke 125 rupee (RM8.43) sehari. Bagaimana kami mampu hidup jika harga makanan terlampau tinggi," kata Kailash Sain yang datang ke sini dari Rajashtan di barat India.

"Kami datang ke sini agar suara kami bergema di dalam Parlimen supaya mereka dapat melihat bagaimana keperitan hidup yang sedang dilalui oleh rakyat," kata Akhil Samamtray yang berasal dari Orissa.

Penunjuk perasaan datang dengan menaiki bas dan kereta api dari seluruh negara dengan jumlahnya dijangka terus meningkat.

Setiausaha Kesatuan Perdagangan parti Kongres, PJ Raju berkata, kira-kira 100,000 ahli kongres tersebut menyertai demonstrasi itu.

Penyertaan ahli kesatuan yang mempunyai kaitan dengan parti Kongres diketuai Perdana Menteri, Manmohan Singh seakan petanda mereka turut gusar dengan polisi kerajaan yang gagal mengatasi masalah inflasi.

Kerajaan dilihat gagal membantu rakyat meskipun telah memperkenalkan polisi untuk mengekang kenaikan harga barang. Para penganalisis menganggap ia sudah terlalu lambat untuk dilaksanakan.

Salah sebuah bank terkemuka, Bank Rizab India telah menaikkan kadar faedah sehingga tujuh kali ganda setahun dalam usaha mengatasi masalah itu.

Namun, dalam masa yang sama mereka turut memberi amaran bahawa polisi fiskal akan menjadi tidak efektif untuk berdepan kenaikan harga barangan yang berpunca daripada cuaca buruk serta beberapa masalah lain dihadapi pembekal.

Protes itu sebenarnya berlaku hanya sehari setelah Manmohan cuba meredakan keadaan ekoran pendedahan pembangkang terhadap skandal penjualan lesen syarikat telekomunikasi yang membabitkan wang sogokan mencecah bilion dolar.

Skandal itu menambah tekanan ke atas Perdana Menteri berusia 78 tahun itu yang dilihat berada di penghujung kariernya. Ada yang beranggapan, pendedahan lanjut mengenai perkara itu mampu memaksanya melepaskan jawatan lebih awal sebelum pilihan raya umum pada 2014. - REUTERS



Menteri, jeneral Libya letak jawatan


2011/02/24

MUAMMAR Gaddafi berucap menerusi televisyen, kelmarin.
MUAMMAR Gaddafi berucap menerusi televisyen, kelmarin.
Gaddafi semakin tertekan selepas bertindak ganas ke atas rakyat

TRIPOLI: Pemimpin Libya Muammar Gaddafi semakin tertekan semalam berikutan peletakan jawatan beberapa pegawai kanan, termasuk Menteri Dalam Negeri, Abdel Fattah Younes al-Abidi yang dianggap nombor dua di Libya.

Al-Abidi mengumumkan langkahnya untuk menyokong penunjuk perasaan ketika laporan menyatakan sehingga 1,000 orang terbunuh sejak bantahan tercetus 17 Februari lalu.
Sementara itu, penunjuk perasaan dengan bantuan anggota tentera yang berpaling tadah mendakwa menguasai bahagian timur Libya.


Malah mereka mendakwa selepas seminggu bantahan tercetus Gaddafi kini hanya menguasai wilayah tertentu termasuk sebahagian ibu negara Tripoli dan bandar selatan Sabha.

Menurut perangkaan kerajaan hampir 300 orang terbunuh ketika pasukan keselamatan dengan ganas menyuraikan penunjuk perasaan. Namun menteri luar Itali Franco Frattini berkata di Rom laporan yang menyatakan kematian mungkin mencecah 1,000 orang boleh dipercayai berikutan serangan udara turut dilancarkan terhadap penunjuk perasaan.

Bekas negara penjajah Libya itu bimbang jika rejim Gaddafi berjaya ditumbangkan, sehingga 300,000 rakyat Libya mungkin akan lari ke Itali.

Selain Al-Abidi, ramai lagi jeneral kanan termasuk Jeneral Mahmud, pegawai pemerintah di Tripoli dan timur Libya berpaling tadah.
Menurut laporan Perbadanan Penyiaran British (BBC) Gaddafi kini hanya mendapat sokongan daripada kelompok kecil yang rapat dengannya tetapi agak jelas beliau tidak akan menyerah kalah tanpa melawan habis-habisan.

Sementara itu, beberapa negara Eropah dilaporkan sudah mula membawa keluar warga masing-masing dari Libya.

Perancis, Turki dan Russia adalah antara negara yang sudah menghantar pesawat masing-masing bagi membawa keluar rakyat mereka yang terperangkap.

Britain pula menghantar kapal perangnya, HMS Cumberland ke pesisir pantai Libya bagi membantu operasi membawa keluar rakyatnya.

Amerika Syarikat, China dan India juga dilaporkan sedang membuat persiapan membawa pulang rakyat masing-masing keluar dari negara bergolak itu. – AP/Agensi




‘Telefon bimbit boleh jejas aktiviti sel otak’


2011/02/24

Metabolisme glukos meningkat di bahagian hampir antena

CHICAGO: Tempoh 50 minit untuk bercakap menerusi telefon bimbit yang dilekapkan di telinga, sudah cukup bagi menukar aktiviti sel otak yang paling hampir dengan antenanya.

Bagaimanapun, saintis di Institut Kesihatan Kebangsaan (NIH), berkata sama ada keadaan ini akan menyebabkan sebarang kerosakan belum dapat dipastikan.
Ia juga dijangka tidak dapat menyelesaikan kebimbangan dan andaian bahawa penggunaan telefon bimbit mempunyai kaitan dengan penyakit barah otak.

Tiada ulasan: