JASIN, 14 Feb: Pelbagai pihak menyifatkan cabaran Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang mencabar pimpinan PAS dan Pakatan Rakyat (PR) berdebat dengan cara berceramah bersebelahan sebagai kebudak-budakan dan tidak matang. Akhbar semalam melaporkan, Mohd Ali (gambar) berkata beliau boleh menjawab apa yang diperkatakan oleh penceramah PAS secara terus dengan berceramah di sebelah ceramah PAS. Timbalan Ketua Penerangan PAS negeri, Yusof Wahab berkata Ali Rustam tidak faham maksud debat sebenar. "Cadangan beliau untuk berdebat secara bersebelahan adalah cadangan yang menggelikan dan kebudak-budakan. "Itu bukan debat, itu melolong dari jauh yang menyebabkan pendengar dari kedua-dua pihak tidak akan mendengar apa yang diperkatakan oleh pendebat," ujarnya. Menurutnya, Pengerusi Perhubungan Umno Melaka itu sebenarnya takut untuk berdebat secara profesional kerana tidak mampu berhujah dan tidak ada fakta yang boleh menjawab apa yang diperatakan oleh pimpinan PR. Ahli Jawatankuasa Keselematan Jentera Pilihanraya Dun Merlimau, Johar Dawi secara sinis pula mencadangkan jika Ali Rustam takut untuk berdebat dengan pimpinan PAS lebih baik diam. "Kalau takut untuk berdebat beliau sepatutnya berdiam diri dan tidak membuat cadangan yang menyebabkan rakyat tergelak kerana komedi yang dibuat oleh beliau. "Inikah 'standard' seorang Ketua Menteri yang memerintah sebuah negeri yang dikatakan maju, otak dan minda dia sendiripun belum maju," ujar Jauhar dengan sinis. Petugas Pejabat Penerangan PAS Dun Merlimau, Irwan Aziz pula berkata setahunya PAS Melaka sudah lama menyahut cabaran Ali namun sehingga kini tidak bersedia untuk berdebat dengan PAS secara profesional. Katanya, cabaran Ali Rustam sudah lama disahut oleh Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Abdul Ghani tetapi sering berdolak dalik dan memberikan alasan. “Tindakan beliau yang mencadangkan debat dilaksanakan secara bersebelahan amat menggelikan hati dan membuktikan beliau tidak berani berdebat secara berdepan. “Mana ada orang berdebat dari jauh atau bersebelahan, di Amerika dan lain-lain Negara maju pimpinan mereka berdebat di atas pentas yang sama, rakyat dan wakil media bertanya secara spontan dan kedua-dua pendebat menjawabnya,” ujarnya. Menurutnya, tindakan Ali Rustam yang mencadangkan debat dilaksanakan secara berselahan merupakan debat cara orang penakut dan tidak berani berdepan.
Harakahdaily | SHAH ALAM, 14 Feb: Pelantikan Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda (gambar) sebagai Canselor Universiti Industri Selangor (Unisel) bukti ketelusan dan kebertanggungjawab Kerajaan Selangor yang memilih professional berpengalaman luas sebagai peneraju sebuah universiti yang berperanan melahirkan generasi muda berkemahiran tinggi dan berilmu. Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan negeri, Dr Halimah Ali berkata, Raja Arshad dilantik Canselor Unisel yang baharu bagi menggantikan Datin Seri Rosmah Mansor manakala Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Ismail Adam dilantik sebagai Pro-Canselor Unisel. “Pelantikan kedua-dua tokoh ini berkuatkuasa pada 21 Februari 2011. Tempoh pelantikan Rosmah sebagai Canselor Unisel telah tamat pada 5 Februari lalu,” ujarnya pada sidang media mengenai pelantikan itu, di sini, petang. Beliau menambah, Kerajaan Selangor berbangga apabila kedua-dua tokoh ekonomi dan pentadbiran itu menerima pelantikan itu dan berharap Unisel akan terus mencapai kejayaan lebih gemilang pada masa akan datang. “Kerajaan Negeri yakin dan percaya, gabungan dua tokoh professional dan berpengalaman ini akan memberi manfaat yang besar kepada pelajar dan rakyat Selangor khasnya kerana Unisel adalah milik rakyat negeri ini,” ujarnya yang juga Adun Selat Klang. Raja Arshad berpengalaman luas dalam bidang ekonomi dan pentadbiran. Beliau adalah Pengarah Sime Darby Berhad, anggota Panel Kajian Semula Pencukaian (Tax Panel Review). Beliau juga adalah Pengarah Pro-Canselor Unisel, Pengerusi Yayasan Raja Muda Selangor, anggota Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Fellow Institut Akauntan Bertauliah England dan Wales, anggota Institut Akauntan Malaysia. Raja Tan Sri Arshad juga ahli Institut Akauntan Awam Bertauliah selama 24 tahun termasuk tiga tahun sebagai Presiden. Beliau juga adalah bekas Pengerusi Eksekutif PricewaterhouseCoopers (PwC) Malaysia. Tan Sri Ismail Adam dilantik sebagai Ketua Pengarah JPA pada tahun 2004 sehingga sekarang. Beliau juga dalah Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia sejak tahun 2000. Beliau menceburi sektor perkhidmatan awam pada 1972 sebagai Penolong Pengarah Kementerian Perdagangan dan Industri selama tiga tahun. Sejak itu beliau bertukar ke beberapa jawatan antaranya Penyelaras Program di Institut Pentadbiran Awam (INTAN), Ketua Pegawai Pentadbir di Jabatan Statistik Malaysia, Ketua Unit Perancangan JPA dan Timbalan Ketua pengarah JPA.
Munajat ibu tunggal obor revolusi Mesir Nuridah Mohd Salleh | Tahun 2011 membuka lembaran sejarah dengan kita menyaksikan tumbangnya dua Presiden di dua buah Negara Arab selang beberapa minggu oleh bantahan jalanan rakyatnya. Jumaat 28 Januari Zein al Abidin Ali, Presiden Tunisia meninggalkan takhta dan negaranya menuju ke Arab Saudi, 18 hari kemudiannya pada Jumaat 11 Februari giliran Presiden Hosni Mubarak dari Mesir turun takhta dan meninggalkan istananya. Kedua-dua diktator ini berkuasa begitu lama secara kuku besi dengan menindas rakyat dan menzalimi penentang-penentangnya. Mereka menutup ruang demokrasi walaupun mengadakan pilihan raya yang setiap kali akan dimenangi mereka dengan majoriti besar. Mereka menguasai media dan memerintah dengan pengisytiharan undang-undang darurat. Mereka menangkap penentang-penentangnya, menyiksa dan memenjarakan mereka tanpa bicara. Walaupun begitu mereka mendapat sokongan kuat kuasa-kuasa besar barat yang seringkali melaung-laungkan demokrasi dan hak asasi manusia. Kedua-dua senario ini menggambarkan kepada kita suatu bentuk kezaliman yang telah dilakukan di atas premis demokrasi. Satu contoh manipulasi politik pragmatis di mana matlamat itu menghalalkan cara tanpa mengambil kira halal atau haram. Akhirnya tumbang juga di atas bantahan jalanan rakyat. Benarlah penegasan Allah s.w.t di dalam al-Quran yang sering kita baca sebagai wirid selepas solat fardhu iaitu pada surah Ali Imran: ayat 26 yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya Allah yang mempunyai kuasa pemerintahan. Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki……” Juga benarlah janji Allah s.w.t bahawa doa orang-orang yang dizalimi akan diterima dan dimakbulkanNya, hanya Dialah yang menentukan bila hari pembalasannya. Tanpa ragu-ragu kita sedar bahawa senario yang hampir sama seolah-olah sedang berlaku di negara kita. Di atas slogan “rakyat didahulukan” tanpa segan silu kerajaan Umno BN yang telah berkuasa lebih 50 tahun akan mendahulukan rakyat dengan kenaikan cukai, kenaikan harga petrol dan memotong subsidi untuk menghadapi kemelut ekonomi. Semua ruang bantahan rakyat akan cuba ditutup rapat. Kembali kita pada senario di pinggir Kahirah pada pagi Jumaat 11 Februari di rumah seorang ibu tunggal bernama Laila. Anak lelakinya Khaled Said telah syahid pada hari pertama revolusi rakyat itu. Ketika itu Khaled sedang berada di cyber café dengan facebooknya berinteraksi dengan teman-teman seperjuangannya. Tiba-tiba saja 2 orang polis tidak beruniform menangkap, menggari dan menghiritnya keluar serta memukul sehingga mati disaksi oleh semua pengunjung cyber café tersebut. Peristiwa ini tersibar luas di Youtube, di internet. Kita patut mengambil iktibar dari peristiwa ini. Di mana ketabahan seorang muslimat menjadi obor yang menyuntik semangat perjuangan menentang kezaliman. Bagaimana seorang ibu ini berdoa dengan lilihan airmata, penuh ikhlas bermunajat memohon pertolongan dari Allah. Tapi pemerintah zalim Mesir memadamkan kisah ini di internet dan seterusnya menutup terus seluruh rangkaian maya di Mesir. Iktibar yang patut para muslimat semua khusus muslimat PAS ambil adalah perjuangan menentang kezaliman bukan suatu bentuk kerja sambilan. Ia memerlukan sepenuh komitmen dan pengorbanan. Sesungguhnya dalam mengharungi perjuangan ini jangan lupa kita bermunajat dan memohon pertolongan dari Allah s.w.t. Itulah kunci yang dapat memastikan kita istiqamah dalam menghadapi segala rintangan dan kepayahan.
PKR Kelantan cari dana hadapi PRU 13 Harakahdaily | KOTA BHARU, 14 Feb: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kelantan sedang berusaha mengumpul dana bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-13 yang dijangka diadakan tidak lama lagi. Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Kelantan, Abdul Aziz Abdul Kadir berkata, antara program yang dirancang bagi mengutip dana termasuk majlis makan malam akan diadakan pada 17 Febuari ini. Katanya, program itu akan diadakan di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) yang dijangka turut dihadiri Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. “Sebanyak 60 meja disediakan dan dijual kepada orang ramai sebagai sebahagian usaha bagi memunggut dana pilihan raya. “Seramai 600 tetamu mengesahkan akan hadir sambil menderma kepada tabung pilihan raya Keadilan Kelantan,” katanya di sini. Beliau yang juga anggota parlimen Ketereh berkata, pada malam yang sama akan diadakan ceramah perdana anjuran kerajaan negeri di padang Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam turut membabitkan Anwar. Katanya, ceramah tersebut juga akan membariskan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, Setiausaha Agung Keadilan, Saifuddin Nasution Ismail dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Dato’ Husam Musa serta anggota Exco, Dr Muhamad Fadhli Hassan. Pada pilihan raya umum lepas PKR bertanding tiga kerusi parlimen di Kelantan itu Ketereh, Machang dan Tanah Merah. Manakala di peringkat Dewan Undangan Negeri iaitu Guchil, Pengkalan Kubur, Kuala Balah, Nenggiri dan Paloh. PKR menang di ketiga-tiga kawasan parlimen yang ditandingi dan Dun Guchil.
Ya Maulidur Rasul, tidak Hari Valentine Harakahdaily | KUALA LUMPUR, 14 Feb: Pemuda Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) menyeru masyarakat menghayati kefahaman sebenar Maulidur Rasul menolak sambutan Hari Valentine. Justeru, pengerusinya , Mohd Fadzil Saleh menyeru pihak kerajaan dan institusi berkenaan memberi kesedaran kepada para pelajar sekolah mengenai budaya songsang hari Valentine dan membuat penguatkuasaan agar ianya tidak menjadi satu budaya yang diraikan sejak peringkat sekolah. Katanya, virus sosial yang dibawa Hari Valentine di semua IPT perlu diperangi habis-habisan di samping menggembleng tenaga, membuat penguatkuasaan dan mengambil tindakan untuk melumpuhkan sebarang aktiviti dan usaha-usaha untuk memeriahkan atau menyambut Hari Valentine itu. Sebaliknya, kata beliau masyarakat Islam menghayati semangat dan kefahaman sebenar perayaan bersempena Maulidur Rasul sebagai tanda kecintaan kepada Rasulullah saw. Tambahnya, belia dan remaja mengalihkan sudut pandang mereka kepada mencontohi Rasulullah s.a.w. sebagai qudwah hasanah (contoh teladan terbaik) dalam konteks menzahirkan kasih sayang selain melibat diri dengan aktiviti-aktiviti yang boleh membina akhlak dan intelektual mereka. Dalam pada itu, beliau juga menyeru belia dan remaja agar mengetahui latar belakang dan matlamat Hari Valentine, agar tidak terikut-ikut budaya liar yang langsung tiada kaitan dengan Islam; malah tersasar darinya. Di samping itu, ujarnya mereka hendaklah mengelakkan terbabit dalam sebarang bentuk aktiviti meraikan hari tersebut seperti ‘dating’ yang akhirnya membawa kepada keruntuhan akhlak seperti penzinaan, arak dan pembuangan bayi. Bagi keluarga dan ibu bapa pula, katanya mereka perlu mendapatkan maklumat yang betul mengenai Hari Valentine dan menyampaikannya kepada anak-anak, menghidupkan budaya kasih sayang dalam kehidupan berkeluarga. “Memastikan anak-anak tidak terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang merosakkan ini dan mewujudkan aktiviti-aktiviti alternatif agar anak-anak dapat dijauhkan dan tidak terlibat dengan sambutan Hari Valentine,” ujarnya kepada Harakahdaily. Beliau juga menyeru media massa menyampaikan maklumat sebenar mengenai Hari Valentine agar masyarakat menjauhi sebarang aktiviti-aktiviti berkaitan dengan sambutannya di samping menghentikan sebarang bentuk promosi yang menjurus kepada mempopularkan sambutan Hari Valentine. Katanya, saban tahun, 14 Februari merupakan hari yang ditunggu-tunggu oleh pasangan kekasih, malahan seminggu sebelum tarikh tersebut, ianya hangat diwar-warkan di media massa mahupun di laman sosial. “Saban tahun juga, kita menyaksikan ramai belia dan remaja ternoda,” katanya. Laporan Polis Diraja Malaysia yang dikongsikan di dada akhbar bertarikh 10 Februari 2011 (Sinar Harian, hlm N15) menunjukkan sebanyak 517 kes pembuangan bayi yang dilaporkan dari 2005 sehingga Januari lalu. Manakala dalam tempoh Januari sahaja, sebanyak 19 kes pembuangan bayi telah dilaporkan yang amat membimbangkan. Pergaulan bebas tanpa kawalan antara puncanya. Pengurusan institusi Raudatus Sakinah mendapati bahawa punca fenomena tersebut adalah hasil daripada kemaksiatan dan penzinaan yang berlaku bersempena dengan sambutan Hari Valentine dan juga sambutan Hari Kemerdekaan. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-71 pada 24hb November 2005 telah memutuskan bahawa amalan merayakan ‘Valentine’s Day’ bukan amalan Islam. Malah, ia menegaskan bahawa, roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur agama Kristian dan amalannya bercampurbaur dengan perbuatan maksiat yang bercanggah dan terlarang dalam Islam. Namun, sehingga kini, kata Mohd Fadzil ia masih lagi menjadi budaya dalam masyarakat dan diamalkan oleh penganut-penganut beragama Islam – khususnya dalam kalangan belia dan remaja. Tahun lepas, misalnya, ada pihak telah mencetuskan kempen ‘No Panties’ pada Hari Valentine. “Ini jelas menggambarkan betapa kroniknya budaya songsang telah menular dalam masyarakat kita,” katanya lagi. | | | |
|
Tiada ulasan:
Catat Ulasan