Selasa, 22 Februari 2011

BILA PERUT LAPAR..RAKYAT DITINDAS SERTA DIZALIMI...PEMBAHAGIAN EKONOMI DIKALANGAN KRONI..TENTU RAKYAT BOSAN...

Libya dikuasai penunjuk perasaan


GAMBAR yang disiarkan di laman Facebook semalam menunjukkan penunjuk perasaan mengibarkan bendera di bandar Benghazi, Libya.


PARIS - Beberapa buah bandar di Libya termasuk Benghazi dan Sirte dikuasai para penunjuk perasaan anti-pemimpin Muammar Gaddafi selepas pasukan-pasukan tentera dikatakan berpaling tadah dengan menyertai tunjuk perasaan, kata Persekutuan Hak Asasi Manusia Antarabangsa (IFHR) semalam.

Badan itu turut menyatakan jumlah kematian sejak protes bermula adalah sekitar 100 hingga 400 orang.

"Banyak bandar terutama di wilayah pantai barat telah dikuasai. Anggota-anggota tentera juga turut serta dalam kebangkitan menentang Gaddafi," kata Ketua IFHR, Souhayr Belhassen.

Dia yang berpangkalan di Paris sebelum ini menyatakan bilangan yang terkorban ialah 233 orang.

Maklumat tersebut kebanyakannya diperoleh daripada organisasi hak asasi manusia Libya.

Sementara itu, para penunjuk perasaan membakar bangunan pemerintah dan menceroboh sebuah stesen televisyen kerana marah disebabkan anak Gaddafi, Saif al-Islam memberi amaran negara ini akan terjerumus ke kancah perang saudara dan dilimpahi darah.

"Libya kini berada dalam persimpangan. Jika kita tidak bersetuju hari ini mengenai pembaharuan, sungai berdarah akan mengalir melalui Libya," katanya dalam satu ucapan menerusi televisyen.

"Kita akan memegang senjata. Kita akan berjuang sehingga ke peluru yang terakhir. Kita akan memusnahkan elemen-elemen hasutan.

"Jika semua orang bersenjata, ia akan menjadi perang saudara. Kita akan saling berbunuhan sesama sendiri. Libya bukan Mesir. Ia (Libya) bukan Tunisia," tambahnya.

Beberapa jam selepas kenyataan itu, para penunjuk perasaan di bandar Tripoli menceroboh pejabat stesen televisyen dan bangunan pemerintah.

Gaddafi memerintah Libya selepas beliau melakukan rampasan kuasa aman semasa pemerintahnya, Raja Idris mendapatkan rawatan di luar negara pada 1 September 1969. - Agensi



Ramai penunjuk perasaan berkampung di Dataran Pearl


BEBERAPA buah khemah didirikan di Dataran Pearl, Manama, Bahrain semalam.


MANAMA - Sejumlah para penunjuk perasaan semalam mendirikan khemah dan membawa makanan ke Dataran Pearl di sini bagi menuntut pemerintahan dinasti Al-Khalifa ditamatkan.

Kebanyakan penunjuk perasaan itu terdiri daripada penganut Islam berfahaman Syiah dan berikrar akan terus berkampung sehingga tuntutan mereka dipenuhi.

"Kami akan berada di sini selama mana dianggap perlu. Kami akan terus menawarkan makanan kepada para penunjuk perasaan yang berada di sini," kata seorang pelajar universiti, Qaseem Hassan.

Dataran Pearl telah menjadi tumpuan para penunjuk perasaan sejak 14 Februari lalu selepas kejayaan tunjuk perasaan yang menyebabkan Hosni Mubarak meletakkan jawatan Presiden Mesir pada 11 Februari lalu.

Sistem pemerintahan diraja Al-Khalifa sudah wujud di Bahrain sejak 1776 lagi. - Agensi


Syarikat minyak mahu tutup operasi

LONDON - Wintershall yang merupakan unit cari gali minyak dan gas syarikat Jerman, BASF, bersedia menutup pengeluarannya di Libya dan membawa keluar kakitangan asing selepas keganasan merebak di negara itu yang merupakan pengeluar minyak ketiga terbesar di benua Afrika.

Menurut satu kenyataan Wintershall semalam, ia kini mengurangkan pengeluaran minyak di Libya sebanyak 100,000 tong sehari

Syarikat-syarikat minyak antarabangsa lain termasuk Royal Dutch Shell dan OMV memberitahu, ia akan turut membawa keluar kakitangan asing masing-masing.

Tindakan sama diambil syarikat Norway, Statoil dan OMV serta Shell selepas berpuluh-puluh penunjuk perasaan antipemerintah terbunuh di bandar Benghazi dengan kekacauan merebak ke ibu negeri Libya, Tripoli pada hujung minggu lalu.

Kebanyakan operasi pengeluaran minyak Libya terletak di timur negara itu dan selatan Benghazi.

Situasi di bandar itu semakin meruncing semalam selepas pasukan keselamatan yang setia kepada pemerintah Libya, Muammar Gaddafi dilihat gagal mengawal keamanan. - Reuters



Libya akan mandi darah: Saif



ANCAMAN KEGANASAN...Saif al-Islam ketika berucap melalui televisyen Libya di Tripoli, semalam.
ANCAMAN KEGANASAN...Saif al-Islam ketika berucap melalui televisyen Libya di Tripoli, semalam.

TRIPOLI: Anak pemimpin Libya, Saif al-Islam Gaddafi, memberi amaran negara itu berdepan dengan perang saudara dan ‘sungai darah’ ketika keganasan pihak berkuasa masih gagal mengekang kebangkitan rakyat, semalam.

Ketika Saif al-Islam menjanjikan pelaksanaan reformasi di Libya dan menuduh kebangkitan rakyat didalangi kuasa asing, bunyi tembakan berterusan di jalan raya Tripoli.


Pertubuhan hak asasi manusia, Human Rights Watch (HRW), menyatakan jumlah korban protes antikerajaan meningkat kepada 233 orang.

Kata Saif al-Islam, 38, Libya kini berada di persimpangan.


“Jika kita tidak bersetuju mengenai reformasi hari ini, sungai darah akan mengalir di seluruh Libya,” katanya melalui ucapan disiarkan stesen televisyen.


Tindakan itu dilihat usaha terdesak rejim Gaddafi meredakan kemarahan rakyat yang bosan dengan pentadbirannya sejak 41 tahun lalu.

Kata Saif al-Islam, kerajaan tidak akan berdiam diri dan akan berjuang ‘sehingga peluru yang terakhir.’ “Kita akan menghancurkan elemen penghasut. Jika semua orang bersenjata, perang saudara akan tercetus dan kita saling berbunuhan.


“Libya bukan Mesir atau Tunisia,” katanya.

Tanpa diberikan peranan dalam politik Libya, dia dianggap mempunyai pengaruh besar dalam pentadbiran negara.


Sementara itu, Kementerian Luar Korea Selatan berkata, kira-kira 500 rakyat Libya menyerbu dan menjarah sebuah pusat pembinaan negara itu berhampiran Tripoli, menyebabkan 15 pekerja Bangladesh cedera.


Turut menjadi mangsa, tiga pekerja warga Korea Selatan.


Di London pula, syarikat petroleum gergasi Britain, BP, berkata pihaknya mengadakan persiapan mengeluarkan sesetengah pekerjanya dari Libya.


Negara kesatuan Eropah dilaporkan bekerjasama menyelaraskan kemungkinan membawa rakyat masing-masing meninggalkan Libya, terutama yang ada di Benghazi. - AFP



Stesen penyiaran, ibu pejabat parti diserbu



KAHERAH: Penunjuk perasaan menyelongkar pejabat penyiaran milik kerajaan di Tripoli, Libya, semalam selain membakar pejabat cawangan Jawatankuasa Rakyat yang menjadi tulang belakang kerajaan negara itu.

Menurut saksi, ibu pejabat stesen televisyen al-Jamahiriya dan stesen radio al-Shababia diceroboh orang ramai.


Siaran kedua-dua stesen itu terganggu sepanjang Ahad sebelum pulih pagi semalam.

Saksi lain berkata, penunjuk perasaan membakar bangunan awam di ibu negara Libya itu.


Antara yang menjadi sasaran mereka adalah balai polis tempatan.


Pusat Persidangan Rakyat yang terletak di kawasan penempatan Hay al-Andalous - lokasi yang sering menjadi pusat perhimpunan menyokong kerajaan dan mesyuarat rasmi - turut dibakar penunjuk perasaan. - AFP



Perisikan Libya ganggu al-Jazeera


DOHA: Stesen televisyen al-Jazeera mendakwa agensi perkhidmatan perisikan Libya sengaja mengasak siarannya di negara itu bagi menghalang laporan demonstrasi antikerajaan.

Stesen berpangkalan di Qatar itu berkata, mereka berjaya mengesan punca gangguan itu yang bermula sejak 2 Februari lalu dan berlaku ketika mereka menyiarkan laporan mengenai Libya.


“Gangguan berpunca di selatan Tripoli yang menempatkan bangunan pentadbiran teknikal perisikan Libya,” kata kenyataan dikeluarkan semalam. - AFP



Ikhwan mahu Kabinet serba baru



KAHERAH: Pertubuhan Ikhwanul Muslimin Mesir menolak cadangan rombakan kerajaan semalam, sebaliknya menggesa pihak berkuasa mengetepikan saki-baki menteri Kabinet lama dilantik Hosni Mubarak.

Kelmarin, junta tentera menamakan beberapa tokoh yang tidak disenangi Hosni menduduki jawatan dalam kerajaan.


Bagaimanapun, jawatan penting seperti Menteri Pertahanan, Menteri Luar, Menteri Keadilan, Menteri Dalam Negeri serta Menteri Kewangan kekal di tangan tokoh lama.

Pada masa sama, junta tentera menyatakan, perlembagaan baru bagi membolehkan pilihan raya umum diadakan dalam tempoh enam bulan hampir siap.


Perintah darurat akan ditamatkan sebelum pilihan raya berkenaan.


Pemimpin kanan Ikhwanul Muslimin, Essam el-Erian, berkata rakyat mahukan Kabinet yang baru sepenuhnya dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan Hosni.

“Jika mereka menawarkan jawatan, kami akan tolak kerana apa yang dituntut rakyat adalah kerajaan baru yang langsung tiada kena-mengena dengan rejim terdahulu,” katanya. - Reuters

Tiada ulasan: