Isnin, 21 Februari 2011

BILA MANUSIA TAK PENDULI MAJLIS2 ILMU...SIBUK MENGEJAR HABUAN DUNIA...YANG AKAN DITINGGALKAN SETELAH MATI....


Sembilan Soalan Manusia di Jawab Oleh Al-Quran


Bismillahirrahmanirrahim.

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Setiap kejadian yang berlaku dimuka bumi dan kepada diri manusia semuanya mengandungi hikmah dan Allah S.W.T. Maha Mengetahui setiap apa yang diciptakan dan ditakdirkan-Nya.

Manusia perlu bersabar dan bertenang dan mencari kebaikan dan hikmah dibalik setiap peristiwa yang berlaku. Dari sinilah akan melahirkan jiwa yang reda dengan Qadak dan Qadar dan bersyukur di atas nikmat dan rahmat daripada Allah S.W.T.

Terdapat sembilan persoalan yang sering dikemukakan oleh manusia kepada Allah S.W.T. dan Dia menjawannya di dalam al-Quran.

Soalan pertama : Kenapa aku diuji?

Quran menjawab : "Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja

mengatakan , kami telah beriman, sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka , maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar , dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang berdusta." (Surah al-Ankabut ayat 2-3).

Setiap ujian yang ditimpakan oleh Allah S.W.T. kepada para hamba-Nya sebenarnya Dia ingin mengurniakan sesuatu ganjaran yang lebih besar dan lebih baik. Allah S.W.T. akan menghapuskan dosa-dosanya dan memberi ganjaran pahala yang besar. Di hari akhirat nanti tidak ada balasan yang lebih baik melainkan mendapat balasan syurga.

Soalan kedua : Kenapa aku tak dapat apa yang aku idam-idamkan?

Quran menjawab : "Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu , padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui".

(Surah al-Baqarah ayat 216)

Sseungguhnya sesuatu perkara itu hakikat sebenarnya Allah Maha Mengetahui. Baik atau buruk sesuatu perkara itu ianya adalah di dalam ilmu Allah. Yakinilah jika sesuatu doa atau hajat tidak ditunaikan-Nya ada sesuatu yang lebih baik akan diberi Allah S.W.T. sebagai penganti apa yang kita hajatkan. Jika tidak dapat di dunia, nanti di hari akhirat Dia akan memberkannya kepada kita, oleh itu berbaik sangkalah kepada-Nya.

Soalan ketiga : Kenapa ujian seberat ini?

Quran menjawab : "Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya".

(Surah al-Baqarah ayat 286)

Allah S.W.T. Maha Mengetahui kemampuan kita sebagai hamba-Nya yang kerdil, oleh itu apa sahaja yang berlaku keatas diri kita sebenarnya masih dibawah kemampuan kita untuk menghadapinya. Anggaplah sesuatu ujian itu dengan fikiran yang positif dan cubalah renungkan bahawa terdapat orang lain yang lebih berat menghadapi ujian daripada kita maka dengan itu akan terasa beban yang ditanggung akan menjadi lebih ringan.

Soalan keempat : Kenapa kita rasa kecewa?

Quran menjawab : "Janganlah kamu bersikap lemah , dan janganlah pula kamu bersedih hati , padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya , jika kamu orang-orang yang beriman".

(Surah Ali Imran ayat 139)

Yakinlah sifat orang mukmin tidak akan rasa kecewa atau putus asa kerana orang mukmin akan sentiasa reda dengan Qadak dan Qadar. Jika kita merasai kita mulia di sisi Allah S.W.T. kerana kita orang yang beriman dan bertakwa maka akan hilang perasaan negatif ini.

Soalan kelima : Bagaimana harus aku menghadapi kesusahan ini?

Quran menjawab : "Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat , dan sesungguhnya solat itu amat berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk".

(Surah al-Baqarah ayat 45)

Benarlah saranan Allah S.W.T. bahawa sifat sabar dan sentiasa mengerjakan solat wajib dan sunat akan membantu orang mukmin ketika dia menghadapi ujian dan kesukaran dalam hidup. Dia akan melapangkan fikiran kita dan melepaskan daripada segala kesusahan ini jika kita istiqamah dengan bersabar dan menjadikan solat kerana solat adalah doa dan munajat para hamba kepada Tuhannya.

Soalan keenam : Kepada siapa aku berharap?

Quran menjawab : "Cukuplah Allah bagiku , tidak ada Tuhan selain daripada-Nya. Hanya kepada-Nya aku bertawakal".

(Surah at-Taubah ayat 129)

Tidak ada tempat lain untuk kita bergantung dan memohon pengharapan hanya kepada Allah S.W.T. yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Tuhan yang mengkabulkan segala doa dan permintaan.

Soalan ketujuh : Apa yang aku dapat daripada semua ujian ini?

Quran menjawab : "Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang mukmin , diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka".

(Surah at-Taubah ayat 111)

Tidak ada balasan yang paling berharga yang di miliki oleh manusia yang bertakwa melainkan balasan syurga seluas langit dan bumi. Semua ujian yang dihadapai tidak akan sia-sia kerana Allah S.W.T. telah berjanji akan memberikan balasan syurga kepada siapa yang sanggup berjihad dijalan-Nya dengan harta, masa dan nyawa semata-mata mencari keredaan-Nya.

Soalan kelapan : Aku tak tahan dengan ujian ini!

Quran menjawab : "...dan janganlah kamu ber putus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa daripada rahmat Allah melainkan kaum yang kafir".

(Surah Yusuf ayat 12)

Orang mukmin tidak akan putus asa dengan rahmat Allah dan sentiasa bersabar dengan ujian yang melanda dirinya kerana sifat orang yang putus asa adalah sifat orang-orang kafir.

Soalan kesembilan : Sampai bila aku akan merana begini?

Quran menjawab : "Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan".

(Surah al-Insyirah ayat 5-6)

Benar apa yang dijelaskan oleh al-Quran bahawa setiap kesusahan itu akan ada kebahagiaan . Allah S.W.T. Maha Adil dan tidak pernah menganiaya hamba-hamba-Nya dan akan sampai pula masanya Dia akan memberi pertolongan dan memberi kemudahan. Ingatlah bahawa pertolongan Allah S.W.T. cukup dekat bila kita baik sangka dengan-Nya.

Sahabat yang dimuliakan,

Begitulah sembilan soalan dan semuanya telah diberi jawapan oleh al-Quran kerana sesungguhnya al-Quran adalah mukjizat daripada Allah S.W.T kepada semua hamba-hamba-Nya. Apabila kita dapat memahami hikmah dibalik semua kejadian di dunia ini, maka hati kita akan menjadi tenang dan yakin dengan janji-janji Allah S.W.T. yang dinyatakan-Nya di dalam al-Quran.

Firman Allah maksudnya : "Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (loh mahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah ".

(Surah Al-Hadid ayat 22)

Dalam ayat yang lain Allah berfirman maksudnya : "Tidak luput darpada pengetahuan Tuhanmu biarpun sebesar zarah di bumi atau pun di langit. Tidak ada yang lebih kecil dan tidak (pula) yang lebih besar daripada itu melainkan (semuanya tercatat) dalam kitab yang nyata (loh mahfuz). "

(Surah Yunus ayat 61)



Kelantan Sedia RM1.5 Juta Galak Pasangan Muda Kahwin


Kerajaan PAS Kelantan melancarkan "Gerbang Az-Ziwaaj" dengan peruntukan RM1.5 juta tahun ini bertujuan menggalakkan 1,500 pasangan muda kurang berkemampuan untuk berkahwin.

Semasa melancarkannya, Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar), berkata program bertemakan "Anda Bijak Kerana Berkahwin" itu bertujuan mengelakkan golongan muda dari terjebak dalam perzinaan dan menghalang kejadian buang anak luar nikah.

Melalui program itu, setiap pasangan diberi RM1,000 dalam bentuk cek dan peserta boleh mendapatkan borang permohonan di pejabat kadi, pejabat Anggota Dewan Undangan Negeri, kaunter khidmat pelanggan Setiausaha Kerajaan Negeri atau muat turun borang dari laman facebook "Gerbang Az-Ziwaaj" (Gerbang Perkahwinan)

- Kota Bharu, 16 Februari 2011

Tiada ulasan: