Selasa, 15 Februari 2011

HARI DISAMBUT..PATUT SIFAT DICONTOHI...JADILAH AMANAH..DALAM GERAKKERJA BUKANNYA MENIPU RAKYAT....

Teladan politik Islam pada diri Rasulullah
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 15 Feb: Pada diri Rasulullah s.a.w. itu adanya teladan politik Islam yang terbukti memberi keadilan kepada semua agama dan kaum, disambung pula oleh pemerintahan Islam selepas itu.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, ianya membuktikan sesuatu kaum khususnya Arab tidak selama-lamanya menjadi pemimpin.

"Rasulullah s.a.w. telah membuktikan Islam tidak membenarkan perhambaan sesama manusia, Islam memberikan hak kepada rakyat, hak kepada wanita dan kaum minoriti, dan Islam memberi keadilan kepada seluruh makhluk di atas muka bumi ini.

"Teladan Nabi Muhammad s.a.w. inilah yang sepatutnya kita ikuti dengan menolak perjuangan sempit atas nama perkauman yang terbukti zalim dan tidak memberi keadilan kepada rakyat," ujarnya dalam perutusan sempena Maulidur Rasul 1432H.

Berikut perutusan penuh beliau.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Sambutan Maulidur Rasul s.a.w. yang diadakan saban tahun, mestilah diutamakan dengan memulakan azam baru bagi mengikuti teladan Nabi Muhammad s.a.w. yang diutuskan oleh Allah SWT, untuk membebaskan manusia daripada belenggu jahiliah.

Jasa besar Nabi Muhammad s.a.w. adalah, membawa Islam yang menerangi manusia, yang memerdekakan manusia daripada diperhambakan sesama manusia, dijajah sesama manusia, dizalimi dan menzalimi sesama manusia, kepada manusia yang merdeka dan mempunyai hak yang dihormati.

Kejayaan besar penjajah barat ialah memesongkan umat Islam daripada politik Islam yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Hasilnya lahirlah umat Islam yang menerima sahaja siapa sekalipun menjadi pemerintah mereka, walaupun zalim kepada rakyat, kerana bagi mereka urusan politik tidak ada kaitan dengan agama.

Sedangkan pada diri Rasulullah s.a.w. itu adanya teladan politik Islam yang terbukti memberi keadilan kepada semua agama dan kaum, disambung pula oleh pemerintahan Islam selepas itu, yang membuktikan sesuatu kaum khususnya Arab tidak selama-lamanya menjadi pemimpin.

Rasulullah s.a.w. telah membuktikan Islam tidak membenarkan perhambaan sesama manusia, Islam memberikan hak kepada rakyat, hak kepada wanita dan kaum minoriti, dan Islam memberi keadilan kepada seluruh makhluk di atas muka bumi ini. Teladan Nabi Muhammad s.a.w. inilah yang sepatutnya kita ikuti dengan menolak perjuangan sempit atas nama perkauman yang terbukti zalim dan tidak memberi keadilan kepada rakyat.

Kita melihat bagaimana kehidupan masyarakat Arab jahiliah sebelum kedatangan Rasulullah s.a.w. yang penuh dengan perhambaan dan kezaliman, tetapi semuanya berubah selepas kedatangan Islam.

Justeru, saya menyeru kepada seluruh umat Islam khususnya, supaya memulakan tekad baru, menolak jahiliah moden yang menjadikan rakyat sebagai hamba, yang harta negara berlegar sesama mereka, yang rasuah dan zalim, kepada perjuangan yang lebih syumul iaitu Islam sebagaimana dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS)

12 Rabiul Awal 1432H/15 Februari 2011



Persiap wanita muda tolak kerajaan tindas rakyat
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 14 Feb: Solidariti Wanita Muda Malaysia sedang mendepani cabaran mempersiapkan minda generasi muda untuk menolak kerajaan zalim yang menindas rakyat seperti yang berlaku di Mesir.

Ahli jawatankuasa Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah Al-Jundi berkata, generasi muda khususnya wanita harus menyedari isyarat kebangkitan baru ini dan tidak teragak-agak untuk membuat perubahan ke arah kerajaan yang lebih baik di negara ini.

"Bagi kami Solidariti Wanita Muda Malaysia, apa yang menjadi tanggungjawab kita adalah bagaimana nak mempersiapkan minda khususnya pejuang wanita muda di Malaysia dalam pelbagai ideologi politik masing-masing untuk akhirnya bersiap ke arah kebangkitan ini untuk satu kepentingan iaitu kepentingan rakyat dan keadilan," katanya ketika ditemui ditemui selepas penyerahan nota tahniah kepada rakyat Mesir di Kedutaan Mesir hari ini.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan, pejuang wanita dalam gerakan Islam Ikhwanul Muslimin, Zainab Al-Ghazali pernah menyebut bahawa kebangkitan baru akan muncul selepas kejatuhan Khalifah Uthmaniah di Turki pada tahun 1921.

Ikhwanul Muslimin bangkit selepas kejatuhan itu dan semangat perjuangannya tersebar sehingga ke rantau Asia.

Kini ujarnya, kebangkitan itu telah terbukti di Mesir dan diyakini akan menular ke seluruh dunia khususnya negara yag mepunyai pemerintah diktator.

"Sepatutnya anggota gerakan Islam dan pejuang Islam mesti ambil perhatian bahawa signal kebangkitan baru yang disebutkan Zainab Al Ghazali muncul kembali di Mesir. dan seluruh dunia mesti faham signal kebangkitan itu.

"Kita percaya mudah-mudahan semangat yang berlaku di Mesir hari ini juga akan tersebar dan juga akan sampai ke Malaysia.

Beliau berkata, kerajaan BN di Malaysia sudah menunjukkan sikap yang sama dengan rejim Hosni Mubarak dan menimbulkan kebencian di kalangan rakyat.

"Kita percaya kebobrorokan yang dilakukan BN sudah melampaui batas dan seperti di Mesir ia berlaku akibat kebangkitan rakyat yang bencikan kezaliman," katanya.

Oleh sebab itu katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak begitu takut dengan kebangkitan rakyat Mesir dan cuba menggambarkan ianya sebagai satu bentuk kejahatan dan keganasan rakyat.

"Sebab itu kita tengok (Datuk Seri) Najib sangat takut dengan kebangkitan rakyat di mesir sehingga mahu memberi justifikasi songsang tehadap kebangkitan rakyat dengan kononnya berlaku rusuhan dan ketidakamanan.

"Tujuannya untuk menampakkan kebangkitan itu jahat. Sebab beliau tahu bila perubahan berlaku di Tunisia, berlaku di Mesir tidak mustahil akan berlaku di malaysia," katanya.



Penjelasan Ops Piramid
Ahmad Tarmizi

Terlebih dahulu marilah kita bersyukur ke hadrat ilahi kerana dengan limpah rahmat dan keizinan-Nya maka perjalanan proses pemindahan para pelajar Malaysia dari Mesir ke Jeddah dan seterusnya ke tanahair tercinta Malaysia telah berjaya. Terima kasih kepada Kerajaan Malaysia yang membantu melancarkan proses pemindahan para pelajar dengan bantuan tenaga kerja dari kakitangan Konsulat Malaysia Jeddah dan Tabung Haji. Alhamdulillah bagi pihak Kelab Malaysia Jeddah (KMJ) dan Malaysia Business Council (MBC) ucapan ribuan terima kasih kepada penderma budiman yang kebanyakkannya daripada Malaysian Profesionals yang bekerja di Saudi Arabia. Kita juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada sukarelawan dan sukarelawati yang senantiasa datang melawat para pelajar dan juga bersama-sama mereka membantu di dapur masakan dan di meja sumbangan yang disediakan oleh pihak Tabung Haji buat Kelab Malaysia Jeddah di Madinatul Hujjaz.

Walaubagaimanapun untuk perhatian rakan-rakan Malaysia yang menetap di Saudi Arabia khususnya terdapat informasi di blog-blog dan juga email mengenai keadaan para pelajar Malaysia dari Mesir yang menetap di Jeddah dari pihak yang tidak bertanggungjawab di mana beliau yang mengelarkan dirinya sebagai Abdul Fatah Abdul Karim dan menyatakan bahawa beliau mewakili Kelab Malaysia Jeddah (KMJ), Malaysia Business Council (MBC), Kelab IDB dan Panda. Untuk makluman semua kami tiada mempunyai ahli yang bernama seperti beliau dan tidak pernah melantik atau mewakilkan sesiapa untuk menghantar email bagi pihak kami. Saya percaya dipihak Kelab Malaysia Yanbu, Kelab IDB dan Panda juga tidak melantik beliau sebagai wakil. Platform yang kami gunakan untuk berkomunikasi adalah melalui email yang dihantar oleh saya sendiri atau melalui group email (http://groups.yahoo.com/group/MyJeddah/).

Perkara begini adalah sesuatu yang amat mengecewakan jadi kami berharap dengan email ini dapatlah diperjelaskan kepada semua rakan-rakan mengenai perkara yang tidak betul yang telah disebarkan oleh penghantar email tersebut. Mudah-mudahan Allah swt memberi hidayah kepada beliau supaya kembali kepada jalan yang benar kerana fitnah itu amat besar dosanya.

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan”. [al-Hujurat 49:6]

Sekian, Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Ahmad Tarmizi,
Presiden,
Kelab Malaysia Jeddah (KMJ)




Cerita Nazim, Hasbi dan Daim
Ahmad Lutfi Othman

Baru-baru ini, Perdana Menteri Najib Razak mengumumkan peruntukan sebanyak RM20 juta bagi membiayai pengubahsuaian Masjid Kampung Baru di Kuala Lumpur. Najib berkata peruntukan tersebut akan disalurkan melalui syarikat pembangunan strategik milik kerajaan, 1Malaysia Development Berhad. Turut hadir di dalam majlis tersebut adalah Timbalan Pengerusi Masjid Jamek Kg Bharu, Mohamed Nazim Abd Razak, yang juga adik Najib.

Menurut maklumat yang diperolehi, cadangan pengubahsuaian Masjid Jamek Kampung Baru itu telah diberikan kepada NRY Architect Sdn Bhd, yang mana pemiliknya adalah Nazim sendiri. Seorang penduduk Kampung Baru menelefon saya untuk meluahkan pandangannya: "Memandangkan Nazim adalah timbalan pengerusi masjid, SPRM diminta menjelaskan sama ada terdapat percanggahan kepentingan di mana sebagai sebagai pemilik firma arkitek NRY Architect Sdn Bhd, beliau tentu sedar bahawa perlantikannya mungkin atas kapasitinya sebagai timbalan pengerusi masjid ataupun sebagai adik Perdana Menteri sendiri."

Selain Nazim, tiga lagi saudara Najib terbabit aktif dalam perniagaan berprofil tinggi, iaitu Nazir, Johari dan Mohamed Nizam.

Nazim pernah disebut namanya oleh penyiasat persendirian, P Balasubramaniam, dalam akaun bersumpahnya, pada 3 Julai 208, yang cuba mengaitkan nama Najib, Timbalan Perdana Menteri ketika itu dengan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibu, yang dibunuh secara kejam. Sehari selepas membuat pendedahan itu, Bala secara tergesa-gesa menarik balik akuan sumpah awalnya dan menghilang keluar negara. Bala, bekas seorang anggota polis Cawangan Khas.

Ekoran itu, tiga pemimpin atasan Pemuda Pakatan Rakyat dalam satu aduan menggesa SPRM menyiasat dakwaan P Balasubramaniam berhubung pembabitan adik Perdana Menteri itu dalam isu pertukaran akuan sumpahnya.

II.

Cerita projek-projek besar kerajaan yang dibuat secara rundingan terus tanpa tender seperti pembinaan universiti, hospital dan projek jalan dijadikan seumpama skim cepat kaya oleh para pemimpin Umno-BN bukan kisah baru. Mungkin ramai sudah muak mendengarnya disebabkan tiada langkah berkesan diambil bagi membanterasnya. Dana awam dikaut bagi keuntungan peribadi dan sebahagiannya disalurkan kepada tabung parti, yang digunakan untuk membeli undi semasa kempen pilihan raya.

Kos projek ditingkatkan berkali ganda bagi memungkinkan mereka dan kroni membolot keuntungan secara mudah. Ada yang dirundingkan di "bawah meja" lebih awal dan ia menjadi semacam perkara yang ditetapkan semasa proses rundingan harga dibuat. Para pelobi projek dan kontraktor arif benar tentang siapa perantara bagi pihak menteri dan Umno yang perlu dihubungi.

Kementerian Kewangan dikenali sebagai lubuknya. Disebabkan Perdana Menteri sendiri yang mengetuai Perbendaharaan, tugas "mengutip komisyen" itu selalunya diserahkan kepada pihak lain. Tidak pasti apakah ia termasuk anak, menantu dan isteri PM sendiri?

Ada pihak mendakwa jawatan Menteri Kewangan II juga sering diperhatikan. Peluang boleh diintai termasuk daripada setiausaha sulit ataupun setiausaha politik menterinya. Di antara nama menteri yang disebut-sebut adalah Nor Mohamed Yakcop (2004-2009), kini Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Justeru, nama orang kanannya, Hasbie Satar, 38 cukup popular di kalangan pelobi.

Hasbie ditahan SPRM, di pangsapurinya di Teluk Air Tawar, Pulau Pinang, bersama penemuan wang tunai yang diikat mengikut nilai RM5, RM10, RM50 dan RM100 berjumlah kira-kira RM2 juta. Beliau dituduh mengikut Seksyen 4(1), Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001.

Saya tidak begitu arif mengapa SPRM memilih pertuduhan di bawah akta berkenaan. Mungkin penemuan fakta kes dalam siasatan hanya menjurus ke arah itu. Cuma, ramai kenalan saya, yang terbabit dalam dunia perniagaan dan biasa berhubung dengan "perantara" menteri bagi melobi projek, mengharapkan lebih banyak kisah menarik tentang "dana politik Umno" tersingkap semasa perbicaraan nanti.

Bagi saya harapan kawan-kawan saya itu terlalu tinggi dan agak mustahil tercapai. "Segalanya akan ditutup nanti," balas saya.

III.

Semenjak Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 dipinda pada 1975, kampus institusi pengajian tinggi tempatan memang bagai penjara. Suara penghuninya dibisukan, gerakan mereka terbatas, dan mungkin angan-angan pun tidak dapat mencecah awan; segala-galanya memerlukan kebenaran naib canselor. Tradisi ilmu dan budaya cendekia dipasung.

Malah, kakitangan akademik yang menyuarakan pendapat dalam hal-hal berkaitan kepakaran mereka juga ditegur jika ia menyinggung "wilayah sensitif" yang sempadannya semakin diperluaskan. Mengambil jalan mudah dan untuk mengelak risiko, maka majoriti warga kampus lebih asyik dengan hal-hal remeh-temeh. Tidak terkecuali yang mengambil kesempatan untuk "membodek" pihak atasan, dan berlumba-lumba "menangkap peluang" untuk kepentingan peribadi.

Pelajar dan pensyarah seolah-olah dipisahkan jauh di menara gading, sedangkan rakyat dan pemerintah amat memerlukan idea serta sumbangan golongan intelektual. Gerakan mahasiswa sekadar berperanan seperti persatuan pelajar sekolah menengah atas. Autonomi yang sudah lama dicabut menjadikan masyarakat terpelajar itu tempang dan cacat. Anehnya, selepas itu bertalu-talu pula kritikan kedengaran, yang mendakwa bahawa perwatakan, keperibadian dan penampilan siswazah kita begitu lemah dan tidak meyakinkan.

Walhal, yang "mencacatkan" mahasiswa secara sengaja, sehingga potensi mereka lumpuh atau tidak dapat dikembangkan dengan baik, adalah pihak universiti sendiri, yang tentunya direncanakan elit pemerintah. Bagi regim yang korup dan menindas, suara independen masyarakat terdidik begitu digeruni. Penguasa seumpama itu hanya mahu memperalatkan orang lain untuk kepentingan diri dan kelompok.

Kini tiba musim pilihan raya kampus bagi memilih kepemimpinan pelajar sesi 2011/12. Proses PRK sejak lama berjalan penuh kepincangan. Ruang untuk anak-anak muda berpatisipasi dalam politik pelajar juga diganggu dengan cukup dahsyat. Pihak universiti jarang bertindak adil melayani semua calon atau kumpulan yang bertanding. Mahasiswa yang dilihat tidak cenderung dengan pemerintah dianggap seperti musuh dan terpaksa berdepan kesukaran yang sengaja dicipta Urusetia Hal Ehwal Pelajar. Masa sama, universiti "menternak" kumpulan yang mendokong aspirasi kerajaan BN.

Tujuh tahun lalu, saya pernah mendedahkan penglibatan aktif Kementerian Pengajian Tinggi -- termasuk melibatkan naib-naib canselor -- melakukan sabotaj terancang bagi mengalahkan kumpulan mahasiswa yang tidak terikat dengan Umno-BN. Mereka mengadakan mesyuarat tetap di ibu pejabat Umno, di PWTC. Peruntukan kewangan universiti diambil bagi membiayai kempen kumpulan pro-BN.

Sungguh menyedihkan apabila pegawai-pegawai universiti sanggup merendahkan (menghina) diri mereka ke tahap menjadi "barua Umno". Apa salahnya dibiarkan mahasiswa bereksperimen dengan bebas dan kreatif bagi memilih pemimpin mereka? Mengapa perlu dikhianati cita-cita, aspirasi dan idealisme luhur pelajar? Sepatutnya disediakan ruang secukupnya agar mahasiswa dapat mengembangkan bakat kepimpinan dan mengungguli idealisme perjuangan tanpa sekatan.

Lebih mengejutkan apabila saya terbaca laporan yang mendedahkan insiden memalukan di Universiti Malaya, 10 Februari lalu. Sekumpulan 20 mahasiswa dihalang secara tidak bertamadun daripada mengadakan sidang media berkaitan peraturan PRK. Cuba bayangkan, seorang pengawal keselamatan universiti bertindak menekap mulut seorang aktivis pelajar pro-Mahasiswa ketika mahu memberikan ucapan!

Keadaan kemudiannya menjadi tegang apabila pihak keselamatan enggan bertolak ansur dan membunyikan siren kereta perondanya yang diletakkan berhampiran kawasan tersebut. Kumpulan mahasiswa tadi dapat juga meneruskan sidang media selama 10 minit.

Kes "tutup mulut" yang mengaibkan ini perlu diberi perhatian serius. Reaksi Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Saifuddin Abdullah, yang terkenal dengan kelantangannya mahu melakukan reformasi di IPT, amat ditunggu-tunggu. Dalam suasana dunia menyaksikan perubahan menyeluruh ke arah pemerintahan lebih demokratik dan regim autoritarian tergugat diasak tuntutan anak muda, malangnya situasi di negara kita begitu mengecewakan.

IV.

Bekas Menteri Kewangan, Daim Zainuddin jarang bersuara tetapi sesekali beliau membuat ramalan politik, agak menarik juga untuk disorot. Setahun sebelum PRU12, beliau menjangkakan BN akan menghadapi tentangan cukup sengit di beberapa kawasan panas, iaitu Kedah, Pulau Pinang, dan Selangor. Hasilnya BN tersungkur di tiga negeri berkenaan, ditambah satu lagi Perak.

Baru-baru ini, dalam wawancara dengan akhbar China Press, Daim meletakkan Kelantan dan Pulau Pinang sebagai negeri selamat buat Pakatan Rakyat. Meskipun media yang dikontrol BN sering menggambarkan pentadbiran Lim Guan Eng tidak henti-henti berdepan masalah dan rungutan rakyat, Daim melihat kerajaan Pulau Pinang tetap kuat dan tiada petanda akan berlaku peralihan kuasa dalam PRU13.

Begitu juga dengan situasi di Kelantan. Bagi Daim, kepimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz begitu disayangi rakyat. Bagaimanapun, pertembungan BN dan Pakatan tetap mendebarkan di Selangor, Kedah dan Perak. Keputusan akhirnya dilihat bergantung kepada calon yang dipilih dan kualiti menteri besarnya.

Daim, bekas Ahli Parlimen Merbok turut memandang tinggi Menteri Besar Kedah, Ustaz Azizan Abdul Razak, yang juga katanya, disukai rakyat. Ustaz Azizan, tambahnya peramah dan senang didekati. Selain Daim, secara terbuka, bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad juga menghormati gaya pentadbiran Ustaz Azizan.

Keupayaan Pakatan mempertahankan Selangor dipersoal Daim. Sasarannya lebih tertumpu kepada cara Abdul Khalid Ibrahim menerajui kerajaan negeri, yang didakwanya lebih mirip seperti seorang CEO sebuah syarikat. Rakyat, katanya, mahu melihat sebuah kerajaan yang berkhidmat untuk rakyat, bersih dan cekap. Peranan Anwar Ibrahim sebagai penasihat ekonomi negeri juga dikritik.

Saya tidak pasti mengapa Daim tidak merangkaikan Terengganu sebagai negeri yang juga cukup berpotensi untuk direbut Pakatan. Negeri yang pernah ditadbir PAS (2004-2008) kini menghadapi masalah besar daripada segi kewangan dan juga politik dalaman Umno. Pentadbiran Ahmad Said goyah dan menerima banyak kritikan khususnya daripada penyokong Umno sendiri. Rasanya jika Pakatan berupaya menampilkan calon-calon terbaik, dalam keadaan wibawa menteri besar sekarang dipertikai, Daim perlu memasukkan Terengganu dalam senarai "kawasan panas".

Di mana-mana pun, sifat politik cukup dinamik. Tekaan hari ini boleh meleset atau diperkukuhkan lagi jika situasi politiknya berubah. Ramalan Daim tidak terkecuali. Kebijaksanaan rakyat dan kesungguhan parti-parti bertanding bakal menentukan keputusan akhirnya. -- lutfi_detik@yahoo.com



Jumlah hari Saiful tidak mandi bercanggah
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 14 Feb: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini didedahkan dengan keterangan yang bercanggah oleh saksi pihak pendakwaan berhubung jumlah hari Mohd Saiful Bukhari Azlan tidak mandi atau tidak mencuci punggungnya.

Dalam keterangan terdahulu, saksi pihak pendakwaan menjelaskan Mohd Saiful tidak mandi atau tidak mencuci punggungnya selama empat hari, tetapi hari ini hanya dinyatakan selama dua hari sahaja.

Pakar jagaan kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Khairul Nizam menjelaskan, Saiful tidak mandi, tidak membuang air besar dan tidak mencuci punggungnya selama dua hari disebabkan kesakitan pada bahagian anusnya.

Beliau menjelaskan demikian ketika menjawab soalan peguambela S N Nair sebagai sebahagian bukti Saiful benar-benar diliwat oleh seseorang yang didakwa oleh Saiful seorang tokoh terkemuka, Anwar Ibrahim, dalam perbicaraan kes liwat kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bersambung hari ini

Sementara sebelum itu, peguam pasukan pembela kes liwat Anwar menegaskan tiada bukti air mani dikesan pada Mohd Saiful Bukhari Azlan kerana tiada ujian yang sewajarnya dijalankan untuk memastikan perkara tersebut.

Salah seorang peguam Anwar, Sankara Nair berkata, meskipun keputusan makmal Hospital Kuala Lumpur (HKL) menunjukkan adanya kesan air mani, tetapi tiada ujian-ujian yang standard dijalankan untuk mengesahkan perkara itu.

Menurut beliau, laporan kimia juga tidak mengambil kira ujian-ujian standard yang harus dijalankan untuk menentukan sebarang kehadiran air mani.

Dalam soalannya kepada ahli patologi forensik HKL, Dr Siew Sheue Feng, beliau berkata, di peringkat antarabangsa terdapat ujian-ujian yang standard seperti itu yang diamalkan seperti PSA 'antigen' dan RSID yang akan memberi gambaran tepat mengenai air mani.

Dengan merujuk kepada laporan kimia, Sankara berkata, laporan kimia juga menunjukkan bahawa kesan air mani sendiri ada ditemui pada seluar dalam dan seluarnya.

“Bagaimanapun perkara ini tidak dicatatkan oleh anda?” soal Sankara yang turut diakui oleh Dr Siew bahawa beliau memang tidak mengambil catatan.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah yang mendengar perbicaraan hari ini menetapkan perbicaraan akan disambung pada hari Rabu ini mulai jam 8.30 pagi.

Turut hadir dalam perbicaraan hari ini peguam Karpal Singh dan Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden.

Peguam Sankara ketika bercakap kepada pemberita kemudian berkata, keterangan yang bercanggah dari saksi pendakwaan mengenai jumlah hari Saiful tidak mandi atau tidak mencuci badannya itu, pasti akan memudahkan pihaknya mengemukan hujah-hujah lebih konkrit dalam perbicaraan akan datang.



Haris Zalkapli: Tunisia, Mesir dan masa depan pasca-Islamis
Haris Zalkapli
Akademik Perancis, Olivier Roy dalam satu tulisan mengulas revolusi di Tunisia menegaskan Islam tidak menjadi sebahagian daripada kebangkitan aman di negara Afrika Utara itu.

Menurutnya, siri demonstrasi yang akhirnya menjatuhkan Presiden Zine al-Abidine Ben Ali itu tidak menampakkan sebarang ciri Islam, tidak ada seruan untuk menubuhkan negara Islam, dan tidak kedengaran jeritan menolak “imperialisme Amerika.”

Rejim memerintah Tunisia itu, menurut Roy, dilihat sebagai lahir dari politik setempat, dan bukan boneka Perancis atau penjajahan baharu Amerika Syarikat.

Roy, melalui bukunya The Failure of Political Islam melahirkan wacana yang kini dikenali sebagai pasca-Islamisme, yang antara kandungan utamanya ialah gerakan Islam yang semakin menyesuaikan diri dengan ruang demokrasi dan bahasa semasa sehingga tidak lagi menjadi gerakan Islam seperti yang dikenali sebelumnya.

Beliau juga menunjukkan ketidakupayaan menjatuhkan rejim-rejim berkuasa serta terlibat dalam politik lalu menjadi demokrat sebagai antara yang menyifatkan kegagalan projek Islam politik (political Islam.)

Selepas Roy, ide pasca-Islamisme turut dibawa oleh seorang lagi akademik Perancis, Gilles Kepel.

Terbaharu, ide ini dikemukakan oleh Asef Bayat, sosiologis di Universiti Illinois di AS, terutama dalam membincangkan kebangkitan di Tunisia dan Mesir.

Asef mengemukakan gagasan pasca-Islamisme dengan mendalam dalam bukunya pada 2007, Making Islam Democratic: Social Movements and the Post-Islamist Turn.

Secara mudahnya, pasca-Islamisme ditakrif sebagai satu kondisi gerakan Islam bercakap dalam bahasa semasa dan menangani hal-hal semasa yang bukan menurut istilah yang biasa dengan gerakan Islam.

Tetapi pasca-Islamisme pergi lebih jauh lagi, dan ditakrif juga sebagai satu bentuk baharu gerakan Islam yang mengambil sepenuhnya wacana baharu dan bersifat sebagai demokrat dan menjadi lebih liberal, menjadikan mereka pasca-Islamis.

Bagi penyokong tesis pasca-Islamisme, pasca-Islamis dilihat sebagai fasa atau lekuk seterusnya yang perlu dilalui oleh gerakan Islam, menjadikan mereka lebih inklusif dan bergerak dalam kerangka negara-bangsa masing-masing.

Tesis pasca-Islamisme kelihatan menguasai naratif sebahagian besar media dan akademik Barat dan antarabangsa dalam liputan dan analisis kebangkitan di Tunisia dan Mesir.

Satu pandangan yang hampir mendapat konsensus ialah gerakan Islam tidak berperanan dalam protes di Tunisia dan Mesir, yang dikemukakan sebagai sesuatu yang bersifat “sekular” dan digerakkan sepenuhnya oleh rakyat yang bebas daripada pengaruh parti atau pergerakan politik.

Liputan protes Tunisia dan Mesir tidak mengemukakan wajah mewakili protes terbabit, dengan tumpuan diberikan pada identiti kolektif peserta demonstrasi.

Hal ini sangat berbeza dengan protes antikerajaan di Iran pada 2009, yang wajah mewakili gerakan itu menjadi tumpuan media sejak awal, dan mempunyai pemain-pemain yang jelas.

Gerakan Islam dalam kedua-dua kes dikemukakan sebagai datang selepas protes tercetus dan hanya terlibat selepas kejatuhan rejim (di Tunisia) dan ketika rejim semakin lemah (dalam kes Mesir.)

Banyak isu yang timbul sejurus revolusi Tunisia turut timbul dalam kes Mesir, iaitu peranan gerakan Islam.

Walaupun tidak dapat dinafikan dalam protes terbaharu di kedua-dua negara itu gerakan Islam tidak berperanan dominan, perkembangan tersebut tidak boleh dibaca sebagai terasing daripada perjalanan sejarah politik negara terbabit dan perkembangan serantau sejak beberapa tahun lalu.

Isu ekonomi, dasar kuku besi pemerintah dan pelbagai isu lain memang menjadi antara isu yang ditangani oleh gerakan Islam di kedua-dua negara.

Sebarang tindakan politik seperti yang disaksikan itu tidak akan berlaku dalam vakum, terjadi dengan tiba-tiba dan terasing daripada konteks setempat.

Hakikat bahawa kemarahan rakyat tertumpu pada pemimpin yang telah memerintah selama beberapa dekad menunjukkan peristiwa itu tidak dapat dipisahkan daripada sejarah politik kedua-dua negara, yang memang menyaksikan peranan gerakan Islam.

Hujah ini terkait dengan pandangan dominan berhubung bentuk pemerintahan dalam politik baharu negara-negara terbabit.

Pemerintah baharu yang dibayangkan banyak pihak dan bakal mendapat sokongan masyarakat antarabangsa ialah kerajaan yang mewakili semua pihak (broad-based) dan liberal, dengan peranan gerakan Islam yang tidak besar.

Kebimbangan yang banyak disuarakan kuasa Barat ialah potensi gerakan Islam untuk menguasai dan memonopoli kuasa dalam kerajaan baharu nanti.

Kebimbangan ini tidak mempunyai asas kerana realiti politik pilihan raya di negara-negara terbabit dan kemampuan serta hasrat gerakan Islam di kedua-dua negara.

Persoalan tentang peranan Parti al-Nahdah di Tunisia dan Ikhwan al-Muslimin di Mesir selepas kebangkitan rakyat sebahagian besarnya sudah terjawab.

Penglibatan gerakan Islam di kedua-dua negara bergantung pada perubahan yang akan berlaku melibatkan proses demokratik negara terbabit.

Pertama, perubahan perlu berlaku. Kedua, proses pilihan raya dan pembentukan kerajaan perlu berjalan dengan lancar dan bebas. Ini belum lagi berlaku di kedua-dua negara.

Kedua-dua kumpulan akan mempunyai kedudukan yang lebih besar sekiranya proses demokratik yang sewajarnya terlaksana dan mereka menyertai proses itu dan bersedia mengambil tanggungjawab.

Paling jelas, di Mesir, sebagai kumpulan pembangkang yang paling besar dan tersusun, Ikhwan mesti dan akan terlibat dalam kerajaan baru nanti sekiranya proses demokratik pilihan raya berjalan dengan bebas dan adil.

Soal yang utama ialah sejauh mana Ikhwan berhasil menunaikan janji-janjinya sebagai gerakan Islam seperti yang dikemukakan kepada rakyat yang menyokongnya dalam kerajaan baharu nanti.

Senario yang paling realistik sekiranya rejim sedia ada di Mesir diturunkan dan proses demokrati baharu dijalankan dalam pembinaan kerajaan baharu ialah gabungan pelbagai haluan dalam kerajaan.

Tidak dapat tidak, Ikhwan akan bersama dalam sebuah kerajaan menggabungkan kumpulan liberal dan berhaluan kiri.

Dalam kes ini, Ikhwan akan terpaksa bersikap realistik dalam hal melibatkan had peranan dan kuasanya dalam kerajaan.

Dalam bahasa pasca-Islamisme, usaha gerakan Islam menangani isu seperti proses demokratik dan keperluan-keperluan semasa yang lain turut dikaitkan sebagai satu keadaan pasca-Islamisme.

Pandangan ini agak terlalu mudah kerana tidak ada sebab untuk sebuah gerakan Islam mengabaikan hal tersebut dalam aktiviti politiknya.

Bagi penyokong pasca-Islamisme, pilihan paling jelas bagi Ikhwan ialah mengambil jalan pasca-Islamis, dengan menjadi lebih inklusif, lebih menyantuni hak dan pluralisme, yang secara praktiknya akan bermakna Ikhwan kehilangan sebahagian ciri Islamisnya.

Tekanan terhadap Ikhwan untuk mengambil jalan pasca-Islamis sentiasa wujud, melalui liputan-liputan media, komentar pemerhati dan sebagainya.

Satu contoh dan model pasca-Islamis ialah Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) di Turki, yang mengambil haluan berbeza daripada parti Islam yang disertai tokoh-tokoh AKP sebelum itu.

Dalam hal melibatkan perbandingan dengan Turki, sekiranya Ikhwan menyertai kerajaan Mesir nanti, isu besar yang akan dihadapi ialah pengiktirafan terhadap Israel.

Hal ini tidak membawa masalah kepada AKP yang memerintah Turki, kerana tidak ada perubahan dalam hubungan Israel dengan Turki.

Apapun yang menanti di penghujung episod ini, Ikhwan akan berdepan satu cabaran terbesarnya apabila terpaksa berdepan cabaran bergelut dalam politik baharu Mesir yang mencabar.

Pendirian yang tegas akan memastikan identiti Ikhwan sebagai gerakan Islam terpelihara dalam usaha memposisi diri dan mengambil bahagian dalam politik baharu negara yang menjadi perhatian dunia Arab dan Islam itu.

Berdasarkan keperluan semasa, gerakan Islam di mana sahaja sememangnya perlu bercakap dalam bahasa setempat dan semasa, dan mengimbangi unsur-unsur esoterik untuk tidak meminggirkannya dari arus utama.

Ini kerana banyak perkara dalam wacana lama Islamis tidak berkemampuan untuk membentuk gerakan Islam yang berupaya berdepan cabaran medan politik yang lebih liberal.

Wacana baharu gerakan Islam perlu membentuk pemahaman isu-isu utama dunia hari ini, dan tidak menjadikan gerakan terasing dan aneh dalam menghadapi permainan politik hari ini, tanpa perlu mengubah terus wajah dan sifat menjadi pasca-Islamis.

Ikhwan dan gerakan-gerakan Islam yang melalui politik baharu yang lebih sofistikated dan mencabar kini mempunyai peluang untuk membuktikan kemampuan gerakan Islam berdepan cabaran-cabaran semasa, dan menegaskan masa depan pasca-Islamis yang cuba dipaksakan oleh pendukung gagasan itu bukan satu pilihan.



JK khas dibentuk selesai masalah Orang Asal
Salmah Mat Husain Foto: Rizal Tahir

KOTA BAHRU, 14 Feb: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mencadangkan satu jawatankuasa khas dibentuk bagi menyelesaikan masaalah yang berlaku dikalangan Orang Asal.

Menurutnya, meskipun penghulu tanpa mukim serta pemimpin masyarakat telah dilantik di kalangan mereka, namun ianya masih belum berkesan khususnya dalam menyelesaian sesuatu masaalah.

“Ini kerana pemimpin masyarakat serta penghulu yang dilantik kerajaan tidak mencukupi untuk tujuan itu, jadi saya cadangkan supaya satu jawatankuasa khas dibentuk khususnya di kalangan mereka.

“Sebelum ini mereka boleh bertemu dengan wakilrakyat di tempat mereka tinggal termasuk Penyelia Parlimen Gua Musang, Dr Zulkifli, tetapi saya rasa jawatankuasa khas perlu juga dibentuk,”ujarnya lagi.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menerima kunjungan 30 orang masyarakat berkenaan di JKR 10, di sini tengahari tadi. (gambar)

Turut hadir pada pertemuan itu, Pengerusi Tanah dan Pembangunan Tanah Wilayah PAS Pusat, Mazlan Aliman, termasuk beberapa Orang Asal dari
Perak, Pahang dan Selangor.

Katanya, jawatankuasa ini perlu ditubuhkan di kawasan yang menjadi tempat penginapan Orang Asal untuk berhubung terus dengan wakilrakyat atau pemimpin kerajaan negeri.

“Semoga tiada orang tengah yang tidak bertanggungjawab merosakkan hubungan baik masyarakat Orang Asal dengan kerajaan negeri,”ujarnya.

Pada masa yang sama beliau berharap masyarakat di negeri ini tidak menjadikan ‘media’ sebagai pelepas segala masaalah kerana ianya belum tentu akan selesai.

Pada masa yang sama beliau memberitahu, kerajaan negeri telah bersetuju untuk untuk mewartakan kawasan tanah yang diterokai oleh Orang Asal kepada mereka.

Bagaimanapun, katanya sehingga kini ianya belum diukur khususnya oleh Jabatan Hal Ehwal Orang Asal.

“Saya berharap Jaheoa menyegerakan pengukuran tanah bagi membolehkan kerajaan negeri mewartakan tanah yang diterokai sebagai milik
mereka,”ujarnya.

Sempena majlis itu juga, Orang Asal menyerahkan memorandum pada Nik Aziz untuk menyelesaikan masaalah penempatan dan tanah adat golongan
terbabit.

Terdahulu Ketua Eksekutif Ladang Rakyat, Dr Nazmi Ghazali Azmi telah menjelaskan projek Ladang Rakyat yang dijalankan di Gua Musang, tidak terbabit dengan kawasan penempatan Orang Asal.

Katanya, masaalah yang timbul di mana proses penebangan pokok yang dilakukan sebelum kawasan berkenaan diukur untuk dijadikan kawasan Ladang Rakyat telah memasuki kawasan mereka, disebabkan syarikat pemaju yang mendahului kerajaan negeri.

“Bagaimanapun kita telah meminta pihak pemaju membayar semula ganti rugi kepada Orang Asal,”ujarnya.

Maaf kerana panggil jakun

Dalam pada itu, Nik Aziz memohon maaf secara terbuka kepada masyarakat Orang Asal kerana pernah mengeluarkan perkataan ‘jakun’ sebelum ini.

Menurutnya, walaupun perkataan itu tidak ditujukan kepada masyarakat terbabit, namun beliau memohon maaf memandangkan ianya telah melukakan hati masyarakat terbabit.

Beliau berkata demikian ketika sesi pertemuan dengan masyarakat berkenaan tengahari tadi di JKR 10.

Nik Aziz berkata demikian berikutan salah seorang masyarakat berkenaan sewaktu berdialog dengannya melahirkan rasa kecewa di atas perkataan ‘jakun’ yang pernah diucapkan Menteri Besar itu sebelum ini.

Menurut Orang Asal itu, perkataan jakun dirasakan seperti menghina serta merendah-rendahkan kaum golongan itu.

Menurut Nik Aziz lagi, beliau sendiri tidak mengetahui maksud jakun sebenarnya, malah ianya menjadi perkataan biasa yang turut disebut oleh orang lain tanpa niat untuk menghina sesiapa.

“Saya sendiri tak tahu apa makna jakun, saya selalu dengar orang sebut, jadi sayapun sebut juga.

“Kerana perkataan itu telah melahirkan rasa terhina, kecil hati di kalangan Orang Asal, hari ini saya memohon maaf secara terbuka di hadapan tuan-tuan di sini,”ujarnya.

Tidak cukup dengan itu, Nik Aziz turut berharap masyarakat itu turut menyampaikan ucapan maafnya kepada golongan mereka yang tidak hadir
pada majlis itu.

Sempena majlis itu juga Nik Aziz dipakaian topi tradisional masyarakat itu sebagai tanda penghargaan dari kaum mereka untuk beliau.


Peningkatan pengundi melampau di Pekan
Khairil Abdul Rahim

TEMERLOH, 14 Feb: PAS Pahang menyifatkan Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Keempat 2010 yang sedang dipamerkan pada masa ini mengalami pertambahan bilangan pengundi yang menakjubkan terutama di Parlimen Pekan.

Setiausaha Perhubungan PAS Pahang Roslan Zainal berkata, untuk suku tahun keempat sahaja terdapat pertambahan sebanyak 26,000 pengundi iaitu hanya dalam tempoh tiga bulan terakhir tahun lalu.

Sedangkan katanya, untuk tempoh tiga penggal (9 bulan) sebelum itu jumlah pertambahan pengundi hanya sekitar 29,000 sahaja.

“Bagi PAS Pahang ini amat menakjubkan kerana bagi tiga bulan terakhir sahaja hampir menyamai pendaftaran sembilan bulan,” katanya.

Menurut Roslan, paling menghairankan ialah pertambahan lebih 6,000 pengundi baru dalam masa tiga bulan itu di Parlimen Pekan yang diwakili Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Setelah disemak kita dapati pengundi-pengundi di pos-pos Orang Asli naik mendadak terutama di Parlimen Pekan dan Cameron Highlands. Selain itu kita dapati ramai pemilih-pemilih yang beralamat negeri Kedah terdapat di Pekan.

“Bagi PAS Pahang ini amat mencurigakan. Ini ditambah lagi dengan proses semakan dan bantahan dianjakkan sehingga hampir dua minggu, sedangkan keadaan seperti ini tidak pernah terjadi,” katanya.

Kata Roslan, PAS Pahang berpendapat senario ini mungkin satu agenda bagi mengekalkan Najib di Pekan setelah merasa kurang selamat.

Tambahnya, jika ini benar ia hanya mengulangi proses penambahan pengundi pada 2003 di mana semasa persempadanan semula kawasan pilihan raya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebahagian kawasan Parlimen Paya Besar dibawa ke Pekan dengan melibatkan dua buah kem tentera.

“Oleh yang demikian PAS pahang berpendapat sistem daftar pemilih SPR yang ada ini sudah lapok dan patut diganti setelah 53 tahun merdeka.

“Kerajaan pernah mendakwa mykad negara ini antara yang tercanggih di dunia jadi sepatutnya SPR boleh bekerjasama sengan Jabatan Pendaftaran Negara bagi membuat pandaftaran secara automatik apabila setiap warganegara berusia 21 tahun,” katanya.

Roslan juga turut menggesa sistem undi pos sekarang dihapuskan kerajaan jika benar dakwaan mereka bahawa negara ini selamat.



Gambar Guan Eng berkopiah pula disebarkan

Muhayat Jasmin

GEORGETOWN, 14 Feb: Gambar Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng memakai kopiah bersama Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Datuk Abdul Halim Hussain diedarkan kepada orang ramai di negeri ini.

Gambar yang diletakkan dalam Risalah yang dipercayai menggunakan teknik 'super impose' itu dikesan diedarkan sekitar kawasan Parlimen Balik Pulau sejak seminggu yang lalu - turut diedarkan di masjid-masjid, kampung serta tempat yang menjadi tumpuan orang ramai.

Mengulas perkara tersebut, Lim dalam satu kenyataannya percaya perbuatan tidak bertangunggjawab itu bertujuan jahat dan satu fitnah yang amat dahsyat.

Katanya, ia merupakan satu serangan pihak tertentu dalam usaha mereka memburukkan kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat (PR) selain mensabotaj perpaduan dalam PR.

"Pengedaran risalah ini bertujuan untuk menimbulkan kebencian dikalangan rakyat terhadap kerajaan negeri pimpinan PR," kata beliau.

Kata Lim, beliau masih lagi waras dan mampu membezakan sesuatu yang patut dan tidak patut dilakukan berhubung sensitiviti agama.

Justeru beliau mengingatkan rakyat supaya tidak terperangkap dengan dakyah jahat melalui risalah tersebut yang cuba mengambarkan beliau menghina orang Islam.

Bagaimanapun dikalangan pendokong PR negeri ini, fitnah membabitkan Lim Guan Eng seperti itu bukanlah kali pertama cuba dilakukan kerana sebelum ini Lim pernah didakwa menyembelih lembu korban sempena Aidiladha.

Justeru, dalam reaksi orang ramai yang menyokong PR di negeri ini kepada Harakahdaily, mereka menjangkakan serangan berbentuk provokasi dan propoganda lebih hebat dan dasyat akan terus dilakukan sehigga pilihan raya umum akan datang.

"Biasanya provokasi melibatkan sensitiviti orang Islam, seperti berkaitan sambutan Maulidur Rasul, bacaan ayat Quran, wang dari sumber haram dan seumpamanya kerana suasana sosio-politik negeri ini menjadikan perkara seperti itu lebih mudah mendapat perhatian.

"Dikalangan penyokong PR, fitnah seperti ini sangat difahami tetapi bagi orang biasa pimpinan PR perlu lebih banyak memberi penerangan supaya mereka tidak terperangkap," kata seorang pemerhati politik di negeri itu yang ditemui.

Antara isu yang pernah cuba dicetuskan di Pulau Pinang sebelum ini termasuklah isu pembatalan perarakan sambutan Maulidul Rasul, isu doa khatib dalam khutbah jumaat dan isu wang ehsan kepada warga emas dari sumber judi.




Pengarah MTD Pasir Panjang meninggal
Johari Jaafar

LUMUT, 15 Feb: PAS Kawasan Lumut telah kehilangan ahli jawatankuasanya, Zakaria Yassin, 51, yang meninggal dunia jam 1.00 pagi tadi.

Allahyarham juga merupakan Pengarah Majlis Tindakan Dun (MTD) N51 Pasir Panjang, Pengerusi Bersama Sekretariat Pakatan Rakyat Parlimen Lumut.

Pada malam tadi selepas pergi memancing, beliau mengadu sakit dan meninggal dunia selepas itu.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Siti Zabedah Yasin dan lima orang anak.

Beliau bertugas sebagai pembantu tadbir di Pejabat Orang Besar jajahan Manjong. Jenazahnya akan dikebumikan di kampungnya, Batu Kurau, Taiping.

"PAS Negeri Perak mengucapkan takziah kepada keluarganya dan berharap ahli keluarga tersebut bersabar menghadapi ujian ini," kata Setiausaha PAS Perak, Misbahul Munir Masduki.

Tiada ulasan: