Jumaat, 11 Februari 2011

SIRAH 3

Bahagian 3

SELEPAS HIJRAH KE HABSYAH HINGGA HIJRAH KE MADINAH


A) Peristiwa-peristiwa Sejarah
Fasa ini lebih istimewa berbanding fasa-fasa yang lain ekoran berlaku beberapa peristiwa
yang terkenal:


1.Abu Talib, bapa saudara Rasulullah s.a.w. telah meninggal dunia pada tahun ke-10 kerasulan. Abu Talib semasa hayatnya, kuat mempertahankan anak saudaranya, iaitu Rasulullah s.a.w.. Quraisy tidak berjaya menyakiti diri Nabi s.a.w. sepanjang hayat Abu Talib kerana mereka hormat dan gerun kepadanya. Apabila beliau meninggal dunia, Quraisy mula berani bertindak kasar terhadap Nabi s.a.w.. Lantaran itu, kematian beliau menimbulkan rasa sugul yang mendalam kepada Nabis.a.w..Nabi bersungguh-sungguh mendesak Abu Talib untuk mengucap kalimah syahadah ketika beliau terbaring nazak pada saat-saat akhir kematiannya. Namun Abu Talib enggan kerana bimbang beliau akan mendapat malu daripada kaumnya.


2.Khadijah r.ha. juga meninggal dunia pada tahun yang sama. Sebelum itu, Khadijah berperanan meringankan kerungsingan dan kesedihan Rasul s.a.w. lantaran permusuhan Quraisy yang dihadapi Baginda. Apabila beliau meninggal dunia, Baginda merasa terlalu dukacita. Tahun kematian bapa saudara Baginda, Abu Tolib dan isterinya, Khadijah dinamakan sebagai "Tahun Dukacita".


3.Apabila tipu daya dan perbuatan menyakiti Rasul s.a.w. yang dilakukan oleh Quraisy semakin hebat, iaitu selepas kematian bapa saudara dan isteri Baginda, Baginda menuju ke Taif. Baginda ke sana dengan harapan akan mendapat sambutan yang baik dan sokongan kepada dakwahnya di kalangan Bani Thaqif. Namun mereka menolak dakwah Baginda secara kasar. Mereka menghasut kanak-kanak untuk menyakiti Baginda. Kanak-kanak tersebut telah melontar batu ke arah Baginda sehingga darah mengalir daripada kedua kaki Baginda yang suci. Baginda telah berlindung di sebuah kebun. Baginda memanjatkan doa kepada Allah dengan penuh khusyuk:
BERMAKSUD....
“Ya Allah, aku mengadu kepada-Mu kelemahan kekuatanku, sedikitnya kemampuanku dan hinanya aku pada pandangan manusia. Wahai Tuhan Yang Maha Pengasih, Kamulah Tuhan golongan yang lemah dan Kamu juga Tuhanku. Kepada siapa Kamu serahkan aku ? Kepada orang jauh yang memandangku dengan wajah bengis(3) atau kepada musuh yang menguasai urusanku? Sekiranya Kamu tidak murka kepadaku, aku tidak peduli (apa yang menimpa). Namun keselamatan daripada-Mu lebih melapangkan aku. Aku berlindung dengan cahaya wajah-Mu yang menyinari kegelapan serta memperelokkan urusan dunia dan akhirat. Aku berlindung daripada kemarahan-Mu atau kemurkaan-Mu terkena kepadaku. Kamu berhak untuk mencela aku sehingga Kamu redha. Tiada kuasa dan tiada kekuatan melainkan dengan-Mu.”

(3) iaitu melihat dengan pandangan benci. Ia adalah kiasan kepada permusuhan dan kebencian





4.Rasulullah s.a.w. pulang dari Taif dalam keadaan dakwah-nya tidak mendapat sebarang sambutan daripada kaum Thaqif. Yang ada hanyalah keislaman Addas, hamba kepada Utbah dan Syaibah, anak-anak lelaki Rabiah. Addas merupakan seorang hamba beragamaNasrani. Kedua-dua tuannya meminta beliau menghidangkan setangkai anggur kepada Rasul s.a.w. semasa Baginda sedang berlindung dalam sebuah kebun. Mereka memerintah beliau berbuat demikian setelah melihat Rasulullah kepenatan dan layanan buruk Thaqif kepada Baginda. Apabila Addas menghidangkan anggur itu kepada Raaul s.a.w., Baginda mula memakannya seraya berkata: Bismillah (Dengan nama Allah). Ucapan basmalah itu menarik perhatian Addas, kerana tiada sesiapa di kalangan kaum itu mengucapkan kalimah seperti itu. Beliau memeluk Islam setelah berdialog dengan Nabi s.a.w..


5.Berlaku mukjizat Isra' dan Mi'raj. Terdapat perselisihan berkenaan tarikh peristiwa ini berlaku. Secara pasti ia berlaku sebelum hijrah pada tahun ke-10 kenabian atau selepasnya. Pendapat sahih yang dipegang oleh jumhur ulama, Isra' dan Mi'raj berlaku pada suatu malam secara jaga melibatkan jasad dan roh Nabi s.a.w.. Baginda diisra'kan daripada Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa. Kemudian Baginda dimi'rajkan ke langit yang tinggi. Seterusnya pulang kembali kerumah Baginda di Makkah pada malam itu juga. Baginda memberitahu Quraisy tentang mukjizat itu. Mereka mempersenda dan memperlekehkan Baginda. Namun Abu Bakar dan mereka yang kuat imannya telah membenarkan Baginda.

6.Pada malam Isra' dan Mi'raj tersebut, sembahyang lima waktu difardhukan ke atas
setiap orang Islam yang baligh dan berakal.


7.Rasul s.a.w. menemui kabilah-kabilah Arab yang datang semasa musim haji (sebagaimana kebiasaan Baginda setiap tahun). Baginda mengajak mereka kepada Islam dan menyeru mereka meninggalkan penyembahan berhala. Ketika Baginda berada di Aqabah, salah satu tempat melontar jamrah, Baginda telah menemui satu rombongan kaum Aus dan Khazraj. Lantas Baginda mengajak mereka kepada Islam dan mereka menerimanya. Bilangan mereka ketika itu ialah tujuh orang. Setelah itu mereka pulang ke Madinah, lalu menceritakan kepada kaum mereka tentang pertemuan tersebut dan Islam yang mereka anuti.


8.Pada tahun berikutnya, tahun ke-12 kerasulan, ketika musim haji, 12 orang lelaki Ansar telah datang ke Makkah. Mereka berhimpun dan berbaiah dengan Nabi s.a.w.. Mereka pulung ke Madinah bersama utusan khas Nabi s.a.w., Musab bin Umair. Baginda mengutuskan beliau untuk membacakan al-Quran dan mengajarkan Islam kepada orang Islam di sana. Dengan itu Islam berkembang luas di Madinah.


9.Pada tahun seterusnya (tahun ke-13 kerasulan), sekumpulan Ansar telah datang pada musim haji. Mereka berhimpun dengan Nabi s.a.w. secara sembunyi. Bilangan mereka seramai 70 orang lelaki dan dua orang wanita. Mereka berbaiah untuk menolong dan menyokong Baginda, mempertahankan Baginda sebagaimana mereka mempertahankan wanita dan anak-anak mereka sendiri. Mereka pulang ke Madinah setelah Baginda memilih 12 orang ketua kalangan mereka sebagai wakil kepada kaum mereka.





B) Pengajaran dan Pedoman


1.Kadang-kadang ada kaum kerabat pendakwah yang tidak bersama dengan dakwahnya tetapi bertindak melindunginya. Situasi ini memberi faedah kepada dakwah ketika ia masih lemah. Kerana dia akan bertindak menghalang golongan jahat membunuh atau menyakiatinya. Oleh yang demikian, sentimen kabilah dan kekeluargaan kadang-kadang boleh digunakan oleh pendakwah untuk melindungi dakwahnya selama mana beliau tidak seiringan (turut serta) melakukan kemungkaran bersama kaumnya.


2.Isteri solehah yang beriman dengan dakwah kebenaran akan mempermudahkan banyak kesulitan yang dialami oleh suami yang berdakwah. Ini akan berlaku jika si isteri turut serta berkongsi kerungsingan dan penderitaan suami. Dengan perkongsian tersebut, si isteri akan meringankan bebanan kerungsingan suami. Ia juga akan membangkitkan dalam diri suami rasa untuk meneruskan dakwah dan tetap teguh di atas jalannya. Oleh itu, si isteri dapat memberi kesan kepada kejayaan dan kemenangan dakwah. Sikap Khadijah r.ha. terhadap Rasulullah s.a.w. merupakan contoh paling mithali yang boleh dilakukan oleh seorang isteri yang beriman dengan dakwah kebaikan. Dia berperanan besar terhadap kejayaan suaminya sebagai pendakwah. Begitu juga keteguhan dan istiqomah beliau dalam dakwah. Kehilangan isteri seperti ini merupakan kerugian besar semasa pertempuran pengislahan sedang berlaku sengit. Kerugian ini menyebabkan suami yang berdakwah tidak dapat mengawal perasaannya, bahkan merasa sugul dan putus asa.


3.Kesedihan kerana kehilangan seorang kerabat yang berperanan melindungi dakwah walaupun dia tidak beriman merupakan kesedihan yang terbit daripada keikhlasan berdakwah. Sementara kesedihan terhadap kehilangan seorang isteri yang beriman dan ikhlas terbit daripada rasa setia kepada isteri yang telah menjadi contoh dalam pengorbanan dan sokongan. Oleh kerana itu, ketika Abu Talib meninggal dunia, Rasul s.a.w. bersabda:
"Semoga Allah merahmati dan mengampun kamu. Aku akan tetap memohon
ampun untuk kamu sehinggalah Allah menegah aku."

Oleh yang demikian, orang Islam ketika itu telah mencontohi Rasul mereka. Mereka turut memohon ampun untuk keluarga mereka yang mati dalam keadaan musyrik. Sehinggalah turun firman Allah Tabarak wa Taala:
BERMAKSUD....
Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka. (At-Taubah: 113)

Dengan turunnya ayat tersebut, Nabi s.a.w. tidak lagi memohon ampun untuk Abu Talib. Begitu juga orang Islam tidak lagi memohon ampun kepada keluarga musyrik yang mati,

Oleh kerana sebab-sebab di atas, sepanjang hayat Rasul s.a.w., Baginda terus mengingati kelebihan. Khadijah, memohon rahmat untuknya dan berbuat kebajikan kepada teman-temannya. Sikap Rasulullah ini membuatkan Aishah r.ha. merasa cemburu dengan Khadijah (padahal Khadijah telah meninggal dunia). Ini kerana Aishah sering mendengar pujian Nabi s.a.w. kepada Khadijah. Al-Bukhari meriwayatkan daripada Aishah r.ha





Aku tidak merasa cemburu kepada isteri-isteri Nabi s.a.w. sebagaimana aku cemburu kepada Khadijah. Aku tidak melihat Khadijah, namun Nabi s.a. w. sering menyebut-nyebutnya. Ada masanya Baginda menyembelih kambing, kemudian Baginda memotongnya lalu Baginda mengirimkan kepada teman- teman Khadijah. Ada masanya aku berkata kepada Baginda: Seolah-olah tiada wanita di dunia ini melainkan Khadijah. Baginda bersabda: "Dia sekian-sekian... dia sekian-sekian... (menyebut jasa dan kebaikan Khadijah). Aku juga mendapat anak daripadanya (Khadijah)."


3.Pemergian Rasul s.a.w. ke Taif setelah penduduk Makkah menolak dakwahnya merupakan bukti kepada tekad yang kental dalam jiwa Rasul untuk meneruskan dakwahnya. la juga merupakan bukti sikap tidak putus asa Nabi s.a. w. terhadap penerimaan orang ramai kepada dakwah. Baginda mencari medan baru untuk dakwah setelah terdapat halangan- halangan yang menyekat dakwah di medan pertamanya (kota Makkah). Sementara hasutan Bani Thaqif kepada kanak-kanak dan golongan bodoh daripada kaum mereka supaya menyakiti Rasul s.a.w., menjadi bukti bahawa kejahatan sama sahaja walau di mana ia berada. Kejahatan bergantung harap kepada golongan bodoh untuk menyakiti para pendakwah. Peristiwa kaki Nabi s.a.w. luka mengalirkan darah padahal Baginda adalah Nabi yang mulia, menjadi contoh penting kesakitan dan penindasan yang akan ditanggung oleh pendakwah di jalan Allah. Manakala doa abadi Nabi s.a.w. semasa berada di kebun menjadi penegasan kepada kejujuran Rasul dalam dakwah dan keazamannya untuk terus melaksanakan tugas dakwah meskipun berhadapan dengan berbagai kesulitan. Perkara yang penting bagi Baginda hanyalah redha Allah semata-mata. Baginda tidak menghiraukan redha para pembesar, pemimpin, orang awam dan kebanyakan.BERMAKSUD...
"Sekiranya Kamu tidak murka kepadaku, aku tidak peduli (apa yang menimpa)."

Dalam doa Baginda terkandung cara-cara memperolehi bekalan kekuatan daripada Allah. Iaitu dengan cara kembali dan meminta pertolongan-Nya ketika kesengsaraan yang dipikul pendakwah semakin berat. Doa ini juga menunjukkan perkara yang paling ditakuti oleh pendakwah ialah kemurkaan dan kemarahan Allah ke atas beliau. Bukannya kemurkaan makhluk selain-Nya.

4.Mukjizat lsra' dan Mi'raj mempunyai banyak rahsia. Kami hanya sebutkan tiga sahaja:
Pertama: Menghubungkait isu Masjidil Aqsa dan kawasan sekitarnya dengan isu

Dunia Islam. Ini kerana Makkah selepas perutusan Rasul s.a.w. telah menjadi pusat perhimpunan Dunia Islam dan kesatuan visinya. Peristiwa Isra' Mi'raj ini juga menunjukkan usaha mempertahankan Palestin sebenarnya mewakili usaha mempertahankan Islam itu sendiri. Setiap orang Islam di pelbagai ceruk bumi wajib melaksanakannya. Kecuaian mempertahan dan membebaskan Palestin merupakan kecuaian terhadap Islam. la merupakan jenayah yang akan dihukum oleh Allah kepada setiap orang yang beriman dengan Allah dan Rasul-Nya.
Kedua: Isra' Mi'raj menjadi simbol kepada ketinggian kedudukan orang Islam dan

lambang kepada kewajipan mengangkat dirinya mengatasi hawa nafsu dan syahwat dunia. Dia juga wajib menjadi manusia yang tiada tolok bandingnya dikalangan seluruh manusia. Sama ada dari segi kedudukannya yang tinggi, visinya yang mulia dan sikapnya yang sentiasa berlegar dalum lingkungan nilai-nilai yang mithali untuk selama-lamanya.
Ketiga: Isra' Mi'raj juga menunjukkan penerokaan angkasa dan keluar daripada




tarikan graviti bumi boleh diusahakan. Dalam peristiwa Isra' dan Mi'raj, Rasul kita merupakan angkasawan pertama dalam sejarah dunia seluruhnya. Meneroka angkasa seterusnya pulang ke bumi dengan selamat adalah perkara yang boleh berlaku. Sekalipun ia berlaku kepada Rasulullah s.a.w. secara mukjizat pada zaman Baginda, namun ia boleh terjadi kepada manusia biasa melalui ilmu dan idea.


5.Kefardhuan solat pada malam Isra' dan Mi'raj menunjukkan hikmah kenapa solat disyariatkan. Allah seolah-olah berfirman kepada hamba-hamba-Nya yang beriman: Sekiranya Mi'raj Rasul kamu dengan jasad dan roh ke langit merupakan mukjizat, kamu pula diperuntukkan solat lima waktu setiap hari, sebagai mi'raj (anak tangga) untuk kamu naik menemui-Ku dengan roh dan hati kamu. Jadikan solat lima kali sehari sebagai peningkatan roh yang boleh mengangkat kamu daripada tenggelam dalam hawa dan syahwat kamu, serta memperlihatkan kamu kebesaran, kekuasaan dan keesaan Aku. Ini mendorong kamu untuk memimpin muka bumi ini, bukan dengan cara memperhamba, menguasai dan menakluki (orang lain). Bahkan melalui jalan kebaikan dan ketinggian, juga dengan cara kesucian dan peningkatan roh menerusi jalan solat.


6.Proses memperkenal diri yang dilakukan oleh Rasulullah kepada kabilah-kabilah pada musim haji menjadi bukti bahawa seseorang pendakwah tidak sepatutnya membataskan dakwah mengajak manusia kepada kebaikan dalam lingkungan majlis dan persekitaran dirinya sahaja. Bahkan dia mestilah pergi ke setiap tempat manusia berhimpun atau lokasi yang berkemungkinan mereka berhimpun. Dia juga tidak sepatutnya berputus asa dengan penolakan mereka daripada semasa ke semasa. Kadang-kadang Allah menyediakan untuk beliau, penyokong-penyokong yang beriman dengan dakwahnya yang baik, padahal dia tidak pernah terfikir dan menjangkakannya. Kadang-kadang kelompok kecil yang mendapat hidayah hasil usaha beliau dalam beberapa sempena akan memainkan peranan besar terhadap penyebaran dakwah. Kelompok kecil itu juga berperanan dalam merealisasikan kemenangan akhir dakwah terhadap kejahatan dan konco-konconya.

Keimanan tujuh orang pertama Ansar yang bertemu dengan Rasulullah s.a.w. untuk kali pertama, telah menyebabkan kemasukan Islam ke Madinah. perkara itu memberi kesan kepada penyebaran Islam dan penguasaannya di sana. la membuka jalan kepada orang-orang mukmin yang tertindas di Makkah untuk menjadikan Madinah sebagai destinasi hijrah dan pusat mereka berhimpun. Rasulullah pula memperolehi tempat yang aman untuk membangunkan negara dan menyebarkan dakwah. Dari negara itu, para sahabat Baginda melancarkan penentangan kepada syirik dan orang musyrik. Mereka melancarkan perang dan pertempuran yang berakhir dengan kemenangan berkekalan di pihak iman dan kekalahan abadi di pihak syirik. Semoga Allah meredhai kaum Ansor, yang terdiri daripada Aus dan Khazraj. Mereka mempunyai jasa yang tidak putus-putus kepada Islam, orang Islam dan seluruh alam. Semoga Allah juga meredhai saudara mereka, kaum muhajirin yang terlebih dahulu beriman sebelum mereka, serta yang telah berkorban di jalan Allah dengan segala yang berharga, baik harta mahupun kampung halaman. Semoga Allah turut memasukkan kita bersama mereka semua ke dalam syurga Ridhwan.

Tiada ulasan: