Isnin, 28 Februari 2011

INI BALASAN UNTUK ORANG MELAKUKAN KEZALIMAN...SERTA TAK IKUT HUKUM ALLAH...BUAT SUKA HATI AJE...

Rakyat tawan telaga minyak



MEMBANTAH REJIM KEJAM...seorang penunjuk perasaan membawa poster mengecam Gaddafi ketika menyertai protes di Geneva, semalam.
MEMBANTAH REJIM KEJAM...seorang penunjuk perasaan membawa poster mengecam Gaddafi ketika menyertai protes di Geneva, semalam.

TRIPOLI: Penunjuk perasaan dilaporkan menguasai telaga minyak Libya ketika beribu-ribu yang lain berarak ke ibu negara bagi menuntut Muammar Gaddafi disingkirkan.

Menurut akhbar al-Youm semalam, telaga minyak itu bukan lagi di bawah kawalan rejim Gaddafi.


Kelmarin, penunjuk perasaan di timur Libya mendakwa, kebanyakan telaga minyak di bandar Ras Lanuf dan Brega kini berada dalam penguasaan rakyat.

Laporan menyatakan, tentera yang berpaling tadah turut membantu mengawal kawasan berkenaan.


Jurutera petroleum syarikat Agico - yang dimiliki kerajaan Libya - Abdessalam Najib, berkata hampir semua telaga minyak di bandar itu kini berada dalam kawalan orang awam dan kerajaan tidak berdaya berbuat apa-apa.


Sumber industri petroleum di luar negara pula berkata, penghantaran minyak mentah dari Libya - negara pengeksport ke-12 terbesar di dunia - hampir terhenti sama sekali.


Jururawat peribadi tinggalkan Gaddafi



KIEV: Seorang lagi orang kanan Muammar Gaddafi menjauhkan dirinya daripada pemimpin Libya itu.

Seorang jururawat peribadi warga Ukraine, Halyna Kolotnytska, 38, menyatakan akan pulang ke negara asalnya sebagai bantahan terhadap Gaddafi.


Halyna (gambar) menyertai pelbagai pihak, termasuk pegawai kanan kerajaan, diplomat dan juruterbang tentera yang enggan bersubahat dengan Gaddafi.

Menurut sumber, Gaddafi, 68, sangat rapat dengan Halyna. Selain Halyna, Gaddafi dijaga tiga jururawat lain dari Ukraine. - AP


Obama desak letak jawatan



WASHINGTON: Presiden Barack Obama menggesa Muammar Gaddafi ‘berundur sekarang’ dan mengisytiharkan pemimpin Libya itu kehilangan hak memerintah negara berkenaan.

Menurut Rumah Putih, kenyataan paling tegas Obama itu dibuat ketika dia bercakap dengan Canselor Jerman, Angela Merkel, bagi menyelaras tindakan dalam krisis di Libya.


“Apabila seseorang pemimpin menggunakan kekerasan ke atas rakyatnya untuk terus berkuasa, dia tidak berhak memerintah dan perlu bertindak sewajarnya dengan melepaskan jawatannya,” kata kenyataan itu. - AFP


Militia kerajaan agih senjata


TRIPOLI: Rejim pimpinan Muammar Gaddafi mengagih-agihkan senjata kepada orang awam yang menyokong kerajaan bagi menghadapi tekanan semakin memuncak di kalangan penunjuk perasaan.

Berbekalkan peralatan itu, mereka membuka pos pemeriksaan di tempat strategik, selain mengadakan rondaan di bandar raya Tripoli untuk memastikan rejim Gaddafi terus berkuasa.


Penduduk Tajoura pula terpaksa meletakkan blok konkrit dan batu besar di tengah jalan supaya kenderaan pelbagai guna digunakan penyokong kerajaan - dipenuhi anak muda bersenjata senapang automatik - tidak memasuki kawasan berkenaan.

Penduduk terbabit turut menebang pokok kurma untuk dijadikan penghalang di jalan raya.


Ketika ketegangan terus meningkat di Tripoli, ramai orang awam menghadiri pengebumian seorang lelaki berusia 44 tahun yang dibunuh ketika bertempur dengan penyokong kerajaan.


Anwar Algadi disahkan maut Jumaat lalu akibat terkena tembakan di kepalanya.

Lelaki bersenjata bekerjasama dengan anggota keselamatan berpakaian seragam dilihat memeriksa sesiapa saja yang cuba masuk ke daerah itu.


Di kebanyakan bangunan, jelas terlihat grafiti mengecam Gaddafi. Antaranya bertulis: “Gaddafi, kau Yahudi” dan “Jatuhkan anjing.” Sementara itu, Gaddafi terus menerima tekanan daripada komuniti antarabangsa supaya menghentikan keganasan ke atas penentangnya.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu juga menggesa Mahkamah Jenayah Antarabangsa di The Hague menyiasat kekejaman Gaddafi.


Di luar Tripoli, penentang kerajaan menawan seorang tentera berpangkat brigedier jeneral dan anggotanya selepas pasukan keselamatan cuba mengambil alih semula sebuah pangkalan udara di timur Tripoli. - AP


Sekatan perjalanan ke atas Gaddafi

GENEVA 27 Feb. – Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebulat suara memutuskan untuk mengenakan sekatan perjalanan dan pembekuan aset terhadap rejim Muammar Gaddafi selain berhadapan siasatan jenayah kemanusiaan berhubung pertumpahan darah yang dikaitkan dengan pemimpin Libya itu.

Undi sebulat suara oleh badan dunia dianggotai 15 negara itu yang dibuat pada mesyuarat malam tadi itu turut menggesa supaya sekatan senjata dikenakan ke atas Libya secepat mungkin.

Menurut PBB, lebih 1,000 orang telah terbunuh dalam serangan yang dipercayai dilakukan oleh pengikut setia Gaddafi di Libya.

Majlis Keselamatan PBB turut membuat tuntutan baru supaya serangan ke atas orang awam dihentikan dengan segera, yang dilapor dicetuskan oleh pemimpin Libya ‘peringkat tinggi’.

Larangan perjalanan dan pembekuan dalam Resolusi 1970 akan dikenakan terhadap pemimpin veteran Libya itu, tujuh orang anak lelakinya, anak perempuannya Aisha, beberapa anggota keluarganya, pegawai pertahanan dan perisikan tinggi lain yang dituduh memainkan peranan dalam pertumpahan darah di negara itu.

Terdapat 16 nama dalam senarai sekatan itu selepas ditapis daripada 22 orang sebelum ini ketika mesyuarat semalam.

Tuduhan menyebabkan pertumpahan darah akan dirujuk ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa kerana serangan yang sistematik dan berleluasa ke atas rakyat yang kini berlaku di Libya adalah jenayah kemanusiaan.

Di bawah resolusi itu juga, penjualan senjata ke Libya perlu dihentikan segera. Resolusi itu turut menggesa Libya membenarkan kemasukan bekalan kemanusiaan dan pemantau hak kemanusiaan untuk melindungi rakyat asing.

“Langkah ini adalah ‘isyarat penting’ menunjukkan masyarakat antarabangsa menyokong rakyat Libya dan menentukan masa depan mereka,” kata duta Britain ke PBB, Mark Lyall Grant.

Wakil dari Afrika Selatan, Baso Sangqu berkata, satu dunia terkejut dengan ‘kekejaman’ di negara utara Afrika itu.

Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama semalam menegaskan Gaddafi perlu ‘meletak jawatan sekarang’ kerana telah kehilangan kelayakan untuk memerintah.

Sehari sebelum itu, Obama secara peribadi mengenakan sekatan ke atas Gaddafi dan empat anak lelakinya, dalam percubaan jelas untuk melemahkan rejim itu yang semakin goyah dan menghukum tindakan ganas pemimpin veteran itu ke atas rakyat Libya. – AFP

Tiada ulasan: