KUALA LUMPUR, 12 Feb: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Majlis Tertinggi Tentera yang kini mengambil alih kuasa daripada Presiden Hosni Mubarak sewajarnya segera mengembalikan kuasa kepada rakyat. “Tahniah rakyat Mesir! Akhirnya selepas 18 hari berhimpun di Medan Kemerdekaan atau lebih dikenali sebagai Medan Tahrir, mereka berjaya memastikan Hosni Mubarak, seorang diktator yang memerintah selama 30 tahun, berundur dari tampuk pemerintahan,” tulis beliau di dalam blognya. Beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, rakyat Mesir akhirnya berjaya meruntuhkan tembok ketakutan yang selama ini mengepung mereka. Mereka, ujarnya dihimpit kesusahan akibat kos sara hidup yang semakin melonjak, kadar pengangguran yang tinggi dan mual dengan keganasan pihak keselamatan, rakyat Mesir memilih untuk berdepan dengan aparat pemerintah yang terkenal memerintah secara kuku besi. “Saya berharap pengorbanan rakyat Mesir tidak akan disia-siakan begitu sahaja. “Kebangkitan ini sewajarnya disusuli dengan usaha memulihkan Perlembagaan, sistem keadilan serta pilihanraya yang adil dan telus,” katanya.
Najib: M'sia tak boleh disamakan dengan Mesir Abdul Rahim Sabri & Regina Lee Feb 12, 11 4:41pm
Dengan ribuan rakyat Malaysia mencurahkan ucapan tahniah kepada rakyat Mesir atas kejayaan 'membebaskan' negara mereka, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memilih untuk mengasingkan persamaan di antara kedua-dua negara berkenaan. "Pertama, kita tidak boleh samakan apa yang berlaku di Mesir dengan Malaysia kerana perkara adalah berbeza di kedua-dua negara,” katanya apabila ditanya apakah iktibar yang boleh diambil oleh BN dan Umno daripada pengalaman di negara Asia Barat itu. Menurut Najib, dasar BN 'Rakyat didahulukan' itu adalah perbezaan utama antara Malaysia dengan pentadbiran rejim bekas presiden Hosni Mubarak selama 30 tahun. "Kita dari awal telah menyedari rakyat mesti didahulukan. Jadi apapun dasar dan program yang dilakukan mesti meletakkan prinsip iaitu mesti mendahulukan rakyat. "Saya percaya jika kita berbuat demikian, rakyat bersama-sama dengan kerajaan dalam erti kata bukan semua masalah boleh diselesaikan sekelip mata, rakyat pun faham tetapi asalkan kita, mendahulukan kepentingan rakyat dan memahami jangkaan rakyat," katanya. BN memahami permasalahan rakyat
Najib berkata kerajaan memberi penekanan dengan memahami permasalahan rakyat dan menyelesaikan permasalah tersebut mengikut kehendak mereka.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan tertutup dengan ketua-ketua bahagian Umno di ibu negara petang ini.
Najib sebelum ini pernah memberi amran terhadap mana-mana pihak yang cuba merampas kuasa di negara ini menggunakan demonstrasi seperti yang berlaku di Mesir.
"Jangan beranggapan apa yang berlaku di sana mesti juga berlaku di Malaysia. Kita tidak akan benarkannya berlaku di sini,” katanya kepada akhbar The Star awal minggu ini.
Ditanya mengenai kemungkinan ada pihak-pihak tertentu yang mahu mengikut jejak langkah penduduk Mesir yang berdemonstrasi, Najib berkata rakyat Malaysia adalah matang dan berfikiran rasional. Majoriti BN di Tenang bertambah
"Mereka tahu mana (satu) yang hak dan yang batil, dan mana (satu) yang nak dieksploit oleh mana-mana pihak.
"Saya dah buat (penjelasan tentang) point ini. Dalam pergolakan di Mesir majoriti BN bertambah di Tenang, jadi ini adalah petanda yang baik," katanya.
Lewat malam semalam, berbekalkan semangat revolusi di Tunisia pada awal tahun ini, jutaan rakyat Mesir melancarkan tunjuk perasaan dan demonstrasi jalanan kerana hilang kepercayaan ke atas pentadbiran Mubarak yang didakwa dicemari rasuah dan salah guna wang rakyat sehingga beliau melarikan diri ke luar negara.
Dengan menggunakan rangkaian media seperti Facebook dan Twitter, sentimen anti kerajaan menular dengan luas ke seluruh negara ibarat api yang merebak. Tindakan selama 18 hari itu berjaya menumbangkan pemerintahan kerajaan Mubarak. Faktor media sosial Mengulas perkara berkenaan, Najib berkata pihaknya mengakui pengaruh media sosial.
"Ini memang dijangkakan. Ia sebahagian daridapa fenomena global. Jadi kita ada dua pilihan - kita boleh tutup Malaysia kepada fenomena global menggunakan teknologi komunikasi maklumat (ICT) atau menjadi sebahagian daripadanya. Dan kita memilih menjadi sebahagian daripadanya.
"Jadi kita mesti menguruskannya (fenomena ini) dan sebab itu kita mempunyai masyarkat yang berpendidikan dan mahir dengan teknologi.
"Justeru, cabaran adalah bagi kerajaan menguruskan persekitaran politik yang baru ini. Ia tidak mudah kerana kita tidak mempunyai monopoli ke atas maklumat mahupun penyebaran maklumat berkenaan.
"Malah, melalui rangkaian sosial, maklumat boleh disebarkan melaui masa sebenar (real time), walaupun pandangan itu mungkin tidak benar. Tetapi ia boleh dilakukan segera,” katanya.
Namun, Najib dengan cepat menjelaskan apa yang diperkatakannya itu bukan merujuk kepada tapisan di internet.
Reaksi pemimpin dunia Berikut reaksi pemimpin dunia sebaik peletakan jawatan Hosni Mubarak sebagai presiden Mesir, sekali gus mengakhiri demonstrasi besar-besaran rakyat negara itu selama 18 hari. Amerika Syarikat"Rakyat sudah menyatakan hasrat mereka...suara rakyat Mesir adalah jelas semestinya demokrasi perlu dilaksanakan mulai sekarang," kata Presiden Barack Obama. "Masih banyak kesulitan yang akan berlaku dan masih banyak persoalan belum terjawab. "Namun pihak tentera sudah menjalankan tugasnya dengan cukup patriotik dan bertanggungjawab sebagai pemerintahan sementara dan kini perlu memastikan peralihan kuasa dilakukan dengan berwibawa demi kehendak rakyat Mesir," katanya.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon mahu proses peralihan kuasa di Mesir dilakukan dengan 'telus, lancar dan aman'. Beliau juga mahu melihat negara itu menjalankan proses pilihan raya yang 'bebas, adil dan berwibawa'. Iran"Saya mengucapkan tahniah kepada rakyat Mesir atas kemenangan mereka dan kami di Iran berkongsi kegembiraan," kata Menteri Luarnya, Ali Akbar Salehi. "Kami berharap pergerakan rakyat di Mesir akan berakhir dengan kejayaan menerusi semangat yang jitu agar mereka mencapai tuntutan dan harapan yang diingini." Russia"Kami berharap dengan perkembangan terkini ini, ia boleh mengembalikan semula keamanan dan kestabilan dengan kerjaaan Mesir kembali berfungsi. “Kami juga berharap bukan saja kerajaan tetapi parti pembangkang menunjukkan keikhlasan untuk menstabilkan keadaan," kata Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov. - Reuters
Switzerland beku aset Mubarak Switzerland sudah membekukan aset yang menjadi milik Hosni Mubarak yang semalam meletakkan jawatan sebagai Presiden Mesir selepas 30 tahun memerintah Mesir, kata Kementerian Luar Switzerland, hari ini. "Saya boleh mengesahkan bahawa Switzerland sudah membekukan harta yang menjadi milik bekas presiden itu berkuatkuasa serta-merta," kata jurucakap kementerian itu, Lars Knuchel sebaik Mubarak mengumumkan pengundurannya bagi mengakhiri tunjuk perasaan besar-besaran rakyat selama 18 hari. "Berikutan tindakan ini, setiap aset akan dibekukan selama tiga tahun," katanya. Beliau bagaimanapun tidak menyatakan jumlah wang yang terbabit atau di mana ia disimpan.
Aset yang dimiliki pemimpin yang menyokong Mubarak juga dibekukan iaitu dilarang daripada dijual atau dilupuskan sebarang hartanah atau aset kekal lain.
- Reuters
Mesir: Suara rakyat kuasa penent Harakahdaily | KUALA LUMPUR, 12 Feb: Lajnah Antarabangsa Dewan Pemuda PAS Pusat (LA DPPP) mengucapkan tahniah di atas kemenangan kuasa rakyat Mesir memaksa perletakan jawatan Hosni Mubarak sebagai Presiden Mesir setelah diasak selama 18 hari. “Kemenangan ini bukan hanya kemenangan rakyat Mesir tetapi kemenangan umat Islam serantau,” kata pengerusinya, Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob kepada Harakahdaily. Hosni Mubarak, katanya bukan sahaja bertindak zalim dan diktator kepada rakyatnya tetapi kepada ummat Islam sedunia apabila bersekongkol dengan kerajaan zionis Isreal dalam membunuh ummat Palestin yang tidak berdosa. Katanya lagi, kesungguhan Mubarak untuk tidak membenarkan bekalan ubat-ubatan dan makanan melalui sempadan negaranya di Rafah bagi membantu ummat Palestin di Gaza yang di tadbir oleh Hamas jelas membelakangkan isi hati dan naluri ummat Islam dunia amnya. Menurutnya, melalui persefahamannya yang intim dengan Israel dan Amerika Syarikat, Mubarak telah sanggup untuk menggadaikan prinsip dan aqidah perjuangan Islamnya demi untuk menjaga hubungannya dengan kedua-dua negara itu. “Di dalam negaranya sendiri, selama hampir 30 tahun pemerintahan kuku besinya, beratus-ratus ulama dan ribuan rakyatnya telah dipenjara dan ada yang hilang tanpa dikesan kerana dituduh menentang kerajaan,” ujarnya. Tambahnya, demokrasi disekat, kebebasan bersuara dibatas, media dikongkong dan ekonomi hanya dikawal serta dibahagikan di kalangan kroni, justeru kesabaran rakyat Mesir akhirnya telah memberikan satu natijah yang luar biasa. Katanya, LA DPPP juga berharap pihak berkuasa tentera tidak menyalahgunakan kuasa mereka dalam mana peralihan itu. Beliau berkata, satu jawatankuasa sementara perlulah dibentuk di kalangan parti-parti politik di Mesir untuk segera mengadakan pilihanraya pemilihan presiden dan bukannya diuruskan oleh pihak tentera. OIC umpamanya, kata beliau perlulah menghantar wakil bagi mamantau perjalanan peralihan itu daripada campur tangan asing terutamanya Israel dan Amerika Syarikat yang sangat khuatir dengan perkembangan terkini di Mesir. “LA DPPP sendiri akan segera menghantar wakil ke Mesir bagi meninjau perkembangan terkini. “Tahniah buat rakyat Mesir! Syabas ummat Islam serantau!” ujarnya. |
|
Tiada ulasan:
Catat Ulasan