Khamis, 17 Februari 2011

INGAT! KUASA ALLAH TAK TERHAD DAN TERBATAS...'KUN' ATAU JADI KATA ALLAH ...MAKA 'JADILAH'....KITA SEMUA DALAM KEKUASAAN ALLAH..JANGAN BERLAGAK@SOMBONG

Dua Terbunuh Bila Polis Gempur Kumpulan Demo di Bahrain

MANAMA: Dua orang telah dilaporkan terbunuh apabila pasukan polis pencegah rusuhan mengempur Medan Mutiara pada awal pagi Khamis dalam usaha untuk menyuraikan demonstrasi yang semakin membara di sini.

Pasukan polis berkenaan telah melepaskan peluru getah dan gas pemedih mata ke arah para demonstrator dan menurut para saksi selain daripada dua mangsa yang dikatakan meninggal dunia, lebih 70 lagi dilaporkan tercedera.

Mereka mengempur medan berkenaan pada lebih kurang jam 3 pagi (waktu tempatan) yang menyaksikan beratus demonstrator sedang berkhemah atau bermalam di situ kata seorang saksi, Fadel Ahmad, 37.

Pihak berkuasa Bahrain berkata mereka tidak mempunyai pilihan melainkan terpaksa mengempur medan tersebut kerana “segala dialog dan perbincangan tidak membawa sebarang perkembangan positif.”

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Jeneral Tarek al-Hassan dipetik sebagai berkata, pihak polis tidak mempunyai banyak pilihan melainkan mengempur kawasan tersebut kerana masih ada yang enggan mendengar nasihat dan terus berkhemah di situ.

Para demonstrator yang mendapat inspirasi dari keajaiban kuasa rakyat di Tunisia dan Mesir terus menerus menduduki Medan Mutiara di tengah-tengah bandar ini sejak Selasa.

Dua orang yang terbunuh itu dikenali sebagai Mahmoud Makki Ali, 22, dan Ali Mansour Ahmad Khoder, 52.

Kematian ini menjadikan mangsa korban demonstrasi di Bahrain meningkat kepada empat orang sejak demo bermula Isnin baru-baru ini.

Mereka yang berdemonstrasi kini menamakan Medan Mutiara sebagai Medan Tahrir (yang bermaksud kebebasan).

Kumpulan terbesar pembangkang Syiah di Bahrain, INAA, yang mempunyai 18 orang ahli parlimen dalam Dewan Rakyat akan terus memboikot sidang parlimen sehingga negara itu bertukar kepada sistem raja berperlembagaan.

Dewan Rakyat Bahrain mempunyai 40 buah kerusi.

INAA juga turut menuntut agar sistem pelantikan perdana menteri ditentukan oleh kuasa rakyat dan bukannya raja sepertimana amalan sekarang.

Dalam pada itu Amerika Syarikat sedang mengikuti perkembangan di Bahrain dengan penuh serius memandangkan ia memiliki pangkalan tentera di negara itu yang berfungsi sebagai ibu pejabat kepada pergerakan tenteranya di Asia Barat.


Sesiapa Cetuskan Tunjuk Perasaan Seperti Di Mesir Akan Dipenjara - Presiden Uganda

ENTEBBE: Presiden Uganda, Yoweri Museveni berkata, beliau akan memenjara sesiapa saja yang cuba mencetuskan tunjuk perasaan seperti di Mesir menjelang pilihan raya kebangsaan yang dijangka menyaksikan pemimpin itu melanjutkan pemeritahannya yang kini sudah mencapai 25 tahun.

"Tidak akan ada tunjuk perasaan seperti di Mesir," kata Museveni pada sidang akhbar semalam.

"Tiada sesiapa boleh menggunakan cara yang luar biasa daripada Perlembagaan untuk mengambilalih kuasa di sini. Itu terkeluar daripada persoalan," katanya. Menjelang pilihan raya Presiden, pencabar utama, Kizza Besigye mengulangi bahawa proses pengundian tidak kemas dan mengancam untuk mengadakan tunjuk perasaan sekiranya pengiraan yang dibuat partinya tidak sama seperti keputusan rasmi.

Bagaimanapun Museveni berkata, dia akan menahan sesiapa yang cuba mencetuskan tunjuk perasaan. -AP




Pilihan raya Mesir dalam tempoh enam bulan



KAHERAH - Angkatan tentera Mesir mula merangka jadual peralihan kuasa kepada kerajaan yang akan dipilih rakyat dan menegaskan institusi itu tidak mahu mentadbir politik di negara yang diperintah secara kuku besi selama enam dekad.

Tentera Mesir yang dipuji kerana membantu revolusi kekal aman kini berada di bawah tekanan supaya membentuk kerajaan demokrasi baru selain masalah subsidi dan gaji pekerja.

Perarakan menuntut demokrasi di Mesir hampir tamat selepas bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak meletak jawatan, Jumaat lalu, tetapi ribuan pekerja bank, kilang, syarikat minyak dan kerajaan melancarkan mogok minggu ini.

"Majlis Tertinggi Tentera berharap dapat memindahkan kuasa kepada kerajaan baru yang dipilih rakyat secara adil dan aman dalam tempoh enam bulan dari sekarang," menurut kenyataan pasukan tentera, kelmarin.

Satu jawatankuasa yang diketuai oleh seorang hakim bebas ditubuhkan dan diberikan tempoh 10 hari untuk menggariskan pembaharuan yang perlu dibuat kepada perlembagaan negara itu sebelum pungutan suara rakyat diadakan.


Kemarahan Arab kini berpusat di Bahrain



MANAMA - Selepas Tunisia dan Mesir, penunjuk perasaan antikerajaan di Bahrain pula memenuhi sebuah dataran di ibu negara itu, semalam, pada hari ketiga protes ganas yang menyebabkan sekurang-kurangnya dua orang maut.

Penduduk negara itu menuntut Perdana Menteri, Sheikh Khalifa bin Salman al-Khalifa berundur selepas memegang jawatan itu selama empat dekad bermula semasa kemerdekaan Bahrain pada 1971.

Orang ramai juga enggan bersurai walaupun selepas pemimpin negara itu memohon maaf atas kematian dua penunjuk perasaan yang ditembak oleh polis.

Selain itu, terdapat laporan awal mengenai jaringan internet di Bahrain mula disekat oleh kerajaan bagi menghalang penunjuk perasaan menganjurkan protes, sama seperti yang berlaku di Mesir, akhir bulan lalu.

Ribuan penunjuk perasaan memenuhi Bulatan Mutiara di Manama yang berfungsi serupa dengan Dataran Tahrir di Kaherah, Mesir sebagai pusat protes.

Raja Bahrain, Sheikh Hamad Isa Al-Khalifa mengucapkan takziah atas kematian dua penduduk negara itu dan berjanji akan menyiasat pembunuhan mereka, Selasa lalu.

Sementara itu, Amerika Syarikat menyuarakan kebimbangan berhubung protes di Bahrain, iaitu sekutu kuat Washington.

Ribuan penduduk Bahrain mula memenuhi jalan raya di negara kecil itu sejak Isnin lalu selepas mendapat inspirasi daripada kejayaan kebangkitan rakyat di Tunisia dan Mesir.



Tunjuk perasaan tuntut kenaikan gaji


SEJUMLAH graduan arkeologi menuntut diberikan pekerjaan di Kaherah semalam.


KAHERAH - Sejumlah graduan arekeologi berhimpun bagi menuntut diberikan pekerjaan semalam selepas Hosni Mubarak meletakkan jawatan pada Jumaat lalu.

Protes bagi menuntut kenaikan gaji juga dilakukan oleh pekerja-pekerja lapangan terbang manakala sejumlah pekerja tekstil melakukan mogok meminta pihak berkuasa melakukan siasatan skandal rasuah.

Para penduduk di bandar Suez turut mendesak supaya sebuah kilang kimia ditutup kerana ia membuang bahan toksik ke sebuah tasik.

Beberapa bank di Mesir ditutup kerana pertikaian buruh sekali gus menjejaskan banyak sektor ekonomi di negara itu.

"Hosni telah tiada, tetapi masalah-masalah yang melanda negara masih sama malah lebih teruk lagi," kata pakar ekonomi Bank Saudi Fransi, John Sfakianakis.

Kehidupan di Mesir masih belum pulih sepenuhnya lima hari selepas Hosni meletakkan jawatan susulan tunjuk perasaan rakyat selama 18 hari.

Askar-askar yang dibantu sejumlah kereta kebal masih berkawal di jalan-jalan raya di sini dengan sekolah dan bank masih ditutup.

Rakyat Mesir didapati masih dalam fasa menyesuaikan diri dengan kebebasan yang diperoleh mereka selepas pengunduran Hosni sebagai presiden.

Hosni berundur selepas sejuta penunjuk perasaan menuntut beliau meletakkan jawatan kerana beliau dianggap gagal membawa kemakmuran ekonomi manakala pemerintahannya selama hampir 30 tahun dicemari skandal rasuah. - Agensi



Kereta baru PM Britain kalis bom


CIRI-CIRI istimewa kereta rasmi Perdana Menteri Britain, David Cameron.


LONDON - Kereta Jaguar XJ X351 yang digunakan sebagai kenderaan rasmi Perdana Menteri Britain, David Cameron, dilengkapi pelbagai ciri istimewa bagi menghalang serangan pengganas, lapor sebuah akhbar semalam.

Banyak ciri tersebut dirahsiakan tetapi kereta mewah berharga £200,000 (RM977,309) itu dilaporkan memiliki perisai kalis bom, tayar masih boleh bergerak walaupun pancit, tingkap kalis peluru dan bekalan oksigen untuk digunakan dalam serangan kimia atau biologi.

Kereta itu juga dipercayai dilengkapi senjata yang boleh digunakan petugas keselamatan untuk membalas tembakan sekiranya mereka diserang.

Kereta XJ X351 itu mampu memecut selaju 264 kilometer sejam kerana ia dijana enjin petrol berkuasa tinggi dengan kapasiti 5.0 liter yang berupaya mengeluarkan 503 kuasa kuda (hp).

Kenderaan itu jauh lebih berkuasa berbanding Jaguar XJ standard yang cuma mengeluarkan 385 hp.

Satu kelemahan kereta tersebut adalah ia menggunakan banyak petrol iaitu 3.78 liter petrol untuk jarak 36.8 kilometer manakala pengisian tangki penuh memerlukan belanja sebanyak £104 (RM507).

- Agensi


Rakyat Bahrain tuntut reformasi



ORANG ramai mengangkat keranda seorang mangsa penunjuk perasaan yang terbunuh  ketika berhimpun di Sanabi, di barat ibu negara Bahrain, semalam.
ORANG ramai mengangkat keranda seorang mangsa penunjuk perasaan yang terbunuh ketika berhimpun di Sanabi, di barat ibu negara Bahrain, semalam.

MANAMA: Penunjuk perasaan di Bahrain menuntut pembaharuan politik daripada pemerintah mereka, semalam sama seperti rakyat Mesir, dengan berhimpun di dataran utama di ibu negara itu. Ia adalah hari ketiga demonstrasi menentang kerajaan hingga menimbulkan tekanan kepada pemimpin negara yang menjadi satu daripada sekutu paling strategik Washington di rantau Teluk.

Pasukan keselamatan sudah berkawal semula untuk meredakan ketegangan - selepas pertempuran berlaku menyebabkan sekurang-kurangnya dua orang maut dan berpuluh-puluh lagi cedera. Helikopter polis terbang rendah pada pengebumian seorang mangsa yang digelar ‘pejuang syahid’ dan penunjuk perasaan menggesa lebih banyak bantahan dilakukan di negara itu - tempat yang menjadi pangkalan tentera Amerika Syarikat.


Beribu-ribu orang bermalam di khemah sementara di Dataran Pearl di sini yang menjadi kem penunjuk perasaan sehari sebelum itu. Seorang penunjuk perasaan juga menggunakan pembesar suara bagi mendesak orang ramai kekal di situ hingga tuntutan mereka dipenuhi.

Tunjuk perasaan antikerajaan bermula Isnin lalu menggesa pemerintah sistem monarki di negara itu melakukan pembaharuan termasuk jawatan tinggi kerajaan yang dipilih dan membuka lebih peluang kepada majoriti rakyat berfahaman Syiah di negara itu yang disekat daripada menjawat jawatan penting.


Ketua parti politik berfahaman Syiah terbesar di negara itu, Sheik Ali Salman berkata, tiada tuntutan peranan Islam dalam politik.


“Kami tidak mencari ulama sebagai pemimpin kerajaan seperti Iran tetapi kami menuntut kerajaan yang mewakili golongan Syiah dan Sunnah,” ujarnya. - AP


Era regim boneka AS sudah berakhir: Mahmoud



TEHERAN: Presiden Iran Mahmoud Ahmadinejad berkata, era regim boneka sudah berakhir dan revolusi di Timur Tengah berlaku bagi menentang diktator yang disokong Amerika Syarikat di rantau berkenaan.

Ketika berucap kepada rakyat di Bushehr, sebuah bandar di baratdaya negara itu dalam lawatan ke-86 di situ, pemimpin Iran itu berkata, terdapat kuasa luar biasa yang semakin berkembang bagi menentang kuasa syaitan di rantau itu. “Kami sudah katakan kebebasan berucap, hak menentukan masa depan serta hak untuk menuntut keadilan dan kerohanian menjadi hak semua negara,” ujarnya. Beliau menyifatkan revolusi yang tercetus di Timur Tengah semuanya menentang diktator yang mengabaikan negara mereka, beliau merujuk kepada revolusi di Mesir dan Tunisia.


“Diktator terbabit tidak setia kepada negara mereka dan dibenci rakyatnya. Lebih banyak mereka berbuat demikian, lebih banyak mereka bergantung kepada kuasa yang angkuh itu,” tambahnya lagi.


14 cedera dalam pertempuran ‘Hari Kemarahan’ di Libya



TRIPOLI: Seramai 14 orang tercedera dalam pertempuran di bandar Benghazi, lapor akhbar di Libya semalam ketika penunjuk perasaan mengadakan ‘Hari Kemarahan’ berikutan revolusi yang berlaku di negara jiran Mesir dan Tunisia.

Akhbar Quryna berkata, 14 orang cedera dalam pertempuran antara pasukan keselamatan dan penunjuk perasaan di bandar di timur negara itu semalam yang disifatkan dilakukan oleh ‘pensabotaj’ di kalangan penunjuk perasaan.


Pasukan keselamatan terpaksa campur tangan bagi menghentikan konfrontasi antara penyokong pemimpin negara itu, Mammar Gadhafi yang sudah memerintah lebih daripada 40 tahun dengan penunjuk perasaan.

Pemimpin veteran itu menghadapi bantahan penunjuk perasaan yang menyebarkan maklumat melalui Internet untuk mengadakan demonstrasi hari ini sebagaimana dilakukan penunjuk perasaan di Mesir dan Tunisia. - AFP


2,000 polis Yaman sekat bantahan


SANAA (Yaman): Seramai 2,000 anggota polis berkawal di sekitar jalan raya di ibu negara Yaman, semalam bagi mengekang bantahan terhadap presiden negara itu yang sudah memerintah selama 32 tahun, sekutu utama AS dalam perang menentang al-Qaida.

Anggota polis termasuk yang berpakaian preman melepaskan tembakan ke udara dan menghalang beribu-ribu pelajar Universiti Sanaa daripada menyertai ribuan penunjuk perasaan lain di tempat berasingan di ibu negara Yaman itu dalam demonstrasi hari keenam.


Berdasarkan inspirasi daripada kejadian penyingkiran pemimpin di Mesir dan Tunisia, penunjuk perasaan di Yaman menuntut pembaharuan politik dan pengunduran Presiden Ali Abdullah Saleh dengan memperjuangkan isu kemiskinan, pengangguran dan rasuah.

Saksi berkata, polis mengunci pagar universiti bagi menghalang pelajar berlari keluar ke jalan raya berdekatan.


Mereka berkata, sekurang-kurangnya empat orang tercedera ketika bergelut dengan polis.


Tunjuk perasaan turut berlaku di bandar Aden dan Taaz di mana beribu-ribu penunjuk perasaan melaungkan, ‘Berambus...berambus Ali Abdullah Saleh’ Ali Abdullah yang cuba meredakan ketegangan yang tercetus di negaranya mengatakan beliau tidak akan bertanding untuk satu penggal lagi dalam pilihan raya 2013. - AP


Ikhwan tidak mahu peroleh majoriti


KAHERAH: Pemimpin kanan Ikhwan Muslimin di Mesir berkata, semalam mereka tidak akan berusaha untuk mendapatkan majoriti di Parlimen dalam pilihan raya yang akan berlangsung kelak.

Kumpulan pembangkang yang berhasrat membina negara Islam secara aman itu menjadi musuh utama kerajaan hinggalah revolusi memaksa Presiden Hosni Mubarak berundur pada 11 Febrauri lalu. “Kami tidak berazam untuk mendapatkan majoriti dalam Parlimen baru kelak dan ini mesej kami kepada semua parti politik,” kata pemimpin kumpulan itu, Essam al-Erian. “Ini bukan masanya untuk bersaing,” tambahnya.


Pemimpin kedua kumpulan itu, Mahmud Ezzat berkata, Ikhwan tidak akan bertanding bagi semua kerusi Parlimen dalam pilihan raya yang dijadualkan kelak sebelum majlis tertinggi tentera menyerahkan kuasa kepada kerajaan yang dipilih rakyat. - AFP



Kepadatan penduduk tertinggi di Mumbai



MUMBAI - Bandar Mumbai merupakan salah satu kota terpadat di Asia dengan penduduknya mencecah 27,000 orang di setiap kilometer persegi di India, menurut laporan terbaru NGO, Isnin lalu.

Indeks Bandar Raya Hijau Asia, yang ditugaskan oleh sebuah kumpulan syarikat kejuruteraan Jerman terbesar di Eropah, Siemens dan Unit Perisikan Pakar Ekonomi (EIU), menganalisis kepadatan persekitaran di 22 bandar utama di seluruh Asia.

Kesemua bandar yang dianalisis termasuk Singapura, Tokyo, Seoul, Bangkok, Beijing, Delhi, Bangalore, Kolkata dan Karachi.

Dari jumlah tersebut, Mumbai memiliki kepadatan penduduk tertinggi dengan 27,000 orang setiap kilometer persegi, 27 kali lebih padat dari bandar Wuhan, China yang mempunyai kurang daripada 1,000 orang di setiap kilometer persegi kota itu.

Indeks Bandar Raya Hijau Asia menyemak prestasi persekitaran 22 bandar itu melalui lapan kategori, iaitu tahap tenaga dan karbon dioksida, penggunaan tanah dan jumlah bangunan, pengangkutan, sampah, air, kebersihan bandar, kualiti udara dan pentadbiran alam sekitar.

Tiada ulasan: