Jumaat, 11 Februari 2011

MEMANG LUMRAH MUSUH ATAU PIHAK LAWAN MENGELAR@MENGHUKUM IKUT SUKA....SEDANGKAN JIKA ALLAH MENGHUKUM ZALIM..FASIK...MUNAFIK...DLL TUNGGULAH DIAKHIRAT


Kuasa rakyat Mesir 'mimpi ngeri' Mubarak, AS
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 11 Feb: PAS yakin kuasa rakyat Mesir yang berada di kemuncak pada waktu ini, mampu mengubah lanskap politik negara teluk itu dalam masa terdekat.

Biarpun Presiden Mesir, Hosni Mubarak dalam ucapannya yang disiar televisyen negara itu semalam sekali lagi memberikan harapan palsu kepada rakyatnya, namun bantahan berterusan dari rakyat sekurang-kurangnya telah menekan Mubarak dan menggugat pengaruh Amerika Syarikat.

Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS, Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkata, bantahan rakyat sejak 28 Januari lalu bagai mimpi ngeri yang menjadi kenyataan kepada Amerika Syarikat sehingga mereka hilang arah.

Katanya, ianya boleh dibuktikan dengan beberapa kenyataan dari pemimpin negara barat itu yang dilihat 'flip-flop', ada ketikanya menggesa Mubarak kekal dan ada pula mahu presiden Mesir itu berundur segera.

"Saya yakin dengan kuasa rakyat Mesir dan Amerika sekarang sangat terkejut dengan fenomena kebangkitan besar-besaran rakyat Mesir ini.

"Mereka pun tidak dapat menentukan apa lagi yang akan berlaku.

"Saya percaya, Amerika tidak ada kekuatan lagi untuk mempertahan regim Mubarak yang ada ini," katanya.

Amerika Syarikat mempunyai tiga kepentingan utama di Mesir iaitu negara Israel, ekonomi (Peroleum dan Gas) dan ketenteraan.

Mereka bimbang, kejatuhan kerajaan regim dan jika diganti pihak lain, akan menjejaskan segala kepentingan yang telah dibina sejak berpuluh tahun dahulu.

Mubarak muncul melalui siaran televisyen seluruh negara dan berucap kepada rakyat yang membantahnya.

Rakyat yang sebelum ini diberitahu akan ada berita gembira tentang pengumuman pengunduran Mubarak, bagaimanapun kecewa apabila presiden yang dibantah itu memaklumkan akan terus berada di pejabat presiden sehingga pemilihan September depan.

Beliau juga memberitahu telah mengalihkan sebahagian kuasanya kepada Naib Presiden yang baru dilantik, Omar Suleiman dan mengarahkan perlembagaan negara itu dipinda.

Berita itu bagaimanapun ditolak rakyat yang mahu bukan sahaja Mubarak, tetapi seluruh kerajaan regim berundur segera tanpa syarat.

"Media cuba gambarkan rakyat hanya tolak Mubarak.

"Rakyat Mesir sebenarnya bukan hanya tolak Mubarak, tetapi seluruh aparatus kerajaan regim itu," kata Syed Azman lagi.

Mengulas himpunan besar-besaran rakyat Mesir selepas Jumaat hari ini beliau berkata, rakyat Mesir sebenarnya sudah nekad, tidak akan berundur ke belakang lagi, sama ada menang dalam tuntutan ini ataupun mati syahid.

Dijangkakan 20 juta rakyat Mesir akan berhimpun selepas solat Jumaat hari ini dan akan berarak ke Istana Mubarak di Abdeen, Kaherah.

Difahamkan, Istana Presiden tersebut adalah kawasan larangan dan tidak pernah ada mana-mana pihak dibenar masuk ke istana itu sejak sekian lama pemerintahan regim.


Kedah tawar Kuin jadi pusat peperiksaan
Mohd Shubihi Muhamad Zain

ALOR SETAR, 11 Feb: Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak menawarkan Kolej Universiti Insaniah (Kuin) sebagai tempat untuk pelajar pengajian Islam dari Universiti Al-Azhar, Mesir menduduki peperiksaan di sini.

Tawaran itu dibuat sejurus mendapat perkhabaran tentang rundingan Kementerian Pengajian Tinggi dengan pihak universiti tersebut untuk mengadakan peperiksaan di institusi pengajian tinggi di sini.

Menurut Azizan yang juga Pengerusi Kuin berkata, seramai 16 pensyarah telah dipinjamkan oleh Al-Azhar ke kolej itu, sekiranya diperlukan Kuin mampu untuk membentuk sebarang kerjasama yang berkaitan.

"Jika mereka bersetuju, kita akan bagi kerjasama tetapi hanya untuk kursus pengajian Islam sahaja seperti Bahasa Arab, Syariah Islamiah dan Usuluddin kerana kursus-kursus lain seperti perubatan dan kejuruteraan kita tidak mempunyai kemudahan yang lengkap," katanya.

Azizan ditemui selepas menyambut kepulangan anak-anak Kedah yang sedang belajar di Mesir.

Sejak petang semalam, seramai 100 pelajar selamat tiba di negeri ini dengan menaiki tiga buah bas yang ditaja kerajaan negeri.



Hari Kekasih: Umno BN pasung minda rakyat
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 11 Feb: Hari Kekasih atau nama sambutan yang lebih dikenali sebagai Valentine’s Day sekali lagi mendapat perhatian semua pihak terutama kepada pendirian Pakatan Rakyat.

“Hari Kekasih ini menjadi perhatian kerana melibatkan isu pengawasan moral atau moral policing,” kata Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK), Shamsul Iskandar Md Akin.

AMK, katanya melihat wujud unsur-unsur hipokrasi yang jelas dan nyata di peringkat Umno BN khususnya dalam soal itu, yang jelas kelihatan mahu memerangkap dan memasung minda rakyat agar lari daripada fokus sebenar yang sewajarnya diberikan secara tepat mengenai isu ini.

Menurutnya, AMK berpendapat terdapat dua hal yang harus diberi perhatian iaitu perbincangan dan musyawarah di kalangan Pemuda Pakatan iaitu Dewan Pemuda PAS, Pemuda Sosialis DAP dan AMK perlu diadakan.

Ini, katanya bagi mendapat persefahaman dan dasar pendirian yang boleh dikongsi secara bersama tanpa menafikan beberapa hal berbeza dari segi pendekatan.

“Dalam hal ini pihak AMK yakin bahawa permuafakatan Pakatan Rakyat membincangkan hal-hal termasuk isu sensitif membuktikan kesediaan Pakatan Rakyat menerima perbezaan dan memberikan dasar yang terbaik kepada rakyat,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Selain itu, ujarnya AMK percaya bahawa pendekatan dakwah secara mendidik adalah merupakan penyelesaian manusiawi yang lebih mampan dan jangka masa panjang.

Tambahnya, pendekatan mendidik yang dibawa Pakatan Rakyat akan membetulkan imej negatif yang dicanang oleh Umno BN.

Menurutnya, menjangkau 54 tahun Malaysia di bawah kepimpinan Umno, Islam dilihat rigid dan sentiasa dalam keadaan terancam, dan dalam masa yang sama dimensi penyelesaian hanya dihadkan kepada kepompong yang sempit.

“Menyedari hakikat inilah, pendekatan yang lebih hikmah sewajarnya diambil oleh Pemuda Pakatan demi memastikan penyelesaian yang konstruktif dapat diambil ke arah mencari jalan penyelesaian yang wajar,” katanya lagi.


Pemuda Islam Terengganu perlu bangkit
Harakahdaily

KUALA NERUS, 11 Feb: Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan at-Tantawi menggesa pemuda Islam di Terengganu bangkit dalam memastikan Islam menjadi asas perjuangan dan menjadikannya satu cara hidup.

Beliau juga menyeru seluruh jentera pemuda bersama dengan dewan pemuda turun berdakwah kepada seluruh umat bagi memastikan Islam tertegak di bumi Malaysia.

Tambahnya, anak-anak muda yang berada di bawah panji-panji Islam perlu sihat, berakhlak, berhemah dan mempunyai jati diri.

“Kita mahu pemuda sebagai penggerak utama kepada kebangkitan rakyat. Lihat satu dunia terutama di benua Arab anak muda bangkit membawa perubahan kepimpinan negara,” ujarnya ketika merasmikan Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit) 2011 di padang bola Pekan Batu 6, di sini, pagi ini yang disertai kira-kira 10,000 pemuda seluruh negeri.

Majlis dimulakan dengan ucapan motivasi oleh AJK PAS Pusat, Mohamad Sabu.

Kemudian diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Ketua Pemuda Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah yang menyeru seluruh pemuda Islam Terengganu bangkit menentang kemungkaran di negeri ini dan Malaysia.

Katanya, motto PAS Ganti Umno perlu diterjemahkan kepada realiti yang nyata.



Jom ke wacana Prof. Dr. Zulkifli Muhammad
Harakahdaily

DATUK PROFESOR DR. ZULKIFLI MUHAMMAD: TOKOH INTELEKTUAL DAN PEJUANG ISLAM DI TANAH MELAYU

Alam Melayu merupakan bumi yang subur dalam perkembangan agama Islam sehingga menjadi tumpuan bangsa lain untuk belajar Islam seperti mana yang pernah tercatat dalam sejarah Melayu. Tanah Melayu walaupun bertukar tangan penjajah, namun masih mampu mempertahankan akidah penganutnya. Ini kerana kesungguhan ulama dan madrasah yang membentengi ummah daripada serangan pemikiran musuh.

Tanah Melayu dalam denai sejarahnya tidak pernah gagal untuk melahirkan pejuang-pejuang yang berani berdada dengan kezaliman. Antaranya ialah Tuan Guru Haji Hasan bin Munas, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong, Syeikh Abu Bakar al-Baqir, Dr. Burhanuddin al-Helmy dan lain-lain.

Pada awal abad ke-20 pula menyaksikan gerakan kesedaran Islam, Pan-Islamisme yang anginnya kencang bertiup dari Timur Tengah sama ada Mesir ataupun Mekah. Latar belakang penjajahan Barat, kemunduran akliah, dan keterpurukan ummah yang sedang menyelimuti umat Islam pada awal abad ke-20 telah memungkinkan anak-anak muda berpendidikan Islam dirasuk dengan fahaman ini.

Ikon utama dunia Pan-Islamisme ini ialah Syeikh Muhammad Abduh, Syeikh Jamaluddin al-Afghani dan Rashid Redha telah menyuntik kesedaran dan semangat untuk berubah kepada anak-anak muda lulusan Kaherah dan Mekah. Hasilnya, terpancarlah fahaman ini ke merata ceruk bumi, menciut nyaring gegendang penjajah Barat. Kesan yang besar daripada fahaman ini ialah munculnya gerakan kesedaran umat Islam untuk memurnikan ajaran Islam daripada unsur khurafat dan bidaah, menentang penjajah Barat, dan seterusnya bangkit memerdekakan tanah air.

Di Tanah Melayu, gerakan awal seperti Sarekat Islam (cawangan Indonesia) telah pun ditubuhkan di Kemaman, Terengganu pada awal abad ke-20, yang berakhir dengan kebangkitan rakyat menentang British di Terengganu pada tahun 1928. Juga sebuah gerakan yang diinspirasikan oleh Ikhwanul Muslimin iaitu Hizbul Muslimin yang ditubuhkan di Ma’ahad Al-Ehya Asshariff, Gunung Semanggol pada tahun 1948. Semangat jihad umat Islam menentang penjajah British begitu sekali membara sehingga Ordinan Darurat 1948 menyaksikan penangkapan besar-besaran telah dibuat terhadap tokoh-tokoh pergerakan Islam daripada Hizbul Muslimin, seterusnya melemahkan gerakan tersebut secara sistematik. Persatuan Islam Se-Tanah Melayu (PAS) pula yang ditubuhkan pada tahun 1951 terus menyambung perjuangan Hizbul Muslimin untuk menegakkan pemerintahan Islam di Tanah Melayu.

Persatuan Islam Se-Tanah Melayu (PAS) tidak pernah kekeringan tokoh dalam menyuarakan aspirasi perjuangan Islam walaupun berhadapan dengan mehnah dan ujian di sepanjang sejarahnya. Antara putera pintar yang pernah melakarkan namanya pada langit sejarah Tanah Melayu ialah Profesor Dr. Zulkifli Muhammad. Beliau merupakan seorang pejuang sekaligus intelektual awal di Tanah Melayu. Beliau merupakan ideologue PAS, malah bergandingan bahu dengan tokoh besar perjuangan Islam di alam Melayu iaitu Dr. Burhanuddin al-Helmy.

Beliau dilahirkan di Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar, Perak, negeri yang telah menyaksikan ramai tokoh-tokoh perjuangan Islam dilahirkan. Zulkifli Muhammad lahir dalam keluarga yang paling mengambil berat urusan pendidikan anak-anak. Kecerdasan dan bakat yang membumbui tokoh ini terserlah semenjak kecil lagi. Beliau pernah menghadiri peperiksaan khas bagi mengambil pelajar peringkat tinggi Ma’ahad Al-Ehya Asshariff, Gunung Semanggol dan beliau satu-satunya calon yang lulus dalam ujian tersebut. Minatnya kepada politik terserlah semenjak remaja di mana beliau anti-penjajahan dan meminati tokoh-tokoh perjuangan anti-penjajah di dalam dan luar negara. Anak muda ini berbakat dalam bidang penulisan dan dunia kesusasteraan, malah turut menghasilkan beberapa karya.

Justeru dalam menghayati dan menelusuri sejarah panjang perjuangan tokoh besar di Tanah Melayu ini dengan lebih mendalam dan berkesan, Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) melalui Lajnah Dakwah dan Pembelaan Islam telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan Wacana Perdana Dato’ Profesor Dr. Zulkifli Muhammad : Tokoh Intelektual dan Pejuang Islam di Tanah Melayu yang bakal diadakan pada Sabtu, 12 Februari 2011 bersamaan 9 Rabiul Awwal 1432 Hijrah, dari 8.30 pagi hingga 2.00 petang, bertempat di Surau An-Nur, Seksyen 1, Bandar Baru Bangi (berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Bangi dan Darussyifa’).

Wacana ini bakal menampilkan tokoh-tokoh akademik dan pimpinan pemuda seperti Ustaz Dato’ Haji Abu Bakar Chik, Profesor Dr. Redhuan Othman, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi, Ustaz Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki, Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan Ustaz Riduan Mohamad Nor. Penyertaan terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia dengan yuran pendaftaran serendah RM10. Penganjur dengan ini menjemput kepada semua yang berminat termasuk para pencinta ilmu dan pendokong perjuangan Islam dalam mencambahkan ilmu dan merancakkan semangat perjuangan melalui denai dan onak ranjau yang pernah dilalui oleh tokoh besar ini di Tanah Melayu.


Kami pendakwah bukan penghukum
Nasrudin Hassan

1. Biarpun berdepan kritikan pedas dari pelbagai pihak, saya dan rakan-rakan Dewan Pemuda PAS Malaysia akan terus berjuang dan berdakwah bagi menyelamatkan generasi muda dari terus dimangsakan oleh pelbagai aktiviti tidak bermoral di dalam negara ini. Kami akan turun sebagai Duta penyelamat dan Kasih Sayang dengan membawa misi dakwah untuk mendidik serta membimbing masyarakat khasnya generasi muda muslim hari ini agar tidak hanyut dibawa arus keruntuhan moral.

2. Gerakan dakwah ini akan disemarakkan oleh Lajnah Dakwah dan Pembelaan Islam Dewan Pemuda PAS Malaysia di seluruh negara melalui Dewan Pemuda PAS Negeri-Negeri dengan memilih beberapa lokasi sasaran yang berpotensi berlakunya kegiatan tidak bermoral sempena sambutan Valentine Day.

3. Dakwah atau gerakan mengedar "risalah didikan" serta menyantuni mereka yang terlibat dalam kegiatan tidak bermoral sebenarnya telah menjadi aktiviti rutin Dewan Pemuda PAS Malaysia sejak berzaman lamanya. Sebagaimana Pemuda PAS tegas membenteras kegiatan tidak bermoral didalam politik seperti penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa, juga membenteras aktiviti tidak bermoral didalam ekonomi seperti pembaziran dan rasuah, maka Dewan Pemuda PAS juga istiqamah membenteras perlakuan tidak bermoral didalam sosial seperti pergaulan bebas, seks bebas dan vandalisme.

4. Namun kami bukan penghukum, kami juga bukan Polis Moral malah kami bukan penguatkuasa. Kami adalah pendakwah yang bertanggungjawab untuk mendidik rakyat agar tidak terjebak dalam sebarang kegiatan, aktiviti dan perlakuan yang tidak bermoral justeru implikasinya merosakkan maruah diri, nilai tamadun dan nama baik negara.

5. Kami Pemuda PAS sedia menghulurkan kerjasama malah mengharapkan kerjasama dari pihak berkuasa kerajaan negeri khasnya negeri-negeri Pakatan Rakyat untuk turun ke padang menyelamatkan generasi muda dari terjebak dalam kancah moral yang negatif. Kempen No Panties For Valentine Day pada tahun lalu, sebagai contoh kegiatan tidak bermoral yang dibimbangi masih berterusan dalam aktiviti yang pelbagai dan nama yang berbeza untuk mengelirukan orang ramai serta pihak berkuasa.

6. Saya masih percaya bahawa kerajaan negeri-negeri Pakatan Rakyat tidak mahu membiarkan generasi mudanya yang bakal mewarisi kepimpinan negeri dan negara pada masa akan datang terperangkap dalam perlecehan moral yang merosakkan reputasi diri dan nilai maruah mereka. Justeru itulah saya menawarkan kerjasama antara Dewan Pemuda PAS Malaysia dengan pihak Kerajaan negeri untuk memantau perkembangan dan kegiatan tidak bermoral lalu tampil memberi didikan kepada mereka yang terjebak agar insaf dan tidak membiarkan diri mereka lemas dalam pengaruh nafsu dan syahwat.

7. Suatu sikap yang sangat tidak adil, apabila kita begitu keras dan tegas menentang kegiatan yang tidak bermoral dipentas politik dan ekonomi seperti penyalahgunaan kuasa, pembaziran, rasuah, penipuan dan penindasan tapi kita berdolak dalih dalam usaha memurnikan iklim sosial negara dari kegiatan tidak bermoral seperti seks bebas, vandalism, penyalahgunaan dadah dan sebagainya sedang ia turut membawa kesan yang buruk kepada kesejahteraan, keamanan keharmonian negara.

8. Dewan Pemuda PAS Malaysia tidak hanya turun pada Valentine Day, tetapi juga pada malam sambutan Ulangtahun Kemerdekaan, Sambutan Tahun Baru dan hari-hari yang dianjurkan pesta atau karnival yang mempromosi atau menggalakkan pergaulan bebas lelaki dan perempuan tanpa batas. Kami turun sebagai Duta Penyelamat dan Kasih Sayang. Ini adalah sikap Dewan pemuda PAS Malaysia yang diwarisi sejak dulu dan ia bukan pandangan peribadi saya.

9. Kami pemuda PAS tekad akan selamatkan generasi muda muslim dan siapa jua yang mahu dari hanyut dibawa arus maksiat seta mungkar dengan penuh kasih sayang demi masa depan mereka dan juga masa depan negara, biarpun berdepan dengan pihak yang terus mahu menyuburkan aktiviti tidak bermoral dan sengaja tidak mahu memahami hasrat dan tindakan kami.

10. Akhirnya saya terus menyimpan harapan agar Kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat menjadi contoh kepada negara untuk mendidik rakyat bukan sahaja dalam aspek politik dan ekonomi tetapi juga kearah membentuk iklim sosial yang jernih dan harmoni. Bebas dari kegiatan yang tidak bermoral serta meruntuhkan maruah negeri dan negara. Sementara saya tiada authoriti untuk memberi arahan kepada sebuah kerajaan negeri sebagaimana saya juga bukan polis untuk menangkap pesalah. Saya hanya pendakwah bukan penghukum.



Bekas MP bebas tuduhan palsu dokumen
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 11 Feb: Bekas Ahli Parlimen Jeli, Mohd Apandi Mohamad, 50, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini daripada 13 tuduhan memalsukan dokumen berkaitan sewa hotel, sembilan tahun lalu.

Hakim Nasir Nordin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Mohamed Apandi, 51, lapor Bernama.

Mohamed Apandi didakwa mengikut Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Bagi setiap tuduhan, beliau didakwa melakukan perbuatan itu antara 11 Feb 2002 dan 23 Julai 2003 di Cawangan Kewangan, Pejabat Parlimen Malaysia, Jalan Parlimen di Kuala Lumpur.

Bekas ahli parlimen PAS itu didakwa memberikan butiran-butiran palsu berhubung tuntutan sewa Hotel Perdana Resort, Pantai Cahaya Bulan, Kota Baharu pada kadar RM230 semalam antara 5 Jan 2002 dan 30 Jun 2003 yang semuanya berjumlah RM31,050.




30,000 pemuda PAS berhimpun di Alor Setar
Khairul Izwan

KUALA LUMPUR, 11 Feb: Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah telah bersiap sedia menjadi tuan rumah Himpunan 30 000 Pemuda PAS seluruh negara yang akan diadakan pada 19 Februari ini.

Ketua Pemuda PAS Negeri Kedah, Ustaz Ahmad Yahya (gambar) ketika di hubungi Harakahdaily hari ini berkata, persiapan untuk menganjurkan himpunan tersebut telah dilakukan dengan baik.

"Kita (Pemuda PAS Kedah) dah buat beberapa persiapan dan sekarang hampir 70 peratus persiapan itu dah siap.

"Antaranya kita buat persiapan dari segi tempat berhimpun, dan kita juga membuat persiapan dari segi tempat tinggal peserta himpunan yang datang dari jauh. Makan minum juga kita sediakan untuk makan tengahari," ujar Ustaz Ahmad.

Menurut Ustaz Ahmad, Negeri Kedah di jadikan tuan rumah perhimpunan ini adalah sebagai isyarat bahawa Kedah mesti di pertahankan pada PRU-13 nanti.

Himpunan 30 000 Pemuda itu merupakan anjuran Dewan Pemuda PAS Pusat adalah untuk menyemarakkan semangat jihad pemuda dalam menghadapi PRU-13 serta menonjolkan kekuatan pemuda.

Himpunan tersebut akan diadakan di Kompleks PAS Negeri Kedah, Simpang Empat pada hari Sabtu, 19 Februari nanti menggunakan tema 'Masa Untuk Berubah'.

Pelbagai program telah dirangka untuk program ini untuk dijadikan pengisian.




Nik Aziz rasmi Markas Induk PAS Merlimau esok
Harakahdaily

JASIN, 11 Feb: Perasmian Markas Induk PAS PRK Merlimau di Taman Muhibbah, Merlimau oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dijadualkan pagi ini ditunda pada jam 11.00 pagi esok (12 Februari).

Setiausaha Jabatan Pilihan raya Negeri Melaka, Bahiki Ismail berkata, lain-lain program yang melibatkan Tuan Guru termasuk menghadiri program sambutan Tahun Baru Cina di Markaz PAS Merlimau pada 8.00 malam ini tidak berubah.

Tambahnya, Tuan Guru juga akan menyampaikan ceramah bermula jam 9.00 malam esok di As-Solihin Merlimau bersama-sama dengan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.




DAP akan sokong Nizar jadi MB Perak lagi

Harakahdaily

IPOH, 10 Feb: DAP akan memberikan sokongan penuh kepada Datuk Seri Muhamad Nizar Jamaludin (gambar) untuk menjadi menteri besar Perak jika Pakatan Rayat berjaya merampas negeri Perak semula dalam pilihan raya umum akan datang.

Perkara ini dinyatakan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam ucapannya di majlis makan malam DAP Kampar malam tadi.

Perkara ini dinyatakan oleh Setiausaha DAP Perak yang juga bekas Exco kerajaan negeri Pakatan Perak, Nga Kor Ming dalam satu kenyataannya.

Menurut Nga Kor Ming, Setiauasaha Agung DAP dalam ucapannya itu menyifatkan Nizar mempunyai rekod yang sangat baik sebagai MB Perak sebelum ini.

"Nizar juga seorang yang mempunyai intergriti yang menyebabkan dia adalah calon terbaik untuk jawatan itu," kata Lim Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang dalam ucapannya itu.

Nizar telah dipilih menjadi MB Perak ketika Pakatan memerintah sebelum ini walaupun PAS hanya mempunyai enam wakil dalm Dun Perak berbanding DAP dan PKR yang mempunyai lebih ramai wakil.



Berita gembira peniaga kecil Kelantan esok
Harakahdaily
KOTA BHARU, 10 Feb: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dijangka membuat pengumuman penting esok yang dipercayai mengembirakan para peniaga kecil di Kelantan khasnya peniaga Arked Uda dan Bazar MPKB.

Menurut maklumat tidak rasmi yang diterima Harakahdaily, pengumuman itu dijangka akan dibuat semasa kuliah dhuha beliau di Dataran Ilmu pagi esok.

Dalam mesyuarat kerajaan negeri minggu lepas, Nik Aziz dikatakan bersetuju mengecualikan bayaran apa-apa sewa kepada para peniaga yang berpindah ke Bazaar Tok Guru selama antara 1 - 3 tahun berkuat-kuasa serta merta.

Menurut Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa, peniaga di tingkat bawah dijangka akan dikecualikan apa-apa bayaran antara 1 hingga satu setengah tahun.

Peniaga di lot-lot tingkat 1 pula dijangka akan dikecualikan sehingga 3 tahun.

"Perincian mengenainya akan dibincangkan dengan para peniaga nanti," kata Husam.

Nik Aziz dijangka akan bertemu dengan para peniaga kedua-dua pusat perniagaan itu dalam majlis Maulidul Rasul minggu depan.

"Langkah ini adalah sebagai hadiah sempena Maulidul Rasul kepada para peniaga serta dalam rangka kerajaan Kelantan memberikan galakan kepada kepada para peniaga kecil di bandar Kota Bharu," kata Husam.

Low Yat Kelantan

Menurut Husam juga, sejumlah unit lot kedai di tingkat 1 dan 2 akan diperuntukkan kepada para peniaga kecil muda untuk memulakan perniagaan secara percuma.

"Kita akan khaskan untuk peniaga bahan-bahan berasas IT dan Multimedia.

"Tok Guru berharap, Bazar Tok Guru ini akan jadi seperti Plaza Low Yat di Kuala Lumpur," kata Husam.

Tanah Arked Uda

Dalam pada itu, Husam berkata, mesyuarat Exco Rabu lepas telah memutuskan kerajaan negeri mengambil alih semula tanah yang diberi milik kepada Uda di PT 207, Seksyen 11 yang telah diberikan pada tahun 1984 lalu.

Tanah itu sekarang menempatkan peniaga Arked Uda yang terpaksa pindah kerana Uda bercadang membina pangsapuri dan tiga tingkat ruang niaga yang tidak mampu dibeli oleh 115 peniaga Arked Uda sekarang.

"Ruang niaga ini dijangka disediakan Uda dengan kadar harga yang tinggi dan hanya 36 unit sahaja.

"Kerajaan negeri sedia membatalkan tindakan mengambil balik itu jika Uda sedia tempatkan semula kesemua 115 peniaganya di tapak yang sedia ada dalam pembangunan yang dicadangkan oleh mereka," kata Husam.

Husam baru-baru ini telah berunding dengan Pengerusi Uda untuk membincangkan bagi memastikan Uda memasukkan komponen unit-unit kedai peniaga kecil dalam pembangunan mereka.

"Jika Uda enggan, rancangan ambil balik ini akan diteruskan," kata Husam.

Tiada ulasan: