Bahrain, negara Arab di Teluk Parsi menduduki satu posisi yang unik berbanding negara Arab serantau lain. Negara berpenduduk asal bawah 1 juta ini bersempadan dengan Arab Saudi – dan dihubungkan secara fizikal dengan sebuah tambak sepanjang 25 km – dan Iran, negara yang pada zaman empayarnya memiliki wilayah Teluk Parsi. Negara pulau kecil ini juga menempatkan Armada Kelima Tentera Laut Amerika Syarikat, di posisi kritikal di antara dunia Arab dengan Parsi dan di satu laluan utama eksport minyak dunia. Kedudukan geografi dan sejarah ini menjadikan Bahrain terdedah kepada permainan kuasa pemain serantau dan global, terutama AS, Arab Saudi dan Iran. Majoriti penduduknya, melebihi 60 peratus ialah Muslim Syiah dan diperintah sejak 1783 oleh keluarga al-Khalifah berketurunan Arab, beraliran Sunni dan merupakan sebahagian daripada puak yang membebaskan Bahrain daripada kekuasaan Parsi. Sejurus tercetus kebangkitan di Tunisia, raja Bahrain, Raja Hamad bin Isa al-Khalifah ialah antara pemimpin dunia Arab yang memperlihatkan kebimbangan dan menunjukkan sokongan kepada pemimpin Mesir, Hosni Mubarak. Raja Hamad dilaporkan mengajak Hosni mengadakan satu mesyuarat dunia Arab untuk membincangkan masa depan Asia Barat, untuk menangani sentimen antikerajaan yang tercetus dari Tunisia. Beliau turut memperlihatkan keyakinan terhadap Hosni, mengatakan yang beliau yakin pemimpin itu dapat menguruskan Mesir dan memastikan kestabilannya yang penting kepada “kestabilan semua negara Arab.” Perkembangan terbaharu melibatkan Bahrain kini menunjukkan apa yang dibimbangi Raja Hamad itu menjadi kenyataan. Rakyat Bahrain berhimpun di ibu negara, Manama, memprotes dan menuntut perubahan di negara dikuasai sebuah keluarga itu. Rantau Teluk Parsi, terdiri daripada negara kaya dan ahli Majlis Kerjasama Teluk, GCC, yang paling stabil di dunia Arab kini berdepan satu cabaran besar yang melibatkan kepentingan kuasa-kuasa serantau. Bahrain telah mengalami protes daripada rakyatnya, yang terbaharu sejak tahun lalu menjelang pilihan raya tahun lepas. Peningkatan pertembungan warga Syiah dengan pasukan keselamatan sejak pertengahan tahun lalu turut menyaksikan jumlah tangkapan yang terus meningkat. Walau bagaimanapun, gelombang protes terbaharu ini dilihat sebagai berbeza dan berpotensi mencetuskan perubahan yang lebih besar. Disebabkan intensiti protes kali ini yang telahpun menyebabkan kematian, kuasa-kuasa berkepentingan kini memerhati, malah turut melibatkan diri dalam perkembangan politik di Bahrain. Majoriti Syiah di Bahrain mendakwa mereka dipinggirkan daripada arus utama negara dan pemerintah cuba mengambil langkah mengimbangi bilangan mereka. Kerajaan didakwa mengambil warga asing Muslim Sunni dan diberikan kewarganegaraan segera untuk mengimbangi jumlah warga Syiah, antara tujuan utamanya untuk mengimbangi kuasa undi. Kerajaan turut dilaporkan mengisi pasukan keselamatan dengan Muslim Sunni dari luar, termasuk Yaman, Jordan dan Pakistan. Ini dapat menghalang sebarang sentimen atau simpati anggota keselamatan tersebut terhadap masyarakat Syiah, yang dikatakan diperhatikan dalam protes yang berlaku sejak minggu lalu. Lebih membimbangkan bagi masyarakat Syiah ialah anggota keselamatan dari Baluchistan di Pakistan, satu pusat kumpulan anti-Syiah dan bekas pasukan keselamatan Baath dari Iraq yang diambil ekoran kejatuhan rejim Saddam Hussein. Media turut melaporkan kereta kebal dan anggota tentera dari Arab Saudi dikerahkan ke Bahrain untuk membantu kerajaan menangani protes rakyat. Saudi ialah negara paling berkepentingan untuk memastikan enam negara GCC kekal stabil dan tidak terkesan oleh gelombang protes di dunia Arab pada masa ini. GCC yang dianggotai Arab Saudi, Bahrain, Emiriyah Arab Bersatu, Kuwait, Oman, dan Qatar ialah sebuah blok perdagangan negara kaya rantau Arab yang turut disatukan oleh kepentingan politik. Saudi, negara pemimpin GCC telah menunjukkan sokongan penuh kepada pemerintahan Raja Hamad dan keluarga al-Khalifa. GCC dalam mesyuarat tergempar semalam telahpun menegaskan sokongan penuh kepada pemerintah Bahrain. Satu yang dibimbangi ialah peningkatan pengaruh Iran melalui kumpulan Syiah di Bahrain, yang selepas pilihan raya parlimen terakhir memegang 18 daripada 40 kerusi keseluruhan. Masyarakat Syiah telah dikaitkan dengan Iran, termasuk menjadi agen negara itu di Bahrain dan juga negara Arab Teluk Parsi yang lain. Pada pertengahan 2008, lapan warga Bahrain ditahan di Arab Saudi atas dakwaan menjalankan perisikan untuk Iran, perkembangan yang mencetuskan kebimbangan negara serantau terhadap peningkatan aspirasi Iran. Seorang penganalisis politik Saudi, Dakheel al-Dakheel dilapor berkata,”Negara Teluk tidak boleh menerima perubahan fundamental dan radikal di Bahrain.” Menurutnya, perubahan itu, sekiranya berlaku akan “mewujudkan keadaan kekeliruan politik dan keselamatan di Bahrain yang boleh membuka pintu kepada campur tangan Iran dan pihak lain, yang tidak boleh diterima negara-negara Teluk, terutama Arab Saudi.” Negara jiran, Qatar turut terkait dalam protes ini, apabila dilihat mempengaruhi al-Jazeera dalam bahasa Arab untuk memberi liputan yang tidak sepadan, tidak seperti laporan dan analisis yang disaksikan dalam protes Mesir dan Tunisia. Perkembangan ini menjadikan Bahrain satu petunjuk potensi perubahan di rantau Arab Teluk, dan mendedahkan lagi dengan jelas kepentingan kuasa-kuasa serantau dalam kebangkitan di dunia Arab pada masa ini.
Ghanouci yang cadang PAS terima bukan Islam Subky Latif | SELAMA 22 tahun Rachid Ghanouci menjadi pelarian Tunisia yang berkelana di England. Selepas lebih seminggu Presiden Zaine al Abidene Ben Ali digulingkan oleh tunjuk perasaan rakyat Tunisia, pemimpin gerakan Islam, Annahdah ini pun pulang ke tanahairnya. Beribu-ribu penyokongnya menyambut kepulangannya, antaranya gadis-gadis yang tidak pernah melihat wajahnya, mereka sekadar mendengar namanya. Malah ada yang lahir setelah Syeih Rachid (Rasyid) lari meninggalkan negaranya. Mereka berdahuluan datang ke lapangan terbang untuk menyambutnya dan mereka amat gembira dapat melihat wajah pemimpin itu buat pertama kali. Parti Islam yang dipimpinnya adalah rangkaian gerakan Ikhwanul Muslimun di negara Islam Afrika utara itu. Samalah seperti kebanyakan pemimpin gerakan Islam di negara-negara terpaksa melarikan diri dari buruan pemimpin kerajaan masing-masing. Mana yang tidak sempat melarikan diri akan ditahan, diseksa malah ada yang hilang tidak dengar khabar hingga akhirnya. Rachid Ghanouci terpaksa meninggalkan kaum kerabat, pengikut dan penyokong untuk meneruskan jihad di luar negara. Sama lamanya Rachid berada di England dengan lama pemerintahan kejam Zaine al Abidene di Tunisia. Tuan Rachid tidak sekadar menjadi pemimpin Islam negaranya, tetapi beliau boleh dilihat sebagai seorang pemimpin yang hatinya begitu dekat dengan PAS yang menjadi rangkaian gerakan Islam di Malaysia. Hubungannya dengan pemimpin PAS seperti Al-Marhum Ustaz Fadzil Noor dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang amat rapat. Para pemimpin PAS sering bertemu dengannya bagi bertukar maklumat bagi meneruskan perjuangan dakwah dan politik di peringkat antarabangsa dan di negara masing-masing. Ketika PAS mula memperkenalkan dakwahnya kepada masyarakat bukan Islam, pimpinan PAS yang diketuai oleh Al-Marhum Ustaz Fadzil Noor telah mendapatkan pandangan rakan-rakan gerakan dari negara-negara lain mengenai pendekatan yang wajar dibuat bagi mendekati masyarakat bukan Islam. Satu pertemuan telah diadakan di London dan Rachid Ghanouci adalah antara tokoh yang memberi pandangan positif untuk membawa masyarakat Islam sebagai ahli PAS. Pandangan betapa masyarakat bukan Islam yang menjadi rakyat di Tanah Melayu dan kemudiannya Malaysia perlu diambil kira oleh PAS yang menjadi sebuah parti politik Islam negara ini. Pandangan itu telah dibuat seawal PAS ditubuhkan disebutkan oleh pengasasnya Haji Ahmad Fuad Hassan. Kemudian Prof. Zulkifli Mohamad pernah mencadangkan kepada muktamar parti untuk menerima mayarakat bukan Islam sebagai ahli bersekutu. Prof. Zulkifli dikira telah mendahului zamannya. Cadangan itu dibuat ketika majoriti perwakilan belum merasakan masanya telah sampai. Perbincangan timbul semula apabila PAS cuba memperkenalkan perjuangannya kepada masyarakat bukan Islam sekitar tahun 1985, berikut terbentukkan CCC, parti kumpulan masyarakat Cina yang menyokong PAS. Perbincangan terus dibuat dari sudut politik dan tuntutan syariyah. Hidup semula cadangan menerima mereka sebagai ahli bersekutu. Al-Marhum Ustaz Fadzil suka mengambil langkah yang cermat. Sebelum sebarang langkah dibuat, PAS perlu mendengar pandangan rakan-rakan gerakan Islam di negara-negara lain. Dalam pertemuan di London yang dihadiri sama oleh pemimpin Islam Tunisia itu, rakan-rakan gerakan Islam serata dunia berpandangan betapa pentingnya PAS menyelaraskan perjuangan Islamnya dengan masyarakat majmuk di Malaysia. Tidak dibantah lagi betapa PAS wajar disertai oleh orang bukan Islam. Amat menasabah langkah membuka pintu bagi menerima mereka sebagai ahli bersekutu. Ketika itu Rachid menyatakan pandangannya, mengapa sekadar menerima mereka sebagai ahli bersekutu? Mengapa tidak menjadi ahli penuh? Dari segi politiknya ia adalah positif. Tetapi bagaimana dari segi hukum. Lontaran Rachid itu merumuskan betapa hukumnya harus menerima bukan Islam sebagai anggota penuh PAS. Setiap yang harus boleh dilaksanakan dan boleh tidak dilaksanakan. Para ulama PAS mengambil masa membincangkannya. Langkah pertama membentuk Kelab Penyokong PAS dulu. Setelah melihatnya begitu positif, maka dua tahun lalu PAS mula mengkaji meminda perlembagaannya dan sekarang terbentuklah Dewan Perhimpunan Penyokong PAS yang mengumpulkan ahli PAS dari kalangan bukan Islam dan ada perwakilannya dalam Muktamar PAS. Apapun perkembangan dalam PAS Rachid Ghanouci yang baru pulang dari London ke Tunisia adalah salah seorang yang telah menumbangkan batu besar bagi melengkapkan PAS sebagai gerakan Islam yang merangkumkan masyarakat bukan Islam di dalamnya. Samalah pentingnya dengan pandangan yang diberi oleh Haji Ahmad Fuad dan Prof. Zulkifli Mohamad dulu.
Tanda awal PRU semakin jelas Suhaimi Mokhtar | Pilihanraya umum ke-13 makin hampir.Tanda-tanda kearahnya makin jelas, apabila parti-parti politik kelihatan sedang bersiap sedia mengatur stratiji dan mengemaskini organisasi bagi memenangi hati nurani rakyat terutama para pengundi bagi menentukan untuk menerajui kerajaan selama lima tahun akan datang.
Umno-BN sibuk melakukan baikpuleh setelah mengalami kemerosotan pengaruh dalam pilihanraya lalu yang bermula Mac 2008.Ini diperjelaskan lagi apabila kerajaan mengumumkan pelbagai galakan kepada rakyat untuk memenangi hati mereka supaya mengundi Umno-BN.
Umno-BN juga mendapat galakan dari keputusan-keputusan pilihanraya kecil yang memihak kepada nya dan dengan itu berminat untuk segera mengadakan pilihanraya sebelum pengundi mengubah pendirian untuk menolak parti yang memerintah sejak merdeka hampir 54 tahun lalu.
Penyataan-penyataan politik untuk memujuk rakyat, antaranya yang terbaru mengurangkan kadar tol di Taman Medan dari RM 1.60 kepada RM 1.00.Lebih banyak lagi pengumuman- pengumuman untuk mengula-gulakan rakyat akan dilakukan sebelum pilihanraya ke-13 diadakan.
Semua tindakan dan langkah kerajaan yang diambil mutakhir ini bermotifkan politik termasuk operasi piramid bagi menyelamatkan pelajar-pelajar Malaysia di Mesir yang dilanda revolusi kebangkitan rakyat yang menyaksikan tumbangnya pemerintahan diktator Presiden Hosni Mubarak.
Pengangkutan pulang pelajar Malaysia di Mesir yang diangkut berperingkat-peringkat selesai sebaik sahaja keadaan di Mesir mulai puleh.Kerajaan menangung belanja kepulangan dan kini apabila keadaan mulai puleh pelajar-pelajar ini mahu pulang semula keMesir, tetapi kerajaan tidak lagi mahu menanggung belanja kepulangan mereka.
Pengangkutan membawa pulang pelajar-pelajar ini adalah bertujuan untuk mendapat mileage politik bagi meraih undi dalam pilihanraya tetapi berkemungkinan tindakan ini akan menerima kesan balas yang tidak mengembirakan Umno-BN,kerana pelajar-pelajar ini bukanlah gulungan yang mudah dipergulakan dengan daayah-daayah Umno-BN.
Apabila pelajar-pelajar ini akhirnya terpaksa pulang dengan belanja sendiri pula,setelah mereka digalakkan untuk pulang oleh kerajaan dengan belanja yang ditanggung,sedang sebahagian darinya terpaksa berkorban untuk tidak menghadapi peperekasaan yang dijadualkan ,maka kepulangan mereka lebih menimbulkan kesulitan dari kelegaan.
Beberapa pertimbangan akan dibuat sebelum pilihanraya umum diadakan.Umno-BN kini giat menyelesaikan kemelut politik diperingkat negeri-negeri. Umno menghadapi masaalah hampir di semua negeri-negeri.Percubaan Umno meletakkan kepimpinan di negeri-negeri bgaimanapun tidak banyak menyelesaikan krisis kepimpinan yang wujud dinegeri-negeri.
Pertimbangan lain termasuklah kes perbicaraan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim, keputusan pilihanraya kecil, pemulihan parti-parti komponan BN, semuanya diberi pertimbangan sewajarnya sebelum ketentuan tarikh pilihanraya diputuskan.
Ketika menjelang pilihanraya ,kerajaan Umno-BN selain mengumumkan ‘ hadiah-hadiah’ untuk rakyat dari belanjawan negara sehinggalah kepada peruntukan kepada ahli-ahli dewan rakyat dan sebagainya untuk projek dikawasan masing-masing,Umno-BN akan mengunakan jentera kerajaan dalam pilihanraya untuk merasuah rakyat bagi memilih calun-calun mereka.
Inilah demokrasi berparlimen yang dibangga-banggakan oleh Umno-BN,kononnya berlaku pilihanraya yang adil dan demokratik selama Umno-BN memerintah negara, tetapi hakikatnya pilihanraya yang diadakan bukanlah pilihanraya yang adil dan telus.
Penghakisan demokrasi berlaku setiap kali pilihanraya diadakan yang telah berjalan selama 12 kali dinegara ini.Suruhanjaya Pilihanraya tidak dapat memberi jawapan-jawapan yang menyakinkan setiap masaalah yang ditimbulkan oleh parti-parti politik pembangkang terhadap peraturan –peraturan pilihanraya yang diadakan.
Sewajarnya pilihanraya diadakan secara adil dan telus tanpa ancaman menakut-nakutkan pengundi dengan pelbagai akta yang mengongkong rakyat untuk bebas memilih calun dan parti yang mereka berkenan.
Setelah 12 kali pilihanraya,sepatutnya pengalaman –pengalaman pilihanraya yang telah diperolehi menjadikan demokrasi dinegara ini lebih matang dan sihat, lebih dari beberapa buah negara-negara jiran yang baru sahaja mengamalkan demokrasi dan pilihanraya.
Pilihanraya dibeberapa buah negara jiran adalah lebih adil dan telus berbanding dengan pilihanraya di Malaysia. Ini sangat memalukan, apabila Suruhanjaya Pilihanraya yang diamanahkan untuk menyelia pilihanraya dengan adil tidak mampu untuk menjadi badan bebas sebebas-bebasnya.
Suruhanjaya Pilihanraya kelihatannya dibawah penguasaan dan pengaruh kerajaan walau bagaimana sekali pun percubaan suruhanjaya itu untuk kelihatan bebas. Ini tidak memberi suasana sihat dalam proses demokrasi.
Pilihanraya ke-13 merupakan pilihanraya paling bersejarah dan kritikal dan kerana itu keadilan dan ketelusannya perlu dilihat berlaku. Jika tidak wujud cirri-ciri itu maka konsekuannya sangat besar yang memungkinkan pilihanraya itu dianggap telah menyeleweng dan sebagainya yang nanti akan menimbulkan kesan buruk selepas pilihanraya seperti yang berlaku dibeberapa buah Negara.
Suruhanjaya pilihanraya perlu bertindak bijaksana bagi menentukan pilihanraya yang adil dan telus dan tidak kelihatan memihak kepada parti kerajaan. Inilah cirri-ciri pilihanraya bersih,adil dan telus yang ditagih oleh rakyat.
Penyelewengan pilihanraya akan membawa padah buruk yang lebih besar implikasinya. Beberapa buah negara berada dalam huruhara selepas pilihanraya, apabila berlaku penyelewengan dan masing-masing pihak, parti kerajaan dan pembangkang mengistiharkan kemenangan masing-masing.
Bagi mengelakkan keadaan ini dari berlaku,Suruhanjaya Pilihanraya perlu dari awal lagi melaksanakan pilihanraya bersih yang menepati proses demokrasi tulen. Kredibaliti Suruhanjaya Pilihanraya berada dipersimpangan dan sedang diuji rakyat dalam pilihanraya ke-13.
Pendaftaran 30 ribu Pemuda PAS masih dibuka Hazayani Zakaria | KUALA LUMPUR, 18 Feb: Pendaftaran peserta 30 ribu Pemuda PAS masih dibuka sebelum program bermula pagi esok, kata pengarah himpunan, Khairul Faizi Ahmad Kamil. Beliau memberitahu, pemuda yang ingin menyertai himpunan berkenaan tetapi masih belum mendaftar melalui kawasan masing-masing boleh mendaftar secara terus dengan pemuda pusat mulai hari ini sehingga esok. Menurutnya, setakat pagi ini kira-kira 15,000 pemuda dari seluruh negara sudah mendaftar dan jumlah peserta disasarkan sekurang-kurangnya 20,000 menjelang pagi esok. "Pihak urusetia masih menunggu kehadiran pemuda dari negeri-negeri dan setakat ini Kedah telah menghantar sebanyak 5,000 nama. "Kita terima banyak permintaan daripada pemuda negeri untuk mendaftar terus dengan pemuda pusat, jadi kita akan buka kaunter pendaftaran sehingga pagi esok," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini. Sementara itu, Setiausaha Pemuda Pusat itu juga berkata, persiapan secara keseluruhan sudah hampir seratus-peratus dan pihak urusetia menumpukan persiapan logistik pada hari ini di samping persiapan tempat bagi peserta yang tiba malam ini. "Setakat ini persiapan berjalan lancar secara keseluruhannya cuma hari ini kita lebih tumpu kepada persiapan logistik." "Menjelang petang kita akan tumpukan kepada persiapan tempat kerana dijangkakan ramai peserta yang tiba malam ini," katanya. Himpunan berkenaan akan diadakan di Kompleks Kota Sarang Semut, Kedah bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah malam. Sebelah siangnya diisi dengan siri pembentangan kertas kerja mengenai persiapan pilihan raya umum manakala sebelah malamnya merupakan munajat perdana. Justeru, Khairul Faizi menyeru agar pemuda yang belum mendaftar berbuat demikian untuk menghadiri himpunan ini. "Sangat rugilah kalau pemuda tak hadir dalam himpunan yang memfokuskan kepada gerak kerja pilihan raya ini," katanya. Berikut merupakan tentatif penuh program: 6.30 pagi – 9.00 pagi : Pendaftaran dan sarapan pagi 9.00 pagi : Ucapan Aluan Pengerusi Majlis & Bacaan Ayat Suci Al Qur’an Nyanyian Lagu Negaraku, Lagu PAS dan AMAL. 9.10 pagi : Ucapan Aluan Ketua DPPN Kedah 9.20 pagi : Ucapan Aluan Pengarah Himpunan 9.30 pagi : Ucapan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat 9.45 pagi : Ucapan Perasmian Oleh : YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak – Menteri Besar Kedah. 10.45 pagi : Pidato Khas : Motivasi Pilihanraya Pemuda YB Tuan Haji Salahuddin Ayub – Naib Presiden PAS Ybhg Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man – Naib Presiden PAS YBhg Dato’ Abu Bakar Chik – AJK PAS Pusat YBHg Hj Mohamad Sabu – AJK PAS Pusat 1.30 ptg : Makan tengahari / Solat Zuhur 2.30 ptg : Taklimat dan arahan gerak kerja pilihanraya oleh Ust Firdaus Jaafar Program Kesenian Pemuda 4.00 ptg : Ucapan Penutup Oleh : Ustaz Nasharuddin Mat Isa – Timbalan Presiden PAS 5.15 ptg : Rehat 7.30 malam : Solat Hajat dan Munajat Perdana (diimamkan oleh YAB Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, Mursyidul Am PAS) 9.30 malam : Ceramah Umum: 1. YAB Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat – Mursyidul Am PAS. 2. YB Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang –Presiden PAS. 3. YB Ustaz Nasharuddin Mat Isa – Timbalan Presiden PAS 4. YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak – Menteri Besar Kedah 5. Ustaz Nasrudin Hassan – Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat. 12.00 malam : Bersurai
Kompaun lalu lintas bakal tumbangkan BN Harakahdaily | KUALA LUMPUR, 18 Feb: Parti Rakyat Malaysia (PRM) berpendapat kadar kompaun yang bakal dikuatkuasakan akan menjadi salah satu sebab kekalahan Barisan Nasional pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 nanti. Pengerusi PRM Wilayah Persekutuan, Zulkarnain Abdullah berkata, BN akan tumbang jika kompaun itu tidak dikaji semula demi rakyat yang kini menghadapi masalah ekonomi yang sangat teruk. Katanya, kerajaan Barisan Nasional di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak mengaku kononnya beliau prihatin terhadap rakyat, tetapi menaikkan kadar kompaun di waktu ekonomi negara sangat teruk. PRM, katanya berpendapat bahawa kerajaan Barisan Nasional perlu lebih mengutamakan langkah-langkah keselamatan untuk menurunkan kadar jenayah yang kini sangat membimbangkan di negara ini berbanding dengan kompaun lalu lintas yang hendak diselaraskan pada 1 Mac 2011 nanti. “Tidakkah ini bertentangan dengan apa yang digembar-gemburkan?” tanya beliau dalam kenyataan kepada Harakahdaily.
Bukan Melayu tergugat, tapi ketuanan Umno terhakis Hazayani Zakaria | KUALA LUMPUR, 18 Feb: Kebimbangan Umno kononnya hak dan keistimewaan orang Melayu semakin terhakis di bawah kuasa Pakatan Rakyat adalah tidak berasas sama sekali sebaliknya sengaja diada-adakan untuk menakut-nakutkan rakyat agar tidak menyokong pakatan itu. Sedangkan PAS dalam Pakatan Rakyat konsisten untuk mempertahankan hak dan keistimewaan orang Melayu seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan. Exco Dewan Pemuda PAS Pusat, Abdullah Karim berkata, golongan muda tidak harus terpengaruh dengan ketakutan yang ditimbulkan itu kerana perlembagaan bukanlah perkara yang boleh dipinda dengan sewenang-wenangnya. "Secara realitinya, walaupun perlembagaan itu merupakan dokumen yang boleh dipinda tetapi kita semua tahu tidak cukup untuk dipinda kalau sekadar mendapat dua pertiga. “Prosesnya cukup ketat, kena dapatkan kebenaran dari Majlis Raja-Raja sebagai contoh. Jadi apa yang nak dibimbangkan? “Saya pernah sebut dalam PAS, kalau katakan DAP menang majoriti dalam Dewan Rakyat, mereka pun tak mampu buat kalau mereka kata nak pinda perlembagaan berkaitan perkara ini,” kata beliau dalam forum Ketuanan Melayu: Umno Rasis atau PR Retorik di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor, dekat sini malam tadi. Beliau berkata, Ketuanan Melayu kembali dicanangkan Umno selepas pilihan raya umum 2008 yang menyaksikan kemerosotan sokongan rakyat terhadap Umno BN. Kenapa bising-bising (mengenai ketuanan Melayu) sekarang ini? Timbul hak Melayu makin terhakis, Raja Melayu semakin dipinggirkan? “Sebabnya senang sahaja. Bukan sebab hak orang Melayu digugat tapi yang menjadi masalah besar ialah hilangnya ketuanan Umno,” katanya. Menurutnya, tanpa melaungkan Ketuanan Melayu, PAS konsisten menjaga perkara yang termaktub dalam perlembagaan ini malah menjadikan perkara tersebut sebagai agenda dalam Pakatan Rakyat. “Sikap PAS sejak puluhan tahun dulu sehingga sekarang, kita konsisten mempertahankan keistimewaan orang Melayu yang wujud dalam perlembagaan. “Sebab itu PAS sanggup bersama dalam Pakatan Rakyat, kita tidak kompromi soal tersebut dan perjanjian dibuat bersama Pakatan Rakyat sebelum konvensyen pertama Pakatan Rakyat pada 2009,” katanya. Sehubungan itu, golongan muda tegasnya tidak perlu terpengaruh dengan Ketuanan Melayu yang menjadi agenda politik sempit Umno. “Momokan ini bagi orang muda yang semakin celik maklumat, kita akan faham bahawa segala kekalutan yang timbul ini semata-mata bersifat politik,” katanya. Sementara itu, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, Ketuanan Melayu hanya mementingkan kuasa politik dominan Melayu tanpa menyedari bahawa kekuatan Melayu yang sebenar ialah jati diri. “Kuasa politik dominan orang Melayu dikatakan perlu untuk kononnya menjamin kedudukan orang Melayu. “Kalau tak ada kuasa politik, hak dan kedudukan orang Melayu akan terjejas. Sebab itu Mac 2008 merupakan titik tolak yang sangat besar kerana dilihat berlaku hakisan dominan politik,” katanya. Tambahnya, Melayu terus dilemahkan dengan kononnya terus memerlukan ‘tongkat’ dari kerajaan untuk maju dalam ekonomi selain diajar untuk mengambil hak bangsa lain jika ingin maju dalam ekonomi. “Teras yang terus dipasakkan dalam pemikiran Melayu ialah orang Melayu terus perlukan tongkat untuk maju dalam ekonomi kerana tanpa bantuan berterusan dari kerajaan Melayu akan tenggelam. “Untuk orang Melayu mendapat kedudukan dalam bidang ekonomi, kita perlu ambil bahagian orang lain. Itu yang menjadi teras Ketuanan Melayu yang perlu diteliti kembali,” katanya. Ujarnya, perbincangan mengenai Melayu seringkali disensitifkan tanpa merujuk sejarah secara keseluruhan menyebabkan timbulnya sifat tidak senang Melayu terhadap kaum lain. “Perbahasan tentang Melayu ini terlalu emosi dan diherotkan perbincangannya. Contohnya bila kita bercakap tentang ekonomi, kita tidak adil apabila menidakkan peranan kaum lain dalam membina ekonomi negara. “Kalau baca sejarah negeri Johor, berapa ramai yang tahu bahawa dalam tahun 1850-an dan 1860-an lebih ramai orang Cina daripada orang Melayu di sana. “Kita kena baca sejarah secara keseluruhan, jangan tinggalkan idea tokoh pimpinan dahulu yang banyak beri kesan kepada negara. mereka bukan Umno, bukan Perkasa tapi orang seperti Zaaba, mereka bawa kesedaran kepada rakyat bahawa orang Melayu tertekan dan dimangsakan golongan elit pemerintah dari dulu lagi,” katanya. Turut menjadi panel pada forum yang dihadiri majoriti golongan muda itu ialah Naib Presiden Perkasa, Dr. Asyraf Wajdi dan blogger Umno Reform, Anuar Mohd Nor. | | |
| | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan