Bahagian 1
KEHIDUPAN BAGINDA SEBELUM DIUTUSKAN SEBAGAI RASUL
A) Peristiwa-peristiwa Sejarah
Riwayat-riwayat yang sabit berkenaan kehidupan Baginda s.a.w. sebelum diutuskan
sebagai Rasul menunjukkan kepada kita beberapa hakikat berikut:
1.Bani Hasyim merupakan keturunan Quraisy yang paling mulia. Manakala Quraisy pula adalah kabilah 'Arab yang paling mulia dan berketurunan bersih. Mereka juga memiliki kedudukan yang paling tinggi di kalangan bangsa Arab. Diriwayatkan daripada al-Abbas r.a., daripada Rasulullah s.a.w., Baginda bersabda:
“Sesungguhnya Allah mencipta makhluk ini, lalu Dia menciptakan aku daripada sebaik-baik makhluk dan daripada sebaik-baik kelompok mereka (manusia). Dia juga menjadikan aku daripada sebaik-baik kumpulan di antara dua kumpulan (Arab dan bukan Arab). Kemudian Dia meneliti pemilihan kabilah-kabilah secara rapi, maka Dia menciptakan aku daripada sebaik-baik kabilah (Quraisy). Kemudian Dia meneliti pemilihan keluarga- keluarga secara rapi, maka Dia menciptakan aku daripada sebaik-baik keluarga (Bani Hasyim). Sementara aku adalah sebaik-baik jiwa (sehingga dipilih menjadi rasul dan penutup segala nabi) dan sebaik-baik keluarga di kalangan mereka. (asal-usul keturunan ibu bapa dan nenek moyang Baginda tiada yang lahir daripada perzinaan, bahkan melalui pernikahan yang sah)”. (Riwayat at-Tirmizi dengan sanad yang sahih).
Oleh kerana keturunan Baginda s.a.w. adalah mulia di kalangan Quraisy, kita tidak temui isu keturunan menjadi bahan celaan mereka terhadap Nabi s.a.w.. Ini disebabkan kemuliaan keturunan Baginda cukup jelas kepada mereka. Quraisy telah mencela Baginda dengan banyak isu yang direka-reka tetapi bukan dalam isu keturunan.
2.Baginda membesar sebagai anak yatim. Bapa Baginda, Abdullah telah meninggal dunia ketika ibu Baginda baru mengandungkan Baginda dua bulan. Apabila Baginda berusia 6 tahun, ibu Baginda, Aminah pula meninggal dunia. Oleh itu, semasa kecil Baginda s.a.w. telah merasai pahit maung tidak mendapat belaian kasih sayang ibu bapa. Selepas itu, Baginda telah dipelihara oleh datuk Baginda, Abdul Muttolib. Ketika berumur 8 tahun, datuk Baginda pula meninggal dunia. Dengan itu Baginda selanjutnya dipelihara oleh bapa saudara Baginda, Abu Tolib sehingga Baginda besar dan dewasa. Keyatiman Baginda ini telah disebut oleh al-Quran al-Karim dengan firman Allah Taala:
BERMAKSUD....
Bukankah Dia mendapati engkau yatim piatu, lain Dia memberikan
perlindungan? (Ad-Dhuha: 6)
3.Rasulullah s.a.w. menghabiskan empat tahun pertama zaman kanak-kanak di padang pasir, di perkampungan Bani Saad. Oleh itu, Baginda membesar dengan tubuh yang kuat, jasmani yang sejahtera, lidah yang fasih, jiwa yang berani dan mampu menunggang kuda dengan baik sekalipun masih kecil usianya. Bakat-bakat Baginda terasah dalam kemurnian dan keheningan padang pasir, dibawah kilauan pancaran matahari dan udara yang bersih.
4.Keunggulan Baginda telah diketahui sejak kecil lagi. Tampak pada roman mukanya tanda-tanda kecerdikan yang menimbulkan rasa sayang kepada sesiapa yang melihat Baginda. Apabila Rasul s.a.w. datang ke majlis datuknya semasa zaman kanak-kanak
Baginda duduk di atas tilam datuknya. Sedangkan jika datuknya duduk di atas tilam itu, tiada seorangpun anak-anaknya (bapa saudara Rasul) akan duduk di atasnya. Oleh itu, bapa-bapa saudara Baginda cuba menariknya daripada tilam tersebut. Lantas Abdul Muttolib berkata: Biarkan cucuku ini. Demi Allah dia memiliki keistimewaan.
5.Pada awal remaja, Baginda s.a.w. mengembala kambing untuk penduduk Makkah dengan bayaran upah beberapa qirat (1/24 dinar). Telah sabit daripada Baginda s.a.w., bahawa Baginda bersabda:
BERMAKSUD...
Semua nabi pernah mengembala kambing. Mereka bertanya: Kamu juga
wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Aku juga begitu.
Dalam riwayat lain, Baginda bersabda:
َ
BERMAKSUD
Semua Nabi yang diutuskan Allah pernah mengembala kambing. Maka sahabat Baginda bertanya kepadanya: Kamu juga wahai Rasulullah? Lantas Baginda tnenjawab: Aku juga begitu. Aku pernah mengembala kambing untuk penduduk Makkah dengan upah beberapa qirat.
Kemudian, apabila umur Baginda mencapai 25 tahun, Baginda berniaga untuk Khadijah binti Khuwailid. Baginda berniaga bermodalkan harta Khadijah dengan mendapat bayaran upah.
6.Baginda s.a.w. tidak menyertai rakan-rakan sebayanya di kalangan remaja Makkah dalam bersukaria dan berfoya-foya. Allah telah memelihara Baginda daripada terlibat dalam gejala tersebut. Kitab-kitab sirah menceritakan dengan panjang lebar, semasa usia remajanya, Baginda terdengar suara nyanyian daripada salah sebuah rumah di Makkah sempena majlis perkahwinan. Baginda teringin menyaksikannya. Tetapi Allah menjadikan Baginda tertidur. Baginda hanya terjaga setelah matahari panas terik. Baginda juga tidak terlibat bersama kaumnya menyembah berhala, makan sembelihan untuk berhala, minum arak dan bermain judi. Baginda juga tidak pernah bercakap celupar dan berkata kesat.
7.Sejak Baginda mula mumayyiz, Baginda dikenali mempunyai akal yang matang dan pandangan yang bernas. Peristiwa perletakan Hajarul Aswad ke tempatnya di Kaabah menjadi bukti yang jelas terhadap perkara ini. Kaabah telah dilanda banjir menyebabkan dindingnya retak. Oleh itu, penduduk Makkah membuat keputusan meruntuhkannya dan memperbaharui binaannya. Mereka melaksanakan keputusan itu. Namun, apabila pembinaan sampai ke peringkat meletak Hajarul Aswad ke tempat asalnya, mereka bertengkar tentang siapakah yang akan mendapat penghormatan untuk meletak Hajarul Aswad ke tempatnya. Setiap kabilah ingin mendapat penghormatan itu. Pertelingkahan bertambah hebat sehingga mereka saling mengancam untuk berperang. Kemudiannya mereka bersetuju untuk merujuk kepada orang pertama yang memasuki pintu masuk Bani Syaibah (salah satu pintu Masjidil Haram pent) sebagai hakim.
Sejurus kemudian, orang pertama yang memasuki masjid melalui pintu itu ialah Rasulullah s.a.w.. Apabila mereka melihat Baginda, mereka berkata: Ini al-Amin (gelaran kepada Rasulullah s.a.w.). Kami rela dengan hukumannya. Apabila Baginda diberitahu tentang pertelingkahan tersebut, Baginda menyelesaikan masalah itu dengan penyelesaian yang dipersetujui oleh semua pihak yang bertelingkah. Baginda membentangkan kain selendangnya, kemudian mengambil Hajarul Aswad dan diletakkan ke atas kain itu. Baginda
kemudiannya menyuruh setiap kabilah niemegang hujung selendang. Apabila mereka mengangkatnya dan Hajarul Aswad itu tiba ke tempat letaknya, Baginda mengambil dan meletakkannya ke tempatnya dengan tangan Baginda. Mereka semua berpuashati. Allah telah mengelakkan daripada berlaku pertumpahan darah orang-orang Arab melalui kecerdikan dan kebijaksanaan akal Baginda sehingga ke satu tempoh yang hanya diketahui oleh Allah.
8.Semasa remaja, Baginda s.a.w. dikenali sebagai seorang yang jujur dan amanah di kalangan kaumnya, Baginda terkenal dengan hubungan baik, menepati janji, perjalanan hidup mengikut landasan yang lurus dan reputasi baik. Ini menarik minat Khadijah untuk memberi tawaran kepada Baginda agar memperniagakan harta dagangannya melalui sebuah kafilah yang pergi ke kota Busra setiap tahun. Khadijah telah menyerahkan harta dagangan kepada Baginda, sekali ganda lebih banyak berbanding yang diberikan kepada lelaki daripada kaumnya sendiri. Apabila Baginda pulang ke Makkah, hamba Khadijah, Maisarah telah menceritakan kepadanya sikap amanah dan ikhlas Baginda. Khadijah juga melihat keuntungan banyak yang diperolehi dalam perniagaan tersebut. Kesemua itu mendorong beliau untuk menggandakan upah Baginda daripada yang telah dijanjikan. Perkara ini juga menarik minat Khadijah untuk melamar Baginda. Baginda telah menerima lamaran Khadijah sedangkan Baginda 15 tahun lebih muda daripadanya. Kata-kata Khadijah merupakan perakuan terbaik terhadap kebaikan akhlak Baginda sebelum kenabian. Kata-kata ini beliau ungkapkan ketika menenangkan Baginda yang pulang dalam keadaan menggeletar ketakutan setelah didatangi wahyu di Gua Hira: "Tidak sekali-kali. Demi Allah, Allah tidak akan sekali- kali menghina kamu. Kamu menghubungkan silaturrahim, membela pihak yang lemah, memberi pendapatan kepada yang tidak berharta, memuliakan tetamu dan menolong mereka yang berhak."
9.Baginda bermusafir keluar dari Makkah sebanyak dua kali. Pertama, bersama bapa saudara Baginda, Abu Tolib ketika berusia 12 tahun. Kedua, ketika berusia 25 tahun, sebagai peniaga kepada harta dagangan Khadijah. Kedua-dua destinasi perjalanan ini ialah kota Busra di Syam. Dalam kedua-dua perjalanan ini, Baginda mendengar perbualan para peniaga, melihat kesan-kesan negara yang dilaluinya, juga adat-adat yang diamalkan oleh penduduknya.
10.Beberapa tahun sebelum diutuskan sebagai Nabi, Allah telah menimbulkan rasa cinta kepada Baginda s.a.w., untuk pergi ke Gua Hira (sebuah bukit yang berdekatan dengan Makkah dan terletak di barat laut Makkah). Baginda berkhalwah di dalamnya selama sebulan (iaitu dilakukan dalam bulan Ramadhan. pent.) kerana memikirkan tanda-tanda kebesaran Allah dan kehebatan kekuasaan-Nya. Perkara ini berterusan sehingga datang wahyu dan turunnya al-Quran al-Karim kepada Baginda.
B) Pengajaran dan Pedoman
Daripada kisah-kisah di atas, pengkaji akan mendapati beberapa pengajaran dan kesimpulan
seperti berikut:
1.Sekiranya pendakwah kepada Allah atau pengislah berada di kedudukan yang mulia
di kalangan masyarakat, orang ramai akan lebih tertarik untuk mendengar seruannya.
Menjadi kebiasaan, masyarakat akan memperlekehkan para pengislah dan pendakwah sekiranya mereka berasal daripada latar belakang yang tidak dikenali atau keturunan yang hina. Apabila pendakwah yang menyeru masyarakat merupakan orang yang berketurunan mulia atau mempunyai kedudukan, mereka tidak mampu mentohmah pendakwah tersebut. Mereka hanya mampu mereka-reka fitnah bagi melepaskan diri daripada mendengar dakwah atau kata-katanya. Oleh kerana itu, setelah Rasul s.a.w. mengirimkan surat kepada Hercules (Maharaja Rom) mengajak beliau dan kaumnya kepada Islam, soalan pertama yang ditanyakan oleh Hercules kepada Abu Suffian ialah: "Bagaimanakah keturunan Muhammad dalam masyarakatmu?" Abu Suffian menjawab, (ketika itu beliau masih lagi musyrik): "Dia daripada keturunan kami yang paling mulia." Apabila Hercules selesai bertanya dan mendengar jawapan Abu Suffian tentang diri Baginda, Hercules menerangkan rahsia soalan- soalan yang dikemukakannya. Hercules berkata kepada Abu Suffian: "Aku tanyakan kepadamu, bagaimanakah keturunannya? Kamu mendakwa bahawa dia daripada keturunan kamu yang paling mulia. Demikianlah, Allah hanya memilih nabi daripada golongan yang mulia dalam kaumnya dan mempunyai keturunan yang paling baik." Benar, Islam tidak meletak apa-apa nilai kepada kemuliaan keturunan dalam menilai amalan seseorang. Namun, seseorang menjadi lebih mulia, berkedudukan dan mudah menempa kejayaan jika dia berketurunan dan berkeperibadian mulia. Sebagaimana dalam sebuah hadis sahih disebut:
BERMAKSUD...
Mereka yang terpilih semasa jahiliah adalah juga mereka yang terpilih
semasa Islam sekiranya mereka memahami.
2.Ketabahan pendakwah menanggung keperitan sebagai anak yatim atau kesusahan hidup semasa kecil, menjadikan beliau lebih sensitif dengan nilai-nilai kemanusiaan yang mulia. Dia menjadi lebih belas simpati kepada anak yatira, orang miskin dan mereka yang diseksa. la juga menjadikan beliau berusaha untuk berlaku adil, melakukan kebajikan dan mengasihi golongan ini. Setiap pendakwah perlu kepada aset peri kemanusiaan yang mulia untuk membolehkan beliau merasai kesengsaraan orangyang lemah dan susah. Tiada yang boleh membekalkan perasaan kemanusiaan ini kepadanya kecuali beliau sendiri mengalami kesulitan yang dirasai oleh golongan yang lemah seperti anak-anak yatim, para fakir dan miskin.
3.Pendakwah yang hidup dalam suasana yang lebih hampir kepada fitrah semulajadi dan jauh daripada kehidupan kompleks, kemurnian fikiran, kekuatan akal, tubuh badan dan jiwa juga kesejahteraan rasional dan pemikiran akan mudah dibentuk. Oleh keranu itu, Allah tidak memilih orang Arab untuk melaksanakan risalah Islam secara kebetulan atau tanpa tujuan. Bahkan kerana mereka lebih berjiwa murni, berpemikiran sejahtera dan berakhlak mantap. Mereka lebih cekal menanggung kesukaran perang di jalan Allah dan menyebarkan risalah-Nya ke seluruh ceruk dunia jika dibandingkan dengan bangsa bertamadun yang berjiran dengan mereka.
4.Hanya orang yang cerdik dan cerdas layak memegang tampuk dakwah dan kepimpinannnya. Orang yang bodoh dan sederhana pandai tidak layak menyandang kepimpinan gagasan, pengislahan mahupun kerohanian. Bahkan antara peraturan hidup
mereka yang bodoh, berpemikiran bercelaru dan pelik, tidak layak memimpin mana-mana bidang kehidupan. Sekiranya secara kebetulan atau situasi yang ada memberi peluang kepada mereka untuk memegang pusat kepimpinan, dia akan jatuh menjunam. Masyarakat akan memecatnya setelah mendapati tindak tanduknya menunjukkan kebodohan, kejanggalan dan pemikirannya yang bercelaru.
5.Dalam urusan sara hidup, seseorang pendakwah perlu bergantung kepada usaha peribadinya dan sumber pencarian yang mulia. Dia tidak mengemis, merendah harga diri atau hina.
Pendakwah yang benar dan mulia tidak rela hidup dengan hasil sedekah dan
pemberian orang.
Adakah mereka masih lagi mempunyai harga diri setelah mereka sendiri bertindak menjatuhkan maruah diri dengan sibuk meminta dan mengemis, walaupun bukan secara terang-terangan?! Apabila kita temui ada yang mendakwa dirinya berdakwah dan memberi tunjuk ajar, namun dalam masa yang sama sibuk mengaut harta orang ramai dengan bermacam-macam helah, sebenarnya dia menghina diri sendiri. Bagaimana pula kaum dan jiran memandangnya?! Sesiapa yang merelakan dirinya hina, bagaimana dia mampu mengajak kepada kemuliaan akhlak, berdiri teguh menghadapi thaghut dan pembuat fasad, memerangi kejahatan dan kerosakan, serta membangkitkan roh kemuliaan, harga diri dan istiqamah dalam diri umat?!
6.Kehidupan pendakwah yang lurus semasa remaja dan perjalanan hidup yang baik lebih menjamin kejayaan beliau dalam dakwah kepada Allah, pengislahan akhlak dan memerangi mungkar. Ini kerana, dia tidak akan berhadapan dengan orang yang mencemuh keperibadiannya ketika dia masih belum berkecimpung dalam dakwah. Ramai yang kita temui melakukan dakwah islah, khususnya pengislahan akhlak; faktor terbesar orang ramai menolak mereka ialah komen terhadap latar belakang hidup mereka yang tercemar dan akhlak mereka yang menyeleweng. Bahkan rekod masa lampau yang buruk menimbulkan keraguan terhadap kejujuran pendakwah seperti mereka. Mereka ditohmah berselindung di sebalik dakwah islah untuk mencapai sesuatu tujuan. Mereka juga dituduh hanya memulakan seruan pengislahan setelah merasa puas dengan kelazatan hidup dan syahwat. Mereka dianggap telah berada dalam kondisi atau usia yang tiada harapan lagi untuk mengejar kebendaan, harta, kemasyhuran atau kemegahan. Sementara itu, pendakwah yang hidup di atas landasan yang betul semasa remajanya akan sentiasa mengangkat kepala (tidak boleh diperendah-rendahkan) dengan dahi yang berseri-seri. Musuh-musuh pengislahan tidak menemui jalan untuk mencemuh masa lalunya yang terdekat mahupun yang lampau. Mereka tidak mampu mengeksploitasi sejarah lampau yang terpesong untuk memburukkan namanya atau mengajak orang ramai memperlekehkannya. Betul, Allah menerima taubat orang yang bertaubat dan kembali kepada-Nya dengan jujur dan ikhlas. Allah menghapuskan kejahatan yang lalu dengan kebaikan beliau yang kini. Akan tetapi, perkara ini tidak sama dengan pendakwah yang menunggu-nunggu kejayaan dakwahnya, disebabkan perjalanan hidupnya yang sentiasa berada di atas landasan yang lurus dan reputasinya yang baik.
7.Pengalaman pendakwah berkelana, bergaul dengan orang ramai, memahami adat, situasi dan masalah mereka, memberi kesan besar kepada kejayaan dakwahnya. Pendakwah yang berinteraksi dengan orang ramai hanya melalui buku dan esei tanpa bergaul dengan mereka yang mempunyai berbagai aliran, adalah golongan yang gagal dalam dakwah islah. Orang ramai tidak akan mendengar kata-kata mereka. Seruan mereka tidak akan dapat diterima oleh akal, kerana orang ramai melilihat mereka jahil tentang kondisi dan permasalahan masyarakat. Sesiapa yang mahu mengislah golongan beragama, dia perlu hidup bersama mereka di masjid, di majlis dan dalam masyarakat mereka. Sesiapa yang ingin
mengislah golongan buruh dan peladang, dia mesti hidup dengan mereka di kampung dan kilang. Makan bersama di rumah mereka dan berbual dengan mereka dalam persekitaran masyarakat mereka. Sesiapa yang ingin mengislah urus niaga yang berlaku dalam masyarakat, dia patut bergaul dengan mereka di pasar, gedung perniagaan, kilang, kelab dan majlis mereka. Sesiapa yang berhasrat mengislah keadaan politik, dia hendaklah bercampur dengan ahli-ahli politik, mengenali organisasi mereka, mendengar ucapan mereka, membaca perjalanan program dan parti mereka. Dia juga perlu mengenal pasti persekitaran mereka tinggal, latar belakang pengetahuan yang mereka jadikan sumber dan hala tuju mereka. Agar dia tahu bagaimana bercakap dengan mereka tentang sesuatu perkara dan perkara tersebut tidak menyebabkan mereka menjauhkan diri. Lantaran itu, dia dapat mengetahui bagaimana melakukan pengislahan terhadap mereka melalui strategi yang tidak mendorong mereka memeranginya disebabkan rasa benci dan beremosi. Itulah pengalaman hidup dan pengetahuan berkaitan kemanusiaan yang mesti dimiliki oleh pendakwah. Ini membolehkannya merealisasikan firman Allah Taala:
BERMAKSUD.....
Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan
dan nasihat pengajaran yang baik. (An-Nahl: 125)
Alangkah indahnya kata-kata yang ma'thur:
BERMAKSUD...
"Hendaklah kamu berucap kepada manusia mengikut tahap kemampuan akal
mereka. Adakah kamu mahu Allah dan Rasul-Nya didustakan?"
8.Dari masa ke semasa, pendakwah kepada Allah mestilah mempunyai waktu untuk dia bersendiri. Dalam tempoh itu, rohnya berhubung dengan Allah Jalla Sya'nuh. Jiwanya dibersihkan daripada kotoran akhlak tercela dan kehidupan kacau bilau di sekelilingnya. Bersendiri seumpama ini akan mengajak pendakwah memuhasabah diri, andainya dia cuai melakukan kebaikan, tergelincir dari landasan yang dituju dan menjauhi jalan hikmah. Boleh jadi dia melakukan kesilapan dalam cara, manhaj dan jalan, atau dia tenggelam bersama orang ramai dalam perdebatan dan perbincangan. Sehingga dia alpa daripada zikrullah, bermesra dengan-Nya dan lupa mengingati akhirat sama ada syurga mahupun neraka. Perdebatan tersebut menyebabkannya lupa tentang kesengsaraan dan kesakitan mati. Oleh kerana itu, tahajjud dan qiamullail menjadi fardhu bagi Nabi s.a.w. dan hanya sunat kepada orang lain. Orang yang sepatut mengambil berat amalan sunat ini ialah para pendakwah ke jalan Allah, syariat dan syurga-Nya.Khulwah (bersendirian), tahajjud dan qiamullail di penghujung malam mempunyai kelazatan yang tidak diketahui kecuali mereka yang Allah muliakan melalui amalan-amalan tersebut. Ibrahim bin Adham rahimahullah berkata seketika selepas bertahajjud dan beribadat: "Kelazatan yang kami kecapi jika diketahui oleh raja-raja, pasti mereka akan memerangi kami demi memperolehinya."
Cukuplah untuk pedoman kita, firman Allah Tabaraka wa Taala yang ditujukan
kepada Baginda s.a.w.
BERMAKSUD.....
Wahai orang yang berselimut! Bangunlah sembahyang Tahajjud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat). Iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit dari separuh itu. Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya; dan bacalah al-Quran dengan "Tartil". (Sayugialah engkau dan pengikut-pengikutmu membiasakan diri masing- masing dengan ibadat yang berat kepada hawa nafsu, kerana) sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu (Al-Quran yang mengandungi perintah-perintah) yang berat (kepada orang-orang yang tidak bersedia menyempurnakannya). Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa), dan lebih tetap betul bacaannya. (Al-Muzzammil: 1- 6)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan