Rabu, 16 Februari 2011

BILA KITA BERFIKIR KITA BOLEH MENGUBAH SESUATU....KITA BOLEH BERUSAHA...ALLAHLAH PENENTU...JANGAN BURUK SANGKA PADA ISLAM..ROSAK AKIDAH ..MUSNAH IMAN.

Ikhwan bakal tubuh parti



TAK PUAS HATI...kakitangan awam Mesir memprotes bayaran gaji rendah   di Kaherah, semalam.
TAK PUAS HATI...kakitangan awam Mesir memprotes bayaran gaji rendah di Kaherah, semalam.

KAHERAH: Ikhwanul Muslimin Mesir berkata, mereka akan menubuhkan parti politik di negara itu selepas Hosni Mubarak yang mengharamkan kumpulan itu disingkirkan.

Ahli Biro Politik pertubuhan itu, Mohammed Mursi, berkata Ikhwanul Muslimin yakin dalam suasana negara itu kini, mereka akan dibenarkan menubuhkan parti politik.


“Halangan ke atas Ikhwanul Muslimin mencapai matlamatnya sebelum ini adalah undang-undang negara yang mewajibkan penubuhan parti politik mendapat persetujuan Parti Demokratik Nasional (pimpinan Hosni),” katanya kepada media, semalam.

Menjadi kumpulan pembangkang paling berpengaruh dan tersusun di Mesir, Ikhwanul Muslimin meyertai pilihan raya atas kapasiti calon bebas.


Pada 2005, mereka menggunakan slogan Islam Adalah Penyelesaian dan berjaya memenangi 20 peratus kerusi di Parlimen.


Bagaimanapun, Ikhwanul Muslimin memboikot pilihan raya umum terbaru tahun lalu kerana rejim Hosni terbabit dalam penyelewengan bagi memastikan mereka kekal berkuasa.

Walaupun menyertai protes besar-besaran baru-baru ini, Ikhwanul Muslimin menyatakan, mereka tidak akan menyertai pilihan raya presiden bagi menggantikan Hosni.


Pada masa sama, mereka memang dicurigai Barat dan kumpulan sekular kerana dibimbangi melaksanakan undang-undang Islam jika berkuasa nanti.

Bagaimanapun, Ikhwanul Muslimin menafikan dakwaan itu dan bertegas menyokong tuntutan demokrasi menyeluruh di Mesir. - AFP

NEGARA

Bahaya fahaman agama ekstrem


NAJIB berbual dengan sebahagian pemimpin agama pada majlis sambutan Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia di Putrajaya semalam.


PUTRAJAYA - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, perbezaan agama bukan menjadi punca ketegangan di sesebuah negara sebaliknya ia disebabkan oleh kefahaman agama yang ekstrem.

Perdana Menteri berkata, jika fahaman itu tidak ditangani, tidak kira apa jua agama, ia akan membawa kesan buruk kepada sesebuah negara dan manusia sejagat.

"Saya sedar ada juga ancaman dalam proses ini (mewujudkan negara yang aman), (wujud) fahaman dan pemikiran yang berbentuk ekstrem.

"Pemikiran ekstrem inilah yang mendorong saya untuk mencadangkan pembentukan Pergerakan Kesederhanaan Sedunia pada Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tahun lalu.

"Saya percaya inilah saja jalan ke hadapan yang boleh menyelamatkan dunia bukan sahaja negara kita tetapi ketegangan di banyak tempat," katanya pada majlis bersama pemimpin-pemimpin agama sempena sambutan Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini semalam.


Facebook senjata berbahaya

KUALA LUMPUR - Laman sosial Facebook merupakan ruangan perkongsian perasaan sesama individu yang boleh menjadi senjata paling berbahaya dan kejam dalam peradaban baru manusia.


Hosni pengsan di Sharm el-Sheikh


GAMBAR menunjukkan kawasan Hotel Maritim Jollie Ville di Sharm el-Sheikh, Mesir. HOSNI Mubarak (gambar kecil)


SHARM EL SHEIKH - Bekas presiden Mesir Hosni Mubarak kini 'sakit tenat' dan beliau pengsan sekurang-kurangnya sekali ketika berada di pusat percutian di Sharm el-Sheikh di tepi Laut Merah selepas meletakkan jawatan pada Jumaat lalu, lapor beberapa media semalam.

Beberapa penduduk tempatan berkata, mereka diberitahu oleh pengawal-pengawal Hosni bahawa beliau kini terlantar di katil dan memerlukan bantuan untuk berjalan.

"Hosni sakit tenat, mereka berkata, beliau menghidap barah," seorang penduduk tempatan yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmed.

Hosni kini tinggal di sebuah vila di pekarangan Hotel Maritim Jollie Ville milik seorang ahli perniagaan Mesir, Hussein Salem yang merupakan antara kenalan rapat bekas presiden berkenaan.

Beberapa buah ambulans dan doktor dilihat berada di pekarangan hotel berkenaan dan beberapa pengawal keselamatan berkata, beliau tidak sihat.

"Beliau (Hosni) merasa amat tidak sihat, beliau amat sakit," kata seorang pengawal keselamatan.

Seorang bekas pegawai keselamatan Mesir memberitahu bahawa beliau tidak terkejut jika berita kematian Hosni akan didengarinya pada bila-bila masa sahaja.

Menurut satu sumber, Hosni mahu bersendirian dan meninggal dunia di tanah airnya.

Sumber itu menyatakan, bekas presiden tersebut enggan menerima sebarang rawatan perubatan.

Pada tahun lalu, dia menerima rawatan sakit hempedu di sebuah klinik di Jerman.

"Kematiannya akan hanya menunggu masa sahaja," kata sumber berkenaan.

Sumber itu menafikan bahawa Hosni akan menulis memoir sebaliknya menyatakan, Honsi berada dalam keadaan hampir koma.

Terdahulu, dua akhbar Mesir menyatakan bahawa bekas presiden berusia 82 tahun itu mengalami tekanan dan telah beberapa kali pengsan tetapi beliau enggan mengambil ubat.

Sebuah akhbar tempatan, Al-Gomhuria yang memetik beberapa sumber-sumber yang rapat dengan Hosni melaporkan, beliau mengalami tekanan mental dan enggan menerima rawatan walaupun dirinya jatuh sakit.

Namun, akhbar berkenaan menafikan Hosni berada dalam keadaan koma.

Sebelum ini, akhbar Al-Masry Al-Youm di Mesir melaporkan, Hosni sakit tenat dan berada dalam keadaan koma selepas bantahan besar-besaran rakyat yang memintanya melepaskan kuasa pemerintahan.

Hosni meletak jawatan pada Jumaat lepas dan menyerahkan kuasa kepada pihak tentera selepas tunjuk perasaan antipemerintah berlaku selama 18 hari di Dataran Tahrir di Kaherah. Agensi


Panel awam semak semula perlembagaan Mesir

KAHERAH - Rejim tentera Mesir semalam memberi amaran bahawa gelombang tunjuk perasaan yang melanda negara itu boleh memudaratkan negara. Kenyataan itu dibuat selepas ia memberi tempoh 10 hari kepada satu panel pakar-pakar awam untuk menyemak semula perlembagaan Mesir.

Ketika Mesir berdepan bantahan dan tunjuk perasaan di seluruh negara, junta tentera berjanji akan segera mengembalikan pemerintahan awam susulan kejatuhan rejim Hosni Mubarak.

Majlis Tertinggi Tentera mengarahkan satu panel yang disertai lapan juri dan ilmuwan untuk mengubah semua artikel perlembagaan sedia ada supaya dapat menjamin institusi demokrasi dan integriti pilihan raya parlimen dan presiden di Mesir.

Panel berkenaan mesti menyelesaikan tugas mereka dalam tempoh tidak lebih 10 hari selepas arahan itu dikeluarkan semalam dan ia perlu membubarkan semua artikel perlembagaan yang membenarkan seseorang presiden bertanding untuk penggal yang tidak terhad selain memansuhkan hak merujuk kes-kes ke mahkamah tentera.

Pihak tentera mengambil alih kuasa pada Jumaat lepas apabila pemerintahan hampir 30 tahun Hosni berakhir selepas beliau meletakkan jawatan.

Pada Ahad lalu, tentera telah menggantung perlembagaan dan parlimen tetapi ia berjanji akan menyerahkan kuasa kepada pemerintahan awam dalam tempoh enam bulan. - AFP


Iran, Jordan turut dipantau

KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang mengumpul data lengkap mengenai rakyat Malaysia di negara-negara bergolak termasuk Iran, Jordan, Yemen, Bahrain dan Algeria sebagai langkah awal sekiranya berlaku sesuatu tidak diingini.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman (gambar) berkata, bagi membolehkan pemantauan rapi dijalankan, semua pihak termasuk pekerja dan pelajar Malaysia di negara terlibat perlu memaklumkan mengenai butiran diri mereka kepada kedutaan di negara-negara terlibat.

Katanya, ibu bapa dan sanak saudara di negara-negara itu juga boleh membantu kerajaan dengan menyalurkan maklumat melalui Wisma Putra bagi melengkapkan data alamat terkini rakyat Malaysia.

"Kita tidak mempunyai maklumat lengkap berapa jumlah rakyat yang terlibat termasuk pelajar dan sedang berusaha ke arah tersebut," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas situasi semasa yang melanda beberapa negara Asia Barat lain selepas kejatuhan kerajaan Mesir yang dipimpin oleh Hosni Mubarak.

Hosni telah mengumumkan peletakan jawatan sebagai Presiden Mesir Jumaat lalu selepas mendapat desakan hebat daripada rakyat negara tersebut.

Rentetan kejayaan rakyat Mesir menumbangkan Hosni yang memerintah selama 30 tahun itu, rakyat beberapa negara seperti Yemen, Algeria, Iran, Bahrain dan Jordan turut mengadakan protes antikerajaan secara besar-besaran.

Anifah berkata, kerajaan sekarang sentiasa memantau perkembangan semasa sebelum mengambil apa-apa tindakan wajar.



2 pengikut Syiah maut tuntut reformasi di Bahrain



MANAMA: Dua penganut Syiah terbunuh ketika menunjuk perasaan selepas mereka bertempur dengan polis Bahrain, semalam.

Insiden itu turut mencetuskan seruan supaya protes antikerajaan itu dipertingkatkan, manakala Ahli Parlimen Syiah keluar daripada persidangan sebagai membantah pembunuhan itu.


Persatuan Persefahaman Kebangsaan Islam yang memiliki 18 daripada 40 kerusi di Parlimen ‘menggantung keanggotaan’ di dewan itu.

Ahlinya, Khalil al-Marzooq, berkata mereka mengambil langkah itu kerana kecewa terhadap kawalan keselamatan longgar oleh kerajaan, selain pendekatan ganas pihak berkuasa ketika mereka berdepan dengan penunjuk perasaan.


Fadel Salman Matrouk ditembak mati di depan sebuah hospital semalam ketika orang ramai berkumpul untuk mengebumikan Msheymah Ali yang terbunuh sehari sebelum itu.


Msheymah meninggal dunia akibat kecederaan dialami ketika bertempur dengan polis antirusuhan yang menyuraikan penunjuk perasaan di Manama. - AFP



Tentera tubuh badan pinda perlembagaan



KAHERAH: Tentera Mesir membentuk suruhanjaya khas bagi menggubal perlembagaan baru, kata seorang daripada anggota panelnya, semalam.

Wakil Ikhwanul Muslimin, Sobhi Saleh, berkata junta tentera mahu menyerahkan kuasa kepada orang awam secepat mungkin.
“Mereka mahu meminda perlembagaan bagi membolehkan proses itu dilaksanakan,” katanya kepada media selepas bertemu wakil tentera untuk kali pertama, semalam.

Selain Sobhi, suruhanjaya itu turut dianggotai tujuh panel lain, termasuk hakim dan pakar undang-undang perlembagaan.
Kata Sobhi, suruhanjaya itu akan mengkaji semula perlembagaan yang kini digantung junta tentera.
“Kami bertemu dengan panglima medan dan ketua pegawai tentera.

“Suruhanjaya ini kini mengkaji semula perlembagaan untuk mengetepikan sebarang halangan bagi merealisasikan aspirasi rakyat,” katanya. Suruhanjaya itu akan diketuai seorang bekas hakim disegani, Tareq al-Bishari. - AFP


Pengunduran Mubarak Belum Jamin Kemakmuran Mesir - Ahli Akademik

KUALA LUMPUR: Runtuhnya ego Presiden Mesir Hosni Mubarak yang dianggap 'Firaun Terakhir' apabila melepaskan jawatan yang dipegangnya selama 30 tahun pada 11 Februari lepas, dilihat masih belum mampu menjamin 'kemakmuran' yang diidam-idamkan rakyat negara itu.

Walaupun rakyat Mesir dianggap mencapai kemenangan pertama sejurus selepas pengunduran Hosni diumumkan naibnya Omar Suleiman, namun teka-teki masih menyelubungi bila dan siapakah yang akan diberi mandat untuk menjadi pemimpinnegara itu dalam pilihan raya umum (PRU) yang dijadualkan berlangsung selewat-lewatnya September ini.

Ketika ini, pemerintahan Mesir telah diletakkan di bawah kawalan Majlis Tertinggi Angkatan Tentera diketuai oleh Mohammed Hussein Tantawi, seorang daripada sekutu rapat Hosni sendiri.

Beberapa ahli akademik berpendapat, keadaan di Mesir memerlukan tempoh yang cukup panjang sebelum keamanan dapat dikecapi sepenuhnya, ekoran tampuk pemerintahan di bawah tentera dilihat masih belum memenuhi kehendak sebenar rakyat Mesir.

Pengarah Pusat Dasar Teknologi & Kajian Antarabangsa (CENTEPIS), Kampus Antarabangsa Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Azmi Hassan berkata, rakyat Mesir masih berasa sangsi terhadap keikhlasan janji tentera untuk melepaskan pemerintahan dan janji-janji proses perangkaan perlembagaan baru.

"Mereka (penduduk Mesir) masih ragu-ragu tentang Majlis Tertinggi Angkatan Tentera kerana ahli-ahli majlis itu dilantik oleh Hosni.

"Itu adalah orang-orang kepercayaan Hosni, jadi saya lihat sukar sekali bagi tentera Mesir untuk memenuhi kehendak masyarakat negara itu kerana tentera juga perlu menjaga kepentingan Hosni dan tentera sendiri," katanya.

Hosni meletakkan jawatan berikutan demonstrasi jalanan selama 18 hari yangmendesak beliau mengundurkan diri.

Azmi berkata, sejarah menunjukkan faedah yang diperolehi pihak tentera sewaktu pemerintahan Hosni merupakan antara faktor yang boleh menjadi penyebab utama keengganan tentera melepaskan pemerintahan.

Pensyarah di Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohamad Faisol Keling juga berpendapat, pemimpin yang baru pasti terdiri daripada orang-orang lama Hosni.

Beliau berkata, jika penduduk Mesir memilih pemimpin dari parti pembangkang dalam pilihan raya kelak untuk menerajui negara itu, faktor kerapuhan pengalaman yang dimiliki pembangkang di Mesir akan menjadi penyulit dalam urusan pentadbiran negara.

"Dalam politik Mesir, objektifnya adalah memastikan Hosni turun, namun potensi untuk mencapai satu peralihan kemajuan secara mendadak melalui pemimpin pembangkang akan lalui proses yang sulit kerana kekurangan pengalaman memandangkan tampuk pemerintahan dipegang sekian lama oleh Hosni.

"Bagi saya, pengalaman dalam urusan pentadbiran negara bukanlah satu benda boleh dipandang ringan kerana ia bukan memerlukan pendidikan yang tinggi semata-mata, tetapi juga pengalaman kerana itulah yang akan jadi aset penting untuk melicinkan urusan tadbir negara kelak," katanya.

Tambahnya lagi, pakatan pembangkang yang terbesar Mesir iaitu Ikhwanul Muslimin telah diharamkan sebelum ini, dan memerlukan masa untuk melalui proses yang sewajarnya sebelum dibenarkan bertanding dalam pilihan raya kelak.

Menurut Mohamad Faisol, adalah tidak mustahil rakyat Mesir akan meneruskan proses demonstrasi sekali lagi jika mereka tidak berpuas hati dengan pentadbiran yang baru, memandangkan kejayaan mereka menundukkan Hosni melalui cara itu sebelum ini.

Pensyarah Hubungan Antarabangsa Sekolah Sains Sosial, Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Madya Dr Mohd Noor Mad Yazid juga tidak menolak kemungkinan kestabilan Mesir akan bergolak kembali sekiranya tentera tidak memenuhi janji mereka untuk melepaskan kuasa.

Beliau berkata, sekiranya ditakdirkan tentera enggan melepaskan pemerintahan, potensi rakyat Mesir untuk melakukan demonstrasi dilihat tinggi berdasarkan apa yang telah mereka lakukan sebelum ini.

"Negara Mesir akan aman kembali sekiranya tentera tidak mengenepikan kehendak rakyat yang begitu inginkan perubahan...susun semula perlembagaan Mesir, serta memastikan perlembagaan tersebut mengandungi perkara pelantikan presiden dalam tempoh masa tertentu.

"Sekiranya perkara ini tidak dipenuhi, rakyat akan bertindak semula, mereka menganggap perbuatan mereka sebagai jihad demi kepentingan negara," katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan: