NEW YORK - Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kelmarin mengecam tindakan Gaddafi menyerang penunjuk perasaan di Libya dan mengarahkan siasatan jenayah perang dimulakan.
Selain itu, Eropah merangka usul sekatan ekonomi ke atas keluarga Gaddafi untuk dipertimbang di Majlis Keselamatan PBB, semalam.
Usul itu turut menggesa sekatan penjualan senjata kepada Libya dan menuntut Mahkamah Jenayah Antarabangsa menyiasat jenayah kemanusiaan di negara bergolak itu.
Dalam perkembangan sama, Amerika Syarikat (AS) menutup kedutaannya di Tripoli kelmarin selain membekukan aset milik Gaddafi.
Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) turut mempertimbang peranan yang boleh diambil dalam keganasan di Libya dan sedang menunggu kebenaran PBB untuk menguatkuasakan zon larangan terbang bagi menghalang Tripoli menggunakan pesawat pejuang untuk menyerang penunjuk perasaan.
Sehingga kini, tiada tanda-tanda Gaddafi akan tunduk kepada tekanan antarabangsa sebaliknya beliau berjanji akan terus memerintah dan bersedia mati di bumi Libya.
Penduduk pertaruhkan nyawa
BENGHAZI - Para penunjuk perasaan di ibu kota Libya, Tripoli mempertaruhkan nyawa mereka untuk menunaikan solat Jumaat semalam apabila mereka menjadi sasaran tembakan kumpulan yang setia kepada pemerintah, Muammar Gaddafi.
Pasukan keselamatan di Tripoli melepaskan tembakan rambang ke arah orang ramai yang meninggalkan beberapa masjid di sini selepas menunaikan solat Jumaat.
Tindakan tidak berperikemanusiaan itu dilakukan bagi mengelakkan penunjuk perasaan berhimpun dengan tujuan mengadakan demonstrasi baru pada hari tersebut yang merupakan cuti umum di Libya.
Beberapa penduduk tempatan berkata, imam-imam di Tripoli dipaksa membaca khutbah yang disediakan oleh pihak berkuasa yang antara lain menggesa orang ramai tidak melakukan hasutan.
Bagi memastikan arahan tersebut dipatuhi, pasukan polis dan tentera dikerah berkawal di luar beberapa buah masjid sekitar Tripoli.
Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama berhubung dengan pemimpin Britain, Perancis dan Itali bagi mencari kata sepakat mengenai tindakan segera yang perlu dilakukan bagi menangani kekejaman rejim Gaddafi.
Britain dan Perancis sebelum ini meminta Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu supaya menguatkuasakan sekatan di samping mendakwa anggota-anggota rejim Gaddafi di Mahkamah Jenayah Antarabangsa.
Kira-kira lebih 1,000 orang maut dalam pertempuran melibatkan penunjuk perasaan dengan tentera upahan Gaddafi di Libya. - Agensi
Asia Tenggara lubuk harta Gaddafi
TRIPOLI - Dalam senyap-senyap, pemerintah Libya, Muammar Gaddafi telah mengumpul kekayaan mencecah AS$60 bilion (RM183 bilion) dengan beberapa bilion dolar wang miliknya selamat disimpan dalam beberapa akaun rahsia di negara Asia Tenggara.
Jumlah tersebut meletakkan Gaddafi sebaris dengan bilionair terkaya dunia seperti taikun telekomunikasi, Carlos Slim Helu dan pengasas Microsoft, Bill Gates dengan masing-masing memiliki kekayaan AS$53.5 bilion (RM163.2 bilion) dan AS$50 bilion (RM161.7 bilion).
Sebuah akhbar Britain melaporkan jumlah aset Gaddafi bukan sesuatu yang memeranjatkan kerana beliau telah mengumpulnya sejak memerintah Libya selama lebih 40 tahun.
Akhbar Belanda, De Volkskrant, melaporkan sekitar AS$40 bilion (RM122 bilion) asetnya berada di Libya manakala bakinya disembunyikan di luar negara.
Menurut beberapa sumber di London dan Tripoli, wang tunai yang disimpan di luar negara itu adalah khusus untuk kegunaan keluarganya.
"Gaddafi sebenarnya bijak, jika tidak masakan beliau boleh bertahan selama lebih empat dekad. Walaupun apa pun yang berlaku kepada dirinya, beliau telah memiliki simpanan tunai dan hartanah di seluruh dunia, terutama Asia tenggara dan rantau Teluk sebagai jaminan masa depan sembilan anaknya," kata sumber itu.
Sumber-sumber tersebut berkerja dengan Pihak Berkuasa Pelaburan Libya (LIA) yang menguruskan dana negara berjumlah sekitar AS$50 bilion (RM152.5 bilion).
Agensi tersebut dikawal oleh Gaddafi.
Menurut mereka, Gaddafi mengambil beberapa langkah bijak bagi mengelak kekayaannya dibekukan seperti yang menimpa bekas presiden Tunisia, Zine El Abidine Bin Ali dan rakan sejawatnya dari Mesir, Hosni Mubarak.
Antaranya, kata mereka, Gaddafi menyimpan wangnya dengan menggunakan akaun bank milik beberapa 'orang kepercayaannya' yang menerima 'habuan' lumayan.
Hanya Gaddafi dan keluarganya yang tahu identiti kroni mereka.
"Kunci kepada semua ini adalah kerahsiaan dan orang kepercayaan. Beliau memiliki beberapa kroni yang membantunya menyembunyikan kekayaannya," kata sumber itu.
"Gaddafi tahu orang kepercayaannya itu akan memulangkan wang miliknya selagi mereka diberi bahagian yang lumayan. Apabila anda memiliki wang berbilion-bilion dolar, perkara ini adalah mudah," tambahnya.
Di Asia Tenggara, wang Gaddafi itu dipercayai disimpan di beberapa akaun pesisir.
Hampir semua wang itu datangnya daripada pendapatan hasil minyak negara.
Selain wang tunai, pemimpin berusia 68 tahun itu turut memiliki beberapa hartanah di kawasan strategik di Lon don.
Beliau membeli bangunan Portman House di London pada harga AS$249 juta (RM762 juta) dan membayar AS$193.4 juta (RM590 juta) untuk membeli sebuah bangunan yang terletak bertentangan dengan bank pusat England.
"Gaddafi juga memiliki kepentingan dalam UniCredit, yang merupakan antara bank terbesar di Itali," lapor sebuah stesen radio Belanda.
Kelmarin, Gaddafi dilapor mendeposit wang tunai berjumlah AS$4.8 bilion (RM14.7 bilion) kepada seorang pengurus dana peribadi di London.
Seorang pengurus dana warga Switzerland yang bekerja dengan Gaddafi berperanan sebagai orang tengah dalam transaksi itu.
Pemindahan wang tersebut berlaku pada minggu lalu.
Lima minggu lalu, percubaan serupa oleh Gaddafi ditolak oleh seorang pegawai kanan di sebuah firma saham di London.
Pegawai berkenaan menolak untuk menguruskan dana itu setelah mengetahui sumbernya.
"Saya berkata tidak kerana secara peribadi, saya keberatan terbabit dengan diktator yang kejam (Gaddafi)," katanya.
Semalam, Amerika Syarikat dan Britain bertindak membekukan aset Gaddafi di negara masing-masing.
Presiden AS, Barack Obama menandatangani perintah eksekutif untuk membekukan semua aset milik Gaddafi dan empat orang anaknya di AS.
Jabatan Perbendaharaan menyatakan, sekatan terhadap Gaddafi, tiga anak lelaki dan seorang anak perempuannya itu turut melibatkan pentadbiran Libya.
Tindakan tersebut dilakukan selepas London mengumumkan bahawa para pemimpin Kesatuan Eropah (EU) bersepakat mengecam keganasan rejim pemerintah di Libya.
Dalam satu kenyataan bersama, EU menyifatkan bahawa tindakan Gaddafi membunuh rakyatnya sendiri sebagai "langsung tidak boleh diterima".
Sementara itu, Gaddafi memberi amaran beliau tidak akan teragak-agak untuk membakar seluruh Libya jika rakyat terus menentangnya.
Amaran tersebut disampaikannya dalam satu ucapan di Dataran Hijau di sini semalam yang disiarkan oleh televisyen negara itu.
Di hadapan saki baki penyokongnya, diktator Libya itu berkata, beliau tidak gentar untuk mati dan menyeru para penyokongnya supaya bersedia untuk mempertahankan negara.
Malah, ujarnya: "Rakyat Libya sayangkan saya."
Semalam, Gaddafi mengumumkan bahawa orang awam yang menyokongnya akan diberikan senjata api untuk memerangi dan membunuh para penunjuk perasaan.
Tindakan tersebut dijangka akan mencetuskan pertumpahan darah besar-besaran di Tripoli.
Juga semalam, askar-askar yang setia kepada Gaddafi dengan dibantu beberapa kereta kebal menyerang Pangkalan Udara Misrata berhampiran Tripoli.
Pangkalan udara itu sebelum ini jatuh ke tangan pihak penentang.
Setakat semalam, mereka berjaya merampas sebahagian pangkalan tersebut selepas bertempur dengan penduduk tempatan dan unit-unit tentera yang berpaling tadah.
Setakat ini, lebih 2,000 orang terbunuh manakala ribuan yang lain cedera sejak kebangkitan rakyat menentang pemerintahan rejim Gaddafi tercetus hampir dua minggu lalu. - Agensi
Gaddafi umum insentif untuk rakyat
TRIPOLI - Stesen televisyen Libya semalam mengumumkan setiap keluarga di negara itu akan menerima wang AS$400 (RM1,221) dalam usaha rejim Muammar Gaddafi mengekang bantahan meluas yang kini menyebabkan sebahagian besar negara tersebut jatuh ke tangan para penentang.
Stesen televisyen berkenaan turut menyatakan, sebahagian kakitangan sektor awam Libya akan menikmati kenaikan gaji sehingga 150 peratus.
Rejim Gaddafi kini menggunakan pendapatan hasil minyak negara untuk membeli sokongan rakyat selepas orang ramai bangkit menentang pemimpin itu.
Bantahan rakyat terhadap pemerintahan empat dekad Gaddafi yang memasuki hari ke-11 semalam, telah menyebabkan sebahagian besar timur negara itu jatuh ke tangan pihak penentang.
Pasukan militan dan mereka yang setia kepada Gaddafi kini bertempur di bandar-bandar berhampiran Tripoli, barat Libya bagi mengekang bantahan rakyat. - AFP
Wajah penagih dadah bertukar hodoh
SALEM - Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) menyiarkan wajah-wajah penagih pil khayal methamphetamine yang bertukar menjadi hodoh selepas mereka mengambil dadah berkenaan, lapor sebuah akhbar semalam.
Pendedahan yang mengerikan itu dibuat dalam satu klip video selama 48 minit berjudul From Drugs to Mug. Klip video itu dibuat bagi memberi kesedaran kepada golongan muda supaya jangan terjebak ke dalam kancah penagihan dadah.
Klip video itu diterbitkan oleh pejabat Syerif Daerah Multnomah di negeri Oregon.
Ia dibuat selepas klip video yang mempunyai mesej sama Faces of Meth mencetuskan kontroversi pada 2004.
Antara lain, ia menunjukkan beberapa penagih pil methamphetamine kehilangan gigi mereka.
Beberapa penagih turut dilihat menggaru tulang muka selepas wajah mereka menjadi amat cekung kesan pengambilan dadah itu.
Beberapa anggota polis yang terbabit dalam penerbitan klip video itu merakamkan wajah penagih-penagih baru yang pertama kali ditangkap.
Wajah-wajah mereka yang bertukar semakin hodoh dirakam semula beberapa bulan kemudian selepas mereka ditangkap semula oleh pihak berkuasa.
"Saya mahu penonton dapat membayangkan bagaimana dadah memusnahkan kehidupan seseorang penagih," kata Timbalan Syerif Multnomah, Bret King, 45. - Agensi
Rakyat cemas hadapi serangan
SEDIH...Mohamed Shalgham (kiri) didakap timbalannya, Ibrahim Dabbashi, selepas memberi ucapan di Majlis Keselamatan PBB di New York, semalam.
TUNTUT REFORMASI...Amal Khamis (kanan) menjadikan wajahnya sebagai wadah menyatakan sokongan kepada kebangkitan rakyat Timur Tengah di New York, semalam.
TRIPOLI: Orang ramai berdebar-debar menunggu perkembangan terbaru protes antikerajaan semalam, selepas Muammar Gaddafi mengumumkan dia bersedia menyerahkan senjata kepada penyokongnya untuk bertempur.
Ketika AS mengenakan sekatan ke atas pemimpin Libya dan empat anak lelakinya, Libya terus berada dalam keadaan tidak menentu, manakala jumlah korban pula terus meningkat.
Dalam ucapannya di depan pengagumnya di Tripoli, Gaddafi berkata, kumpulan antikerajaan akan ditewaskan.
“Kita akan menentang dan mengalahkan mereka.
“Menyanyilah dan menarilah kerana kita sedang mempersiapkan diri menghadapi mereka.
“Jika perlu, semua gudang senjata akan dibuka,” katanya.
Bahrain tunduk desakan awam, rombak Kabinet
MANAMA: Bahrain merombak Kabinetnya dalam cubaan terbaru kerajaan meredakan kemarahan rakyat - kebanyakannya pengikut Syiah- yang mengadakan bantahan sejak pertengahan bulan ini.
Sumber kerajaan berkata, antara yang disingkirkan adalah Menteri Perumahan dan Menteri Kesihatan.
Bagaimanapun, sumber itu berkata, sehingga petang semalam surat pengesahan belum dikeluarkan.
“Saya menghubungi menteri terbabit malam tadi (malam kelmarin) dan dia memberitahu akan digantikan,” katanya.
Bahrain berdepan ketegangan terburuk sejak 1990-an apabila tujuh orang terbunuh dalam protes antikerajaan.
Kebanyakan rakyat negara itu bosan menjadi mangsa diskriminasi kerajaan yang menjadi sahabat kepada AS dan Arab Saudi. Ribuan penunjuk perasaan masih menduduki Dataran Permata di tengah Manama menuntut Kabinet meletak jawatan dan perlembagaan baru dirangka.
Ketika ini, Kabinet dilantik raja dan dua pertiga anggotanya terdiri daripada kalangan bangsawan. - Reuters
Loji minyak terbesar Iraq diserang
|
|
SAMARRA 26 Feb. - Loji penapis minyak terbesar di Iraq diserang awal hari ini, menyebabkan dua jurutera terbunuh dan memaksa kemudahan itu ditutup apabila satu unit penapisnya mengalami kerosakan teruk.
Sekumpulan lelaki bersenjata menggempur loji penapis di Baiji, di wilayah Salaheddin, ke utara Baghdad pada kira-kira pukul 4.30 pagi ini (9.30 pagi waktu Malaysia), membunuh jurutera tersebut dan memasang bom di unit penapis.
"Kumpulan bersenjata memasuki loji penapis dan menembak mati dua juruteranya," kata timbalan ketua keselamatan loji, Abdul Qader al-Saab.
Penyerang kemudian meletupkan bom di sebuah unit penapis, unit Al-Shamal yang menghasilkan 25 peratus daripada keluaran loji itu, katanya.
Seluruh loji penapis terpaksa ditutup kerana unit itu rosak teruk.
Iraq buat masa ini mempunyai tiga loji penapis iaitu Baiji di utara, Basra di selatan dan Dora di selatan Baghdad.
Ketiga-tiga loji tersebut mengendalikan kapasiti 550,000 tong minyak mentah sehari, menghasilkan produk bertapis termasuk 12 juta liter petrol, 15 juta liter diesel, sembilan juta liter minyak pemanas dan sejumlah besar minyak bahan bakar untuk stesen jana kuasa.
Baiji sahaja mempunyai kapasiti keseluruhan untuk menapis 290,000 tong minyak mentah tetapi beroperasi pada tahap 70 peratus daripada kapasiti sebelum serangan itu. - AFP
Jururawat batal hidup semati bersama Gaddafi
2011/02/27
LONDON: Seorang jururawat Ukraine membatalkan ikrar untuk terus menjaga pemimpin Libya, Muammar Gaddafi selepas protes antipemerintah makin serius di negara Afrika Utara itu.
Gaddafi ‘tidak boleh mengadakan perjalanan’ tanpa wanita cantik berstatus janda yang berasal dari Ukraine serta dituduh menjadi kekasih pemimpin itu.
Wanita ibu tunggal itu arif mengenai rutin lelaki itu, kata dokumen bocor yang didedahkan kepada akhbar The Sun.
Pegawai Ukraine berkata pihaknya belum menerima sebarang permohonan untuk membawa wanita itu pulang.
Anak perempuan janda itu, Tatiana, 20, berkata:
“Ibu menelefon semalam. Dia berada di Tripoli.
“Ada kejadian tembakan, pertempuran dan kekacauan lain disiarkan di televisyen.
“Dia masih tenang menghadapi keadaan dan berkata akan pulang segera.”
Gaddafi lebih mengutamakan Kolotnytska berbanding pengawal peribadi wanita Amazon yang pakar dalam pertahanan diri dan dikatakan masih dara.
Nota rahsia 2009 kepada Setiausaha Negara Hillary Clinton disiarkan selepas didedahkan WikiLeaks memberitahu yang pemerintah kuku besi itu bergantung kepada wanita itu.
Gaddafi dikatakan pernah menghantar pesawat peribadi untuk membawa Kolotnytska dari Libya ke Portugal untuk bertemu dengannya berikutan kelewatan kedatangan wanita itu akibat masalah visa.
Pegawai politik Ukraine mengesahkan jururawat Ukraine sentiasa bersama-sama pemimpin itu ke mana saja.
“Sesetengah sumber mendakwa Gaddafi dan Kolotnytska mempunyai hubungan romantik,” katanya.
Gaddafi dikatakan terlalu taksub bergantung kepada pegawai yang dipercayainya seperti Kolotnytska.
Tetapi kini kehidupannya sebagai orang kepercayaan akan berakhir dan musuh Gaddafi pula terus mendapat kekuatan.
Di sempadan di antara Tunisia dan Libya, ahli sukan bina badan Nabil Mohamed, berkata “Eva Braun tinggal dalam kubu bersama Hitler, mengapa Kolotnytska tidak boleh tinggal bersama Gaddafi?” – Agensi
Gaddafi lancar perang saudara
2011/02/27
TRIPOLI: Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi melancarkan perang saudara selepas menyuarakan kesediaan untuk memberi senjata kepada penyokongnya untuk menyerang penentangnya, menyusuli keputusan Amerika Syarikat mengenakan sekatan ke atas ketua negara itu dan empat anak lelakinya.
Kita akan lawan mereka dan kita akan kalahkan mereka. Jika perlu, kita akan buka semua tempat simpanan senjata,” kata Gaddafi yang merampas kuasa ketika berpangkat kolonel pada 1969.
Hampir keseluruhan wilayah timur Libya tidak lagi berada di bawah kawalan Gaddafi sejak penentangan meletus di bandar pelabuhan Benghazi pada 15 Februari lalu, menyusuli pemberontakan di Mesir dan Tunisia.
Di Benghazi, jurucakap revolusi berkata, penentang mahu satu pentadbiran sementara mengambil alih pentadbiran.
“Kami tunggu Tripoli tamatkan pemerintahan Gaddafi dan anak lelakinya, selepas itulah kami akan bentuk kerajaan sementara,” kata Abdelhafiz Ghoqa.
Di WASHINGTON, Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama dilaporkan mengenakan sekatan peribadi ke atas Gaddafi dan empat anak lelakinya, dalam satu cubaan jelas untuk melemahkan lagi rejim yang sudah goyah itu.
Obama menggunakan kuasa presidennya dalam satu arahan eksekutif kelmarin untuk merampas aset Gaddafi dan anggota keluarganya yang dinamakan di Amerika dan global di bawah naungan institusi kewangan Amerika, mengatakan ‘maruah kemanusiaan’ rakyat Libya ‘tidak dapat dinafikan.’
Washington turut menutup kedutaannya di Tripoli sambil memberi amaran perisiknya sedang mencari bukti ‘pembunuhan beramai-ramai’ di Libya.
Ia juga percaya, Gaddafi kehilangan keyakinan rakyatnya, membayangkan bahawa Washington mahu pemimpin Libya itu segera disingkirkan.
Pihak berkuasa berkata, sekatan Amerika itu adalah cubaan langsung untuk menghalang sebarang kecurian aset Libya dan kekayaan negara oleh Gaddafi dan anak lelakinya di tengah pergolakan yang melaporkan lebih 2,000 terkorban dan memecah belahkan negara itu.
Secara peribadi, sumber berkata, Washington berharap langkah itu akan menggalakkan lebih ramai pembelotan dari dalam rejim.
Menurut satu mesej 2010 dari kedutaan Amerika di Tripoli, diperoleh WikiLeaks, dana kekayaan negara dimiliki Libya berjumlah AS$32 bilion (RM97.63 bilion) dalam bentuk tunai dan ‘beberapa bank Amerika setiap satunya menguruskan antara AS$300 juta hingga AS$500 juta (RM915.3 juta dan RM1.53 bilion).’
Sekatan Obama secara khusus menyasarkan anak lelaki Gaddafi, Ayesa Gaddafi, Mutassimi Gaddafi, Seif al-Islam dan Khamis Gaddafi. – AFP
Askar Mesir belasah penunjuk perasaan
2011/02/27
KAHERAH: Polis tentera Mesir memukul penunjuk perasaan semalam untuk menyuraikan mereka daripada berkumpul di luar pejabat Kabinet, tempat mereka cuba berkhemah untuk mendesak pembaharuan politik dan penyingkiran saki baki rejim Presiden Hosni Mubarak.Kejadian itu menunjukkan pendirian tegas pemerintah tentera Mesir, yang mengelak insiden ganas ke atas penunjuk perasaan antikerajaan di jalanan sambil berjanji memenuhi tuntutan mereka untuk satu pembaharuan demokrasi dan mengembalikan pemerintahan awam kepada negara.
Beribu-ribu berarak lagi di Dataran Tahrir di sini sepanjang hari kelmarin untuk terus memberi tekanan, terutama penyingkiran Perdana Menteri Ahmed Shafiq yang dilantik Mubarak. Kira-kira 150 penunjuk perasaan cuba bermalam di luar pejabat Kabinet berhampiran Dataran Tahrir.
Selepas tengah malam, apabila perintah darurat berkuat kuasa, polis tentera bergerak untuk menyuraikan mereka dan memukul penunjuk perasaan, sesetengah cuba mengelak, menurut Shady Ghazali, seorang aktivis belia yang mengatakan beliau menyaksikan pertembungan itu.
“Seorang lelaki ditampar dengan kuat sehingga berdarah ketika perhimpunan terbabit,” kata Ghazali.
Beliau dan sekurang-kurangnya empat yang lain ditahan dan dibawa ke lokap yang sudah menahan berpuluh penunjuk perasaan lain yang jelas ditahan sepanjang hari, katanya. Sesetengahnya cedera dan menerima layanan buruk lain, katanya.
“Polis tentera bertindak seperti pengawal keselamatan negara,” kata Ghazali merujuk kepada pasukan keselamatan dalaman dibenci yang digunakan rejim Mubarak untuk mengenakan tindakan keras ke atas pemberontak dan dituduh melakukan penderaan. – AP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan