(E) PENGUTUSAN TENTERA USAMAH
Usaha terakhir Rasulullah s.a.w. ialah mempersiapkan satu angkatan tentera ke Syam di bawah pimpinan Usamah bin Zaid bagi menyebar dan mempertahankan dakwah. la juga merupakan usaha menghalang serangan penceroboh dan tindakan proaktif untuk berhadapan dengan musuh yang menunggu-nunggu peluang menyerang negara Islam yang baru ditegakkan. Baginda memerintahkan beliau untuk menginjakkan kaki di sempadan al-Balqa' dan ad-Darum di bumi Palestin. Angkatan tentera tersebut terdiri daripada golongan Muhajirin, Ansor dan orang Islam yang tinggal di sekeliling Madinah. Tiada seorang pun yang terkecuali. Ketika angkatan tersebut berkumpul di Madinah bersedia untuk berangkat, Rasulullah s. a.w mula jatuh sakit; Sakit yang berakhir dengan kewafatan Baginda. Oleh itu, bala tentera tersebut menangguhkan perjalanan mereka kerana menunggu sehingga Rasul sembuh. Mereka juga ingin mendapat saranan dan petunjuk Baginda. Namun beberapa hari selepas itu Rasulullah s.a.w. wafat. Allah telah memilih Baginda untuk kembali ke pangkuan- Nya. Iaitu setelah Baginda menunaikan amanat, menyampaikan risalah dan mempersiapkan seluruh semenanjung tanah Arab untuk membawa panji-panji Islam. Mereka telah bersedia untuk menyebarkan peradaban dan ajarannya ke segenap ceruk bumi. Ketika itu tentera Islam juga telah mampu untuk memikul beban amanah yang membawa impak besar kepada sejarah. Baginda diwafatkan selepas tersedia anggota tentera yang layak untuk mengharungi siri pertempuran demi amanah tersebut. Para panglima berkaliber untuk memimpin peperangan dan tokoh-tokoh agung lagi soleh untuk menguruskan negara telah berjaya dilahirkan. Selawat dan salam Allah ke atas Rasul-Nya. Semoga Allah membalas Baginda dengan sebaik-baik balasan bagi pihak kita dan kemanusiaan. Jika bukan kerana Baginda dan tenteranya yang setia, jika bukan kerana tenteranya menunaikan amanah selepas Baginda, nescaya sekarang ini kita berada dalam kesesatan yang nyata.
Allah telah memuliakan Rasul-Nya dengan kemuliaan yang tidak pernah diberikan kepada para Nabi sebelum Baginda. Usia Baginda dipanjangkan sehingga Baginda dapat menyaksikan hasil dakwah dan perjuangannya melitupi seluruh semenanjung tanah Arab. Dakwah Baginda membersihkan bumi Arab daripada berhala untuk selama-lamanya. Dakwah Baginda juga menjadikan mereka yang meruntuhkan berhala dengan tangan-tangan mereka sendiri merasa gembira dengan nikmat Allah yang telah menyelamat-kan mereka daripada kesesatan. Padahal merekalah yang menyembah, sujud dan memohon pendampingan dengan berhala tersebut. Baginda juga membentuk mereka agar bersedia menjelajah muka bumi membawa cahaya petunjuk yang dikurniakan Allah kepada mereka untuk manusia. Generasi yang menyembah dan mempertuhankan berhala. Hidup semasa jahiliah dalam keadaan alpa di samping memiliki keupayaan dan bakat yang tidak tersusun. Kemudian generasi inilah yang bertindak memecahkan berhala dan membangunkan negara Arab yang pertama dalam keseluruhan sejarah Arab. Negara yang ditegakkan tersebut berperanan memikul risalah, menggariskan objektif dan bertindak sebagai guru juga penyelamat kepada bangsa lain di sekelilingnya. Mereka merupakan peneroka yang bangga dengan petunjuk, cahaya dan kebaikan yang dibawa. Mereka bersimpati dengan kejahilan, kegelapan dan keruntuhan yang dialami oleh bangsa-bangsa lain. Sedangkan sebelum ini, Arab kagum dan mengagungkan bangsa-bangsa tersebut. Bahkan mereka tunduk kepada mereka dalam politik, pemikiran dan sosial. Ini merupakan peristiwa yang unik dalam sejarah dahulu mahupun moden. Pengutusan Usamah merupakan simbol kepada peristiwa tersebut dan hasil produk risalah yang bertuah lagi berkat ini.
Selanjutnya, Rasulullah s.a.w. telah melantik Usamah bin Zaid memimpin angkatan tentera tersebut padahal beliau adalah seorang remaja berusia 20 tahun. Di bawah kepimpinannya terdapat tokoh veteran Muhajirin dan Ansor seperti Abu Bakar, Umar, Othman, Ali dan lain-lain tokoh yang terlebih dahulu memeluk Islam dan telah terbukti
keperwiraan mereka. Mereka juga lebih tua dan berkedudukan berbanding Usamah. Tindakan Rasulullah ini mempamerkan salah satu sunnah Islam yang terpuji. la memansuhkan perbezaan antara manusia yang berdasarkan kemegahan, usia dan jasa. la juga mengutamakan keupayaan yang baik tanpa mengira usia dan kedudukannya. Seterusnya, sejarah telah mengesahkan bahawa ia tidak pernah melahirkan tokoh yang agung dan berkaliber seperti tokoh-tokoh agung ini. Namun mereka redha untuk berada di bawah kepimpinan Usamah yang muda belia. Ini menunjukkan sejauh mana tahap penga-suhan jiwa dan akhlak yang telah mereka capai, hasil daripada usaha, petunjuk, didikan dan tunjuk ajar Rasulullah s.a.w.
Melantik Usamah menjadi ketua kepada tokoh-tokoh seperti Abu Bakar, Umar, Othman dan Ali merupakan peristiwa besar yang tak pernah dialami oleh mana-mana bangsa. Ia merupakan sejarah pertama yang menunjukkan kewajipan membuka ruang kepada keupayaan dan kepintaran para remaja, juga kewajipan membenarkan mereka memimpin urusan-urusan jika mereka berkelayakan. Sekiranya orang Islam selepas itu sentiasa mengingati pengajaran besar ini, nescaya bencana dan mala petaka akan lenyap daripada sejarah Islam. Begitu juga keributan dan fitnah yang mengganggu gugat tiang negara Islam dan melemahkan kekuatannya akan hilang. Alangkah bijaknya tindakan Rasulullah yang disokong oleh wahyu langit. Baginda juga dikurniakan kebijaksanaan, pendapat yang tepat, pandangan yangjauh dan kemampuan politik yang hebat. Keistimewaan ini tidak diberikan kepada para nabi sebelum Baginda. la juga tidak diketahui terdapat pada mana-mana tokoh besar sejarah sebelum dan selepas Baginda. Semoga Allah meredhai Usamah yang masih muda belia. Tahniah kepada beliau kerana mendapat kepercayaan Rasulullah berkenaan keupayaannya untuk memimpin, kejujuran azamnya dan keislamannyayang baik. Tahniah sekali lagi kepada beliau kerana telah dijadikan Baginda sebagai contoh teladan kepada remaja-remaja kita yang beriman lagi beramal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan