Khamis, 1 Mei 2014

TAK RETI LAH....RAMAI KAWAN2 YANG PENCENNYA SEKITAR RM500 SAJA...SEBAB DARI BADAN BERKANUN KEMUDIAN DISWASTAKAN...BAGAIMANA PULA PENGAWAL KESELAMATAN SETELAH DIPOTONG2 TINGGAL SEKITAR RM1000 SAJA...ANAK2 YANG BEKERJA SEDIKIT YANG MENYUMBANG...ADA TU KADANG2 JER...ADA YANG TAK DE MENYUMBANG LANGSUNG....YANG TERUK ADA YANG MEMINJAM LAGI...ADA PINJAM TAK BAYAR...LAINLAH ORANG YANG SIMPANANNYA PUN BERJUTA2

Sosma: PAS gesa segera dakwa di mahkamah

SALMIYAH HARUN | .
KUALA LUMPUR: PAS menggesa agar 10 individu yang ditahan kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan militian didakwa di mahkamah.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, mereka yang ditahan wajar didakwa di mahkamah dengan segera melalui proses undang-undang yang ditetapkan.

"Mereka perlu didakwa di mahkamah dengan segera, kita boleh buat tuduhan terhadap seseorang tetapi perlu melalui proses udang-undang yang ditetapkan iaitu bawa mereka ke mahkamah," katanya ketika ditemui. kepada Harakahdaily.

Bercakap kepada Harakahdaily, katanya melalui proses mahkamah ia boleh membuktikan seseorang itu bersalah atau tidak.

"Mereka yang dituduh sentiasa boleh membela diri," katanya ketika mengulas penahanan 10 individu yang dikaitkan dengan militan.

Seramai 10 orang ditahan termasuk seorang wanita berusia 55 tahun kerana dipercayai ada kaitan dengan kumpulan militian mirip pengganas Al-Qaeda dan Jemaah Islamiah (JI).

Sebahagian daripada mereka ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang dipercayai sedang bersiap sedia untuk berlepas ke negara bergolak bagi melaksanakan 'misi jihad'.

Mereka dikatakan ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau Sosma.

Seseorang yang ditahan bawah SOSMA boleh dibicarakan selepas 28 hari penahanannya, bagaimanapun sebelum tempoh tersebut mereka boleh dibawa ke mahkamah. - HARAKAHDAILY 30/4/2014

Sosma: Ahli SAMM antara 10 ditahan polis

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) hari ini mengesahkan seorang anggotanya dari Johor antara yang ditahan pihak polis atas tuduhan berkait kegiatan militan.

Ketua penyelarasnya Badrul Hisham Shaharin dalam satu kenyataan berkata, Saiden Muslimin Ismail, 24, telah ditahan di bawah Seksyen 4(1), Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas 2012) atau Sosma.

Saiden, anggota SAMM Muar, baru sahaja mendirikan rumahtangga pada akhir tahun 2013 bergerak aktif dalam menjayakan banyak program anjuran SAMM.

Menurut seorang aktivis SAMM Muar, penahanan Saiden hanya dimaklumkan kepada isterinya selepas 48 jam.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, sepuluh individu ditahan Polis Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas, Bukit Aman.

Penahanan itu termasuk seorang wanita, tiga ditahan di Kedah dan enam di Selangor.

Difahamkan, Saiden Muslimin Ismail ditahan dengan pertuduhan disyaki sebagai pengganas yang ingin menjalankan misi jihad di beberapa negara yang sedang bergolak.

Badrul Hisham atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard berkata, beliau tidak menolak kemungkinan penahanan yang melibatkan anggota SAMM Johor adalah satu asakan politik untuk mengaitkan gerakan anak muda yang menentang dasar kerajaan dengan aktiviti militan.

"SAMM menuntut perbicaraan segera dan SAMM juga ingin memperingatkan pihak PDRM agar tidak mengabaikan hak-hak Orang Kena Tahan ini sepanjang kes ini disiasat.

"SAMM akan terus memerhati dari dekat akan perjalanan kes ini dan mengambil tanggungjawab penuh dalam usaha membebaskan aktivis kami daripada pertuduhan ini serta kebajikan isteri dan waris beliau," kata Badrul.

Garis kemiskinan Selangor kini RM1,500

MUHAMMAD FAIZAL | .
SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor hari ini menaikkan Paras Garis Kemiskinan (PGK) di negeri itu pada kadar RM1,500 sebulan.
Perkara itu diumumkan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim pada sidang media hari ini.
Jelas beliau, pengumuman tersebut adalah kerana kerajaan negeri turut berasa simpati terhadap golongan pekerja berpendapatan rendah yang menanggung kos sara hidup yang tinggi.
"Kenaikan ini secara tidak langsung dapat memperbetulkan tanggapan bahawa kononnya kemiskinan di negara in telah dibasmi atau tidak.
"Rakyat Malaysia hidup melarat kerana rasionalisasi subsidi yang telah melonjakkan kadar inflasi, dengan PGK lebih tinggi ini, dianggarkan 30 peratus rakyat Selangor hidup di bawah garis kemiskinan dan layak menerima bantuan," katanya pada ucapan sempena Hari Pekerja.
Menurut beliau lagi, selain bantuan menerusi program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES), kerajaan turut memperkenalkan program latihan teknikal khusus bagi belia luar bandar seperti perpaipan dan elektrik yang menerima permintaan tinggi dari industri dalam dan luar negara.
"Ini selaras dengan hasrat Pakatan Rakyat mencapai sasaran pendapatan isi rumah minimum sebanyak RM4,000 sebulan.
"Kerajaan negeri bercadang menubuhkan satu jawatankuasa khas di bawah seliaan Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar untuk membuat kajian holistik dan mengenal pasti cara terbaik memberi wajah baru projek perumahan rakyat (PPR) di Selangor yang majoritinya didiami oleh golongan pekerja berpendapatan rendah.
"Usaha ini termasuk membaik pulih dan menyelenggara bangunan, kamudahan awam seperti lif, dewan serbaguna, taman permainan, pusat kutipan sampah dan sebagainya serta memelihara persekitaran di kawasan PPR," sambung beliau lagi.
Beliau yakin prinsip ketelusan, berintegriti dan bebas rasuah yang ditunjukkan pentadbiran Kerajaan Selangor menjadi ransangan kepada golongan pekerja awam atau swasta untuk bekerja lebih produktif dan berhemah.
"Kerajaan Selangor mengucapkan Selamat Menyambut Hari Pekerja kepada hampir 13 juta golongan pekerja negara ini.
"Kita akui bahawa setiap pekerja sama ada bergaji bulanan, mingguan atau harian malah berstatus tetap atau sementara berganding bahu berusaha demi kesejahteraan dan kemakmuran bersama," jelasnya. - HARAKAHDAILY, 30/4/2014

MTUC mahu pekerja bantah GST, laksana gaji minimum

ARIF ATAN | .
KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa golongan pekerja mengambil bahagian dalam himpunan membantah pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST),  esok.
Timbalan Presidennya, Abdullah Sani Abdul Hamid (gambar) berkata, himpunan membantah cukai pada kadar enam peratus itu akan diadakan di Padang Timur, Amcorp Mall, Petaling Jaya.
"Bermula seawal jam 8 sehingga 11 pagi, semua pihak diseru menunjukkan solidariti menuntut kerajaan peka akan nasib pekerja kita yang masih ramai lagi tertindas," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.
Mengulas kegagalan kerajaan memelihara kebajikan pekerja,  Sani berkata, kelemahan penguatkuasaan kadar gaji minimum yang sepatutnya terlaksana mulai 1 Januari 2013 menjadi isu fokus perjuangan MTUC.
"Paling ketara kerajaan gagal menguatkuasakan peraturan gaji minimum RM900 di Semenanjung dan RM800 sebulan bagi Sabah serta Sarawak.
"Kenaikan harga barangan dan perkhidmatan pada masa sama terus meningkat ekoran kadar inflasi yang tinggi dan ini semua terus membebankan sebahagian besar pekerja berpendapatan rendah," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat.
Sehubungan itu, tambahnya, hubungan baik MTUC dengan pelbagai pihak termasuk Lajnah Pekerja PAS Pusat penting untuk terus menggembleng suara menuntut hak pekerja dibela. - HARAKAHDAILY, 30/4/2014

PKR seru rakyat sertai himpunan Turun 501

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: PKR menyatakan komitmen bersama dengan PAS, DAP serta seluruh rakyat yang cintakan keadilan untuk menyertai Himpunan Turun 501, esok di Dataran Merdeka, tegas Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Beliau yakin rakyat yang menyertai himpunan itu kelak cukup matang dan tidak akan menimbulkan provokasi sehingga boleh mendatangkan ketegangan.
"Kita turun bersama-sama untuk mempertahankan rakyat, berhimpun secara aman dalam semangat demokratik yang tinggi," ujarnya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Himpunan 1 Mei itu akan disertai puluhan badan bukan kerajan (NGO) yang akan berarak dan  bergabung di Dataran Merdeka daripada  KLCC, Sogo, Masjid Negara, Brickfields dan Dataran Maybank, Pudu mulai jam 2 petang.
Sehubungan itu, Dr Wan Azizah menyeru rakyat supaya turun ke Dataran Merdeka bagi bersama menunjukkan solidariti membantah pelaksanaan Cukai Barangan & Perkhidmatan (GST), Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA), penyalahgunaan kuasa termasuk hakim dan mahkamah, serta penyelewengan dan rasuah yang dilakukan oleh Umno-BN.
Menurutnya, pelbagai penguatkuasaan cukai seperti dicadangkan pentadbiran BN membawa kesan mendalam kepada rakyat.
BN tegas beliau, tidak seharusnya menghukum rakyat apabila gagal mengatasi kelemahan kerajaan khususnya pada isu asas seperti kebocoran dana dan kegagalan urus tadbir yang baik.
"Sebagaimana penegasan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Pakatan Rakyat bangkit menentang GST, TPPA, berleluasanya gejala rasuah, ketirisan dan penyelewengan yang dilakukan kerajaan BN, kerana ia mengakibatkan rakyat yang terpaksa menanggung beban," ujarnya.
Dr Wan Azizah menambah, selagi tidak wujud perubahan ketara yang menjadi jurang di antara golongan kaya dengan miskin, PKR akan bersungguh-sungguh menentang GST kerana dalam keadaan inflasi yang masih tinggi, pelaksanaan GST akan menambah bebanan sara hidup rakyat. - HARAKAHDAILY, 30/4/2014

Himpunan 1 Mei: Manfaatkan hak rakyat tegur kerajaan

MUHAMMAD FAEEZ AZAHAR | .
IPOH: Seluruh rakyat Perak umumnya dan ahli PAS khususnya diseru menggunakan peluang himpunan rakyat yang akan diadakan pada 1 Mei ini di Kuala Lumpur sebagai platform untuk menzahirkan kekecewaan terhadap kerajaan yang menzalimi rakyat dengan himpitan pelbagai kenaikan.

Ketua Penerangan PAS Perak, Mohd Misbahul Munir Masduki berkata, rakyat ketika ini sedang menanggung derita dengan bebanan kos sara hidup yang tinggi akibat kenaikan barang dan pengurangan subsidi.

Katanya, ibarat jatuh ditimpa tangga apabila rakyat akan terus dihimpit dengan kesengsaraan oleh kerana cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan dilaksanakan pada tahun 2015 setelah diluluskan di parlimen baru-baru ini.

Menurutnya, kerajaan bersifat 'dungu' tanpa mengambil kira pandangan rakyat dan pakar-pakar ekonomi yang membantah perlaksaan sistem cukai itu oleh kerana ianya akan memberi kesan kepada kos kehidupan serta berisiko menambahkan lagi hutang negara.

"Rakyat patut tunjukkan rasa kecewa dan kesal betapa tidak bertanggungjawabnya kerajaan dalam membela nasib rakyat.

"Menghadiri himpunan ini adalah sebagai pernyataan sikap dan bantahan terhadap ketidakadilan, ketirisan, pembaziran, penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa kerajaan BN dalam mengurus lambakan khazanah negara," katanya kepada Harakahdaily.

Misbahul berkata, rakyat wajar menggunakan hak dan kuasa yang sebenar dalam himpunan ini bagi memberi isyarat bahawa BN sewajibnya ditolak dalam pilihanraya yang akan datang. - HARAKAHDAILY 30/4/2014

Cara PM mengelak hudud

SUBKY LATIF | .
Dalih Perdana Menteri Najib menepis hudud ialah tidak pernah kerajaan selama ini menolak hudud cuma ia tidak melaksanakan saja.
   
Sebelum hukum Allah itu hendak dilaksanakan dia mahu ulama muktabar yang sedia berijtihad menghalusi peraturan itu supaya matlamat pelaksanaannya dapat memberikan keadilan.
    
Dalam dalihnya itu seolah-olah surat Perdana Menteri Mahathir kepada Menteri Besar Kelantan yang memberi amaran jika enakmen jenayah syariyah 2 Kelantan dilaksanakan tindakan akan dikenakan sebagai kerajaan pernah menghalang.
    
Jawapan Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra tentang hukum rejam terhadap zina, nescaya habislah batu untuk membuat pembangunan kerana digunakan untuk merejam. Ia tidak dikira Najib sebagai menolak.
     
Jika Najib mahu ia dihalusi ulama muktabar dulu, tidak bijakkah beliau jika meneliti alasan Sultan Hasanal Bolkhiah menguatkuasakan hukum itu  di Brunei Darussalam mula 30 April 2014? Dari mana ambilan Sultan itu atas keputusan baginda dan kaedah yang akan digunakan bagi memastikan pelaksanaan itu mencapa keadilan di negara jiran yang terdekat itu.
    
Adakah alasan yang Najib beri itu satu hujah atau ia sekadar dalih untuk tidak menyokong jika usul persendirian PAS di Parlimen nanti.
    
Najib bagaimana pun mengaku hudud itu hukum Allah.
    
Mengikut adab Islam yang beriman apabila Allah menentukan sesuatu, maka jin dan manusia mandatori sami’na wa ata’na – dengar dan taat.
   
Sekalian nabi sami’na wa ata’na apa juga ketentuan Allah. Hanya iblis yang berdalih. Maka iblis digugurkan akidah dan jadilah ia kafir.
    
Apabila Alllah dan Rasul-Nya menetapkan sesuatu hukum, mandatori mukminin dan mukminat sami’na wa ata’na. Kecuali bas eksperes dilarang laju dari hadnya, yang Allah dan Rasul SAW tidak putuskan, bolehlah kerajaan  Malalysia halusi pelaksanaannya.
   
Adakah dengan kenyataan Najib dalam himpunan Yayasan Pondok  di Kedah itu masih dalam lingkungan hamba yang sami’na wa ata’na atau dia sudah termasuk dalam orang berloyar buruk terhadap pelaksasnaan hukum Allah itu?
   
Kewajipan siapa melaksanakan hudud, hukum yang ditentukan Allah dan Rasul-Nya?
    
Untuk sekalian orang-orang yang muttaqin – mereka yang takwa. Justeru orang-orang yang takwa itu tidak boleh bertindak sendiri, maka kewajipan pertama berada di tangan ulil amri. Bagi Malaysia ulil amri itu Yang Di Pertuan Agong dan sekalian Raja bertakhta.
   
Ulil amri memberi kuasa kepada Perdana Menteri dan Menteri Besar/Ketua Menteri menjalankan pemerintahan baginda pihak baginda ulil amri. Jika ketua kerajaan tidak sami’na wa ata’na dua pihak bertanya mengapa hudud ditangguhkan?
    
Pertama ulil amri yang sami’na wa ata’na kepada kepada Allah dan Rasul-Nya dan kedua rakyat yang takwa. Kewajipan kedua menegur kerajaan secara demokrasi. Kerana demokrasi itu juga institusi yang Islam boleh terima pakai, maka sesuatu boleh dibuat terhadap kerajaan yang banyak dalih.

Tiada ulasan: