Rabu, 7 Mei 2014

INI BUKAN DAH SETUJU...KENA SETUJU...NI BUKAN YAKIN TAPI MESTI YAKIN...DAH MACAM MELUKUT DITEPI GANTANG

Polis pernah setuju laksana hudud - Presiden PAS

NAZRI & SALMIYAH | FOTO M NASIR | .
KUALA LUMPUR: Pihak polis didakwa pernah menyatakan kesediaan jika Undang-undang Jenayah Syariah mahu dilaksanakan di negara ini.

Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, ketika isu itu timbul pada tahun 70-an, ketua polis negara pada masa itu Tun Hanif Omar menyatakan pihaknya bersedia jika undang-undang itu dilaksana.

"Saya masih ingat lagi satu seminar yang diadakan di UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia) melibatkan professor Ahmad Ibrahim dan Tun Salleh Abas. Saya juga hadir dalam seminar itu.

"Pada masa itu timbul kefahaman tentang undang-undang jenayah syariah sehingga ketua polis negara pada masa itu Tun Hanif Omar memberitahu polis tidak ada masalah untuk melaksanakan undang-undang syariah islam," katanya dalam temubual bersama Harakahdaily semalam.
Sejarah panjang
Perjuangan melaksanakan hukum syariah ini kata beliau bermula sejak zaman awal kemerdekaan negara lagi selepas pendakwah yang datang ke Malaysia membawa islam yang sempurna.

Malah bukti kewujudan undang-undang ini katanya boleh dilihat dengan warisan sejarah iaitu Batu Bersurat di Terengganu, dan undang-undang jenayah negeri Melaka yang tersimpan dalam sejarah dan diamalkan sehinggalah kedatangan penjajah pada 1511.

"Saya sempat bersama orang tua yang pernah menyaksikan undang-undang hudud dilaksanakan di Terengganu dan mereka menerima bagaimana wujudnya keamanaan semasa syariat itu dilaksanakan.

"Dan hilangnya kuasa syariah di Terengganu pada tahun 1928, kerana jatuhnya kerajaan. Bagi Terengganu mereka berusaha selama 80 tahun," katanya lagi.

Selepas itu kata Ustaz Hadi, isu tersebut timbul semula pada sekitar tahun 50-an namun mendapat cemuhan daripada Masyarakat yang ketika itu terpengaruh dengan fahaman sekular yang menyerap masuk dalam pentadbiran, pendidikan dan media.

Sehingga kata beliau, ada yang mencemuh, 'kalau laksanakan hukum Islam ini maka ramailah yang kena potong tangan, ramailah yang akan cacat'.

"Maka ketika itu berlaku pertembungan dalam masyarakat Islam itu sendiri sehingga mereka-reka cerita menimbulkan kafir mengkafir ketika itu.

"Sepatutnya penjelasan bukannya isu kafir-mengkafir," kata beliau.

Kemudian daripada itu, PAS menyertai kerajaan campuran bersama BN pada 1974.

Ketika itu PAS katanya telah berusaha memperkenalkan Islam khusus dalam undang-undang jenayah sehinggalah ditendang keluar 1978.
Umno tak hadir

Selepas PAS menang kali kedua di Kelantan pada tahun 1990, PAS sekali lagi berbincang untuk menggubal undang-undang jenayah syariah dan berjaya menggubalnya melibatkan qisas dan takzir.

Menurut beliau, sebelum dilulus di Kelantan melalui Dewan Undangan Negeri (Dun), terlebih dahulu dianjurkan satu seminar untuk didedahkan kepada umum dengan kerjasama Parti Melayu Semangat 46 di Hotel Concord tahun 1993.

"Kita menjemput parti-parti politik, kerajaan dan pembangkang, NGO Islam dan bukan Islam. Umno tidak hadir. Dan berlaku dialog dalam seminar itu. Saya dan Almarhum Haron Taib ditugaskan untuk membentangkan draf rang undang-undang itu," kata beliau.

"Kita menerima pandangan-pandangan, kritikan dan berbagai-bagai, kita menjawab semua persoalan dan hujah yang dikemukakan dan kita buat semula kepada jawatankuasa ini. Maka akhirnya setelah dikemaskini maka diluluskan dalam DUN Kelantan, saya difahamkan Tuanku Sulatan Kelantan tandantangani kelulusan cuma tidak digazetkan," katanya.

Langkah sama katanya dibuat di Terengganu selepas PAS menang pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1999.

"Akhirnya kita lulus di DUN Terngganu dan Tuanku Sultan Terengganu tandatangan dan digazetkan pada 1 Ramadan. Malaangnya PAS tidak menang di Terengganu pada 2004," jelasnya.

Sambut baik tapi hati-hati
Menurut beliau lagi, Isu hudud tidak wajar menjadi isu politik kenara ianya adalah tanggungjawab orang Islam.

Mengulas sambutan baik Umno setakat ini, beliau berkata PAS menerimanya secara positif namun tetap perlu berhati-hati.

Tegasnya, Umno yang menguasi kerajaan pusat perlu menggunakan segala kemudahan untuk memberi ruang kepada Kelantan bagi membolehkan undang-undang Islam ini dapat dilaksanakan.

"Isu ini adalah isu orang Islam, dan orang bukan islam jangan rasa bimbang dan rasa takut kerana ini berkait dengan orang Islam sahaja.

"Adapun orang bukan Islam sepatutnya tunggu, lihat dan faham. Kita bersedia untuk memberi penjelasan," katanya.

Menurut Ustaz Hadi lagi, undang-undang syariah kini satu keperluan kerana negara sedang menghadapi gejala jenayah yang sangat parah, khususnya jenyah yang berat dan tidak ada kehebatan undang-undang boleh membendungnya.

"Kehebatan undang-undang kena ada, malangnya kita dapati tidak ada kehebatan undang-undang, penjenayah tidak takut. Jadi perlu kepada satu undang-undang yang mendidik penjenayah supaya gerun.

"Dan perlu difahami konsep undang-undang jenayah Islam ialah mendidik masyarakat bukan menghukum masyarakat.

"Oleh sebab itu, konsep kehakiman Islamnya seorang hakim mesti mencari jalan untuk membebaskan orang yang dituduh, bukan hendak hukum semata-mata," katanya.
Beliau juga turut mengingatkan rakyat Malaysia supaya tidak mempolemikkan isu hudud ini sehingga melupakan penentangan terhadap isu Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA). - HARAKAHDAILY 7/5/2014

MCA sedia kaji keluar BN jika Umno sokong hudud

ANIS NAZRI | FOTO WAN ZAHARI | .

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden MCA, Datuk Ir Dr Wee Ka Siong menyatakan kesediaan untuk menilai semula kedudukan parti itu dalam BN, selain berbincang dengan rakan-rakan sekutu lain jika Umno bersetuju dengan pelaksanaan hudud yang ingin dilaksanakan Kelantan.

Wee bercakap demikian ketika Wacana Sinar yang bertajuk Hudud: Bersediakah Kita?, yang diadakan di Kompleks Karangkraf, petang ini.

Beliau yang merupakan salah seorang panelis wacana tersebut berkata demikian ketika ditanya adakah MCA bersedia untuk menilai semula kedudukan dalam BN memandangkan Umno menyatakan kesediaan untuk menyokong pelaksanaan hudud di Kelantan.

"Jika begitu keadaannya, (Umno sokong hudud), sudah sampai masanya kita berbincang dengan rakan-rakan sekutu dalam BN untuk menilai semula kedudukan kita dalam BN," kata beliau pada wacana tersebut.

Selain Wee, bekas Mufti Perlis, Prof. Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah, Timbalan Pengarah Institut Wasatiyah Malaysia, Jabatan Perdana Menteri, Dr Mushaddad Hasbullah merupakan panelis wacana tersebut. - HARAKAHDAILY 7/5/2014

Hudud: Ibarat kita baru nak beli kereta - Nik Amar

MUHAMMAD FAIZAL | .
KUALA LUMPUR: Hasrat Kelantan untuk membawa usul berkaitan undang-undang Syariah ke Parlimen adalah usaha untuk meletakkan undang-undang Islam itu ke tempat yang betul.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, ini kerana undang-undang syariah masih belum diterima di dalam negara ini.

"Cara mudah faham (ibaratnya) kita baru nak beli kereta bukan nak bawa kereta.

"Seperti hudud, kita baru nak cadang. Yang penting kita kena tengok meletakkan hudud pada tempat yang betul," katanya dalam Wacana Sinar Harian Siri ke-27 yang bertajuk "Hudud: Bersediakah Kita?"

Menurut beliau lagi, Kelantan mengakui terdapat syarat ketat dan memerlukan penelitian sebelum perlaksanaan hudud.

Namun katanya, sebagai orang Islam meletakkan hudud ditempatnya adalah satu kewajipan.

"Sekarang kita usaha untuk melepasi halangan hudud, soal kita bersedia atau tidak itu kemudian," katanya lagi.

Ditanya moderator Dr Maszlee Malik, adakah Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 bukan 'sebuah kereta', Mohd Amar berkata ia sebuah kereta namun 'tiada lesen'.

Beliau turut membawa kata-kata Imam Ghazali dalam kitabnya yang menyuruh seorang ayah memberi rotan dan gantung di belakang pintu bagi menakutkan seorang anak dari melakukan kesilapan.

"Soal nak pukul ke tidak itu perkara kedua," katanya.

Turut serta sebagai panel dalam wacana itu bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr Asri Zainul Abidin, Timbalan Pengarah Institut Wasatiyah Malaysia, Jabatan Perdana Menteri, Dr Mushaddad Hasbullah dan Timbalan Presiden MCA, Datuk Ir Dr Wee Ka Siong. - HARAKAHDAILY 7/5/2014

Artis berhijrah yakin rezeki daripada Allah

HARAKAHDAILY | .
MUTAAKHIR ini, kalangan artis dan celebriti yang berhijrah mendalami agama Islam semakin ramai. Walaupun menghadapi cabaran akan hilang sebahagian mata pencarian, namun ada juga yang rezekinya makin melimpah ruah. Semua itu dihadapi dengan tabah oleh mereka demi kecintaan kepada agama.

“Rezeki saya masih ada dalam industri dan tawaran masih diterima. Namun, Kalau dulu, lakonan menjadi perkara utama, kini tidak lagi. Saya lebih mengutamakan kerja-kerja dakwah dan kebajikan terlebih dahulu. Ada tawaran yang diberi terpaksa ditolak atas kepadatan jadual. Selain itu, saya juga akan lebih 'selektif' untuk memilih jalan cerita dan watak, bersesuaian dengan imej saya kini.” ujar Yatt Hamzah.

"Kalau nak dibandingkan dengan dahulu, memang sekarang susah sikit nak cari makan dalam bidang lakonan. Tapi, saya anggap ianya sebagai rezeki dari Allah SWT. Jika saya tidak dipilih, itu maknanya bukan rezeki saya," jelas Lisdawati.

Tambah Lisda, kekurangan tawaran lakonan membuatkannya terpanggil untuk menerima tawaran dalam bidang motivasi dan ceramah bebas.

“Alhamdulillah, tawaran persembahan, berlakon dan mengacara masih banyak saya dapat. Syukur, setiap minggu saya akan dapat undangan persembahan di seluruh Malaysia." kata Siti Nordiana.

"Tawaran yang diterima masih sama seperti dahulu. Saya tidak rasa penghijrahan ini memberi masalah buat golongan artis seperti saya kerana ianya terpulang kepada rezeki masing-masing." terang Enot.

"Saya akui, sejak berhijrah, tawaran lakonan semakin berkurangan. Namun, saya memandangnya sebagai perkara positif dan menganggapnya sebagai satu ujian dari Allah SWT. Walaupun kurang tawaran, namun, saya masih terlibat dalam pengacaraan dan bidang penulisan buku." ulas Diana Amir.

Semoga mereka terus istiqamah dalam perjuangan sabar dalam mendepani apa-apa juga cabaran.

- Sumber: Sinar Harian

Taksiran cukai pintu MBKT wajar dibantah

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Notis semakan senarai nilaian yang dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bertarikh 15 Mac 2014  kepada premis-premis kediaman dan perniagaan di kawasan MBKT wajar dibantah secara besar-besaran oleh rakyat.

Justeru, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menggesa MBKT menarik balik notis semakan itu.

"Jika diamati dengan teliti, cadangan kenaikan cukai taksiran MBKT untuk mengimbangi kos pengurusan pada tahun depan adalah tidak relevan," ujarnya dalam satu kenyataan.

Ini, katanya kerana Dana Khas Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri Terengganu khususnya daripada hasil minyak dan gas dianggarkan akan terus meningkat pada tahun 2014 dan 2015 sehingga meliputi 90% daripada jumlah hasil kerajaan negeri.

Oleh yang demikian, ujar beliau peningkatan hasil berkenaan sewajarnya tidak membebankan lagi kewangan rakyat sebaliknya ia mestilah diagihkan dengan lebih adil di samping mengelakkan perbelanjaan kerajaan negeri yang tidak perlu.

Katanya lagi, konsep cukai dalam Islam sewajarnya berdasarkan sesuatu yang mendatangkan hasil sedangkan cukai taksiran atau cukai pintu bukan sahaja dikenakan ke atas rumah sewa dan premis perniagaan tetapi juga rumah kediaman yang merupakan satu keperluan rakyat dan tidak diperniagakan.

"Kita akui bahawa berlaku kenaikan harga bagi setiap jenis hartanah yang boleh mempengaruhi anggaran sewa kasar semasa di Kuala Terengganu," ujarnya.

Namun, kata beliau cadangan penetapan kadar 10% bagi cukai taksiran tahun depan perlu dijustifikasikan secara adil kerana ia adalah tinggi dan berlaku secara mendadak.

Tambahnya, pihak MBKT juga harus bersikap telus dengan mengemukakan unjuran Anggaran Belanjawan Majlis serta kos pengurusan dan pembangunan tahun 2015 bagi mewajarkan cadangan penetapan kadar 10% tersebut.

Berdasarkan maklumat yang diperolehi, terdapat beberapa kes cadangan kadar baru cukai taksiran yang ditetapkan menjangkau sehingga 600 peratus. Peningkatan ini tidak masuk akal.

Ia juga, katanya harus mengambil kira bebanan kewangan yang ditanggung oleh rakyat setelah berlaku pelbagai pakej kenaikan harga barang dan perkhidmatan sejak tahun 2013 hingga tahun ini.

Pada April tahun depan pula, tambahnya Kerajaan Pusat akan mengenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebanyak 6% dan ia secara langsung akan memberikan impak inflasi sehingga ke 4.1% menurut sebahagian pengkaji ekonomi dan berlaku kenaikan mendadak sehingga 2% hingga 3% bagi Indeks Harga Pengguna.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat turut menyeru supaya rakyat Kuala Terengganu segera mengambil kesempatan waktu yang ada untuk membantah secara bertulis sehingga 2 Jun depan.

Menurutnya, PAS Terengganu akan bersama-sama dengan NGO-NGO negeri yang sedia ada akan memobilisasi bantahan dengan lebih meluas sehingga cadangan kenaikan cukai taksiran ditangguhkan. - HARAKAHDAILY 7/5/2014

Royalti: Tahniah Sarawak, teruskan desak Pusat

ANIS NAZRI | .
KUALA LUMPUR: Tindakan Dun Sarawak meluluskan usul agar royalti petroleum negeri itu dinaikkan dari lima peratus kepada 20 peratus disambut baik PAS Sarawak.

Lebih-lebih lagi, tuntutan kenaikan royalti itu termaktub dalam tawaran PAS Sarawak sebelum pilihan raya umum ke-13 (PRU13) lagi, tegas Setiausa Perhubungan PAS Sarawak, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus.

Dalam kenyataannya kepada Harakahdaily, hari ini Ahmad Kerdee berkata perkara itu merupakan satu berita baik yang ditunggu-tunggu selama ini bagi kesejahteraan semua anak Sarawak.

"Sebagai sebuah negeri yang menjadi penyumbang utama kepada BN dalam soal kerusi di Parlimen dan Dun, sudah semestinya pemimpin Sarawak mestilah berani dan konsisten mendesak Kerajaan Persekutuan yang juga ditadbir BN supaya akur akan tuntutan ini.

"Dengan semangat yang ada pada Ketua Menteri yang baru serta sokongan padu yang diberikan oleh hampir kesemua Adun Sarawak, baik dari BN atau PR, kini tiada alasan untuk Kerajaan Persekutuan BN menolak usul ini," tegas beliau lagi.

Lebih menarik lagi, tambah Ahmad Kerdee, usul berkaitan tuntutan kenaikan royalti ini dibawa oleh Adun Semop dari BN iaitu Abdullah Saidol.

Mengulas lanjut, Ahmad Kerdee berkata sudah pasti dengan penambahan royalti itu nanti, banyak perkara atau tindakan boleh dilakukan untuk rakyat Sarawak.

Beliau turut mengharapkan penambahan royalti ini juga sudah pasti dapat menyelesaikan banyak isu atau masalah yang wujud di Sarawak.

"Apapun sebagai respon awal, PAS Sarawak merakamkan ucapan tahniah kepada Dun Sarawak kerana berani dan berjaya meluluskan usul ini," kata Ahmd Kerdee.

Sebelum ini, 12 Tawaran PAS Sarawak telah dilancarkan pada 2012, yang mana empat dari 12 tawaran haasil dari pertambahan royalti adalah:

1) Mewujudkan Tabung Warisan Petroleum Anambiak Sarawak dan menawarkan Skim Khas kepada Golongan Wanita dan Anambiak Muda untuk memulakan perniagaan, pertanian dan latihan kemahiran;

2) Meningkatkan taraf keperluan asas seperti bekalan elektrik dan air bersih, terutama di kawasan luar bandar, rumah panjang dan perkampungan di pendalaman;

3) Menyiapkan Lebuhraya Pan-Borneo dan sistem pengangkutan serta pembangunan seimbang; dan

4) Mewujudkan peluang pekerjaan dengan menjadikan Sarawak sebagai hub agropolitan yakni pengeluar makanan utama dan Halal di Malaysia. Dengan ada peluang pekerjaan sebegini sudah pasti dapat meningkatkan tahap sosio ekonomi dan mengurangkan jurang kemiskinan.

Semalam, Dun Sarawak meluluskan usul untuk memohon Kerajaan Persekutuan menambah bayaran royalti minyak dan gas kepada negeri ini daripada lima peratus sekarang kepada 20 peratus.

 Usul yang dibentang Abdullah itu mendapat sokongan sebulat suara daripada 68 anggota dewan yang hadir pada mesyuarat tersebut. - HARAKAHDAILY 7/5/2014

Tiada ulasan: