Khamis, 1 Mei 2014

BUAT SEMUA KERJA NIAT KERANA ALLAH SEMATA2...BARU TAK BEREBUT2....KECUALI KERJA MAKSIAT

Telefon Azmin digodam untuk pecah belah Pakatan

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Telefon bimbit dan nombor talian yang digunakan oleh Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali, sekali lagi telah digodam oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Perilaku khianat ini dipercayai bertujuan untuk memecah belahkan perpaduan dalam kalangan pimpinan Pakatan Rakyat,” ujar kenyataan pejabat Timbalan Presiden PKR.

Justeru, menurut kenyataan itu tindakan segera sedang diambil. - HARAKAHDAILY 1/5/2014

Himpunan 1 Mei sebagai produk baru pelancongan

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: “Hari ini kita berada di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad, hari ini perhimpunan kita sebahagian dari produk baru pelancongan.

“Kita harap 1 Mei setiap tahun menjadi acara himpunan, harap Kementerian Pelancongan setuju,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar ketika berucap di hadapan kira-kira 40,000 peserta Himpunan Bantah GST berhampiran Dataran Merdeka, petang ini.

Katanya, himpunan rakyat adalah wujudnya demokrasi kepada rakyat.

Justeru, ujarnya kalau diberi kebebasan sedemikian beliau pasti lebih ramai pelancong yang datang.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata kerajaan telah meluluskan Akta GST di parlimen dan berharap himpunan hari ini sebagai mesej untuk kerajaan melihat bahawa rakyat menolak GST.

“Untuk belum terlewat, Dewan Negara tolak GST, lihat perkembangan yang ada hari ini, kerajaan perlu tarik balik akta tersebut,” tegasnya.

Menurutnya, GST terpaksa dilakukan untuk menambah pendapatan negara yang sepatutnya kerajaan mencari sumber lain, bukannya daripada poket rakyat.

“Pelaksanaan GST ini menyebab rakyat berpendapatan rendah terus tertekan. Saya katakan bahawa cukai ini tidak adil,” ujarnya lagi. - HARAKAHDAILY 1/5/2014

Kalau kita tidak lakukan jenayah takut apa - Vincent

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) mengambil ketetapan menyokong cadangan kerajaan Kelantan melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah 11.

Naib Ketuanya, Vincent Lee berkata, keputusan itu dibuat anggota jawatankuasa Dewan Harian DHPP baru-baru ini kerana sekarang masa paling sesuai bagi pelaksanaan perundangan syariah.

“Kalau kita tidak lakukan jenayah hendak takut apa. Lagi pun perundangan hudud hanya untuk orang Islam sahaja.

“Sebab itulah saya sedih apabila ada pihak yang tidak faham mendakwa wanita dan kanak-kanak akan teraniaya dengan perundangan hudud,” katanya pada ceramah penerangan hudud di Dataran Stadium Sultan Muhammad Ke IV malam tadi.

Hadir sama Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah, Penolong Setiausaha Agung PAS Pusat, Datuk Takiyuddin Hassan, anggota Exco, Datuk Dr Muhammad Fadzli Hassan, Ketua Dewan Ulamak PAS Kelantan, Datuk Hassan Mohamood dan wakil-wakil NGO.

Sebelum itu orang ramai yang hadir menunaikan solat hajat diimamkan anggota jawatankuasa Dewan Ulamak PAS Kelantan, Ustaz Nik Razi Nik Mat.

Pada program itu juga wakil-wakil NGO melafazkan ikrar sokongan penuh pelaksanaan hudud di Kelantan diketuai Pegerusi Peguam Syarie Kelantan, Nik Baharum Nik Abdullah.

Vincent Lee juga berkata, perundangan hudud bukan semata-mata untuk menghukum seseorang pesalah, sebaliknya memberi pengajaran kepada mereka dan orang lain.

“Pengajaran yang boleh membawa kepada keinsafan dan bukannya menghukum. Lagi pun sekarang jenayah semakin menular dan tidak mampu lagi dibendung undang-undang yang ada.

“Oleh itu kami DHPP memberi sokongan penuh bagi membolehkan perundangan hudud dapat dilaksanakan bermula di Kelantan,” ujarnya.

Menurutnya juga beliau menasihat media-media berbahasa Cina tidak menyiarkan kenyataan mengenai hudud dikeluarkan mereka yang tidak faham kerana ia boleh mengelirukan orang ramai.

Kerajaan Kelanta pada 2 April lalu mengambil keputusan untuk membawa usul persendirian ke parlimen bagi membolehkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II yang dilulus sejak 1993 dapat dilaksanakan.

Pada petang semalam Vicent Lee turut menemui Mohd Amar dan Dr Muhammad Fadzli di Kota Darulnaim bagi mendapat gambaran lebih jelas mengenai perundangan hudud. 

Masih ada individu dikesan terbabit kegiatan militan

BERNAMA | .
JITRA: Polis mengesan masih ada beberapa individu yang dipercayai terbabit dengan kegiatan militan, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar. 
Beliau berkata, pihaknya ada mengesan suspek-suspek di beberapa negeri dan akan melakukan operasi untuk menahan mereka.   
"Ada lagi (suspek)... sudah tangkap nanti kita akan umumkan," katanya ketika ditemui selepas sambutan Hari Pekerja di Dewan Wawasan di sini hari ini.   
Pada 28 April lepas, sembilan ditahan Polis Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas, Bukit Aman.
Mereka berumur antara 22 hingga 55 termasuk seorang wanita, tiga ditahan di Kedah dan enam di Selangor.   
Seorang lagi individu yang juga dipercayai terlibat dengan kegiatan militan ditahan di Kuala Lumpur pada 29 April, menjadikan jumlah keseluruhan yang ditangkap ialah 10 orang. - Bernama

Himpunan 501: Orang ramai mula banjiri ibu negara

HARAKAHDAILY | .
 
Anggota Unit Amal mendengar taklimat di pekarangan Masjid Negara.
KUALA LUMPUR: 12.00 PM - Dua jam menjelang Himpunan 501 Bantah GST yang akan berlangsung di ibu negara hari ini, orang ramai sudah mula sampai di tempat-tempat perkumpulan yang ditetapkan penganjur.

Di hadapan kompleks membeli-belah Sogo, oarang ramai mula tiba di sini sejak jam 10 pagi tadi.

Ada di kalangan mereka memakai baju merah iaitu warna tema himpunan manakala ramai juga yang hanya memakai pakaian biasa.

Turut kelihatan pimpinan PAS termasuk Ahli Parlimen Tumpat Datuk Kamarudin Jaffar dan Ahli Parlimen Kuala Kerai Dr Mohd Hatta Ramli yang tiba di kawasan Sogo sekitar jam 11 pagi tadi.

Beberapa tempat ditetapkan penganjur sebagai tempat perkumpulan awal sebelum bergerak menuju ke Jalan Raja, Dataran Merdeka.

Antaranya termasuklah, Masjid Negara, Dataran Maybank, KLCC dan Sogo.

Perhimpunan hari ini turut mendapat kerjasama pihak polis dan penganjur dibenarkan berhimpun di Jalan Raja berhadapan Dataran Merdeka.

Polis bagaimanapun menegaskan peserta himpunan tidak boleh memasuki padang Dataran Merdeka kerana ia sedang dalam proses menaik taraf.

Berikut antara gambar-gambar awal yang dikongsi peserta himpunan yang telah tiba di kawasan himpunan.





MH370: Keluarga mangsa gesa M'sia beli data Inmarsat

Niam Seet Wei | .
BEIJING: Keluarga warga China yang menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 mencadangkan pihak berkuasa Malaysia supaya membeli data yang belum diproses daripada syarikat satelit UK Inmarsat.
  
Seorang anggota keluarga itu mencadangkan supaya data itu dikongsi dan diakses secara global bagi membolehkan ia dianalisis oleh pakar-pakar penerbangan.
  
"Biar seluruh dunia turut serta dalam kerja-kerja analisis ini," kata beliau kepada kumpulan teknikal Malaysia pada majlis taklimat di sini, hari ini.
  
Anggota keluarga itu juga mencadangkan penubuhan sebuah dana untuk memberi ganjaran kepada individu atau pihak yang menemui pesawat MH370.
  
Wakil MAS, Subas Chandran berkata beliau akan menyampaikan permintaan itu kepada pasukan penyiasatan yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Sementara itu, Sayid Ruzaimi Syed Aris, wakil dari Jabatan Penerbangan Awam Malaysia berkata Malaysia tidak akan menghentikan operasi mencari dan menyelamat pesawat MH370.
  
Dalam taklimat lebih tiga jam itu, rakaman audio antara MH370 dan pusat kawalan penerbangan turut disiarkan kepada anggota keluarga, yang kemudian meminta supaya transkrip rakaman diterjemahkan ke dalam bahasa China.
  
Anggota keluarga turut diberi penerangan mengenai isu-isu teknikal seperti Transmiter Pengesan Kecemasan (ELT), analisis data satelit serta kotak hitam pesawat.
  
Operasi mencari pesawat Boeing 777-200ER itu kini memasuki bulan kedua sejak kehilangannya pada 8 Mac.
  
MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang daripada imbasan radar pada 8 Mac ketika dalam penerbangan ke Beijing kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.

Tujuh belas hari kemudian, Inmarsat dan Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB) merumuskan bahawa Penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi.
  
Pencarian pesawat itu masih diteruskan. - Bernama

 Datuk Mustafa Ali diarah membayar ganti rugi RM100,000 kepada FELDA
Posted on Thursday, May 01 @ 15:03:04 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur



Kuala Lumpur: Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan Ketua Pengarang Harakah serta tiga pihak lain diarah membayar ganti rugi RM100,000 kepada FELDA kerana memfitnah agensi itu menjual minyak sawit mentah kepada Israel.

FELDA berjaya tunjuk bukti

Arahan ganti rugi itu dikeluarkan Hakim Mahkamah Tinggi, Lee Heng Cheong, selepas mendapati FELDA berjaya membuktikan ia tidak menjual minyak sawit mentah kepada Israel seperti didakwa semua defendan.

Heng Cheong mendapati dua artikel yang disiarkan lidah rasmi PAS, Harakah mengenai isu itu mampu menimbulkan fitnah terhadap agensi berkenaan.

Katanya, artikel itu didapati memfitnah FELDA dan semua defendan gagal membuktikan pembelaan keistimewaan bersyarat serta komen yang adil.

Selain Mustafa dan Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman, tiga defendan lain ialah pengarangnya, Taufek Yahya; penulis artikel Mohd Arif Atan dan pencetak, Angkatan Edaran Ent Sdn Bhd.
Heng Cheong turut memerintahkan semua defendan membayar kos berjumlah RM30,000 kepada plaintif.

Beliau bagaimanapun menolak saman FELDA terhadap Presiden Persatuan Anak Peneroka FELDA Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman selepas memutuskan Mazlan berjaya membuktikan pembelaan keistimewaan bersyarat dan komen yang adil berdasarkan isu kepentingan awam.

Heng Cheong sehubungan itu memerintahkan FELDA membayar kos RM30,000 kepada Mazlan.


Komen berbaur fitnah

Dalam pernyataan tuntutan yang difailkan pada 7 Januari tahun lalu, FELDA mendakwa Mazlan (defendan pertama) memuat naik dalam laman Facebooknya pada 19 November 2012, gambar invois dan keterangan gambar yang berbaur fitnah, selain membuat kenyataan sama pada perhimpunan di hadapan pejabat FELDA empat hari kemudian.

FELDA mendakwa kenyataan itu diterbitkan semula oleh defendan kedua hingga keenam (Mustafa, Ahmad Lutfi, Taufek, Mohd Arif dan Angkatan Edaran Ent) dalam beberapa artikel Harakah antara 26 dan 29 November 2012.

Ia menegaskan kenyataan itu menjejaskan reputasi FELDA dan mendakwa defendan berbuat demikian dengan niat mencapai agenda peribadi untuk memusnahkan kepercayaan orang ramai terhadapnya.

Turut disaman FELDA ialah Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, berhubung artikel bertajuk 2,000 Himpun Bantah Felda Jual Minyak ke Israel dan BN Jangan Tipu Rakyat bertarikh 27 November 2012, yang disiarkan dalam Suara Keadilan.


Selesai saman cara baik

Bagaimanapun, pada 21 April lalu kes saman fitnah terhadap Saifuddin diselesaikan secara baik. Saifuddin bersetuju untuk menerima dan mengakui bahawa Felda IFFCO Oil Product Sdn Bhd membuat penghantaran ke Palestin dan bukan Israel dan tidak pernah menjual minyak sawit mentah kepada Israel atau mana-mana syarikat milik Israel.

Dalam penghakiman ringkasnya semalam, Heng Cheong berkata, FELDA berjaya membuktikan ia tidak menjual minyak sawit mentah kepada Israel.

Katanya, FELDA adalah satu entiti berasingan daripada FELDA Iffco Oil Product Sdn Bhd (FIOP) dan FELDA Global Ventures Downstream Sdn Bhd (FGVD) dan mahkamah mendapati FIOP tidak menjual minyak sawit mentah kepada Bunge Singapore Agribusiness Pte Ltd yang didakwa syarikat Israel.

FELDA diwakili peguam, Datuk Mohd Hafarizam Harun, manakala semua defendan diwakili peguam, Azhana Mohd Khairuddin.

BERITA HARIAN


Tiada ulasan: