Rakyat
dari “Benua India” yang beragama Islam nampaknya menguasai semua
perniagaan sama ada yang besar mahupun yang paling kecil sekali.
Perniagaan hotel, walau pun hotel-hotel itu bukan hak milik mereka,
tetapi penguasa dan pengendalian hotel-hotel tersebut dilakukan rakyat
dari benua itu. Begitu juga dengan perniagaan makanan, dari restoran
besar sehingga kepada gerai-gerai tepi tembok, tepi jalan, tepi-tepi
mana pun dan sudut-sudut mana pun dimonopoli oleh mereka.
Tidak
ada satu ruang pun yang boleh kita mencelah melihat rakyat tempatan
yang ada menjalankan perniagaan tersebut. Kedai makan misalnya, semuanya
di kuasai oleh mereka. Mereka menjual aneka jenis makanan sama ada yang
berat mahu pun yang ringan-ringan. Cakap apa saja perniagaan yang ada
di seluruh Arab Saudi itu, siapa yang menjalankan perniagaannya?
Sehingga pasar lambak di tepi jalan pun dikuasai oleh mereka. Apabila
kita pulang dari masjid terutama pada waktu sembahyang subuh, maka
laluan tempat penginapan itu lebat dengan jualan lambak. Serba serbinya
ada. Mahu jubah, mahu ketayap, mahu tasbih, mahu perhiasan-perhiasan
tangan, kaki, telinga, hidung semuanya ada dipasar lambak selepas waktu
sembahyang asar, maghrib dan isyak serta subuh kecuali waktu zohor tidak
ada kerana waktu ini terlalu panas, mereka tidak tahan berjemur.
Dulu
sebelum pembangunan dilancarkan dimana hotel-hotel lama masih ada,
kedai-kedai lama dan bazar-bazar lama masih wujud, kita boleh membeli
semuanya ini melalui bazar-bazar dan kedai-kedai tersebut. Oleh kerana
sekarang semuanya sudah dibersihkan dan dirobohkan, mereka ubah cara
berniaga dengan mengadakan “pasar lambak”. Bagaimana pun, pasar lambak
ini masih dianggap “tidak sah” dari segi undang-undang Majlis
Perbandaran Makkah. Mereka ini dihambat oleh pegawai-pegawai
penguatkuasa yang sentiasa meronda di kawasan-kawasan berkenaan. Yang
menghairankan, para peniaga pasar lambak ini kenal dan tahu watak dan
wajah penguatkuasa itu.
Apabila
mereka melihat wajah mereka, maka lintang pukang mereka membungkus
barang-barang jualan lambak terus lari. Kadang-kadang kita sedang
memilih-milih barang yang kita berkenan, tiba-tiba sahaja peniaga
membungkus, dan lari. Kita pula terpaksa mengejar mereka untuk membayar
harga yang sudah kita ambil. Bagi kita tentulah tidak kenal pegawai
penguatkuasa itu, kerana pakaian mereka sama saja dengan pakaian
orang-orang yang baru pulang dari masjid, tetapi bagi peniaga pasar
lambak cukup kenal. Bercakap tentang perniagaan makanan, bagi kaum India
yang menjalankan perniagaan itu meletakkan harga “ikut suka”nya saja.
Kalau dia rasa satu mangkuk plastik dalca tujuh atau lapan riyal, dia
akan beri tahu kita dengan harga itu.
Tetapi
harga yang sebenarnya yang biasa kita beli ialah antara tiga riyal atau
pun empat riyal, kalau paling tinggi pun lima riyal. Tetapi dilihatnya
jemaah ini bukan dari rakyat tempatan atau pun bukan dari Benuanya, dia
pun “ketuk” atau pun “sembelih” ikut harga yang dia mahu sendiri. Inilah
yang terjadi sekarang. Saban tahun kita ke sana dan membeli barang
makanan, harganya sentiasa naik sahaja. Tidak ada yang turun pun.
*Sumber dari saudagarseposen.blogspot.com
# Harakahdaily tidak
bertanggungjawab di atas segala info yang ditulis oleh pihak pengendali
blog. Pandangan penulis blog tidak mewakili Harakahdaily.
Bil elektrik surau negatif RM435.27
Posted on Saturday, May 17 @ 13:25:51 MYT
Dilulus untuk paparan oleh lararatu
"
Sudah
agak lama bil elektrik dan bil air surau di tempat saya negatif. Bulan
ni sampai negatif RM435.27 dan bil air pula negatif RM80. Entah siapa
yang bayarkan, tiada siapa yang tahu. Semoga lebih ramai lagi yang
memberi sumbangan kepada surau, masjid, sekolah tahfiz, cawangan, Pasti
dalam apa jua bentuk.
Sudah sampai masanya masjid-masjid dan surau-surau tidak perlu lagi meletakkan tabung yang menjadi tumpuan para pencuri.
Era
teknologi maklumat, e-banking ni, letakkan saja nombor akaun masjid dan
surau, atau no akaun bil elektrik dan air masjid serta surau.
Semoga tidak lagi kedengaran kes mencuri tabung masjid selepas ini.
Yakinlah rezeki kita ALLAH dah tentukan, kita hanya perlu berusaha dan berdoa.
"
................................
Dihantar untuk paparan TKO (Tranungkite)
Oleh: rozmal
Posted on Saturday, May 17 @ 13:25:51 MYT
Dilulus untuk paparan oleh lararatu
Pemimpin umno macam sarkas - Agus
Posted on Saturday, May 17 @ 15:20:28 MYT
Dilulus untuk paparan oleh lararatu
KUALA LUMPUR:
Konflik Umno Terengganu seperti tergambar pada peletakan jawatan Dato’
Seri Ahmad Said sebagai Menteri Besar dan pengumuman keluar parti tiga
Adun lain sehingga 13 Mei lalu disifatkan ahli akademik sebagai
“sarkas”.
Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof
Madya Dr Mohammad Agus Yusoff berkata, penafian pertukaran Menteri Besar
(MB) ketika sambutan Ulang Tahun Umno ke-68 mengulang tindakan Perdana
Menteri menyangkal tarikh pembubaran Dewan Rak yat pada 2008 lalu.
“Meriah
suasana ulang tahun Umno dengan potongan kek dan semangat untuk terus
kuat. Tibatiba semalam (12 Mei) MB Terengganu meletakkan jawatan dan
digantikan dengan MB baru.
“Macam sarkas sahaja kata-kata pemimpin Umno ini, menafikan hal yang betul-betul akan berlaku.
Mengapa tidak belajar dari pengalaman tahun 2008 dahulu yang akhirnya berlaku tsunami politik?” ujarnya.
Menurut
Agus yang juga Ketua Program Sains Politik Pusat Pengajian Sejarah,
Sains dan Strategi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM,
pembubaran Dun di Terengganu perlu dilakukan dengan menyerahkan
pemilihan semula kepada rakyat negeri itu.
“Itu yang terbaik untuk menjunjung demokrasi. Kedudukan kerusi di Dun Terengganu sekarang BN 14, Pakatan Rakyat 15 dan Bebas 3.
“Jadikan
pengalaman di Perak, Februari 2009 dahulu sebagai pengajaran. Jika
tidak mahu pilihan raya atas alasan penjimatan kos, buatlah undi tidak
percaya di lantai Dewan,” jelasnya dipetik daripada Facebook beliau.
Pada
masa sama, beliau mengingatkan PAS dan KeADILan supaya membiarkan Adun
atau Ahli Parlimen dari Umno keluar parti tanpa pujukan dan sogokan.
sumber
‘Israk & Mikraj. Fakta Relevan Perlu Diketahui.
Posted on Friday, May 16 @ 20:09:10 MYT
Dilulus untuk paparan oleh lararatu
"Setelah
sebahagian masa berharga ribuan peminat web ini terbazir begitu sahaja
kerana melayan-baca kisah berunsur ‘lawak mega’ segelintir pemain
politik di bumi penyu bertelur; maka
marilah kita berikan sedikit
masa pula kepada suatu yang lebih faedah iaitu melihat kembali
fakta-fakta relevan Israk Mikraj yang bakal menjelma pada 27 Rejab, Mei
ini.
Inilah fakta Israk Mikraj dari guru kita[1]:-
Maksudnya: Maha
Suci Allah, yang Telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari
Al Masjidil Haram ke Al Masjidil Aqsa yang Telah kami berkati
sekelilingnya [Maksudnya: Al Masjidil Aqsa dan daerah-daerah sekitarnya
dapat berkat dari Allah dengan diturunkan nabi-nabi di negeri itu dan
kesuburan tanahnya] agar kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari
tanda-tanda (kebesaran) kami. Sesungguhnya dia adalah Maha mendengar
lagi Maha Mengetahui}. [Surah Al-Isra’: 01]
Penentuan masa berlakunya peristiwa bersejarah ini terdapat sedikit khilaf, antara pendapat-pendapat tersebut ialah:
1. At-Thabari menentukan berlakunya di tahun Baginda s.a.w dibangkitkan [diutuskan sebagai rasul].
2. An-Nawawi dan al-Qurtubi mentarjihkan berlaku di tahun kelima kebangkitan Baginda s.a.w.
3. Al-‘Allamah al-Mansurfuri menetapkan pada malam 27 di bulan Rejab tahun kesepuluh kebangkitan Baginda s.a.w.
4. Pendapat lain mengatakan 16 bulan sebelum hijrah iaitu di bulan Ramadhan tahun dua belas kebangkitan Baginda s.a.w.
5. Ada pendapat setahun dua bulan sebelum hijrah iaitu di bulan Muharram tahun ketiga belas kebangkitan Rasulullah s.a.w
6.
Satu lagi pendapat menyebut berlakunya setahun sebelum hijrah iaitu di
bulan Rabiulawal tahun ketiga belas kebangkitan Baginda s.a.w.
Ketiga-tiga
pendapat yang terawal [1-3] ditolak kerana Sayyidah Khadijah r.a telah
wafat di dalam bulan Ramadhan tahun kesepuluh kebangkitan Baginda,
kewafatan beliau adalah sebelum sembahyang lima waktu difardhukan, dan
tiada khilaf bahawa sembahyang itu mememang difardhukan di malam
berlakunya Isra’ dan Mi’raj itu.
Manakala tiga pendapat terakhir,
Dr Basit sendiri tidak dapat mentarjihkan yang mana satu pun. Namun
gaya bahasa surah al-Isra’ itu menunjukkan Isra’ itu berlaku di ketika
masa-masa yang terakhir sebelum hijrah.
Peristiwa Isra’ Mi’raj berdasarkan hadis sahih”, ringkasannya:
Ibnu
al-Qayim telah menyebut: Rasulullah s.a.w relah diisra’kan jasadnya
dari masjid al-Haram ke Baitul Maqdis dengan menunggang buraq, dengan
ditemani oleh Jibril a.s, Rasulullah s.a.w turun ke Baitul Maqdis dengan
mengimami sembahyang, bersama para nabi-nabi a.ss yang terdahulu, buraq
ditambat di halaman masjid al-Aqsa.
1. Langit terdekat-1.
Setelah itu Rasulullah s.a.w dimi’rajkan di malam yang sama dari Baitul
Maqdis ke langit terdekat, lalu Jibril meminta supaya pintu langit
dibuka, setelah dibukanya, di sana Rasulullah s.a.w telah melihat Adam
a.s bapa sekalian manusia, Baginda pun s.a.w memberi salam kepadanya,
Baginda dialu-alukan dan membalas salam dan Baginda s.a.w diperakukan
sesuai dengan kenabiannya. Allah SWT memperlihatkan kepada Baginda
roh-roh para syuhada’ di sebelah kanan dan roh-roh yang terseksa di
sebelah kirinya.
2. Langit Kedua. Jibril a.s meminta
supaya dibuka pintu langit, setelah dibuka mereka memasukinya dan di
sana didapati nabi Yahya bin Zakaria dan Isa Ibni Mariam a.s, diberinya
salam lalu dijawab salam dan dialu-alukan mereka, disamping memperakui
kenabian Muhammad s.a.w.
3. Langit Ketiga. Mereka bertemu
dengan Nabi Yusof a.s, setelah salam diberikan dan disambut Baginda
s.a.w dialu-alukan dan diperakui kenabiannya.
4. Langit Keempat.
Mereka berjumpa dengan Nabi Idris a.s. Rasulullah memberi salam
kepadanya dan beliau menjawabnya. Baginda s.a.w dialu-alukan dan diakui
kenabiannya.
5. Langit Kelima. Baginda s.a.w bertemu
dengan Nabi Harun bin Imran a.s, Baginda s.a.w menjawab salam yang
diberi, Baginda s.a.w dialu-alukan dan diakui kenabiannya.
6. Langit Keenam.
Baginda s.a.w bertemu dengan Musa bin Imran a.s, Baginda s.a.w memberi
salam dan dijawab serta dialu-alukan dan diperakui kenabiannya. Setelah
Rasulullah s.a.w ingin bertolak dari tempat Musa a.s, Musa pun menangis,
lalu di tanya Musa a.s apakah yang membuatmu menangis? Jawab Musa a.s:
aku menangis kerana orang yang diutuskan selepas ku, umatnya memasuki
syurga lebih ramai dari umatku
7. Langit Ketujuh,
padanya Baginda s.a.w menemui Ibrahim a.s, setelah salam diberi dan
dijawab, Baginda s.a.w dialu-alukan dan diakui kenabiannya. Sesudah itu
Baginda s.a.w dimi’rajkan ke Sidratul Muntaha dan dibawa ke al-Baitul
Makmur.
8. Akhirnya, Baginda s.a.w dimi’rajkan ke hadapan Allah
al-Jabbar Jalla Jalaluh, Baginda s.a.w menghampiri-Nya di kedudukan
paling dekat, maka difirman dan diwahyukan kepada hamba-Nya Muhammad
s.a.w segala sesuatu, difardhukan ke atas Baginda s.a.w solat 50 waktu,
dengan itu Baginda s.a.w pun turunlah untuk pulang dan dipertengahan
jalan Baginda s.a.w melalui Musa bin Imran a.s yang bertanyakan kepada
Rasulullah s.a.w: dengan apa engkau diperintahkan? Jawab Baginda s.a.w:
Daku difardhukan dengan 50 waktu solat. Jawab Musa a.s: Umat kau tidak
akan mampu, kembalilah kepada Tuhan SAW, pohon kepadanya pengurangan,
demi untuk umatmu, Baginda s.a.w berpaling kepada Jibril a.s bagaikan
untuk mendapat pandangan maka Jibril a.s pun memberi persetujuan dengan
pendapat Musa a.s itu, dengan itu Jibril a.s membawa semula kehadapan
Tuhan Rabbul Jalil, justeru itu Allah SWT pun mengurangkan sehingga
tinggal 10 waktu sahaja, maka Baginda s.a.w turun, semasa itu sekali
lagi Baginda s.a.w melewati Musa a.s, Baginda s.a.w menceritakan apa
yang berlaku, maka kata Musa a.s sekali lagi sebagai menasihati, ayuh
pulanglah semula kepada Tuhanmu SWT dan mintalah agar dikurangkan lagi,
demikianlah Rasulullah s.a.w berulang–alik di antara Allah Rabbul Jalil
dan Musa a.s, dengan itu Allah SWT telah mengurangkan, hingga tinggal
menjadi 5 waktu solat sahaja, masih lagi Musa a.s menyuruh Rasulullah
s.a.w mengatakan: Sesungguhnya aku terasa malu, malah setakat inilah aku
merelai dan menerima perintah-Nya itu, setelah jauh, Baginda s.a.w
diseru: Sesungguhnya Aku menguatkuasakan solat fardu dan Kuringankan
keatas hamba-hamba-Ku.
Peristiwa Isra’ Mi’raj. Baginda s.a.w menyaksikan berbagai-bagai perkara:
1. Telah
dipersembahkan kepada Baginda s.a.w susu dan khamar, namun Baginda
s.a.w memilih susu, maka disebutkan kepada Baginda s.a.w: Engkau
telah menunjukkan kepada fitrah atau telah menepati fitrah, tapi
sekiranya engkau mengambil khamar nescaya sesatlah seluruh umatmu.
2. Baginda telah menemui empat sungai di dalam syurga, dua sungai zahir
dan dua sungai batin. Dua sungai zahir adalah sungai Nil dan Furat, ini
bermakna agama dan risalah yang dibawanya akan bertapak di
lembah-lembah subur Nil dan Furat, penduduknya merupakan
pendokong-pendokong agama Islam dari generasi ke generasi yang lain,
bukanlah bererti yang airnya mengalir dari syurga.
3. Juga
Baginda s.a.w melihat malaikat Malik penjaga neraka, yang tidak pernah
senyum malah di mukanya tiada sedikit pun tanda mesra atau lembut,
Baginda s.a.w melihat syurga dan neraka.
4. Baginda menyaksikan
pemakan-pemakan harta anak yatim secara zalim, mulut-mulut mereka bak
mulut-mulut unta, dilontarkan ke dalam rahang mulut mereka
ketulan-ketulan api neraka bak harimau meluru keluar dari dasar neraka
keluar melalui dubur mereka.
5. Baginda menyaksikan
pemakan-pemakan riba dengan perut yang besar, kerananya mereka tidak
berupaya bergerak dari tempat-tempat mereka, dan keluarga Firaun lalu di
hadapan mereka dan melanyak mereka dengan tapak kaki.
6.
Penzina-penzina diletakkan di hadapan mereka daging-daging elok dan
segar di samping daging buruk dan busuk, namun mereka memilih dan
memakan yang busuk, ditinggalkannya yang segar. Baginda s.a.w
menyaksikan sekumpulan wanita yang masuk ke dalam majlis lelaki yang
bukan anak-anak mereka, mereka digantung dari (menggunakan)
payudara-payudara mereka.
7. Juga Baginda s.a.w melihat
sekumpulan unta penduduk Makkah yang sedang dalam perjalanan. Pada masa
itu Baginda s.a.w telah menunjukkan mereka unta yang mereka hilang itu,
dan Baginda s.a.w telah meminum air dari bekas-bekas mereka yang
tertutup kemas sedang mereka nyenyak tidur. Selepas habis diminum,
Baginda s.a.w menutup kembali tudungnya, kejadian ini menjadi bukti
kebenaran kepada peristiwa Isra’ Mi’raj yang diceritakan oleh Rasulullah
s.a.w.
Ibnu al-Qayim berkata: Setelah Rasulullah s.a.w berada di
pagi subuh bersama-sama kaumnya dan menceritakan kepada mereka
tanda-tanda yang agung (al-Ayat al-Kubra) yang diperlihatkan Allah SWT
dan Rasul-Nya, maka semakin ingkar kafir Quraisy dengan risalah Muhammad
s.a.w, semakin bengis lagi mereka menyiksa kaum Muslimin. Namun
demikian, mahu juga mereka bertanya Rasulullah s.a.w supaya
menggambarkan rupa bentuk Baitul Maqdis, maka Allah membuka penglihatan
Rasulullah s.a.w sehingga tergambar Baitul Maqdis itu di hadapan
matanya, dengan itu Rasulullah s.a.w pun menceritakan segala sesuatu
mengenai dengannya hingga mereka tidak mampu untuk menolak atau
mendustainya, dan Baginda s.a.w menceritakan juga mengenai
kumpulan-kumpulan unta mereka, semasa pemergian dan kepulangan Baginda
s.a.w, juga Baginda s.a.w menceritakan unta-unta yang akan tiba dan
menyifatkan unta yang akan mendahului kafilahnya, dan benar sebagai yang
diceritakan oleh Rasulullah s.a.w namun mereka semakin angkuh dan
ingkar, memang sesungguhnya orang yang zalim itu semakin kufurlah
mereka.
Adapun Abu Bakar r.a digelar dengan gelaran as-Siddiq
kerana pembenaran dan kepercayaan beliau dengan peristiwa Isra’ dan
Mi’raj, sedangkan ramai manusia mendustainya. {untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami}. [al-Isra’ : 1]
Ini adalah sunnah dan qanun Rasulullah kepada para anbiya’ Nya, sebagaimana penegasan Allah kepada Ibrahim a.s. “…dan
demikian Kami memperlihatkan kepada Nabi Ibrahim kebesaran dan
kekuasaan (Kami) di langit dan di bumi, dan supaya menjadilah ia dari
orang yang percaya dengan sepenuh-penuh yakin” (al-An’aam: 75).
Dan penegasan Allah SWT kepada Musa a.s. “….(Berlakunya
yang demikian itu) kerana kami hendak memperlihatkan kepadamu,
sebahagian daripada tanda-tanda kekuasaan kami yang besar.” (Thaha: 23)
Penyusunan program Isra’ Mi’raj ini bertujuan untuk memberi keyakinan:
“…dan supaya jadilah ia dari orang yang percaya dengan sepenuh-penuh yakin”. (al-An’am : 75)
Setelah
ilmu dan makrifat para nabi ini berdasarkan penyaksian tanda-tanda
agung (al-Ayat al-Kubra) tadi, darinya mereka memperolehi ‘Ain al-Yakin
(yakin hakiki) yang tidak dapat dinilai kadarnya, kerana berita
pengkhabaran itu tidak boleh disamakan dengan penyaksian dua mata
kepala, hasilnya mereka lebih mampu untuk menanggung risiko dakwah yang
bakal mereka garap dan tempuhi, seluruh tenaga dunia yang menentang
mereka hanya seberat nyamuk sahaja, untuk itu mereka tidak menghiraukan
segala pancaroba dan ancaman terhadap mereka.
Teks Khutbah sempena Isra' Mikraj: Membebaskan Baitul Maqdis[2]
Memperingati
peristiwa Isra’ Mikraj bererti memperingati perjuangan Rasulullah SAW.
Rasulullah SAW diutus untuk menyempurnakan satu misi yang mengambil masa
selama 23 tahun. Seerah ataupun perjalanan hidup Rasulullah SAW ini
merupakan khazanah yang tidak ternilai...
Memperingati peristiwa
Isra’ Mikraj bererti memperingati perjuangan Rasulullah SAW. Rasulullah
SAW diutus untuk menyempurnakan satu misi yang mengambil masa selama 23
tahun. Seerah ataupun perjalanan hidup Rasulullah SAW ini merupakan
khazanah yang tidak ternilai kepada umat Islam yang melaksanakan misi
yang telah diwariskan kepada umat yang datang kemudian. Ini ditegaskan
di dalam khutbah wida' (haji perpisahan) ketika Nabi berpesan 'hendaklah
mereka yang hadir menyampaikan kepada yang tidak hadir agar yang tidak
hadir lebih memahami. Mereka yang tidak hadir itu ialah umat Islam yang
datang silih berganti dari satu generasi kepada satu generasi dan mereka
semua dituntut untuk memahami tugas yang diamanahkan kepada mereka
iaitu menyeru kepada al-khair (Islam), menyuruh kepada ma'ruf dan
menghalang dari kemungkaran. Inilah misi besar yang ditaklifkan ke atas
umat Islam sepanjang zaman.
Peristiwa Isra’ Mikraj pastinya
berkait rapat dengan tanah suci al-Quds di Palestin. Sudah tentu
peristiwa besar yang dialami Rasulullah SAW ini sangat relevan di dalam
memahami tuntutan perjuangan membebaskan Baitul Maqdis dan Masjid
al-Aqsa yang merupakan tempat singgahnya Nabi dalam perjalanan Isra’
Mikraj yang penuh baroqah. Dalam konteks ini kita dapati banyak
persamaan di antara peristiwa yang berlaku pada hari ini dengan apa yang
dilalui oleh Rasulullah SAW sendiri. Rakyat Palestin pada hari ini
ditindas dan dizalimi oleh Zionis Israel. Mereka dikenakan sekatan
perjalanan, penyingkiran dari tanah-tanah milik mereka, kepungan oleh
tembok-tembok pemisah dan terakhir sekatan ekonomi dan penutupan laluan
darat, udara dan laut di Gaza.
Semua bentuk kezaliman dan
penindasan ini pernah ditimpakan ke atas Rasulullah SAW dan komuniti
mukmin oleh orang-orang Quraish. Bahkan seluruh Bani Hasyim dan Bani Abu
Talib yang mempunyai hubungan keluarga dengan Rasulullah SAW diboikot
samada mereka Muslim atau sebaliknya. Ini bererti sesiapa juga yang
menyokong atau melindungi Rasulullah SAW walaupun mereka bukan dari
kalangan umat Islam turut menerima akibat dan dipulau sama.
Seluruh
penduduk Mekah membuat perjanjian untuk memboikot, memulau, tidak
bersilaturrahim, tidak berjual beli, tidak berkahwin dengan mereka.
Selama tiga tahun lamanya mereka dipinggirkan di Shiib (lembah) Abi
Talib. Keadaan menjadi begitu genting sehingga anak-anak menangis
kelaparan pada waktu malam dan mereka terpaksa mengalas perut dengan
kulit unta dan kulit-kulit kayu. Rasulullah SAW dikhianati dan dianiaya
oleh penduduk Mekah termasuk bapa saudara Nabi sendiri iaitu Abu Lahab.
Apabila
kita bandingkan dengan apa yang berlaku pada hari ini maka kita akan
dilihat persamaan yang amat ketara. Bukan sahaja rakyat Palestin
dikepung dan dipulau oleh masyarakat antarabangsa yang didalangi oleh
Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah, Rusia dan PBB bahkan mereka
dikhianati oleh pemimpin-pemimpin Arab. Dalam keadaan rakyat Gaza
diserang bertalu-talu oleh Zionis Israel, pemimpin-pemimpin Arab
bersekongkol menyokong serangan ini dan menghalang bantuan dari
menyeberang masuk ke Gaza.
Semua drama yang pahit ini telah kita
saksikan di Gaza. Anak-anak merintih kelaparan pada waktu malam sehingga
ibu-ibu mengutip rumput di jalanan untuk direbus dan mengalas perut
anak-anak mereka. Ini jugalah yang dialami oleh Rasulullah SAW. Dek
kerana tidak tertahan mendengar rintihan anak-anak maka ada di kalangan
orang-orang Quraish yang tidak sampai hati dan menyusup pada waktu malam
untuk menghantar makanan. Kini rakyat Gaza merintih tetapi bantuan
dihalang memasuki Gaza.
Kita perhatikan sikap pemimpin-pemimpin
Arab yang serupa dengan sikap pemimpin Quraish termasuk Abu Lahab yang
merupakan keluarga Rasulullah SAW sendiri. Kita telah melihat bagaimana
Hosni Mubarak, pemerintah Arab Saudi, Raja Jordan bahkan
Presiden
Mahmud Abbas (Pihak Berkuasa Palestin) sendiri merestui serangan ke atas
Gaza, melantik kontraktor Mesir untuk membekalkan makanan kepada askar
Israel dan mengenakan pelbagai syarat tidak menasabah sehingga
menghalang bantuan untuk menyeberang ke Gaza.
Namun seerah
menunjukkan pemulauan ke atas Rasulullah SAW adalah merupakan siri-siri
awal kepada kemenangan yang bakal ditempa oleh umat Islam. Boikot ini
berakhir setelah tiga tahun dan diikuti pula dengan pelbagai bentuk
penderitaan yang terpaksa ditanggung oleh Rasulullah SAW. Ini
termasuklah kematian Abu Talib dan isteri tercinta, Sy Khadijah RA yang
merupakan tonggak utama kepada Rasulullah SAW. Ini disusuli dengan
peristiwa menyayat hati apabila Rasulullah diusir dari Taif dan dilontar
dengan batu. Dalam saat-saat yang amat menekan inilah Rasulullah SAW
dikurniakan mukjizat yang amat besar iaitu peristiwa Isra' dan Mikraj.
Dalam peristiwa bersejarah ini Nabi singgah di Masjid Al-Aqsa sebelum
meneruskan mikraj ke Sidratul Muntaha.
Maha Suci Allah yang
memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari masjidil Haram ke Masjid
Al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan
kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya
Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat. - Al-Isra’ 1
Perjalanan
ini punya makna yang sangat simbolik dalam perjuangan Palestin pada
hari ini. Selepas peristiwa Isra' dan Mikraj bermulalah pertemuan dengan
penduduk Yathrib yang membawa kepada perjanjian Aqabah I dan II yang
disusuli dengan hijrah dan pemasyuran Yathrib sebagai Kota Madinatul
Nabi. Bermula dari saat itu kemenangan demi kemenangan ditempa sehingga
cahaya Islam memancar ke seluruh u***** timur dan barat. Kesemua ini
menunjukkan kepada kita bahawa kemanangan bakal datang setelah pelbagai
ujian dan mehnah dilalui oleh umat Islam di Palestin.
Peristiwa
Isra’ dan Mikraj juga mengingatkan kita kepada gambaran-gambaran akhir
zaman yang telahpun dinyatakan oleh Rasulullah SAW. Beriman dengan Rasul
bererti beriman dan meyakini dengan berita-berita ghaib yang
disampaikan oleh baginda, samada menyangkut tentang peristiwa masa depan
apatah lagi tentang hari Qiamat. Berkaitan tentang peristiwa masa depan
yang bersangkutan dengan Palestin, terdapat begitu banyak
perkhabaran-perkhabaran yang disampaikan oleh Nabi.
Sepatutnya
perkhabaran-perkhabaran ini menguatkan azam dan keyakinan umat Islam
tentang jihad yang sedang berlaku di Palestin. Malangnya umat Islam pada
hari hilang punca apabila berhadapan dengan isu Palestin. Sebabnya
ialah kita tidak lagi menggunakan neraca iman dalam menilai perjuangan
Palestin. Sebaliknya kita menggunakan penilaian kebendaan dan seringkali
menyalahkan rakyat Palestin tanpa melakukan apa-apa untuk membantu
mereka. Walhal apa yang saksikan pada hari ini telahpun digambarkan oleh
Rasulullah SAW.
Nahik Ibn Suraym al-Sakuni r.a. menyampaikan
dari Rasulullah SAW, Baginda bersabda, “Kamu akan memerangi golongan
kafir sehingga yang tinggal akan berperang di Sungai Jordan, kamu berada
di sebelah timur (Jordan pada hari ini) dan mereka berada di sebelah
baratnya (Tebing Barat – Palestin yang dijajah Israel).” - Ibnu Hajar
al-Asqalani.
Rasulullah SAW bersabda berhubung dengan penduduk
tanah suci al-Quds, “Mereka dan isteri-isteri mereka, anak-anak dan
hamba sahaya mereka berada dalam ribat (kubu) di jalan Allah.” -
Al-Tabarani.
Masjid al-Aqsa pasti akan dibebaskan. Sama ada umat
Islam peduli atau tidak tentang keadaan Masjid al-Aqsa yang terkepung
pada hari ini. Hakikatnya mereka yang berjihad untuk melindungi dan
mempertahankan tanah suci akan dimuliakan oleh Allah dan mereka akan
dijanjikan kemenangan. Sedang mereka yang tidak mengambil bahagian di
dalam jihad yang merupakan kewajipan setiap umat Islam ini pastilah akan
rugi dengan kerugian yang tak mungkin dapat ditaksir di dunia dan di
akhirat. Semoga Allah membuka hati kita dan memilih kita untuk berada di
dalam saf umat Islam yang berjihad untuk membebaskan masjid al-Aqsa.
Muawiyah
bin Abu Sufyan menyampaikan Rasulullah SAW bersabda, “Akan ada di
kalangan umatku yang akan terus berada di atas jalan kebenaran. Tiada
sesiapa yang menentang mereka dapat menyakiti mereka sehingga tiba hari
kiamat”, Para sahabat bertanya, “Di mana mereka ya Rasulullah?”
Rasulullah SAW jawab, “Mereka berada di Baitul Maqdis dan di sekitar
Baitul Maqdis.”
Hari ini kita menyaksikan cahaya kemenangan sudah
mulai kelihatan. Amat benarlah janji Allah. Kepalsuan tidak dapat
dipertahan dan pasti musnah. Hakikat ini sedang kita saksikan pada hari
ini. Rejim-rejim Arab yang melindungi Israel ditumbangkan satu demi
satu. Masyarakat antarabangsa terutama dari Barat kini berada di barisan
hadapan membela rakyat Palestin bahkan bersedia untuk berkorban apa
sahaja untuk membantu rakyat Gaza yang terkepung. Semua ini adalah bukti
bahawa perjuangan untuk pembebasan Tanah Suci pastinya akan mendapat
pembelaan berterusan dari Allah sehingga kejayaan dicapai sepenuhnya.
[1] Abu Anas Madani http://www.abuanasmadani.com/
Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor, Pengerusi Aqsa Syarif1 Julai 2011"
................................
Dihantar untuk paparan TKO (Tranungkite)
Oleh: HishamAhmad
Posted on Friday, May 16 @ 20:09:10 MYT
Dilulus untuk paparan oleh lararatu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan