Jumaat, 2 Mei 2014

YANG JAHAT ALLAH AKAN BALAS DENGAN KEJAHATAN JUGA KERANA INI ADALAH HASIL TANGAN2NYA SENDIRI....CUMA LAMBAT ATAU CEPAT BALASAN ITU AJE....BAGITU JUGA DENGAN KEBAIKAN

Umno kena bawa usul hudud, lebih mudah lulus

MUHAMMAD FAIZAL | .
KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar melabelkan Umno 'pondan' jka parti itu takut untuk membawa usul persendirian Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 atau Hudud pada sesi parlimen nanti.

Beliau menjelaskan, jika usul persendirian itu dibawa oleh Umno terutamanya Perdana Menteri atau menteri Kanan usul itu akan menjadi usul rasmi kerajaan dan perkara itu sukar ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat dan mudah untuk diluluskan.

"Kita tahu Umno tidak serius dalam pelaksanaan Hudud di Kelantan, jika mereka serius kita (PAS) menggesa parti itu membawa usul tersebut dan bukannya PAS.

"Saya pasti kita Umno sendiri yang bawa sudah pasti ia mendapat sokongan dari pemimpin Islam di dalam Barisan Nasional dan mendapat kelulusan," jelasnya pada sidang media di Pejabat Agung PAS pagi ini.

Menurut beliau lagi, Umno yang memimpin Kerajaan Pusat mempunyai kuasa untuk meluluskan usul jika ia dibawa oleh mereka sendiri.

"Saya harap Perdana Menteri akan menggunakan peranan beliau dalam membawa usul ini, jika mereka benar-benar serius.

"Kalau itu hanya permainan politik mereka, pasti Umno tidak sanggup membawa usul tersebut dan terus menyerahkannya kepada PAS," sambung beliau.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai usul tersebut jika ia dibawa pada sesi parlimen akan datang.

"Kita akan bawa dan setiap pemimpin berhak untuk membahas sama ada menyokong atau menolaknya.

"Kita akur setiap keputusan kerana ia telah melalui proses demokrasi dan penolakkan tersebut dilakukan di parlimen.

"Kita bukannya memaksa semua pihak untuk menyokong apa yang kita bawa, apa yang pasti ia telah melalui satu proses demokrasi," sambung beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Pokok Sena.

Dalam pada itu, Mahfuz turut meminta agar kerajaan memberi ruang kepada PAS untuk memberi penjelasan tentang hudud di media elektronik dan media cetak milik mereka agar kekeliruan kepada masyarakat bukan Islam dapat dikurangkan. - HARAKAHDAILY 2/5/2014

Dakwaan bergaduh, Unit Amal beri penjelasan

HARAKAHDAILY | .
 
KUALA LUMPUR: Selepas tersebarnya berita kekecohan sewaktu himpunan membantah GST semalam, Unit Amal hari ini tampil memberi penjelasan.

Pengarah Jabatan Amal Malaysia (Selangor), Khairil Anuar Ismail berkata kejadian berlaku disebabkan cubaan memasuki kawasan padang oleh sekumpulan kecil 'peserta' dan tindakan mengganggu acara himpunan dengan membuat bising oleh kumpulan sama.

Beliau berkata Jabatan Amal Malaysia ditugaskan untuk menjaga kelancaran himpunan dari aspek keselamatan termasuklah antara perkara pentingnya adalah memastikan peserta tidak memasuki kawasan padang yang menjadi antara syarat utama kebenaran himpunam diberikan.

"Saya mengambil tanggungjawab untuk menjawab tohmahan seperti yang tersiar meluas di laman web dan media sosial kerana anggota Jabatan Amal dari Selangor berada di semua lokasi berkumpul pada Himpunan GST semalam.

"Tindakan memukul mereka tidak berlaku sama sekali tetapi kami hanya berusaha menyuraikan mereka dan kami juga cuba menenangkan sekumpulan peserta lain yang mula membalas kata kata makian mereka kepada kami sehingga berlaku sedikit ketegangan," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Mengulas gambar peserta yang didakwa luka akibat kekecohan itu, Khairil Anuar berkata ia mungkin akibat tolak menolak yang berlaku sewaktu cuba menyuraikan mereka.

"Cuma saya katakan, ramai peserta yang datang untuk berhimpun dengan baik, mereka datang dan pulang dalam keadaan yang harmoni pada hari tersebut. Kenapa ada seorang yang luka? Apa yang dia telah buat," soalnya?

Dalam pada itu beliau turut menafikan pasukan Unit Amal terlibat dalam satu lagi insiden pada sebelah malam selepas himpunan berlangsung.

Katanya, tiada anggota Unit Amal bernama Anuar dari kawasan Pandan seperti didakwa terlibat dalam insiden tersebut.

"Berkuasa betul mereka yang terlibat menyerang pada malam tersebut dengan hanya menunjukkan kad keahlian Amal, pihak polis boleh dihalau, logik ke?

"Kami mendesak pihak yang menuduh menyerahkan bukti kepada kami dan pihak berkuasa kerana kami tidak sesekali akan bersekongkol dengan perbuatan sebegini," jelasnya.

Katanya, anggota Jabatan Amal Malaysia atau lebih dikenali sebagai Unit  Amal tidak pernah dilatih atau melatih anggota untuk melakukan tindakan seperti dituduh.

"Bahkan ketika bertugas kami pernah dipukul, diludah, dicaci maki tetapi kami mengambil pengajaran dari akhlak Rasulullah dalam menghadapi perbuatan sebegini.

"Apa sahaja kerja buat kami dan apa yang kami hadapi, kami hanya menyharapkan pembalasan dari Allah. Redhanya yang kami buru," ujarnya. - HARAKAHDAILY 2/5/2014

Masih anda ingat Ruqaya al-Ghasra?

HARAKAHDAILY | .
MASIHKAH anda ingat nama Ruqaya Al-Ghasra? Dia merupakan atlit wanita muslim pertama yang memakai sut khas yang menutupi seluruh badan ketika bertanding dalam acara pecut di Olimpik. Cara pemakaiannya menarik perhatian ramai kerana sebelum ini, kesemua pelari wanita akan memakai pakaian ala bikini.

Pencapaian terbaik Ruqaya ialah layak ke separuh akhir acara 200 meter dalam sukan Olimpik di Beijing pada tahun 2008. Sebelum itu, dia pernah memenangi pingat emas Sukan Asia Doha pada tahun 2006 dalam acara 200 meter, dan pingat emas dalam acara yang sama dalam Sukan Asia Dewan pada tahun 2008.

Anak kelahiran Bahrain ini bersara daripada sukan pada tahun 2009.

Dia yang dilahirkan pada 6 September 1982 ini terpaksa berdepan dengan tentangan keluarga dan masyarakat kediamannya. Hal ini kerana, untuk menyertai sukan ini sudah tentulah terpaksa membuka aurat dan hal itu menjadi sesuatu yang bertentangan dengan nilai Islam.

Namun, dengan tekad dan azam yang kuat, Ruqaya meneruskan cita-citanya tetapi terus mengekalkan norma-norma cara berpakaian muslimah walaupun masih ada pertikaian tentangnya.

Kejayaan peringkat antarabangsa muncul pada 2003 iaitu memenangi pingat emas bagi acara 100 dan 200 meter dalam Kejohanan Negara-Negara Arab di Lebanon.

Pada 2004, dia memenangi tiga pingat perak bagi acara 60 meter, 200 meter dan 400 meter dalam Kejohanan Tertutup Asia di Iran.

Pada tahun itu juga Ruqaya menyertai sukan Olimpik 2004 Athens dan hanya layak ke pusingan kedua.

Walaupun tidak berjaya memenangi apa-apa pingat di sukan olimpik, kehadiranya dengan sut menutupi seluruh badan menjadi ikutan kepada lain-lain atlit wanita Muslimah kemudiannya.

MH370: Tiada apa yang ditemui di Teluk Benggala

BERNAMA | .
KUALA LUMPUR: Tiada apa yang ditemui di Teluk Benggala berhubung laporan syarikat pencarian yang berpangkalan di Adelaide, Australia yang percaya mereka mungkin telah mengesan serpihan pesawat MH370.

Ketua Penyelaras Pusat Tindakan Bersama, Angus Houston berkata kini tiga kapal tentera laut Bangladesh sedang memantau kawasan itu yang sebuah daripadanya dilengkapi keupayaan mengesan bunyi gema.

"Namun saya yakin dengan semua bukti yang ada di hadapan kami, usaha gigih yang pasukan sedunia temui, analisis "handshake' manual antara pesawat dan satelit.

"Dan juga kerja stimulasi yang dilakukan bagi mendefinisi kawasan di selatan Lautan Hindi. Saya yakin kawasan berkenaan di selatan lautan (Hindi) merupakan tempat pencarian yang betul dan saya pasti masanya akan tiba kami menemui pesawat di kawasan itu di Lautan Hindi," katanya.

Houston berkata demikian dalam sidang media bersama dengan Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Presiden Biro Siasatan Kemalangan Penerbangan Perancis (bekas ketua pasukan siasatan Air France 447) Jean-Paul Troadec, Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin dan Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri.

Dilaporkan syarikat berkenaan GeoResonance telah mendakwa menemui serpihan pesawat, kira-kira 5,000 kilometer dari kawasan pencarian sekarang.

Mengenai petunjuk baharu itu, Hishammuddin berkata beliau pada mulanya melihat kemungkinan memperoleh kapal yang sesuai untuk mencari di kawasan itu bagi mengesahkannya.

"Tetapi, saya ingin tekankan dengan berbuat demikian, kami mengubah diri kami daripada pencarian utama. Jika kami pergi ke sana dan hasilnya didapati negatif, siapa yang akan bertanggungjawab dengan masa yang terbuang itu. Dengan menghantar lebih banyak kapal (ke Teluk Benggala) akan menjejaskan pencarian di kawasan pencarian (sekarang)," tambahnya.

Hishammuddin berkata usaha pencarian MH370 adalah mencabar, namun kesemua pasukan antarabangsa berazam untuk meneruskan dengan fasa baharu pencarian.
Mengenai operasi Bluefin-21, Houston berkata tugas kenderaan autonomi bawah air (AUV) itu, sebagai respons kepada transmisi yang diterima di kedalaman (lautan) beberapa minggu lalu, adalah petunjuk paling memberangsangkan yang dimiliki, pada masa itu.  
"Mereka (tansmisi) di kawasan pencarian yang didefinisi pasukan antarabangsa dan mereka terletak di garisan lingkungan ping ketujuh. Bila kami memperoleh transmisi daripada kedalaman, ia nyata kami terpaksa turun dan melihatnya.
"Kami menghntar Bluefin di kawasan itu. Setakat ini, ia tidak menemui apa-apa dan setakat ini kami telah meliputi 500 kilometer persegi. Itulah caranya," tambahnya. 
Beliau masih berharap Bluefin - yang bertugas sehingga akhir bulan ini - mungkin menemui sesuatu.
"Saya mesti berkata peluang mencarinya (MH370), Saya fikir kemungkinannya adalah lebih rendah daripada ia memulakan pencarian," katanya.
Penerbangan MH370 yang membawa 230 penumpang dan anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam pada 8 Mac dan hilang dari radar skrin kira-kira sejam kemudian semasa di Laut China Selatan. Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.
Selepas 17 hari kehilangannya, penerbangannya didapati berakhir di selatan Lautan Hindi. - Bernama

AJK Dewan Ulamak PAS Pahang meninggal dunia

KHAIRIL ABDUL RAHIM | .
DEWAN Ulamak PAS Pahang hari ini kehilangan ‘sebutir bintang’ apabila seorang ahli jawatan kuasanya, Ustaz Ahmad Bedawi Abdullah al-Hafiz, 67, kembali ke rahmatullah kira-kira pukul 12 tengah malam tadi.

Menurut Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Temerloh Hassanuddin Salim, allahyarham dimasukkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) Isnin lalu akibat ketumbuhan dalam perut.

“Allahyarham sepatutnya menjalani pembedahan tetapi berlaku komplikasi jantung dan buah pinggang dan disahkan meninggal dunia sekitar jam 12 tengah malam tadi di sisi keluarga terdekat.

“Jenazahnya dibawa pulang ke rumahnya sekitar jam empat pagi di Kampung Desa Murni Sanggang sebelum disembahyang dan dikebumikan di kampung asalnya di Kampung Loyang,” katanya. (Gambar)

Ahmad Bedawi yang berkelulusan Tahfiz Qiraat dan Syariah daripada Universiti al-Azhar Mesir, sebelum bersara berkhidmat sebagai pensyarah di UKM Bangi.

Allahyarham sangat tegas dalam sudut agama dan keadilan. Antara yang diingati ramai ialah beliau pernah mendoakan penghapusan Akta Keselamatan Dalam ISA dalam satu majlis rasmi di UKM sehingga peristiwa itu menyebabkan beliau ditahan gaji dan pangkat sementara waktu.

Beliau juga pernah menjadi pengerusi kepada Pertubuhan Rumah Anak Yatim Darul Izzah Temerloh.

Selepas bersara, kebanyakan masanya dihabiskan dengan mengajar agama selain memimpin Dewan Ulamak PAS Temerloh.

Sementara itu, lebih 1,000 orang pemimpin PAS Pahang, anak murid dan kenalannya hadir solat jenazah dan mengiringi pengkebumiannya sekitar pukul 12 tengahari tadi.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan 11 orang cahaya mata

Kerajaan BN tidak mesra pekerja

NYZA AYOB | .
KUALA LUMPUR: Dasar kerajaan BN yang tidak "mesra pekerja" mengakibatkan nasib golongan pekerja seperti 'telur di hujung tanduk' apatah lagi mereka tidak bersatu di bawah satu kesatuan.
Menurut Pengerusi Lajnah Pekerja dan Pengguna PAS Pusat, Anuar Tahir, walaupun negara mempunyai beberapa kesatuan sekerja seperti MTUC dan Cuepacs, namun golongan pekerja terbesar di sektor industri dan elektronik masih dinafikan hak berpersatuan.
Menurut Anuar, di samping peruntukan undang-undang yang tidak propekerja, pekerja yang berpendapatan rendah juga dihimpit masalah sosial dan ekonomi.
"Hari Pekerja tahun ini disambut dengan ketidakselesaan dengan kos hidup yang melambung tinggi, sama ada di desa atau kota.
"Kerajaan pula seperti berlepas tangan daripada mengawal harga barang berikutan kenaikan bahan api dan pengurangan subsidi untuk barangan asas seperti gula.
"Kerajaan juga gagal melaksanakan gaji minima dan gagal memberikan bantuan yang efektif kepada rakyat iaitu pemberian elaun sara hidup (Cola) dalam keadaan kehidupan rakyat sebegini," katanya dalam sesi wawancara dengan Harakah.
Menurut Anuar, pemberian wang secara sekaligus (one off) melalui Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebenarnya tidak banyak membantu pekerja berpendapatan rendah.
Beliau turut melahirkan kebimbangan dengan kes-kes pembuangan pekerja yang berlaku secara berwewenang mutakhir ini.
"Sekarang golongan pekerja boleh dibuang sewenang-wenangnya. Di negeri Perlis, sebuah IPT ditutup dan pekerjanya dibuang begitu sahaja. Saya difahamkan ada di antara mereka yang jual capati untuk menyara hidup. Itu IPT milik kerajaan negeri," kesal beliau.
Anuar turut menyentuh isu perpindahan guru atas sebab politik yang menurutnya hanya berlaku di zaman penjajah.
"Ini tindakan yang dilakukan golongan kolonial pada masa lalu. Penjajah kolonial menakut-nakutkan pekerja dan rakyat dengan tindakan menukar atau memberhentikan pekerja.
"Negara merdeka seperti Malaysia yang diamanahkan Allah oleh pemerintah untuk menjaga rakyat, sekarang ini buat perangai macam penjajah. Harapkan pagar, pagar makan padi nampaknya!" tegas beliau.

Beliau turut menyeru kesatuan sekerja agar bangkit memperjuangkan hak pekerja khususnya dalam isu membabitkan inflasi, kenaikan kos sara hidup dan merudumnya kuasa beli rakyat.
Anuar juga menyarankan MTUC, Cuepecs serta mana-mana persatuan yang tidak bergabung di bawah dua kesatuan ini untuk segera melakukan sidang puncak atau perundingan meja bulat bagi menangani isu-isu golongan pekerja.
Ikuti wawancara penuh Anuar di Harakah edisi Isnin, 28 April-1 Mei.

Tiada ulasan: