Selasa, 11 Mac 2014

KAJANG OH KALANG.....PR OH PR.....BN OH BN.....LAMA OH LAMA.....SEDAR OH SEDAR....LAKU OH TAK LAKU....MENGAKU OH MENGAKU




KAJANG: Proses penamaan calon bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) N25 Kajang dibuka pada 9 pagi ini di Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Kajang di Seksyen 15, Bandar Baru Bangi.
    
Proses dijadual berlangsung selama sejam sebelum Pegawai Pengurus Pilihan Raya Datuk Hassan Nawawi Abdul Rahman mengumumkan nama calon yang bakal bertanding dalam PRK itu pada 23 Mac ini.
    
Pilihan raya kecil itu diadakan susulan peletakan jawatan wakil rakyat sebelum ini, Lee Chin Cheh daripada PKR pada 27 Jan. - Bernama
BANGI: Hari ini berlangsungnya penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang yang diadakan di Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Kajang, Seksyen 15, Bandar Baru Bangi.

Dua calon yang telah mengumumkan penyertaan awal masing-masing Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mewakili Pakatan rakyat dan Naib Presiden MCA Datin Paduka Chew Mei Fun mewakili BN.

PKR meletakkan Wan Azizah sebagai calon pengganti kepada Ketua Umum mereka Datuk Seri Anwar Ibrahim yang hilang kelayakan bertanding ekoran keputusan Mahkamah Rayuan minggu lalu yang memutuskan Anwar bersalah dalam kes Liwat II dan dikenakan hukuman lima tahun penjara.

PRK Kajang yang disebut juga sebagai 'Langkah Kajang' dalam usaha memperkukuh Pakatan Rakyat negeri Selangor, menarik perhatian banyak pihak sejak ianya dilontarkan sebulan lalu.

Kerusi DunKajang kosong selepas penyandangnya dari PKR, Lee Chin Cheh meletakan jawatan pada 27 Januari lalu.

Dalam pilihan raya umum ke-13 Mei tahun lalu, Lee menang kerusi itu dengan majoriti 6,824 undi dalam pertembungan enam penjuru dengan BN, Berjasa dan tiga calon bebas.


LAPORAN LANGSUNG
10.20 am: Anwar dan Wan Azizah mengambil peluang bersalaman dengan penyokong PR. Sebahagian mula beransur-ansur keluar dari stadium.

10.15 am: Datuk Hassan Nawawi mengumumkan hanya dua calon yang disahkan bertanding iaitu Wan Azizah dari PKR dan Chew Mei Fun dari BN.

Pengumuman disambut sorakan dan takbir dari kedua-dua belah penyokong yang berhimpun.
Tiada calon bebas dan bermakna satu lawan satu di Kajang.
10.05 am: Pegawai Pengurus PRK Kajang Datuk Hassan Nawawi Abdul Rahman mengumumkan tempoh penyerahan borang pencalonan tamat jam 10 pagi tadi.

10.03 am: Dr Siti Mariah berpendapat, PRK kajang lebih kepada merebut undi wanita. Beliau optimis pengundi wanita Kajang bersama PR.
"Di kajang, wanita-wanitanya celik maklumat. Dengan banyak janji yang tidak ditunaikan BN seperti dijanji sebelum PRU lalu, kita yakin wanita Kajang bersama PR.
"Lebih-lebih lagi dengan kenaikan harga barangan dan kos hidup yang semakin mengkat ini, sangat menekan golongan wanita khususnya suri rumah," katanya.

9.50 am: Dr Hatta ketika ditemui berkata;

"Sepertinya PRK ini satu lawan satu antara PKR dan BN. Itu lebih mudah rakyat buat pilihan.

"PRK juga sebagai medan referendum terhadap isu-isu yang PR bangkitkan.

"Melihat kepada minat sebelum penamaan ini, saya jangka mood untuk keluar mengundi mungkin tinggi," kata Hatta.
9.45 am: Sekumpulan penyokong PKR dan DAP yang menaiki bas khas juga dilihat turun berjalan kaki dari plaza tol ke stadium.

9.40 am: Kenderaan pemimpin DAP Tony Pua antara yang terperangkap dalam kesesakan berhampiran plaza tol Bangi.
Beliau dilihat turun dari kenderaan dan dibawa menaiki motosikal ke pusat penamaan calon.

9.35 am: Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib tiba di khemah Pakatan Rakyat bersama AJK PAS Pusat Dr Dzulkefley Ahmad.

9.30 am: Akibat kesesakan teruk, pihak plaza tol Bangi menambah kaunter di bahagian laluan tunai.
Kesesakan itu juga menyebabkan pasukan trafik terpaksa berkawal di plaza tol.

9.25 am: Bulatan selepas tol Bangi menuju ke kompleks sukan ditutup separuh ekoran keksesakan. Kebanyakan penyokong meletakkan kenderaan berhampiran plaza tol dan berjalan kaki menuju ke stadium.

9.20 am: Setakat ini hanya Wan Azizah dan Mei Fun dilihat mengemukakan borang pencalonan. Belum ada mana-mana calon bebas berbuat demikian.

Pencadang kepada Wan Azizah adalah Muhammad Fazli Ahmad dari PAS manakala penyokong pula Sia Wei Shien dari DAP.
Masa penyerahan penyerahan borang pencalonan dijangka tamat jam 10 pagi ini.
9.15 am: Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang tiba di khemah Pakatan Rakyat. Turut bersama beliau Menteri Besar Kelantan Ustaz Datuk Ahmad Yakob.
Pemimpin PAS yang turut berada di khemah itu termasuk Salahudin Ayub, Datuk Mahfuz Omar, Dr Mohd Hatta Ramli, Khalid Samad, Dr Siti Mariah, serta Dr Che Rosli.

9.10 am: Sementara itu Pimpinan Pakatan Rakyat mula mengambil tempat. Menunggu di khemah yang disediakan.
9.00 am: Wan Azizah dilihat masuk ke dewan penamaan calon. Difahamkan calon BN masuk lebih awal kira-kira jam 8.50 pagi tadi.
8.58 am: Kedua-dua belah penyokong mula memenuhi kawasan yang ditetapkan masing-masing sementara polis dan anggota FRU berkawal ditengah-tengah antara mereka.
Mereka dipisahkan dalam jarak 100 meter.

Selain meletakkan kon penghadang, pihak keselamatan juga turut memasang kawat berduri sekitar kawasan perkumpulan penyokong kedua-dua belah pihak.
8.55 am: Wan Azizah tiba di kompleks sukan ditemani Anwar Ibrahim. Mereka bertemu penyokong sebelum bergerak ke dewan penamaan.
8.50 am: Kelihatan khemah yang disediakan untuk calon dan pemimpin BN di atas padang berhampiran dewan penamaan sudah dipenuhi oleh pemimpin utama mereka, manakala khemah yang disediakan untuk Pakatan Rakyat masih kosong.
Difahamkan, calon dan pimpinan Pakatan Rakyat akan bergerak masuk ke kawasan kompleks sukan sebentar lagi.
8.45 am: Penyokong kedua-dua parti dilihat mula tiba di kawasan kompleks sukan.
Penyokong BN dilihat menggunakan pintu sebelah lebih raya untuk ke kawasan padang tempat berkumpul yang ditetapkan manakala penyokong Pakatan Rakyat masuk melalui pintu sebelah kawasan perumahan.
8.20 am: Jalan masuk ke LHDN juga ditutup dengan menggunakan kon oleh pihak keselamatan.
Para penyokong dilihat meletakkan kenderaan di luar kawasan di tepi jalan dan berjalan kaki ke tempat berkumpul.
Azmin Ali antara pimpinan terawal dilihat tiba disini. Kelihatan juga Adun Meru Dr Abdul Rani Othman.
Sejurus kemudian Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim juga tiba dan bersalaman dengan penyokong.

8.15 am: Penyokong Pakatan Rakyat juga semakin ramai tiba di Pusat Latihan Lembaga Hasil Dalam Negeri LHDN, Bangi.

Mereka berkumpul di kawasan letak kereta sementara menunggu pimpinan utama Pakatan Rakyat termasuk calon Wan Azizah tiba.

Dari sini, mereka akan bergerak menuju ke pusat penamaan calon.

8.00 am: Semua jalan masuk menuju ke pusat penamaan calon di Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Kajang, Seksyen 15, Bandar Baru Bangi dilapor sesak.

Di Lebuhraya PLUS, kesesakan dilaporkan lebih 1 kilometer sebelum plaza tol Bangi.


[lanjut menyusul]
KUALA LUMPUR: Banting, Kuala Selangor dan Pelabuhan Klang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat 7 pagi ini, demikian menurut laman sesawang Jabatan Alam Sekitar Malaysia (JAS).
  
Menurut laporan itu, Banting mencatatkan IPU 105, Kuala Selangor (108) manakala Pelabuhan Klang (139).
  
Sebanyak 31 kawasan lain mencatatkan bacaan sederhana antaranya Muar (74), Tanah Merah (56), Seri Manjung (67), Sri Aman (89) dan Putrajaya (83).
  
Menurut JAS, 17 kawasan lagi mencatat IPU baik antaranya Kota Tinggi (29), Jerantut (29), Keningau (43) dan Kuala Terengganu (37).
  
IPU pada tahap antara 0-50 adalah baik, sederhana (51-100), tidak sihat (101-200), sangat tidak sihat (201-300) dan berbahaya (lebih 301).  

Orang ramai boleh menyemak status IPU di kawasan masing-masing dengan melayari portal http://apims.doe.gov.my. - Bernama

SEREMBAN: Sebahagian kawasan Kuala Pilah, Seremban dan Jempol akan mengalami gangguan bekalan air esok dan lusa berikutan kerja penyelenggaraan loji rawatan air, pemasangan paip dan injap.
  
Ketua Bahagian Perkhidmatan Korporat, Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (Sains) Norzita Ismail berkata gangguan bekalan air selama 24 jam itu bermula pukul 8 pagi esok.
  
Di KUALA PILAH ia melibatkan kawasan Kampung (Kg) Parit, Kg Parit Seberang, Kg Parit Mainau, Jalan Seremban Lama, Taman Bukit Mutiara, Kg Pulau Jelebu, Asrama Jururawat, Taman Sentosa, Taman Waja, Kolej Jururawat, Pusat Kegiatan Kemas, Kg Jawa, Taman Kian Guan, Taman Sema, Taman Kuala Pilah, Taman Bukit Pilah, Taman Pilah Perdana, Jalan (Jln) Melang, Hotel Desa Inn, Sekolah (Sek) Menengah (Men) Tunku Kurshiah, Kg Tebat Kering, Pekan Kuala Pilah, Kg Pulau Pandan, Kg Kubang Rusa, Kg Tanjong Jati, Kg Kuala Dioh, Kg Sungai Dua Kecil, Kg Sawah Lebar, Kg Telok, Kg Acheh, Taman Cita Jaya, Kg Dioh Tengah, Kawasan Perindustrian Dioh, Kg Dioh Besar, Kg Dioh Kecil, Kg Bukit Temensu, Jalan Pekan Lama, Kg Parit Mungkal dan Taman Impian.
  
"Gangguan bekalan air selama 24 jam mulai 8 malam di Seremban melibatkan seluruh kawasan Mantin, Lenggeng, Pajam, Nilai Perdana, Kuarters KLIA, Broga, Sungai Petai, Jalan Labu Batu 4 hingga Batu 10, Kg Gadong (kawasan India, Cina & Melayu), Taman Sendayan Indah, Bukit Sendayan, Taman Gadong Fasa 1-4, Taman Eka Matahari, Kg Pelebar, Felda Sendayan, Taman Sri Sendayan, Techvalley Park.
  
"Gangguan bekalan air selama 24 jam mulai 9 pagi di Seremban melibatkan seluruh Seremban 2, Taman Mantau Indah, S2 Height, Taman Arowana Indah, Taman Arowana Impian, Garden Home, Green Technology Park dan Garden Avenue," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
  
Katanya di Jempol, gangguan bekalan air selama 14 jam mulai 10 pagi, melibatkan kawasan Felda Raja Alias (1,2,3 & 4), Air Hitam, Lui Barat, Lui  Selatan dan Sungai Lui.
  
Menurut Norzita, gangguan bekalan air selama 16 jam pula akan melibatkan kawasan Jempol mulai pukul 8 pagi, meliputi Taman Industri Bahau, Taman Industri Mahsan, Taman Megah, Kg Mahsan, Taman Mahsan, Taman Sri Mahsan, Rumah Murah Mahsan, Kolej Komuniti Mahsan, Feldajaya Selatan, Taman Teratai, Taman Margosa, Taman Sri Serting, Taman Serting Indah, Taman Serting Utama, Taman Serting Perdana, Rumah Kakitangan Felda Wilayah, seluruh kawasan Bandar Seri Jempol, Kg Serampang Indah, Kg Sg Sampo, Felda Serting Hilir, Rumah Kilang Sawit, Batu Caping, Taman Medang, Taman Kwang Hup, Kg Cina Bahau, Hospital Bandar Seri Jempol, Masjid Tuanku Mukhriz, Bandar Seri Jempol, IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Bandar Seri Jempol, Kompleks Pentadbiran Daerah Jempol dan Pejabat Majlis Daerah Jempol.
  
Katanya bekalan air akan disambung semula selepas waktu yang dinyatakan dan dijangka pulih secara berperingkat.
  
Bagaimanapun, katanya, beberapa kawasan tinggi dijangka akan mengalami tempoh pembaikan yang lebih lama.
  
Norzita berkata kerja-kerja ini merupakan antara usaha berterusan Sains dalam menambah baik dan meningkatkan mutu bekalan air demi kepentingan para pelanggan pada masa hadapan.
  
Para pelanggan yang memerlukan bantuan boleh menghubungi Sains di talian bebas tol 1-800-88-6982. - Bernama
KUALA LUMPUR: Ketua Whip Parlimen PAS, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan kerajaan mempergunakan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bagi meyakinkan rakyat terhadap dasar kerajaan, khususnya berkaitan cukai perkhidmatan dan barangan (GST).

Katanya, tindakan kerajaan itu menunjukkan betapa lemahnya kerajaan untuk meyakinkan rakyat berhubung isu GST dengan kekuatan mereka sendiri, sedangkan kerajaan boleh menggunakan pelbagai saluran yang ada.

"Saya kesal apabila kerajaan mempergunakan titah Yang di-Pertuan Agong untuk meyakinkan rakyat, khususnya berkaitan GST. Nampak sangat kerajaan lemah untuk meyakinkan rakyat," kta beliau ketika ditemui selepas titah Agong, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Sultan Badlishah, di parlimen, hari ini.

Bagaimanapun, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata titah tersebut akan dibahaskan pada sesi perbahasan persidangan kali ini.

Sultan Abdul Halim merasmikan pembukaan mesyuarat pertama penggal kedua Majlis Parlimen ke-13 di sini, hari ini.
  
Pembukaan penggal kedua Parlimen ke-13 kali ini menyaksikan perubahan dari segi atur cara sambutan majlis perbarisan kawalan kehormat yang sepatutnya berlangsung di Dataran Parlimen, diadakan di Dewan Bankuet, Bangunan Parlimen berikutan cuaca berjerebu.
  
Keberangkatan tiba Seri Paduka bersama Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah pada 10 pagi disambut Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang.
PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijatuhi hukuman penjara lima tahun pada Jumaat kerana kesalahan meliwat, membayar wang jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin di pejabat pendaftar Mahkamah Rayuan hari ini.
  
Ketua pembangkang itu menandatangani dokumen ikat jamin di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Darmafikri Abu Adam.
  
Jumaat lepas, Mahkamah Rayuan mengarahkan Anwar membayar ikat jamin itu sebelum pukul 11 pagi ini. Bagaimanapun, Anwar pagi tadi menghadiri pembukaan Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua Parlimen Ke-13 di Kuala Lumpur dan tiba di Istana Kehakiman kira-kira 12.25 tengah hari.
  
Anwar, bersama-sama penjaminnya, ketua staf di ibu pejabat PKR Ibrahim Yaacob menemui Darmafikri di biliknya dan urusan itu selesai pada 12.45 tengah hari. Turut hadir abang Anwar, Rosli Ibrahim.
  
Sementara itu, peguam Ramkarpal Singh yang mewakili Anwar memfailkan notis rayuan di pejabat pendaftar Mahkamah Rayuan pada 10 pagi ini dan menyerahkan salinan dokumen itu kepada Mahkamah Persekutuan.
  
Ramkarpal Singh berkata pihak pembelaan mempunyai 10 hari untuk memfailkan petisyen rayuan sebaik menerima alasan penghakiman daripada Mahkamah Rayuan.
  
Jumaat lepas, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 Jan 2012 yang membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan, ketika kejadian berumur 23 tahun, di Kondominium Desa Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.
  
Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Balia Yusof Wahi membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap Anwar selepas mendapati beliau bersalah.
  
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan hukuman itu sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan dan memerintahkan Anwar membayar ikat jamin RM10,000.
  
Hakim Balia memutuskan hakim perbicaraan terkhilaf dalam penghakimannya bahawa integriti sampel DNA telah tercemar. - Bernama
KOTA KINABALU: Pejabat Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah terletak di Tingkat 2, Blok B, bangunan Wisma Muis di sini terbakar tengah hari ini, mengakibatkan beberapa fail dan dokumen penting musnah.
  
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah Nordin Fauzi berkata dalam kejadian kira-kira 1.51 tengah hari itu, seorang lelaki sedang berurusan di pejabat itu cedera ringan dan dirawat anggota Unit Penyelamat dan Paramedik (EMRS).
  
"Pihak bomba menerima panggilan pada pukul 1.51 tengah hari dan mengarahkan tiga jentera berserta 24 anggota ke tempat kejadian, yang dapat mengawal kebakaran pada 2.20 petang," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.
  
Beliau berkata api dapat dipadamkan dengan cepat kerana bangunan itu dilengkapi sistem semburan air atau 'sprinkler' yang berfungsi baik.
  
"Siasatan awal mendapati kebakaran berpunca dari kawasan luar (bangunan pejabat) dan pihak forensik bomba akan mempercepatkan proses siasatan kerana ini merupakan pejabat penting kerajaan," katanya.
  
Beliau berkata jumlah kerugian dan punca sebenar kebakaran masih disiasat.
  
Sementara itu, seorang pekerja wanita jabatan itu yang enggan namanya disiarkan berkata ketika kejadian hanya beberapa pekerja bertugas manakala kira-kira 45 lagi kakitangan sedang menghadiri seminar pengurusan integriti di Jabatan Arkib cawangan Sabah di sini.
  
Beliau menerima panggilan daripada rakannya pada kira-kira 1.45 tengah hari memberitahu tentang kejadian itu.
  
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Mohd Arifin Arif yang turut melawat tempat kejadian berkata ini merupakan kebakaran kali kedua berlaku selepas satu kebakaran kecil sebelum ini.
  
Menurutnya, kira-kira 1,000 kakitangan dari pelbagai jabatan dan agensi kerajaan negeri serta persekutuan bekerja di Wisma Muis setinggi 10 tingkat. - Bernama
KOTA BHARU: Perjuangan anak-anak muda menuntut royalti petroleum yang bergabung di bawah Pertubuhan R sejak lebih dua tahun lalu kini dihargai di peringkat antarabangsa.

Mereka berjuang tanpa mengira penat dan lelah diketuainya presidennya, Nazri Deraman mendesak kerajaan pusat dan Petronas membayar royalti kepada Kelantan.

Hasil usaha dan kesungguhan itu menyebabkan mereka diundang ke persidangan perkongsian saksama hasil bumi membabitkan NGO dari negara-negara Asean yang diadakan di Bogor, Jakarta mulai hari ini.

Timbalan Presiden R, Abdul Shakur Sharrie berkata, persidangan tersebut membincangkan perkongsian saksama hasil bumi sama ada mineral atau petrolueum.

Katanya, peserta yang diundang dalam kalangan NGO memperjuangkan hak bagi mendapat keadilan dan kesaksamaan sumber bumi di tempat mereka.

“Hasil bumi tersebut bagi membolehkan masyarakat mendapat manfaat yang optimum untuk kesejahteraan dan pembangunan lestari secara mapan tanpa pemusnahan kehidupan dan alam sekitar,” katanya di sini.

Persidangan terbabit dianjur Revenue Watch Institute (RWI) akan berlangsung sehingga 13 Mac ini. Institute of Democracy And Economics Affairs (IDEAS) sebuah lagi NGO dari Malaysia turut diundang.

Kehadiran R ke persidangan di Jakarta turut mendapat sokongan padu Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob.

Pegawai Penyelidik R, Mohd Fauzi Azmi turut bersama delegasi itu. Mereka bertolak ke Jakarta hari ini.

Shakur berkata, pemilihan R memberi makna yang cukup besar kerana perjuangan NGO terbabit kini melangkui sempadan negara.

Katanya, R akan berkongsi pengalaman dengan NGO dari negara-negara Asean lain berkaitan kes-kes kajian dan pengalaman perjuangan menuntut hak royalti rakyat Kelantan.

“Ia merupakan agenda penting yang perlu diketengahkan ke peringkat antarabangsa terhadap keengkaran pihak berkuasa sehingga menafikan keadilan kepada rakyat Kelantan,” ujarnya.
KUALA LUMPUR: Isu cukai perkhidmatan dan barangan (GST) menjadi fokus ahli parlimen Pakatan Rakyat untuk memberikan kefahaman kepada rakyat, selaras dengan saranan Yang di-Pertuan Agong.

Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr. Hatta Mohd Ramli, berkata Pakatan Rakyat akan memahamkan rakyat tentang GST ini yang membebankan rakyat seperti mana yang sudah dilakukan sekarang.

"Ya, kita akan memberi kefahaman kepada rakyat tentang bagaimana GST akan dikenakan ke atas rakyat, yang pastinya membebankan rakyat. Kita terima titah Agong itu sebagai pesanan, namun dewan boleh membahaskannya," tegas beliau ketika ditemui sejurus titah Agong, di parlimen, semalam.

Ahli Parlimen Sepang, Mohamad Hanipa Maidin, menegaskan pakatan akan meneruskan siri kesedaran kepada rakyat tentang GST.

Katanya, selagi mana kebocoran, ketirisan dan masalah rasuah tidak selesai, selagi itu segala bentuk cukai yang dikenakan tidak mendatangkan sebarang manfaat kepada rakyat dan negara.

"Tidak guna kita menjalankan sistem cukai yang kononnya untuk meningkatkan pendapatan negara, jika soal ketirisan dan rasuah tidak diselesaikan. Tidak guna kita dapat duit yang banyak, tapi duit itu tidak tahu ke mana kerana ketirisan yang berlaku," tegas beliau kepada Harakahdaily.

Perkara tersebut turut menjadi perhatian Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Shah, yang menyifatkan cukai yang dikenakan tidak kena dengan masanya.

Menyatakan komitmen untuk membahaskan isu tersebut di dalam dewan, Raja Bahrin berkata beliau tidak mempertikai GST atas sikap cukai itu, sebaliknya cara cukai itu dilakukakan.

"Kenapa cukai itu dikenakan ketika rakyat terbeban dengan segala macam kos sara hidup yang meningkat? Kita mempunyai pakar-pakar yang sepatutnya merancang dengan teliti. Tapi tidak nampak perancangan itu dilakukan," tegas beliau.

Beliau turut menyelar sikap kerajaan yang cuba memyembunyikan fakta berkaitan peratusan GST yang dikenakan ke atas rakyat oleh Singapura.

Katanya, kerajaan mencanangkan kepada umum peratusan yang dikenakan hanya enam peratus,  berbanding tujuh peratus yang dikenakan Singapura.

"Soalnya, Singapura bermula dengan tiga peratus dahulu. Kemudian beberapa tahun selepas itu baru naik tujuh peratus. Tapi kerajaan sembunyikan fakta tersebut dan rakyat tertipu sekali lagi," kata beliau, kesal.

Justeru, katanya menjadi tanggungjawab wakil rakyat Pakatan Rakyat untuk memberi kefahaman kepada rakyat tentang fakta sebenar yang cuba disembunyikan kerajaan.
Saya mendapat khabar sedih -- tapi sudah dijangka -- yang membatalkan kelayakan Anwar Ibrahim untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Kajang, lebih kurang setengah jam selepas Ahli Parlimen Kluang yang juga strategis DAP, Liew Chin Tong meninggalkan pejabat Harakah,  petang Jumaat, 7 Mac lalu.

Selain berkongsi pengalaman mengendalikan lidah rasmi parti, termasuk bersama Ketua Pengarang Roketkini, Wan Hamidi Hamid dan kolumnis Harakah, Lim Hong Siang yang mengiringi Chin Tong, Pengerusi DAP Johor yang mendapat undian tertinggi dalam pemilihan jawatankuasa pusat itu turut menyentuh cabaran generasi baru kepemimpinan Pakatan Rakyat dan pendekatan terbaik mendekati pengundi muda Melayu.

Beliau ternyata berpandangan jauh, rasional dan cukup kalkulatif, khususnya apabila membicarakan peluang Pakatan berdepan PRU14. Lebih penting, saya kira Chin Tong -- yang menghasilkan tesis sarjana muda tentang PAS -- begitu prihatin dan sensitif dengan budaya politik Melayu. Ada kalanya pemimpin DAP dilihat agak keliru dengan "pantang-larang" masyarakat Islam, tetapi Chin Tong bagai arif mengenainya.

Meskipun sesi sembang santai itu menyinggung persoalan Kajang, dengan membayangkan kegerunan elit Umno terhadap potensi Anwar, bukan saja sebagai menteri besar negeri terkaya di Malaysia, juga bergelar Yang Amat Berhormat, dan bukan lagi dikenali sebagai Ketua Pembangkang -- oposisi di Malaysia mempunyai konotasi cukup negatif -- kami tidak pula melebarkan skop diskusi mengenai kemungkinan bekas TPM itu kembali disumbat dalam penjara.

Semua maklum bahawa seteru politik Anwar yang paling ketat dan terus berdendam dengannya (malah masih menggeruninya) adalah Dr Mahathir Mohamad dan Daim Zainuddin. Meskipun, kedua-duanya -- yang pernah rapat dan intim dengan Anwar -- tidak lagi memegang posisi strategik dalam kerajaan, tetapi dikatakan tidak akan mengizinkan beliau mendaki takah yang lebih tinggi daripada jawatan Ketua Pembangkang sekarang.

Tidak dapat dibayangkan Mahkamah Persekutuan pada 2 September 2004 -- genap enam tahun selepas dipecat daripada Kabinet -- akan membebaskan Anwar bagi mengetepikan sabitan kesalahan meliwat, sekiranya Dr Mahathir masih menjadi perdana menteri ketika itu.

Penggantinya, Abdullah Ahmad Badawi, mungkin nampak lemah dan tidak mempunyai "strong personality", tetapi Perdana Menteri kelima itu cuba membawa reformasi dalaman dan menjarakkan sejauhnya dengan era Mahathirisme. Persaingan kuasa tidak menghakis nilai manusiawi Abdullah.

Baru-baru ini, apabila idea rekonsiliasi nasional dilontarkan Najib Razak, dan disambut baik Anwar Ibrahim, sebagai usaha perdamaian di antara Pakatan dan BN, di samping menyelesaikan begitu banyak masalah negara, khususnya perkauman dan sentimen keagamaan sempit, kos sara hidup dan juga keselamatan, ramai mengharapkan ketegangan politik yang tajam segera berakhir. Kepentingan rakyat harus menjadi prioriti.

Apa pun tafsiran terhadap keputusan PRU13, termasuk menggelar kerajaan minoriti 47% BN, dengan tambahan kerusi Parlimen Pakatan berbanding 2008, namun Najib masih kekal bertakhta. Penafian majoriti dua pertiga bukan lagi isu besar dan urusan kerajaan masih berjalan lancar dalam situasi itu. Sememangnya mana-mana pemerintah tidak perlu diberi kemenangan mutlak, yang mungkin menyebabkan suara kedua yang rasional dipinggirkan begitu saja.

Saya tidak dapat memahami pergolakan dalaman Umno, termasuk mengaitkannya dengan faktor Dr Mahathir dan kemungkinan Najib berdepan tentangan sengit pemimpin kanan partinya sendiri. Jadi, apabila ada gosip yang mendakwa Anwar bersama Pakatan mungkin dibawa masuk ke dalam kerajaan, demi survival Najib, saya menjadi semakin buntu. Apakah benar kedudukan Najib sebegitu kritikal? Imiginasi saya tidak sampai ke tahap itu.

Fenomena "politik baru" yang rancak dibincangkan selepas PRU12, yang membentangkan harapan ke arah mewujudkan sistem "dua parti", sudah cukup untuk mencetuskan perubahan positif. Sekurang-kurangnya rakyat dapat melihat secara positif peranan oposisi yang konstruktif dan bertanggungjawab. Institusi penting, seperti Parlimen, menjadi lebih dihormati.

Dalam suasana persekitaran politik yang diharap lebih beradab, melewati zaman tilam diusung ke mahkamah dan segala lendir dijadikan bahan bukti, diimpikan kuasa tidak lagi ditentukan elemen "kelucahan melampau", yang menyukarkan kita menjawab soalan nakal anak-anak kecil.

Untuk terus menguasai Putrajaya, kelebihan masih berpihak kepada Najib. Sumber ekonomi dikawal ketat. Rasuah BR1M diterima tanpa bantahan. Walaupun monopoli media agak tergugat, majoriti rakyat untuk empat tahun akan datang masih boleh dijinakkan, melalui TV3 mahupun Urusan Malaysia, terutama dengan membakar sentimen. Paling penting, proses persempadanan pilihan raya yang jelas dimanipulasi semahunya tetap memungkinkan untuk suara minoriti undi popular kekal berkuasa.

Bagaimanapun, apabila Peguam Negara -- tentunya dengan kehendak Putrajaya -- melantik peguam Umno, Shafie Abdullah menjadi pendakwa utama mengetepikan pembebasan Anwar oleh Mahkamah Tinggi pada Januari 2012, saya merasakan Najib juga mahu melenyapkan terus Ketua Umum KeADILan ini daripada persada politik tanahair. Anwar sentiasa menjadi penghalang kepada elit penguasa yang rakus, boros dan korup.

Sejak badan kehakiman tercemar dengan teruk pada 1988, ekoran kes rayuan pengharaman Umno, yang membawa kepada pemecatan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dan dua lagi Hakim Mahkamah Agung, campur tangan eksekutif tidak pernah reda. Abdullah Badawi dan bekas menteri Zaid Ibrahim cuba membersihkannya tetapi gagal -- walaupun kerajaan telah membayar ganti rugi atau saguhati sebanyak RM10.5 juta kepada Tun Salleh dan lima Hakim Mahkamah Agung yang digantung -- dan ditolak elit Umno sendiri.

Diserang dan dimaki dari setiap penjuru, namun Anwar masih merupakan tokoh pembangkang paling berpengaruh yang cukup liat untuk dilentur. Di kala sukarnya mencari pengganti Anwar di kalangan pemimpin politik Melayu, beliau tetap gagah berdiri meneroka wilayah yang masih kebal dengan dominasi Umno-BN.

Sehinggalah episod Kajang bermula, Anwar yang dijangka menggantikan Abd Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor kembali menjadi sasaran "penembak tepat". Mahathir dan Daim pun khabarnya tidak senang duduk.

Selangor memungkinkan Anwar mencorakkan negeri termaju ini selaras dengan manifesto Pakatan. Bukan hanya merealisasikan impian negeri berkebajikan -- selain menyelesaikan masalah dalaman KeADILan -- juga berupaya melonjakkan sokongan untuk menerajui Kerajaan Persekutuan dalam PRU14.

Seorang pengulas politik memberitahu saya: "Ekoran Serampang Kajang, tiba-tiba Anwar menjadi seteru yang mesti dihapuskan, tanpa belas kasihan lagi. Umno tidak sangup membayangkan bagaimana dinamisme Selangor di bawah Anwar, sekurang-kurangnya boleh meredah sempadan Perak dan Negeri Sembilan, tidak mustahil melantun hingga ke Johor."

"Anwar sebagai MB Selangor cukup menggelisahkan Mahathir," tambahnya.

Hukuman terhadap Anwar ini sudah pasti dilihat sebagai penghakiman yang sarat dengan motif politik. Membunuh pengaruh Anwar, atau paling tidak bertujuan mendiamkannya, seperti dahulu -- di hujung era Mahathir -- boleh menikam balik Najib dan sekutunya.

"Ia tidak lebih daripada satu gerakan politik, yang menggunakan mahkamah, dan kerajaan yang sedia tidak popular ini dengan bebanan melampau kenaikan kos sara hidup akan menerima padahnya," seorang rakan FB saya, pensyarah politik, menghantar mesej.

“Saga berterusan antara kerajaan dengan Anwar selalu membabitkan mahkamah. Ini tidak akan berkesudahan selagi Malaysia tidak belajar bahawa masalah politik perlu diselesaikan menerusi sistem politik,” kata seorang peguam perlembagaan kanan kepada The Edge Review.

Laman freemalaysiatoday melaporkan kenyataan Prof James Chin dari Universiti Monash: “Kerjaya politik Anwar tidak akan tamat. Ini bukan kali pertama dia didapati bersalah." Seorang ahli akademik tempatan, Prof Madya Andrew Aeria berkata: "Keputusan ini dipengaruhi oleh politik ... semua orang nampak. Saya rasa ramai orang tidak akan menerima hukuman ini kerasa nampak sangat elemen politik.”

Editor Rencana Harakah, Haris Zalkapli mengulas: "Pakatan kini perlu memikirkan masa depannya dengan peranan Anwar yang semakin mengecil, atau mungkin juga terus tiada langsung, sekiranya rayuan seterusnya tidak berjaya. ... Pakatan yang menunjukkan wajah lebih inklusif perlu memikirkan dengan serius transisi kepada barisan kepimpinan yang mampu membawa Pakatan ke hadapan, mengatasi cabaran-cabaran dalaman dan sesama parti komponen."

Sebenarnya singgungan Haris yang menyarankan proses transisi kepemimpinan Pakatan itu perlu difikirkan secara serius, bukan hanya kerana penghakiman Anwar, tetapi keperluan menyeluruh bagi mengatasi cabaran masa depan lebih sengit.

Bagaimanapun, saya masih belum mahu memikirkan realiti politik Malaysia tanpa Anwar, dengan menyedari peluangnya untuk menerajui Pakatan dalam PRU14 -- apatah lagi untuk mengetuai kerajaan baru selepasnya -- semakin tipis (saya pernah menghasilkan buku politik berjudul Malaysia Tanpa Anwar, terbitan tahun 1999). Langkah Anwar belum terhenti ...


Tiada ulasan: