Selasa, 11 Mac 2014

JANGAN KITA BERSIFAT PONDAN....GUNA TEKTIK KOTOR/MENIPU/MENINDAS....AKHIRAT AKAN SUSAH....DUNIA AKAN BINASA

PENGKALAN CHEPA:  Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai 'anak jantan' yang tidak gentar menghadapi sebarang kemungkinan.
Ketua Umum PKR itu, ujar Tuan Guru Nik Aziz menghubunginya pada jam 1 tengahari, 8 Mac lalu bagi memaklumkan keputusan Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman lima tahun penjara ke atasnya.
“Dari nada Datuk Seri Anwar semalam langsung tidak tergugat, menggambarkan benar-benar suara ‘anak jantan’ yang tidak gentar menghadapi sebarang kemungkinan,” ujarnya ketika ditemui di rumahnya di Pulau Melaka, semalam.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz turut menyarankan PAS Pusat menganjurkan solat  hajat seberapa segera di Kuala Lumpur selepas solat Isyak berjemaah bagi memohon pertolongan Allah terhadap ujian yang dihadapi Anwar.
“Orang Islam solat sunat hajat berjemaah memohon pertolongan dan petunjuk Allah, bukan Islam hadir untuk memberi sokongan,” ujarnya.
Beliau tidak menafikan musibah yang menimpa Anwar mampu membuka ruang kemenangan besar kepada calon PKR yang bertanding dalam PRK Dun Kajang kerana undi protes rakyat.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan keluarga Anwar agar bersabar menghadapi ujian besar membabitkan maruah keluarga dan imej Islam.
Beliau yakin dengan insiden itu  semangat benci kepada kezaliman BN bertambah hebat berbanding biasa.
KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Malaysia akan menganjurkan Liqa' Khas bersama Presiden Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada 5 April ini di Baling Kedah.

Ketuanya, Suhaizan Kaiat berkata, program ini bakal melibatkan pimpinan pemuda peringkat kawasan dan ahli ahli jawatankuasa lujnah dan jabatan peringkat pusat.

"Program ini berbentuk penyampaian amanat dan perkembangan politik semasa Malaysia dan dunia oleh Presiden.

"Ia juga bagi memberi peluang kepada pimpinan akar umbi pemuda untuk berdialog dengan Presiden dan pimpinan utama Pemuda PAS Malaysia," kata beliau kepada Harakahdaily.

Dalam program itu juga, pemuda PAS akan membentangkan halatuju dan agenda mereka sepanjang sesi ini bagi memberi peluang terbuka kepada pimpinan di peringkat kawasan untuk memberi pandangan, kritikan dan cadangan.

"Kebiasaannya dihujung sesi diwaktu muktamar sahaja mereka diberi peluang memuhasabah Pemuda Pusat.

"Tetapi kali ini, pimpinan kawasan diberi peluang untuk turut sama membentuk halatuju Pemuda PAS Malaysia," kata beliau lagi.

Menurut Suhaizan, selepas tamat program itu yang diadakan di sebelah pagi, pemuda PAS juga akan menyertai Himpunan Baling yang diadakan di sebelah petang untuk memperjuangkan hak penoreh getah, petani dan lain lain.

Pada sebelah malam pula, Presiden PAS akan menghadiri ceramah perdana sempena Himpunan Derita Baling bersama Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar dan Penasihat DAP Lim Kit Siang di Kupang.

Sehari sebelum itu, Ustaz Hadi juga dijangka akan menghadiri Majlis Makan Malam Dana Kompleks PAS Kedah.
Usrah merupakan satu nizam yang penting di dalam tarbiah PAS. Selain daripada usrah, ialah tamrin, liqa' al-Fikri, Majlis Ilmu, Daurah Tadribiah, Nadwah, Rehlah, Mukhayam, Qiamullail, Riadah. Kesemua program ini mesti digarap oleh semua ahli PAS supaya tidaklah mereka menyertai PAS hanya dari segi isi borang sahaja, sedangkan pemikiran dan tingkah laku tidak berubah. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku. Biarlah apabila menjadi ahli PAS, dia perlu berubah dalam semua perkara, walau pun memakan masa yang lama.

Usrah yang berasal dari perkataan Arab yang membawa maksud keluarga adalah merupakan satu medan yakni ahlinya bersama menjalani satu proses pembentukan yang dibina di atas semangat al-ukhuwwah al-Islamiyah.

Usrah mesti diwujudkan di dalam setiap cawangan untuk memastikan PAS dapat memenuhi ciri-ciri Gerakan Islam dan Gerakan Politik. Ini adalah satu kelainan dengan jamaah lain kerana PAS juga merupakan gerakan politik, dua perkara ini mesti diseimbangkan.

Setiap cawangan PAS mesti menjalankan aktiviti Usrah, ia boleh dilakukan rumah ahli PAS secara bergilir. Buat permulaan laksanakan sebulan sekali. Kenapa buat di rumah ahli tidak di markaz? Jawapannya supaya program usrah dan ziarah boleh disekalikan. Maklumlah semua kalangan ahli PAS sentiasa sibuk, tidak ada masa untuk ziarah menziarahi antara satu sama lain. Apabila usrah dibuat di rumah setiap ahli, maka secara tidak langsung program ziarah berjalan secara serentak. Tujuannya supaya kita dapat memerhati suasana rumah ahli PAS. Kadang-kadang ahli PAS yang kita temui di markaz tidak sama dengan hakikat yang sebenar. Ada kalangan ahli PAS yang cukup dhaif, tetapi mempunyai semangat dan jiwa yang kental. Wajahnya tidak menunjukkan beliau seorang yang susah, sentiasa ceria dalam hidup. Tidak pernah ponteng program parti. Tidak pernah mengeluh apabila diberi arahan. Dengan kehadiran ahli PAS ke rumahnya, terutama pemimpin, wakil rakyat PAS, secara tidak langsung akan menyentuh kalbu kita apabila melihat rumah ahli PAS yang dhaif tetapi istiqamah di dalam perjuangan.

Kebaikan usrah buat di rumah, kita juga dapat memerhatikan rumah tangga ahli PAS, sama ada menepati dengan rumah tangga Islam atau tidak. Kita boleh perhatikan anak isterinya menutup aurat atau tidak. Setengahnya kita berjumpa di luar rumah lain dengan keadaan beliau berada di rumah. Kita  mungkin terkejut apabila melihat isteri dan anaknya tidak menutup aurat, sedangkan suaminya berjubah dan berserban. Semuanya tidak akan kita ketahui melainkan apabila kita ziarah rumah sahabat secawangan.

Perlu kita sedar bahawa kekuatan PAS terletak di cawangan, bukan di kawasan, negeri atau pusat. Hebat macam mana sekali pun Tuan Guru Nik Aziz dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang tidak ada makna, jika di peringkat akar umbinya lemah. Dua Tuan Guru tidak tahu secara terperinci kekuatan atau kelemahan PAS, begitu juga kekuatan atau kelemahan parti lawan. Maklumat ini hanya boleh disampaikan oleh cawangan kepada pimpinan tertinggi. Pimpinan tertinggi tidak boleh merancang strategi jika tidak mempunyai maklumat yang disampai oleh ahli peringkat cawangan. Apabila usrah berjalan di peringkat cawangan maklumat ini senang diperoleh, contohnya cula setiap lokaliti hanya akan diketahui oleh ahli cawangan.

Kita boleh lihat cawangan yang aktif mengadakan usrah, ahlinya hidup damai dan bersatu padu. Masalah dalaman dapat dikurangkan, kerana sering bertemu. Anasir-anasir yang tidak baik untuk meruntuhkan jemaah dapat dihindarkan. Motivasi ahlinya tinggi kerana sering diberi semangat di dalam usrah. Inilah sebenarnya matlamat usrah, selain daripada membina peribadi dan fikrah. Menjadi kelaziman manusia akan bermotivasi apabila sering diperingatkan sesama sendiri. Biasalah, manusia yang hidup di dalam kelalaian mesti hidup di dalam suasana nasihat menasihati antara satu sama lain, maka usrah adalah salah satu caranya.

Saya yakin apabila usrah berjalan di peringkat cawangan, masalah kewangan akan dapat diatasi. Idea supaya setiap ahli PAS infaq setiap bulan seorang seringgit masih belum menjadi kenyataan. Kalau projek ini berjalan maka PAS akan dapat mengumpul hampir satu juta sebulan. Kenapa? Jawapannya ialah bagaimana mekanisme hendak dibuat. Jika hendak buat arahan potongan secara bulanan melalui bank agak tidak praktikal, kerana kos pengurusan tinggi. Lebih-lebih lagi bukan semua ahli PAS mempunyai akaun bank. Sudah tentulah usrah merupakan salah satu caranya.

Sebenarnya ahli PAS bukan kedekut hendak memberi kepada PAS. Kalau kedekut maka sudah pasti tidak ada markaz yang didirikan oleh ahli PAS dengan wang sendiri. Cuma mekanismanya yang tidak ada untuk pungut. Jika hendak suruh bendahari pergi memungut ke setiap rumah juga tidak praktikal. Kadang-kadang bendahari pergi ke rumah ahli, tetapi ahli tidak ada di rumah. Tetapi jika usrah berjalan, insya-Allah perkara ini dapat diatasi. Setiap ahli PAS akan bawa wang sewaktu mereka hadir ke usrah dan diberi kepada bendahari cawangan. Jika mereka terlupa mereka akan gandakan untuk bulan berikutnya.  Jika usrah berjalan, idea untuk memungut sejuta sebulan menjadi kenyataan dengan setiap ahli infaq satu ringgit sebulan.

Lajnah ekonomi juga dapat menambahkan pendapatan cawangan. Contohnya setiap ahli diwajibkan membeli satu tiub ubat gigi dan satu kotak sabun basuh Hilal setiap bulan. Ini adalah barang keperluan yang mesti diguna oleh setiap ahli Pas. Jika hasil jualan dua barang ini memberi keuntungan seringgit, maka berapa banyak wang tabung cawangan akan diperoleh. Diandaikan ada 30 orang ahli PAS, maka cawangan akan memperolehi RM30 sebulan, setahun RM360, lima tahun RM1800. Apabila pilihanraya tidak timbul lagi masalah kewangan di setiap lokaliti dan Unit Peti Undi.

Jika usrah berjalan soal menambah ahli akan dapat dilakukan. Misalnya setiap ahli PAS diarahkan mencari setahun seorang ahli baru. Ertinya setiap bulan sebelum memulakan usrah, naqib akan meminta borang keahlian daripada siapa yang membawa. Bulan hadapan akan diminta lagi. Secara tidak langsung ahli PAS akan berlumba-lumba untuk mencari ahli baru sebagaimana diarahkan oleh naqib. Begitu juga dengan daftar pemilih. Naqib akan pastikan nama anak-anak ahli yang cukup umur 21 tahun akan dipantau di dalam usrah supaya mereka mendaftar anak dengan SPR.

Paling penting ialah kebajikan ahli akan terjamin. Perlu diingat politik orang kampung, politik masyarakat. Jika PAS boleh pastikan kenduri, sakit, meninggal mereka terbela maka mereka akan berani untuk mendekati PAS. Oleh sebab itu kita lihat di tempat yang kuat Umno, PAS mendapat undi secara senyap kerana takut di pulau oleh Umno jika diketahui secara terang. Insya-Allah dengan usrah ada di cawangan soal kebajikan akan terpelihara. Apabila ada berita seorang ahli sakit, meninggal dan hendak buat kenduri terus dimaklum di dalam majlis usrah. Semua ahli akan mengambil perhatian dan tindakan untuk membantu. Inilah pentingnya usrah di dalam jemaah kita.

Timbul persoalan, bagaimana jika tidak ada naqib di dalam cawangan tersebut, atau naqib tidak datang apa yang perlu dilakukan? Program usrah mesti diteruskan. Ketiadaan naqib jangan menjadi alasan untuk tidak ada usrah. Ahli boleh membaca Yasin, tahlil kemudian buat tazkirah. Bahan tazkirah boleh baca terus daripada penulisan Tuan Guru di dalam Harakah atau mana- mana buku yang difikir sesuai. Kemudian bincang program yang akan dilaksanakan di cawangan atau kawasan. Hebahkan kepada semua ahli jika ada majlis kenduri yang memerlukan pertolongan daripada ahli cawangan. Atau makluman mengenai ahli yang sakit untuk diziarahi samaada di hospital atau di rumah.

Makanan biarlah disediakan oleh cawangan, bukannya oleh tuan rumah. Pengalaman yang saya perhatikan usrah di cawangan mati, apabila tuan rumah tidak sanggup menyediakan jamuan. Tetapi apabila cawangan sendiri yang menyediakan jamuan, insya-Allah semuanya sanggup untuk menyediakan rumahnya sebagai tempat usrah. Insya-Allah jika usrah dijalankan di peringkat cawangan PAS akan kukuh sama ada dari segi pembinaan fikrah, peribadi dan jamaah. Jom kita buat usrah di cawangan masing-masing. Setelah buat mesti ada kelainanya. Cuba dulu baru tahu.
KAJANG: Pencalonan Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon PKR menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Kajang  mendapat sokongan penuh pemimpin PAS dan DAP.
Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Dr Hatta Ramli (gambar) berkata, jentera PAS akan meneruskan operasi mereka bagi memastikan kemenangan Dr Wan Azizah.
"Jentera (pilihan raya) kita dari awal lagi sudah bersedia. Kita sudah lancar minggu lepas dan mereka akan terus bekerja untuk memastikan BN kalah," katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama PKR, PRK Kajang, semalam.
Jelas Hatta, PAS mengalu-alukan keputusan PKR untuk mengangkat Dr Wan Azizah sebagai calon Kajang bagi menggantikan Anwar.
Anwar dijatuhi hukuman penjara 5 tahun secara tergesa-gesa oleh tiga anggota panel hakim Mahkamah Rayuan pada Jumaat lalu setelah didapati bersalah dalam perbicaraan yang memakan masa dua hari.
Sementara itu, Penasihat DAP Lim Kit Siang (gambar) turut bersetuju dengan keputusan PKR itu dan menyifatkan Wan Azizah sebagai calon yang sangat sesuai bagi menggantikan Anwar.
"Mungkin dalam PRK ini kita boleh mencapai target agar calon BN hilang wang deposit. Kalau ini berlaku kita berjaya membuatkan rakyat bersetuju bahawa masa depan mereka gelap jika terus menyokong BN," tegas beliau


ISU dialog saya dengan komuniti gereja di Sungai Petani pada 28 Februari 2014 yang lalu telah mendapat reaksi daripada pelbagai pihak dengan motif dan tujuan masing-masing.
Reaksi spontan itu adalah susulan pelaporan berita apa yang saya ucapkan dalam dialog tersebut sebagaimana yang tersiardi dalam portal The Malaysian Insider (TMI) dan Malaysiakini.
Saya tidak berminat untuk mengetahui motif daripada mereka kerana pujian atau kejian adalah nikmat Allah SWT bagi menguji sejauh mana kesyukuran kita dan kesabaran kita dalam membawa apa yang kita yakini.
Namun, kepada yang sebahagian yang mengkritik, apa yang saya boleh jelaskan ialah cara respon dan diskusi di media sosial yang berlegar menampakkan manhaj ‘melabel’ dan ‘menghukum’ daripada manhaj ‘tabayyun’ atau mendapat penjelasan.
Tanggapan awalan yang sudah tertampung dalam minda mereka menghalang mereka untuk bersikap hormat dan penuh sopan untuk bertanya pada saya sedangkan pihak ketiga telah pun membuat pelbagai andaian.
Andaian yang dilapik, "jika Mujahid betul berkata demikian maka ini adalah fahaman golongan pluralis" dan sebagainya.

KERANGKA FIKIRAN ILMIAH
Minda kepada pemikiran bercirikan ilmu menuntut supaya apa saja ide yang dilontarkan mesti dihadam dengan hujah dari sumber ide itu dan bukan apa yang dipetik dari laporan berita walaupun kononnya berlapik dengan frasa “... kalau betul apa yang dilaporkan maka...”
Apatah lagi dalam isu yang berpotensi dirumuskan pendapat seseorang itu sebagai ‘keluar Islam’ dan sebagainya.
Memberi pandangan dalam hal sensitif seperti ini yang dipetik daripada kenyataan pemberita adalah cukup tidak ilmiah kalau ada pun ciri-ciri ilmiah, tahapnya adalah amat rendah sekali.
Kedua, pandangan dalam melanggani sesuatu permasalahan terbentuk dalam suasana kontekstual apa yang dikatakan.
Perkataan dan ide jika dinilai secara umum tanpa melihat dalam suasana apa dan konteks apa penghujahan itu dikeluarkan adalah satu kesilapan ilmiah dalam memberi keadilan kepada orang yang melontarkan ide.
Malangnya komentar daripada laporan berita tidak membekalkan suasana konteks yang amat diperlukan sebelum sesuatu rumusan itu perlu dibuat.
Ketiga, ide atau pandangan tidak boleh dinilai tanpa memberi keadilan kepada gambaran menyeluruh atau pandangan sarwajagat yang memandu tuan tubuh yang memberikan ide.
Susunan pemikiran yang konstruktif dipandu dengan asas prinsip yang diyakini oleh sipemikir sebagai petunjuknya dalam berhujah dan memberi ide.
Malangnya laporan berita tidak cukup ruang untuk membekalkan pandangan sarwajagat orang yang membuat sesuatu kenyataan.
Saya tidak menyalahkan pemberita semata-mata tetapi saya akan menyalahkan kononnya para ‘ilmuan’ yang tak ikut standard KPI untuk bagaimana menjadi seorang ilmuan yang dihormati.
Kalau mahu menjadi ilmuan/ulama/pemikir whatsapp, twitter dan facebook, saya belum menemui KPInya lagi.

APA SAYA KATA
Berpandukan kepada kerangka berfikir yang tersusun ini, saya akan menjawab para ‘ilmuan’di alam maya serta ‘tukang api’nya dalam landasan yang akan jadi ikutan untuk masa hadapan apabila kenyataan saya menjadi tajuk yang paling digemari oleh ‘penggemar-penggemar’ saya yang selagi tidak tercapai hasrat mereka menjayakan pelabelan saya sebagai pluralis dan liberal, selagi itulah mereka akan terus mengambil peluang, teruskan usaha anda.
Sebenarnya, tulisan ini adalah daripada sumbernya dan saya harap ia dapat memandu mereka kepada pencerahan khususnya dalam bidang berdakwah kepada non-Muslim.
Memetik laporan TMI:
"Mujahid berkata tidak siapa yang boleh mengaku agama yang dianuti lebih daripada agama orang lain. Katanya memadai manusia hidup sebagai hamba Tuhan yang baik menerima dan mengiktiraf perbezaan dan menyerahkan kepada Tuhan dalam membuat keputusan tentangnya.
Tambahnya seseorang itu tidak boleh mempersoalkan dewa agama lain atau kepercayaan yang dianggap syirik oleh agamanya. Tuhan mengarahkan bahawa tidak sesiap pun dibenarkan menghina dewa agama lain, ada sebab mengapa Tuhan mengatakan sesuatu,renungkanlah..."

KONTEKS

Konteks ucapan saya adalah berpandukan kepada isu perbalahan dan permusuhan antara agama yang berlaku hasil daripada masing-masing agama menghina antara satu sama lain.
Untuk mengelakkan tindak balas antara agama dengan penghinaan yang serupa atau lebih teruk lagi, Allah SWT melarang umat Islam memaki hamun tuhan-tuhan (dalam laporan menyebut dewa-dewa) golongan musyrikin kerana kelak mereka akan membalas maki hamun mereka kepada Allah dengan penuh permusuhan dan tanpa ilmu.
Allah SWT juga menerangkan betapa setiap penganut itu mahu mempertahankan amalan mereka walaupun sesat. Lalu mereka (golongan yang sesat) akan kembali kepada Allah dan Allah akan khabarkan kepada mereka apa yang telah mereka lakukan daripada perbuatan mensyrikkan diri dengan Allah (saya memetik surah Al Ana'am:108).
Konsep mengelak ‘balas membalas’ adalah supaya suasana damai yang wujud membuka kepada dialog dan dakwah dengan cara yang penuh kondusif.
Kalau kita sibuk tuduh menuduh dan caci mencaci, suasana kondusif bagi mewujudkan suasana berdialog dan debat dengan cara yang baik pastinya akan tenggelam.
Konteks suasana ucapan saya juga berpandukan kepada tanggung jawab Muslim supaya menyampaikan dan bukan dalam kaedah menghukum kerana Allah yang akan menjadi kata pemutus seperti mana yang ada dalam surah An Nahl:125.
Jadi apabila saya mengatakan apa yang di atas, saya sedang bercakap suasana permusuhan dan kebencian antara agama tidak akan berakhir selagi semua pihak mendabik dada kebenaran agamanya, tetapi tidak menjurus kepada perdebatan sihat sehingga menyebabkan hubungan antara agama terbentuk berasaskan kebencian dan permusuhan.
Untuk memberi keadilan kepada apa yang saya kata, saya menegaskan dalam konteks ini, prinsip ‘bagi kamu agama kamu, bagi kami agama kami’ bukan untuk memberhentikan usaha dialog dan debat sihat tetapi sebagai melahirkan suasana ‘gencatan senjata’ daripada terus tuduh menuduh antara satu sama lain.

KONTEKS DAN RUMUSAN YANG BETUL
Konteks ucapan saya tidak langsung mengisyaratkan bahawa seseorang Muslim tidak boleh bangga dengan agamanya atau berasa mulia dengan agamanya kerana jika ini yang saya maksudkan ia akan bertentangan dengan pandangan sarwajagat saya terhadap prinsip hubungan antara agama yang akan saya jelaskan dan huraikan.
Malah kerana kemuliaan agama sayalah yakni Islam,  saya mengusahakan dialog dengan pihak gereja sejak tahun 2010 lagi.
Fahamilah konteks saya bahawa saya berinteraksi dalam suasana bercakap bagi melahirkan atmosfera kondusif untuk berdialog, jauh sekali ingin menegaskan bahawa semua agama adalah sama.
Islam menyuruh kita menyediakan suasana kondusif bukan menyuruh kita menggadaikan prinsip agama kita, saya amat jelas hakikat ini.
Disebalik pelaporan TMI, apa yang tidak dicatat (mungkin kerana tidak cukup ruang atau sebagainya) ialah saya menyatakan bahawa Islam tidak mungkin menerima konsep ‘trinity’ dalam apa jua bentuknya dan lantas kita (penganut Islam) tetap berbeza dengan penganut Kristian.
Dengan penjelasan kenyataan saya, apa yang saya cuba lakukan ialah untuk memenuhi tiga syarat makna “hormat menghormati”, iaitu melalui ilmu (dengan penuh kesedaran), kejujuran (saya datang ke tempat mereka) dan berendah diri (dengan menyediakan suasana kondusif ini).
Selain daripada rumusan di atas dalam konteks yang saya tuturkan, saya menganggap ia hanya telahan-telahan dan kadang-kadang tuduhan liar yang tidak berasas apatah lagi daripada mereka yang hanya pandai melabel tetapi kaku di alam dakwah kepada non-Muslim.

KATA PEMUTUS DARI ALLAH
Allah SWT menentukan sesuatu kebenaran dan kebenaran bagi saya adalah Islam. Teks al-Quran daripada surah ali-Imran ayat 19 menjelaskan hakikat ini, dan saya meyakininya dengan penuh keyakinan.
Namun saya juga berhadapan dengan penjelasan Allah SWT terhadap kepelbagaian yang wujud khusus daripada surah Hud ayat 118-119.
Kenyataan daripada dua teks ini bukanlah perbezaan dan penentangan antara satu sama lain tetapi satu kesejajaran dalam menegaskan kewujudan kepelbagaian dengan paksi Islam yang berperanan menampungnya melalui dialog dan perdebatan secara sihat (saya memetikdaripada surah Al-Ankabut ayat 46).
Dalam hal perbalahan yang tidak selesai antara agama di dunia, Allah menetapkan bahawa keputusan mutlak ada di tangan Allah dan semua amalan yang mensyrikkan diri dengan Allah pada pandangan Islam akan didedahkan oleh Allah di akhirat kelak.

MENJADI HAMBA TUHAN
Menjadi hamba Allah yang baik ialah masing-masing berinteraksi dengan asas hormat, kemanusiaan dan memberikan keadilan kepada siapa yang berhak.
Isyarat dalam konteks ini tidak menjuruskan kepada mengatakan hanya Allah SWT yang menentukan kebenaran tanpa titik tolak yang kukuh atau daripada sesuatu yang lompang.
Titik tolak kukuh saya ialah kebenaran Islam yang saya imani tanpa syak dan ragu-ragu. Kewujudan kepelbagaian di dunia adalah realiti namun adalah satu realiti juga bahawa yang benar itu hanya satu.
Jika di dunia saya terpaksa berhadapan menegakkan kebenaran dalam suasananya yang nisbi kerana masing-masing mendakwa benar (atas kepelbagaian yang wujud) maka di hari akhirat kebenaran mutlak akan diputuskan oleh Allah SWT dan sebagai orang yang beriman saya meyakini kebenaran mutlak itu adalah daripada Islam.
Sebab itu apabila seorang peserta non-Muslim bertanya dalam majlis yang sama, “Apakah agama sifatnya eksklusif (bertentangan dengan inklusif) sehingga menjadi penghalang kepada hidup dalam suasana kerukunan dan damai?"
Saya menjawab ia tidak benar bagi Islam, kerana sifat eksklusif dan inklusif mesti kena pada tempatnya.
Bagi Islam akidah dan keyakinannya serta amalannya adalah eksklusif untuk penganutnya namun sifat Islam juga adalah inklusif dalam soal menegakkan keadilan, kemanusiaan, hormat agama lain dan seruan berdialog dengan cara yang sihat, sedangkan pluralisme agama mengandaikan tiada eksklusifism dalam beragama.

PANDANGAN SARWAJAGAT SAYA
‘World-view’ atau pandangan sarwajagat saya kepada isu-isu hubungan antara agama terbentuk dalam suasana yang jelas sejak awal penglibatan saya berdialog dengan gereja.
Terma rujukan utama saya ialah al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad s.a.w. manakala pandangan-pandangan daripada ulama dan pimpinan parti saya sentiasa menasihati dan memberi bimbingan kepada saya.
Selain itu rujukan buku-buku dari pengarang muktabar banyak memberikan saya keyakinan bahawa saya berada di landasan yang betul.
Menerokai bidang dakwah kepada non-Muslim tidaklah mudah bagi saya kerana sering tanggapan serong terhadap peribadi politik yang melekat pada diri saya menjadi sasaran.
Antaranya ialah saya cuba meraih undi simpati untuk PAS, malah ada yang menuduh saya ‘berlunak’ dalam pendekatan dialog sehingga menggadai prinsip dan ada pula yang menuduh saya tidak berkelayakan dan sebagainya.

PENDEKATAN SAYA
Pendekatan saya bukan debat untuk membuktikan siapa yang benar dan siapa yang salah kerana itu adalah ruang perdebatan teologi.
Penglibatan saya lebih kepada pendekatan mewujudkan suasana damai dalam hubungan antara agama menggunakan kaedah berkongsi proses kedamaian yang dipersetujui bersama tetapi pada waktu yang sama berada pada posisi agama masing-masing. \
Pendekatan saya ialah berdialog bagi memahamkan penganut lain bahawa cara menghina, mencaci dan mengutuk antara satu sama lain tidak akan membantu mewujudkan suasana harmonis dan hormat menghormati antara agama.
Saya mengharapkan dalam proses itu Kerahmatan Islam akan terserlah bagi menguruskan hubungan antara agama dan bagaimana agama memainkan peranan menentukan bentuk masyarakat dan negara yang kita mahu.

PRINSIP SAYA

Dalam proses menjalankan pendekatan ini, saya menegaskan beberapa prinsip yang membentuk pemahaman saya dalam konteks hubungan antara agama:
Pertama - Menolak fahaman bahawa agama itu semua sama atau apa yang mudah diungkapkan sebagai pluralisma. Saya berhujah dengan mudah bahawa jika semua agama adalah sama mengapa kita perlu menjadi Muslim atau Kristian atau Budhha? Malah penganut lain pun menolak konsep pluralisme agama ini kerana bahayanya boleh mencairkan erti pegangan kepada sesuatu keyakinan.
Kedua - Menerima kepelbagaian agama sebagai realiti dan mencari penyelesaian untuk hidup dalam kepelbagaian ini dan bukan lari daripadanya. Wujud kepelbagaian agama adalah supaya Islam menguruskannya dengan panduan yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. melalui prinsip kerahmatan Islam.
Ketiga - Membina jambatan falsafah hubungan antara agama melalui dialog bagi melahirkan suasana hormat mengormati. Jambatan praktikal hubungan antara agama dibina atas isu kemanusiaan seperti berganding bahu membela golongan susah dan memerlukan, memberi pendidikan kepada yang susah dan menziarahi yang sakit. Dalam konteks negara bersetuju untuk membenteras rasuah dan kefasadan politik dan membina secara bersama masyarakat yang terhindar dari kerosakan akhlak. Jambatan falsafah dan praktikal ini tidak terbentuk melainkan wujud saling percaya antara satu sama lain.
Keempat - Meyakini penyelesaian masalah konflik agama perlu diselesaikan di meja rundingan dengan melihat merit permasalahan dan bukan dipandukan sentimen dan emosi. “Engagement” (menaut) memerlukan “disengagement” (bebas) daripada apa persepsi yang terpahat selama ini untuk memahami permasalahan supaya mendapat penyelesaian yang tuntas.
Kelima - Menentang fahaman pelampau agama dan sikap rasis yang mewarnai hubungan samada melalui tingkahlaku atau kata-kata atau tindakan kerana ini akan mencemarkan nama baik Islam yang melimpahi Rahmatnya kepada alam ini. Semua agama mesti menentang fahaman melampau yang berpotensi mencetuskan keganasan atas nama agama walaupun hakikatnya agama tidak ada kena mengena dalam soal ini.

SEMOGA JELAS
Laporan TMI mungkin tidak sempat melakarkan keseluruhan konstruk pemikiran saya dalam hubungan antara agama di negara ini.
Saya mengharapkan daripada artikel ini mereka yang bertanya mendapat jawapannya walaupun panjang tetapi ia bukan semudah menjawab ya atau tidak atau paling kurang saya menyalahkan laporan berita yang melaporkan.
Hubungannya kompleks kerana ia memerlukan fahaman kontekstual dan pemikiran besar yang memandu saya.
Saya tidak menyalahkan pengkritik saya kerana mungkin mereka membuat perbandingan dengan pendekatan debat teologi yang mereka pernah baca dan lihat seperti tokoh hebat Ahmad Deedat atau Zakir Naik.
Saya yang bernama Mujahid punya pendekatan tersendiri dan mengharapkan ini adalah sumbangan daripada kerja dakwah menjadikan Islam sebagai asas titik tolak dalam menguruskan kepelbagaian agama yang ada.
_____________________
Mujahid Yusof Rawa ialah Ahli Parlimen Parit Buntar dan Pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional PAS Pusat. Sejak isu kalimah “Allah” tercetus, beliau telah melawat dan mengadakan dialog dengan lebih 20 gereja di seluruh negara. Pengalaman beliau ini telah dirakamkan di dalam buku Berdialog Dengan Gereja: Sebuah Travelog Kedamaian dan telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris dengan judul Engaging Christianity: A Travelogue of Peace.
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah merasmikan pembukaan mesyuarat pertama penggal kedua Majlis Parlimen ke-13 di sini hari ini.
  
Pembukaan penggal kedua Parlimen ke-13 kali ini menyaksikan perubahan dari segi atur cara sambutan majlis perbarisan kawalan kehormat yang sepatutnya berlangsung di Dataran Parlimen, diadakan di Dewan Bankuet, Bangunan Parlimen berikutan cuaca berjerebu.
  
Keberangkatan tiba Seri Paduka bersama Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah pada 10 pagi disambut Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang.
  
Turut menyambut keberangkatan tiba baginda berdua ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.
  
Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Hajah Haminah kemudian diiring masuk ke Dewan Bankuet untuk menerima sembah 'Hormat Diraja', menggantikan upacara pemeriksaan kawalan kehormat yang sepatutnya berlangsung di Dataran Parlimen.

Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja dari Kem Sungai Besi kemudiannya memainkan lagu 'Negaraku' diikuti tembakan meriam 21 das.
  
Tepat 11 pagi, loceng istiadat dibunyikan dan Seri Paduka diiringi ke Dewan Rakyat untuk menyampaikan titah ucapan.
  
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin diiringi isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, menteri-menteri Kabinet dan perwakilan asing.
  
Persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung selama sebulan mulai hari ini (10 Mac) hingga 10 April depan. - Bernama
KUALA LUMPUR: Pemuda PAS mengarahkan jenteranya di semua peringkat untuk turun beramai-ramai pada hari penamaan calon PRK N25 Kajang bagi menunjukkan solidariti dan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijatuhi hukuman lima tahun penjara oleh Mahkamah Rayuan.

Pengarah Jabatan Pilihan Rayanya, Mohd Sany Hamzan (gambar)  berkata, himpunan solidariti itu juga penting bagi memperlihatkan rasa amarah terhadap kebobrokan sistem perundangan negara yang tempang serta permainan politik kotor Umno-BN.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, Mohd Sany berkata, Pemuda PAS di semua peringkat juga telah diarahkan untuk membantu gerakerja pilihan raya Kajang mengikut jadual dan perancangan yang telah ditetapkan oleh Jentera Operasi Jabatan Pilihanraya Pemuda PAS Malaysia.

"Kami menyifatkan penghakiman 7 Mac 2014 lalu sebagai mengulangi episod hitam kegagalan dan kerosakan sistem perundangan negara dalam kes Liwat I tahun 1998.

"Jabatan Pilihanraya Pemuda PAS Malaysia amat yakin dan percaya keputusan penghakiman terpilih yang dibuat secara tergesa-gesa ini telah dibayangi dan dicemari oleh tangan-tangan dalang yang akan terkesan jawatan dan kuasa mereka sekiranya Anwar tidak diperosokkan di dalam kandang orang yang bersalah," tegas beliau.

Beliau turut merakamkan simpati kepada Anwar dan keluarga di atas musibah yang melanda dan berharap mereka terus bersabar serta memperbanyakkan doa.

"Kami memberi amaran kepada pihak-pihak yang cuba merosakkan sistem perundangan negara dan demokrasi berpilihan raya di dalam negara ini supaya bertaubat dan memohon maaf di atas segala perancangan jahat dan fitnah yang telah dilakukan selama ini kerana sesungguhnya kematian itu adalah sangat hampir dan azab Allah Taala adalah sangat pedih," kata Mohd Sany.


Satu lawan satu antara Wan Azizah dan Chew Mei Fun di Kajang
Posted on Tuesday, March 11 @ 11:04:15 MYT
Dilulus untuk paparan oleh memo





Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan calon BN Datin Paduka Chew Mei Fun mengangkat tangan semasa pencalonan untuk pilihan raya kecil DUN Kajang di Bangi, Selangor. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 11 Mac, 2014.

Calon Barisan Nasional (BN) Datin Paduka Chew Mei Fun akan bertanding satu lawan satu menentang calon Pakatan Rakyat (PR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi berkenaan pada 23 Mac depan.

Kedua-dua pemimpin wanita itu sah menjadi calon apabila menghantar borang pencalonan mereka kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Kajang pagi tadi, di Bandar Baru Bangi.

Kesesakan lalu lintas luar biasa menuju ke pusat penamaan calon di Seksyen 15 Bandar Baru Bangi itu tidak menghalang penyokong kedua-dua pemimpin tersebut untuk hadir memberikan sokongan mereka.

Wan Azizah menggantikan suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terlucut kelayakan untuk bertanding apabila Mahkamah Rayuan memutuskan beliau bersalah meliwat bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan minggu lalu.

Anwar dihukum penjara lima tahun atas kesalahan tersebut.

Penyokong BN dan PR masing-masing berarak membawa bendera parti mereka ke pusat penamaan calon seawal jam 7 pagi.

Bekas menteri Kabinet, Datuk Zaid Ibrahim yang mengumumkan akan bertanding atas tiket Bebas bagaimanapun tidak kelihatan apabila beliau menarik diri sebaik sahaja Anwar mengesahkan tidak akan bertanding di kerusi yang dikosongkan Lee Chin Cheh dari PKR itu.

Kajang mempunyai sejumlah 38,965 pengundi berdaftar dengan pengundi Melayu membentuk 48%, pengundi Cina 41%, dan pengundi India 10%.

Dalam pertandingan enam penjuru Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada 5 Mei tahun lalu, Lee memperolehi 19,571 undi dengan majoriti 6,842 , sekaligus membolehkan beliau menewaskan calon BN dari MCA Lee Ban Seng yang memperolehi 12,747 undi.

Pengurus Pilihan Raya PRK Kajang Datuk Hasan Nawawi Abdul Rahman dalam pengumumannya berkata, SPR menerima dua kertas pencalonan iaitu Chew yang menyerahkannya pada jam 9:07 pagi manakala, Wan Azizah pada jam 9:10 pagi.

"Dengan ini saya mengumumkan calon disahkan bertanding di DUN Kajang adalah Chew Mei Fun dan Wan Azizah," katanya di hadapan wakil calon dan penyokong. – 11 Mac, 2014.-tmi

Tiada ulasan: