Rabu, 5 Februari 2014

MUNGKIN KITA PUAS DIDUNIA....AKHIRAT BAGAIMANA

Jenis-jenis penyakit yang disebabkan oleh Makhluk Halus

Posted on December 14, 2013 under Haron Din, Islam by


jenis-jenis penyakit disebabkan oleh makhluk halus
Soalan:
Saya pernah membaca dalam beberapa penulisan termasuk penjelasan yang ustaz telah berikan dalam Harakah yang lepas bahawa makhluk halus (jin, syaitan dsbnya). Bolehkah ustaz jelaskan apakah jenis-jenis penyakit boleh dilakukan oleh makhluk ini kepada manusia?
Jawapan oleh Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din:
Berdasarkan kepada nas-nas yang sahih khususnya dalam al-Quran dan sunnah Nabawiyyah, bahawa Allah SWT memperincikan bahawa makhluk halus seperti jin, ifrit dsbnya, dalam keadaan tertentu boleh memberikan berbagai penyakit ke atas anak Adam.




Di antara penyakit itu disebut dalam Surah al-Baqarah ayat 102 (mafhumnya), “Sesungguhnya orang-orang yang memakan riba’ tidak dibangunkan pada Hari Kiamat melainkan dalam keadaan seperti orang yang telah rasuk oleh syaitan daripada sentuhan yang membawa kepada kecelakaan.”
Istilah yang Allah digunakan dalam ayat tersebut ialah ‘attkhabbut’ yang bermakna dipukul dengan kuat atau dicederakannya.
Surah al-A’raf ayat 201, Allah menggunakan perkataan ‘almass’ yang diantara maksudnya, “Sesungguhnya orang-orang yang taqwa itu apabila mereka diganggu oleh syaitan dengan ‘mass’, sentuhan yang boleh membawa kepada kehilangan akal oleh jin-jin yang berkeliaran. Mereka segera ingat kepada Allah SWT, lalu mereka dapat pulih.”
Surah al-Mujadalah ayat 19, Allah menggunakan perkataan ‘istihwaaz’, maksudnya syaitan boleh menguasai dan mengalahkan manusia sehingga mereka tidak sedarkan diri atau lupakan segalanya.
Surah al-A’raf ayat 300, syaitan boleh mengenakan kepada manusia ‘annazghu’ atau menipu dan menghasut untuk melakukan kejahatan. Ertinya golongan syaitan boleh menipu dan menghasut manusia sehingga kepada membunuh.
Surah as-Saad ayat 41, syaitan boleh mengenakan ‘annasad’ dalam ayat ini yang mafhumnya, “Dan ingatlah peristiwa hamba kami Ayub a.s, ketika ia bermunajat kepada Allah dengan mengadu katanya, ‘sesungguhnya saya ya Allah, dikenakan oleh syaitan dengan ‘nusghin wa azab’.” Nasad yang membawa makna penat atau lebih yang amat sangat.
Jelas bahawa kepenatan, keletihan, kesusahan dan azab sengsara boleh dilakukan oleh makhluk ini berdasarkan ayat-ayat yang saya sebutkan.
Dalam sunnah yang sahih, disebut bahawa syaitan dan suku sakatnya boleh menyebabkan manusia menjadi gila. Hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, dikisahkan tentang seorang anak muda yang baru berkahwin sempena dengan Peperangan Ahzab. Beliau menyertai Rasulullah s.a.w mengorek parit di waktu tengahari, beliau memohon izin kepada Rasullah untuk pulang. Rasulullah keberatan mengizinkan. Namun atas desakannya lalu dibenarkan. Bagaimanapun Rasullullah mengingatkan kepada pemuda tersebut supaya membawa senjata. Apabila sampai di rumah beliau dapati isterinya berada di luar rumah. Lalu dilihat dalam rumahnya ada ulat hitam yang besar. Pemuda ini terus menusuk tombaknya kepada ular tersebut. Lalu ular itu menggelupur, tapi dalam waktu yang sama pemuda itu turut menggelupur. Akhirnya ular itu mati dan pemuda pun mati juga. Apabila peristiwa ini dimaklumkan kepada Rasulullah, lalu baginda menyebut itu (ular) adalah jin. (Sahih Mulim, Juzuk ke 4 hadis 1756).
Suatu peristiwa lain, Yaa’li bin Murrah menceritakan dari bapanya, bahawa suatu ketika seorang perempuan telah membawa anaknya yang berpenyakit ‘lammam’ (akal yang bercelaru atau gila). Rasullah s.a.w merawatnya dengan membaca sesuatu, lalu baginda menepuk belakangnya dan pemuda itu termuntah lalu keluarlah objek kehitam-hitaman berlari keluar dan terus hilang, lalu pemuda ini kembali siuman seperti biasa. Hadis ini terdapat dalam Musnah Imam Ahmad.
Inilah di antara sebahagian penyakit yang boleh dicetuskan syaitan ke atas manusia.
Sumber: Darussyifa

Rasulullah SAW tidak pernah mengubat orang sakit?

Posted on December 14, 2013 under Haron Din, Islam by
HABBATUS SAUDA
Soalan
Saya mendengar seorang penceramah mengulas sebuah hadis bahawa Rasulullah s.a.w., pernah dibawa kepadanya seorang pesakit meminta diubati. Rasulullah tidak mengubatinya, sebaliknya pesakit itu dirujuk kepada pengubat lain.
Kata penceramah itu Rasulullah tidak mengubatkan pesakit. Oleh itu bagaimana kita hendak kaitkan ilmu perubatan Islam dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran sedangkan Nabi tidak melakukannya? Mohon dijelaskan kesahihan hadis tersebut.


AHMAD NIZAM YAAKUB
Likay Perdana, Hulu Kiang
Jawapan
Hadis yang dirujukkan penceramah tersebut adalah betul. Ia adalah hadis sahih diriwayatkan oleh Imam Muslim yang didapati dalam banyak kitab seperti Sahih Muslim dan Zaadul Ma’ad oleh Ibnul Qayyim dalam juzuk kelima.
Hadis sepenuhnya bermaksud begini:
Disebut lbnu Syihab az-Zukhri katanya; seorang lelaki telah dipatuk ular berbisa lalu dibawa kepada Rasulullah s.a.w., sengatan ular ini amat serius, lelaki itu berada di dalam sangat kritikal. Lalu Nabi bertanya kepada sahabat, apakah ada orang yang mahir mengubati bisa ular. Sahabat memberitahunya, ada, iaitu Aalu Hazmin, mereka terkenal dengan ilmu pengubatan ini. Nabi bertanya siapakah nama pengubat yang terbaik itu, lalu mereka menjawab ‘Ammarah Ibnu Hazmin. Pesakit ini dibawa berjumpa dengan ‘Ammarah, tetapi beliau enggan mengubatkannya. Lalu pesakit ini dibawa berjumpa Rasulullah s.a.w. semula.
Nabi bertanya ‘Ammarah mengapa beliau enggan merawat. Jawabnya, saya telah memeluk agama Is­lam dan saya Mendengar Rasulullah s.a.w. melarang jampi mantera untuk rawatan. Lalu Rasulullah s.a.w. berkata kepada beliau, bukan semua jampi mantera diharamkan. Ada yang boleh diamalkan jika tiada dalam jampi itu perkataan yang syirik. “Nabi menyuruh ‘Ammarah membaca jampi yang ada padanya untuk rawatan bisa tersebut. Selepas mendengarnya, Nabi membenarkan ‘Ammarah membacanya untuk tujuan pengubatan. Lalu beliau melakukannya dan pesakit itu sembuh dengan izin Allah SWT”
Permasalahan yang saudara bangkitkan, dengan ulasan penceramah tersebut, seme­mangnya boleh mencelarukan orang yang mendengarnya. Malah boleh memecah­ belahkan orang yang kurang ilmu penge­tahuannya tentang hadis.
Orang yang banyak membaca dan mema­hami ilmu syariat, khususnya menguasai hadis-hadis Nabi yang banyak boleh memahami hadis ini. Kebiasaannya orang yang mahir dengan hukum, tidak mudah untuk membuat kesimpulan semata-mata dengan hanya menjumpai satu hadis sahih sahaja. Tidak wajar, daripada satu hadis sahaja penceramah sudah membuat kesimpulan dan menyalahkan orang lain, kononnya Nabi tidak pernah mengubatkan pesakit.
Hadis-hadis sahih tentang pengubatan, saya dapati amat banyak. Memudahkan untuk kita memahami hadis-hadis ini, saya membuat kesimpulan bahawa hadis-hadis sahih tersebut, dikumpul­kan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim.
Diletakkan dalam satu bab khusus yang dipanggil ‘Babuttadawi’ (Bab Mengubat Penyakit). Saya menyimpulkan semua hadis­-hadis sahih tentang bab pengubatan penyakit ini dalam sekurang-kurangnya enam keadaan yang berlainan tetapi mempunyai signifikan yang sendiri.
Senario Pertama
Pesakit datang berjumpa Rasulullah s.a.w. meminta dirawat dan Nabi sendiri merawat mereka dengan bacaan ayat al-Quran ataupun daripada hadis baginda sendiri. Ia terdapat misalnya dalam hadis dari Uthman Ibnul ‘Ass dan Aisyah binti Abu Bakr yang menyebut bahawa Rasulullah s.a.w. mengubati keluarganya yang sakit. Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari.
Demikian juga Anas bin Malik mencerita­kan bahawa Tsabit al-Banani datang kepada baginda mengadu sakit, lalu Nabi merawat­nya. Dalam satu hadis lain yang diriwayatkan oleh Anas, iaitu datang seorang pesakit kepadanya lalu Anas berkata, mahukah kamu, aku jampi ke atas kamu sebagaimana jampi Rasulullah s.a.w. ke atas ku. Jawabnya mengapa tidak. Lalu Anas menjampi nya dengan jampi Rasulullah. Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari.
Senario Kedua
Nabi mengajar sahabat menjampi pesakit untuk mereka menjadi pengubat. Hal ini sabit dengan hadis dari Aisyah, Uthman Ibnul ‘Ass dan Anas bin Malik, bahawa Nabi mengajar bacaan untuk mengubat penyakit..
Senario Ketiga
Nabi sendiri yang sakit, tetapi baginda tidak mengubati dirinya. Sebaliknya diubati oleh Jibril a.s. Hal ini boleh dilihat dari hadis, Abu Sa’id al-Khudri katanya: “Jibril mendatangi Rasu­lullah s.a.w. lalu berkata, wahai Muhammad apakah anda mengadu kesakitan? Jawab baginda, ya. Lalu Jibril menjampikan baginda.” (Hadis Sahih Muslim).
Ini menunjukkan, bahawa pasti ada pera­wat kepada yang sakit. Pesakit perlu dirujuk kepada perawat atau pakar lain dalam bidang-bidang tertentu.
Senario Keempat
Nabi s.a.w. sakit dan baginda merawat dirinya sendiri. Aisyah rha. menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. mengadu kesakitan, baginda mengubati dirinya sendiri dengan membaca ayat-ayat al-Quran. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Senario Kelima
Pesakit yang mahir ataupun pakar, boleh diubati oleh orang yang kurang pakar. Hal ini berlaku, ada ketikanya Jibril yang merawat ke­tika Rasulullah sakit dan dalam hadis sahih se­perti peristiwa menjelang kewafatan baginda, baginda meminta Aisyah rha. merawatnya.
Pada mulanya Aisyah enggan merawat Nabi kerana mengenangkan siapalah dirinya jika hendak dibandingkan dengan Rasulullah. Oleh kerana Rasulullah sendiri yang meminta Aisyah membacanya, lalu Aisyah membaca ayat-ayat al-Quran dengan meme­gang tangan Rasulullah sambil mengharapkan keberkatan yang lebih dari tangan Nabi yang suci itu.
Dalam senario ini juga, Nabi meminta Aisyah membawa sebekas air untuk didoakan, setelah didoakan, lalu Nabi mencelupkan tangannya di dalam air itu, lalu Nabi menya­pukannya di muka dan di badan baginda.
Senario Keenam
Nabi tidak mengubat pesakit (sedangkan baginda boleh berbuat demikian). Senario ini sama sebagaimana yang disebutkan dalam soalan tadi. Ini menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w. mengajar kita apabila ada pesakit yang serius (seperti dipatuk ular dalam hadis tadi), maka diarahkan supaya dirujuk kepada pakar segera.
Sememangnya Nabi s.a.w. pakar dalam segalanya, tetapi baginda memberi peluang untuk dirujukkan hal-hal tertentu kepada sahabat-sahabat yang lain.
Oleh itu maka hadis yang saudara persoal­kan, hanyalah salah satu episod daripada cara pengubatan Rasulullah s.a.w.
Wallah hu ‘alam
Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din
[Petikan dari Harakah Bil. 1333 (16-30 April 2007 )

Hukum mempelajari dan mengamalkan Ilmu Pengasih & Pembenci?

Posted on December 4, 2013 under Haron Din, Islam by


MINYAK-SENONYONG
Soalan
Bolehkah dipercayai ada orang boleh membuat ilmu pengasih atau ilmu pembenci yang boleh didapati daripada pembuatnya dengan harga ribuan ringgit untuk tujuan pengasih atau pembenci. Bagaimanakah pandangan syarak dalam kes-kes seperti ini yang sering disebut berlaku dalam masyarakat kita?
FARAH WAHIDAH ISA
Pasir Puteh, Kelantan




Jawapan
Ilmu pengasih atan ilmu pembenci, ia merujuk kepada ilmu dan pengetahuan. Meski pun manusia diwajibkan mempelajari ilmu, namun ada ilmu yang dibenci dan ditegah oleh syarak khususnya ilmu yang boleh membawa kerugian yang nyata di dunia dan akhirat. Bagi limu pengasih atau ilmu pembenci, saya lebih cenderung untuk meletakkannya dalam kelompok ilmu sihir.
Melakukan sesuatu ikhtiar dengan berdoa ke hadrat Allah SWT atau untuk memperbaiki diri, meningkatkan penampilan diri, menjaga tutur kata dan akhlak mulia boleh menjadi penyebab seseorang itu dikasihi. Itu memang dibenarkan kerana ia adalah usaha atas jati diri atau usaha ‘gentleman’ untuk menaik­kan prestasi diri sehingga dikasihi.
Tetapi mengikhtiarkan sesuatu limu yang diketahui sebagai ilmu pengasih, inilah yang sebagaimana disebut dalam hadis yang disabdakan oleh Rasulullah saw. yang mahfumnya;
“Sesungguh­nya jampi mentera yang meng­gunakan perkataan terlarang dan tangkal menangkal dan at-tiwalah adalah perbuatan syirik.” (Hadis sahih – Riwayat Imam Ahmad dalam musnadnya dan Imam Daud dalam sunannya)
Ibnu Mas’ud ketika menghurai makna perkataan ‘attiwalah’ me­ngatakan; “Ada sesetengah perempuan atau lelaki, mengguna­kan sejenis tangkal atau seumpamanya, dipakai pada dirinya dengan tujuan menambat atau menyebab­kan dirinya lebih dicintai oleh orang lain, maka perbuatan itu adalah sejenis sihir.” Ertinya, Ibnu Mas’ud meng­anggap ilmu pengasih dengan ikhtiar yang sedemikian tadi sebagai ‘at-tiwalah’, sebagai perbuatan syirik.
Dalam kitab Ibnu Mas’ud di halaman 32, juga ada menyebut yang bermaksud Hukum-hukum jampi mentera dan tangkal-tangkal seperti benang-benang dan simpulan padanya yang dibawa jampi khusus untuk dipakai oleh perempuan atau lelaki dengan tujuan dia dicintai, yang disebut sebagai ilmu pengasih adalah termasuk dalam ‘at-tiwalah’.
Oleh itu ilmu pengasih yang digunakan daripada kaedah mengambilnya (mempelajarinya) dari seseorang untuk dipakai atau kadang-kadang diberi makan dan bahan sihir yang kotor amat ditegah oleh Islam untuk mengamalkannya.
Demikian juga orang yang meng­gunakan kaedah yang sama untuk memisahkan seseorang dengan se­seorang yang lain apatah lagi memisahkan dua orang yang berkasih kerana Allah ataupun antara suami isteri yang rumah tangga mereka ru­kun damai, tidak dengan cara nyata, digunakan cara halus.
Ilmu pembenci ini jelas ditegah oleh Islam. Firman Allah (Surah aI-Baqarah ayat 102);
AlBaqarah102
“Mereka (membelakangkan Kitab Allah) dan mengikut ajaran-ajaran sihir yang dibacakan oleh puak-puak Syaitan dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman, padahal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi puak-puak Syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya); kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat: Harut dan Marut, di negeri Babil (Babylon), sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata: “Sesungguhnya Kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya)”. Dalam pada itu ada juga orang-orang mempelajari dari mereka berdua: ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan isterinya, padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun melainkan dengan izin Allah. Dan sebenarnya mereka mempelajari perkara yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka. Dan demi sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu) telahpun mengetahui bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi mendapat bahagian yang baik di akhirat. Demi sesungguhnya amat buruknya apa yang mereka pilih untuk diri mereka, kalaulah mereka mengetahui.”
Saya rujuk dalam Tafsir al­-Qurthubi juzuk kedua halaman 55, dalam tafsiran petikan ayat ini menyebut; “Tidak boleh dinafikan bahawa sihir mempunyai kesan pada hati-hati manusia dengan memaksakan kasih kepada mereka atau menjatuhkan kebencian yang melampau sehingga jika mereka bersuami isteri, pembenci itu boleh menyebabkan perceraian.”
Demikian juga perbuatan angkara makhluk halus ini boleh membolak-balikkan hati manusia, risau tidak menentu, sakit hati (menyampah) tidak tentu pasal sehingga membawa kepada kemurungan.
Semua yang tersebut di atas dapat dilihat dengan nyata dalam penghidupan seharian, kalau ada yang mengingkarinya mereka adalah orang-orang yang sengaja keras kepala.
Pada saya angkara jahat ini memang boleh berlaku, ada orang yang benar-benar boleh melakukan ilmu yang salah ini, memang boleh berlaku dengan izin Allah SWT.
Ada pun sebahagiannya dilaku­kan oleh orang yang tidak mempu­nyai kebolehan tetapi sengaja melakukan temberang kononnya dia pandai ilmu pengasth, seba­Iiknya memperdayakan mangsa untuk tujuan mendapat keun­tungan.Memang berlaku, ramai yang tertipu, wang habis tetapi hajat tidak kesampaian.
Namun demikian, sama ada perbuatan itu sungguh-sungguh menjadi kerana kepakaran in­dividu tertentu atau dibuat tetapi tidak menjadi, kesemua perbuatan itu termasuk dalam perkara sihir yang ditcgah oleh syarak. Sebaiknya dielakan dan dijauhi.
Wallahu a’lam,
Sumber: Darussyifa

Hukum Ilmu Pelalau menghalang daripada bertemu jodoh

Posted on January 8, 2014 under Haron Din, Islam by


divorce
Soalan
Dato’, ada suatu ilmu yang dipanggil pelalau, iaitu ilmu yang digunakan atas seseorang untuk menghalang dari bertemu jodoh. Dilakukan ini kadang-kadang ke atas seorang perempuan sehingga tidak bertemu jodoh atau pun ke atas lelaki. Bolehkah dan benarkan adanya ilmu ini? Mampukah manusia melakukannya? Apakah hukumnya mempercayai perkara sebegini?
NURKHAIRIAH ABDUL SAMAD
Tangkak
Jawapan Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din




Jodoh pertemuan, hidup mati, bertemu dan berpisah termasuk dalam Qada’ dan Qadar Allah S.W.T. Insan hanya mampu berusaha dan Allah akan menentukan segala-galanya.
Memang berlaku dalam masyarakat Islam, khasnya Melayu, ada beberapa kejadian di mana orang perempuan sukar hendak bertemu jodoh atau bertemu pasangan yang berakhir dengan perkahwinan.
Ada yang langsung tidak pernah bertemu. Ada yang bertemu, berkawan, berbaik-baik tetapi bila sampai hendak berkelamin, ada sahaja halangan.
Inilah kejadian yang diistilahkan dengan ilmu pelalau. Saya khusus saya tidak mengetahui ilmu ini, tetapi itulah yang disebut ramai sebagai pelalau.
Memang berlaku dalam masyarakat kita, ada orang perempuan yang tiada sebarang cacat cela akhlak serta tubuh badannya, akhlaknya, tetapi ada orang yang menghampirinya. Hal sedemikian memang berlaku.
Tambahan pula akhir-akhir ini disebutkan bilangan orang lelaki dan perempuan yang sudah berusia tidak berkahwin, begitu ramai.
Pada saya perkahwinan adalah rezeki yang dianugerahkan oleh Allah SWT. Ianya rezeki, kadang-kadang ada orang rezekinya murah, usaha sedikit tetapi mendapat pulangan yang lumayan, ada orang usahanya banyak, pulangan sedikit dan ada orang yang usahanya begitu banyak, tiada apa-apa pulangan, sebaliknya mengalami kerugian.
Itu adalah sebagai satu contoh, bagi seorang perempuan atau lelaki yang mendapatkan suami atau isteri, perlulah dia berusaha untuk mendapatkannya. Bagaimana pun usaha itu perlu mendapat kesesuaian keadaan masing-masing.
Walaupun pada asasnya perempuan menanti pinangan, manakala lelaki perlu mencari bakal isteri. Tetapi jangan lupa dalam Islam, perkahwinan agung yang berlaku kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w dengan Khadijah bt Khuwailid.
Ia dimulakan oleh Khadijah sendiri, menghantar utusannya pada Muhammad pada ketika itu, Ummu Kalsum, dan berlakulah rundingan yang ikhlas seolah-olahnya Khadijah meminang Muhammad, pinangan diterima, maka berlakulah perkahwinan.
Ini bererti, Khadijah memulakan suatu usaha walaupun beliau berumur 40 tahun dan Muhammad bin Abdullah berusia 25 tahun. Jika dicongak pada akalnya, barangkali sukar untuk ditemukan jodoh antara seorang perempuan yang 15 tahun lebih tua dari lelaki, dari hasil usaha dari perempuan sendiri.
Inilah rezeki yang menemukan jodoh mereka, menjadikan mereka sebuah keluarga yang aman damai serta bahagia hingga ke akhir hayat Khadijah.
Demikian hari ini, rezeki untuk mendapatkan seorang teman hidup, perempuan inginkan mendapat seorang lelaki yang bertanggungjawab membahagiakannya, tidak selama-lamanya datang bergolek. Maka perlu berusaha.
Usaha itulah yang menentukan kadang-kadang cepat berjaya, kadang-kadang tidak.
Ada pun satu kemungkinan yang boleh berlaku dalam masyarakat, seorang perempuan yang cantik, kaya, keturunan, akhlak dan agamanya baik, mungkin telah dilamar seorang yang sepadan dengannya tetapi ditolak.
Kadang-kadang penolakan dibuat dengan kata-kata yang menyebabkan si peminang berasa terhina. Atau ditolak dengan alasan yang dibuat-buat, atau tidak boleh menerima lamaran kerana ingin menyambung pelajaran, atau kerana sudah dimiliki orang lain sedangkan semuanya itu tidak benar.
Mungkin orang yang ditolak pinangannya itu berasa amat berkecil hati dan berasa terhina, barangkali ada sebutan yang menjatuhkan maruahnya.
Jika dia dizalimi, sebagai orang yang kena hina, maka dia berdoa kepada Allah SWT agar Allah bertindak balas kerana penghinaan yang dilakukan, maka mungkin doa itu dimakbulkan.
Ada hadis yang menyebutkan, “Takutlah kamu kepada doa orang kerana zalim, kerana doa orang yang kena zalim ini, tiada sekatan di antaranya dengan Allah SWT.”
Takut orang itu merasakan perempuan yang diinginkan, telah melukakan hatinya, diminta Allah supaya jangan memberikan hingga akhir atau atau biarkan perempuan itu menemui jodoh dalam usia yang lanjut. Itulah yang mungkin berlaku sebagai doa.
Apa yang dinamakan pelalau, mungkin wujud ada dalam bentuk sihir, persoalan sihir ini, pernah saya jawab dalam siri-siri terdahulu.
Ada sihir pengasih dipanggil attiwalah, ada yang lain disebut sihir pembenci yang lebih hampir kepada pelalau.
Dalam Surah al-Baqarah, disebutkan bahawa, sihir diusahakan sehingga ia dapat memecahkan antara suami dengan isteri. Tidak berlaku perpecahan dan perceraian melainkan berlakunya benci membenci.
Jika ini berlaku (sihir pembenci), ia akan menyebabkan orang melihat seseorang itu, ia tidak mengundang kebaikan kepada hati, tetapi mengundang kebencian kepada hati. Inilah yang dinamakan pelalau.
Sama ada akidah kita rosak atau tidak, ia bergantung kepada pegangan kita. Jika kita kuat berpegang kepada aqidah, kita meyakini bahawa apa sahaja yang berlaku atas takdir dan kehendak Allah Yang Maha Mengkehendaki.
Jika Allah SWT mengkehendaki seseorang itu tidak mendapat jodoh atau hanya mendapat jodoh pada usia yang lewat, maka itulah kehendak Allah, bukan atas usaha manusia.
Jangan meletakkannya sebagai usaha manusia untuk menghalang rezeki seseorang, walhal rezeki dan jodoh adalah ditangan Allah SWT, bukan manusia yang menentukannya. Wallahua’lam.

 

Tiada ulasan: