Ketenteraman awam perlu diutamakan semua pihak
- Jan 04, 2014
- ABDUL HADI AWANG
PAS mengingatkan umat Islam supaya ketenteraman awam dan keharmonian masyarakat adalah perlu menjadi keutamaan terutamanya dalam negara kita yang berbilang bangsa dan agama ini. Isu penggunaan kalimah Allah ini perlu disantuni dengan ilmu Islam, berdasarkan disiplin ilmu yang berteraskan al-Quran dan as-Sunnah dan bukannya menerusi kekerasan apatah lagi menggunakan undang-undang yang dipaksakan semata-mata. Pendekatan berhujah dengan ilmu perlu lebih diutamakan dalam memberikan kefahaman kepada anggota masyarakat, terutamanya kepada masyarakat yang bukan beragama Islam. Di sinilah tugas kita untuk menunjukkan contoh teladan bahawa Islam adalah pembawa Rahmat ke seluruh alam, sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah SWT.
PAS akan terus melaksanakan dakwah dan politik Islam dengan berdasarkan kepada Al Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Ahli-ahli dan penyokong PAS di seluruh negara, serta rakyat keseluruhannya perlulah senantiasa diingatkan agar bertenang dan tidak terpengaruh dengan tindakan provokatif pihak-pihak tertentu.
PAS juga merasa sangat dukacita sekiranya isu ini diperhangatkan sehingga rakyat lupa kepada masalah keperitan hidup angkara kenaikan harga barang pada tahun 2014 ini.
Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS
Najib tidak harus dipertahankan lagi
- Jan 04, 2014
- SHAHBUDIN HUSIN
Rakyat biasa yang berpendapatan rendah dan sederhana sedang memikul kos sara hidup yang lebih tinggi daripada biasa akibat kenaikan pelbagai jenis barang dan perkhidmatan sejak kebelakangan ini dan terus bertambah seiring dengan kedatangan tahun 2014.
Mereka yang ingin meluahkan perasaan terhadap kerajaan akibat kenaikan itu bertambah lagi tertekan hidupnya apabila digelar "bughah" atau penderhaka dan dikategori sebagai halal darahnya untuk dibunuh. Walaupun fatwa dan pendapat daripada Mufti Perak, Harussani Zakaria mengenai hal ini masih boleh dipertikai, diperdebat dan disangsikan, hakikatnya agama bukan lagi dipergunakan untuk menggembirakan umat, sebaliknya lebih dijadikan alat untuk membodek dan pengampu penguasa demi kepentingan peribadi.
Isu mengenai kalimah Allah yang muncul kembali dan diiikuti dengan serbuan Jais terhadap sebuah gereja serta disusuli pula dengan aksi demonstrasi UMNO Selangor mengenainya, turut menjadikan penganut Islam dan Kristian tidak lagi gembira dan harmoni kehidupannya. Berterusannya isu ini tanpa penyelesaian telah meletakkan kedua-dua penganut Islam dan Kristian hidup dalam kesangsian dan kegelisahan.
Dalam masa yang sama, pejuang-pejuang UMNO di peringkat bahagian dan cawangan pula terus dibebankan dengan kerja-kerja tambahan yang berpunca daripada kelemahan pemimpin di atas. Setelah satu demi satu isu muncul mengenai pemimpin di atas, terutama yang melibatkan Najib dan keluarganya, kini isu kemewahan dan pemborosan timbul kembali dengan pendedahan mengenai jet mewah Perdana 2 atau NR2.
Walaupun ada penjelasan daripada Pejabat Perdana Menteri mengenai penyewaan jet itu, ia tidak menafikan sama-sekali kewujudan jet yang sedang disewa itu. Penjelasan PMO lebih merupakan suatu pengakuan terhadap pendedahan mengenai jet itu yang disertakan dengan kewajaran mengapa penyewaan itu dilakukan.
Semua isu yang timbul berkaitan dengan pemimpin, keborosan dan kemewahan Najib serta kelemahan kerajaan, secara tidak langsung menambahkan lagi beban pemimpin akar umbi dalam berhadapan dengan rakyat. Mereka kini bukan saja sudah kekurangan masa untuk diri sendiri dan berusaha menambah keluatan UMNO, bahkan banyak masa asyik dihabiskan untuk menjawab pelbagai dakwaan yang timbul mengenai Najib, Rosmah dan keluarganya saja.
Ini menyebabkan adanya pemimpin UMNO di peringkat akar umbi yang mula mengambil sikap berkabung atau berdiam diri kerana merasakan sudah letih menjawab satu demi satu isu mengenai karenah pemimpin di atas, manakala sesetengahnya mula bersikap lantang dan kritikan terhadap Najib dan kerajaan.
Satu-satunya kelompok yang mungkin sedang gembira ialah golongan kroni yang menjadi pengampu dan penasihat Najib kerana semua isu yang timbul ini menambahkan lagi peluang untuk memenuhkan kantung dan membesarkan perut masing-masing.
Namun demikian, semua isu yang timbul ini jelas memperlihatkan hanya satu perkara iaitu kelemahan Najib sebagai Perdana Menteri. Jika beliau mempunyai sikap tegas dan berprinsip serta tidak membiarkan elemen-elemen pelampau menguasai kepimpinannya sejak dari awal, banyak isu tidak akan muncul sebenarnya.
Dalam isu kalimah Allah dan kebenaran mengedar Bible dalam Bahasa Melayu, ia lebih berpunca daripada sikap double standard Najib dalam menguruskan isu tersebut serta terlalu dipengaruhi oleh keinginan untuk memperolehi sokongan politik daripada penganut agama Kristian di Sabah dan Sarawak. Di suatu ketika, Kristian dilarang menggunakan kalimah Allah dan UMNO dipergunakan untuk bersuara bagi memperlihatkan perjuangan Islam UMNO tetapi di ketika yang lain, kalimah Allah dibenarkan untuk penganut di Sabah dan Sarawak, malah Bible dalam bahasa Melayu turut dibenarkan.
Dalam isu "bughah" yang dilemparkan oleh seorang mufti terhadap mereka yang berdemonstrasi di Dataran Merdeka, ia tidak lain berpunca daripada sikap Najib yang mempamerkan dirinya suka dibodek dan diampu. Kiranya daripada awal Najib sudah menunjukkan dirinya seorang yang tegas, menjulang kebenaran dan tak makan dek bodek, pastinya tidak sesiapa mahu membodeknya. Malah, tidak mungkin juga seorang mufti mahu menjual agama semata-mata untuk menjaga perut dan kedudukannya.
Dalam pelbagai isu yang muncul berkaitan diri dan keluarganya pula, ia juga memperlihatkan kelemahannya yang paling ketara sebagai pemimpin. Tidak pernah kita mempunyai pemimpin selemah beliau.
Sementara isu-isu sedia ada terus menimbun dan menjadikan kedudukan UMNO, BN dan kerajaan semakin lemah hari demi hari, tidak mustahil lebih banyak lagi isu-isu baru yang lebih kronik bakal muncul dan terus membebankan rakyat. Di ketika beliau mengumumkan 11 langkah berjimat cermat, tiba-tiba terdedah mengenai penyewaan jet baru dan penambahan seorang lagi duta khas iaitu Ahli Parlimen Bintulu sebagai Duta Khas bertaraf menteri ke Asia Timur, ia sekali lagi menampakkan wajah talam dua muka Najib dan seolah-olah banyak lagi pekung yang bakal terdedah.
Di ketika berbangga dengan penjimatan yang kecil, pemborosan yang lebih besar sedang dilakukan rupa-rupanya. Sebelum lebih banyak terdedah dan keadaan menjadi lebih parah, hakikatnya Najib tidak harus dipertahankan lebih lama lagi. - http://shahbudindotcom.blogspot.com/
Kelemahan Najib undang malapetaka buat negara
- Jan 04, 2014
- HARAKAHDAILY
Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PASDr Dzulkefly Ahmad berkata, dua masalah kritikal yang sedang melanda negara- akan menjadi malapetaka jika Najib gagal menanganinya dengan segera- adalah kemelut kos saraan hidup (ekonomi) dan konflik atau pertentangan kaum-agama.
Menurutnya, bebanan hutang dan defisit fiskal selama 16 tahun berturut-turut menunjukkan dasar kerajaan BN dan terkini Najib tersasar dalam mengejar Pertumbuhan dengan kaedah 'mengepam' ekonomi dalam kitaran melembap (bearish) dan juga zaman cergas (bullish).
Akibatnya hutang persekutuan yang telah hampir mencapai had 55 peratus daripada KDNK negara , (RM543.3 bilion yang tepat sebagai laporan MOF ), meletakkan Malaysia diambang kebejatan pengurusan kewangan yang ditegur pelbagai pihak termasuk Bank Dunia dan agensi penarafan.
Lagi menampakkan kelemahan apabila Najib katanya, apabila menyalahkan hutang tersebut kepada pemberian subsidi RM46.7 bilion kepada rakyat.
Sedangkan kata Dzulkefly, antara penyebab utama kepada hutang itu adalah 'perbelanjaan boros' kerajaan, dasar monopoli, pemberian projek runding langsung yg menguntjngkan kroni, serta ketirisan berbilion ringgit yang saban tahun berlaku seperti Laporan Ketua Audit Ngara.
"Ketahuilah Najib, bahawa statistik negara kebajikan seperti Nordic, Austria dan Belanda memperuntukkan sekurang-kurangnya 20% daripada KDNK mereka untuk subsidi.
"Lebih menarik lagi, subsidi yang besar ini telah menyebabkan kemiskinan berkurang, dan tidak pula menjadi penyebab bajet negara itu menjadi defisit," katanya.
"Jadi Najib salah dalam hujah 'rasionalisasi subsidi' diperlukan untuk mengelak negara dari menjadi bankrap'," kata beliau lagi.
Penarikan subsidi, tegas Ahli Jawatankuasa Pusat itu, pastinya akan membawa pelbagai kenaikan kos saraan hidup seperti yang telah pun diketahui dan ditakuti ramai.
Jurang kaum-agama
Menurut Dzulkefly lagi, pendirian longgar Timbalan Perdana Menteri terhadap cadangan wakil Umno dan beberapa NGO yang mahu mengadakan demonstrasi di hadapan gereja di Selangor esok adalah satu lagi kelemahan yang bakal mengundang 'malapetaka'.
"Ia menandakan permulaan tahun bermasalah (2014) di mana konflik agama semakin meruncing dalam masyarakat yang sudah pun terbelenggu dengan isu Kalimah Allah.
"Pandangan yang memecah-belahkan dan isu undang-undang emotif terhadap kalimah Allah telah mengundang pertikaian tanpa henti dan tiada usaha yang berkesan, apatah lagi penyelesaian oleh kerajaan," tegas beliau.
Lebih parah apabila Najib dilihat mengambil sikap berdiam diri kerana membisunya itu adalah sangat memekakkan rakyat.
"Seperti pepatah mengatakan "Tanpa kepimpinan bijak, negara jatuh, tetapi dengan penasihat yang baik ia boleh diselamatkan".
"Namun dalam dua keperluan kritikal ini, nampak seperti negara ini tidak punya kedua-dua sekali sedang negara berhajatkan kepada ketegasan dan wibawa kepimpinan untuk membawa negara keluar dari kemelut ini," ujarnya.
Kelemahan kepimpinan Najib dalam kemelut mutakhir ini, tegas beliau lagi, pastinya mengundang celaka kepada rakyat dan negara.
"Hal ini adalah sangat malang. Mungkin negara benar-benar memerlukan sebuah 'agenda rekonsiliasi', bukan untuk mewujudkan kerajaan perpaduan tetapi bagi memacu reformasi dan penambahbaikkan sebenar.
Salehen akan jumpa editor The Herald
- Jan 04, 2014
- HARAKAHDAILY
Perkara itu dimaklumkan Exco Agama Negeri, Salehen Mukhyi dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hak Ehwal Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa berkata, arahan tersebut dibuat kerana insiden tersebut berkait perihal pentadbiran dan melibatkan jabatan dan pegawai kerajaan.
"Semakan hendaklah antara lain memastikan pegawai penguatkuasa yang menjalankan operasi tersebut mematuhi SOP yang telah disediakan oleh Jais dan mengambil tindakan sewajarnya jika terdapat kecuaian dan pelanggaran peraturan," katanya.
Menurutnya lagi, arahan itu menyusul selepas Kerajaan Negeri telah meminta JAIS menyediakan Standard of Operation (SOP) dalam menangani isu-isu sensitif seperti insiden serbuan itu bagi mengelak berlaku salah faham dan buruk sangka.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan akan mengadakan perjumpaan dengan Editor The Herald, Lawrence Andrew pada Selasa ini bagi membincangkan isu larangan menggunakan kalimah Allah bagi bukan Islam seperti yang dititahkan DYMM Sultan Selangor.
Berikut kenyataan penuh beliau.
Kerajaan Negeri memandang serius insiden serbuan oleh kakitangan bahagian penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (Jais) terhadap pejabat Bible Society Malaysia (BSM) pada Khamis lalu.
Ia merupakan kejadian kedua yang melibatkan Jais dan penganut Kristian selepas pemeriksaan mengejut terhadap Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) pada tahun lalu.
Selepas kejadian tersebut Kerajaan Negeri telah meminta Jais menyediakan Standard of Operation (SOP) dalam menangani isu-isu sensitif seperti ini bagi mengelak berlaku salah faham dan buruk sangka.
Bagi kejadian perampasan Bible pada Khamis lalu, saya telah meminta Pengarah Jais untuk mendapatkan segera laporan terperinci kejadian termasuk meneliti hasil siasatan yang dikatakan telah dilakukan.
Datuk Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid bin Ibrahim juga telah meminta Setiausaha Kerajaan Negeri untuk meneliti dan menyemak operasi yang dijalankan kerana ianya merupakan perihal pentadbiran dan melibatkan jabatan dan pegawai kerajaan.
Semakan hendaklah antara lain memastikan pegawai penguatkuasa yang menjalankan operasi tersebut mematuhi SOP yang telah disediakan oleh Jais dan mengambil tindakan sewajarnya jika terdapat kecuaian dan pelanggaran peraturan.
Saya juga akan mengadakan perjumpaan dengan Editor The Herald, Lawrence Andrew pada Selasa ini bagi membincangkan isu larangan menggunakan kalimah Allah bagi bukan Islam seperti yang dititahkan DYMM Sultan Selangor.
Kerajaan Negeri selari dengan titah DYMM Sultan Selangor bahawa semua pihak perlu menghormati agama Islam sebagai agama rasmi manakala masyarakat bukan Islam bebas mengamalkan kepercayaan masing-masing seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.
Semua rakyat Selangor tidak kira agama atau kaum mesti mematuhinya bagi menjamin kelangsungan hidup berharmoni, bekerjasama dan saling menghormati antara satu sama lain yang telah terjalin sejak sekian lama.
YB SALEHEN MUKHYI
PENGERUSI JAWATANKUASA TETAP HAL EHWAL ISLAM, PERMODENAN PERTANIAN DAN PEMBANGUNAN DESA
Isu guru Kafa: Pemuda PAS akan bertemu Pengarah YIT
- Jan 04, 2014
- HARAKAHDAILY
Ketuanya, Kamaruzzaman Abdulah (gambar) berkata, satu pertemuan akan diadakan di antara pihaknya dengan Pengarah Yayasan Islam Terengganu (YIT) pada 6 Januari ini bagi mendapatkan penjelasan.
Menurutnya, sepucuk surat segera bertarikh 2 Jan telah dihantar kepada Pengarah Yayasan Islam Terengganu bagi memaklumkan perkara tersebut.
Katanya, perbincangan itu adalah mengenai surat YIT yang menyebut notis tidak sambung perkhidmatan sebagai guru kafa Yayasan Islam Terengganu.
Katanya, DPPNT amat prihatin di atas permasalahan dan kesulitan yang dihadapi oleh para guru Kafa terlibat dan menuntut penjelasan sewajarnya di atas tindakan yang dilakukan oleh YIT dan menyelesaikannya dengan cara yang terbaik.
“DPPNT menegaskan agar YIT yang merupakan antara badan agama terbesar di Terengganu mestilah memastikan keadilan sewajarnya kepada para guru Kafa dengan menarik balik penamatan dan pemecatan guru-guru Kafa tersebut,” katanya dipetik Buletin Online.
2 Rela ditahan cuba pecah masuk rumah timbalan menteri
- Jan 04, 2014
- .
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, DSP Amihizam Abd Shukor berkata kedua-duanya mempunyai rekod jenayah lampau.
"Suspek pertama yang berumur 34 tahun dan mempunyai 12 rekod jenayah lampau ditangkap di Meludam (kira-kira 250 km dari Kuching), manakala seorang lagi yang berumur 30 tahun mempunyai dua rekod jenayah.
"Suspek ketiga berumur 36 tahun dan mempunyai dua rekod jenayah," katanya kepada media.
Beliau berkata mereka akan dibawa ke mahkamah esok untuk mendapatkan perintah reman.
Wan Junaidi memuji tindakan pantas polis membuat tangkapan dan berkata beliau akan mengemukakan cadangan kepada kementeriannya untuk mengkaji semula kaedah pengambilan anggota Rela.
"Ini adalah untuk memastikan mereka yang memohon keanggotaan itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan benar-benar ikhlas untuk menjalankan tanggungjawab mereka secara sukarela.
"Penapisan yang lebih ketat perlu dibuat untuk memastikan jangan pagar makan padi," katanya.
Mengakui agak kecewa dengan penglibatan anggota Rela dalam kes itu, beliau bagaimanapun berkata organisasi Rela secara keseluruhannya tidak boleh dipersalahkan dalam perkara itu.
"Saya tak boleh marahkan (keseluruhan) satu organisasi oleh kerana konsep Rela adalah berbentuk kesukarelawan dan melalui pengalaman ini mungkin kita perlu adakan modul yang berlainan untuk pengambilan anggota Rela selepas ini," katanya. - Bernama
Apa ini Tuan Mufti Perak?
- Jan 04, 2014
- Zahid Naser
Nah, tiba-tiba di Malaysia pasca himpunan aman Turun yang dikelola oleh NGO dan disertai parti-parti politik sewaktu malam tahun baru. Digelar oleh seorang mufti sebagai bughah, atau pemberontak yang boleh dihukum bunuh. Nampak, Identikal sekali!!
Namun menjadi mufti tidaklah menyebabkan semua apa yang dikatakan boleh diikut. Baik orang awam atau kerajaan. Ya, orang awam dan kerajaan boleh memilih untuk mengikut fatwa ‘ulama’ itu atau tidak. Dan penulis memilih tidak mengikutnya!
Budaya mem’bughah’kan orang
Bughah dan tidak bughah. Sudah lama isunya. Budaya membughahkan orang ini selalu menjadi pilihan orang-orang agama. Dan selalunya, ia adalah demi untuk memenangkan pihak mereka yang diiktikad sebagai 100 persen benar. Dan pendapat serta jalur lain adalah menyimpang dari agama dan syariat Allah ta’ala.
Tidak tahu bagaimana pendalilan dan istinbat tuan mufti itu, kita dihidangkan satu hukum yang berat. Ya, siapa yang membuat perhimpunan aman, dibolehkan pancung!!
Dan satu lagi, pastilah. Anda akan menjadi pemberontak!!
Berhati dalam mengeluarkan fatwa
Di dalam fiqh Islam, bughah adalah sekumpulan atau individu yang keluar dari kepimpinan dengan senjata.
Dalam sejarah beberapa kali kita melihat bahawa bughah di zaman khilafah Islam berbeza sekali dengan terma yang diberikan kepada orang Malaysia yang berhimpun secara aman yang menuntut hak-hak mereka yang dirogol secara rakus oleh golongan-golongan yang tidak punyai rasa belas dan kasihan terhadap peri permasalahan mereka.
Walaupun, boleh mufti-mufti dan orang-orang agama cuba membuat justifikasi-justifikasi dan membuat qiyas-qiyas untuk menyamakan ‘bughah’ di Dataran Merdeka dengan bughah-bughah yang pernah ada di sepanjang zaman sejarah Islam.
Tetaplah, jiwa dan akal yang sihat tidak boleh menerima penjelasan yang amat berat sebelah, dan pro kepada pihak yang menentang peserta-peserta perhimpunan. Apakah Malaysia ini sudah menjadi negara komunis, atau paling tidak menjadi Arab Saudi?
Ironinya, Mesir yang lebih tegar sekularnya, pun sekarang ini cuba menjustifikasi fiqh-fiqh dan fatwa-fatwi dari Arab Saudi. Lantas di Malaysia, ‘ulama-ulama’ kita ingin juga tidak ketinggalan mahu menunjukkan mereka juga up-to date dengan apa yang dihadapi oleh ‘ulama-ulama’ Mesir.
Sebagai orang agama, fatwa haruslah dikeluarkan dengan berhati-hati. Jangan sampai ia menjadi garam yang ditabur ke dalam luka. Rakyat yang terluka kemudian diasak dengan provokasi seperti ini akan mendatangkan kemarahan yang bukan kecil! Apa tidak takutkah akan azab Allah kepada mereka yang mengapi-apikan permusuhan? Apa tidak terasakah bibit-bibit kehuru-haraan dari fatwa-fatwa anda?
Negara Malaysia tidak harus mengikut Negara Arab
Negara Malaysia ini memang negara rakyatnya. Bukan negara orang lain. Rakyat yang membinanya, dan meneruskan legasi perjuangan para pejuang kemerdekaannya dari British. Mana sanggup hati ini tiba-tiba ada usaha ingin merubah negara Malaysia ini menjadi negara lain pula. Bermodelkan Saudi, bermodelkan Mesir atau bermodel Amerika atau Eropah. Atau mungkin mahu berkiblat Cuba dan Iran. Seperti mufti itu yang mahu kerajaan menjadi seperti British-bertindak keras kepada mereka yang tidak bersetuju dengan kuasa orang berbahasa Inggeris itu!
Kelakar sekali jika difikirkan. Negara bukan milik penguasa-penguasa itu, tetapi milik rakyat. Ia bukan milik Sultan, tetapi milik rakyat. Ya, rakyatlah yang membentuknya. Pemimpin hanya mengikut aspirasi rakyat bukan aspirasi keinginan dan nafsu sendiri(hanya kerana mereka dipilih oleh sebahagian rakyat). Tiba-tiba ada yang cuba ingin memilikkan Malaysia ini kepada sang penguasa. Kelakar dan kelakar.
Apa ada udang di sebalik batu, atau ada harta yang takut hilang? Jika kita mengeluarkan fatwa yang benar.
Yang benar itulah. Yang memberikan solusi kepada ketegangan. Merapatkan jurang permusuhan antara rakyat dan pemimpin. Dan dekat dengan hati rakyat bukan dekat kepada hati pemimpin(yang sedari awal kononnya khadam kepada rakyat!).
Yang benar itulah. Yang membuat rakyat dapat menarik nafas lega. Dan sang kapitalis-pengaut untung besar menjadi kelemasan. Yang membuat rakyat aman dan harmoni- dapat hidup dalam suasana selamat dan persekitaran berakhlak dan bermoral!
Tuan Mufti Perak, insaf dan muhasabahlah!
Saat ini, sewaktu melihat ulah dan fe’el agamawan Malaysia. Tidak hairanlah. Ramai yang senang hendak murtad menjadi ateis atau masuk ke dalam agama lain. Kerana fatwa pelik dan berat sebelah boleh menjadi antara sebabnya. Begitulah kira-kiranya.
Betapa asing agama yang tuan mufti tawarkan. Membuat jiwa tak tenteram lagi dengan agama. Sedang tuan mufti antara orangnya.
Janganlah sampai nanti, tuan mufti digelar orang, Mufti El-Hukumah (Mufti pendukung kerajaan). Atau lebih teruk Mufti El-Zibalah (Mufti sampah)!
Penulis ialah penterjemah buku-buku yang sekarang ini menemani isteri yang sedang belajar dan menjaga anak di Mesir.
Jom kenali Imam Nawawi
Ramai di kalangan kita yang mengetahui nama Imam an-Nawawi. Betapa tidak? Hadis 40 susunannya menjadi bahan utama di dalam halaqah dan usrah. Namun adakah semua kita mengenali beliau dengan sebenarnya?
Nama beliau ialah al-Hafiz Abu Zakariya Yahya bin Syaraf.
Dilahirkan pada bulan Muharam 631 hijriah di desa Nawa, sebuah kampong yang terletak di Bukit Gulan, Damsyiq. Di situlah beliau membesar dan menghafaz al-Quran.
Kembara ilmu
Menceritakan pengembaraannya mencari ilmu, beliau menulis: ketika berusia 19 tahun, aku dibawa oleh ayahku ke Damsyiq pada tahun 649 hijriah. Aku memasuki sekolah ar-Rawahiyyah selama dua tahun. Selama itu aku tidak pernah meletakkan badanku di atas bumi (tidak baring) dan tidak makan kecuali makanan yang disediakan oleh pihak sekolah.
Beliau mempelajari 12 matapelajaran sehari di hadapan mahagurunya dalam pelbagai ilmu: usuluddin, fiqh serta usulnya, hadis serta mustalahnya, lughah dan mantiq (ilmu bahasa dan lojik)
Suatu peristiwa luar biasa telah belaku semasa Imam an-Nawawi berusia 7 tahun. Ayahnya menceritakan bahawa malam itu adalah malam 27 Ramadan. An-Nawawi tidur di sebelahnya. Tiba-tiba dia terjaga dari tidur di pertengahan malam sambil berkata: “Ayah, cahaya apa yang memenuhi rumah kita sekarang?” Mendengar suaranya, kami terjaga tetapi kami tidak nampak apa-apa cahaya. Maka aku yakin bahawa itu adalah Lailatul-Qadar.
Seorang yang arif bernama Ustaz Yasin bin Yusuf az-Zarkasyi berkata: aku pernah melihat Syaikh (an-Nawawi) ketika beliau berumur 10 tahun di Nawa. Kanak-kanak seusianya memaksanya bermain dengan mereka sedangkan dia enggan. Dia lari dari mereka dan menangis kerana mereka memaksanya. Dalam keadaan itu dia asyik membaca al-Quran. Maka aku jatuh hati padanya. Aku bertemu dengan guru yang mengajarnya al-Quran dan berpesan kepadanya supaya menjaga budak ini dengan baik. Aku berkata kepadanya: “Budak ini diharap akan menjadi orang yang paling alim dan paling zuhud di zamannya. Dan manusia akan banyak mendapat manfaat daripadanya.” Guru itu berkata kepadaku: “Adakah engkau seorang ahli nujum?” Aku menjawab: “Tidak. Tetapi Allah yang izinkan aku berkata begitu.” Guru itu menyampaikannya kepada ayahnya. Maka dia sangat mengambil tentangnya sehingga dia khatam menghafaz al-Quran sebelum mencapai usia baligh.
Antara karamah yang dianugerahkan Allah kepadanya ialah, sekiranya tidak ada pelita untuk digunakan ketika mengarang, jarinya akan bercahaya meneranginya dengan izin Allah.
Penguasaan an-Nawawi dalam pelbagai bidang ilmu
An-Nawawi dianugerahi ilmu yang luas dan mendalam dalam pelbagai bidang. Antaranya:
1. Ilmu fiqh. Beliau merupakan pakar rujuk dan menjadi tumpuan dalam ilmu fiqh Mazhab asy-Syafi’ei
2. Ilmu mengenai Matan Hadis dan nama-nama rijal (perawinya), yang dikenali sebagai Ilmu Riwayah dan Dirayah. Dia merupakan orang pertama pada zamannya yang menguasai ilmu tersebut.
3. Menghafaz, menekuni dan mengkelaskan Hadis Rasulullah s.a.w. Beliau mengetahui dengan mendalam Hadis yang sahih, yang tidak sahih serta sanadnya.
4. Beliau merupakan faqih muhadditsin dan muhaddits fuqaha’, iaitu seorang yang faqih dari kalangan ahli hadis dan seorang ahli hadis dari kalangan fuqaha’. Bahkan boleh dikatakan bahawa an-Nawawi adalah menara ilmu pada zamannya yang menjadi tumpuan dan rujukan tanpa saingan, tanpa pertikaian.
Peribadi yang unggul
Seorang yang sangat warak, zuhud dan sentiasa muraqabah Allah di mana jua dan dalam keadaan apa saja. Kerana terlalu menjauhi perkara syubhah belaiu tidak makan kecuali makanan yang dihantar oleh ayahnya dari kampungnya sendiri. Di samping ilmu dan waraknya Imam an-Nawawi juga terkenal dengan kegigihan menjalankan amar makruf dan nahi mungkar. Beliau berdepan dengan raja dan pemerintah, menulis surat kepada mereka memberi peringatan supaya berlaku adil terhadap rakyat, membatalkan cukai yang berlebihan dan memulangkan hak kepada tuannya. Kata Abu al-‘Abbas bin Faraj, Imam an-Nawawi telah mencapai tiga darjat yang mana setiap satu darjat itu tidak mampu dicapai oleh manusia biasa kecuali dengan usaha yang sangat gigih.
Darjat pertama: ilmu
Darjat kedua: zuhud
Darjat ketiga: amar makruf dan nahi mungkar.
Karya
Beliau telah menghasilkan berpuluh-puluh kitab dalam bidang fiqh, hadis dan lain-lain. Antara hasil tulisan beliau yang masyhur:
1. Syarah Muslim
2. Riadhus-Solihin
3. Al-Azkar
4. Al-Arba’un an-Nawawiyyah wa Syarhuha
5. Tahzib al-Asma’ wa al-Lughat
6. Tabaqat al-Fuqaha’
7. Bustanul-‘Arifin
8. Dan lain-lain…
Wafat
Di penghujung usianya beliau kembali ke tanah tumpah darahnya setelah selesai menunaikan haji dan menziarahi al-Quds. Beliau telah jatuh sakit di sisi dua ibu bapanya dan kembali ke rahmatullah pada malam rabu hujung bulan Rejab tahun 676 hijrah.
Dipetik dari:
Kitab al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-Umrah, karangan Imam an-Nawawi rahimahullah.
(dipetik dari blog ustazah maznah ; http://zaadut-taqwa.blogspot.com/ )
Hadis Arba'in Nawawi Ke-4: Takdir Manusia Telah Ditetapkan
الحديث الرابع
HADITS KE-4: TAKDIR MANUSIA TELAH DITETAPKAN
(HADITH ARB'AIN NAWAWI)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan