Khamis, 2 Januari 2014

JANGAN KITA ZALIMI RAKYAT...RAKYAT MENGUNDI KITA....RAKYAT BAYAR GAJI KITA....KITA BERJANJI PADA RAKYAT....DUIT RAKYAT YANG KITA GUNAKAN....DIKHUATIR DIAKHIRAT RAKYAT DAKWA SEBAB MENJADI ZALIM

KUALA LUMPUR: Perhimpunan Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun) sewajarnya diraikan kerajaan bersesuaian dengan suasana demokrasi yang dicanangkan, bukan menghalang atau cubaan menimbulkan kekeliruan berhubung perhimpunan aman itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad, perhimpunan Turun 31 Dis ini menunjukkan sikap kepedulian sosial dan keberanian menyatakan pendirian yang ditunjukkan golongan anak muda.

"Malangnya, seperti banyak perhimpunan sebelum ini, kerajaan BN mengambil sikap menghalang hak untuk berhimpun yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan, malah BN melalui institusi kerajaan dan media menabur fitnah dengan dakwaan perhimpunan itu adalah usaha untuk menggulingkan kerajaan," tegas beliau dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily.

Tambah Nik Nazmi, skrip ini adalah skrip sama yang digunakan sebelum ini untuk perhimpunan Bersih, yang kononnya terdapat molotov cocktail dan kemudiannya habis begitu sahaja selepas himpunan itu.

"Bagi saya, jelas sekali ini adalah cubaan mengalihkan perhatian dari tuntutan Turun yang antara lain mendesak kerajaan memerangi rasuah, menyusun semula subsidi korporat, menangguhkan GST, mendedahkan perjanjian konsesi tol dan menghapuskan monopoli gula," kata beliau yang akan turut serta pada perhimpunan Turun pada malam tahun baru itu.

Dalam pada itu beliau turut menyeru anak-anak muda serta rakyat yng prihatin agar bersama-sama turun di himpunan aman ini dan berusaha agar tidak dipengaruhi provokosi oleh mana-mana pihak.
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah ingin menarik perhatian seluruh rakyat Malaysia berhubung satu himpunan aman Gerakan Turun Kos Sara Hidup Rakyat (Turun) yang akan diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 31 Disember ini.

Ketuanya, Lahirul Latigu berkata, apa yang menarik, kebimbangan beberapa kelompok tertentu yang mengaitkan himpunan tersebut sebagai cubaan untuk 'menggulingkan kerajaan' adalah bersifat daif dan dangkal yang boleh diibaratkan seperti 'bodoh sombong'.

Apa yang jelas, katanya taraf hidup rakyat semakin hari semakin meningkat, ditambah dengan pelbagai kenaikan harga barang dan keperluan termasuk barangan keperluan harian, elektrik, dan sebagainya.

“Inilah salah satu bentuk kezaliman yang dilakukan pemimpin ke atas rakyat. Dalam pada negara mengalami ketirisan perbelanjaan yang besar, mereka bermewah dengan penganjuran dan aktiviti yang membazir,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Akibatnya, kata beliau rakyat sama ada yang berpendapatan tinggi mahupun rendah diperah semahu-mahunya untuk mengembalikan keseimbangan ekonomi negara.

Katanya, kakyat dinafikan peluang untuk menikmati kehidupan yang selesa dan makmur, rakyat disogok dengan alasan pelbagai cara termasuklah kononnya hendak ‘mentransformasikan’ kualiti perkhidmatan.

“Adalah di sini, sebagai cabang dalam PAS yang mendukung aspirasi Negara Berkebajikan dan Keadilan Untuk Semua, maka Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah melaungkan nada yang sama dengan perjuangan rakyat dan anak muda dalam himpunan Turun,” ujarnya lagi.

Tambahnya, Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah turut dimaklumkan bahawa Himpunan Turun juga bakal diadakan di Sabah dan mengarahkan seluruh ahli pemuda sama ada di peringkat kawasan dan cawangan di seluruh Sabah untuk turun beramai-ramai di Tanjung Lipat, Kota Kinabalu dan memakai pakaian hitam.

Perlu ditegaskan, jelasnya himpunan ini bukan dirancang untuk menggulingkan kerajaan dan kita juga tidak ada masa untuk tujuan tersebut.

“Himpunan ini bagi menunjukkan solidariti PAS terhadap rakyat Sabah yang sememangnya sudah lama sengsara akibat dasar dan perintah yang menzalimi,” katanya.

Kata beliau lagi, kebebasan berhimpun adalah hak yang diperuntukkan dalam Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan, sebagai rakyat yang menjunjung tinggi keluhuran perlembagaan kami percaya ruang ini harus digunakan sepenuhnya bagi mempertegaskan suara penentangan terhadap kenaikan harga barang yang menindas penghidupan rakyat negara tercinta ini.
KUALA LUMPUR: Menuding suara rakyat membantah kenaikan kos sara hidup dengan tuduhan mahu menggulingkan kerajaan adalah dangkal dan tidak menghormati sentimen rakyat yang terpaksa menanggung bebanan keperluan harian yang semakin berat, bidas Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim),  Mohd Azmi Abdul Hamid.
Menurut beliau, tuntutan rakyat supaya kerajaan mengawal dan menurunkan kos hidup yang semakin meningkat menerusi perhimpunan 31 Disember ini adalah wajar.
 “Perhimpunan yang bertujuan supaya suara rakyat untuk menuntut  pihak kerajaan mengambil langkah mengatasi isu kenaikan kos hidup yang meningkat   tidak harus dipandang serong.

“Kami mengingatkan bahawa jika kerajaan terus menerus dengan sindrom menafi berlakunya kenaikan kos , dan kerajaan mendakwa  bahawa kini kos sara hidup adalah manasabah dan meningkatnya kos tidak dapat dielakkan , maka rakyat pasti akan melihat kerajaan ini tidak bertanggungjawab,” tegas beliau dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Mohd Azmi berkata,  jurang kaya miskin di negara ini masih ketara dan wujud kelompok berpendapatan tinggi di negara ini yang hidup mewah termasuk di kalangan pemimpin dan ahli keluarga pemimpin.

Beliau mempersoalkan kewajaran rakyat untuk berdiam diri apabila wujud kepincangan dalam pengurusan kewangan negara sedangkan para pemimpin dan keluarga mereka terus menonjolkan kemewahan dan tidak prihatin terhadap kenaikan sara hidup yang  ditanggung rakyat bawahan.

“Tidak dapat dinafikan dengan kadar kenaikan sara hidup yang mendadak , keresahan rakyat akan beransur-ansur memuncak dan akhirnya keadaan tidak boleh terkawal lagi.

“Keresahan ini bukan suatu yang dibuat-buat , apatah lagi tidak boleh dengan mudah dituduh perhimpunan yang digembleng bertujuan untuk menggulingkan kerajaan,” jelas beliau.

Beliau menyifatkan dakwaan kononnya perhimpunan Turun pada 31 Disember ini bertujuan menggulingkan kerajaan adalah tuduhan yang sangat tidak bertanggungjawab , malah menjadi petanda wujudnya sindrom nafi (denial syndrome)  di kalangan pemimpin negara.
“Kesempitan hidup kini dirasai oleh semua peringkat rakyat terutama di kalangan golongan berpendapatan sederhana dan rendah yang merupakan lebih 80 % dari keseluruhan penduduk di negara ini.

“Kesan berganda dan berangkai terhadap kos sara hidup pasti tidak dapat dielakkan bila kos pengangkutan naik serentak dengan kenaikan harga minyak mahupun tol lebuhraya,” tegas beliau.

Jika benar pemimpin kerajaan mengutamakan rakyat seperti yang sering didakwa , beliau menggesa supaya isu kos hidup ini ditangani segera.

“Langkah yang sepatutnya diambil oleh kerajaan ialah menangani isu-isu utama ini dan menghormati suara rakyat yang mahu menyatakan kerasahan mereka melalui perhimpunan aman,” katanya.
KOTA BHARU: “Apa sahaja cara kita buat untuk menyedarkan kerajaan tentang kesusahan hidup rakyat Islam tidak menghalangnya.

“Boleh dibuat, hendak berhimpun ke.. hendak berdoa ke.. atau naik sepanduk pun boleh. Negara demokrasi Islam membenarkan rakyat tegur kerajaan,” kata Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Mursyidul Am PAS berkata, Islam memberi peluang kepada rakyat untuk beritahu kesusahan mereka kepada kerajaan.

“Waktu Saiyidina Abu Bakar jadi Khalifah beliau menyebut kalau aku betul tolong bantu aku, kalau aku salah tolong betulkan aku.

“Kemudian bangun seorang sahabat, dia kata kalau kamu salah aku akan betul dengan mata pedang,” katanya ketika ditemui di pejabat Institut Pemikiran Tok Guru di sini, hari ini.

Beberapa NGO termasuk Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun) menganjurkan perhimpunan aman pada malam 31 Disember ini bagi mendesak kerajaan menurunkan kos hidup rakyat.

Selepas pilihan raya umum lalu kerajaan BN menaikkan harga petrol 20 sen seliter, dan awal tahun hadapan pula kenaikan tarif elektrik 4.99 sen satu kilowatt.

Selain itu kenaikan tambang LRT, monorel dan kadar tol di 15 lebuh raya.

Bagaimanapun kerajaan BN melalui media dikuasainya melabelkan perhimpunan aman tersebut sebagai agenda bagi menggulingkan kerajaan.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga berkata, beliau menyokong perjuangan anak-anak muda yang bersusah payah membawa isu rakyat.

“Tidak boleh kita membisu, hak kita menegur. Hak orang besar mesti dengar.

Sebab itu agama tidak boleh diasingkan daripada politik. Kalau agama dianggap lain daripada politik itu tidak kena.

“Kalau tidak ada kaitan dengan agama, maka mereka bebas melakukan apa sahaja sehingga boleh menyelewengkan wang rakyat dan sebagainya.

“Bebas macam mana mereka pun makhluk. Dunia yang kita duduk bukan hak kita, apabila mati kita akan disoal dalam kubur lagi,” ujarnya.

Menurutnya juga menjadi orang besar (pemimpin) bukan suatu kesenangan.

Kata beliau ketika berada di kerusi Menteri Besar 24 jam hidup dalam keadaan gelisah dan bimbang percakapannya tidak kena pada pandangan rakyat.

“Sebab itulah percakapan, perbuatan, tingkat laku saya selalu beringat, takut-takut saya salah. Alhamdulillah kesilapan yang dilakukan saya ditegur dalam mesyuarat,” katanya.
KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Malaysia akan menggerakkan mobilisasi anak muda supaya menyertai himpunan Turun pada malam 31 Disember ini bagi membantah kenaikan harga barangan.

Ketuanya, Suhaizan Kaiat menegaskan Pemuda PAS tidak berhasrat menggulingkan sesiapa melalui himpunan ini kerana masih percaya dengan sistem pilihanraya untuk menurunkan pemerintah.

Sebaliknya, penyertaan rakyat dalam himpunan itu nanti sebagai menyatakan hasrat dan perasaan resah dengan kenaikan pelbagai harga barang dan peningkatan kos sara hidup.

Perhimpunan itu juga katanya merupakan hak demokrasi rakyat untuk berkumpul sebagai tanda solidariti terhadap lebih kurang 27juta rakyat Malaysia yang sebahagian besarnya bakal menerima kesan buruk hasil kenaikan kos sara hidup yang amat mendadak ini.

"Saya akan turut sama di Dataran dan seluruh pemuda PAS peringkat negeri akan berperanan untuk membangkitkan kesedaran dan menggembeling  tenaga rakyat agar turut serta malam 31 Disember 2013 nanti.

"Ini bukan himpunan menggulingkan kerajaan tetapi himpunan ini adalah hak demokrasi mengikut lunas-lunas perlembagaan," katanya dalam satu kenyataan.

Himpunan turun sempenan malam menyambut tahun baru otu dianjurkan NGO Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun) bagi membantah kenaikan harga beberapa barangan yang diumumkan kerajaan BN yang sekaligus akan menyebabkan peningkatan kos hidup .
KUALA LUMPUR: PAS bersedia untuk bersama-sama menyertai Himpunan Turun yang akan diadakan menjelang tahun baru akan datang sebagai permulaan kepada siri-siri himpunan seterusnya.
Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr. Mohd Hatta Ramli (gambar) melihat himpunan yang akan diadakan pada malam 31 Dis anjuran NGO Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun) itu bersesuaian dengan perjuangan Pakatan Rakyat.

Bercakap kepada Harakahdaily, Dr. Hatta yang juga Penyelaras Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes) menegaskan selepas Himpunan Turun itu, PAS akan terus menyokong mana-mana himpunan yang diadakan selepas itu, sekiranya bersesuaian dengan perjuangan PAS.

Sebagai contoh, katanya PAS akan sama-sama menggerakkan Himpunan Bantah GST yang dirancang diadakan pada Hari Buruh, 1 Mei akan datang.

"Selepas Himpunan Turun, kita akan ada pula Himpunan Bantah GST. Antara masa-masa tersebut, akan ada program-program yang diatur bersama Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu sebagai Penggerak Mobilisasi PAS dengan kerjasama NGO lain," tegas beliau.

Dalam pada itu, Dr. Hatta melahirkan rasa kesal dengan sikap pihak tertentu yang cuba melabelkan himpunan malam 31 Dis itu sebagai kononnya himpunan untuk menggulingkan kerajaan.

Biarpun tidak tahu-menahu sekiranya ada gerakan yang akan mengadakan himpunan sedemikian (guling kerajaan), Dr. Hatta berkata Pakatan Rakyat dan NGO Turun tiada kaitan dengan himpunan tersebut.

"Semua tahu, Himpunan Turun itu bertujuan untuk membantah pesta kenaikan barangan dan perkhidmatan.  Berhimpun secara aman. Tidak timbul isu guling kerajaan, bukan tujuan pun.

"Jadi, janganlah kerajaan bersikap antagonistik sangat apabila rakyat berhimpun dengan aman. Kita hanya nak bersuara menyatakan bantahan sahaja selepas pelbagai cara kita lakukan bagi mengelakkan kenaikan kos hidup ini, sama ada melalui perbahasan parlimen, perbincangan, penyerahan memorandum dan sebagainya," tegas beliau.

Sehubungan itu, beliau yang berkemungkinan turut menyertai himpunan itu menyeru ahli-ahli PAS untuk bersama-sama menyertainya di Dataran Merdeka dengan suasana aman dan tenteram bagi memberi signal kepada kerajaan tentang kepayahan rakyat.
KUALA LUMPUR: Tahun 2014 yang akan tiba beberapa hari lagi bakal menjadi 'tahun harga naik' ekoran kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang disebabkan oleh kenaikan harga minyak dan tarif elektrik.
Ahli ekonomi, Dr Rosli Yaakob berkata, kenaikan harga petrol Ron95 sebanyak 20 sen seliter September lalu menyebabkan kenaikan menyeluruh harga barangan dan perkhidmatan kerana petroleum adalah salah satu barangan asas di dalam ekonomi.
"Semua alat pengangkutan mengunakan bahan bakar ini untuk bergerak. Kesan langsung dan segeranya adalah kos perkhidmatan pengangkutan naik.
"Perlu diingat bahawa perkhidmatan pengangkutan adalah satu perkhidmatan asas di dalam ekonomi dan semua barang-barang perlu diangkut dari lokasi pengeluaran ke lokasi pemasaran," kata bekas Penolong Gabenor Bank Negara itu ketika diwawancara Harakah.
Kenaikan harga bahan bakar ini, ujarnya akan menyebabkan kenaikan kos pengangkutan dan memberi kesan kepada kenaikan harga barangan.
Menurut beliau, tiada satu barangan pun dalam ekonomi yang tidak menggunakan perkhidmatan pengangkutan.
"Kalau ada pandangan bahawa kenaikan harga petroleum berpunca dari penarikan subsidi, ia  pandangan yang sukar dipertahankan," jelasnya.
Dr Rosli turut menyentuh kenaikan tarif elektrik yang menjadi bahan input penting dalam proses pembuatan barangan dan perkhidmatan.
"Tiada kilang pembuatan barangan yang tidak menggunakan tenaga eletrik hari ini? Apabila kos tenaga eletrik naik bermakna kos pengeluaran barangan dan perkhidmatan akan naik.
"Tenaga eletrik juga digunakan terus oleh pengguna untuk menerangi rumah kediaman mereka dan lain-lain keperluan rumah," jelas beliau.
Sehubungan itu, tambahnya kenaikan tarif eletrik akan menyumbang kepada kenaikan kos pembuatan barangan dan penyediaan perkhidmatan dan akhirnya menyumbang kepada kenaikan harga barangan pengguna di pasaran.
"Jelas bahawa kenaikan harga dua bahan asas dalam ekonomi ini pasti membawa kepada kenaikan harga barangan dan perkhidmatan," ujarnya.
Menurutnya, adalah sukar bagi harga barangan dan perkhidmatan turun setelah mengalami kenaikan dan ini sekaligus akan menyebabkan inflasi.
"Dalam keadaan harga barangan dan perkhidmatan yang semakin mahal dan pendapatan rakyat tidak bertambah secepat kadar kenaikan harga, maka kesannya ialah kos sara hidup akan terus naik dan taraf hidup rakyat akan merosot.
"Kuasa beli setiap ringgit akan menjadi semakin terhakis," ujarnya.
Beban daripada kenaikan harga barangan dan perkhidmatan  ini, ujar beliau akan dipikul oleh rakyat khasnya yang berpendapatan rendah dan miskin.
"Dengan menarik balik subsidi ke atas gula (juga bahan asas dalam ekonomi) dan petroleum, menaikkan harga tol lebuhraya, tambang pelbagai jenis pengangkutan dan dengan pengenaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) mulai April 2015, kerajaan sebenarnya menjadi pecetus kitaran inflasi (inflationary cycle)  dalam ekonomi," ujar beliau.
Soal beliau, adakah cetusan kitaran inflasi di dalam ekonomi yang ditanggung rakyat ini boleh dianggap sebagai "menjaga kepentingan masa hadapan ngara?"
Menurut beliau, demi kepentingan masa hadapan negara dan generasi akan datang, kerajaan perlu mendisiplinkan diri di dalam mengurus belanjawan negara.
Sehubungan itu, ujarnya kerajaan perlu mengikis sikap boros dalam berbelanja, menghapuskan pembaziran, menghentikan ketirisan dan mengekang budaya berhutang.
"Hasil dipungut banyak manapun sekiranya pemimpin negara tidak langsung terikat kepada satu disiplin belanjawan yang wajar, masa hadapan negara bakal tergugat dan generasi akan datang akan dibebani hutang besar seperti yang berlaku kepada negara Greece, Ireland dan Portugal hari ini," ujar beliau.     


KUALA LUMPUR:  Kesal dengan tindakan regim Bangladesh pimpinan Sheikh Hasina menggantung sampai mati Penolong Setiausaha Agung Jamaat-e-Islami Bangladesh Abdul Quader Mullah (gambar), PAS serta wakil badan bukan kerajaan (NGO) menyerahkan memorandum bantahan kepada Kedutaan Bangladesh di Jalan U-Thant, dekat sini, petang ini.

Lebih 500 orang diketuai Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berarak dari Masjid Tabung Haji di Jalan Tun Razak ke kedutaan selepas menunaikan solat Jumaat.

Mereka menyanyikan lagu rasmi PAS dan melaungkan slogan 'Hidup Islam', 'Hancur Kerajaan Zalim Bangladesh' sebelum pimpinan utama masuk menyerahkan memorandum kepada wakil kedutaan.

Selain Mohamad Sabu, turut masuk bertemu wakil kedutaan ialah Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiyat, Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusof dan Timbalannya Dr Siti Mariah Mahmod, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad, wakil PKR  dan Abim.

Mohamad Sabu ketika berucap kesal kerana wujud kecenderungan di peringkat antarabangsa untuk menghalang parti Islam membentuk kerajaan melalui proses demokrasi.

Di Malaysia, PAS katanya tegas menyokong demokrasi dan hanya akan mengambil alih kerajaan melalui pilihan raya.

"Ada trend sekarang ini untuk menghalang parti Islam menuju demokrasi. Di Bangladeh, selain seorang dihukum gantung sampai mati, enam orang turut menunggu hukuman yang sama dan pemuda-pemudanya dipenjarakan beramai-ramai," katanya.

"Soal hak asasi adalah perkara sejagat dan kita membantah kerajaan yang zalim.

"Di Malaysia juga PAS tegas ingin ambil kerajaan melalui demokrasi dan pilihan raya," katanya.

Himpunan aman itu berakhir jam 3.30 petang dengan bacaan doa oleh Ustaz Idris Ahmad.

KUALA LUMPUR: Kini para mangsa banjir di Kuantan sedang bertungkus lumus memulakan hidup baru setelah banjir berlalu pergi.

“Alhamdulillah gelombang kedua seperti yang diuar-uarkan tidak sebesar gelombang pertama,” ujar Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Amidi Abdul Manan dalam catatannya mengenai banjir yang melanda Kuantan, baru-baru ini.

Secara puratanya, kata beliau setiap rumah yang terlibat dengan banjir membuang sampah sekurang-kurangnya 1 tan.

“Sedih apabila melihat hanya sedikit harta yang terselamat. Pakaian, perabot, makanan, barangan elektrik hampir keseluruhannya musnah. Masing-masing termenung memikirkan wang yang diperlukan bagi menyempurnakan kehidupan,” ujarnya lagi.

Baginya, derita itu ditambah dengan tahun 2014 yang digelar sebagai ‘tahun harga naik’.

Menurutnya, pelaksanaan sepenuhnya kadar gaji minimum RM900 menyebabkan segala bentuk perkhidmatan dan barangan turut mengalami kenaikan kos.

Kos itu, ujarnya akan ditanggung oleh pengguna. Belum lagi bercerita berkaitan dengan harga gula (bagi sesiapa yang bukan pesakit diabetes), minyak petrol dan diesel (bagi mereka yang berkenderaan) dan kenaikan tarif elektrik (bagi yang menggunakan bekalan elektrik) amat-amat dirasai oleh warga Kuantan.

Tulisan penuh sebagaimana di bawah.

Politik bencana banjir: Sebelum dan selepas

Catatan ini adalah satu pemerhatian hasil perbualan dan pergaulan dengan pelbagai lapisan umat yang menjadi mangsa banjir di Kuantan baru-baru ini. Perkongsian masalah dan analisa para penduduk Kuantan yang rencam dengan pelbagai latar belakang dan sudut pandang menjadikan catatan ini bukanlah sesuatu yang muktamad.

Bencana banjir yang melanda negara baru-baru ini mengundang beberapa perbincangan yang menarik. Bermula dari peringkat awal air membanjiri Kuantan khususnya sehinggalah kini apabila bantuan pasca banjir mula digerakkan. Ramai yang tidak menyangka bencana yang saban tahun melanda negeri-negeri Pantai Timur akan menjadi seburuk ini.

Penulis yang telah menetap di Kuantan selama kira-kira 11 tahun juga pada mulanya tidak menyangka banjir kali ini adalah satu tragedi yang begitu buruk berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Hujan yang mula turun mencurah-curah selama 3 hari mengakibatkan paras air sungai di sekitar Kuantan mulai naik dengan lajunya. Ban yang baru dibina di kawasan perumahan Sungai Isap sudah tidak dapat menahan air yang begitu banyak dan deras.

Jika banjir pada tahun 2001 dahulu, hanya kawasan Sungai Isap sahaja yang teruk ditenggelami air, kini ia melimpah sehingga ke kawasan Taman Guru, Kampung Belukar, Kampung Razali sehingga ke Kolej Islam Pahang (KIPSAS). Usaha yang dilakukan penduduk mengalihkan kereta ke jalan utama (Kuantan – Gambang) sia-sia, kerana air turut melimpahi jalan. Apabila pencawang-pencawang TNB mula ditenggelami air, bekalan elektrik diputuskan.

Akibatnya, stesen-stesen minyak tidak dapat beroperasi begitu juga dengan perkhidmatan bank turut tergendala. Hampir semua lampu isyarat di Bandar Kuantan tidak berfungsi. Terputusnya bekalan air memburukkan lagi keadaan. Mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di pusat-pusat pemindahan terpaksa bergantung kepada air-air minuman dalam botol.

Begitu juga dengan mereka yang berada terperangkap di rumah masing-masing. Ahli keluarga di luar Kuantan mulai cemas kerana terputus hubungan dengan keluarga yang mendiami kawasan banjir. Ini kerana telefon bimbit tidak dapat berfungsi disebabkan baterinya telah kehabisan kuasa.

Suasana di pusat-pusat pemindahan juga kelam kabut. Ini kerana persediaan hanya bagi menampung beberapa ratus mangsa banjir seperti tahun-tahun sebelumnya. Apabila ribuan menyerbu pusat-pusat ini segala bekalan tidak mencukupi.

Begitu juga dengan tenaga pengendali. Sementelah kaki tangan kerajaan yang berkhidmat dengan jabatan-jabatan yang berkaitan bantuan banjir juga turut menjadi mangsa kali ini. Oleh itu amatlah tidak adil jika kesalahan ditujukan kepada jabatan kerajaan di Kuantan apabila bencana ini melanda.

Namun kita percaya dengan penyelarasan yang baik, kaki tangan kerajaan boleh digerakkan dari seluruh negara untuk membantu rakyat yang dalam kesusahan. Ada yang melihat bot jabatan kerajaan tertambat tidak digunakan kerana pemandunya juga turut sibuk menyelamatkan keluarga.

Apabila usul darurat dibawa oleh YB Ahli Parlimen Kuantan ke Dewan Rakyat dan ditolak, bencana kali ini mula bermain dalam gelanggang politik. Tambahan pula para pemimpin dan perwakilan UMNO sedang sibuk dengan Perhimpunan Agung UMNO (PAU).

Tuduhan melulu terhadap YB Fuziah Salleh, Ahli Parlimen Kuantan yang mengatakan beliau tidak turun dan mempedulikan kawasannya sebenarnya, menjadikan beliau wira dalam kalangan penduduk Kuantan.

Ini kerana beliau telah turun awal-awal lagi dan berita mengenainya telah tersebar menerusi media maya. Ditambah dengan kalimah ‘bangsat’ yang terhambur keluar dari Ketua Wanita UMNO menambahkan lagi kemarahan warga Kuantan.

Itu belum lagi ketewasan pelbagai skuad yang dilancarkan oleh para pemimpin negara kepada Yayasan Amal. Skuad-skuad ini tidak dapat dirasai kehadirannya dengan berkesan oleh mangsa banjir berbanding dengan para sukarelawan Yayasan Amal ini.

Tidak cukup dengan itu, bantuan yang lambat tiba dan tidak mencukupi menambah luka di hati para penyokong parti pemerintah. Maka tidak hairanlah apabila ada yang mengisytiharkan keluar parti dan beralih arah di Tanah Putih Baru kerana kecewa dengan kesungguhan dan janji-janji yang ditaburkan sebelum pilihanraya yang lalu.

Walau pun berkoyan-koyan bantuan tiba dari UMNO setelah banjir surut ia seperti sudah terlewat. Rakyat mahukan pemimpjn bersama mereka ketika mereka dalam kesusahan.

Tambahan pula bantuan yang tiba itu diagihkan secara berpilih dengan keutamaan kepada para penyokong UMNO. Keadaan ini diburukkan lagi apabila para sukarelawan yang kurang rasa amanah, menyebabkan ada sumbangan yang gagal disampaikan kepada mangsa dan agihannya tidak merata.

Bantuan banjir menjadi seperti pilihanraya. Parti-parti politik sibuk mengibarkan bendera masing-masing membawa bantuan dengan harapan dapat menambat hati mangsa atau sekurang-kurangnya mangsa tahu parti mereka juga turut sama prihatin dalam bencana kali ini.

Adalah diharapkan persaingan sebegini terutamanya bagi bantuan pasca banjir tidak melepasi batasan ‘fastabik ul-khayrat’ dengan meletakkan syarat-syarat tertentu atau ada mangsa banjir yang dinafikan haknya.

Bantuan yang menggunakan wang rakyat hendaklah dikembalikan kepada rakyat yang berhak bukan bersyarat kepada sikap dan pendirian politiknya.

Kini para mangsa banjir sedang bertungkus lumus memulakan hidup baru setelah banjir berlalu pergi. Alhamdulillah gelombang kedua seperti yang diuar-uarkan tidak sebesar gelombang pertama.

Secara puratanya setiap rumah yang terlibat dengan banjir membuang sampah sekurang-kurangnya 1 tan. Sedih apabila melihat hanya sedikit harta yang terselamat. Pakaian, perabot, makanan, barangan elektrik hampir keseluruhannya musnah. Masing-masing termenung memikirkan wang yang diperlukan bagi menyempurnakan kehidupan.

Derita ini ditambah dengan tahun 2014 yang digelar sebagai ‘tahun harga naik’. Pelaksanaan sepenuhnya kadar gaji minimum RM900 menyebabkan segala bentuk perkhidmatan dan barangan turut mengalami kenaikan kos.

Kos ini akan ditanggung oleh pengguna. Belum lagi bercerita berkaitan dengan harga gula (bagi sesiapa yang bukan pesakit diabetes), minyak petrol dan diesel (bagi mereka yang berkenderaan) dan kenaikan tarif elektrik (bagi yang menggunakan bekalan elektrik) amat-amat dirasai oleh warga Kuantan. Mungkin hanya kenaikan kadar tol tidak begitu dirasai oleh penduduk Kuantan kerana laluan LPT sahaja yang mengenakan tol.

Maka jika dicongak politik banjir ini, berasaslah kebimbangan yang disuarakan oleh YB Datuk Nur Jazlan Mohamed, Pengerusi PAC,yang menjangkakan BN akan mengalami kekalahan lebih teruk di kawasan bandar. Ditambah dengan pandangan Dr Ridhuan Tee Abdullah yang memberikan amaran bahawa pengundi Melayu mungkin akan beralih arah akibat kenaikan harga tol.

Mungkin ada pihak yang menafikan kenyataan ini, tetapi sekurang-kurangnya riak-riak di kawasan parlimen sekitar Kuantan seperti Parlimen Kuantan, Indera Mahkota dan Paya Besar sudah mula menunjukkan tandanya. Sebagai aktivis umat, banjir atau bencana kini, boleh dijadikan salah satu faktor yang memberi impak politik.

 


 





 

 

 

 

 

Tiada ulasan: