Ahad, 6 Oktober 2013

YANG SUKA MAIN2 UNDUR NI BIASANYA BUDAK2 AJE

Tazkirah sirah: Penghakiman paling aneh di dunia

Tuan Ibrahim Tuan Man, 05 Okt 2013
Selepas Samarkand jatuh ke tangan tentera Islam, padri besar negeri itu mengutus surat kepada khalifah Islam, Amirul-Mu’minin Umar bin Abdul Aziz.

Di dalam surat tersebut dia mendakwa panglima tentera Islam, Qutaibah serta angkatan tenteranya telah memasuki Samarkand tanpa amaran dan tanpa seruan dakwah kepada Islam.

Umar mengarahkan hakim yang dilantik untuk bertugas di Samarkand bernama Jumay’ supaya membicarakan kes yang didakwa oleh padri besar tersebut.

Hakim memanggil kedua-dua pihak, pendakwa (padri besar Samarkand) dan yang didakwa (Qutaibah, panglima angkatan tentera Islam). Qutaibah dipanggil oleh petugas mahkamah atas nama peribadinya, tanpa dikaitkan dengan sebarang gelaran.

Datanglah Qutaibah ke mahkamah. Dia duduk bersebelahan paderi besar Samarkand di hadapan hakim Samarkand yang muslim.

Hakim memulakan perbicaraannya dengan mengajukan soalan kepada paderi besar Samarkand:-

Hakim: Apakah dakwaan kamu wahai orang Samarkand?

Paderi: Qutaibah dan tenteranya telah memasuki dan menakluki negeri kami tanpa menyeru kami kepada Islam terlebih dahulu dan memberi tempoh kepada kami untuk kami membuat keputusan mengenai pendirian kami!

Hakim berpaling kepada Qutaibah seraya bertanya:- Apa jawapan kamu terhadap dakwaan ini wahai Qutaibah?

Qutaibah: Peperangan adalah tipu muslihat. Samarkand merupakan negeri yang besar. Semua negeri-negeri di sekitarnya melawan kami. Mereka tidak menerima Islam dan tidak mahu membayar jizyah.

Hakim: Wahai Qutaibah! Adakah kamu telah menyeru mereka (penduduk Samarkand) kepada Islam atau membayar jizyah atau perang?

Qutaibah: Tidak! Sebaliknya kami terus serang mereka secara mengejut dengan alasan yang telah saya sebutkan tadi.

Hakim: Aku mendapati kamu telah mengaku. Dan apabila pihak yang didakwa mengaku, selesailah perbicaraan. Wahai Qutaibah! Allah tidak menolong umat ini melainkan dengan (berpegang kepada) agama, menjauhi tipu daya dan menegakkan keadilan.

Kemudian hakim mengisytiharkan keputusan penghakimannya:

Hakim: Kami memutuskan supaya semua orang Islam dikeluarkan dari bumi Samarkand, merangkumi pemerintah, tentera, orang-orang lelaki, kanak-kanak dan wanita. Mereka hendaklah mengosongkan kedai-kedai dan rumah-rumah mereka. Jangan ada seorangpun orang Islam yang tinggal di Samarkand!

Paderi besar terpinga-pinga,tidak percaya dengan apa yang dilihat dan didengarnya. Tanpa bukti, tanpa saksi, perbicaraan selesai dalam masa beberapa minit sahaja.

Paderi besar dan orang-orang Samarkand yang turut hadir dalam mahkamah ketika itu, tidak menyedari bahawa perbicaraan telahpun selesai kecuali setelah melihat hakim, Qutaibah dan para petugas bangun dan beredar.

Hanya beberapa saat saja selepas itu, penduduk Samarkand mendengar deringan suara loceng memenuhi angkasa, debu-debu berterbangan memenuhi setiap ruang dan bendera-bendera kelihatan berkibaran di sebalik debu-debu yang bertiupan. Mereka tertanya-tanya kehairanan, apa yang telah terjadi?

Lalu diberitahu kepada mereka bahawa pemerintahan Islam telah ditamatkan dan angkatan tenteranya telah ditarik keluar. Satu pemandangan yang sungguh menakjubkan dan menggemparkan.Dan terbenam sahaja matahari pada hari itu, anjing-anjing berkeliaran di jalan-jalan yang sunyi, suara-suara tangisan bersahutan dari setiap rumah menangisi pemergian satu umat yang adil lagi penyayang dari negeri mereka.

Lantas paderi besar dan seluruh penduduk Samarkand tidak dapat menahan diri lebih lama lagi. Mereka keluar berarak beramai-ramai dikepalai paderi besar menuju ke arah angkatan tentera Islam sambil melaungkan syahadah bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad pesuruh Allah.Ya Allah!

Betapa hebatnya kisah ini. Betapa gemilangnya lembaran sejarah Islam yang agung.Pernahkah anda dengar satu angkatan tentera menakluk sebuah kota, kemudian penduduk kota itu membuat dakwaan ke atas tentera yang menakluk, dan akhirnya tentera yang menakluk itu kalah dalam perbicaraan dan diperintahkan keluar dari kota yang telah ditakluknya?

Demi Allah! Kita tidak akan temui kisah serupa ini dalam sejarah mana-mana umat di dunia ini selain dari umat Islam!

Dipetik dari buku ‘Qasas min at-Tarikh’ oleh Syaikh Ali at-Tantawi

GMUKM mulakan kempen PRK, bawa isu air

Harakahdaily, 05 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) dilihat telah memulakan kempen berdepan Pilihan Raya Kampus (PRK) itu yang dijadual 23 Oktober ini.

Dalam satu kenyataan semalam, gabungan itu dilihat membawa isu gangguan air di kampus mereka yang didakwa berlarutan sejak beberapa tahun lalu namun tiada sebarang penyelesaian konkrit dari pihak bertanggungjawab.

Mereka juga sedang mengumpul tandatangan daripada mahasiswa kampus itu sebagai referendum untuk mendesak pihak pengurusan menyelesaikan isu tersebut secepat mungkin.

"Masalah air yang berlaku di UKM saban tahun ini tidak pernah ada penyelesaian jangka panjang oleh pihak bertanggungjawab sebaliknya ia akan berulang dan terus berulang.

"Mahasiswa UKM kini tidak tahan lagi berdepan masalah seperti ini saban tahun dan sampai bila mahasiswa UKM terpaksa menanggung kesulitan ini," soal mereka.

Bagaimanapun kenyataan itu tidak memperincikn secara jelas kawasan mana yang terlibat dengan gangguan bekalan air tersebut.

Menurut mereka, masalah air ini perlu ditangani dalam jangka masa yang panjang kerana ianya berlaku berulang kali.

Tindakan pihak pengurusan yang menyediakan lori tangki air bila berlaku masalah air menurut mereka, bukan satu penyelesaian jangka masa panjang.

"Harapan kami mahasiswa, agar pihak bertanggungjawab dapat menyelesaikan segera masalah air yang dihadapi sekarang untuk rutin harian yang lancar tanpa sebarang masalah," kata mereka.

Kerajaan S'gor cadang ambil alih Kuis

Harakahdaily, 05 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor dalam proses mengambil alih Kolej Univesiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) yang disebut dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 sebagai bermasalah dari segi kewangan.

Menurut Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali, usaha untuk pembelian saham Kuis itu masih dalam proses rundingan.

Menurutnya, tindakan kerajaan negeri itu adalah bagi menyelamatkan kolej itu daripada terus dilanda masalah kewangan.

“Kuis adalah milik Majlis Agama Islam Selangor (Mais), jadi mustahil Kuis dari entiti yang berbeza akan memaklumkan semua masalahnya kepada Kerajaan Negeri seperti mana yang dilakukan Unisel.

“Setelah melihat KUIS berdepan masalah kewangan ditambah pula dengan prestasi yang tidak berapa baik, Kerajaan Negeri tampil membantu dengan membeli sahamnya,” ujarnya seperti dipetik TVSelangor.

Dr Halimah berkata, dengan adanya pegangan saham itu nanti, Kerajaan Negeri mempunyai kuasa mengemas kini urus tadbir sedia ada, selain menyalurkan dana untuk menaik taraf kemudahan pendidikan di kolej itu.

Baru-baru ini, Laporan Ketua Audit Negara 2012 memaklumkan prestasi kewangan Kuis didapati kurang memuaskan dengan kerugian sebelum cukai bernilai RM11.30 juta pada tahun 2011.

Turut ditekankan pada laporan tersebut ialah pengurusan Kuisyang dikendalikan KUIS Sdn. Bhd. kurang memuaskan termasuk tindakan pengambilan pelajar yang tidak mencapai sasaran ditetapkan.

Lulus PCA, Malaysia mengundur ke belakang

Harakahdaily, 04 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Majlis Peguam menyifatkan tindakan kerajaan Malaysia meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pencegahan Jenayah (Pindaah dan Pemerluasan) 2013 atau Prevention of Crime Act (PCA) sebagai tindakan mengundur ke belakang.

Presidennya, Christopher Leong, berkata ianya sesuatu yang menyedihkan bagi negara ini apabila undang-undang penahanan tanpa bicara dikembalikan semula.

Undang-undang yang turut mengurangkan kuasa mahkamah yang diluluskan Dewan Rakyat itu juga ujarnya, memberikan pukulan hebat kepada kedaulatan undang-undang negara ini.

“Jenayah keganasan yang berlaku perlu mengikuti prinsip, seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah di mahkamah.

“Pindaan PCA itu akan menafikan hak asasi manusia yang dijamin Perlembagaan Persekutuan,” kata Christopher dalam satu kenyataan.

PCA diluluskan di Dewan Rakyat lewat malam semalam selepas menjalani perbahasan hangat sejak ianya dibentangkan.

Ahli Parlimen Pakatan Rakyat menentang keras undang-undang ini yang disifatkan bertentangan dengan keadilan sejagat dan cenderung untuk disalahgunakan.

Harmonikan pertikaian, keluarlah dari kepungan

Mohammad Faizal Che Yusof, 05 Okt 2013

HENRY KISSINGER dalam satu ucapan masyhur beliau pernah menyebut antara lainnya berbunyi “Control oil and you control nations; control food and you control the people.”. Kissinger adalah seorang tokoh arkitek dasar luar Amerika sekitar 1970-an. Beliau yang pernah berkhidmat secara langsung di bawah tiga presiden Amerika, Richard Nixon, Gerald Ford dan Jimmy Carter cukup member kesan yang ampuh dalam mewarnai dasar luar Amerika Syarikat.

Pada saat artikel ini ditulis, kita masih lagi belum pasti yang Malaysia secara muktamadnya tidak akan menantadatangani Perjanjian Perkongsian Tran Pasifik “TPPA”. Walaupun presiden Amerika yang dijadualkan berpijak di bumi Malaysia membatalkan hasrat lawatannya, segalanya belum berakhir.

TPPA hanyalah siri-siri dokumen yang mengesahkan setiap perbuatan Amerika untuk menguasai dunia. Bahkan sejak berdekad sebelum ini pun, Amerika telah mencengkam dunia dengan secukupnya. Apa yang disebut oleh Kissinger adalah satu dasar yang benar-benar dipraktikkan oleh pentadbiran White House.

Amerika yang sejak dahulu diteraju oleh sekumpulan kecil manusia yang ingin menguasai dunia telah berjaya mengadakan proksi-proksi mereka bukan sahaja di dalam Amerika, bahkan ia telah berada di mana-mana. Sebelum ini pernah saya catatkan perihal Bank For International Settlement “BIS”, ia adalah antiti yang berada di luar Amerika yang menjadi rubber stamp kepada setiap kehendak kelompok modern colony tersebut. Mari kita kenali secara ringkas satu lagi antiti yang menjadi setiap kehendak modern colony ini sah dan halal di sisi perundangan.

Federal Reserve yang menjadi bank pusat kepada Amerika Syarikat telah ditubuhkan pada 1913. Dalam satu ungkapan yang cukup gah, seorang penganalisa ekonomi Murray N. Rothbard mengungkapkan sebagaimana berikut, “The Federal Reserve System virtually controls the nation’s monetary system, yet it is accountable to no one. It has no budget, it is subject to no audit, and Congressional Committee knows of, or can truly supervise its operations,”.
Federal Reserve yang dissebut begitu gah boleh berbuat apa saja demi memastikan kepentingan kewangan Amerika berada pada tahap yang terbaik dalam apa jua situasi. 12 anggota yang menjadi tulang belakang Federal Reserve amat digeruni oleh ahli-ahli politik, lebih-lebih lagi yang berhasrat menduduki White House.

Fraction Reserve System adalah satu system pusingan kewangan yang mula diperkenalkan oleh Federal Reserve yang kini menjadi amalan di seluruh dunia melalui system perbankan pusat. Fraction Reserve System inilah membenarkan sekelompok kecil modern colony di dunia hari ini bebas berbuat apa sahaja tanpa batasan kewangan dan keupayaan.

Fraction Reserve System menentukan jumlah atau kadar duit atau wang yang dibenarkan untuk berada dalam pasaran. System ini beroperasi setelah system kewangan yang bersandarkan kepada emas telah dihapuskan dan digantikan dengan system duit kertas yang hanya ditentukan oleh pasaran.

Fraction Reserve amat bergantung kepada jumlah simpanan wang yang ada dalam system kewangan Negara. Dengan kiraan multiplyer, ia akhirnya menentukan jumlah wang yang dibernarkan untuk berada dalam pasaran. Dengan kata lain, semakin banyak kita menyimpan wang dalam system perbankan, semakin berganda wang yang dibenarkan untuk diperniagakan dalam pasaran.

Kiraan di bawah adalah contoh mudah bagaimana fraction Reserve System beroperasi bagi menentukan jumlah atau kadar wang dalam pasaran.

MONEY SUPPLY
• Deposit (simpanan)=100.
• Reserve requirement (ditentukan oleh bank pusat)= R = 10%
• Money Multiplyer = 1/R = 1/10% = 10.
• Money supply (wang yang dibenarkan)= Deposit x Money Multiplyer = 100 x 10 = 1000.

Contoh di atas menunjukkan bagaimana wang yang asalnya berjumlah 100 akhirnya menjadi 1000 dalam pasaran. Jika ditanya dari manakah 900 yang mencukupkan 1000 tersebut, jawabnya ia sebenarnya tiada. Itulah Fraction Reserve System.

Dengan ringkasan yang dapat saya kemukakan ini, semoga ia menjadi pedoman untuk kita mengatur gerak dalam ruang lingkup yang kita dikepung dari segenap penjuru. Kita tidak ada banyak masa untuk berbalah perkara yang remeh temeh. Hentikanlah segala pertikaian rupa bentuk kumpulan yang sebenarnya tidak membawa kita ke mana-mana.

Dalam konteks perjuangan Islam, segerakanlah cari titik pertemuan pada setiap pertembungan dan segerakanlah harmonikan pelbagai tohmahan yang dilemparkan sesama sendiri. – 29 Zulkaedah 1434H.

Pemilihan: Pada pandangan saya

Tuan Ibrahim Tuan Man, 04 Okt 2013

Pada pandangan saya pemilihan parti, pimpinan utama parti tak perlu beri ulasan lebih-lebih...

Pelbagai kenyataan dikeluarkan oleh pelbagai pihak dalam memberi ulasan berhubung pemilihan parti menjelang Muktamar bulan November ini.

Ulasan tersebut kelihatan lebih menonjol berbanding persiapan menghadapi Pilihanraya Kecil Sungai Limau pada 4 November ini.

Keadaan ini sanga t tidak baik bagi parti, tambahan pula ulasan tersebut datangnya dari pimpinan tertinggi parti.
Ulasan pimpinan tentunya akan mengundang pelbagai reaksi segera pelbagai pihak.

Saya melihat fenomena ini sebagai satu elemen negatif bagi parti kerana polimik dalaman harus ditangani dalam lingkungan adab dan akhlak jamaah yang tinggi.

Lantaran itu disarankan agar pimpinan utama parti di semua peringkat tidak memberikan komentar sama ada menyokong atau sebaliknya terutama melibatkan jawatan utama parti.

Perwakilan harus diberi sepenuhnya kepercayaan bagi membuat pilihan, kerana kita yakin mereka lebih tahu ke mana hala tuju parti perlu dibawa.

Kita tidak menyekat jalan demokrasi dalam parti, tetapi kita harua memimpin sistem demokrasi agar tidak merosakkan ukhuwah jamaah.

Dalam keadaan media baru yang sukar dikawal, maka ulasan positif sekalipun boleh diulas dalam bentuk negatif yang akan mengundang pelbagai reaksi.

Mari kita pelihara ukhuwah jamaah ini dengan memelihara thiqah pada pimpinan yang telah berkorban untuk jamaah selama ini, menghormati perasaan mereka dan menghormati mereka.

Saya yakin semua kita sayangkan jamaah ini. Cuma caranya berbeza: ada orang yang sayangkan anak maka dimarah anak itu, ada yang mencubitnya ada yang memukulnya dan ada yang memeluk dan menciumnya.

Kalaulah anda jadi anak, cara mana yang anda suka? Senyum.

4 terbunuh dalam pertempuran di Tahrir

http://greenboc.blogspot.com, 05 Okt 2013

[Terkini Mesir] 4 Terbunuh Dalam Pertempuran Di Bundaran Tahrir


Empat orang gugur dan puluhan yang lain mengalami kecederaan di dalam pertempuran yang berlaku di antara pendukung bekas Presiden Mohamed Morsi dengan mereka yang anti-Morsi.

Sebaik selesai solat Jumaat waktu tempatan (4/10), ribuan pendukung Ikhwanul Muslimin (IM) berbondong-bondong menuju Bundaran Tahrir untuk memprotes tentera yang telah menggulingkan Morsi. Menghadapi aksi ini, polis telah menembak gas pemedih mata dan memberikan tembakan amaran bagi membubarkan para demonstran.

Sebagaimana disiarkan oleh MENA (Sabtu, 5/10), Jurubicara Kementerian Dalam Negeri Mesir, Sayed Shafiq, mengatakan, seorang pemuda anggota Ikhwanul Muslimin terbunuh ditembak di Jalan Qaser Aani, tidak jauh dari Bundaran Tahrir. Sementara tiga yang lain terkorban di Jalan Ibnu Sinder di daerah Heliopolis, Kaherah berdekatan dengan istana presiden.

Para demonstran meneriakkan slogan-slogan menentang tentera dan Menteri Pertahanan Abdel Fattah Al Sisi yang memimpin kudeta menumbangkan Morsi.

Menurut laporan Al-Jazeera, pihak keselamatan telah mengepung Bundaran Tahrir dnegan kereta kebal dan pagar berduri dimana para demontsran pro-Morsi terus meneriakkan "turun segera wahai pembunuh" - yang merujuk kepada Abdel Fatah Al-Sisi.

Golongan liberal/sekular yang menyokong pihak tentera pula melakukan tembakan dan membaling batu.

Demonstrasi yang diadakan oleh Gabungan Nasional Mendokong Legitimasi yang majoriti anggotanya berasal dari Ikhwanul Muslimin ini akan terus menyerukan protes di Bundaran Tahrir Square sehingga kedudukan Morsi dikembalikan.

Di dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Agong Pertubuhan Bangsa Bangsa (PBB) Ban Ki-moon menyatakan keprihatinan di atas peningkatan ketegangan di Mesir setelah berlaku tragedi berdarah di Kaherah.

Ban menyerukan pentingnya demonstrasi aman, menghormati kebebasan berpersatuan dan komitmen kepada anti-kekerasan, demikian kata juru bicara PBB Martin Nesirky.

"Setiausaha Agong PBB terus menekankan perlunya diberikan penghormatan penuh terhadap hak asasi manusia, termasuk mereka yang ditahan dalam penjara, dan peraturan undang-undang sebagai dasar untuk peralihan yang berlangsung secara damai dan demokrasi," kata Nesirky.

Pasca kudeta: Ikhwanul Muslimin bertambah kukuh

http://greenboc.blogspot.com, 05 Okt 2013

Salah seorang pimpinan Partai Kebebasan dan Keadilan (FJP), Izzah Jaraf, menyatakan bahawa Ikhwanul Muslimin ketika ini lebih solid dari waktu-waktu sebelumnya.

"Begitulah Ikhwan, akan semakin kuat dalam memegang kebenaran di masa kesulitan. Berita-berita yang menyebutkan terjadinya perpecahan hanyalah isu yang disebarkan pihak intelijen kudeta," kata beliau lewat akaun facebooknya, dipetik dari dakwatuna.

Izzah Jaraf menambahkan bahwa Ikhwan sudah sering mengalami hal seperti ini, bahkan lebih dahsyat lagi, dan pada saat itu pasti akan tersebar berita-berita bahwa Ikhwan berpecah. Namun walaupun demikian, fikrah dan dakwah Ikhwan tetap jelas dan kuat dari dulu hingga sekarang.

"Alhamdulillah, tidak ada yang dapat memecah-belahkan kami. Ini membuktikan bahwa dakwah Ikhwan adalah dakwah rabbani yang diisi oleh orang-orang yang ikhlas." Ujarnya.

Lebih lanjut beliau menjelaskan bahwasannya ujian yang menimpa Ikhwan akan segera pergi, dan hanya akan menampakkan pahlawan-pahlawan baru di Mesir, membela dan mengorbankan segala yang dimilikinya untuk Mesir. Rakyat Mesir akan mengembalikan pemerintahan yang sah, yang akan menjadi contoh bagi negara-negara lain, terutama untuk kawasan Timur Tengah.

ULASAN GB

Demikianlah sunatullah, demikianlah hukum kebenaran dan keadilan.

Apabila sesebuah pertubuhan itu ditekan dan dizalimi, ia bukan bertambah lemah tetapi akan menjadi bertambah kukuh dan padu. Bukankah emas dan permata yang ditenyeh dan digilap itu akan lebih bercahaya dan berkilau?

Tiada ulasan: