Berbelanja mewah ketika aliran tunai negara nazak
Shirzad Lifeboat, | 19 Okt 2013 |
APABILA persoalan perkadaran Fitch dikemukakan kepada Perdana Menteri Najib Razak oleh Bloomberg yang mewawancaranya minggu lalu di Putrajaya, mudah untuk memahami mengapa firma berita antarabangsa itu berbuat demikian.
Ini kerana keputusan firma penarafan antarabangsa itu menurunkan pengkadaran kredit Malaysia dari A kepada –A adalah, secara relatifnya, merupakan suatu berita baru yang memalukan Malaysia dan perkembangannya turut diikuti di seluruh dunia kewangan antarabangsa.
Barangkali, tidak banyak pihak mahu mengambil tahu perihal kewangan Malaysia andai kata pemimpinnya tidak berlagak macam ahli sihir kewangan tersohor – datang apa sekalipun krisis ekonomi global yang menimpa kebanyakan negera, jangan kata Malaysia terkena impaknya, tempias pun tak kena.
Dan barangkali itulah tujuan Bloomberg mewawancara Najib – mahu tahu dari mulut Najib sendiri apakah kesaktian dimilikinya.
Tentu sekali Najib sendiri berasa bangga diwawancara oleh firma pemberitaan maklumat kewangan perdana antarabangsa dan mungkin terkejut dengan pertanyaan sedemikian. Jika tujuan Najib bersetuju diwawancara disebabkan mahu menggilap imejnya sebagai ahli makro ekonomi tersohor seantero dunia, harapan itu cepat merosot sebaik wawancara dimulakan.
Seperti dijangkakan, jawapan yang diberikan sudah boleh diramalkan, “Kita akan menguruskannya… Kita memantau dengan amat teliti bagaimana kita menguruskan kedudukan makro dan juga kedudukan fiskal serta hutang untuk mempastikan kita tidak diperturunkan gred.”
Jawapan yang diberikan Najib ini senada dengan jawapan klasik seorang menteri kanan di zaman Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri, “Kita akan kaji…” Atau juga jawapan/kenyataan seorang Menteri yang masih berkhidmat, “Kerajaan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan.”
Namun demikian Najib tidak pula menyatakan setidak-tidaknya secara ringkas apakah formula dan mekanisme kewangan baru yang mungkin diciptanya bagi mengelakkan Malaysia di perturunkan gred pengkadaran kredit.
Hal ini sudah tentu meninggalkan tanggapan sesungguhnya Najib memiliki kayu sakti atau mantera ‘abracadabra’ bagi mengelakkan penurunan pengkadaran selanjutnya berpunca dari lonjakan nisbah hutang-kepada-KDNK 53.3 peratus (1.7 peratus di bawah paras maksimum dibenarkan oleh undang-undang).
Ada kalangan pengurus dana di Kuala Lumpur merasakan Najib sudah menjangka Bloomberg akan bertanyakan soalan sedemikian tetapi tidak bersedia atau mudahnya tak tahu apa yang harus dijawab.
Namun apa yang agak memeranjatkan adalah persoalan tentang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dalam masa 4 tahun beroperasi sudahpun mencatat jumlah pengeluaran bon dan pinjaman kira-kira RM30 bilion.
Hal ini dimaklumi umum sejak Mei lalu. Malah Julai lalu pun Dewan Rakyat menyaksikan perdebatan hebat mengenai bank pelaburan Amerika Syarikat, Goldman Sachs di bayar RM500 juta oleh 1MDB bagi membantu menjual bon pinjaman sejumlah USD6.5 bilion.
Sejauh ini 1MDB telah menggunakan RM12 bilion untuk membeli aset tenaga. Menurut Najib dana tersebut juga akan digunakan bagi membangunkan sebuah kawasan kewangan baru dinamakan Tun Razak Exchange.
Tidaklah dapat dipastikan mengapa Bloomberg, sebuah syarikat berita berpangkalan di Amerika Syarikat menimbulkan semula berita yang hampir sudah dilupakan itu. Namun dengan menanyakan soalan sedemikian, ia turut seolah-olah menyangsikan justifikasi membayar wang sebanyak itu kepada Goldman Sachs.
Mungkin ia sebagai peringatan kepada rakyat Malaysia dan Najib, pinjaman sebanyak itu boleh mendedahkan Malaysia kepada risiko mungkir menjelaskan hutang/bon pada ketika tiba tarikh matangnya.
Oleh kerana 1MDB adalah sebuah syarikat milik penuh kerajaan dan penyata kewangannya (jika ada) biasanya tidak didedahkan kepada awam dan terlepas dari pemeriksaan oleh Ketua Audit Negara, maka tidak ada sesiapa tahu tentang kedudukan sebenarnya dari semasa ke semasa.
Kita tentu tidak mahu 1MDB menjadi seperti projek Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) apabila bon pinjaman yang dikeluarkan untuk kononnya membiayai projek tersebut akhirnya gagal dilangsaikan dan akibatnya dana dari Kumpulan Wang Kerajaan Persekutuan terpaksa digunakan bagi menjelaskannya.
Rakyat mungkin tidak menghiraukan sekiranya 1MDB adalah merupakan pelaburan peribadi Najib atau orang Umno dengan menggunakan dana sendiri. Dalam pada itu banyak pihak merasakan sekiranya 1MDB berpotensi sekalipun, masanya tidak sesuai kerana kedudukan hutang negara yang seolah-olah tidak terurus lagi.
Sejarah menunjukkan kerajaan Malaysia di bawah BN cukup seronok merancang itu dan ini dalam skala mega dan kemudiannya dilaksanakan secara ad hoc serta tanpa kajian terperinci dalam erti kata sebenarnya.
Akhirnya, apabila setelah gah bercakap ke sana ke mari satu pun tak jadi, yang terseksa rakyat juga apabila pelbagai cukai baru diperkenalkan, pelbagai cukai sedia ada dinaikkan dan pelbagai subsidi ditarik balik atau dikurangkan bagi memperbaiki kedudukan aliran tunai kerajaan yang kian nazak.
Politik wang adalah nyawa Umno - Teras
Harakahdaily, | 19 Okt 2013 |
“Rehatkan Umno dari kuasa yang sudah menguasai seluruh darah daging, urat nadi dan saraf Umno sehingga nyawanya perlu dipulih bukan setakat melalui ‘sistem sokongan’ dengan rawatan ICU, malah perlu kepada pembedahan major dan penggantian organ dan darah yang sangat kritikal,” ujar presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid dalam satu kenyataan.
Katanya, alternatif perlu dicari dari wadah yang tidak dijangkiti oleh virus politik Umno.
Beliau menyatakan demikian sebagai repons kepada kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad bahawa rasuah berleluasa di dalam pemilihan Umno.
Tambahnya, suatu ‘over haul’ total sekalipun , sukar dapat diharapkan dari pemilihan Umno di peringkat manapun.
“Wadah politik yang boleh mengganti Umno hanya boleh dihadirkan melalui wadah yang dipimpin oleh insan soleh dan berketerampilan kelas negarawan mukmin,” ujarnya lagi.
Berikut kenyataan penuh beliau.
“Korupsi berleluasa. Letih sebab duit banyak turun. Tak turun duit, tak dipilih," inilah pernyataan Tun Mahathir yang dilaporkan oleh media yang akhirnya menjelaskan inilah penyakit Umno yang hampir mustahil dikikis.
Hari ini dikatakan suatu sejarah Umno dimulakan bila undian dari cawangan dan bahagian memilih ahli MT. Pada hakikatnya tidak ada yang baru dari segi politik Umno. Yang baru hanyalah kuantum politik wang yang beredar. Sekarang kos untuk meningkat kemungkinan calon menang menjadi lebih besar. Bilangan yang perlu “dibela" menjadi lebih berat.
Dari sistem mengundi MT melalui perwakilan dan bertukar kepada sistem mengundi langsung dari ahli di peringkat cawangan dan bahagian, politik wang sudah sebati dengan Umno. Politik wang adalah nyawa Umno.
Yang merunsingkan ialah pemimpin-pemimpin Umno tetap mendabik dada memperjuangkan bangsa Melayu.
Persoalannya apakah yang dapat diharapkan dari sebuah wadah politik yang melahirkan sejumlah pemimpin yang bergelumang dengan politik wang memungkinkan nasib bangsa Melayu dan maruah negara boleh terbela.
Politik wang adalah serupa dengan pasaran bebas. Di mana keuntungan paling tinggi dapat diraih ke situlah sokongan akan menumpu. Pertimbangan menjaga maruah bangsa, memelihara kepentingan negara pada hakikatnya adalah senarai terke bawah dalam keutamaan aktivis Umno.
Bukan sahaja calon terpaksa mengguna dana yang cukup tinggi malah pelbagai agen calon dan broker politik berkeliaran mencari peluang memanfaatkan keadaan terbaik untuk mendapat keuntungan lumayan.
Dalam Umno virus "percatutan politik" ( political profiteering ) tidak boleh dibunuh. Ia sudah menyatu dalam Umno bagaikan lagu dan irama, jiwa dan raga. Malah ia sangat menjadi-jadi sejak Mahathir mengambil alih. Ia barah terminal dan melumpuhkan seluruh daya tahan tubuh Umno persis Aids politik yang membawa maut.
Malangnya yang sangat dikesali, dengan virus yang menjangkiti tubuh Umno itu pula, ia mengheret bangsa Melayu dan negara sendiri ke ambang kebangkrapan nilai sosio-budaya dan politik sekaligus mengadai maruah negara dan meluncurkan negara menjunam ke gaung hina dan nista.
Politik Umno dibudayakan dalam pentadbiran negara dan tabiat bangsa Melayu. Penyakit Umno disuntik malah dalam dunia ilmu, media, intelektual dan ruang akademik itu sendiri. Malah dalam pentadbiran agama juga tidak selamat dari penyakit tabiat Umno yang merosakkan.
Inilah anehnya bila Mahathir melahirkan kekesalannya mengenai pilihan dalam Umno yang meletihkan.
Melabur dalam politik dan kemudiannya meraih "dividen politik" dalam bentuk projek dan peluang besar untuk mengkayakan diri adalah sebati dengan Umno. Perubahan untuk menyuntik darah baru dan angkatan muda yang lebih dinamik dan bermacam slogan yang muluk-muluk hanya retorik kosong.
Yang berleluasa ialah politik bodek, politik ampu dan politik kroni. Bukan politik ilmu, jauh sekali politik pengorbanan.
Jika adapun sedikit kesungguhan oleh mana-mana pihak untuk membawa perubahan sebenar, bakal pasti akan disingkirkan.
Sebab itu tidak ada yang mahu perubahan yang sesungguhnya boleh membanteras barah itu sampai ke akar. Kepentingan peribadi terlalu tinggi untuk dilepaskan jika perubahan benar-benar digerakkan.
Jauh sekali untuk menanam politik ‘takut Allah’ atau ‘politik takut hisab di akhirat’. Itu semua menyakitkan telinga dan dianggap hanya sesuai dileterkan di masjid dan surau semata-mata.
Politik sebenar dalam Umno adalah politik peluang. Peluang naik pangkat dan raih gelaran dan politik membolot kekayaan.
Kami merakamkan pernyataan bahawa keperluan yang mendesak jika bangsa Melayu mahu selamat ialah dengan merehatkan Umno. Rehatkan Umno dari kuasa yang sudah menguasai seluruh darah daging, urat nadi dan saraf Umno sehingga nyawanya perlu dipulih bukan setakat melalui ‘sistem sokongan’ dengan rawatan ICU , malah perlu kepada pembedahan major dan penggantian organ dan darah yang sangat kritikal.
Alternatif perlu dicari dari wadah yang tidak dijangkiti oleh virus politik Umno . Suatu "over haul" total sekalipun , sukar dapat diharapkan dari pemilihan Umno di peringkat manapun. Wadah politik yang boleh mengganti Umno hanya boleh dihadirkan melalui wadah yang dipimpin oleh insan soleh dan berketerampilan kelas negarawan mukmin.
Umno rasuah dari dulu, setuju dengan Mahathir
Harakahdaily, | 18 Okt 2013 |
KUALA LUMPUR: Penulis politik, Aspan Alias bersetuju dengan Dr Mahathir yang politik wang sememangnya satu fenomena lama dalam Umno.
Ia berlaku semasa beliau menjadi Presiden parti itu lagi, tetapi mereka tidak akan mengaku menerima atau memberi wang dalam pengundian itu.
“Jarang-jarang saya bersetuju dengan pandangan Dr Mahathir ini, tetapi isu politik wang sekarang ini saya bersetuju dengan beliau,” tulis beliau di dalam blognya.
Menurutnya, politik wang masih berlaku tetapi tidak mempunyai bukti untuk diketengahkan.
Baginya, rasuah dan Umno itu ibarat aur dengan tebing, saling menyandar diantara satu dengan yang lain.
Tambahnya, tiada Umno tiada rasuah besar, dan jika tiada rasuah besar Umno akan hilang di muka bumi ini.
“Rasuah sahaja yang boleh menyelamatkan Umno itu. Jika ada pun cara lain untuk mengelakkan permainan wang dalam politik ini ialah dengan mengenepikan semua pemimpin Umno dalam pemilihan parti itu,” ujarnya.
Justeru, menurut Aspan, pemimpin-pemimpin Umno yang baik tidak mahu bertanding kerana ahli-ahli dan perwakilan sudah dibudayakan memberikan undi kepada mereka yang menghulur wang rasuah dalam pemilihan.
Oleh itu, ujarnya tidak ada ruang untuk pemimpin bersih untuk mengambil alih kepimpinan Umno itu jika tidak dibantu oleh parti-parti yang insaf dalam BN itu.
“Dalam hal ini Dr Mahathir kena bersetuju dengan saya pula,” ujarnya lagi.
Baca di sini
Ia berlaku semasa beliau menjadi Presiden parti itu lagi, tetapi mereka tidak akan mengaku menerima atau memberi wang dalam pengundian itu.
“Jarang-jarang saya bersetuju dengan pandangan Dr Mahathir ini, tetapi isu politik wang sekarang ini saya bersetuju dengan beliau,” tulis beliau di dalam blognya.
Menurutnya, politik wang masih berlaku tetapi tidak mempunyai bukti untuk diketengahkan.
Baginya, rasuah dan Umno itu ibarat aur dengan tebing, saling menyandar diantara satu dengan yang lain.
Tambahnya, tiada Umno tiada rasuah besar, dan jika tiada rasuah besar Umno akan hilang di muka bumi ini.
“Rasuah sahaja yang boleh menyelamatkan Umno itu. Jika ada pun cara lain untuk mengelakkan permainan wang dalam politik ini ialah dengan mengenepikan semua pemimpin Umno dalam pemilihan parti itu,” ujarnya.
Justeru, menurut Aspan, pemimpin-pemimpin Umno yang baik tidak mahu bertanding kerana ahli-ahli dan perwakilan sudah dibudayakan memberikan undi kepada mereka yang menghulur wang rasuah dalam pemilihan.
Oleh itu, ujarnya tidak ada ruang untuk pemimpin bersih untuk mengambil alih kepimpinan Umno itu jika tidak dibantu oleh parti-parti yang insaf dalam BN itu.
“Dalam hal ini Dr Mahathir kena bersetuju dengan saya pula,” ujarnya lagi.
Baca di sini
Ulang tahun ke-23 Kelantan Membangun Bersama Islam
Wan Nik Wan Yussof, | 19 Okt 2013 |
TANGGAL 21 Oktober 2013, genap 23 tahun Kelantan ditadbir berpandukan dasar Membangun Bersama Islam. Suatu tempoh yang cukup untuk berbangga dengan kejayaan yang dicapai. Di samping tidak harus dilupakan juga pahit getir cabaran yang dihadapi sepanjang kepimpinan ulama menerajui kerajaan negeri Kelantan.
Namun, ulang tahun ke-23 kali ini agak signifikan kepada kerajaan dan rakyat negeri Kelantan. Ia berikutan perubahan pucuk kepimpinan ulama daripada Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada kepimpinan baru yang diamanahkan kepada Ustaz Haji Ahmad Yakob.
Sebelumnya, Tuan Guru Nik Abdul Aziz dipilih sebagai Menteri Besar Kelantan selepas PAS bersama-sama Angkatan Perpaduan Ummah meraih kemenangan besar pada pilihan raya umum 21 Oktober 1990. Sementara pada pilihan raya umum ke-13 (5 Mei 2013) yang lalu, Tuan Guru telah bersara selepas 22 tahun 6 bulan 14 hari berkhidmat. Sepanjang khidmatnya, Tuan Guru telah menampilkan kepimpinan yang berjaya memartabatkan dasar dan peraturan Islam dalam kerajaan negeri mahupun di kalangan rakyat Kelantan.
Ketika Tuan Guru menerima amanah selaku Menteri Besar, beliau berusia 59 tahun dan pada tarikh persaraan (5 Mei lalu) usianya 82 tahun. Satu usia yang cukup matang bersama-sama dengan pengalaman kepimpinan ulama yang diterajuinya di peringkat kerajaan negeri mahupun peringkat parti Islam (PAS).
Justeru Ustaz Ahmad adalah penerus dan pewaris amanah kepimpinan ulama yang cukup layak. Beliau adalah pelapis yang rapat dengan Tuan Guru sejak mula-mula PAS bangkit memperkenalkan kepimpinan ulama (1982).
Pengalaman Ustaz Ahmad bersama-sama pentadbiran Tuan Guru (menyertai kabinet kerajaan negeri) telah bermula setelah beliau dipilih sebagai ahli Dewan Negeri Kelantan pada pilihan raya umum 1995 mewakil Dun Pasir Pekan. Kemudian dilantik sebagai ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan pada 1997, iaitu selepas pembubaran parti Semangat 46 yang membawa keluarnya Angkatan Perpaduan Ummah dari kabinet kerajaan negeri.
Bakat dan kepimpinan Ustaz Ahmad mendapat perhatian Tuan Guru yang kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Menteri Besar selepas pilihan raya umum 2004. Beliau menggantikan Ustaz Abdul Halim Abd Rahman yang telah bertanding di parlimen Pengkalan Chepa.
Kini beban amanah kepimpinan kerajaan negeri disambung dengan gigih oleh Ustaz Ahmad. Beliau sedia dibantu oleh saf ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan dan para pegawai yang sudah serasi dan sedia menghayati teras ubudiyah, masuliah dan itqan dalam urus tadbir yang dicetuskan oleh Tuan Guru.
Kajian keyakinan
Sehubungan dengan Kelantan menyambut ulang tahun ke-23 pentdbiran Membangun Bersama Islam ini, satu kajian keyakinan rakyat kepada kepimpinan baru telah dilakukan oleh Pusat Kajian Strategik pada bulan Ogos yang lalu. Kajian yang melibatkan 937 responden yang mewakili tiga lokasi utama, iaitu kawasan Bandar (366 responden), pinggir bandar (361 responden) dan luar Bandar (210 responden). Ia juga mewakili pelbagai peringkat umur dan kaum.
Kajian itu telah mengemukakan empat isu pokok berkenaan kepimpinan dan peralihan kepimpinan daripada Tuan Guru kepada Ustaz Ahmad. Pertama berkenaan gabungan kepimpinan kerajaan negeri antara ulama dan iktisas, keduanya mengenai integriti dan urus tadbir tanpa rasuah, ketiganya kepimpinan baru sebagai penerus imej Islamik yang diasaskan oleh Tuan Guru dan keempat berkenaan keupayaan kepimpinan baru dalam menguruskan pentadbiran dan pembangunan negeri ke arah yang berkat, makmur dan kebajikan.
Oleh itu, kajian tersebut telah mendapati rata-rata responden memberi maklum balas yang agak positif di atas peralihan dan kepimpinan baru keajaan negeri Kelantan. Penemuannya (sikap positif), di atas isu gabungan kepimpinan (77.7 peratus), mengenai integriti dan urus tadbir (72.2 peratus), kepimpinan penerus imej Islamik (86.7 peratus) dan keupayaan menguruskan pentadbiran dan pembangunan negeri (80.6 peratus).
Ustaz MB
Berikutan penemuan kajian itu, ia memberi petanda betapa keyakinan (agak positif) rakyat itu sebagai dorongan untuk tidak selesa dengan keputusan pilihan raya lalu. Ia suatu keberkatan daripada kepimpinan Tuan Guru. Justeru tugas berat kepimpinan baru Ustaz Ahmad adalah meneruskan kemakmuran dan asas-asas berkebajikan negeri bagi menyambung segala usaha yang telah dibuktikan oleh Tuan Guru.
Di atas komitmen itu, Ustaz Ahmad yang dipopularkan juga dengan panggilan Ustaz Menteri Besar (Ustaz MB) tidak menunggu lama bagi melakukan penambah baikan pentadbiran. Fokus utama adalah mempastikan harapan rakyat di sebalik mandat dan kepercayaan daripada pilihan raya umum lalu dilaksanakan.
Sehubungan itu, pihak Ustaz MB telah mengarahkan agensi pelaksana di bawah setiap ahli majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dapat digerakkan secara maksimum. Tujuannya bagi mempastikan lebih daripada 50 program dan projek yang terkandung dalam sembilan tawaran (manifesto) pilihan raya umum ke-13 yang lalu dapat dijayakan. Di samping kesemua komitmen Tuan Guru sebelum ini (misalnya projek lebuh raya, bekalan air, pembinaan stadium dan seumpamanya) diteruskan dan diambil tindakan serius ke arah mencapai realiti.
Sambutan ulang tahun
Oleh kerana itu, sambutan ulang tahun ke-23 ini diadakan sebagai membuka ruang untuk kepimpinan baru kerajaan menzahirkan komitmen. Di samping pelbagai lapisan rakyat diberikan ruang untuk menyampaikan harapan dan pandangan demi memacu perjalanan kerajaan berjaya di bawah dasar Membangun Bersama Islam.
Sambutan yang dijadualkan sehari suntuk bermula daripada pagi sampai lewat malam akan diadakan di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV akan dimulakan dengan majlis perasmian oleh menteri besar. Ia diikuti dengan majlis penghargaan kepada Tuan Guru selaku mantan menteri besar. Kemudian pada sesi petangnya akan diadakan pelbagai persembahan seni warisan dan ucapan daripada pelbagai lapisan rakyat termasuk pertubuhan bukan kerajaan. Sementara di sebelah malamnya pula akan diadakan ceramah umum pimpinan parti-parti Pakatan Rakyat.
Harapannya, sambutan ulang tahun ke-23 pentadbiran Membangun Bersama Islam negeri Kelantan pada kali ini menatijahkan semangat dan keazaman tinggi pemimpin dan rakyat untuk terus bersama kepimpinan ulama. Semoga rahmat-Nya menjadikan Kelantan terus utuh dengan keberkatan, kemakmuran dan kebajikan bersama pemimpin dan rakyatnya.
_________________
Wan Nik Wan Yussof ialah Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan