Pinda Auku, lantik badan bebas pantau p'raya kampus
Ahmad Zamri As'ad Khuzaimi, | 17 Okt 2013 |
Bayangkan bagaimana di kebanyakan kampus IPTA, meskipun peraturan pilihanraya tidak membenarkan calon-calon bertanding secara berkumpulan dan parti-parti politik pelajar tidak dibenarkan untuk wujud di dalam kampus, parti ASPIRASI ditubuhkan secara rasmi sebagai sebuah persatuan berdaftar di dalam kampus. Bahkan pegawai-pegawai Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan pengetua-pengetua kolej kediaman biasanya dilantik menjadi penasihat kepada ASPIRASI dalam keadaan pegawai-pegawai HEP dan pengetua-pengetua tersebut pada masa yang sama merupakan petugas-petugas yang dilantik untuk mengendalikan pilihanraya kampus. Hal ini samalah seolah seolah-olah Ketua Umno Bahagian dilantik sebagai Pengerusi atau Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)! Pegawai-pegawai universiti khususnya yang bertugas di HEP ini giat menjalankan peranan untuk memastikan ASPIRASI menang di dalam pilihanraya kampus.
Bagi menjayakakan hasrat tersebut, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) (sekarang Kementerian Pendidikan) melalui Jabatan HEP di IPTA-IPTA sejak beberapa tahun yang lalu telah memperkenalkan beberapa peraturan baru yang amat berat sebelah dan amat tidak munasabah serta menjadikan pilihan raya kampus lebih rendah martabatnya daripada proses memilih pengawas atau pun ketua darjah di sekolah rendah.
Penguatkuasaan secara selektif peraturan-peraturan ini sentiasa menimbulkan pertikaian di samping memberikan banyak advantage kepada calon-calon ASPIRASI, antaranya :
1. Rapat umum dan kempen pidato terbuka bagi calon memperkenalkan dirinya dan manifestonya telah dimansuhkan dan diganti dengan kempen pidato melalui rakaman video yang mana kandungan ucapan calon hendaklah disahkan terlebih dahulu oleh HEP. Tetapi pada masa yang sama calon-calon ASPIRASI dibenarkan berkempen secara terbuka di kolej-kolej kediaman melalui majlis-majlis kempen yang dianjurkan secara rasmi oleh pengetua kolej kediaman.
2. Pusat pembuangan undi yang selama ini diletakkan di fakulti-fakulti di mana dekan-dekan fakulti bertindak selaku pegawai pengurus pilihan raya (returning officer) telah dipindahkan ke kolej-kolej kediaman di bawah seliaan pengetua-pengetua kolej yang berkebetulan turut menjadi penasihat kepada parti ASPIRASI di peringkat kolej kediaman. Sedangkan tindakan memindahkan pengendaliaan pilihan raya ke kolej kediaman di bawah seliaan pengetua kolej adalah jelas bertentangan dengan Artikel 48 (2)(a) Jadual Pertama, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU).
3. Proses pengundiaan dan pengiraan undi menimbulkan persoalan dari segi ketelusan di mana terdapat kampus-kampus yang menjalankan pengundian secara online (E-Voting) dan terdapat juga aduan oleh mahasiswa di mana agen mengira undi (counting agent) calon-calon tidak dibenarkan lagi untuk memeriksa kertas undian mengikuti pengiraan undi dari dekat sebagaimana yang dibenarkan sebelum ini. Di kebanyakan universiti pengiraan undi dijalankan oleh kakitangan kolej dan HEP dengan cara yang tergesa-gesa dan penuh kerahsiaan dan menimbulkan banyak persoalan dari segi ketelusannya.
4. Poster-poster dan kain rentang calon-calon yang bertanding telah diseragamkan bentuk dan saiznya dan diuruskan sepenuhnya oleh Jawatankuasa Pilihanraya yang berada di bawah HEP.
5. Proses pengisian borang penamaan calon telah diperketatkan prosedurnya dengan calon-calon perlu mendapatkan pengesahan dari pengetua kolej dan pegawai-pegawai HEP. Terdapat banyak kes calon-calon bukan ASPIRASI dinafikan hak untuk mendapatkan tandatangan pengesahan oleh pegawai-pegawai HEP dan Pengetua Kolej atas pelbagai alasan yang tidak masuk akal. Terdapat juga IPTA-IPTA tertentu yang mewajibkan bakal-bakal calon untuk menghadiri kursus-kursus tertentu yang berunsur brainwash ala-BTN yang sarat dengan propaganda politik perkauman dan pro-BN.
6. Tempoh kempen telah disingkatkan kepada hanya dua hari setengah sahaja berbanding dengan sekurang-kurangnya 7 hari sebelum ini. Tempoh singkat ini tidak mencukupi bagi calon-calon yang bukan dari kumpulan ASPIRASI. Sedangkan calon-calon ASPIRASI yang dibantu kempen mereka oleh pentadbir universiti telah mula berkempen sejak dari permulaan semester lagi melalui Minggu Orientasi.
Dalam suasana ianya dilaksanakan dengan tidak memenuhi standard asas sebuah pilihanraya yang bersih dan adil, pilihanraya kampus tidak lagi dilihat sebagai medan memperkenalkan dan mendidik mahasiswa kepada perjalanan sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini. Pilihanraya kampus sekarang ini tidak lebih dari sekadar formaliti tahunan untuk mengesahkan penguasaan kumpulan politik mahasiswa yang pro Barisan Nasional bagi membolehkan Barisan Nasional khususnya Umno mendabik dada mendakwa kononnya mahasiswa dan generasi muda menyokong mereka. Meskipun saban tahun aktivis-aktivis mahasiswa membangkitkan ketidakadilan dalam perjalanan pilihanraya yang dikendalikan oleh Kementerian Pengajian Tinggi melalui Jabatan HEP kampus-kampus IPTA, tetapi keadaan tetap tidak berubah dan setiap kali berlangsung pilihanraya kampus, kita akan mendengar aduan terhadap penglibatan langsung KPT dan juga pegawai-pegawai kanan universiti dengan kerjasama Umno bagi memastikan pilihanraya kampus dimenangi sepenuhnya oleh ASPIRASI.
Hakikatnya, pilihan raya kampus di Malaysia tidaklah menyaksikan pelajar bertanding sesama pelajar, tetapi ianya adalah perlawanan di antara satu kumpulan pelajar yang serba daif melawan seluruh jentera universiti dan juga kementerian yang sudah tentulah satu pertembungan yang amat tidak adil dan tidak seimbang. Mungkin seluruh dunia akan memperlecehkan Malaysia jika mereka mengetahui beginilah caranya kita membentuk dan mengajar barisan pelapis kepimpinan negara untuk menang pilihan raya dengan cara menipu dan menekan lawan.
Dalam keadaan berlaku ketempangan di dalam pengendalian perjalanan pilihanraya kampus, maka tidaklah mengejutkan sekiranya KPT ataupun pihak pengurusan IPTA-IPTA begitu berkeras untuk tidak membenarkan proses pilihanraya kampus yang dikendalikan dipantau atau diaudit oleh mana-mana badan bebas. Untuk rekod, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) pernah menerbitkan suatu laporan bertajuk "Report on the Allegations of Unfair Practices in Relation to University Elections" pada penghujung tahun 2004 di mana laporan tersebut telah memuatkan berbagai senarai laporan 18 salah laku dan penyelewengan yang di dakwa berlaku semasa pilihan raya kampus sesi 2003/2004. Laporan tersebut juga menyebut bahawa SUHAKAM telah menulis surat kepada 11 buah IPTA untuk mendapatkan penjelasan berhubung dengan salah laku dan penyelewengan semasa pilihan raya tersebut, tetapi malangnya, hampir kesemua IPTA terbabit tidak mempedulikan langsung surat yang dihantar oleh SUHAKAM.
Logik yang dapat disimpulkan, sekiranya kesemua 18 salah laku tersebut adalah tidak benar dan hanya rekaan, maka sudah tentulah kesemua IPTA terbabit akan menafikan sekeras-kerasnya. Ataupun tindakan yang paling bijak ialah membenarkan SUHAKAM memantau sendiri perjalanan pilihan raya kampus bagi sesi-sesi seterusnya. Tetapi jelaslah bahawa IPTA-IPTA tersebut cuba menyembunyikan sesuatu dan amat takut sekiranya segala bentuk ketidakadilan yang dilakukan semasa mengendalikan pilihanraya kampus diketahui dan didedahkan oleh SUHAKAM.
Berdasarkan kepada fakta-fakta di atas, JUHAM merasakan HEP sudah hilang wibawa dan integriti untuk mengendalikan pilihanraya kampus. Justeru, JUHAM mendesak supaya pilihanraya kampus bermula pada sesi depan tidak lagi dikendalikan oleh HEP yang terbukti selama ini hanya berperanan melaksanakan pilihanraya kampus yang mudah untuk dimenangi oleh ASPIRASI. JUHAM mencadangkan AUKU dipinda bagi mewajibkan setiap kampus menubuhkan suatu jawatankuasa atau badan bebas khusus untuk mengendalikan pilihanraya kampus di mana badan bebas terdiri dari kalangan mahasiswa dan ahli akademik yang berkecuali. Selain itu, pihak IPTA juga wajib membenarkan pilihanraya kampus dipantau perjalanannnya oleh pemantau pilihanraya samada dari dalam atau luar negara. JUHAM melihat hanya dengan cara ini maka pilihanraya kampus benar-benar dapat dijalankan secara adil, telus dan bersih.
*Penulis adalah Pengarah Jabatan Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (Juham) Dewan Pemuda PAS Malaysia
Meremajakan Umno: Siapa yang nak meremajakan tu?
Aspan Alias, | 17 Okt 2013 |
Di sana sini kita mendengar UMNO sepatutnya di remajakan bagi menempuh zaman baru yang penuh mencabar kini. Apa dia remaja itu? Adakah ia dimaksudkan parti itu dan pimpinannya mesti dipenuhi oleh mereka yang remaja sahaja. Ada pula yang berkata yang dewasa juga perlu dalam parti untuk mengimbangi kedudukan kepimpinan parti. Adakah ini bermaksud hanya yang tua-tua sahaja yang mesti berada dikepimpinan parti?
Kalau kita hendak meremajakan parti dengan mengumpulkan orang muda-muda sahaja dalam parti dan kepimpinannya, cuba beritahu kita apa yang mereka boleh melakukan perkara yang melebihi dari orang tua-tua dan dewasa? UMNO selama ini sememangnya dipenuhi oleh orang yang remaja tetapi ia tetap jatuh sokongan dari orang ramai.
Mukhriz memberikan alasan kejayaan merampas Kedah dari Pakatan Rakyat bukan isu yang kecil, maka beliau sepatutnya berada di jawatan Naib Presiden. Mukhriz jadikan kemenangan di Kedah itu sebagai penyebab yang beliau wajar dijadikan Naib Presiden partinya.
Tetapi perlu diingat pemimpin-pemimpin UMNO dahulu lebih besar kejayaan dan pencapaiannya. Malah pimpinan dahulu telah berjaya merampas kuasa bagi seluruh negara pada tahun 1957 dahulu dan ramai di kalangan mereka yang mengusahakan kejayaan itu tidak pernah menduduki jawatan Naib Presiden itu.
Sesungguhnya yang dimaksudkan meremajakan parti itu ialah pemimpin yang boleh memahami kehendak rakyat semasa mengikut kemahuan dan kehendak waktu sekarang. Itu yang dimaksudkan meremajakan parti itu. Remaja tidak semestinya datang dari orang muda. Saya selalu berbincang tentang isu ini, bukan untuk apa tetapi untuk keperluan sendiri kerana saya perlu ‘keeping abreast’ dengan keadaan masa sekarang dan yang akan datang.
Yang berumur lima puluh tahun tidak semestinya lebih muda dari mereka yang dalam umur enam puluhan. Kenapa saya berkata begitu? Yang menyebabkan seseorang itu tua atau muda bergantung kepada organ-organ seseorang itu. Ramai yang sudah lama hidup menjangkau umur tujuh puluh tahun tetapi organ-organnya masih muda dan berfungsi dengan baik. Organ yang terpenting tentulah otak dan pemikiran.
Mereka yang mempunyai organ-organ penting di dalam tubuhnya yang masih muda dan berfungsi dengan baik itu lebih baik dari mereka yang masih muda tetapi mempunyai banyak ‘dysfunctional organs’ dalam tubuhnya. Dalam kepimpinan kesihatan tubuh dan organ-organ dalam kepimpinan itu amat perlu, terutamanya orang seperti otak yang membolehkan seseorang itu berfikir dengan baik untuk meremajakan parti itu dan mana-mana parti sekali pun.
Kesihatan tubuh dengan mempunyai oragan-organ yang muda dan remaja amat perlu walaupun usianya sudah tinggi. Orang yang muda tidak semestinya boleh meremajakan parti kerana ramai di kalangan yang muda pada hari ini tidak mampu meremajakan parti dengan kelemahan pemikiran mereka. Ramai yang muda masih tidak dapat mengakui bahawa agama kita melarang kita bersikap rasis dan rasuah.
Bagaimana mereka ini boleh meremajakan parti jika masih bergelut dengan rasuah kerana mereka yang remaja pemikirannya akan menerima kejahatan rasuah itu merupakan sikap yang sudah tua dan jauh dari meremajakan parti. Jika pemimpin yang masih muda tidak memahami keadaan dunia sekarang ini, itu bukan pemimpin yang remaja, kerana pemimpin yang remaja akan memahami yang cara politik sekarang ini sudah berubah.
Saya terjumpa beberapa orang yang tidak menerima orang itu dan orang ini sebagai pemimpin kerana mereka sudah tua. Tetapi semasa saya bercakap dengannya saya tahu dia baru balik dari hospital dan akan melakukan pembedahan hati kerana organ hatinya sudah tua walaupun dia baru berusia lima puluh empat tahun. Ia bemakna dia lebih tua dari pemimpin yang masih sihat walaupun berusia enam puluh lima tahun kerana dia ini mempunyai organ yang terlalu tua dan memerlukan pembedahan.
Ada yang mengatakan orang itu sudah tua walaupun sihat tetapi yang mengata ini sudah kehilangan giginya lebih dari sepuluh batang. Oleh yang demikan siapa yang tua dan siapa yang remaja?
Tetapi organ yang terpenting yang perlu untuk remaja ialah pemikiran dan jiwa walaupun jiwa itu bersifat maknawi. Organ-organ yang remaja serta jiwa yang sentiasa bersih dan mampu berfikir dan melakukan sesuatu yang baik kepada rakyat dan negara itu merupakan pemimpin yang sentiasa remaja walaupun mereka sudah melampaui enam puluh tahun misalnya.
Ramai anak-anak muda masih dibuai dengan cara berfikir lama dan ini menyebabkan parti-parti yang mereka pimpin itu tidak remaja. Remaja atau sebaliknya kepimpinan itu terpulang kepada kemampuan organ-organ penting seperti otak dalam tubuh kita itu mampu berfungsi mengikut waktu dan zamannya.
Kalau disabitkan isu ini dengan UMNO, ia merupakan isu yang paling penting yang perlu ditangani oleh Pemudanya, kerana yang muda-muda dalam UMNO tidak mempunyai pemikiran untuk meremajakan partinya. Mereka lebih menumpukan bermain politik, aku orang ini, dia orang itu. Walaupun muda mereka masih tidak mampu meremajakan pemikiran mereka jauh sekali untuk meremajakan partinya.
Jika itulah alasan Mukhriz untuk menjadi Naib Presiden UMNO elok kita fikirkan apakah benar itu matlamatnya menjadi Naib Presiden itu? Apa bila orang bercakap tentang kerajaan parti masing-masing bercakap tentang keremajaan parti, sedangkan baik dari pimpinan tertinggi sehinggalah kepada kepimpinan terendah mereka masih berfikiran dengan tindakan yang ‘outmoded’ yang tidak selari dengan kehendak rakyat dan negara yang mereka kelolakan.
Pendeknya yang banyak umurnya tidak semestinya tidak mampu meremajakan negara dan parti, dan yang muda pula tidak semestinya mempunyai nilai dan kemampuan untuk meremajakan partinya atau pun negaranya.
Jiwa yang remaja itu tidak semestinya dipunyai oleh mereka yang baru dan muda umurnya. Apa yang berlaku dalam UMNO sekarang tidak memungkinkan mereka meremajakan UMNO itu kerana mereka masih mempunyai daya pemikiran tua yang disemai oleh UMNO itu sendiri.
Mereka masih memainkan isu perkauman dan berbagai-bagai isu yang memecah belahkan rakyat, dan tindakan ini sudah pastinya pemikiran yang kuno dan jumud, justeru ia amat jauh dari apa yang dikatakan sebagai keremajaan parti dan negara. Seperti biasa ia hanyalah retorik yang begitu kuno dan ‘outmoded’. - http://aspanaliasnet.blogspot.com
Haji: JKKKP ditaja, warga emas tunggu lama
Aslani M, | 17 Okt 2013 |
Mereka merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan, Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP). Difahamkan ketua Umno terbabit mendominasi sebahagian besar daripada 800 yang ditaja 1MDB menunaikan haji.
Turut disenaraikan dalam rombongan tersebut imam-imam mukim dan penduduk Orang Asal yang beragama Islam.
Kehadiran mereka secara pilihan politik itu menyebabkan kuota jemaah haji yang berjaya mengerjakan haji setiap tahun dikatakan semakin berkurangan.
“Sedangkan kami bersusah payah mendaftar dengan Tabung Haji sejak 2006 lagi. Telah lama pakcik simpan duit dengan harapan dapat mengerjakan tahun ini.
“Namun belum ada lagi dalam senarai jemaah haji tahun ini. Cuba bayangkan sudah tujuh tahun pakcik menunggu untuk mengerjakan ibadat haji, namun tidak lagi kesampaian.
“Tetapi peliknya mengapa pula 800 pemimpin Umno di peringkat kampung tidak perlu mendaftar dalam tempoh agak lama untuk menunaikan haji,” kata Mohamad Yakob, 70 dari Pasir Tumbuh.
(Ikuti pendedahan lanjut dalam Harakah cetak keluaran akan datang)
Bajet 2014: Pemuda PAS tegas tolak GST
Harakahdaily, | 17 Okt 2013 |
“Inilah sifat sebenar transformasi pemerintah yang kononnya mendahulukan rakyat,” ujar ketuanya, Nasrudin Hassan dalam satu kenyataan.
Katanya, setelah bertahun lamanya berada di dalam penafian mengenai status kewangan negara yang semakin parah, kini pemerintah tanpa rasa malu mahu rakyat menebus beban ini dengan program cukai baru biarpun keadaan ini disebabkan kecuaian mereka mengurus fiskal negara.
Beliau berkata, banyak kajian telah merumuskan perlaksanaan GST berisiko mendorong kepada kenaikan kos sara hidup.
Begitupun, ujarnya sisi pandang ini tidak diendahkan kerajaan yang terdesak mengesan sumber baru pendapatan meskipun ianya bermakna rakyat terpaksa menanggung peningkatan harga barangan dan perkhidmatan.
Malah, katanya Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada asasnya menklasifikasikan GST sebagai cukai jenis regresif yang meletakkan kebajikan golongan berpendapatan rendah lebih berisiko terjejas memandangkan harga barangan penting telah meningkat.
Beliau menambah, lebih ironi apabila kaum pekerja masih belum merasai hasil dari strategi ‘negara berpendapatan tinggi’ malah skim gaji minima terus menerus tertangguh.
Katanya, setelah idea-idea transformasi ini tersisih, kini keutamaan kerajaan adalah mengikis pendapatan rakyat dengan memperkenalkan sistem cukai baru.
“Yang membimbangkan kita, rakyat telah sedia terbeban dengan hutang isirumah yang menjangkau 82.9% dari jumlah nominal KDNK, antara yang tertinggi di Asia di samping pertumbuhan pendapatan sebenar yang telah sekian lama mendatar.
“Apakah kita mampu berdepan peningkatan kos sara hidup akibat dari GST?” tanya beliau yang juga Ahli parlimen Temerloh.
Soal beliau lagi, apakah pula insentif bagi rakyat untuk melihat dasar cukai ini dilaksanakan ketika negara berdepan ketirisan, rasuah dan penyalahgunaan kuasa setiap tahun seperti yang didedahkan Laporan Audit, GFI, Transparency International dan sebagainya.
“Apakah dengan kantung kerajaan menjadi lebih besar maka lebih tinggi peluang bagi kroni pemerintah melakukan rasuah dan berbelanja secara semberono?” tanya Nasrudin lagi.
Tegasnya, Dewan Pemuda PAS Malaysia tegas di dalam tuntutan untuk melihat kes-kes rasuah dan pembaziran ditangani terlebih dahulu bagi mengembalikan integriti di dalam amalan urustadbir dan kelola kerajaan sebelum negara bereksperimen dengan sistem percukaian baru.
Perlaksanaan syariat adalah hak asasi umat Islam
Mohammad Faizal Che Yusof, | 16 Okt 2013 |
Yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim AS adalah contoh agung yang perlu kita pasak dalam jiwa, mengumpul iltizam, mengorak langkah berjihad di tanah air sendiri. Apa-apa yang dilakukan oleh baginda bukan perkara biasa-biasa.
Yang jelas, terbelanya Islam dan tertegaknya syariat hanya mampu dicapai dengan ikhtiar yang luar daripada kebiasaan dan keupayaan menaakul di luar kotak.
Apabila kita perhatikan apa yang disebut dalam sidang Dewan Undangan Negeri DUN Kelantan 7-9 Oktober 2013, melaksanakan syariat Allah kini perlu melangkah tahap yang lebih progresif. Apatah lagi ia dituruti pula dengan ingatan dan sentuhan dua Tuan Guru semasa berucap dalam program “56 tahun Merdeka: Ke Mana Hala Tuju Syariah Islam di Malaysia”, di Unisel, Shah Alam pada 12 Oktober 2013.
Yang diimpikan oleh Tuan Guru Mursyidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk melihat undang-undang syariat dilaksanakan harus juga menjadi impian bersama umat Islam. Sebagaimana disebut oleh Tuan Guru Presiden, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang, perlaksanaan syariat amat bergantung kepada kuasa politik. Dalam mengamati politik itu sendiri, kita harus faham bahawa politik adalah perkara-perkara yang berkait rapat dengan kehendak rakyat.
Sebagai umat Islam, tiba masanya kini untuk kita menyedari bahawa pimpinan politik bukan hanya menentukan apa yang mereka inginkan, bahkan mereka perlu melaksanakan apa yang diinginkan rakyat.
Berbalik kepada penerimaan rakyat kepada Parti Islam Semalaysia (PAS), ia bermakna telah ada sekelompok besar dari rakyat Malaysia menerima dan bersedia untuk taat kepada perlaksanaan syariat Islam. Bukan sekadar itu, mandat yang cukup kuat di Kelantan sesungguhnya telah meletakkan perlaksanaan syariat Islam kini berada pada dimensi baru untuk dikuatkuasakan. Ia bukan lagi berada pada tahap sebagaimana PAS mula memerintah sejak 1990 dan kemudian meluluskan Kanun Jenayah Syariah 2 di Kelantan.
Saya akui betapa usaha memberi kefahaman yang cukup, mengadakan hubungan dan penerangan berterusan kepada pelbagai pihak berkenaan syariat Islam adalah perlu. Selanjutnya usaha tersebut tidak boleh bermusim ketika ia hangat menjadi isu semasa sahaja. Selain itu, para pendokong Islam perlu juga keluar dari perangkap secular yang kini menjerat bidangkuasa kita untuk melaksanakan syariat Allah.
Secara tradisinya, kita utuh dengan pendirian untuk melaksanakan syariat sebaik menguasai Dewan Rakyat dan berupaya mendapat sokongan mejoriti untuk meluluskan undang-undang Islam. Untuk sampai ke tahap itu, kita berhadapan dengan cabaran yang bukan mudah di samping kehilangan tenaga yang cukup banyak.
Pada pengamatan saya, itulah jerat secular yang kini telah mengena. Kita dibatasi dengan pemikiran yang lebih menjurus kepada mengecilkan perlaksanaan syariat berbanding melebarkan peluang bagi melaksanakan syariat Islam.
Saya cukup sedar pada waktu ini undang-undang yang telah mantap mengatakan Malaysia adalah sebuah negara sekular sebagaimana disebut dalam banyak kes olah Mahkamah Agung dan Mahkamah Persekutuan. Pun begitu, segalanya belum berakhir. Saya berpegang kepada kepercayaan politik demokrasi iaitu kehendak rakyat menentukan hala tuju pemerintahan.
Bumi Malaysia yang dahulunya dikenali Tanah Melayu telah ada di dalamnya tamadun undang-undang Islam yang cukup ampuh. Bahkan di sebalik berjayanya penjajah memisahkan Islam kepada hal-ehwal awam dan peribadi, mahkamah-mahkamah tertinggi negara masih memperakui bahawa Islam itu bukan sekadar dogma agama bahkan ia adalah suatu kaedah cara hidup.
Peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan termasuklah Perkara 3 berkaitan Islam sebagai agama persekutuan dan Perkara 11 berkaitan hak rakyat menganuti dan mengamalkan kepercayaan agamanya bukan peruntukan-peruntukan yang kaku dan terbatas sebagai hiasan semata-mata. Bukan juga peruntukan-peruntukan tersebut sekadar pengisytiharan tanpa nilai yang amat kukuh. Ia cukup membuka ruang untuk rakyat yang telah memilih PAS sebagai kerajaan di Kelantan dan meletakkan kemenangan calon-calonnya di tempat-tempat lain, menyatakan pendirian bagi menyokong perlaksanaan syariat Allah SWT.
Benar apa yang diucapkan oleh Naib Presiden PAS YB Datuk Paduka Husam Musa dalam sidang DUN Kelantan, perlaksanaan syariat kini perlu melangkah ke suatu tahap yang bukan sekadar kempen politik semasa pilihan raya. Justeru seluruh rakyat yang terdiri dari penyokong dan pengundi PAS, juga seluruh umat Islam kini perlu lebih terbuka dan menyiapkan diri berdiri teguh di belakang kerajaan Kelantan bagi melaksanakan syariat di bumi ini.
Undang-undang kini kian hidup dalam memelihara prinsip-prinsip hak asasi manusia. Apatah lagi menikmati indahnya Islam dengan terlaksana syariatnya di sisi undang-undang adalah suatu hak asasi setiap rakyat yang menganuti Islam. Setiap individu Islam berhak untuk menantikan syariat Allah dilaksanakan,seterusnya disaksikan oleh rakyat lain keseluruhannya. Moga ia mambuka ruang yang seluasnya untuk setiap rakyat menerima dan mematuhi syariat Allah di bumi Malaysia. – 11 Zulhijjah 1434H.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan