Isnin, 21 Oktober 2013

PATUT DAH BUAT....MUNGKIN DAH SIAP KALAU DAH BERMULA LEBIH AWAL

Ustaz Azam Samad calon PAS PRK Sg Limau

Muhammad Faizal, 21 Okt 2013
JERAI: Ketua Pemuda PAS Jerai, Ustaz Azam Samad diumumkan sebagai calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Sungai Limau.

Pengumuman dibuat Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang kira-kira jam 10 malam ini di majlis pengumuman calon di sini.

Ustaz Azam yang juga bekas guru bakal berdepan calon BN Ahmad Sohaimi Lazim.

Ustaz Azam ketika memberikan ucapan sulung malam ini berkata, beliau akan memikul amanah yang diberikan ini sebaik mungkin.

Beliau menegaskan, azamnya untuk meneruskan agenda bekas Menteri Besar Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak sebelum ini.

Beliau juga berharap seluruh jentera Pakatan Rakyat khususnya PAS untuk bekerja keras mengekalkan kemenangan di kerusi tersebut.

Ustaz Azam turut menyeru agar semua pihak menghadapi pilihan raya kecil kali ini dengan penuh harmoni.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 23 Oktober ini sebagai hari penamaan calon, manakala 4 November depan sebagai hari mengundi.

Kerusi DUN Sungai Limau kosong ekoran kematian bekas menteri besar Kedah Tan Sri Ustaz Azizan Razak kerana komplikasi jantung serta jangkitan kencing manis pada 26 September lalu.

Pada pilihan raya umum ke-13 Mei lalu, Azizan mempertahankan kerusi Dun Sungai Limau yang dimenanginya sejak 1995 untuk PAS, dengan menewaskan sepupu beliau Fazillah Mohd Ali yang mewakili BN dengan majoriti 2,774 undi.

Dasar Islam tak bantut perkhidmatan awam - SUK

Aslani M, 21 Okt 2013
KOTA BHARU: Kelantan berjaya menjadi guru sehingga beberapa program yang dilaksanakan di negeri ini menjadi ikutan negeri-negeri lain dan kerajaan persekutuan.

Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Dr Zainuddin Ibrahim berkata, Kelantan memperkenalkan pembaharuan kerja lima hari seminggu dan cuti bersalin tiga bulan.

“Pembaharuan itu telah diikuti kerajaan persekutuan dan negeri-negeri lain. Begitu juga skim pinjaman kenderaan, komputer dan perumahan tanpa faedah.

“Turut menjadi ikutan sistem pajak gadai Islam (Ar Rahnu), pengharaman premis judi, pengawalan penjualan minuman keras, pusat hiburan dan sebagai.

“Ini sebagai petunjuk kepada usaha yang bersungguh-sungguh kerajaan negeri memelihara syariat Islam,” katanya pada sambutan 23 tahun kerajaan Membangun Bersama Islam di sini, hari ini.

Teks ucapannya dibaca Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Datuk Nik Kazin Nik Yusof.

Dr Zainuddin berkata, pelaksanaan dasar Islam bukannya membantut kecemerlangan dalam perkhidmatan awam.

Menurutnya sepanjang 23 tahun pendekatan Islamik yang dilaksana telah membuahkan kejayaan termasuk mencapai tahap empat bintang dalam pelaksanaan star rating pejabat-pejabat SUK seluruh negara pada 2011.

“Tahun ini kita berharap dan berkeyakinan akan mencapai tahap lima bintang dan menjadikan SUK Kelantan sebagai jabatan yang terulung di negara ini,” ujarnya.

Portal negeri Kelantan juga menduduki tempat pertama dalam kedudukan portal antara negeri-negeri seluruh Malaysia pada 2012.

Manakala portal Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam muncul juara mengatasi 793 laman web agensi kerajaan pada tahun lepas.

Kata beliau dalam aspek pengurusan kewangan sebanyak 10 jabatan dan agensi mencapai empat bintang, dan 22 agensi lain serta pihak berkuasa tempatan mendapat sijil bersih dalam penyata kewangan 2010.

23 tahun Kelantan berjaya harungi halangan

Aslani M, 21 Okt 2013
KOTA BHARU: Tanggal 21 Oktober 1990 Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kelantan. Dan hari ini genap 23 tahun sejarah itu berlalu.

Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata, bermula detik tersebut satu permulaan era berlaku di negeri Serambi Mekah.

“Kelantan serta merta menjadi perhatian, bolehkah Islam mentadbir? Sebaliknya selangkah demi selangkah kita menapak ke hadapan.

“Dalam tempoh 23 tahun Tuan Guru Nik Abdul Aziz berjaya mengharungi pelbagai halangan dan karenah dengan jayanya serta meletakkan asas kukuh dan haluan yang jelas.

“Beliau telah meninggalkan satu laluan. Hutan rimba ditebas, semak samun diracun ke akar umbi, rakyat ditanamkan keyakinan cara mentadbir dan memerintah berpandukan hukum syariat,” katanya.

Belia berucap pada sambutan 23 tahun dasar Membangun Bersama Islam di perkarangan Stadium Sultan Muhammad Ke IV hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah, Speaker Dun Kelantan, Abdullah Ya’kub, Pegawai Kewangan, Datuk Faudzi Che Mamat, anggota-anggota Exco dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Nik Kazin Nik Yusof serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Program sambutan bermula dengan munajat dan solat hajat jam 3.30 pagi tadi. Solat hajat diimamkan Ustaz Nik Razi Nik Mat dari Pusat Pengajian Pondok Kandis.

Menteri Besar berkata, tugas beliau bersama barisan pimpinan meneruskan perjalanan dengan membawa visi dan misi yang diasaskan mantan Menteri Besar.

Visi kerajaan negeri menjadikan Kelantan sebagai sebuah negeri yang terlaksananya nilai-nilai hidup Islam dan mendapat keredhaan Allah.

Manakala misi melaksanakan agenda pembangunan negeri dan ummah berdasar ajaran Islam yang syumul melalui pembangunan insan serta perancangan strategik.

“Kerajaan negeri telah menggubal satu wawasan bagi tempoh 2013-2018 untuk membolehkan rakyat Kelantan menikmati keberkatan, kemakmuran dan kebajikan, penuh bermaklumat serta hidup sejahtera.

“Usaha itu digembling dengan mengoptimumkan hasil menerusi amalan urus tadbir yang cekap, telus dan berintegriti selari dengan visi, misi dan objektif dasar Membangun Bersama Islam,” ujarnya.

Dan gerak kerjanya meliputi usaha dilakukan bagi menguat dan mengembangkan agama, kedua, menggantikan ketakutan dengan keamanan.

Ketiga, keluasan kepada rakyat untuk melakukan ibadat kepada Allah SWT.

Kata beliau kerjasama yang utuh jentera pentadbiran negeri amat diperlukan bagi memastikan dasar Membangun Bersama Islam yang diperkenal 23 tahun lalu kekal menjadi asas dalam gerak penjawat awam.

Perlu diingatkan ujarnya, sejauh mana pun kita menanamkan cita-cita dan melakukan gerak kerja, Islam sebagai dasar dan asas tidak boleh dikesampingkan.

“Kita tidak gemar bercakap dengan bahasa retorik dan mengumpan dengan keindahan kata-kata sahaja. Kita lebih berminat kepada pelaksanaan janji dan memberikan khidmat terbaik kepada rakyat,” katanya.

Oleh itu berharap agensi pelaksana di bawah setiap Exco digerakkan secara maksimum bagi memastikan lebih 50 program dan projek yang terkandung manifesto pilihan raya umum lalu dapat dijayakan.

“Di samping itu kesemua komitmen Tuan Guru sebelum ini seperti projek lebuh raya, bekalan air, pembinaan stadium dan seumpamanya diambil tindakan serius ke arah mencapai realiti,” katanya.

Lebuhraya Pan-Borneo perlu disegerakan

Hazayani Zakaria, 21 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat (PR) mencadangkan pembinaan Lebuhraya Pan-Borneo yang menyambungkan bandar-bandar di Sabah dan Sarawak disegerakan pembinaannya seawal 2014.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, lokasi kemalangan perlu dikenal pasti untuk diperbaiki dan penyelenggaraan yang berkala juga perlu dilakukan di jajaran lebuhraya berkenaan.

Beliau berkata demikian sewaktu mengumumkan Balanjawan Pakatan Rakyat 2014 di Bangunan Parlimen hari ini.

"Pakatan Rakyat  percaya peningkatan penyambungan sama ada dari segi perhubungan seperti internet, mahupun perhubungn fizikal seperti lebuh raya adalah amat perlu untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang lebih seimbang, mampan dan inklusif," katanya yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Beliau juga berkata, polisi kabotaj untuk Sabah dan Sarawak akan dikaji semula kerana polisi yang lebih baik akan berupaya menurunkan harga kargo dan barang-barang yang masuk atau keluar dari Sabah dan Sarawak, seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.

Selain itu, PR juga akan memberi tumpuan kepada perbekalan air dan elektrik seratus peratus untuk kawasan luar bandar dan bandar terutamanya Sabah dan Sarawak.

Ini akan memastikan bekalan air bersih dan elektrik menerusi penggunaan teknologi solar, kincir angin dan mikrohidro.

Sambut ulang tahun kelahiran Presiden

Ismail Hashim, 21 Okt 2013



SHAH ALAM: Sambutan ringkas ulang tahun kelahiran ke-66 Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang berlangsung malam tadi pada akhir Majlis Dialog Antara Budayawan dan Pimpinan anjuran Lajnah Kebudayaan dan Kesenian PAS Pusat, di sebuah hotel dekat sini.

Kek hari jadi Tuan Guru Abdul Hadi dihadiahkan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Turut hadir Naib-naib Presiden, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar.

Antara budayawan yang hadir pada majlis itu ialah Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said, Dinsman, Raja Ahmad Aminullah dan tokoh korporat,  Raja Idris Kamarudin.

Tiada ulasan: