Sabtu, 26 Oktober 2013

MACAM BETUL AJE

GST: Kewangan negara sangat kritikal

Salmiyah Harun, 26 Okt 2013
JERAI: Ternyata kedudukan kewangan negara sangat kritikal yang menyebabkan Datuk Seri Najib Tun Razak terpaksa memperkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada tahun 2015.

Menurut AJK PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad kerajaan tidak mempunyai komitmen yang lain untuk menurunkan hutang kerajaan pusat melainkan dengan mengaut wang daripada rakyat melalui GST.

Melalui inilah, katanya kerajaan terpaksa perkenalkan GST walaupun sangat dibenci rakyat kerana GST boleh mendatangkan lumayan kepada kerajaan.

"Jika dulu kita dikenakan SST iaitu cukai yang diambil oleh pengimport sahaja tetapi dengan GST ini kerajaan mengaut duit berperingkat-peringkat daripada pengimport, pembekal sehinggalah kepada pengguna iaitu rakyat. Dengan GST sebanyak enam peratus, pasti akan berlaku inflasi," katanya ketika ditemui di Markaz Induk PRK Sungai Limau.

Beliau turut mempersoalkan apa prinsip kerajaan dengan menurunkan cukai korporat dan cukai individu sedangkan cukai dari orang miskin dikaut melalui GST.

"Cukai orang kaya dikurangkan, tetapi ambil cukai dari orang kampung. Ini prinsip salah. Agihan kekayaan diambil dari orang miskin dan mengurangkan dari orang kaya. Salah disisi agama Islam,"katanya.

Hutang kerajaan pusat kini di paras 54.8 peratus daripada KDNK malangnya kerajaan hanya tinggal 0.2 peratus KDNK memandangkan Akta Pinjaman 1959 mengizinkan hutang kerajaan persekutuan tidak boleh melebihi paras 55 peratus KDNK.

GST: Kerajaan tidak berlaku adil kepada rakyat

Harakahdaily, 26 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, walaupun beliau berbesar hati dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam pembentangan Bajet 2014 itu untuk menambah peruntukan kepada keselamatan, namun tidak ada sebarang langkah khusus untuk mengatasi masalah rasuah yang berleluasa.

Beliau juga menyelar tindakan kerajaan melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akhirnya akan menyusahkan rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah dan miskin.

“Malaysia seperti yang kita ketahui dilabel sebagai juara dunia dalam rasuah oleh media barat dan Transparency International, persoalannya kini mengapa tidak ada inisiatif baru ke arah membendung rasuah,” katanya dipetik Roketkini.

Tambahnya, GST pula akan membebankan golongan pertengahan dan miskin negara.

“Di Malaysia, hanya enam peratus penduduk membayar cukai dan hanya 15 peratus daripada pekerja yang bayar cukai. Sekarang semua kena bayar cukai,” katanya.

Katanya lagi, pelaksanaan GST jelas menunjukkan bahawa kerajaan tidak pernah berlaku adil kepada rakyat malah cuba untuk menyukarkan lagi kehidupan mereka.

“Mereka bukan sahaja melaksanakan GST pada April 2015, tapi turut menghapuskan subsidi gula. Pada saya ini bukannya langkah sesuai untuk berjimat,” tegasnya.

Ahli Parlimen DAP Kluang, Liew Chin Tong pula menegaskan, GST sebenarnya tidak membantu ekonomi negara tetapi akan membawa bencana pada ekonomi.

“Belanjawan 2014 ini ternyata tidak mempunyai idea-idea baru tetapi hanya meneruskan model ekonomi yang diamalkan BN sejak dulu.

“Apa yang baru ialah GST, ia sebenarnya tidak membantu ekonomi kita secara keseluruhan, ianya akan mengakibatkan kemelesetan ekonomi.

“Apabila golongan berpendapatan rendah tidak mempunyai wang yang cukup untuk membeli ia akan menyebabkan berlaku ‘domestic consumption’ lebih rendah dan dengan itu akan menyebabkan kemelesetan,” ujarnya yang juga Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP.

Ahli Parlimen DAP Seremban, Anthony Loke Siew Fook pula menyatakan pelaksanaan GST sama sekali tidak diperlukan di Malaysia.

“Saya sudah menjangkakan GST akan diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2014, iaitu selepas Pilihan Raya Umum (PRU), jika mereka lakukan sebelum PRU ia akan membawa masalah kepada mereka, jadi mereka laksanakan sekarang.

“Kami sudah berkali-kali menentang GST ini, ianya sama sekali tidak diperlukan. Walaupun mereka meningkatkan kutipan hasil tetapi perbelanjaan tetap terus naik.

“Saya juga tertanya mengapa tidak ada sebarang langkah diambil untuk mencegah ataupun membasmi ketirisan, pembaziran dan rasuah di dalam sistem kerajaan sedia ada,” ujarnya.

Bajet 2014 gagal perbetul ketirisan, pembaziran

Harakahdaily, 26 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Bajet 2014 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam gagal untuk memperbetulkan ketirisan puluhan bilion wang rakyat daripada berlaku.

Anwar berkata, pengumuman Kerajaan Pusat untuk melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada bermula 1 April 2015 pada kadar 6 peratus hanya akan menambahkan bebanan rakyat.

“Tidak ada pertimbangan untuk memperbetulkan soal kebocoran, ketirisan puluhan bilion, tidak ada soal pembaziran hendak dibetulkan dan juga memperbaiki pengurusan Kerajaan,” ujarnya dipetik Selangorku.

Kata Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, yang terpaksa mereka lakukan kerana kedudukan fisikal yang lemah ialah percukaian.

Tambahnya, GST hanya akan membebankan rakyat bawahan dan akan menambahkan pelebaran jurang kaya dan miskin.

“Keduanya kenaikan harga gula, dengan hujah yang cukup lemah dan remeh sekali,” kata Anwar ketika ditemui di luar Dewan Rakyat, semalam.

Jenayah dah macam filem koboi

Syed Abdullah Syed Osman ,
Nampaknya rakyat Malaysia mesti menghadapi dugaan dan terpaksa mengharungi semuanya itu jika ingin teruskan hidup. Mahu tidak mahu kena nekad menempuhnya.

Apabila kita keluar sahaja dari, rumah bermakna kita akan menghadapi berbagai risiko yang membahayakan diri.

Pertama apabila kita terlibat dengan kemalangan jalan raya. Walaupun kita membawa kereta dengan cermat tetapi disebabkan pemandu lain yang tidak berkhemah dan tidak bertanggungjawab itu terbabas atau  melanggar kereta kita – kita turut menjadi mangsa. Tidak cukup dengan itu apabila berlaku sesuatu kemalangan pun ada juga jenis manusia yang mengambil kesempatan yang mencuri barang berharga mangsa termasuk beg duit yang mangsa bawa bersama. Itu belum lagi adanya sindiket sengaja melanggar keenderaan dan apabila kita keluar dari kereta kita dirompak pula.

Kedua, kita berhadapan dengan risiko rompakan dan ragut barangan walaupun kita berhati-hati tetapi jenayah ini tetap berlaku. Peragut yang kejam itu akan meragut hingga tergamak menendang atau mencederakan mangsa walaupun mereka telah dapat apa yang mereka idamkan.

Ketiga, rasanya kita saperti berada didalam filem klasik 'cowboy' atau filem gengstar Mafia pula apabila sedang duduk sedap bersantai berbual dengan kawan di restoran mamak atau gerai tiba-tiba ada orang menembak ke arah kita tanpa sebab. Yang menyedihkan sasaran bukanlah kepada kita tetapi muka kita ada iras-iras yang hendak dibunuh itu oleh pembunuh umpahan maka kita jadi mangsa tanpa sebab.

Keempat, penculikan terutama sekali kanak-kanak begitu menakutkan. Jikia kita lalai sedikit ketika membawa anak-anak berjalan-jalan, bersantai atau sedang membeli belah boleh mengundangkan padah.

Kelima kecurian keenderaan terutama sekali kereta dan motosikal begitu menjadi-jadi hinggakan ada yang meletakkan keenderaan mereka di perkarangan rumah pun boleh lesap keesokan harinya.

Keenam,apabila kita keluar dari rumah kita juga terdedah dengan sindiket ilmu pukau walaupun ada yang tidak begitu percaya tetapi apabila sudah terkena barulah tersedar duit di dalam bank dan barang kemas boleh lesap kesemuanya dalam sekelip mata sahaja saperti pertunjukan silap mata pula. Apabila terkena pukau bukan sahaja barang yang hilang tetapi kalau silap haribulan maruah diri pun boleh hilang juga apabila dirogol secara 'rela paksa'.

Akhir sekali sekarang ini bukan sahaja bahang bahaya diluar rumah tetapi di dalam rumah kita sendiri pun sudah rasa tidak begitu selamat lagi apabila perompak dapat masuk ke dalam rumah dengan mengugut seisi rumah untuk menyerahkan segala barangan berharga. Ada juga perompak yang ganas mencederakan dahulu mangsa sebelum betanyakan harta benda di mana disimpankan.

Yang tidak sedapnya ialah ada pendatang asing yang datang ke negara ini semata-mata untuk berkerja sebagai peompak dan penyamun profesional dan apabila sudah cukup pendapatan rompakan mereka itu mereka akan kembali kenegara asal mereka. Mengapa mudahnya mereka masuk ke negara ini untuk merompak sedangkan di negara-negara lain tidak pula mereka berani sebegitu rupa?

Bajet Belanjawan Negara 2014 telah memperuntukkan berbilion-bilon ringgit semata-mata untuk pasukan Keselamatan bagi mengatasi jenayah yang semakin meruncingkan dinegara kita ini. Tetapi jika sekiranya jenayah masih tidak dapat ditangani dan bertambah buruk lagi sebaik-baiknya kita laksanakanlah Kanun Jenayah Syariah - kerana hanya hukum Islam sahaja yang paling tepat dan berkesan untuk mengatasi segala kemelut yang kita hadapi. Hal ini kerana Allah memberi jaminan jika kita ikut peraturan dan ajaran Islam sepenuhnya maka perlindungan Allah akan terserlah.

Takziah buat keluarga Allahyarham Datuk Hassan

Harakahdaily, 26 Okt 2013
KUALA LUMPUR: PAS merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mantan Adun Temangan Allahyarham Datuk Ustaz Hassan Mohammad, yang kembali kerahmatullah awal pagi ini.

Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, pemergian Allahyarham sangat dirasai oleh semua ahli gerakan Islam di mana Allahyarham sangat berjasa dalam bidang pendidikan di Kelantan.

"Sesungguhnya jasa beliau dalam memartabatkan pendidikan di negeri Kelantan adalah amat besar dengan melahirkan ribuan pelajar-pelajar aliran agama di negera kita ini.

"Marilah kita berdoa agar rohnya dihimpunkan dikalangan para salafussoleh, dan mendapat rahmat dari Allah," kata Presiden PAS itu dalam satu kenyataan ringkas kepada Harakahdaily.

Allahyarham Datuk Hassan yang lebih dikenali sebagai Ustaz Hassan Kaabah meninggal dunia kira-kira jam empat pagi tadi.

Allahyarham pernah menjawat jawatan exco kerajaan Kelantan ketika hayatnya.

Jenazah Allahyarham difahamkan akan disolatkan pada jam 2 petang ini.

Tiada ulasan: