Jumaat, 11 Oktober 2013

KEBANYAKAN PANDAI BERBELANJA ....YANG KURANG...YANG PANDAI BERJIMAT

Id Al-Adha: Menangkap mesej perjuangan Ibrahim

Siddiq Fadzil , 10 Okt 2013
الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر ولله الحمد


Kita mengingat  nama Ibrahim `a.s. dan keluarga  dalam selawat dan tahiyyat berkali-kali saban hari. Tetapi mengingatnya di tengah aura `id al-adha terasa ada kelainannya, lebih syahdu dan lebih mengharukan. Ibrahim `a.s. adalah nama besar, nama yang disebut dalam dua puluh lima surah al-Qur'an.

Kisah Ibrahim `a.s. memang bukan sebuah karya fiktif,  tetapi qissah Qur'aniyyah yang kerelevanannya merentas abad, melintas jagat. Para aktivis perjuangan Islam memaknai kisah tersebut bukan sekadar lipur lara, tetapi penyerlahan legacy agung seorang Rasul pejuang kebenaran, kisah yang membawa pesan wisdom perjuangan dan pendidikan hikmah kenabian. Ibrahim `a.s. mewariskan sebuah model pendakwahan berasaskan dialog.

Beliau tidak berkhutbah secara monolog, tetapi selalu mengajak khalayak untuk berdialog dan beradu argumentasi. Dialog adalah strategi bijak untuk menggugah akal dan  merangsang orang agar berfikir. Justeru, hanya yang berakal dan yang berfikir yang dapat menghargai dan menilai kebenaran. Berhujah harus selamanya dengan akal sihat dan rasional, bukan dengan sentimen dan emosi.

Demikianlah, kebenaran bukan untuk dipaksakan, tetapi didakwahkan dengan hujah yang meyakinkan (iqna`) akal rasional. Memang teras kekuatan dakwah  bukan biaya, dan bukan juga kuasa, tetapi esensinya: kebenaran yang berasaskan hujah dan bukti.

Kekuatan dana, kuasa  dan lain-lainnya  bukan tidak penting, tetapi bukan kekuatan esensi hakikinya. Memang tidak semua orang bersedia menerima hujah dan kebenaran. Penghalang utamanya adalah kepentingan. Suatu yang namanya "kepentingan" itu memang dahsyat.

Demi mempertahankannya hujah sekuat mana pun, dan kebenaran sejelas mana pun tidak akan diterimanya.  Demikianlah sikap kaumnya, rajanya dan malah bapanya sendiri pun.  Hujah yang kuat dan lunak tidak dapat  membangkitkan akal rasional seorang ayah yang berkepentingan sebagai seorang pengusaha industri berhala.

Demikian juga kaum bangsanya yang kalah berhujah lalu bertindak liar, cuba menghabisinya dengan melemparkannya ke dalam api yang sedang marak,  semarak kemarahan mereka, sepanas hati mereka.

Demikianlah, kepentingan selalu menjadikan orang hilang kewarasan, gagal melawan dengan hujah lalu mengganas, melakukan ke-brutal-an  fizikal.   Begitulah yang selalu dilakukan oleh para penguasa teror sepanjang zaman, membunuh pencabar dan pengkritiknya.

Tetapi dalam situasi seperti itulah pula terserlahnya keunggulan Ibrahim `a.s. sebagai pahlawan dakwah yang pantang menyerah, biar hangus menjadi arang,  biar hancur menjadi abu. Komitmen seorang mujahid dakwah ialah mempertahankan risalah hingga ke titisan darah terakhir. Baginya tidak ada yang lebih berharga daripada kebenaran  (al-haqq) petunjuk Tuhan.

Api yang sejatinya memang panas membakar, merentung dan menghanguskan, tiba-tiba berubah menjadi dingin, nyaman dan mesra terhadap khalil al-Rahman. Api pun ikut menyayangi Ibrahim, hamba kesayangan Tuhan. Demikian patuhnya api terhadap pesan Ilahi "selamatkan  Ibrahim!".

Yang  sebenarnya diselamatkan tidak hanya batang tubuh Ibrahim, tetapi juga risalah dan fikrah perjuangannya. Seperti ada pesan khusus yang tersirat di balik peristiwa mukjizat  yang mencengangkan itu: bahawa kezaliman hingga ke puncak paling dahsyat sekalipun,tidak akan mampu membunuh fikrah, idea dan idealisme yang benar dan murni.

Semarak takbir `id al-adha mengingatkan kita bagaimana Ibrahim `a.s. memaknai dua kata mulia Allahu Akbar lewat amal nyata. Allah Maha Besar, tidak ada yang lebih besar daripada Allah, perintah-Nya dan ajaran-Nya. Kata dikota dengan menjunjung perintah mengorbankan putera kesayangannya Isma`il `a.s.

Demikianlah catatan suatu pembuktian iman: demi Tuhan, sanggup mengorbankan yang tersayang. Mudah-mudahan takbir kita kali ini lebih bererti.

Penulis ialah Presiden, Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH).

Penduduk harap Malindo Air terus khidmat ke Miri

Harakahdaily, 10 Okt 2013
KUALA LUMPUR: PAS Sarawak menggesa pihak pengurusan Malindo Air agar dapat mempertimbangkan hasrat penduduk Sarawak, khususnya Miri agar terus memberi perkhidmatan penerbangan tambang murah ke seluruh destinasi baik dalam dan luar negara.

Timbalan Pesuruhjayanya, Jofri Jaraiee berkata, dengan adanya pesaingan yang sihat di antara Malindo Air dan sektor perkhidmatan penerbangan lain sudah pasti ianya memberi kemudahan kepada pengguna untuk memilih penerbangan yang murah serta memberi perkhidmatan terbaik untuk mereka.

“Lebih banyak syarikat penerbangan lebih banyak pilihan untuk pengguna memilih yang terbaik untuk mereka,” ujarnya yang juga Yang Dipertua PAS Miri dalam satu kenyataan.

Perkasa Bahasa Melayu hanya retorik Umno

Hazayani Zakaria, 10 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Isu pemerkasaan Bahasa Melayu di seluruh Institut Pengajian Tinggi (IPT) disifatkan sebagai retorik Umno menjelang Pemilihan Agung Umno (PAU) minggu hadapan.

Pengerusi Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) Prof Shahrir Md Zin berkata, tiada guna kerajaan menyarankan IPT meluaskan penggunaan Bahasa Melayu selagi Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI) masih dilaksanakan.

"PPSMI tiada perubahan, tetap dilaksanakan dan kononnya akan betul-betul dimansuhkan pada tahun 2020.

"Tinggal lagi menjelang pemilihan Umno memang digembar-gemburkan semua isu Melayu termasuk soal Bahasa Melayu.

"Setiap kali pemilihan Umno, sudah menjadi tradisi isu-isu Melayu akan diperbesar dan ini bukan perkara baru. Isunya Melayu, dan memang Umno parti Melayu," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan menyarankan supaya kursus-kursus yang diajar di institusi pengajian tinggi (IPT) menggunakan bahasa Melayu secara lebih meluas memandangkan pelaksanaan Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu di IPT belum berhasil sejak dilancarkan tiga tahun lalu.

Mengulas lanjut, Prof Dr Shahrir berkata, semua universiti termasuk Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menggunakan Bahasa Inggeris sepenuhnya sejak PPSMI diperkenalkan pada tahun 2003.

"Bermula PPSMI diperkenalkan universiti mengambil tafsiran bahawa kerajaan mahu Bahasa Inggris digunakan di IPT.

"Dalam masa yang agak singkat semua universiti menggunakan Bahasa Inggeris. Ini kerana kalau di sekolah guna PPSMI, universiti juga akan meneruskan pelaksaannya. Perkara ini rakyat tak berapa tahulah sebab sibuk dengan PPSMI.

"Mengapa menjelang pemilihan Umno, isu ini ditimbulkan," katanya.

Justeru tegasnya, kerajaan harus serius memartabatkan Bahasa Melayu di semua peringkat, bukan hanya menggunakan isu ini untuk kepentingan parti mereka sahaja.

"Jangan bila waktu pemilihan, isu bahsa ditimbulkan, lepas pemilihan umno, kembali senyap dan PPSMI terus berjalan," katanya.
Berikut kenyataan penuh beliau.

Penerbangan hibrid di Malaysia, Malindo Air menggantungkan penerbangan  sementara dari Kuala Lumpur ke Miri menyebabkan ramai penduduk di Miri agak terkejut kerana ianya berlaku tanpa pengetahuan mereka yang ingin menggunakan perkhidmatan penerbangan tersebut.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Chandran Rama Muthy dalam akhbar tempatan berkata "Kami hanya melakukan penjadualan sementara dan penstrukturan semula perkhidmatan kami. Kami tidak menggantung laluan selama-lamanya tetapi hanya (sementara) mulai 1 Nov - 15. Mudah-mudahan menjelang 15 Nov, kita boleh meneruskan perkhidmatan kami ke Miri.”

Walaupun Chandran memberi jaminan penerbangan ke Miri akan disambung semula, orang ramai juga masih ragu dengan kenyataan tersebut kerana mereka tidak pasti sama ada mereka boleh meneruskan tempahan dalam talian atau terpaksa membatal niat menggunakan perkhidmatan penerbangan Malindo Air sebab mereka takut hilang wang tempahan sekiranya berlaku sebaliknya.

Pihak pengurusan Malindo Air juga perlu memikirkan akan nasib pekerjanya di Miri kerana mereka juga tidak pasti apa akan berlaku selepas bulan November nanti sekiranya pihak pengurusan terus menamatkan penerbangan Malindo Air ke Miri.

Kita ingin memberi cadangan kepada pihak pengurusan Malindo Air untuk dipertimbangkan sekiranya mereka ingin meneruskan serta mengembangkan perkhidmatan mereka ke Miri sebab Miri merupakan Bandaraya Peranginan di bahagian utara Sarawak.

Miri merupakan bandar kedua terbesar di Sarawak, dengan jumlah penduduknya lebih daripada 350,000 orang. Kemajuan bandar ini adalah ianya  sebuah daerah yang kaya dengan sumber asli, terutamanya petroleum dan sepatutnya lapangan terbang Miri di naik taraf sebagai lapangan terbang antarabangsa oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia.

Pihak Kementerian Pelancongan Sarawak juga perlu memberi kebenaran kepada pihak penerbangan Malindo Air dan lain-lain penerbangan dari Miri ke luar negara untuk menarik lebih ramai pelancong melawat ke Sarawak.

Sebagai contoh pihak penerbangan boleh terus terbang ke luar negara seperti ke Australia dan transit ke Surabaya Indonesia 2 kali seminggu atau lebih mengikut keperluan orang ramai. Ini pasti akan menarik lebih ramai pelancong datang ke Miri Sarawak. Bukan saja menarik pelancong ke Sarawak tetapi ianya memberi kemudahan kepada mereka yang bekerja di Sarawak untuk berulang alik ke destinasi masing-masing.

Kita menggesa pihak pengurusan Malindo Air agar dapat mempertimbangkan hasrat penduduk Sarawak, khususnya Miri agar terus memberi perkhidmatan penerbangan tambang murah ke seluruh destinasi baik dalam dan luar negara.

Dengan adanya pesaingan yang sihat di antara Malindo Air dan sektor perkhidmatan penerbangan lain sudah pasti ianya memberi kemudahan kepada pengguna untuk memilih penerbangan yang murah serta memberi perkhidmatan terbaik untuk mereka. Lebih banyak syarikat penerbangan lebih banyak pilihan untuk pengguna memilih yang terbaik untuk mereka.

Perak terus salur dana kepada projek sakit

Muhammad Faeez Azahar, 10 Okt 2013
IPOH: PAS Perak sangat hairan dengan tindakan kerajaan negeri yang terus menyalurkan dana kepada 'projek sakit'.

Koordinator Jawatankuasa Strategik dan Isunya, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss berkata, projek Pembangunan Pusat Peranginan Bukit Larut (PPBL), Taiping yang sehingga hari ini telah menelan perbelanjaan hampir RM10.5 juta tidak menampakkan hasil seperti yang diinginkan.

Katanya, kerajaan negeri telah menambahkan lagi peruntukan sebanyak RM125,000 kepada projek itu walaupun secara umumnya mengetahui akan kegagalannya.

"Kami mempersoalkan kenapa kerajaan negeri di bawah kepimpinan Datuk Dr Zambry terus menyalurkan dana kepada projek sedemikian sedangkan ianya telah menelan pembelanjaan yang besar ditambah lagi perkhabaran projek tersebut sangat tidak memberangsangkan," katanya kepada Harakahdaily.

Menurutnya, projek yang dibangunkan pada asalnya di bawah Rancangan Malaysia Ke-Sembilan (RMK-9) sejak tahun 2006 lagi itu tidak membuahkan hasil dan pelaburan besar itu tidak memberikan pulangan kepada rakyat.

"Melihat analisa yang dikeluarkan oleh Laporan Ketua Audit Negara tahun 2012 yang lalu, projek ini dibangunkan melalui RMK-9 di bawah kerajaan negeri pada tahun 2006 yang diperuntukkan oleh Kementerian Pelancongan sebanyak RM6 Juta melalui Majlis Perbandaraan Daerah Taiping (MPT).

"Pada tahun 2007, Kementerian Pelancongan sekali lagi memperuntukan RM4.43 Juta kepada kerajaan negeri bagi tujuan pembinaan bangunan asrama di sana.

"Dan yang terkini pada tahun 2011 yang lalu pula, kerajaan negeri telah menyalurkan RM125 ribu kepada Pejabat Daerah dan Tanah Larut, Matang dan Selama (PBT LMS).

"Kepada siapakah yang ingin dipertanggungjawabkan di atas kegagalan ‘projek mega’ ini?" soalnya lagi.

Raja Iskandar yang juga Timbalan Ketua Pemuda PAS Perak turut mempersoalkan apakah tindakan kerajaan negeri atas kegagalan ‘projek mega’ ini yang terbukti merugikan rakyat Perak khasnya dan sektor pelancongan amnya sehingga kini.

PAS Perak katanya mengharapkan kerajaan negeri membentuk satu jawatankuasa siasatan khas bagi menyiasat kelemahan dan mengenakan tindakan jika berlaku penyelewangan di dalam projek ini.

Salur dana Tekun pada semua calon Melayu

Harakahdaily, 10 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) perlu  dibuka kepada semua calon Melayu yang berkelayakan dan bukan hanya kepada ahli-ahli Umno sebagaimana didakwa Ketua Pegawai Eksekutif badan tersebut, 7 Oktober lalu, tegas Ahli Parlimen Ampang, Zuraidah Kamaruddin.

Menurut beliau, sehingga kini sejumlah RM2.42 bilion telah diagihkan kepada 237,173 usahawan berkelayakan tetapi hanya RM1.43 bilion telah dibayar semula oleh peminjam-peminjam tersebut.

"Ini bermakna ahli-ahli UMNO masih berhutang kepada agensi kebangsaan tersebut sebanyak kira kira RM 1 bilion," ujarnya.

Beliau mengingatkan bahawa Tekun adalah satu dana awam dan pengagihan dana awam itu perlu disalurkan kepada orang ramai dan tidak disalahgunakan sebagai "pinjaman khas" wang awam kepada ahli-ahli Umno.

"Sebagai parti pemerintah, Umno bertanggungjawab kepada seluruh umat Melayu di negara ini dan bukan sahaja kepada ahli ahli partinya.

"Saya juga ingin menegaskan di sini bahawa pinjaman yang telah diberikan haruslah dibayar balik oleh peminjam dan jika pinjaman itu tidak diselesaikan dalam tempoh yang sepatutnya tindakan haruslah diambil kepada peminjam tersebut," tegas beliau.

Menurut Zuraidah, setelah 56 tahun memegang tampuk pemerintahan negara, Umno hanya mampu mencipta segelintir golongan elit menjadi jutawan sedangkan sebahagian besar orang Melayu bergelut untuk mencari nafkah.

"Saban tahun  Laporan Ketua Audit Negara telah mengenal pasti percanggahan dan bagaimana dana awam telah disalah urus oleh agensi di peringat negeri dan juga nasional. Keadaan ini amatlah mengecewakan apabila mengetahui bagaimana dana awam telah diselewengkan oleh pemimpin kerajaan Umno-BN," ujarnya.

Anwar: Tiada langkah kukuh tangani pembaziran

Harakahdaily, 10 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Kerajaan Pusat tidak wajar membiarkan penyelewengan kewangan dan pemborosan berterusan dalam pentadbirannya tatkala negara diberi amaran oleh badan antarabangsa kerana berbelanja secara berlebihan tanpa langkah kukuh untuk menangani ketirisan dan pembaziran, kata Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim.


Mengulas Laporan Ketua Audit Negara 2012, beliau berkata pihak kerajaan pusat tetap berdegil dengan sikap berbelanja tanpa mahu berusaha mengurangkan kos perbelanjaan tahunan dan berjimat walaupun rakyat seringkali disuruh berbuat sedemikian.

"Laporan ini terus membuktikan pentadbiran kewangan dan aset kerajaan pusat yang teruk, pengurusan dan penyeliaan projek-projek kerajaan yang lemah, penyelewengan kewangan yang berterusan, dan yang paling utama - ketiadaan kesungguhan politik untuk menghentikan ketirisan dan pembaziran dalam pentadbiran kewangan negara," tegas Anwar yang juga Ketua Umum PKR.

Beliau turut menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan menyeluruh ke atas semua kes penyelewengan dan pembaziran dan membawa mereka yang bersalah ke muka pengadilan.

Anwar juga berharap kerajaan pusat mengubah budaya agar mereka yang didapati merancang pembaziran dan penyelewengan wang rakyat  dihukum dan bukan sekadar mendakwa ‘kambing-kambing hitam’ yang dijadikan teladan.

"KEADILAN (PKR) mengamati satu perkembangan yang cukup jelas dan membimbangkan, iaitu sikap tak kisah yang berterusan dalam membelanjakan dana kerajaan oleh kementerian-kementerian dengan sebegini rupa, dan tiada langsung kesungguhan politik untuk menghukum pesalah berulang," tegasnya.

Sambil merakamkan terima kasih di atas usaha Tan Sri Ambrin Buang dan pasukan beliau di Jabatan Audit Negara menerbitkan Laporan Ketua Audit Negara 2012, Anwar mengulangi pendirian bahawa penyelewengan wang rakyat dan budaya pembaziran dalam pentadbiran negara wajib dihentikan.

Budaya pembaziran, ujarnya perlu dihentikan tatkala rakyat diminta berjimat dengan harga petrol yang meningkat dan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang mungkin akan diperkenal tidak lama lagi.

Antara pembaziran  yang didedahkan oleh Jabatan Audit Negara adalah:

1.     RM 2.051 bilion dibelanjakan dari 2010 ke 2012 dari jumlah RM 3.689 bilion yang diperuntuk kepada Kementerian Pelajaran Malaysia untuk membayar pengawal tidak bersenjata bagi mengawal sekolah-sekolah dan institusi-institusi pengajian. Walaupun ia berniat baik, namun ketiadaan sistem pemantauan telah mengakibatkan pengawal yang berumur dan tidak disahkan latar belakang, dan juga CCTV yang tidak berfungsi untuk diguna bagi memastikan keselamatan anak-anak kita di sekolah.

2.     Kementerian Pengangkutan telah membelanjakan hampir RM 1.42 bilion dari jumlah peruntukan RM 1.47 bilion untuk menambahbaik Lapangan Terbang  Antarabangsa Kota Kinabalu. Walaupun lebih 96 peratus peruntukan telah diguna pakai, namun projek yang dimulakan pada tahun 1996 ini masih belum siap: balai ketibaan dan bilik air-bilik air didapati tidak memuaskan, dan 599 lubang telah dijumpai di landasan kapal terbang yang belum dibaiki sejak 2010.

3.     Dari 2006 hingga Disember 2012, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan telah membelanjakan RM 800.3 juta untuk mewujudkan Malaysian Emergency Response Services (MERS) 999 bersama Telekom Malaysia. Laporan ini menunjukkan hampir RM 41 juta pembayaran yang tidak patut atau berlebihan, termasuk sesi latihan di Geneva untuk seorang pegawai kanan kementerian, berjumlah RM 303,813 untuk 4 hari.

4.     Projek-projek infrastruktur lain seperti Projek Pembetungan Negara (RM 744 juta dibelanjakan), Kolej ATM di Port Dickson (RM 190 juta dibelanjakan), Pusat Pemprosesan, Pengeluaran dan Gudang di Bangi (RM 94 juta diperuntukkan) di mana kesemuanya mencatatkan kehilangan antara 16 peratus dan 20 peratus jumlah peruntukan akibat kelewatan projek disebabkan kekurangan perancangan awal dan pemantauan projek.

5.     Kelewatan Lembaga Hasil Dalam Negeri memungut cukai dari syarikat-syarikat perniagaan mengakibatkan kehilangan yang dianggarkan bernilai RM62 juta.

6.     Pembelian 5 Beechcraft King Air 350 berjumlah RM 175.24 juta, yang tidak dapat dimanfaatkan kerana juruterbang dan juruteknik telah dilatih menggunakan modul latihan yang tidak diiktiraf Jabatan Penerbangan Awam Malaysia.

Antara contoh pembaziran dan budaya ‘tak kisah’ adalah seperti berikut:

1.     Kementerian Belia dan Sukan membelanjakan RM 67.6 juta untuk Hari Belia 2012, peningkatan yang cukup tinggi dari peruntukan asal RM15 juta; di mana RM1.6 juta telah dibelanjakan untuk membawa masuk kumpulan K-pop.

2.   Polis DiRaja Malaysia kehilangan aset berjumlah RM 1.33 juta, termasuk 156 pasang gari, 44 pucuk senjata api, 29 buah kenderaan, 26 set walkie-talkie, dan 22 buat radio.

3.  Kasut buatan khas untuk pegawai Jabatan Kastam, yang lambat diagih mengakibatkan 7,659 pasang kasut dimusnahkan kerana tidak mengikut spesifikasi.  Jumlah kehilangan dianggarkan bernilai RM602,089.

Bunga tarik pelancong kenali Dun Paya Jaras

Saidah Hairan, 10 Okt 2013

Mohd Khairuddin mendengar keluhan penduduk yang kebanyakannya bekas pesakit kusta untuk mendapatkan kemudahan asas.

SUBANG: Melihat bunga tercetus di fikiran Adun Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman untuk menjadikan Paya Jaras sebagai salah satu tempat pelancongan terkenal dengan jualan dan pameran pelbagai bunga.

Hasrat tersebut berlegar di fikirannya sejak beliau memegang jawatan Penyelaras Dun pada tahun 2012.

Langkah pertama yang akan dilakukan untuk menarik lebih ramai orang berkunjung ke Paya Jaras dengan mengadakan pesta bunga di Sungai Buloh setiap tahun dan akan dimulakan hujung tahun nanti.

"Kampung Melayu Sungai Buloh merupakan kawasan yang dipenuhi dengan pelbagai tanaman bunga. Saya mahu menjadikan Sungai Buloh ini, sebut sahaja Sungai Buloh, orang tahu bunga," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri telah mengadakan ekspo jualan bunga pada tahun 2009 dan mendapat sambutan di luar jangkaan.

Ekoran itu beliau yakin jika diadakan pesta bunga sudah tentu akan mendapat sambutan menggalakkan secara tidak langsung menaikkan nama Dun Paya Jaras.

"Dun Paya Jaras akan menjadi pusat pelancongan. Keindahan bunga mampu menarik lebih ramai pelancong. Ini akan mendatangkan hasil kepada negeri. Hasil itu juga akan kembali kepada rakyat," katanya.

Ketika membuat lawatan di kebun bunga Mohd Kamal Mohd Zin seluas dua ekar, beliau berjanji akan berusaha mencari tanah untuk dijadikan ladang bunga yang lebih besar.

Dun Paya Jaras bukan sahaja istemewa kerana mempunyai banyak kawasan menjual bunga tetapi ia juga merupakan satu-satunya Dun yang ada Pusat Komuniti Wanita (Nur Baroqah).

Nur Baroqah merupakan tempat menyimpan pakaian wanita dan lelaki; kanak-kanak serta keperluan orang kurang upaya seperti kerusi roda; tongkat; bantal dan lampin pakai buang.

Pakaian tersebut bukan dilonggok tetapi digantung; sesiapa sahaja yang masuk ke Nur Baroqah umpama masuk ke butik pakaian. Ibu-ibu tunggal; orang kurang upaya; warga emas; fakir miskin dan anak-anak yatim boleh mendapatkan keperluan tersebut setelah mendaftar di Pejabat Wakil Rakyat Dun.

Nur Baroqah dilancarkan pada 10 Mac 2012 oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail. Pengarah Nur Baroqah, Suzie Aimi Samsudin dan Pengerusi, Umie Rohani Mohd Hashim berharap golongan korporat; usahawan dan sesiapa sahaja yang berhasrat menyumbang pakaian atau kewangan boleh datang terus ke Pejabat Wakil Rakyat Dun Paya Jaras.

Konsep KBSM iaitu Kahwin; beranak; sakit dan mati menjadi amalan yang perlu dilaksanakan berada di bawah satu pengurusan (Iqrar). Pengerusinya, Rabeah Aladawiyah sentiasa peka dengan laporan daripada Jawatankuasa kampung berhubung KBSM.

Kejayaan Khairuddin dalam tempoh empat bulan menjadi wakil rakyat, seramai 219 orang penduduk di kampung Seri Indah A dan B memperolehi geran tanah setelah menunggu lebih daripada 10 tahun.

Kampung tersebut merupakan penempatan semula penduduk yang terlibat dengan projek MRR2, Kepong pada tahun 1988. Kerajaan BN telah menempatkan mereka di Kampung Seri Indah A dan B. Namun, perjanjian untuk memberi geran tanah hanya dapat diselesaikan setelah PAS menawan Dun Paya Jaras.

Kesediaan beliau mendengar rintihan penduduk walaupun tanpa ada temujanji terlebih dahulu, menyebabkan kehadirannya di mana sahaja di senangi penduduk. Kemesraan melayan warga emas masyarakat Tionghua di Pusat Kusta Sungai Buloh cukup menggembirakan mereka.

Rintihan penduduk didengar dengan begitu tekun. Masalah mereka cuba diatasi walaupun tidak dapat diselesaikan secara menyeluruh. Masanya dihabiskan bersama masyarakat, sehingga ada ketikanya beliau terpaksa tidur di pejabat wakil rakyat kerana melayan permintaan masyarakat sehingga larut malam.

Daripada tinjuan dan pemerhatian penulis, Paya Jaras boleh terkenal dengan adanya aset istimewa yang selama ini mungkin `terlepas pandang' untuk dijadikan tarikan pelancong.


Khairuddin bersama jentera pejabat Wakil rakyat dibawa melihat kebun bunga seluas dua ekar di Kampung Melayu, Sungai Buloh.

K-Pop: Rakyat percaya Shabery atau ketua audit

Harakahdaily, 10 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Penjelasan Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang, berhubung kontroversi dakwaan Laporan Audit Negara 2012 bahawa konsert K Pop pada tahun lepas bernilai RM 1.6 juta ditanggung oleh kerajaan memberi tamparan hebat kepada kerajaan.

Kenyataan tersebut meneguhkan lagi pendedahan awal Laporan Audit Negara 2012 bahawa sememangnya konsert K-Pop tersebut  menggunakan dana kerajaan.

Sebelum ini Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, bekas Menteri Belia dan Sukan menafikan dakwaan tersebut dengan mendakwa peruntukan konsert K-Pop ditanggung menggunakan duit penaja.

Mengulas perkara itu, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia Dr. Riduan Mohd Nor berkata, apa pun penafian Ahmad Shabery, kenyataan ketua audit negara lebih diyakini dan dipercayai.

"Laporan audit negara adalah laporan yang telus dan berintegriti. Jika laporan audit negara juga dipertikaikan, apakah nilainya laporan tersebut dan laporan mana pula yang boleh dipercayai," soalnya.

Menurut Riduan, Ambrin adalah pegawai kerajaan yang profesional dan melaksanakan amanah dengan sebaiknya.

Beliau juga diyakini tidak terikat oleh jawatan politik, pengaruh atau kedudukan kerana beliau dilantik oleh kerajaan atas kelayakannya, bukan kerana kedudukan politiknya.

Lantaran itu beliau berani mendedahkan kepincangan demi kepincangan tanpa gentar diugut atau diambil tindakan oleh mana-mana pemimpin negara, kata Riduan.

"Inilah sifat terpuji yang perlu ada pada seorang pegawai tinggi kerajaan yang bekerja dengan jujur. Gaji yang diterima ditunaikan sebaiknya dengan begitu profesional tanpa diikat oleh tangan-tangan politik di atasnya.

"Berbeza dengan Ahmad Shabery, beliau adalah pemimpin politik dan menjadi Menteri Belia dan Sukan di era lalu. Jawapanbeliau dilihat sebagai membela dirinya serta pemimpin politik atasannya.

"Rakyat melihat jawapan Ahmad Shabery adalah jawapan berlepas diri atau selamatkan diri dari ditujah dan diserang oleh rakyat yang menuding jari kesalahan ke atasnya," ujar Riduan lagi.

Sindrom penafian demi penafian menurutnya lebih memburukkan keadaan dengan rakyat melihat bekas menteri itu sebagai orang terdesak yang mahu ‘menegakkan benang basah’.

Tiada ulasan: