Ahad, 13 Oktober 2013

BENDA BAIK LAGI WAJIB TAK BOLEH TANGGUH

Selangor disaran mula pelaksanaan syariah Islam

Saidah Hairan , 12 Okt 2013
SHAH ALAM: Isu tahaluf siyasi menjadi bahan utama ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-13 tetapi ia senyap apabila Pakatan Rakyat dapat mengekalkan kemenangan di Selangor.

Menurut Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, begitu juga dengan isu perlaksanaan syariah Islam yang ditimbulkan akan selesai apabila Selangor memulakan langkah melaksanakan syariah Islam.

"Selangor negeri orang cerdik pandai, ada pakar-pakar duduk di sini, banyak universiti di sini, buat perlaksanaan Islam ini, Insya Allah berjaya," katanya ketika menutup Seminar Syariah Islam, di sini, petang ini.

Beliau turut menyentuh tentang kewajiban umat Islam perlu melaksanakan syariat Islam kerana ia menjadi `pasport' manusia untuk duduk di bumi ini.

"Mana-mana orang yang tidak redha dengan hukuman Allah, boleh pergi ke bumi Amerika, bumi Jepun tetapi semua bumi itu milik Allah," tegasnya.

Beliau menegaskan bahawa perlaksanaan syariat Islam itu wajib, mereka yang tidak melaksanakan hukum itu amat bertentangan dengan hukum Allah.

"Susah nak jaga undang-undang ini sama juga nak jaga agama. Mana lebih baik jaga undang-undang buatan manusia dengan jaga syariat Allah," tegasnya.

Keajaiban Kaabah beri kesan positif

http://detikislam.blogspot.com, 12 Okt 2013
Dewasa ini tidak dapat dinafikan impak atau kuasa dimiliki teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) seperti Facebook dan laman sosial lainnya terhadap pemikiran masyarakat. Saban hari pelayar laman sesawang dan tuan punya Facebook akan tersentuh dan disentuh pelbagai berita serta maklumat.

Salah satu contoh maklumat yang telah menarik perhatian ramai khalayak Facebook ialah 15 rahsia keajaiban Kaabah. Antara ciri-ciri keajaiban Kaabah termasuk ia terletak di Makkah yang berada di kawasan graviti paling tinggi

Graviti yang tinggi menarik bunyi-bunyi (dalam bentuk gelombang/tenaga) yang tidak dapat didengar, tetapi mempunyai kesan positif kepada manusia. Graviti tinggi mempunyai kesan ke atas sistem imun badan dan berinteraksi dengan niat yang dibuat dalam hati untuk memberi kekuatan dalaman.

Pergerakan mengelilingi Kaabah mengikut arah berlawanan gerakan jarum jam memberikan tenaga hayat secara semula jadi daripada alam semesta. Yang nyata, ciri-ciri keajaiban Kaabah digambarkan melalui konsep saintifik.

Dari sudut sainsnya, manusia memang mempunyai keupayaan mendengar gelombang bunyi yang terletak dalam bahagian tertentu keseluruhan julat gelombang bunyi yang ada di dunia ini. Ada pelbagai bunyi yang tidak dapat ditangkap telinga manusia kerana Allah SWT menjadikan keadaan sedemikian.

Namun, antara bunyi yang tidak dapat didengar oleh manusia ini ada yang dapat didengar oleh haiwan tertentu dan bahagian atau anggota badan manusia tanpa kita menyedarinya.

Peristiwa Israk dan Mikraj

Maklumat ciri-ciri keajaiban Kaabah menjelaskan bagaimana antara bunyi-bunyian ini ada yang mempunyai impak positif kepada perasaan dan pemikiran manusia seperti pergerakan tawaf mempunyai kesan baik terhadap kesihatan fizikal dan mental manusia.

Malangnya tidak banyak saintis yang memberi maklum balas bagi menjawab persoalan mengenai kelebihan ciri-ciri keajaiban Kaabah. Bagi mereka yang selesa dengan berita kemukjizatan Nabi Muhammad SAW dan al-Quran, keajaiban Kaabah diterima dengan keraguan minimum.

Ini kerana dalam pandangan jagat Islami mereka, perkara luar biasa seperti mukjizat nabi-nabi sememangnya sebahagian daripada landskap keimanan orang Islam dan hal itu diceritakan dalam al-Quran.

Peristiwa Israk dan Mikraj yang juga satu keajaiban Rasulullah SAW yang menjadi sebahagian ilmu asas (pernah dihuraikan secara saintifik) umat Islam. Namun, masih ada yang berminat untuk memahami keajaiban Kaabah dari sudut dapat dijelas serta difahami secara rasional.

Bukti saintifik

Secara mudahnya sains cuba memahami alam melalui bidang seperti fizik (yang mengkaji graviti dan gelombang cahaya dan bunyi), kimia (contohnya sifat dan zat-zat jirim seperti kandungan mineral yang luar biasa dalam air zamzam) dan biologi (yang menjelaskan fenomena pengaliran darah dan kesannya pada kesihatan fizikal serta emosi manusia).

Bukti saintifik boleh dilihat melalui penggunaan alat-alat (teknologi) dan kaedah uji kaji yang boleh dikongsi oleh semua yang berminat.

Persoalannya, kenapa golongan ini memerlukan pengesahan saintifik kepada ciri-ciri keajaiban Kaabah? Mungkin dua sebab, pertama, jiwa yang mengimani Maha Pencipta dan Rasulnya akan sentiasa merindui penyaksian apa yang dipercayainya.

Dalam konteks ciri-ciri keajaiban Kaabah ini, rumah Allah itu yang terletak di kota Makkah berkait erat dengan ibadat haji, di samping elemen penting lain seperti Hajar Aswad dan air zamzam.

Dari sudut saintifiknya, apabila muncul maklumat mengenai ciri-ciri keajaiban Kaabah itu, perlu ada inisiatif oleh umat Islam sendiri untuk menyiasat sama ada pernyataan yang dibuat jelas sumber maklumatnya serta kesahihan fakta dikemukakan.

Perlulah ada situasi yang mana saintis Muslim dan ulama bergabung tenaga serta saling membantu bagi membolehkan proses pengukuran ciri-ciri graviti istimewa yang disebut boleh dijalankan.

Bagi mereka masih tertanya-tanya, analisis umum yang dilakukan terhadap laporan ciri-ciri keajaiban Kaabah menunjukkan kebarangkalian yang baik, memandangkan ada rujukan boleh dijejaki untuk data sokongan.

Pada masa yang sama, keistimewaan Kaabah ini sepatutnya menyedarkan umat Islam luasnya serta banyak lagi kajian saintifik yang dilakukan saintis bukan Islam (tetapi yang tidak semestinya prejudis terhadap Islam) wujud dan boleh dirujuk.

Firman Allah SWT bermaksud: Al-Quran itu diturunkan oleh Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani - supaya Engkau memberi peringatan dan amaran kepada kaum yang datuk nenek mereka telah lama tidak diberikan peringatan dan amaran sebab itulah mereka lalai. (Surah Yaasin, ayat 5-6).

*Sumber dari al-bakriah.com.my/ suatuperjalananmaya.com

Geran tanah: PR Selangor akhiri penantian 20 tahun

Harakahdaily, 12 Okt 2013
SUBANG: Penantian 219 keluarga dari Kampung Sri Indah, Paya Jaras untuk memiliki geran tanah kediaman sejak 20 tahun lalu berakhir apabila menerima hak milik masing-masing daripada Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor hari ini.

Seorang penerima, Goh See Hai, 52, berkata, beliau terpaksa menunggu sekian lama biarpun segala dokumen telah diserahkan sejak Kerajaan Umno BN dahulu namun sikap yang diamalkan kerajaan pemerintah ketika itu menyebabkan urusan hak milik tanah tertangguh bertahun-tahun, lapor Selangorku.

“Saya telah menetap di kampung ini lebih 20 tahun, pelbagai usaha dilakukan untuk mendapat geran ini, biarpun kerajaan dahulu berjanji untuk menyelesaikannya, tapi akhirnya ia diselesaikan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat,” ujarnya.

Bagi Yap Kwai Loon, 52, beliau merasa gembira kerana isu berkenaan dapat diselesaikan kerana terpaksa menunggu selama lebih 23 tahun.

“Dulu wakil MCA ada berjanji untuk menyelesaikannya, tapi saya sudah menunggu terlalu lama, akhirnya dapat juga geran tanah sendiri, terima kasih kepada Adun dan kerajaan negeri yang banyak membantu,” katanya yang berwajah ceria.

Kedua-dua mereka ditemui ketika satu majlis penyerahan kelulusan geran yang disampaikan oleh Exco Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Kampung Baharu dan Pemutihan Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah di Dewan JKKK Kampung Sri Indah A, Paya Jaras, di sini hari ini.

Turut hadir, Adun Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman dan Ahli Parlimen Subang, R.Sivarasa. (Gambar atas)

Sementara itu, Mohd Khairuddin ketika ditemui berkata, sebanyak lima kampung lagi di bawah Dun Paya Jaras masih menunggu geran tanah masing-masing dan berharap isu berkenaan akan diselesaikan dalam tempoh tiga tahun lagi.

“Pertamanya saya ingin ucapkan terima kasih kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang bersungguh-sungguh mempercepatkan segala urusan berkenaan hak milik tanah ini.

“Di Dun Paya Jaras ini terdapat 15 buah kampung dan sebanyak lima buah kampung masih lagi menunggu dan saya berharap kerajaan negeri dapat membantu segala urusan berkenaan supaya semuanya mendapat hak milikan sendiri,” katanya yang juga Setiausaha Perhubungan PAS negeri.

Kesemua penduduk berkenaan bakal menerima geran tanah selepas meyelesaikan jumlah premium sebanyak RM1,000 yang disyaratkan oleh kerajaan negeri.

Elaun ketua pembangkang perkembangan baik – Khir

Selangorku, 12 Okt 2013
SHAH ALAM: Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamed Khir Toyo memandang positif terhadap pemberian elaun kepada Ketua Pembangkang Dewan Negeri Selangor.

“Ini satu perkembangan yang baik,” katanya kepada TV Selangor hari ini.

Rabu lalu, Kerajaan Selangor mengumumkan pemberian elaun kepada ketua pembangkang, antaranya elaun tetap, elaun pemandu, elaun setiausaha kerja dan kereta rasmi kerajaan berjumlah RM8,620 sebulan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri meluluskan keistimewaan tambahan kepada Ketua Pembangkang Dewan Negeri Selangor mengikut Seksyen 5 Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Negeri (Saraan) 1980.

Mohamed Khir berkata, pemberian elaun itu perlu disusuli dengan memperkasa peranan ketua pembangkang dalam sistem demokrasi di Selangor dengan memberi lebih akses dalam semua aktiviti di Selangor.

“Kita harap kerajaan negeri lebih terbuka untuk melihat semua program dan projek di Selangor dapat dikongsi bersama,” katanya.

Ketika beliau masih menteri besar, Mohamed Khir mengakui, ketua pembangkang tidak diberi kemudahan sama kerana situasi dan peranan pembangkang berbeza berbanding masa kini.

Kalau Umno, UiTM boleh bantu

http://kachipemas.blogspot.com, 12 Okt 2013

Perghhh ..Kalau Pasai UMNO..UITM Boleh Bantu Kempen

Menyedihkan ..bila UMNO buat pemilihan atau program .student UiTM  boleh bantu atas alasan mereka perlu dilatih dari segi proses pengendalian pemilihan ,kalau bantu parti PR kena buang kampus...di mana keadilan? fikir fikirkanlah..

Tiada ulasan: