Selasa, 15 Oktober 2013

NI JADINYA BILA TAK LAKU...ADEGAN DEDAH AURAT....BERCAMPUR GAUL BEBAS SERTA UNSUR MENGADU DOMBA...HUKUMNYA TAK KAN TAK TAHU

AES terus jadi beban kepada rakyat

Harakah, 15 Okt 2013
Kerajaan memutuskan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM). Sebelum ini, diselenggarakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Sejauh mana keberkesanan sistem itu dapat dilaksanakan apabila berlaku pengambil alihan ini? Wartawan Harakah, NYZA AYOB mendapatkan butiran lanjut mengenai isu ini bersama peguam Kempen Anti Saman Ekor (Kase) Zul Hazmi Sharif (gambar) baru-baru ini.
HARAKAH: Kerajaan memutuskan serah operasi AES daripada JPJ kepada PDRM. Apakah ini boleh menyelesaikan segala isu bersangkutan dengan AES sebelum ini?

ZUL HAZMI SHARIF: Kerajaan menyerahkan operasi JPJ kepada PDRM  kononnya menilai semula AES. Apabila Dato' Seri Hishamudin Hussin umumkan perkara ini, ia bukannya penyelesaian. Ia hanya mengalih isu daripada satu masalah kepada satu perkara yang lain. Ia bukan menyelesaikan masalah tetapi merumitkan. Tetapi rakyat ramai yang tidak tahu. Mereka ingat ia penyelesaian masalah. Kenapa saya kata bukan penyelesaian? JPJ adalah kerajaan. Apabila dia mengatakan kerajaan mengambil alih AES, diserahkan kepada PDRM, itu bukan kerajaan ambil alih. Memang daripada awal lagi pelaksanaan AES dikendali kerajaan, bukan swasta. Yang melibatkan swasta hanya pemasangan kamera dan penyediaan sistem. Pelaksanaan dan operasinya adalah kerajaan. Jika dilihat pada FAQ AES yang ada dalam web site JPJ, agensi yang bertanggung jawab terhadap AES adalah Kementerian Pengangkutan. Macam mana boleh kata kerajaan ambil alih sedangkan daripada awal memang dikendali Kementerian Pengangkutan?

JPJ bertanggung jawab melaksana AES secara langsung...

MIROS bertanggungjawab dalam lokasi pemasangan kamera. JKJR pula bertanggung jawab dalam advokasi dan kempen kesedaran jalan raya mengenai AES. Jadi, di sini secara jelas menunjukkan AES hak milik kerajaan. Cuma sekarang peralihan tugas daripada JPJ kepada PDRM.

Sehingga kini kerajaan enggan dedahkan jumlah pampasan yang perlu dibayar kepada syarikat terbabit, Beta Tegap Sdn Bhd dan Ates Sdn bhd sedangkan rakyat perlu tahu perkara ini.

Ini yang kita bangkitkan. Isu Beta Tegap dan Ates ini sudah lama sejak 2009. Tapi 2009 bukan Ates tapi Commercial Circle Sdn Bhd. Commercial Circle menubuhkan Ates. Apa yang dua syarikat ini buat ialah menyediakan kamera, sistem dan peralatan lain yang berkaitan AES seperti kenderaan dan  komputer. Kamera yang menangkap kesalahan pengguna jalan raya akan dihantar ke pusat operasi. Pusat operasi ini dimiliki oleh syarikat itu juga. Semua peralatan operasi adalah milik syarikat, cuma dikendalikan JPJ. Ini juga menyebabkan timbul kekeliruan. Bila ia mengatakan Kementerian Pengangkutan tuan empunya, pun salah. Tuan punya bagi AES ini adalah syarikat. Semua milik syarikat untuk tempoh lima tahun. Sebab kerajaan menggunakan prinsip outsource. Kerajaan tidak mengeluarkan duit satu sen pun.

Semua kos dikeluarkan oleh syarikat bukan kerajaan?

Kedua-dua syarikat ini mengeluarkan kos RM717 juta yang merangkumi kamera dan peralatan. Apabila kerajaan mengatakan mengambil alih, ia menjadi hak kerajaan. Apabila kerajaan mengambil alih itulah, ditubuhkan sebuah GLC dinamakan AES Solutions. AES Solutions mengambil alih syarikat, bukan peralatan. Itupun satu masalah. Kita hendak ia ambil alih peralatan dan menjadi hak milik Kerajaan Malaysia. Jika kata kerajaan mengambil alih, maksudnya yang kita hendak ialah kerajaan beli terus peralatan dan sistem serta hak milik syarikat RM717 juta. Jadi, selesai masalah. Apa yang kerajaan nak buat dan uruskan, terpulang pada kerajaan. Apa yang berlaku sekarang ini kerajaan cuma sewa kepada syarikat. Jadi syarikat boleh ambil bila-bila masa.

Apakah PDRM mampu kendalikan kes-kes AES sedangkan banyak lagi kes saman berkaitan PDRM yang tidak selesai?

Perkara ini juga menjadi masalah. Kita kena faham operasi AES sendiri. Maknanya, syarikat set up kamera, buat sistem dan apabila kesalahan dikesan akan dihantar ke centre. Centre ini JPJ dan juga syarikat. Apabila pegawai JPJ mendapat saman, dia akan tengok gambar dan akan semak dengan database. Siapa pemilik kenderaan. Jadi keluarlah nama.  Berlaku kesalahan terus ditanda tangan dan terus keluar saman. Sekarang ini jika polis yang akan buat perkara ini, yang pertama, adakah polis mempunyai kepakaran? Yang kedua polis pun nak kena pakai database JPJ. Sebab semua berkaitan pengkalan data adalah di bawah JPJ. Jadi polis nak kena buat dua tiga perkara. Polis kena juga semak dengan JPJ.

Kenapa tidak JPJ yang laksanakan AES ini?

Apa masalah yang kena serahkan kepada polis sedangkan polis juga tidak cukup kakitangan? Apabila diberi kepada polis, adakah polis hendak tubuhkan satu unit baru di bawah jabatan trafik iaitu unit AES pulak? Sedangkan polis boleh buat perkara lain. Polis sendiri ada 15 juta lebih saman dan notis yang tidak selesai. Polis sendiri tidak dapat menyelesaikan saman, bagaimana nak uruskan satu benda baru? Adakah sekarang ada latihan diberikan kepada anggota polis yang hendak jaga operasi AES? Segala persoalan ini kerajaan perlu jelaskan kepada kita. Jika kerajaan buat keputusan AES ini diserahkan kepada polis, perlu dijelaskan bagaimana berlaku pertukaran tersebut. Adakah pegawai polis take over dalam centre itu? Sebab itu yang kita tahu centre adalah JPJ. Sekarang ini pun kita tidak pasti. Sedangkan Dato' Seri Zahid Hamidi kata diserahkan serta merta kepada polis.

Betul sekarang ini polis menjalankan operasi tersebut?

Jika kita tengok di jalan, masih lagi JPJ yang buat. Sebagai contoh ada 14 lokasi AES. Di Lembah Klang ada tujuh. Daripada tujuh ini ada dua unit bergerak dan yang bawa hilux ini adalah JPJ. Ini bermakna AES masih di bawah JPJ dan bukan polis. Bagaimana Zahid dan Hishamudin boleh cakap AES sudah diserahkan kepada polis? Serah yang bagaimana? Adakah saman sahaja diserahkan kepada polis? Perkara ini memang tidak jelas.

Kerajaan cuba alihkan isu mengenai AES sahaja...

Sekarang ini bila dikatakan polis ambil alih AES, orang akan lihat polis lebih tinggi daripada JPJ. Bila polis dah buat, nak pertikai apa lagi? Sedangkan JPJ dengan polis, daripada segi undang-undang keselamatan jalan raya ini sama sahaja levelnya. Malah JPJ lebih tinggi sebab JPJ berkuasa penuh terhadap kenderaan. Kalau polis hendak black list, dia kena minta kerjasama JPJ. Sebab itu kita lihat ia akan merumitkan apabila penguatkuasaan AES ini diserahkan daripada JPJ kepada polis di samping membebankan polis dengan tugas-tugas yang baru. Kita sebenarnya bukan bermasalah dengan JPJ tetapi kita bermasalah dengan perlaksanaan AES itu sendiri.

Sejak awal penguatkuasaan AES ini, Kase bertegas saman AES tidak perlu dibayar dan pengguna yang dikenakan saman hendaklah membawanya ke mahkamah. Terbaru kerajaan mengenakan kompaun RM 150 dengan menggunakan konsep 'the more you delay, the more you pay'...


Kase masih berpegang kepada desakan dan pendirian kami iaitu saman AES, saman trafik atau saman ekor tidak perlu dibayar. Bukan bermaksud kita tidak mengaku bersalah. Konsep saman ialah arahan ke mahkamah. Masalah rakyat Malaysia, apabila dapat surat saman itu, dia tidak baca sepenuhnya. Jika kita lihat pada saman AES yang diperolehi, maksud saman tertulis: Kamu dengan ini diperintahkan supaya hadir sendiri atau bersama peguam di hadapan mahkamah majistret (di tempat kesalahan dibuat). Jadi, ini bermakna saman ini meminta hadir ke mahkamah. Tidak pula dituliskan: Kamu dengan ini dikehendaki membayar RM 300 disebabkan melakukan kesalahan. Cuma yang orang tidak faham apabila ditulis: Kesalahan ini boleh dikompaun dan kamu boleh membayar kompaun sebanyak RM300 pada tarikh (yang dinyatakan). Perkataan yang ditulis adalah "boleh bayar" bukan "wajib bayar". Sekarang ini jika kita tidak mahu bayar, kita hadir ke mahkamah. Dalam isu saman AES ini, kita bertegas saman bukanlah yang patut dibayar. Kalau kompaun diturunkan daripada RM300 ke RM150, ke RM1 sekalipun, tidak wajib dibayar kompaun itu. Jika orang tidak bayar, apa kerajaan boleh buat? Konsep 'the more you delay, the more you pay' digunakan seperti konsep saman ekor.

Boleh bagi contoh?

Contohnya saman dikeluarkan hari ini dan sehingga hari ke 14 kompaun RM150. Hari ke 15 hingga ke 20 RM200. Dan hari ke 20 hingga hari ke 30 RM 300, iaitu maksima kompaun. Jadi, berapa yang di offer, isunya kita boleh memilih sama ada hendak bayar atau tidak bayar. Sekarang ini, apabila peguam negara keluarkan arahan sejak 18 Disember 2012, Peguam Negara keluarkan arahan semua saman AES tidak akan didaftarkan di mahkamah. Jadi, apa value saman ini? Kenapa kita hendak bayar kompaun? Sekarang ini kita hendak pergi mahkamah, tapi peguam negara kata AES tidak perlu pergi mahkamah. Sebab itu saya cabar, Tan Sri Ghani Patail, Dato' Seri Zahid Hamid, Ketua Pengarah JPJ atau sesiapa sahaja terlibat dalam AES ini atau dalam undang-undang, buktikan kepada saya kalau ada satu ayat dalam saman itu mengatakan "wajib" bayar saman, saya bersedia bayar semua 600,00 ribu lebih saman AES setakat 6 Jun 2011. Tapi jika tidak ada tolong batalkan semua saman tersebut serta pulangkan semua kompaun. Sampai hari ini cabaran itu tidak disahut langsung. Kita bukan pertikai validity saman, ia dikeluarkan ikut kaedah. Tapi adakah saman itu bernilai apabila peguam negara umumkan saman itu tidak akan didaftarkan di mahkamah.

Tayangan Tanda Putera hina pelanggan MAS

Harakahdaily, 14 Okt 2013
KUALA LUMPUR: DAP mengecam Malaysian Airlines (MAS) kerana mengadakan tayangan khas ‘Tanda Putera’ bagi menyambut ulang tahun ke-41 sebagai satu ‘hadiah istimewa’ buat pekerja MAS.

“Apa jenis motivasi yang dapat dijadikan sumber inspirasi daripada filem yang begitu tidak popular dan diragui ini buat para pekerja MAS demi menjangkau prestasi yang lebih baik, terutamanya untuk merubah kerugian-kerugian besarnya selama ini?” tanya Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan.

Katanya, pengumuman Pengarah Urusan MAS mengenai tayangan khas ‘Tanda Putera’ bersempena sambutan ulang tahun ke-41 MAS menghina pelanggan MAS yang tersinggung dengan penipuan yang bukan sahaja salah dari segi sejarah malah merupakan penghinaan yang berbaur perkauman.

Malah, ujar beliau pihak ‘Tanda Putera’ sendiri telah mengaku bahawa ia berbohong dengan alasan lemah kononnya menggunakan lesen kreatif untuk membikin wayang gambar.

Sebagai contoh, kata Lim penerbit ‘Tanda Putera’ telah mengakui kesilapan yang mereka lakukan apabila menuduh kononnya pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang telah membuang air kecil pada tiang bendera dalam satu perkongsian Facebook tahun lalu.

Ahli Parlimen Bagan itu menambah, di Facebook, ‘Tanda Putera’ malah telah memohon maaf kepada pemimpin DAP Lim Kit Siang yang dimalukan akibat daripada pembohongan sedemikian.

“Utusan Malaysia juga telah meminta maaf kepada Lim Kit Siang dan saya kerana membuat pembohongan yang serupa,” katanya lagi.

Tambahnya, tindakan MAS meraikan ulang tahun ke 41-nya dengan menayangkan ‘Tanda Putera’ sebagai ‘hadiah istimewa’ kepada kakitangannya adalah satu tindakan penafian terhadap krisis kewangannya yang begitu buruk, dengan hutang yang membukit dan simpanan tunai yang kian berkurang.

“Bagaimana mungkin Tanda Putera dapat menjadi sumber motivasi kepada kakitangan MAS pada hal filem tersebut adalah penuh penipuan?” tanya beliau.

Tambah Lim lagi, tidak hairanlah kenapa CIMB Research meletakkan penilaian prestasi rendah terhadap saham MAS.

“Atau adakah MAS kini begitu terdesak untuk bergantung kepada penipuan ‘Tanda Putera’ untuk mengelirukan orang awam dan dirinya sendiri bahawa MAS masih menjana keuntungan?” katanya.

Baginya, rakyat tidak akan mudah tertipu dan orang awam boleh membanding prestasi buruk MAS walaupun begitu banyak dana awam telah dilaburkan, berbanding dengan Air Asia Bhd.

Menurutnya lagi, meskipun tidak menerima satu sen dana awam, Air Asia begitu konsisten memperlihatkan prestasi cemerlang berbanding MAS dengan tambang yang lebih murah dan kini lebih hebat dari MAS dalam hal permodalan pasaran, pesawat dan harga saham.

Beliau menegaskan, rakyat berhak mempersoal nilai wang bagi RM19 bilion yang dibelanjakan oleh Kerajaan Persekutuan sejak 1998 bagi memastikan MAS boleh membayar hutang-hutangnya, termasuk menjamin pinjaman MAS berjumlah RM12.3 bilion.

Menurut Lim lagi, ‘Tanda Putera’ dipenuhi kontroversi politik memandangkan ia diniatkan sebagai senjata ketakutan bagi membantu BN memenangi undi orang Melayu.

Justeru, ujarnya dengan menayangkan sebuah filem politik yang dipenuhi penipuan sebagai hadiah istimewa buat kakitangan MAS menyambut ulang tahun ke-41, MAS memberi isyarat yang salah bahawa ia sebenar-benarnya telah kehilangan arah.

“Jelas sekali MAS tidak tahu bagaimana untuk mengurus pemulihan korporat ini supaya dapat menjana keuntungan, tetapi sebaliknya bergantung kepada penipuan dan mencampur aduk politik dan bisnes demi menyelamatkan dirinya dengan mendapatkan lebih banyak bantuan kewangan daripada Kerajaan Persekutuan,” katanya lagi.

Kaum ibu pula bantah Lynas

Harakahdaily, 14 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Satu lagi badan bukan kerajaan (NGO) muncul bagi menyatakan bantahan terhadap operasi kilang Lynas di Gebeng, Kuantan.

NGO diberi nama Kaum Ibu Kuantan dan Balok itu menentang keras  tindakan kerajaan mengeluarkan lesen import kepada Lynas untuk membawa masuk nadir bumi dari Australia Barat yang dijadual tiba di Pelabuhan Kuantan pada 16 Oktober ini.

"Kami, kaum ibu dari Kuantan dan Balok , ingin menyuarakan rasa sedih dan marah kami di atas kegagalan kerajaan Malaysia untuk menutup kilang Lynas daripada beroperasi dengan mengeluarkan Lesen Operasi Sementara (TOL) pada bulan Januari 2012; dan sekarang mengeluarkan lesen mengimport kepada Lynas untuk membawa masuk nadir bumi dari Western Australia yang dijangka tiba di Pelabuhan Kuantan pada awal pagi 16 Oktober 2013," kata jurucakap kumpulan terbabit,  Rahimah Abdul Majid  dan Nurhaniza Ali.


Dalam satu kenyataan media, mereka berkata, risiko dan bahaya dari hasil pemprosesan nadir bumi adalah terbukti serius terhadap kesihatan, alam sekitar, kesejahteraan dan industri tempatan terutamanya industri perikanan dan pelancongan.

Kaum Ibu Kuantan dan Balok juga memandang berat kegagalan Lynas  untuk mengenal pasti tempat pembuangan kekal sisa (PDF) dan sikap kerajaan Malaysia yang membisu.

"Di manakah tanggung jawab sosial mereka? Mengapakah suara kami tidak diendahkan?" soal mereka.

Menurut Rahimah dan Nurhaniza, sebagai ibu, mereka amat prihatin terhadap impak kilang Lynas kepada anak-anak dan generasi akan datang.

"Sebagai ibu kami juga mahu yang terbaik untuk keluarga kami. Sudah tentu kami inginkan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi yang pesat tetapi biarlah ianya selamat untuk anak-anak kami dan alam sekitar kami," ujar mereka.

Kaum Ibu Kuantan dan Balok juga mempersoalkan tindakan pihak berwajib membenarkan kilang  Lynas terus mencemari alam sekitar dan tiadanya sebarang perundingan diadakan di antara Lynas dengan penduduk setempat.

"Mengapakah kerajaan Malaysia terus membantu Lynas untuk membunuh masa depan anak-anak kami?" soal mereka.

Sehubungan itu, Kaum Ibu Kuantan dan Balok menuntut Lynas menjalankan tanggung jawab sosial untuk tidak membahayakan keselamatan penduduk dan menggesa Kerajaan Malaysia yang sepatutnya melindungi rakyat supaya tidak bersekongkol dengan syarikat asing untuk membahayakan rakyat sendiri.

"Kami bersama-sama Ahli Parlimen, wakil-wakil rakyat, persatuan-persatuan sivil dan penduduk Kuantan akan keluar beramai-ramai untuk membantah kemasukan nadir bumi pada awal pagi 16hb Oktober 2013 ini dan kami akan teruskan bantahan kami demi Malaysia yang lebih bersih dan selamat," tegas mereka.

Wakil ibu Kuantan dan Balok boleh dihubungi melalui Rahimah Abdul Majid (017 900 7813) dan Nurhaniza Ali (014 540 2098).

PAS ramal Mukhriz kalah, penyandang kekal

Harakahdaily, 14 Okt 2013
KUALA LUMPUR: PAS meramalkan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir akan tewas pada pemilihan Naib Presiden Umno 19 Oktober ini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, berdasarkan trend yang ada dalam Umno sekarang, tidak banyak berlaku perubahan dalam pemilihan itu nanti.

Justeru, katanya, menurut sumber dalaman, tiga penyandang Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengekalkan kedudukan mereka.

Berdasarkan trend sekarang juga, tambahnya, dua lagi calon Naib Presiden Umno, Tan Sri Mohd Isa Samad dan Datuk Seri Mohd Ali Rustam tidak boleh memanangi jawatan itu.

Menurutnya, walaupun muka-muka lama dikatakan akan mengalami kekalahan terutama Hishammuddin namun ada kempen yang cukup kuat di luar politik Umno untuk mengekalkan mereka.

“Ada campur tangan luar daripada politik Umno yang berkempen cukup kuat untuk mempengaruhi perwakilan bagi mengekalkan tiga Naib Presiden Umno sekarang,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata, sumber itu mendedahkan satu perjumpaan telah diadakan oleh pihak berkenaan untuk mempengaruhi perwakilan Umno pada pemilihan nanti supaya memberikan kemenangan kepada Hishammuddin dan menolak Mukhriz.

Katanya, menurut sumber itu lagi, jika Mukhriz berjaya pada pemilihan kali ini sudah tentu bapanya, Tun Mahathir akan terus campur tangan dalam urusan Umno.

“Jika Mukhriz menang, Mahathir akan campur tangan dengan lebih hebat lagi di dalam Umno kerana Mukhriz dilihat adalah proksi Mahathir,” ujarnya.

Justeru, ujarnya ‘orang-orang’ Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak pasti akan bekerja secara all out untuk memastikan kekalahan Mukhriz bagi mengelakkan wujudnya campur tangan yang berterusan daripada Mahathir terhadap kerajaan yang dipimpin oleh Najib sekarang.    

Beliau menambah, atas perkiraan itu, Mukhriz mesti dikalahkan pada pemilihan Umno kali ini.

Pada pemilihan sayap yang diadakan kelmarin, Khairy Jamaluddin dan Datuk Seri Shahrizat Jalil berjaya mempertahankan jawatan Ketua Pemuda dan Wanita Umno.

Perutusan Aidiladha Presiden PKR

taufik, 14 Okt 2013
SABAN tahun 10 Zulhijah adalah hari untuk umat Islam memperingati dan menyambut hari yang berbahagia. Bulan Zulhijah ini adalah bulan yang memiliki keutamaan tersendiri.

Alhamdulillah, kita terus memanjatkan syukur atas kurniaan nikmat oleh Allah S.W.T yang memberikan terus kekuatan ukhwah umat untuk menikmati bulan Zulhijah, terutamanya 10 hari pertama.

At-Tarmidzi meriwayatkan daripada Abu Hurairah katanya: Rasulullah s.a.w. telah bersabda: “Tiada sebarang haripun dari hari-hari yang paling disukai oleh Allah dilakukan ibadat di dalamnya dari sepuluh hari Zulhijjah, setiap hari puasa di dalam tempoh itu menyamai menghidupkan setahun dan menghidupkan malamnya seumpama menghidupkan Lailatul Qadar.”

Ibadah korban adalah tanda syukur  kepada Allah atas nikmatnya serta mewujudkan semangat kerjasama, perkongsian dan tolong menolong dalam masyarakat.  Disamping amalan sedekah dan ziarah terus dikekalkan. Inilah indahnya Islam apabila ibadah korban itu dapat dihayati dengan keikhlasan.

Justeru, marilah kita menginsafi dan redha dengan ganjaran ibadah korban ini. Sesungguhnya janji Allah itu adalah benar seperti kisah Siti Hajar dan Ibrahim a.s yang sabar dengan ujian Allah, lalu dikurniakan Allah satu mukjizat kepada sekalian manusia iaitu air zam zam yang tidak pernah putus bekalan hingga saat ini.

Ayuh kita raikan Eidul Adha ini dengan keikhlasan dan memaknai pengorbanan untuk mencari keredhaan Allah S.W.T.

Selamat Hari Raya Eidul Adha.

Dr Wan Azizah Wan IsmailPresiden
Parti KEADILAN Rakyat

Tiada ulasan: