Isnin, 28 Oktober 2013

MUNGKIN BANYAK YANG MELOPONG...AMBIK KAU

Bajet 2014 gagal imbangi hutang negara

Mohd Ezli Mashut|Selangorku, 27 Okt 2013
SHAH ALAM: Bajet 2014 yang dibentangkan Perdana Menteri gagal mengimbangi had maksimum hutang negara di bawah 55 peratus daripada jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan mengurangkan defisit sebanyak 3 peratus pada 2015.


Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pendekatan yang diambil dalam Bajet 2014 untuk meningkatkan hasil negara melalui pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan menaikkan cukai hartanah (RPGT) tidak menepati kehendak perubahan sebenar bagi memastikan kecekapan perbelanjaan dan rasionalisasi untuk mengurangkan keborosan dan ketirisan.

“Perbelanjaan operasi untuk kos rasionalisasi akan meningkat kepada 82.4 peratus pada 2014 daripada 80.2 peratus pada tahun ini,” kata Abdul Khalid dalam kenyataan medianya.

Abdul Khalid berkata, Selangor akan mengambil kesempatan ke atas langkah untuk memperkayakan sektor perkhidmatan melalui Blueprint Sektor Perkhidmatan apabila kerajaan persekutuan merancang untuk melancarkannya pada tahun 2014.

Antara subsektor perkhidmatan untuk dipromosikan adalah logistik, penerbangan, pelancongan dan industri berasaskan bio.

“Sebagai pusat pintu masuk ke Malaysia, Selangor akan memastikan pelbagai program dan aktiviti untuk meneroka peluang dalam industri pelancongan Malaysia dengan mensasarkan untuk menyambut 28 juta pelancong pada 2014 sempena Tahun Melawat Malaysia,” kata Abdul Khalid.

PJ dan Klang bakal jadi bandar bertaraf dunia

Harakahdaily, 27 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor merancang untuk menubuhkan dana kekayaan negara - ‘sovereign wealth fund’ ( SWF ) di bawah Menteri Besar Incorporated ( MBI ) untuk membuka nilai aset di Petaling Jaya dan Klang bagi tujuan pembangunan semula dan pembangunan baru.

Menurut Sekretariat Akhbar Menteri Besar, dana yang dinamakan Selangor Urban Development Fund (SUDF) itu mempunyai saiz dana permulaan sebanyak RM1 bilion yang akan diperolehi daripada sumbangan pihak-pihak berkepentingan sektor swasta dalam industri pembangunan hartanah dan infrastruktur termasuk pemaju dan syarikat-syarikat pembinaan.
Di samping itu, kerajaan negeri bersama-sama dengan pihak berkuasa tempatan yang berkaitan akan memperuntukkan peratusan tertentu daripada rizab tunai atau lebihan belanjawan untuk dana tersebut.

Rancangan itu pertama kali didedahkan Menteri Besar,  Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika membentangkan kertas kerja di  The Future Of Urban Living Conference di Iskandar, Johor , 19 Oktober lalu.

"Menyedari terdapat beberapa kekangan kewangan terutama yang bersifat semulajadi, kerajaan negeri akan membuka nilai aset asas dalam bidang hartanah tertentu yang dimiliki oleh negeri, melalui kaedah konfigurasi atau memanfaatkan aset itu sendiri sebagai sumber pembiayaan utama.

"Dengan model ini, kerajaan negeri (dan pihak berkuasa tempatan) akan menjadi penggerak atau pemangkin kepada pembangunan bandar dengan satu pelan induk komprehensif dan menyeluruh, manakala pemain sektor swasta hanya akan menjadi pelaksana rancangan yang digariskan oleh kerajaan negeri," kata Abdul Khalid yang juga Felo Eisenhower.

Beliau berkata, satu pasukan petugas akan ditubuhkan tidak lama lagi untuk menyediakan  butir-butir yang berkaitan termasuk perancangan dan reka bentuk umum, peratusan rizab tunai untuk diasingkan oleh kerajaan negeri, jumlah sumbangan oleh pihak-pihak swasta, profil risiko-pulangan, prosedur standard operasi ( SOP ), tahap pendedahan atau mana-mana spesifikasi lain.

SUDF bertujuan untuk menjadikan Petaling Jaya dan Klang sebagai bandar-bandar bertaraf dunia berdasarkan konsep "kondusif, mapan dan kehidupan bandar bestari" dengan mengintegrasikan semua aspek ekonomi, sosial dan alam sekitar selaras dengan agenda "Merakyatkan Ekonomi Selangor".

Jika berjaya, SUDF akan menjadi SWF Malaysia kedua selepas Terengganu Investment Authority ( TIA ), yang kemudiannya ditukar menjadi 1Malaysia Development Berhad ( 1MDB ).
Persidangan tiga hari itu dianjurkan bersama oleh Eisenhower Fellowship, organisasi dari Malaysia dan Singapura.

Pada hari Khamis sebelum itu, Dato’ Menteri Besar telah membentangkan kertas kerja bertajuk "How To Make World-Class City: The Shah Alam Experience".

Selangor umum 7 projek baru bernilai RM38.22 b

Harakahdaily, 27 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Ekonomi Negeri Selangor bersiap sedia untuk terus berkembang menerusi  tujuh projek pembangunan melibatkan tanah seluas 3,771.81 hektar di seluruh negeri dengan nilai perbangunan kasar dianggarkan berjumlah RM38.22 bilion.
Menurut Sekretariat Akhbar Menteri Besar, tujuh projek pembangunan ini membabitkan tanah milik kerajaan dan swasta telah diluluskan oleh Majlis Perancangan Fizikal Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri dalam satu mesyuarat pada 17 Oktober lalu.

Tujuh projek pembangunan itu merangkumi pembangunan bercampur di Bandar Bukit Raja di Kapar oleh Sime Darby Bhd; Pembangunan bercampur di Rawang (Kundang Properties); Resort golf 18-lubang di Batang Kali (Mines Gold & City Sdn Bhd) dan pembangunan bercampur di Beranang, Hulu Selangor (Riverside Hills Sdn Bhd).

Tiga projek lain adalah perumahan dan pusat komersil di Dengkil, Sepang yang dibangunkan Tristar Acres Sdn Bhd; projek perumahan di Semenyih, Hulu Langat (UEM Land Berhad) dan pembangunan semula kawasan Institut Penyelidikan Getah Malaysia di Sungai Buloh (Kwasa Ldn Sdn Bhd).

Jabatan Perancangan Bandar dam Desa dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negeri (MTES) yang diadakan 24 Oktober lalu telah mengesahkan sebanyak 85,415 unit rumah akan dibina menerusi projek-projek pembangunan ini untuk didiami 403, 700 orang.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mempengerusikan mesyuarat mingguan  itu berkata,  kerajaan negeri akan terlibat secara aktif dalam projek-projek ini kerana ia  memberi kesan yang besar dan faedah secara langsung kepada rakyat.

Beliau juga mengarahkan kakitangan kerajaan dan agensi negeri memberi kerjasama sepenuhnya kepada agensi Persekutuan yang berkaitan dalam projek-projek pembangunan ini.

Abdul Khalid berkata,  syarikat air yang akan dilantik kerajaan negeri selepas penstrukturan semula air diselesaikan akan memainkan peranan penting bagi membekalkan air bersih secara cekap sebagai perkhidmatan utama kepada penduduk di kawasan-kawasan baru ini.

"Kerajaan Selangor sangat komited untuk menyelesaikan penyusunan semula industri air dan berharap pengambilalihan ini selesai akhir tahun ini seperti yang ditetapkan oleh menteri.

“Pasukan kami yang merupakan kumpulan profesional yang pakar dan berpengalaman dalam pengurusan air telah bersedia  dan tugas mereka yang pertama ialah mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW),” kata Menteri Besar.

Bajet 2014: Sabah, Sarawak talian hayat BN ‘terlopong’

Harakahdaily, 27 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Sabah dan Sarawak tidak mempunyai apa-apa kelebihan dalam pembentangan Bajet 2014 daripada apa yang dijangkakan sebelum itu.

Bagi penulis Aspan Alias, Bajet 2014 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Malaysia kelmarin, dikatakan ramai sebagai ‘ritual’ biasa dan tidak memberikan apa-apa yang memberangsangkan kepada rakyat terutamanya bagi Sabah dan Sarawak.

Katanya, kedua-dua negeri yang sedang dalam keadaan tertekan dalam banyak hal tidak mendapat apa-apa kelebihannya walaupun dari kedua-dua buah negeri itulah kekuatan kerajaan yang ada pada hari ini.

Menurutnya, walaupun BN Sabah dan Sarawak menyumbang hampir 50 kerusi di Dewan Parlimen Persekutuan, sumbangan mereka itu tidak dihargai oleh pimpinan persekutuan dalam pembahagian belanjawan kali ini.

“Yang jelas kelihatan ialah pengabaian terhadap negeri-negeri Malaysia Timur, Sabah dan Sarawak yang begitu nyata walaupun kedua-dua negeri itulah letaknya nyawa dan nafas BN sehingga pilihanraya yang akan datang,” tulis beliau di dalam blognya, semalam.


Baca lagi

Penyanyi dangdut calon Presiden Indonesia

Ahmad Muhajir, 27 Okt 2013
SENARAI nama pengundi ( Daftar Pemilih Tetap) bagi Pilihan Raya Umum (PRU) Indonesia yang akan berlangsung pada 9 April 2014 terpaksa ditangguh dua minggu lagi untuk disahkan oleh Komisi Pemilihan Umum (semacam SPR di Malaysia).



Senarai pengundi itu  seharusnya disahkan pada 23 Oktober lalu, namun kerana wujud  20.3 juta pengundi berdaftar yang bermasalah seperti jantina yang meragukan, tiada tempat lahir, tidak jelas status perkahwinan dan tiada keterangan sudah berkahwin yang berumur 17 tahun ke atas.


Yang akan mengundi pada PRU keempat setelah reformasi 21 Mei 1998 berjumlah 186.8 juta orang. Bagaimanapun bukan hanya pengundinya sahaja  bermasalah, senarai calon untuk mewakili rakyat baik di pusat, negeri dan  daerah ini, juga bermasalah. Ada yang disyaki rasuah, menyalahgunakan kuasa semasa menjadi pegawai kerajaan, dan ada lagi kes-kes lain yang diketahui ramai.

Inilah  yang menjadi masalah pemerintah selalu meneriakkan slogan antirasuah, membela rakyat, tetapi nyatanya ini hanya ucapan atau slogan yang penuh kepura-puraan. Nasib rakyat tidak pernah difikirkan, yang jadi pemikiran oleh kalangan atas adalah bagaimana mahu menjadi calon, bagaimana nak menang. Parti Golkar dengan segala masalahnya sebagai parti warisan zaman Suharto, belum lagi PDI-P gabungan dari belbagai parti yang diketuai oleh PNI parti warisan Sukarno.

Belum lagi parti baru yang wujud setelah reformasi banyak lagi masalah. Ini berkaitan pula dengan munculnya nama ‘Bunda Puteri’ yang juga punya hubungan baik dengan Presiden Sosilo Bambang Yudhiyono (SBY) dan  ketua majlis syura salah sebuah parti, yang dulunya sebagai parti Islam.


Jangan lagi disebut Parti Demokrat partinya Presiden SBY di mana dia merangkap semuanya mulai dari Ketua Dewan Penasihat Parti kini menjadi Presiden Parti pula, dan berlawanan pula dengan Anas Urbaninggrum, yang dulu Presiden Parti Demokrat yang didapati rasuah dalam kes pembangunan sekolah sukan di Hambalang Bogor. Lalu dia dipecat namun belum dipenjarakan.


Anas bersama rakan-rakanya mewujudkan pula Pergerakan Indonesia, sebuah gerakan baru yang juga mulai ditakuti oleh pemerintahan SBY. SBY tetap risau dan melihat hari depannya yang tidak pasti, kerana diperkirakan partinya akan  kalah besar pada PRU April 2014 nanti, apalagi nama SBY atau anaknya Agus Trimurti Yudhoyono, yang merupakan Setiausaha Agung Parti Demokrat disebut-sebut terkait dengan kes hilangnya wang bank Century.

Jadi nampaknya sekarang “pencuri berteriak pencuri” siapa sebenarnya yang mencuri? Sementara SBY sudah mulai menghitung hari-hari berakhirnya kekuasaan sebagai presiden pada 20 Oktober 2014, makanya dia beria-ia benar agar adik iparnya Jeneral (B) Pramono Eddie Wibowo boleh menang pada PRU Presiden pada Julai 2014 akan datang.

Sementara itu Raja Dangdut Rhoma Irama, (gambar) kemungkinan akan dicalonkan sebagai presiden oleh Parti Persatuan Pembangunan (PPP).

Ide dan  falsafah Rhoma Irama sederhana sahaja, apabila rakyat Indonesia yang kini menjangkau 254 juta, pening-pening memikirkan masalah hidup;  ekonomi, politik dan apa sahaja, terutama rakyat miskin maka diajak bermuzik dangdut, dia akan lupa dengan masaalah kehidupannya kerana sudah asyik bermuzik dangdut.

Dalam kaitan kes Ratu Atut Chosiyah gabenur Banten dari Golkar yang didapati rasuah tidak mustahil dia didapati bersalah oleh Komite Pemberantasan Korupsi-KPK (semacam SPRM di Malaysia) dan dia akan digantikan nanti oleh Rano Karno dari PDI-P. Rano dulu yang terkenal berlakon bersama arwah Benyamin Suaeb itu, diharap untuk dapat menahan diri dan jangan terlalu bernafsu.

Berkaitan dengan masaalah DPT ini tidak boleh dipisahkan dengan sistem baru, dimana dalam membuat IC/KP atau di Indonesia disebut Kartu Tanda Penduduk (KTP) kerana sudah menggunakan E-KTP, jadi tidak boleh sembarangan jadi pengundi, apalagi lagi mahu menjadi pengundi hantu (yang dipanggil dengan pemilih misteri). Jadi jika ada rakyat Indonesia yang sudah menjadi warganegara asing, tidak senang membuat KTP baru bila balik ke kampung halamannya atau negara asalnya dimana dia lahir.

Memang penjajah Barat, yang memecahbelahkan umat Islam dengan geografi dan negara-negara ini, menjadikan kita umat Islam menjadi berpecah dan  terpisah-pisah. Makanya Almarhum Sayyid Abul A’la Al Maududi, dengan tegas mengatakan umat ini janganlah menjadi terpisah dan berpecah kerana geografi dan negara, kerana kita satu berada dibawah pegangan akidah yang sama iaitu La Ilaha Illallah.

Ini juga langkah yang akan ditempuh oleh Perdana Menteri Turki Recep Tayyip Erdogan untuk beberapa tahun mendatang, dimana umat Islam diseluruh dunia dibenarkan melancong ke Turki, cukup pakai IC atau Kad Pengenalan sahaja, kerana Turki adalah negara dan negerinya umat Islam. Jadi Erdogan bukan hanya sebagai mewarisi pemikiran dan kesufian Said Badiuzzaman Said Nursi, tetapi juga ingin mewujudkan cita-cita yang sudah digagas oleh Al Maududi, yang berpulang kerahmatullah pada 22 September tahun 1979, ulama besar dunia Islam pemikir pendakwah politisi dan penulis hebat ini dengan berbagai karya dan nukilannya lahir pada 25 September 1903.

Takziah kerajaan negeri buat keluarga bekas Exco

Salmah Mat Husain, 27 Okt 2013

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Datuk Hassan Muhammad, 69 (gambar) yang telah kembali ke rahmatullah jam 4.00 pagi semalam.

Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob, ketika memberitahu Harakahdaily menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai suatu kehilangan besar kepada kerajaan dan parti.

Menurutnya, Allahyarham pernah ditawarkan dengan bayaran jutaan ringgit agar meninggalkan perjuangan PAS suatu ketika dahulu.

“Namun Allahyarham begitu istiqamah dalam perjuangan, tidak mengkhianati amanah yang diberikan rakyat padanya,” ujarnya lagi.

Tegas ustaz lagi, Allahyarham ialah seorang pejuang Islam yang disegani dan komited dengan jemaah.

“Moga Allah menempatkan Allahyarham di tempat hamba-hamba-Nya yang saleh,” ujarnya.

Allahyarham yang juga terkenal dengan gelaran ‘Ustaz Hassan Kaabah’ meninggalkan seorang isteri Datin Hasnah Salleh dan lima anak.

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sekarang, Datuk Dr Mohamed Fadzli adalah anak sulung Allahyarham.

Allahyarham juga merupakan tokoh pendidik kerana  pernah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Kerajaan Kelantan.

Diamanahkan sebagai Adun Temangan dan selepas itu Kemuning selama tiga penggal bermula pada 1995 hingga 2008.

Sementara itu, Dr Fadzli (gambar) mengucapkan terima kasih kepada semua pemimpin peringkat pusat dan negeri termasuk Menteri Besar Ustaz Datuk Ahmad Yakob yang perihatin dan mendoakan kesejahteraan ayahnya.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada anggota masyarakat pelbagai lapisan, pimpinan peringkat negeri, bekas Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sentiasa menziarahi ayah termasuk ketika sakit,” ujarnya.

Tiada ulasan: