Selasa, 22 Oktober 2013

ALLAH YANG MAHA MENGETAHUI....

‘Perang proksi’ Mukhriz dengan Khairy berterusan

Harakahdaily, 21 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sudah tentu kecewa dengan kekalahan anaknya, Datuk Mukhriz untuk merebut salah satu tempat Naib Presiden Umno.

Dengan kekalahan itu menyebabkan Mukhriz ketinggalan satu langkah daripada Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin kerana kedudukan ketua sayap parti adalah setara dengan Naib Presiden.

“Dengan kedudukan sekarang, Mukhriz ketinggalan satu langkah daripada Khairy,” kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali kepada Harakahdaily.

Beliau berpandangan tindakan Mukhriz yang dilihat sebagai proksi bapanya bertanding Naib Presiden Umno adalah sebagai usaha untuk ‘menyekat’ karier politik Khairy Jamaluddin.

Ini, katanya kerana Khairy juga dilihat sebagai proksi kepada bapa mertuanya, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Khairy berada satu langkah di hadapan kerana menang Ketua Pemuda Umno, sementara Mukhriz pula ketinggalan kerana kalah untuk merebut Naib Presiden Umno,” katanya lagi.

Justeru, pada beliau battle of the proxy (peperangan proksi) antara Khairy dengan Mukhriz boleh berlaku dalam jangka yang panjang.

Katanya, walaupun berlaku persaingan di antara Khairy dengan Mukhriz tetapi ia dilihat menjurus kepada pertembungan antara Mahathir dengan Abdullah yang kedua-duanya adalah bekas Perdana Menteri.

Menurut beliau, pertembungan antara Menteri Belia dan Sukan dengan Menteri Besar Kedah itu tidak dilihat pengaruh yang ada kepada kedua-duanya tetapi sebaliknya siapa yang berada di belakang mereka.

“Persaingan ini akan berterusan sekiranya Mukhriz dilantik ahli Majlis Tertinggi Umno,” ujar beliau lagi.

Sementara itu, Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak ketika bercakap pada sidang media di IOI Golf Resort, Putrajaya, semalam memberitahu pelantikan Mukhriz sebagai ahli Majlis Tertinggi akan diberitahu kemudian.

Pada pemilihan Naib Presiden Umno, Sabtu lalu, tiga penyandang, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berjaya mempertahankan jawatan dengan menewaskan Muhkriz, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Musim tengkujuh bermula

Harakahdaily, 21 Okt 2013



SEBERANG JAYA: Musim tengkujuh yang pada kebiasaannya melanda bahagian pantai timur Semenanjung turut dirasai tempiasnya di negeri-negeri utara.

Hujan lebat yang turun mengakibatkan sebahagian daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ditelenggami air.

Antara kampung terlibat adalah Permatang Rawa, Mengkuang Semarak, Mengkuang Titi, Padang Lalang, Jalan Baru, dan Kg Besar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin  ringan tulang membantu meringankan beban ditanggung 344  rumah penduduk yang diwakilinya.

Gambar menunjukkan beliau dan petugas pusat khidmat turun menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Kampung Permatang Rawa.

Dr Afif memberi sumbangan sarapan pagi, dan makan tengah hari kepada mangsa yang terlibat.  Foto Buletin Mutiara

Mulakan dengan yang ringan, pesan TGHH pada Ameerah

Salmiyah Harun, 21 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Ketika menghadiri Majlis Hi-Tea Fan Club Ameerah Malaysia Dewan Muslimat PAS Pusat, Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkesempatan berdialog bersama lebih 100 anak muda wanita dari seluruh negara. Pelbagai soalan diutarakan yang berkisar soal politik sehinggalah soalan santai dan peribadi, Abdul Hadi yang mesra dipanggil Ayoh Chik tidak kekok untuk melayan setiap soalan yang diajukan oleh wanita-wanita muda itu. Ikuti sesi dialog yang berlangsung antara anak muda Ameerah dengan beliau yang juga Ahli Parlimen Marang.

Bagaimana Karakter muslimat yang perlu ditonjolkan apabila terlibat dalam politik. Lembut, tegas atau bagaimana.


Nabi perintah letakkan sesuatu itu pada tempatnya dan bercakap dengan masyarakat mengikut bahasa yang difahami mereka. Penonjolan diri kepada masyarakat ialah bagaimana kita terjemahkan dakwah kita dan politik kita kepada masyarakat. Semua orang boleh terlibat sama ada dalam kalangan ulama atau profesional dan boleh terjemahkan dalam masyarakat mengikut kebolehan masing-masing. Oleh sebab itu, kita minta pelajar-pelajar PAS mancari ilmu habis-habisan tidak kira bidang apa sahaja. Pada masa yang sama gunalah bidang ini untuk masyarakat mengikut bidang masing-masing. Bukan semua orang kena bersyarah.

Apakah amalam yang paling disukai oleh Tuan guru Abdul Hadi Awang?


Yang paling saya sukai ialah apa sahaja amal yang kita buat mestilah ikhlas. Kalau kita menulis, menulislah dengan ikhlas, kalau kita bercakap, bercakaplah dengan ikhlas. Kerana ikhlas ini perkara yang tidak boleh beritahu orang. Ia lahir dari hati kita. Kita hendak tarik seseorang mestilah puaskan hati dia, hendak puaskan hati dia mesti ia lahir dari hati kita. Bukan terlibat dalam ceramah sahaja. Jadi nelayan, pergi ke laut pun sama. Yang penting kita praktikan amalan yang kita ada, untuk menarik orang mengamalkan ajaran Islam dengan sebaiknya. Kita kena mulakan amalan kita dengan ringan-ringan dahulu barulah diikuti yang berat. Kadang-kadang orang Umno yang atas pagar boleh ikut kita (PAS). Jangan 'start' dengan 'gear' lima terus, tidak boleh. Kena 'start' 'gear' satu biar mereka faham dahulu apa itu Islam Insya-Allah dengan sendiri mereka akan mula dekati kita.

Setiap kali pilihan raya boleh dikatakan harapan rakyat setinggi gunung untuk melihat pembentukan kerajaan Pakatan Rakyat tetapi apabila keputusan diumumkan ramai pula rakyat Malaysia mengalirkan air mata kecewa. Pada hemat saya kita gagal dari segi strategi dan lemah dalam komunikasi terutama golongan atas pagar. Apakah strategi luar biasa yang difikirkan dari sekarang?

Kita kena ketahui bahawa PAS memilih demokrasi. Dalam persidangan antarabangsa parti Islam, mengatakan bahawa demokrasi adalah yang terbaik bagi parti Islam yang menghadapi rakyat sebangsa dan seagama. Demokrasi adalah sesuai untuk kita berdepan dengan umat kita sendiri. Berbeza kalau kita menentang musuh dari luar. Yang penting dalam pertarungan demokrasi kita dapat menguasai rakyat. Kita tidak boleh menang hanya dengan undi ahli PAS. Kita mesti menang dengan seluruh rakyat. Kita dapat undi daripada kalangan terpelajar kerana mereka mendapat maklumat sama ada di bandar dan di pinggir bandar termasuk yang mendapat maklumat itu adalah orang bukan Islam. Perubahan yang berlaku di sesebuah negara ialah di mana rakyat mestilah bermaklumat.

Di negara ini rakyat tidak tertekan dengan hidup, walaupun miskin tetapi dapat subsidi dan bantuan. Umno BN sanggup berhutang dan buat apa sahaja untuk dapat duit untuk menjadikan rakyat tidak tertekan dengan kemiskinan. Menjadikan kita sangat sukar. Yang penting adalah memaklumatkan rakyat iaitu mereka mesti faham Islam, mereka faham Malaysia. Banyak penceramah kita syok sendiri sahaja tetapi orang dan pengundi tidak faham sebab maklumat tidak sampai. Kita hari ini kena mula daripada sekarang sampaikan maklumat kepada rakyat dengan apa cara pun.

Kita juga berusaha menarik rakyat dengan kerja-kerja masyarakat dan ia adalah strategi yang sangat penting. Kita tidak boleh menang dengan melihat orang ramai yang hadir dalam ceramah. Kerana yang hadir dalam ceramah ini adalah orang yang sama. Maklumat kita tidak sampai kepada pengundi di bawah kerana media kerajaan menguasai setiap rumah pengundi. Sekarang kita sedang hadapi peperangan cyber, kena manfaatkannya. Malangnya kawasan pedalaman seperti Felda tidak ada kemudahan ini untuk dapat maklumat. Kita bercakap dengan menggunakan bahasa yang difahami. Kalau kita ambil pendekatan halau musuh kita tidak akan menang sampai bila-bila. Perubahan pasti berlaku kerana Allah Taala sudah berjanji tidak ada yang kekal diatas dunia yang kekal cuma Allah Taala sahaja. 

Bolehkah Ayoh Chik kongsikan pengalaman manis dan pahit sepanjang Ayoh Chik memegang jawatan presiden kepada satu-satunya parti Islam yang ada di malaysia ini.
Kenangan manis ialah apabila musuh minta maaf. Inilah kenangan manis saya. Ramai SB datang untuk siasat saya dan baca buku saya, dia datang minta maaf kerana selama ini dia silap. Ini kenangan sangat manis pada saya. Yang pahit adalah, ketika saya memerintah negeri, tetapi tidak ada kuasa ke atas kerajaan pusat, setelah memerintah royalti dirampas pula. Tidak ada duit. Menghadapi tekanan. Kita menguasai pegawai kerajaan tetapi tidak boleh menguasai kerajaan sepenuhnya. Kita dikalahkan bukan oleh rakyat Terangganu tetapi oleh penipuan. Melalui kajian, undi kita meningkat tetapi tetap kalah.

Bagaimana mahu menjadi penyokong yang seimbang iaitu ulama dan profesional. Masalahnya ialah apabila kita cenderung ke arah satu aliran gerakan siasah ia dicop sebagai profesional atau sebaliknya.

Ahli kita datangnya daripada pelbagai bidang dan disatukan dalam satu jemaah, kita telah membina satu kekuatan yang syumul. Seorang sahaja tidak boleh untuk menjadi syumul. Oleh sebab itulah PAS menyatukan ulama dan profesional. Hari ini Umno berusaha pecahkan ulama dan profesional melalui media. Kita bukan sahaja hendak mengikut hukum syarak bahkan hendak tadbir dunia. Oleh sebab itu dua-dua kena ada dalam PAS. Ambil pengalaman dalam bidang masing-masing, ambil pengalaman dalam kerajaan untuk kita perintah negara nanti.

Adakah wanita boleh jadi Naib Presiden?


Mengikut Perlembagaan PAS, Ketua Muslimat adalah naib presiden begitu juga Ketua Ulama dan Ketua Pemuda. Kalau muslimat hendak tambah lagi, mesti ditentukan dalam Muktamar.

Menurut cerita daripada sahabat-sahabat di Terengganu, Ayah Chik seorang yang garang, namun hari ini kami lihat begitu berbeza.

Saya garang dengan musuh. Dengan kawan, apabila kita hendak ajar dia, kena garang juga. Seperti pengikut kita, anak-anak kita. Dengan anak-anak ada masa kita garang, ada masa kita berlembut. Jangan garang sepanjang masa. Tidak boleh. Kita kena tahu bilakah kita garang dan tempat kita lembut. Bukan lembut sepanjang masa, ini tidak boleh.

Ada suatu pengalaman yang membuatkan saya tergelak. Ketika itu saya memancing di tepi pantai. Datanglah pelancong beberapa pelancong. Mereka menegur saya. “Pakcik selalu memancing di sini? Dapat ikan?” Saya menjawab, “Kalau saya tidak ke mana-mana dan ada di rumah, saya memancinglah.”

Kemudian mereka berkata, “Eh, ni presiden PAS kan? Boleh bergambar tak?”
Saya menjawab, “Ya, boleh.”

Itulah antara situasi yang membuat saya menggelakkan saya dan ingat hingga kini. (hadirin ketawa)

6 tahun Angkasawan Negara, mana hasil penyelidikan?

Dr Azman Ibrahim, 21 Okt 2013
Hari ini genap 6 tahun kepulangan rakyat Malaysia pertama dari angkasa. Tanggal 21 Oktober 2007, Angkasawan pertama negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha selamat kembali ke Bumi selepas 10 hari berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Kapsul Soyuz TMA-10 mendarat di Arkylk, Kazakhstan pada pukul 2.37 petang waktu tempatan (6.37 petang waktu Malaysia), selepas melalui perjalanan 3 jam 23 minit dari ISS.

Program yang didakwa menelan belanja ratusan juta ringgit tetapi Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Maximus Ongkili ketika memberikan jawapan di Parlimen pada 6 Mei 2008 memaklumkan bahawa kos sebenar program angkasawan negara yang pertama ialah sebanyak RM39.11 juta.

Diberitakan bahawa sepanjang 10 hari semasa berada di ISS, Dr. Sheikh Muszaphar telah melakukan penyelidikan antaranya melibatkan sel kanser dan leukemia di stesen angkasa itu.

Penyelidikan yang diistilahkan sebagai ‘penyelidikan mikrograviti’ dikategorikan secara saintifiknya sebagai penyelidikan bermutu tinggi. Setelah kepulangan beliau ke bumi, dimaklumkan hasil penyelidikan tersebut telah dihantar ke Jepun untuk dianalisis.

Kalau pun kosnya bukan ratusan juta sebagaimana didakwa, hakikatnya hampir RM40 juta wang negara yang telah dibelanjakan adalah satu jumlah yang sangat besar.

Setelah enam tahun berlalu, saya mungkin antara ramai pembayar cukai yang berminat untuk mengetahui apakah finding (penemuan) hasil penyelidikan tersebut yang boleh dimanfaatkan oleh rakyat?

Ketika saya berkhidmat sebagai tenaga akademik di sebuah universiti tempatan dulu, selalu saya nyatakan kepada rakan-rakan, apa sahaja penyelidikan yang kita lakukan dengan menggunakan geran penyelidikan yang diambil daripada wang rakyat, pastikan kita mampu menghasilkan sesuatu untuk faedah rakyat, dengan makna kita mampu memulangkan kembali wang rakyat yang diambil dengan nilai manfaat yang bakal mereka perolehi.

Walaupun cara pemikiran saya agak kekampungan, tetapi secara tegas saya nyatakan, saya anti dengan penyelidikan yang cuma di atas kertas yang akhirnya dapat dimanfaatkan sekadar untuk rekod pencapaian peribadi penyelidik.

Bila nak memohon untuk kenaikan pangkat, kita akan kemukakan “Ini senarai research yang pernah saya buat!” lantas, dari seorang pensyarah biasa boleh naik pangkat jadi pensyarah kanan, professor madya dan seterusnya professor.

Kadang-kadang ada pensyarah yang langsung tak terlibat dengan sesuatu research tetapi tetap meminta supaya nama mereka dimasukkan sama dalam senarai penyelidik untuk projek tersebut.

Beginilah gambaran pentingnya nilai research bagi seorang tenaga akademik di universiti.

Sebenarnya bukan sedikit wang rakyat yang diperuntukkan untuk geran penyelidikan.

Kalau geran jangka pendek, jumlahnya sekitar RM25,000 sementara geran jangka panjang boleh mencecah RM100,000 untuk satu-satu projek.

Bagi pihak pengurusan dan pentadbiran universiti pula, adalah suatu kebanggaan bagi mereka apabila universiti yang mereka tadbir diiktiraf sebagai ‘Universiti Penyelidikan’.

Berbalik semula kepada Projek Angkasawan Pertama Negara, permintaan rakyat biasa seperti saya mudah sahaja. Diharapkan selepas enam tahun ianya berlalu, pihak yang berkenaan tolong umumkan hasilnya secara nyata dan bukannya teori semata-mata kepada kami. Terima kasih.

Penulis adalah Pengerusi Lujnah Pengguna PAS Terengganu.

Tak serik-serik: RM270 juta lagi untuk perunding asing

Harakahdaily, 21 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Bukan sekadar RM20 juta. Sebenarnya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membayar RM270 juta kepada jururunding latihan bahasa Inggeris daripada Britain, dedah Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari.

Perkara ini dimaklumkan kementerian terbabit dalam jawapan bertulis kepada soalan dikemukakan Zairil pada sidang Dewan Rakyat.

"Baru-baru ini, kita telah didedahkan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membayar RM20 juta kepada McKinsey & Co untuk perkhidmatan perundingan dalam merangka Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2013-2025.

"Walau bagaimanapun, rupa-rupanya bayaran bagi khidmat nasihat perundingan yang berjumlah RM20 juta kepada McKinsey hanya sebahagian kecil daripada keseluruhan kisah sebenar.

"Menurut jawapan Parlimen yang saya terima daripada Menteri Pendidikan, Kementerian telah melantik tiga perunding luar iaitu British Council, Brighton Education Group dan SMR HR Group, dalam program tiga tahun yang bertujuan untuk 'meningkatkan kapasiti' guru bahasa Inggeris di negara ini," kenyataan media Zairil dipetik.

Pihak kementerian menjelaskan,  tiga firma perunding telah dianugerahkan kontrak mulai tahun 2011 hingga 2013 dengan kos keseluruhan berjumlah RM268.5 juta atau RM89.5 juta setahun.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, firma terbabit akan menyediakan 360 orang mentor penutur jati bahasa Inggeris (120 mentor setiap firma) sepanjang tempoh tiga tahun.

Sejumlah 7,500 guru dari 1,800 sekolah akan dilatih, dengan tanggung jawab dibahagikan mengikut geografi.

Menurut kertas jawapan kementerian, British Council telah ditugaskan untuk menyediakan mentor untuk melatih guru-guru di Labuan, Sabah dan Sarawak, manakala Brighton Education Group akan melatih guru-guru di Kelantan, Terengganu, Pahang, Melaka, Johor dan Negeri Sembilan.

Sementara itu, SMR HR Group akan melatih guru-guru di Pulau Pinang, Perlis, Perak, Kedah dan Selangor.

"Dalam erti kata lain, hampir RM270 juta dibelanjakan untuk mengupah 360 mentor Inggeris ini," jelas Zairil.

Berdasarkan perbelanjaan itu, sejumlah RM250,000 setahun dibayar bagi setiap mentor atau  hampir RM21,000 sebulan.

Menurut Zairil, walau apapun penjelasan KPM, tidak ada alasan munasabah yang boleh mewajarkan jumlah yang tidak masuk akal untuk dibelanjakan bagi menyediakan apa yang sebenarnya adalah 'cuti bergaji' selama tiga tahun bagi 360 orang mentor penutur jati bahasa Inggeris.

"Selain itu, berdasarkan laporan dan maklum balas yang diterima daripada guru-guru yang menjalani program ini, 'sesi bersama mentor' hanyalah antara tiga hingga empat jam sebulan. Ini serta-merta menimbulkan persoalan tentang keberkesanan program mentor ini. Bagaimanakah seseorang itu diharapkan menguasai sesuatu bahasa dengan hanya tiga hingga empat jam latihan sebulan?" soal beliau.

Menurut Zairil, jumlah perbelanjaan sebanyak RM270 juta untuk melatih 7,500 guru adalah bersamaan dengan RM36,000 bagi setiap guru dalam tempoh tiga tahun.

"Jumlah ini adalah lebih daripada kos untuk mendaftar guru yang sama ke program ijazah dalam bahasa Inggeris dengan struktur pembelajaran yang tersusun di sebuah universiti tempatan," ujarnya.

Beliau memberi contoh Universiti Terbuka Wawasan menawarkan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) dalam Pengajian Bahasa Inggeris dengan kos kira-kira RM24,000, iaitu dua pertiga kos program mentor yang disediakan oleh firma perundingan ini.

Sementara itu, tambahnya kos kursus diploma selama enam bulan dalam TESOL (Teaching English to Speakers of Other Languages) hanya RM4,500 di kolej swasta tempatan.

"Meskipun matlamat untuk meningkatkan kualiti guru-guru bahasa Inggeris adalah terpuji dan perlu diteruskan, namun ini sama sekali tidak membenarkan tindakan KPM yang sewenang-wenangnya melantik jururunding yang tidak sepadan dengan harganya, terutama apabila pilihan yang lebih murah dan lebih baik telah sedia ada," tegas Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP itu.

 CARA BERKASIH SAYANG MENGIKUTI SUNNAH RASULULLAH 
 
1. Tidur satu selimut bersama isteri

 2. Memakai wangi-wangian 
 3. Mandi bersama isteri
 4. Menyikat rambut suami 
 5. Membantu isteri di dapur 
 6. Minum bergantian pada tempat yang sama 
7. Membelai isteri 
8. Tidur dipangkuan isteri 
9. Memanggil dengan kata-kata mesra 
10. Berjalan berpegangan tangan Y

Teras saran naikkan cukai rokok dan arak

Harakahdaily, 21 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Teras Pengupayaan Melayu (Teras) bertegas supaya cukai eksais arak dan rokok dinaikkan sehingga ke tahap mengekang tabiat menagih arak dan rokok yang semakin tinggi di negara ini.

Menurut Presidennya,  Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar), kerajaan tidak mengenakan kenaikan cukai eksais kepada rokok  sejak 2010 dan arak sejak 2005 sehingga usaha mencegah tabiat negatif berkait kedua-dua komoditi ini tidak berkesan.

"Demikian juga cukai eksais arak hanya dinaikkan pada 2005 yang telah menaikkan harga arak sebanyak  23.3 %  kepada RM7.40 seliter," ujarnya.

Menurut Azmi, rakyat Malaysia berbelanja USD500 juta setahun untuk arak menjadikannya antara 10 negara tertinggi di dunia yang minum arak dengan kadar 7 liter per kapita.

"Kini sepertiga mereka yang minum arak di Malaysia adalah mereka yang ketagih arak," kesal beliau.

Menurutnya, ketika cukai eksais rokok dinaikkan pada 2010 dan harga rokok naik antara 7.5% hingga 9% setiap kotak 20 batang , penjualan rokok telah menguncup hampir 3.5 % .

Malah tambah beliau, kajian di peringkat antarabangsa mengakui bahawa instrumen cukai sangat berkesan untuk mencegah tabiat merokok dan minum arak setidak-tidaknya di kalangan golongan remaja dan kelompok berpendapat rendah.

"Kami berpendapat kerajaan perlu menunjukkan kesungguhan untuk mengguna pendekatan menaikkan harga sebagai salah satu strategi untuk mengatasi tabiat yang bukan sahaja menjejaskan ekonomi rumahtangga malah menimbulkan jenayah sosial yang parah.

"Umum mengetahui bahawa walaupun bagi golongan perokok dan peminum arak tegar sukar untuk menghentikan tabiat buruk tersebut , namun paling tidak dengan mengenakan cukai yang tinggi ia boleh berperanan mengurangkan kemampuan untuk mereka membeli terutama di kalangan golongan muda," jelas beliau.

Azmi menjelaskan, tidak timbul masalah ketagihan arak dan rokok di kalangan orang Islam jika mereka  mempunyai tahap kesedaran agama yang tinggi.

"Islam dari awal meletakkan kaedah antara manfaat dan kemudaratan yang menjadikan sesuatu hukum itu haram atau disebaliknya.

" Akan tetapi oleh kerana masyarakat Islam juga terdedah kepada pengaruh iklan dan kejahilan kepada hukum agama , selain mempunyai keimanan yang lemah ,  maka gejala ini kini berleluasa di kalangan umat Islam," kesal beliau.

Teras tambahnya, menyarankan kerajaan menerima pakai kaedah Islam sebagai asas mengatasi isu ketagihan rokok dan arak kerana kaedah selain Islam hanya boleh menyelesaikan isu arak dan rokok dalam jangka masa pendek.

"Penyelesain yang jauh lebih berkesan dan mutlak adalah melalui syariat Islam," tambahnya.

Tiada ulasan: