Ahad, 13 Oktober 2013

TADBIRLAH IKUT ACUAN@CARA ISLAM....AKAN SELAMAT DUNIA DAN AKHIRAT

Menambah seri Islam di Selangor

Wawancara|Harakahdaily, 13 Okt 2013

SELEPAS memenangi kerusi  Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabak pada pilihan raya umum (PRU) 2013 lalu, rutin hidup  USTAZ SALLEHEN MUKHYI berubah. Walaupun pernah bergelar Adun apabila menang buat pertama kali pada PRU1999, beliau hanya memanaskan kerusi pembangkang di Dun Selangor selama sepenggal. Kini tugas beliau semakin mencabar apabila diamanahkan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Desa Selangor pada penggal kedua pemerintahan Pakatan Rakyat di Selangor. Ketiga-tiga portfolio ini berhubung rapat dengan masyarakat Melayu luar bandar - segmen masyarakat yang masih gagal dikuasai Pakatan Rakyat khususnya di wilayah-wilayah koridor utara Selangor. Ikuti wawancara wartawan Harakahdaily, AHMAD TAJDID  dan SAIDAH HAIRAN bagi meninjau sudut pandang Ustaz Sallehen terhadap portfolio yang diketuainya. Wawancara berlangsung di pejabat beliau di Tingkat 15, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam.



Bagaimana ustaz melihat kepercayaan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terhadap ustaz untuk mempengerusikan  portfolio berhubung Islam, pertanian dan desa?

Pertama sekali saya merujuk kepada keperluan untuk kita menangani 2.8 juta umat Islam di Selangor bagi  dibangunkan melalui pembangunan Hal Ehwal Islam.  Saya pun tidak tahu apa pertimbangan sebenar (MB) memilih saya mengetuai portfolio ini. Kepercayaan yang diberikan kepada saya akan saya laksanakan khususnya untuk 2.8 juta umat Islam di Selangor.

Portfolio yang saya sandang ini merangkumi  pembangunan ilmu sampai kepada pembangunan fizikal sama ada masjid, sekolah, maahad dan lain-lain.

Jadi ini satu peluang kepada saya untuk memastikan seluruh umat Islam di Selangor dapat merasai pembangunan Islam melalui kerajaan negeri. Pada era pemerintahan Pakatan Rakyat ini, kita mempunyai fokus yang lebih terarah dan hala tuju yang lebih jelas terhadap Hal Ehwal Islam. Itu yang saya rasa  Tan Sri (Menteri Besar) kehendaki.

Setakat ini apa aspek tentang Hal Ehwal Islam ustaz rasa perlu diberi perhatian khusus?

Bila bercakap soal tuntutan,  saya kena melihat kepada keperluan dan kehendak masyarakat. Bukan sahaja tuntutan saya tetapi lebih dilihat tuntutan masyarakat. Yang lebih besar dan menonjol adalah soal  jaminan pendidikan anak-anak atau generasi melalui satu pendidikan yang lebih terjamin.

Kita memfokuskan kali ini untuk menyediakan Maahad Tahfiz Sains di setiap daerah. Ini kerana menyedari bahawa ia merupakan satu tuntutan yang paling besar masa kini. Saya fikir ini dapat membantu meningkatkan kefahaman umat Islam.

Kedua adalah keperluan untuk menyediakan sumber tenaga manusia iaitu guru atau murabbi dan para ulama. Ini fokus yang besar juga. Sebab apabila kita semak melalui kesempatan saya dalam ruang yang ada ini, kita selama ini ramai menghantar pelajar mengikuti pengajian di Timur Tengah. Masalahanya kita kita tidak dapat’ pegang’ mereka.  Sehingga masalah kita sekarang ini jika hendak membina sekolah bukan masalah duit sangat tetapi tenaga pengajar. Ini juga menjadi fokus untuk saya cuba hadapi dan melihat pendidikan sebagai satu segmen yang mesti diberi penekanan berbanding yang lain.

Perkara yang lain sudah nampak sama ada dari pengurusan masjid walaupun masih ada lagi yang merungut. Bagaimanapun, masjid kita sudah bertambah berseri cuma daripada sudut asas sahaja.

Tentang Maahad Tahfiz Sains sekarang ini ada projek perintis?

Maahad tahfiz kita sudah ada tiga tempat di Kuala Langat, Klang dan di Sabak Bernam. Cuma di Sabak, kita letak sementara di Institut Latihan Dakwah. Bahkan di Sabak Bernam bukan sahaja Maahad Tahfiz Sains biasa. Kita wujudkan kelas Turath iaitu pelajar tingkatan satu yang  akan didedahkan satu pendidikan yang kurikulumnya menggunakan kitab Turath iaitu kitab besar yang lazimnya menjadi rujukan pelajar universiti.

Pelajar diberi penekanan mempelajari  bahasa Arab, bagaimana hendak baca kitab. Ini penekanan daripada tingkatan satu. Hasilnya, pelajar ini ada keupayaan bahkan setaraf bahasa Arab dengan SPM walaupun baru berada tingkatan satu dan dua.

Maahad Tahfiz Sains di Sabak ini kita akan pindahkan di bangunan IKYS di Bagan Terap. Ia akan jadi (Maahad Tahfiz) terbesar di Selangor.

Perancangan akan datang di mana ustaz?

Kita tengah mengintai beberapa tempat lain tetapi yang kita sedang cadangkan di Sepang. Kemungkinan kita akan buat dalam kawasan Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis).  Ada satu bangunan di Kuis yang diperuntukkan untuk program bina Insan tetapi akan diambil alih kerajaan negeri bagi tujuan ini.

Yang lain kita tengah lihat daerah Hulu Langat dan Hulu Selangor. Pada waktu yang sama di  Kuis telah kita wujudkan satu bidang pengajian tahfiz sains atau pengajian tahfiz. Sebab di negara kita ini hanya ada tiga orang sahaja yang pakar tahfiz tafsir. Jadi kita hendak melahirkan ini. Di Kuis sudah ada hampir 90 pelajar (perintis).


Ada perancangan kerajaan negeri untuk wujudkan Kafa Menengah. Bagaimana perkembangannya?

Kafa Menengah setakat ini kita sudah mengenal pasti beberapa sekolah yang akan kita wujudkan sebagai projek perintis. Kita akan membuat perkhidmatan tambahan dengan memasukkan program Kafa Menengah di bangunan Sekolah Rendah Agama (SRA)  dan ia akan berjalan tiga hari dalam seminggu.

Jadi pelajar sekolah menengah kalau dia biasa tingkatan satu belajar petang, maka pagi akan mengikuti kelas Kafa. Petang sekolah menengah biasa. Kita tidak dapat memenuhi lagi di semua sekolah. Kita akan buat  satu daerah satu sekolah sebagai perintis.

Ini kerana kita perlu melihat kecenderungan pelajar sama ada mereka sendiri atau ibu bapa mereka (yang mahu pendidikan agama). Sebab suara yang datang kepada kita, ramai daripada ibu bapa. Dalam soal pendidikan, jika minat datang daripada ibu bapa biasanya kita akan gagal. Biar minat itu datang daripada pelajar. Ibu bapa mesti mendorong anak-anak dengan cara memberi motivasi.

Jika Kafa Menengah menjadi pilihan kepada anak-anak, sama ada dia hendak belajar atau tidak, mereka akan naik terus sekolah menengah.  Buat masa ini kita hendak wujudkan satu sekolah di setiap daerah.

Dalam waktu yang sama kita membuka peluang dan galakan kepada Kafa persendirian. Jika itu boleh dibuat oleh banyak pihak maka ia akan membantu usaha kita untuk mewujudkan  Kafa Menengah.

Bila projek Perintis ini akan dilaksanakan?

Tahun 2014. Kalau berjaya dengan projek perintis yang kita buat di setiap daerah, kita akan laksanakan Kafa Menengah pada tahun 2015.

Beralih kepada pengurusan masjid. Apa pembaharuan yang patut dilakukan di masjid dan surau khususnya bagi menarik kehadiran jemaah?

Kita akan cuba untuk laksanakan satu program baru iaitu masjid sebagai pusat komuniti masyarakat. Bagaimana kita hendak mengkomunitikan masjid itu. Antaranya yang kita akan buat adalah masjid dengan persekitarannya perlu dibangunkan melalui beberapa program yang menarik minat masyarakat.

Jika masjid ada ruang untuk membuat padang futsal maka masjid boleh buat padang futsal. Jika masjid ada ruang untuk buat bengkel  jahitan kepada golongan wanita, masjid kena buat. Jika masjid ada ruang untuk majlis kenduri umpamanya dewan, masjid boleh buat.

Saya fikir kalau itu kita boleh buat, orang yang datang meletakkan hati penggantungan kepada masjid, maka ini boleh menyemarakkan program masjid.

Kita akan semak melalui ketua kampung dan nazir masjid, bagaimana masjid perlu belajar pada persekitaran dan cadangkan kepada kita. Sekarang ini ada bebeberapa masjid yang mempunyai klinik dalam kawasan masjid. Macam Masjid Bandar Baru Sungai Buloh dan sebuah masjid di Ijok.

Kita juga hendak menjadikan kemakmuran masjid itu sebagai KPI (Indeks Prestasi Utama) kepada imam dan nazir. Ini bertujuan menilai sejauh mana masyarakat berjaya mengurus masjid. Kita jadikan kemakmuran masjid sebagai KPI tahap kepuasan.

Mula tahun depan masjid perlu menyediakan Pegawai Mualaf atau saudara baru. Selama ini Pegawai Mualaf hanya seorang sahaja di Pejabat Agama Daerah. Sedangkan peruntukan zakat untuk saudara baru tidak kurang RM40 juta setahun.

Kalau kita agihkan maknanya sembilan daerah, ada seorang Pegawai Mualaf yang jaga peruntukan RM4 juta. Ini tidak efisyen. Setiap masjid kena ada rekod dan buat program untuk mualaf. Kita hendak melihat keadaan rumah mereka, anak-anak mereka bersekolah atau tidak dan sebagainya.

Strategi urus dana S’ngor berbeza P Pinang - Khalid

Selangorku, 13 Okt 2013
KLANG: Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyambut baik pandangan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap pengurusan dana kerajaan negeri di bawah pentadbirannya.

Malah, Abdul Khalid menyifatkan teguran dan kritikan adalah amalan sihat yang dibudayakan dalam kepimpinan Pakatan Rakyat.

“Itu perkara biasa, kita (Pakatan Rakyat) sentiasa menggalakkan perbincangan dan meraikan pendapat,” ujarnya.

Semalam, Anwar ketika berucap di pentas terbuka semasa forum berhubung Laporan Ketua Audit Negara 2012 di Petaling Jaya berkata Abdul Khalid seharusnya mengimbangi perbelanjaan dengan simpanan kewangan Kerajaan Negeri.

Sebaliknya, Anwar menyukai cara Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan contoh pemimpin PR yang berjaya menguruskan belanjawan yang seimbang.

Menjawab pandangan Anwar itu, Abdul Khalid berkata usaha mengumpulkan dana adalah jauh lebih sukar berbanding membelanjakan dana yang ada.

“Apa yang membezakannya adalah strategi pengurusan dana (antara Selangor dan Pulau Pinang). Saya merasakan adalah sangat sukar untuk mengumpulkan dana berbanding membelanjakan dana.

“Bagi Selangor, untuk membelanjakan dana ini dilakukan dengan penuh tertib supaya rakyat tahu kemana duit mereka dibelanjakan,” jelasnya kepada TVSelangor seusai Majlis Penyerahan Lembu Korban 2013 di Masjid Kampung Pendamar, hari ini.

ASB2 untuk siapa?

Zairil Khir Johari Roketkini, 13 Okt 2013
KETIKA Datuk Seri Najib Razak awal-awal menjadi Perdana Menteri, beliau menjanjikan perpaduan nasional melalui kempen 1Malaysia dan Model Ekonomi Baru (MEB). Dasar ekonomi yang diuar-uarkan ini dikatakan akan mengambil pendekatan tindakan afirmatif berasaskan keperluan, yakni kepada golongan berpendapatan 40 peratus terendah tanpa mengira kaum.

Usaha ini menandakan pemisahan daripada Dasar Ekonomi Baru (DEB) sebelum ini yang berasaskan kaum. Dengan anjakan paradigma ini, Najib mengisyaratkan bahawa pembangunan ekonomi negara pada masa depan akan bertunjangkan prinsip keterangkuman sosial, di mana setiap rakyat Malaysia akan dihitungkan, khususnya mereka yang paling memerlukan bantuan.

Malangnya, janji Najib semua sudah terbatal. Konsep 1Malaysia kini menjadi tidak lebih daripada jenama bagi kedai runcit subsidi, klinik bergerak, skim perumahan mampu milik, menu makanan bajet, serta peruncit tekstil dan lain-lain lagi.

Pada masa yang sama, MEB pula jelas dipinggirkan oleh NEB versi baru yang dinamakan agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera (PEB).

Dasar PEB yang baru dilancarkan ini membabitkan pelbagai inisiatif berasaskan kaum, termasuk pembentukan Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera, penubuhan Unit Pembangunan Bumiputera di setiap kementerian, jaminan bahawa Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) utama akan meningkatkan penyertaan vendor Bumiputera, serta pelancaran 10 bilion unit saham baru Skim Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB2) oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Sementara MEB menawarkan liberalisasi pasaran dan tindakan afirmatif berasaskan keperluan yang akan memberi tumpuan kepada usaha merapatkan jurang antara yang kaya dan miskin, PEB pula seolah-olah usaha untuk mengembalikan DEB yang terbukti gagal membela golongan Melayu miskin, tetapi sebaliknya lebih memanfaatkan golongan kapitalis Melayu yang mempunyai hubungan akrab dengan parti pemerintah.

Hakikat ini adalah jelas apabila kita pertimbangkan perangkaan yang menunjukkan bahawa setelah empat dekad bantuan yang kononnya disasarkan kepada Bumiputera, masih terdapat 40 peratus isi rumah Bumiputera yang hidup dengan pendapatan bulanan RM1,686 secara purata. Pada masa yang sama, si kaya yang mempunyai hubungan politik mampu untuk membeli rumah banglo RM7 juta dengan begitu sahaja.

Justeru, cadangan pelancaran 10 bilion unit ASB2 adalah sangat meragukan. Siapakah yang sebenarnya mendapat manfaat daripada saham ASB tambahan yang bakal disediakan? Adakah kumpulan 40 peratus isi rumah Bumiputera terendah dapat melabur dalam saham yang berhasil tinggi ini sedangkan pendapatan mereka hanya cukup makan dan pakai?

Menurut laporan tahunan PNB, pelaburan purata pelabur Bumiputera adalah RM14,097 seorang pada akhir 2012. Sekali pandang, angka ini tampak menunjukkan bahawa ramai orang Melayu sudah mencapai kadar simpanan yang agak selesa.

Bagaimanapun, apabila laporan ini diperhalusi, angka ini benar-benar mengelirukan. Setelah dicerakinkan, didapati bahawa 74 peratus atau hampir tiga perempat pelabur Amanah Saham Bumiputera sebenarnya mempunyai pelaburan purata hanya RM611 setiap seorang. Angka ini jauh berbeza dengan purata keseluruhan pelabur dan lebih mencerminkan realiti rakyat.

Dalam erti kata lain, hanya golongan pelabur elit Bumiputera yang mampu melabur dengan jumlah yang ketara, sementara majoriti pelabur Bumiputera yang lain ternyata tidak mampu menikmati tawaran saham ini. Oleh itu, bagaimanakah mungkin langkah Kerajaan untuk menyediakan lebih banyak unit ASB dapat memberi manfaat kepada Bumiputera kebanyakan?

Malah, satu kajian oleh pakar ekonomi, Dr Muhammed Abdul Khalid mendapati bahawa perbezaan kekayaan antara pelabur ASB adalah sangat mencolok, di mana 0.1 peratus teratas pelabur Bumiputera mempunyai portfolio terkumpul yang bernilai 1,526 kali lebih banyak berbanding gabungan 80 peratus pemegang saham terbawah. Oleh itu, tidak syak lagi bahawa kumpulan elit Bumiputera ini juga yang akhirnya akan mendapat manfaat daripada tambahan 10 bilion unit ASB2, dan bukannya Melayu biasa yang sekadar mampu untuk melabur sebanyak RM611.

Maka, persoalannya – untuk siapakah ASB2 ini sebenarnya? Pastinya bukan untuk Bumiputera kebanyakan.

100 petugas pilihan raya PAS Kelantan gempur Sg Limau

Aslani M, 13 Okt 2013
KOTA BHARU: PAS Kelantan menghantar kira-kira 100 petugas jentera pilihan raya bagi membantu kempen mempertahankan Dun Sungai Limau pada pilihan raya kecil 4 November ini.
Pasukan tersebut dihantar sebanyak empat peringkat dengan kekuatan 25 petugas satu kumpulan.
Timbalan Pesuruhjaya PAS 1, Datuk Ahmad Yakob berkata, petugas-petugas terbabit dikenal pasti mereka yang berpengalaman dalam mengatur gerak kerja pilihan raya.
“PAS Kelantan mengerah tenaga bersama petugas-petugas dari negeri lain bagi mempertahankan Dun Sungai Limau yang dimenangi PAS sejak beberapa penggal lalu,” katanya di sini.
Pilihan raya kecil Sungai Limau akan diadakan pada 4 November, manakala penamaan calon 23 Oktober ini. Dun terbabit mempunyai seramai 27,222 pemilih berdaftar.
Pilihan raya kecil Dun terbabit diadakan ekoran Adunnya, Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak meninggal dunia baru-baru ini.
Dun Sungai Limau terletak di kawasan Parlimen Jerai dimenangi Ustaz Azizan pada pilihan raya umum lalu dengan majoriti 2,774 undi.
Ustaz Azizan menewaskan calon BN, Mohd Fazillah Mohd Ali dan dua lagi calon bebas.
Terdapat 19 daerah mengundi di Dun terbabit iaitu Matang Buloh, Sungai Dedap,
Gelam Tiga, Bukit Choras, Bukit Besar, Simpang Tiga Luar, Simpang Tiga.
Selain itu Selengkoh, Sungai Daun, Sungai Limau, Kabu Sepuloh, Sungai Kering, Sedaka, Ulu Sedaka, Padang Lumat, Batu Enam Belas, Kampung Titi Batu, Dulang Kechil dan Dulang Besar.
Sementara itu Ilham Centre yang terbabit secara lansung kajian pilihan raya di negara ini menjangka PAS mampu mempertahankan Dun terbabit pada pilihan raya kecil 4 November ini.
Pengarahnya, Hishomuddin Bakar bagaimanapun berkata, kemungkinan PAS hanya mempertahankan kerusi tersebut dengan majoriti lebih kecil.
“Sudah menjadi kelaziman setiap pilihan raya kecil PAS dan Pakatan Rakyat akan berdepan dengan kekuatan jentera kerajaan persekutuan.
“Namun potensi masih ada pada PAS memandangkan kawasan itu masih konsisten dimenangi PAS beberapa pilihan raya sebelum ini,” ujarnya.
Malah katanya juga pilihan raya itu menjadi ukuran bagi melihat sejauh mana pengaruh Menteri Besar baru Kedah, Dato’ Mukhriz Mahathir dapat membantu kempen BN.

Libatkan penduduk dalam pembangunan desa

Wawancara|Harakahdaily, 13 Okt 2013
BAHAGIAN KEDUA wawancara ini menyentuh tentang perancangan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Desa Selangor, USTAZ SALLEHEN MUKHYI untuk memperkasakan bidang pertanian dan mengubah minda dan cara berfikir pemimpin akar umbi di kampong-kampung. Ikuti wawancara beliau dengan wartawan Harakah, AHMAD TAJDID dan SAIDAH HAIRAN.



Pembangunan pertanian mempunyai hubungan langsung dengan tahap sosio ekonomi masyarakat Melayu khususnya di luar bandar. Apa program yang ustaz rancang?

Apabila kita bercakap pasal pertanian fokus terbesar menyediakan makanan yang mencukupi untuk rakyat selangor. Bukan sekadar mencukupi tetapi yang sihat dan selamat untuk dimakan. Saya akan menggerakkan jabatan berkaitan untuk menjadikan bumi pertanian sebagai bumi selamat dan subur. Daripada pembangunan baru pertanian,  kita akan memperkenalkan pertanian alam semula jadi.

Ia satu bentuk pertanian moden yang bestari,  mesra alam dan kita cuba mengurangkan penggunaan kimia dan racun. Berdasarkan kajian, ia ternyata lebih jimat dan keuntungan jauh lebih besar, terutama bagi penanaman padi. Begitu juga tugas saya memastikan penyertaan masyarakat untuk meningkatkan tahap ekonomi daripada hasil kerja-kerja pertanian.

Setakat ini kerjasama yang diberikan oleh  agensi Persekutuan macam mana?

Alhamdulillah baik. Saya telah panggil untk bermesyuarat. Saya fikir pertanian ini tidak boleh diteropong daripada teropong politik. Kita kena ada persamaan kerana membabitkan seluruh umat, iaitu 5.4 juta rakyat Selangor.

Selama ini kita banyak bergantung dengan beras import dari Thailand. Ini cabaran kerana waktu yang sama kita setuju untuk kekalkan kawasan pertanian dan kita perlu bangunkan bentuk pertanian yang berdaya saing dan bestari. Jadi sebab itu kita perlu bekerjasama dengan semua agensi berkaitan.

Bagaimana dengan projek pertanian yang bermasalah di zaman kerajaan BN?

Sekarang ini kerajaan negeri sedang melihat di mana tanah yang telah diserahkan kepada anak syarikat tetapi tidak diurus. Maka tanah itu kerajaan negeri akan ambil semula. Akan diurus untuk projek yang lebih bermanfaat.

Sebagai contoh, Taman Alam Bukit Cherakah. Tanah itu kita telah ambil balik daripada Kementerian Pertanian kerana banyak kawasan tanah yang tidak dibangunkan, jadi kita akan bangunkan tanah itu.

Jika kita rugi kita akan hentikan. Sebab kita tak nak tanggung kerugian melainkan kita akan tender semula kepada yang berminat untuk usahakan tanah tersebut. Walaupun tanah itu sudah menjadi milik anak syarikat kerajaan negeri.


Apa perancangan ustaz tentang pembangunan desa?

Kita akan bangunkan 20 kampung yang sedia ada untuk dijadikan projek perintis iaitu di kawasan Sabak Bernam, Hulu Selangor dan beberapa penyertaan dari Parlimen lain. Fokus pertama menganjurkan bengkel untuk ketua kampung dan jawatankuasa kampung. Bengkel dibuat untuk mengubah cara kerja dan minda dan kita hendak menaikkan tahap pemikiran mereka.

Kita mahu mereka lebih bersikap serius terhadap kerja membangunkan desa. Jadi kita telah buat bengkel dan kita akan turun dengan program. Antaranya program ‘rangkaian reban' yang memberi peluang kepada penduduk kampung buat ternakan ayam melalui kerjasama dengan anak syarikat kerajaan negeri dan sebagainya.

Begitu juga pembangunan desa ini kita hendak manfaatkan atau membangunkan bersama tempat-tempat yang boleh menjadi sumber ekonomi bagi masyarakat kampung.


Bagaimana pula dengan kemudahan infrastruktur?

Kita hendak pastikan melalui pembangunan desa ada lampu jalan di kampung. Kita hendak adakan jalan-jalan perhubungan yang baik. Kita hendak mencantikkan jalan kali ini dengan penyertaan orang kampung sendiri. Kita tidak serahkan kepada kontraktor atau syarikat sahaja .

Kita juga akan tengok sungai mana yang boleh mendatangkan hasil kepada penduduk. Kita dapatkan penasihat jika sungai boleh jalankan ekonomi dengan ikan sangkar maka kita akan buat. Kita akan tengok dan akan laksanakan selepas selesai untuk mengenal pasti kampung mana yang akan kita bangunkan.

Tiada ulasan: