Selasa, 22 Oktober 2013

CARILAH RUMAH...DIDUNIA PERLU RUMAH WALAUPUN BUAT SEMENTARA KETIKA DIDUNIA...RUMAH DIAKHIRAT KENA CARI JUGA ...IAITU DI SYURGA...DISANA KEKAL BUKAN SEMENTARA

Bajet; hanya satu permintaan

Majid Yusop,
Jumaat ini belanjawan@bajet akan dibentangkan di parlimen. Sebagai rakyat Malaysia yang membayar cukai tentunya pembentangan bajet ini sesuatu yang ditunggu-tunggu. Maklumlah, nak tahu juga ke mana duit yang dikutip dari rakyat dibelanjakan.

Saya menjangkakan tiada apa-apa yang menarik untuk diraikan, Cuma saya ada satu permintaan. Permintaan saya mudah sahaja iaitu mahu semua menteri bermula perdana menteri, timbalan perdana menteri, menteri, timbalan menteri memotong semua elaun mereka yakni elaun keraian, elaun rumah, elaun keenderaan, elaun pemandu dan sebagainya. Ambillah sahaja gaji pokok sahaja.

Cadangan ini dilontarkan sesuai dengan suasana semasa iaitu tindakan kerajaan yang memotong atau mengurangkan subsidi rakyat. Jadi tentulah adil jika rakyat dipotong subsidi sementara menteri dipotong elaun.

Biar kita sama-sama merasai susahnya menghadapi kenaikan harga minyak, harga barang keperluan harian, membayar tol dan sebagainya.

Ketika di jalan raya, tidak perlulah ada polis pengiring kerana para menteri juga perlu merasai bagaimana susah payahnya kami melalui kesesakan jalan raya dan bagaimana takutnya rakyat yang terdedah kepada jenayah ragut, rogol, rompak dan sebagainya.

Marilah sama-sama merasai susah payah rakyat menghadapi kehidupan seharian. Jangan hanya tunggu ada wartawan barulah mahu berlakon kononnya berjiwa rakyat.

Tiadalah pemimpin jika tiada rakyat. Oleh itu, hargailah rakyat selagi rakyat menghargai anda.

Selangor sasar bina 35,000 unit rumah mampu milik

Wawancara|Harakahdaily, 22 Okt 2013

MENYEDIAKAN rumah untuk lebih 5.46 juta penduduk adalah satu tugas yang mencabar lebih-lebih lagi bagi negeri berstatus maju seperti Selangor. Apakah perancangan kerajaan negeri bagi memenuhi keperluan asasi rakyat ini dan cabaran yang dihadapi untuk mencapainya?  Ikuti wawancara wartawan Harakahdaily, AHMAD TAJDID dan SAIDAH HAIRAN dengan PENGERUSI JAWATANKUASA TETAP PERUMAHAN, PENGURUSAN BANGUNAN & PENEROKA BANDAR NEGERI SELANGOR, ISKANDAR ABDUL SAMAD di pejabatnya di Tingkat 5, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, 17 Oktober lalu.




Harakahdaily: Apa perancangan kerajaan negeri bagi memastikan setiap unit keluarga di Selangor memiliki rumah sendiri?

Iskandar Abdul Samad: Berdasarkan plan tindakan (blue print) kita akan memastikan setiap rakyat (keluarga) mempunyai rumah. Tidak semestinya untuk dibeli, malah untuk disewa. Ini kerana ada orang yang mampu membeli rumah dan ada orang yang tidak mampu membeli rumah.

Pada penggal pertama (pemerintahan Pakatan Rakyat, 2008-2013) kita fokus kepada syarikat-syarikat  swasta dengan mensyaratkan perlu membina rumah mampu milik.  Anak syarikat kerajaan negeri iaitu Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) juga disyaratkan membina rumah mampu milik.

Hasil pengalaman penggal pertama itu, kita melihat pembinaan rumah mampu milik ini perlukan usaha yang lebih fokus. Sehubungan itu, bersesuaian dengan janji manifesto (Pakatan Rakyat), kita akan wujudkan satu badan khas seperti Housing & Development Board (HDB) di Singapura.

HDB Ini kita akan letakkan di bawah Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS). Ia mempunyai tugas untuk menambahkan stok perumahan mampu milik di Selangor.

Mungkin kita tidak dapat tambah dengan drastik dalam masa empat tahun, tapi kalau kita lihat peruntukan yang telah diluluskan seperti mana yang dijanjikan dalam manifesto PRU lepas iaitu RM50 juta. Selepas PRU ke-13 kita tambah kepada RM100 juta.  Akhirnya selepas perbincangan, jumlah itu meningkat kepada RM450 juta.

Kerajaan akan menambah bilangan rumah mampu milik dengan membinanya melalui HDB atau membeli rumah mampu milik sedia ada dan diletakkan di bawah HDB.

Dengan peruntukan RM450 juta, kita sasarkan pembinaan 5,000 hingga 7,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh 4 atau lima tahun. Kita tidak jual kesemuanya. Sebahagiannya akan kita sewakan kepada rakyat yang tidak mampu membeli rumah.

Masalah perumahan ini bukan dari segi harga rumah  (semata-mata) tetapi pendapatan rakyat yang rendah. Jadi untuk menampung mereka yang tidak boleh beli rumah, kita akan wujudkan rumah untuk disewa seperti 'council home' sebagaimana yang wujud di negara-negara lain.

Daripada peruntukan RM450 juta itu, mungkin RM350 juta untuk kita bina (rumah mampu milik) dan jual manakala RM150 juta untuk kita (bina dan) sewakan kepada rakyat.

Selain itu di Selangor ada banyak projek besar yang sedang dibina oleh syarikat swasta. Contohnya Sime Darby ada projek besar yang sekarang ini sedang dirancang dan sedang dibina. Kita ada Kwasa Land Sdn Bhd iaitu anak syarikat KWSP.  Kwasa Land Sdn Bhd akan majukan  tanah Lembaga Penyelidikan Getah Malaysia (RRIM) di Sungai Buloh. Kita tetapkan 40 peratus daripada rumah yang bakal dibina di situ adalah rumah mampu milik.

Satu lagi syarikat Gamuda Land ada tanah yang hendak dimajukan di sebelah Utara Selangor. Daripada keseluruhan projek syarikat swasta dan anak syarikat kerajaan negeri, kita mensasarkan 35,000 unit rumah mampu milik dibina di Selangor dalam masa lima tahun.

Masalah pemilikan rumah di negara kita ini bagai tidak berkesudahan. Puncanya?

Sebenarnya  pembinaan rumah di negara kita tidak mencapai permintaan. Sebagai contoh, di negara kita pembentukan keluarga setahun adalah lebih kurang 110,000 keluarga. Jumlah rumah yang dibina jauh lebih rendah iaitu antara 70,000 hingga 80,000 unit setahun. Ini tidak seimbang.  Pembentukan keluarga dan pembinaan rumah memang tidak seimbang.

Sebagai langkah mengatasi masalah ini, kita buat satu badan yang baru (seumpama HDB di Singapura). Kita tidak bergantung pada PKNS dan PNSB sahaja.  Kita lihat apa yang dilakukan di Singapura. Kita belum beri nama  tetapi ia akan diletakkan di bawah Lembaga Perumahan.

Sekarang ini ada satu unit di bawah Lembaga Perumahan yang dinamakan  Perumahan Hartanah Selangor (PHS) dan ia ada anak syarikat. Sekarang kita nak tubuh satu lagi unit. Yang ada sekarang adalah Perumahan Selangor Sdn Bhd dan unit yang sedia ada ini diwujudkan untuk membeli (rumah) kuota bumiputera.  Jika ada pemaju yang mengadu tidak boleh menjual unit rumah kuota bumiputera,  unit rumah ini kita beli supaya kuota bumiputera tidak terlepas kepada orang lain.

Kerajaan Pusat baru hendak wujudkan mekanisme ini tapi kita sudah wujudkan pada 2009 lagi.

Projek pertama oleh unit baru ini kita laksanakan  di Bangi dengan keluasan 12 ekar. Mungkin kita boleh bina 500 unit dulu. Selain itu ada banyak tanah kerajaan yang kita sudah kenalpasti untuk dibangunkan (rumah mampu milik).

Masalah utama pembinaan rumah mampu milik adalah tanah dan Kerajaan Pusat meminta kerjasama kerajaan-kerajaan negeri untuk memperuntukkan tanah bagi tujuan itu.  Di Selangor bagaimana?


Di Selangor memang baru-baru ini pihak Jabatan Perumahan dipanggil oleh Menteri (untuk berbincang). Saya pun sudah banyak kali minta hendak berjumpa dengan Menteri. Sudah tiga kali tulis surat namun tidak berbalas. Tapi (akhir-akhir ini) memang betul dia ada panggil pihak Jabatan Perumahan, minta kalau kita ada tanah. Kita tidak ada masalah untuk bekerjasama dengan Kementerian Perumahan.

Kita lihat PR1MA (Projek Perumahan 1Malaysia) ada dua projek di Selangor. Banyak projek perumahan pusat (PR1MA) dilaksanakan di Sarawak dan Johor. Saya tidak rasa permintaan di Sarawak itu tinggi berbanding Selangor.

Q&A: Beramal dengan pendapat ulama

Harakahdaily , 22 Okt 2013
Soalan;
Ustaz, saya selalu mengalami kesukaran apabila terdapat pelbagai pendapat ulama tentang satu-satu masalah. Contohnya, saya seorang yang bermazhab Syafie, tetapi pada masa yang sama saya menggunakan pendapat Dr Yusuf Qardawi dalam sesetengah masalah (contohnya taharah). Adakah saya dikira talfiq? Dan andaikata terdapat banyak pendapat ulama dalam bab taharah (contohnya Yusuf Qaradawi, ulama A dan ulama B), adakah saya perlu melakukan tarjih terlebih dahulu untuk memilih pendapat mana yang lebih kuat pada penilaian saya? Bolehkah kita menggunakan pendapat ulama A untuk masalah 1 dan ulama B untuk masalah 2 kerana pendapat ulama itu lebih mudah dalam masalah itu. Tidakkah ia menyerupai talfiq?

Jawapan;
Untuk membicarakan topik ini, ia memerlukan masa yang agak lama. Bagi tujuan ini, kami cuba meringkaskannya.

Tidak dapat tidak, seseorang itu akan memulakan proses mempelajari dan mengamalkan sistem Islam dengan cara bertaqlid kepada satu Mazhab. Apabila seseorang itu melalui proses pembelajaran, dan melihat akan ada alternatif kepada padangan yang ada, dia dikatakan telah melalui proses Takhayyur. Takhayyur adalah proses memilih pendapat dari pelbagai pendapat atau Mazhab.

Proses Takhayyur ini selalunya terhasil tanpa seseorang itu mengetahui nas-nas atau dalil-dalil kenapa hukum itu terjadi. Hasil dari proses ini akan berlaku Talfiq. Seseorang itu akan dikatakan melakukan Talfiq apabila dia berpegang kepada satu Mazhab contohnya Syafie, dan ada beberapa hukum yang lain memilih pandangan Mazhab yang lain contohnya Hanafi. Contohnya seperti seorang bermazhab Syafie mengatakan tidak batal wuduk apabila besentuhan dengan wanita kerana berpegang kepada pandangan Mazhab Hanafi, walaupun tidak mengetahui dalilnya.

Seseorang yang melakukan Talfiq yang sedemikian, juga dikatakan melakukan Taqlid juga; iaitu berubah taqlid dari mazhab Syafie kepada bertaqlid kepada Mazhab Hanafi. Perkara perubahan ini, boleh diakibatkan oleh :

a. Pemerintah; misalnya membayar Zakat Fitrah menggunakan wang sebagaimana yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Negeri.

b. Darurat; disebabkan keadaan dan suasana, misalnya menggunakan kaedah batal wuduk menurut Mazhab Hanafi atau Hanbali, kerana kesukaran menjaga diri di Mekah dari disentuh wanita ajnabi.

Keadaan (a) menyebabkan seseorang itu melakukan Talfiq tanpa dia sendiri sedar atau mengetahui. Sebagaimana kata Syiekh Ibn Utsaimin, Mazhab orang Awam ialah Mazhab Pemerintahnya. Apa sahaja keketapan yang telah dibuat oleh pihak pemerintah, itulah mazhab mereka.

Ada juga proses pemilihan hukum dilakukan dengan ijtihad, dengan menurut dalil-dalil dan nas yang kuat atau yang lebih Rajih. Di sini kita melihat proses Tarjih atau saringan hukum dijalankan. Peringkat ini bukan dimiliki oleh orang-orang awam. Ini adalah proses yang dilakukan oleh Imam-Imam yang Mujtahid atau satu badan Fatwa yang melakukan Ijtihad.

Secara umum dan ringkasnya, bolehlah kitakan bahawa proses dihadapi oleh orang awam adalah proses Talfiq. Apabila memelihat (bukan memilh) nas atau dalil yang dipakai oleh Mujtahid tadi, kita dikatakan telah melakukan al-‘ittibaa’. Seseorang itu dikatakan telah memilih pandangan tersebut tanpa melihat akan Mazhab itu sendiri. Ketetapan nas dan dalil itu telah dilakukan oleh Mujtahid tersebut, dan kita Cuma al-‘ittibaa’ atau “menuruti” pendapat Imam tersebut.

Terdapat ulama yang melarang Talfiq atas beberapa syarat. Yang membenarkannya juga meletakkan beberapa syarat, dan diantaranya :-

a. Niat melakukan Talfiq; disebabkan keperluan, darurat, dan sebagainya. Tidak boleh dilakukan kerana mengikut nafsu.

b. Tidak bertujuan memilih keringanan dari pandangan Mazhab tersebut. Jumhur ulama melarang menghimpuan kesemua keringan di dalam setiap Mazhab. Ini dinamakan Tatabu’ Rukhas (mengambil pendapat-pendapat yang ringan).

c. Tidak membawa kepada perlanggaran ijmak.

c. Tidak boleh bertalfiq atas perkara yang bukan Ibadat badan; seperti nikah kahwin, hudud, penetapan awal bulan, dsb. Perkara ini memerlukan kuasa yang memerintah. Contohnya, berkahwin tanpa wali sebagaimana bertalfiq dengan Mazhab Hanafi.

Berdasarkan syarat-syarat ini, dan dilakukan dengan penuh hati-hati, seseorang itu dibolehkan melakukan Talfiq. Perlu ingat, ini merupakan talfiq diantara Mazhab yang muktabar dan orang awam tidak dibenarkan melakukan tarjih oleh kerana ia adalah sebahagian dari proses Ijtihad yang hanya dilakukan oleh Imam Mujtahid.

http://solatjemaahjumaat.blogspot.com/

Sungai Limau: Pakatan angkat suara anak muda

Harakahdaily, 22 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia menyokong penuh calon anak muda Ustaz Mohd Azam Abdul Samat yang diumumkan bagi mewakili PAS dan Pakatan Rakyat (PR) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Limau pada 4 November ini.

“Kami yakin akan kemampuan anak muda ini untuk membawa inspirasi dan suara anak muda di dalam Dun Kedah kelak dan mampu menggalas tugas yang ditinggalkan oleh mantan Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak,” kata Naib Ketuanya, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss.

Katanya, DPPM yakin calon itu yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Jerai akan mampu membawa lagasi yang telah ditinggalkan oleh Allahyarham Tan Sri Azizan dahulu.

Beliau berkata, DPPM bersama-sama AMK dan DAPSY akan berganding bahu untuk memastikan Dun Sungai Limau kekal kepada PAS nanti.

“Kami mengharapkan pengundi Dun Sungai Limau akan terus memberikan sokongan kepada anak muda ini untuk memberikan khidmat yang ditinggalkan oleh Allahyarham Ustaz Azizan.

“Malah kami berkeyakinan anak muda khasnya akan turut memberikan sokongan tidak berbelah bagi kepada Ustaz Azam,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, DPPM melihat pemilihan Ustaz Azam penting kerana PR mengiktiraf peranan anak muda untuk meneruskan kerja buat Allahyarham Ustaz Azizan selama ini.

Kelantan bina 487 rumah mampu milik di Gua Musang

Salmah Mat Husain, 22 Okt 2013
KOTA BHARU: Selepas kejayaan membina rumah mampu milik (RMM) di Labok Machang, kerajaan negeri kini sedang merangka bagi membina rumah yang sama di Gua Musang.

Program yang membabitkan pihak swasta itu berharga RM43,000 seunit.

Anggota exco kerajaan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, sebanyak 487 buah rumah akan dibina untuk keperluan rakyat khususnya dalam parlimen tersebut.

Beliau ketika ditemui di pejabatnya hari ini, memberitahu kediaman berkenaan akan dibina secepat mungkin bagi memenuhi keperluan rakyat.

Katanya, kerajaan negeri melalui anak syarikatnya juga akan membina kediaman yang sama di Bukit Gander, Tanah Merah dan Bunut Susu Pasir Mas.

"Kerajaan negeri akan berusaha sedaya mungkin mencari tapak tapak baru untuk projek perumahan demi untuk kemudahan rakyat," ujarnya.

Beliau turut memberitahu, hanya 10 orang pemohon yang layak untuk membeli RMM yang dibina di Kampung Labok, Machang.

Katanya, jumlah pemohon melebihi jumlah rumah hanya 24 buah rumah.

Bagaimanapun, jelasnya banyak permohonan terpaksa ditolak memandang pemohon tidak mempunyai syarat yang telah ditetapkan.

"Contohnya mereka telah mempunyai rumah, tempat bekerja begitu jauh jika diukur dari jarak rumah dan lain-lain lagi,” katanya.

Tiada ulasan: