Sabtu, 26 Oktober 2013

HUKUM ALLAH DILAKSANAKAN SERTA LARANGAN DITINGGALKAN...YANG SURUH BUAT DENGAN TIADA BANTAHAN....ITU YANG DINAMAKAN MENJAGA ISLAM...DAN MENGAGONGKAN ALLAH YANG MAHA BESAR

Kalimah Allah, mana atas antara mahkamah dan kabinet?

Subky Latif, 26 Okt 2013
Terkejut, takjub dan terkedu semua apabila Perdana Menteri Najib memaklumkan bahawa kabinet mentafsirkan larangan penggunaan kalimah Allah bagi agama lain selain  Islam tidak terpakai  di Sarawak dan Sabah.

Apa kaum dan agama di dua negeri itu boleh menggunakan kalimah itu.

Apakah tafsiran atas keputusan mahkamah itu tepat, mahkamah dan ahli undang-undang layak mentakwilnya.

Persoalannya sekarang pada tanggapan orang awam, siapa  antara mahkamah dan  kabinet menteri lebih atas atau lebih berkuasa dalam mentafsirkan persoalan perundangan.

Kabinet mendapati keputusan mahkamah yanag melarang orang lain selain dari Islam tidak menyentuh amalan  di Sarawak dan Sabah. Sedang fahaman umum atas keputusan  itu adalah untuk semua wilayah Malaysia.

Dari penjelasan Perdana Menteri itu boleh diertikan bahawa dalam penggunaan kalimah Allah, Malaysia menjadi stu negara dua sistem seperti komunis bagi Negeri China. Sistem komunis terpakai di semua  wilayah China kecuali Hong Kong.

Selama-lamanya orang memahamkan bahawa mahkamah punya kuasa teratas dalam mentafsirkan undang-undang. Maka sekarang kabinet boleh mengatasi mahkamah.

Apakah keputusan terakhir mahkamah atas penggunaan kalimah Allah bagi agama lain itu tepat atau tidak, memang tiada reaksi yang sepakat. Ulama sendiri berbeza pendapat tentang penggunaannya.

Ulama konservatif di Malaysia rata-rata mengira ia ekskulusif untuk orang Islam saja, manakala pandangan kedua merujuk kepada pandangan ulama tersohor dunia sekarang Syikh Yusuf al-Qardawi ada hujah bahawa Ia boleh diguna oleh semua dengan syarat-syaratnya.

Kerajaan tiada pendirian atas masalah ini. Ia membenarkan perkara ini dirujuk kepada mahkamah. Sepatutnya kerajaan membuat kajian mendalam sebelum membenarkan mahkamah memutuskannya.

Ulama yang berbeza pandangan tidak diminta oleh kerajaan mengadakan muzakarah bagi menelilti isu ini. Ulama yang berbeza pandangan itu pula masing-masing tidak tampil memberi penjelasan dan keterangan yang secukupnya.

Universiti-universiti yang ada fakulti Islam tidak menganjurkan seminar atau multaqa membincang dari sudut ilmiah dan kemuslihatannya supaya sekalian yang terdidik dalam Islam dapat menelliti  dan memahaminya.

Mufti tiap-tiap negeri sepatutnya membuat kajian mendalam menasihatkan Sultan membuat dikri melarangnya jika ia menimbulkan huru-hara. Raja yang memegang kuasa tertinggi tentang Islam boleh mengeluarkan dikri seperti yang cuba ditunjukkan oleh Sultan Selangor.

Jika ia dibimbangi boleh menimbulkan huruhara, maka Yang Dipertuan Agong berkuasa memerintahkan sesuatu mengenainya supaya orang tidak membuat keputusan pergi ke mahkamah atau mengeluarkan pendapat orang  Islam murtad jika menolak keputusan mahkamah.

Kerajaan tidak sekadar membenarkan hal itu dibawa ke mahkamah, malah membenar umat Islam yang solat Jumaat menjelang sidang mahkamah solat hajat, mohon Allah membenarkan orang Islam saja boleh menggunakan kalimah itu di Malaysia. Ratus ribu umat Islam solat hajat. Saya tidak tahu di mana Najib, Muhyiddin Yasin dan menteri-menteri Islam solat Jumaat hari itu?

Allah pun membuka pintu hati hakim melarang orang bukan Islam menggunakannya. Semua pembesar Islam menasihatkan semua pihak menerima keputusan mahkamah. Noh Gadot, penasihat agama Islam Johor dikatakan berkata, siapa menolak keputusan mahkamah murtad.

Tiba-tiba kabinet kata, keputusan mahkamah itu laku  di Semenanjung saja.

Apapun solat hajat tadi tetap satu ibadat. Semuanya dapat pahala.  Ternyata kerajaan BN tak tahu apa yang dibuatnya. Setalah ia menyaksikan solat hajat dimakbulkan, ia kata buat ijtihad ia bukan untuk Sabah dan Sarawak.

Kita ingat mahkamah tak lut. Rupanya ia lut juga.

Ziarah ayah Jamil Khir, sepatutnya Umno pergi dulu

http://www.idhamlim.com, 26 Okt 2013

26 Oktober 2013


Ziarah ayah Jamil Khir, Sepatutnya UMNO pergi dulu.

harakah azam visit jamil khir father 25101321 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -
Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir dilaporkan kesal apabila PAS dilihatnya  cuba mendapatkan kelebihan politik dengan ziarah mereka ke rumah ayah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang sakit angin ahmar sejak tiga tahun lalu di Kampung Sedaka, semalam.

Akhirnya soal keikhlasan dijadikan modal oleh Mukhriz untuk menghadapi isu yang saya lihat boleh menambahkan sokongan kepada calon PAS ini. Satu alasan dan kenyataan yang membukti UMNO sudah kehabisan modal dalam berkempen


Menurutnya, timbul tanda tanya terhadap keikhlasan ziarah yang dilakukan Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar dan calon PAS, Mohd Azam Abdul Samat apabila berita lawatan itu disiarkan serta-merta dan dilakukan dalam tempoh berkempen.
"Ini soal keikhlasan, saya tertanya-tanya apa niat beliau apabila dia melawat ayahanda Datuk Seri Jamil Khir Baharom tetapi ambil gambar dan terus dimuat naik.

"Jadi hari ini kita tertanya-tanya tujuannya," katanya pada sidang media di bilik gerakan BN .

Harakahdaily hari ini melaporkan Mahfuz dan Azam semalam menziarahi Baharom Ramli, 77 tahun yang telah sakit diserang angin ahmar selama tiga tahun.
NONELidah rasmi PAS melaporkan Mahfuz memberitahu yang Baharom mendoakan agar PAS terus menang di Sungai Limau dan berhasrat untuk bertemu Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.


Sebenarnya UMNOlah yang lebih kehadapan jika mahu dilihat dalam soal keikhlasan bila sebelum ini dalam banyak PRK telah menjadikan lawatan DS Najib semasa TG Nik Abdul Aziz sakit sebagai bahan kempen. Terpampang disetiap sudut dan ruang kain rentang DS Najib melawat TG Nik Aziz dalam PRK sebelum ini.

Sebenarnya UMNO lah yang sudah kehabisan modal setelah 3 hari kempen PRK Sg.Limau berlangsung.

Kehebatan jentera PAS mengadakan program termasuk menziarahi rumah ayah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom adalah sesuatu yang patut di puji. Ianya member kesan besar dan mengugat jentera kempen UMNO.

Sebenarnya UMNOlah  yang sepatutnya mendahului PAS kerana Bapak Jamil Khir adalah Ahli PAS dan dia perlu dipujuk untuk memberi undi kepada calon UMNO. Terlebih lagi pengaruh anaknya perlu digunakan untuk menambah undi kepada Calon UMNO.

Kalau PAS yang melawat saya lihat tidak lebih dari usaha menguatkan komitmen ayah Jamil Khir sebagai Ahli PAS untuk mendoakan malah mengundi Calon PAS. Itu tanggung jawab jentera kempen PAS.

Atau sebenarnya UMNO malu besar dengan Isu ini bila ziarah yang dilakukan mendedahkan perkara yang sebar yang tidak diketahui oleh semua orang termasuk pengundi Sg. Limau bahawa Ayah Jamil Khir adah Penyokong kuat PAS.

Ianya memberi kelebihan dan menyebabkan kemenangan yang diharapkan untuk calon PAS semakin hampir.

Bajet 2014 untuk orang kaya, miskin papa kedana

Harakahdaily, 26 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) seperti yang diumumkan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan belanjawannya di Parlimen semalam adalah satu tamparan hebat kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah.

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali berkata, bagi rakyat Malaysia, kos sara hidup sudah cukup membebankan tanpa GST.

Katanya, dengan adanya cukai itu, beban yang lebih berat akan menimpa golongan miskin memandangkan mereka hampir tidak ada pilihan lain selain membelanjakan juga sebahagian besar daripada pendapatan boleh guna (disposable income) yang ada.

“Hujah Najib bahawa GST akan menyebabkan kos barangan dan perkhidmatan semakin berkurang adalah bohong dan sekali lagi cuba mengelirukan rakyat,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Gombak dalam satu kenyatan, sebagaimana di bawah.

Pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) seperti yang diumumkan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan belanjawannya di Parlimen semalam adalah satu tamparan hebat kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah.

Malah, bermula pada kadar 6%, adalah sangat melampau. Perbandingan pelaksanaan GST yang dilaksanakan di Singapura pada kadar 7% sekarang ini juga adalah cubaan mengelirukan rakyat kerana ia mula diperkenalkan pada tahun 1994 dengan kadar hanya 3%, sejak 13 tahun yang lalu.

Dalam apa keadaan pun, membuat perbandingan dengan negara seperti Singapura dan negara-negara Eropah adalah sia-sia disebabkan tahap urus tadbir yang baik jauh lebih tinggi di negara-negara tersebut.

Bagi rakyat Malaysia, kos sara hidup sudah cukup membebankan tanpa GST. Dengan adanya cukai ini, beban yang lebih berat akan menimpa golongan miskin memandangkan mereka hampir tidak ada pilihan lain selain membelanjakan juga sebahagian besar daripada pendapatan boleh guna (disposable income) yang ada.

Hujah Najib bahawa GST akan menyebabkan kos barangan dan perkhidmatan semakin berkurang adalah bohong dan sekali lagi cuba mengelirukan rakyat.

Majoriti rakyat tidak akan dapat memanfaatkan GST dengan penjimatan ataupun pelaburan seperti golongan kaya dan berpendapatan tinggi. Ini akan mewujudkan jurang yang lebih nyata dan menyebabkan ketidakadilan sosial yang lebih berpanjangan.

Jika belanjawan tahun lalu adalah belanjawan rakyat disebabkan pilihanraya bulan Mei lalu, maka yang ini merupakan belanjawan orang kaya kerana kerajaan Umno dan Barisan Nasional merasakan ia sudah tidak lagi terhutang budi kepada rakyat.

Mereka lewatkan GST kerana mereka tahu rakyat akan membantah dan kini selepas pilihan raya mereka melaksanakannya. Maka Belanjawan 2014 ini hanya akan melebarkan kesenjangan ekonomi rakyat. Jurang kaya - miskin, gini - coefficient rakyat akan terus meluas.

Selain itu, saya meramalkan tekanan inflasi yang bakal menimbun serta kos sara hidup yang kian meningkat.

Dorongan untuk memacu sektor pelancongan, dengan membina lebih banyak hotel bertaraf lima bintang dan bersaing dengan dunia untuk memiliki bandar terhebat tidak memberi kelebihan dan kemakmuran kepada rakyat.

Di mana usaha Kerajaan untuk merendahkan kos pengangkutan atau memperbaiki pengangkutan awam ? Tidak ada disebut tentang perumahan mampu milik. Malah program kesihatan rakyat terus diabaikan.

Meskipun peruntukan yang diumumkan amat substansial, namun yang masih menjadi permasalahan adalah pengagihan dan penggunaan dana tersebut. Perbelanjaan negara tahun lalu tentang latihan Bahasa Inggeris sahaja sudah cukup menjadi contoh bagaimana pembaziran berlaku.

Dana keusahawanan melalui pinjaman mudah bagi mengurangkan pengangguran di kalangan graduan hanya akan menjurus kepada nilai hutang yang semakin memuncak. Apa yang diperlukan oleh graduan-graduan ini adalah kemahiran 'soft skill' dan lebih banyak latihan kemahiran dan teknikal untuk meningkatkan kebolehan mereka diambil bekerja, bukan hutang yang lebih banyak.

Cadangan untuk memberi dana kepada pelajar lepasan SPM untuk latihan kemahiran adalah baik dari segi prinsip, akan tetapi yang lebih signifikan adalah soal pelaksanaan serta pengkhususan di lapangan.

Kita semua setuju bahawa defisit belanjawan mesti dikurangkan, tetapi memeras lebih banyak wang daripada rakyat bukanlah caranya. Masalah asas adalah soal ketirisan, pembaziran dan rasuah.

Dengan menangani masalah ini secara tidak komprehensif, kita tidak akan mampu untuk menyelesaikan masalah yang tidak akan berkesudahan. Masalah ini tidak mampu diselesaikan dengan hanya mengutip cukai sebanyaknya.

Siasat tragedi banjir, bukan masa tuding jari

Harakahdaily, 25 Okt 2013
KUALA LUMPUR: PAS Pahang menggesa satu siasatan rapi dilakukan berhubung tragedi banjir lumpur akibat pelepasan air empangan di Lembah Bertam, Cameron Highlands yang telah meragut tiga nyawa dan satu masih hilang serta kerugian yang sangat besar.


Pesuruhjayanya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, semua pihak mesti menguatkuasakan undang-undang yang ada bagi mempastikan tragedi itu tidak berulang.

“Budaya menuding jari satu sama lain perlu dihentikan. Lebih elok untuk bekerjasama bagi mewujudkan satu pasukan kerja yang dapat memastikan peruntukan undang-undang itu dapat dilaksanakan,” ujarnya dalam satu kenyataan, sebagaimana di bawah.

PAS Pahang menggesa satu siasatan rapi dilakukan berhubung tragedi banjir lumpur akibat pelepasan air empangan di Lembah Bertam, Cameron Highlands yang telah meragut tiga nyawa dan satu masih hilang serta kerugian yang sangat besar.

Tragedi malang ini dikatakan berpunca dari Tenaga Nasional Berhad yang terpaksa membuka empangan bagi mengelak empangan tersebut dari pecah akibat hujan yang lebat, manakala ada pula dakwaan ia adalah akibat pembinaan empangan baru serta penggondolan kawasan bukit tanpa kawalan sebagai punca memburuk keadaan hasil daripada lepasan air empangan.

PAS merakam ucapan takziah kepada keluarga yang ditimpa musibah dan telah menggerakkan Unit Amal membantu mangsa banjir di sana. PAS Pahang turut memberikan sumbangan kepada mangsa yang terlibat.

Lujnah Alam Sekitar sebelum ini telah beberapa kali memberi amaran mengenai risiko yang sedang menanti akibat pembangunan kawasan tersebut.

Sehubungan tragedi sedih ini, kita harap satu mekanisma pembuangan air empangan yang lebih sistematik dapat dicari terutama sewaktu hujan lebat.  Air empangan tidak mungkin naik tiba-tiba ke paras maksimum.

Apatah lagi apabila siren dibunyikan tengah malam, waktu kebanyakan penduduk telah nyenyak tidur ditambah dengan keadaan hujan lebat. Walau bagaimanapun, tidak dinafikan tindakan ini terpaksa bagi mengelakkan empangan pecah yang boleh membawa malapetaka yang lebih besar.

Sepatutnya apabila ia melepasi takat 80 peratus, para penguatkuasa sudah menggerakkan kerja untuk memaklumkan para penghuni untuk berwaspada sekiranya siren empangan berbunyi.

Siren yang berbunyi sejam sebelum air dilepaskan tidak memberi apa-apa makna sekiranya tiada yang faham mengenai maksud siren tersebut. Maklumlah dalam sedekad, berapa kali saja siren itu dibunyikan.

Risiko pembinaan rumah, kawasan perladangan di tepi sungai dan penebangan pokok di kawasan tanah tinggi mendedahkan pelbagai kemungkinan bila mana berlaku hujan lebat atau tanah runtuh.

Semua pihak mesti menguatkuasakan undang-undang yang ada bagi mempastikan tragedi ini tidak berulang. Budaya menuding jari satu sama lain perlu dihentikan. Lebih elok untuk bekerjasama bagi mewujudkan satu pasukan kerja yang dapat memastikan peruntukan undang-undang itu dapat dilaksanakan.

Bajet 2014 tambah beban, hiba rakyat - Zailah

Saidah Hairan, 25 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Pengumuman Bajet 2014 amat menyedihkan rakyat kerana bukan sahaja terbeban dengan kenaikan harga barangan tetapi ditambah dengan pengisytiharan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebanyak 6 peratus.

Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof menegaskan, kerajaan BN tidak wajar melaksanakan GST dalam keadaan rakyat masih belum bersedia untuk menanggung bebanan tersebut.

Beliau menyelar pandangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menjadikan negara-negara maju telah melaksanakan GST.

"Negara-negara maju yang telah melaksanakan GST pendapatan rakyat mereka tinggi contohnya Singapura. Berbanding kedudukan ekonomi rakyat kita yang rendah dan masih berada di paras kemiskinan," katanya.  

Menurut beliau, apabila kerajaan BN melaksanakan GST kesan cukup besar kepada penduduk kampung dan orang miskin sebab apabila semua jenis cukai dikenakan terhadap barangan maka ia melibatkan semua lapisan rakyat.

Di samping itu katanya, apabila kerajaan mansuhkan subsidi gula 34 sen maka ia akan memberi kesan kepada industri makanan khususnya penjual makanan di gerai-gerai kecil iaitu tempat orang miskin mencari pendapatan.

Tambah beliau, BR1M sebanyak RM600 tidak berbaloi dengan bebanan kehidupan rakyat kerana terpaksa menanggung setiap hari dan setiap tahun sedangkan pemberian BR1M hanya setahun sekali.

Beliau yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat berkata, bajet kali ini sangat hiba kerana menambahkan bebanan kehidupan rakyat yang memang sudah sedia terbeban.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pula menegaskan Pakatan Rakyat tidak menyokong pelaksanaan GST sehingga pendapatan rakyat mencapai tahap yang tinggi.

Menurut beliau, jika kerajaan BN mahu melaksanakan GST sebanyak 6 peratus  ia mesti meningkatkan kadar pendapatan rakyat dahulu dengan pengagihan hasil yang banyak.

"Kita tidak sokong perlaksanaan GST sehingga pendapatan rakyat tinggi," katanya ketika ditemui di luar Dewan Rakyat.

Beliau yang juga Menteri Besar Selangor menegaskan Bajet 2014 yang dibentangkan  masih menunjukkan cara strategi Bajet kerajaan BN pada tahap yang lama.

"Salah satu perkara yang akan saya cadangkan nanti, kerajaan perlu mengkaji bagaimana kos pentadbiran dan birokrasi dapat dikurangkan," katanya.

Ini kerana tambah beliau, setiap tahun terdapat kenaikan perbelanjaan yang tidak menunjukkan satu hasil yang meningkat.

Justeru tegasnya, kerajaan perlu mengkaji semula bagaimana bukan sahaja hasil mesti ditingkatkan tetapi kos cuba disekat daripada kenaikan yang tinggi

Tiada ulasan: