Khamis, 17 Oktober 2013

BAGAIMANA KORBAN DENGAN AKIDAH TAK BENAR@TAK HAQ SERTA IBADAH TAK SAH

Nilai korban dan solat Jumaat

Nasrudin Hassan, 17 Okt 2013
Hadith:
Abu Hurairah r.a mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat seperti mandi janabah (mandi dengan membersih seluruh tubuh badan), kemudian dia pergi ke Jumaat (solat Jumaat) (sebagai orang yang pertama sampai) maka sama halnya seperti orang yang berkorban seekor unta; dan sesiapa yang datang sebagai orang kedua, sama halnya seperti orang yang berkorban seekor lembu betina; sesiapa yang datang sebagai orang ketiga, sama halnya seperti orang yang berkorban seekor biri-biri bertanduk; sesiapa yang datang sebagai orang keempat, sama halnya dengan seorang yang berkorban seekor ayam; dan sesiapa yang datang sebagai orang kelima; sama halnya dengan orang yang berkorban dengan sebutir telur. Apabila imam telah menaiki mimbar maka para malaikat yang hadir juga ikut mendengar khutbah. (Riwayat: Bukhari)
Huraian Hadith:
Allah menetapkan kelebihan tertentu pada tempat dan masa. Contohnya Allah melimpahkan berkat-Nya terhadap Makkah al-Mukarramah dan Madinah al-Munawwarah daripada segala tempat lain di dunia ini.

Begitu juga dengan kelebihan masa iaitu Allah SWT telah melebihkan Ramadhan daripada segala bulan yang lain dan Allah juga melebihkan hari Jumaat daripada segala hari yang lain dalam seminggu.

Hari Jumaat juga dinamakan ˜Yaumul-mazid' iaitu hari pemberian tambahan kerana pada hari berkenaan, Allah mengurniakan rahmat yang banyak kepada hambanya.

Segala permohonan seseorang hamba itu akan dikabulkan sekiranya permohonan itu menepati waktu yang dinamakan ˜waktu mustajab'.

Betapa mulianya hari Jumaat ini hingga Allah juga mensyariatkan agar dikerjakan solat khusus pada hari tersebut iaitu yang dinamakan solat Jumaat di mana bagi setiap orang yang pergi menunaikan solat tersebut disediakan ganjaran yang amat besar yang tidak ada pada hari-hari yang lain.

Tetapi malang sekali ada juga antara kita yang berasakan hari Jumaat adalah sama seperti hari-hari lain.

Ini menyebabkan mereka mengisi hari tersebut dengan hati yang kosong, tanpa doa dan harapan kepada pencipta-Nya.

Lebih malang lagi, ada pula yang sanggup meninggalkan solat Jumaat dengan sengaja, tanpa rasa berdosa kepada Allah SWT.

Golongan ini bukan sahaja lupa pada kewajipan mereka terhadap Allah, malah mereka lupa pada azab Allah yang bakal menimpa.

Jauh sekali ingin meraih seribu satu keuntungan daripada kemuliaan hari tersebut.

Bajet 2014: Pemuda PAS tegas tolak GST

Harakahdaily, 17 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia tegas menolak pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dijangka menjadi agenda utama pembentangan Bajet 2014.

“Inilah sifat sebenar transformasi pemerintah yang kononnya mendahulukan rakyat,” ujar ketuanya, Nasrudin Hassan dalam satu kenyataan.

Katanya, setelah bertahun lamanya berada di dalam penafian mengenai status kewangan negara yang semakin parah, kini pemerintah tanpa rasa malu mahu rakyat menebus beban ini dengan program cukai baru biarpun keadaan ini disebabkan kecuaian mereka mengurus fiskal negara.

Beliau berkata, banyak kajian telah merumuskan perlaksanaan GST berisiko mendorong kepada kenaikan kos sara hidup.

Begitupun, ujarnya sisi pandang ini tidak diendahkan kerajaan yang terdesak mengesan sumber baru pendapatan meskipun ianya bermakna rakyat terpaksa menanggung peningkatan harga barangan dan perkhidmatan.

Malah, katanya Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada asasnya menklasifikasikan GST sebagai cukai jenis regresif yang meletakkan kebajikan golongan berpendapatan rendah lebih berisiko terjejas memandangkan harga barangan penting telah meningkat.

Beliau menambah, lebih ironi apabila kaum pekerja masih belum merasai hasil dari strategi ‘negara berpendapatan tinggi’ malah skim gaji minima terus menerus tertangguh.

Katanya, setelah idea-idea transformasi ini tersisih, kini keutamaan kerajaan adalah mengikis pendapatan rakyat dengan memperkenalkan sistem cukai baru.

“Yang membimbangkan kita, rakyat telah sedia terbeban dengan hutang isirumah yang menjangkau 82.9% dari jumlah nominal KDNK, antara yang tertinggi di Asia di samping pertumbuhan pendapatan sebenar yang telah sekian lama mendatar.

“Apakah kita mampu berdepan peningkatan kos sara hidup akibat dari GST?” tanya beliau yang juga Ahli parlimen Temerloh.

Soal beliau lagi, apakah pula insentif bagi rakyat untuk melihat dasar cukai ini dilaksanakan ketika negara berdepan ketirisan, rasuah dan penyalahgunaan kuasa setiap tahun seperti yang didedahkan Laporan Audit, GFI, Transparency International dan sebagainya.

“Apakah dengan kantung kerajaan menjadi lebih besar maka lebih tinggi peluang bagi kroni pemerintah melakukan rasuah dan berbelanja secara semberono?” tanya Nasrudin lagi.

Tegasnya, Dewan Pemuda PAS Malaysia tegas di dalam tuntutan untuk melihat kes-kes rasuah dan pembaziran ditangani terlebih dahulu bagi mengembalikan integriti di dalam amalan urustadbir dan kelola kerajaan sebelum negara bereksperimen dengan sistem percukaian baru.

Q&A: Bacaan gagap lebih baik daripada lancar?

Ustaz Zaharuddin Abd Rahman, 17 Okt 2013
Soalan;
Berkenaan hadis nabi yang menyebutkan bahawa dua ganjaran bagi orang yang membaca al-quran dengan kepayahan kerana tidak lancar. Adakah ganjaran itu melebihi ganjaran pahala orang yang membaca lancar? Biasanya kalau dengar di ceramah-ceramah, penceramah selalu menyebut bahawa pahalanya melebihi pahala orang yang membaca lancar. Tapi baru-baru ini, saya ada terima emel yang memetik dari kitab fadhilat amal dan pendapat yang diberi adalah bertentangan. Mohon penjelasan. Terima kasih.

Jawapan
Berpandukan kepada pertanyaan saudari, di sana ada dua kemungkinan, iaitu :-
1.Penceramah tersilap; Jika ia benar-benar diucapkan oleh penceramah, ternyata sang penceramah tidak melakukan kerja rumah dengan baik atau mengambil informasi secara rambang tanpa mempelajari atau merujuk kepada sumber dengan tepat. Hasilnya timbulkan kenyataan silap sebagaimana yang diberi.

2.Saudari selaku pendengar tersilap; mungkin juga, penceramah menerang dengan betul, cuma saudari selaku pendengar yang tersilap menangkap isi yang diberikan oleh pencermah berkenaan.

Tanpa perlu kita pergi lebih jauh untuk mencari salah siapa, adalah lebih baik saya jelaskan letak duduk sebenar dalam hal pahala membaca al-Quran walau dalam keadan tergagap dan tersekat-sekat, serta perbandingannya dengan pahala bacaan mereka yang lancar.

Hadis yang sewajarnya menjadi rujukan dalam bab ini adalah seperti berikut, ertinya: “Orang yang mahir membaca Al-Quran akan bersama para Rasul yang ta'at, manakala orang yang membaca al-Quran walau dalam keadaan tersekat dan tergagap, dan padanya kesukaran, baginya dua pahala. (Riwayat Muslim, no 1329, 1/550)

Jika dilihat dari huraian kebanyakan para ulama silam, kecenderungan tafsiran mereka terhadap hadis di atas adalah bukan pada ‘membaca sambil melihat Al-Quran' tetapi lebih kepada membaca secara hafalan. Mungkin disebabkan zaman tersebut, menghafal Al-Quran sudah menjadi kebiasaan hampir bagi semua umat Islam, khususnya para ulama. Justeru hampir tidak timbul masalah membaca sambil melihat al-Quran lagi.

Imam An-Nawawi menghuraikan bahawa maksud orang yang mahir dalam hadis di atas adalah mereka yang bijak dan sempurna hafalan serta tidak sukar membaca ayat-ayat al-Quran. Manakala mereka yang menghafal dan bacaannnya tersekat-sekat, maka baginya dua pahala, iaitu pahala bacaan serta pahala melawan kesukaran yang dihadapinya. (Syarah Sohih Muslim)

Namun demikian, terdapat juga ulama silam dan kontemporari khususnya yang memasukkan orang yang membaca al-Quran secara melihat mushaf juga di dalam konteks hadis di atas. Hal ini kerana hadis tersbeut tidak menyebut kalimah hafazan dengan jelas, ia hanya menyebut ‘baca', justeru adalah lebih tepat untuk tidak mengkhususkannya kepada hafazan semata dan menidakkan kelebihan bagi yang membaca dari mushaf.

Pandangan kedua ini lebih tepat dan kuat serta amat bertepatan dengan keadaan umat Islam hari ini yang semakin sedikit di antara mereka yang mampu membaca al-Quran dengan baik, walau dengan cara melihat mushaf.

Berkenaan perbandingan yang ditanyakan, ulama besar mazhab Maliki, al-Qadhi ‘Iyadh berkata hadis di atas sama sekali tidak bermaksud meraka yang tersekat dan gagap lebih baik daripada si pembaca lancar dan tepat, kerana kelebihan yang disebut bagi orang yang mahir iaitu bersama para Rasul adalah jauh lebih besar dan tidak sama sekali mampu ditandingi oleh dua pahala yang diperuntukkan bagi mereka yang kurang mahir.

Memang benar, malah tidak munasabah sama sekali bacaan mereka yang tidak lancar lebih besar pahalanya daripada yang lancar. Jika demikian keadaanya, lebih baik, jangan lancar bacaan sampai bila-bila, bukankah itu tidak logik lagi tidak bertepatan dengan kefahaman akal yang waras.

Dari penjelasan tersebut, kesimpulannya hadis Nabi SAW tadi sebenarnya bukanlah diungkap dengan tujuan membuat perbandingan pahala di antara satu sama lain, tetapi ia lebih kepada penjelasan kelebihan tersendiri bagi kedua-dua keadaan pembaca al-Quran. Bermakna, bagi yang mahir, ada ganjarannya yang tersendiri, demikian juga bagi yang masih belum begitu mahir. Justeru, teruskan usaha bagi yang belum mahir agar mencapai tahap mahir dan setersunya meraih kebaikan yang ditawarkan.

http://www.zaharuddin.net/

Senator PKR mahu Nallakaruppan diambil tindakan

Harakahdaily, 17 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Negara, Senator Dr Syed Husin Ali mengemukakan surat bantahan kepada Yang Dipertua Dewan Negara berhubung beberapa kenyataan dari Datuk Nallakaruppan yang bukan sahaja memburukkan Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi juga melanggar peraturan mesyuarat.

Menurut Syed Husin, Nalla ketika berbahas Rang Undang-Undang Pencegah Jenayah (Pindaan dan Perluasan) 2013, pada 9hb Oktober lalu mengeluarkan kata-kata "tuduhan" merujuk kepada Anwar.

Kenyataan itu antara lain berbunyi seperti "Dia hasut semua orang jadi gila macam dia dan hancurkan negara” dan "Saya mahu berucap kaki liwatlah, boleh? Dia memang kaki liwat”.

"Saya membuat bantahan kerana beliau telah mengeluarkan kata-kata yang melanggar Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara.

"Saya sertakan salinan ucapan beliau sebagai bukti. Seperti yang sangat jelas, semua kata-kata ini bertentangan dengan Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat, Perkara 35(4), (5) dan (8)," katanya dalam satu salinan surat yang dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Negara semalam.

Syed Husin berkata, ini bukan kali pertama Ahli Dewan Negara tersebut melanggar peraturan, beliau telah melakukan serupa dalam beberapa Sidang Dewan Negara sebelumnya.

"Saya dapat kesan, Yang Berhormat Yang di-Pertua tidak begitu tegas melaksanakan kehendak Peraturan-peraturan yang tersebut di atas. Itu sebab saya terlanjur menuduh Yang Berhormat Yang di-Pertua sebagai tidak adil.

"Saya minta maaf kerana keterlanjuran ini. Namun demikian saya berharap Yang Dipertua bertindak tegas terhadap siapa-siapa sahaja Ahli Dewan Negara yang melanggar mana-mana perkara dalam Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat," katanya.

Konvensyen Tanah dan Perbandaran Kebangsaan 20 Okt

Salmiyah Harun, 17 Okt 2013

KUALA LUMPUR: Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah PAS Pusat akan menganjurkan Konvensyen Tanah dan Perbandaran Kebangsaan di Shah Alam pada 20 Oktober ini.

Dengan tema Melakar Masa Depan, konvensyen ini akan mengupas isu-isu berkaitan tanah yang merupakan topik hangat di seluruh dunia termasuklah negara ini.

Menurut Pengerusinya, Mazlan Aliman konvensyen ini sebagai platform mencari mekanisme ke arah kehidupan yang adil buat rakyat.

"Kerajaan perlukan tanah untuk pembangunan. Rakyat mesti teruskan kehidupan. Dasar tanah mesti disusun semula untuk kepentingan dan keadilan semua," katanya kepada Harakahdaily.

Mazlan yang juga Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) berkata, permasalahan tanah Felda yang tidak pernah selesai bahkan semakin rumit untuk diselesaikan akan dirungkaikan di dalam konvensyen tersebut.

"Akta GSA 1960, menghangatkan polemik berpanjangan peneroka Felda. Akta Pengambilan Tanah (pindaan 1996) disalahguna kononnya atas nama pembangunan.

"Akibatnya, Tanah di Pantai Kundur, Kerpan, Pengerang dan lain-lain 'dirampas' atas maksud pembangunan. Kampung Kerinci, Abdullah Hukum antara perkampungan melayu di Kuala Lumpur yang hanya tinggal nama.

"Kampung Baru menunggu gilirannya. Kg Tanjung Tokkong dan Batu Uban Pulau Pinang telah rebah akhirnya. Tanah Waqaf juga tidak selamat," katanya.

Tambahnya, kampung-kampung  setinggan di sekitar Daerah Johor Bharu pupus satu persatu apatah lagi penduduk pula tidak mendapat pembelaan.

Begitu juga dengan kelemahan sistem Tanah Adat di Sabah dan Sarawak, katanya,  dimanipulate oleh kerajaan negeri sesuka hati dan pelabur merebut peluang membuat kekayaan tanpa mengambil kira kepentingan rakyat.

Apa yang berlaku, katanya, nasib Orang Asal terus gelap setelah kehidupan mereka diceroboh walaupun mereka cuba untuk menentang namun kesudahannya, pemerintah yang menang.

Konvensyen yang akan diadakan di Dewan Jubli Perak SUK akan dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Manakala acara penutup akan disempurnakan oleh Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Beberapa ahli panel yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang tanah termasuklah Bekas Setiausaha Kementerian Tanah dan Koperasi Prof Datuk Dr Nik Zain, dan pengulas berwibawa serta pembentangan khas wakil Kerajaan Negeri Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang akan dijemput membentangkan kertas kerja masing-masing.

Penganjur mengalu-alukan orang ramai untuk hadir dalam konvensyen itu Ahad ini yang turut berpeluang untuk berdialog bersama ahli panel di samping merumuskan resolusi ke arah penambahbaikan dasar tanah negara.

"Tempat terhad. Setiap peserta akan beroleh kertaskerja sebagai khazanah ilmu dan sehelai t-shirt tanda kenangan. Pendaftaran hanya RM10 sahaja," katanya.

Pengorbanan Bukan Sekadar Cerita…

Oleh: Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

Ketika saya menulis artikel ini, saya berada di Bandung, Indonesia. Datang bersama teman-teman berhariraya Adha ke sini serta berpeluang untuk berceramah dan berkhutbah. Nasib baik tiada pihak yang datang menuntut tauliah ketika saya berceramah dan berkhutbah di sini. Nampaknya ruang dakwah itu tetap ada di mana-mana.

Bumi Tuhan ini luas dan insyaAllah ruang dakwah akan tetap terbuka. Dakwah ini bukannya kegiatan sampingan untuk satu kesukaan, atau mencari kekayaan tetapi adalah tanggungjawab dan amanah. Amanah yang menyebabkan pelaksananya berletihan kerananya. Amanah yang akan menyebabkan terkorbannya kerehatan, harta, bahkan nyawa. Amanah yang akan mengheret insan ke lembah ujian.

Namun ia juga amanah yang menyebab insan merasai nikmat kelazatan iman. Amanah yang menyebabkan insan yang melaksanakannya bebas dari ketakutan terhadap makhluk dan hanya takutkan Allah. Firman Allah: (maksudnya)
“mereka yang menyampaikan risalah-risalah Allah serta mereka takut kepadaNya, dan mereka pula tidak takut kepada sesiapa pun selain Allah, dan cukuplah Allah menjadi penghitung (segala perbuatan makhluk)” (Surah al-Ahzab, ayat 39).
Setiap kali menjelang musim Aidil Adha, maka berceramahlah di sana-sini berbagai penceramah tentang pengorbanan. Berceritalah tentang Nabi Ibrahim a.s sebagai simbol insan yang berkorban. Pun kita tidak tahu, adakah penceramah yang berbicara tentang pengorbanan itu telah berkorban untuk agamanya, atau sekadar untuk poketnya?!

- Gambar Hiasan
Apakah ucapan itu lahir dari insan yang telah merasai jerit perit pengorbanan perjuangan, atau sekadar memenuhi jemputan sahaja. Maka jadilah ucapan-ucapan itu kontang dari segi ruhnya dan tandus dari segi realitinya.
Maaf, dalam banyak keadaan kita banyak penceramah atau yang disebut ‘qussas’ namun kita kurang pendakwah yang menjadikan agenda ummat itu sebahagian dari kehidupannya. Qussas tidak mementingkan ketulenan fakta, sebaliknya yang dipentingkan ‘orang suka dengar’ sekalipun tiada terasnya.
Bak kata al-Syeikh Muhammad ‘Ajjaj al-Khatib:
“Kebanyakan qussas (tukang cerita) mereka hanya pentingkan orang ramai berkumpul kepada mereka. Maka mereka pun mencipta hadis apa yang boleh disukai dan membangkitkan jiwa orang ramai, menggerakkan perasaan dan memberikan harapan. Di kalangan para qussas ada yang melakukan itu semua demi untuk memperolehi habuan dan faedah dari pendengar. Kebanyakan bala datang daripada mereka. Mereka berdusta kepada Nabi s.a.w.dan tidak pula menganggap itu sebagai dosa dan pembohongan. Peliknya, -mendukacitakan- mereka memperolehi pula telinga-telinga yang sudi mendengar, membenarkan dan membela mereka. Ini disebabkan kejahilan orang awam yang tidak mementingkan kajian dan penelitian”. (Muhammad ‘Ajjaj al-Khatib, Usul al-Hadith, m.s. 424, Beirut: Dar al-Fikr).
Adapun bagi pendakwah, masa depan Islam, penerimaan masyarakat terhadap Islam, kelangsungan mesej Islam dan pandangan baik manusia terhadap agama ini akan menjadi agenda penting dalam kehidupannya.
Bercerita tentang pengorbanan dan menghayati pengorbanan adalah dua perkara yang berbeza. Untuk berbicara amatlah mudah, ramai penceramah boleh lakukannya. Namun untuk menanggung dakwah dan segala tribulasinya amatlah sukar.
Nabi s.a.w dan para sahabah baginda telah merentasi lembah ujian yang perit untuk membawa dakwah ini. Di situlah mereka terpaksa membelanjakan harta, menanggung sengsara dan keperitan hidup, bahkan menggadaikan nyawa. Bukan untuk kepentingan mereka semata, tetapi untuk manusia sejagat.
Di situlah mereka hayati kemanisan iman, kelazatan perjuangan, kenikmatan persahabatan juga kasih-sayang yang sebenar dari lubuk jiwa para pejuang. Di situ mereka menemui cinta yang sejati kepada Allah dan RasulNya. Ketika dunia kehairanan melihat mereka bagaikan memperjudikan diri untuk membawa risalah Tuhan, padahal mereka sebenarnya tenggelam khusyuk dalam lautan nikmat kecintaan dan tawakal kepada yang Maha Esa.
Mereka sebenarnya, menjual diri dan harta untuk mendapat ganjaran agung yang jauh lebih besar dari kehidupan dunia yang sementara. Firman Allah (maksudnya):
“Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan kamu suatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang pedih? (iaitu) kamu beriman kepada Allah dan RasulNya, serta kamu berjuang pada jalan Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itu lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahuinya. (dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam syurga ” Adn “. itulah kemenangan yang besar (Surah al-Saff, ayat 10-12).
Namun sebagai insan, seteguh mana pun perasaan, sekental mana pun jiwa akan terselit juga kesedihan dan dukacita apabila ujian itu datang bertalu-talu. Apabila kebaikan dibalas dengan keburukan. Apabila keikhlasan dibalas dengan kesombongan dan hasad dengki.
Untuk itu, Allah mengubat jiwa para pejuang dengan dihidangkan kisah-kisah pengorbanan, keperitan dan kesakitan yang dibaluti kesabaran yang telah dilalui oleh mereka yang terdahulu yang melalui denai dan becak perjuangan ini. Dengan kisah-kisah itu, akan menjadikan pejuang tidak kesepian, atau rasa bersendirian sebaliknya akan sedar inilah realiti sebuah perjalanan perjuangan yang mesti ditempohi dalam memburu cinta Allah dan kasih rasulNya juga syurga yang dijanjikan.
Firman Allah: (maksudnya)
“Sesungguhnya Kami mengetahui bahawa apa yang mereka katakan itu mendukacitakan engkau (Wahai Muhammad), sebenarnya mereka bukan mendustakanmu, tetapi orang-orang yang zalim itu keras kepada dengan ayat-ayat Allah. Dan demi sesungguhnya, Rasul-rasul sebelummu juga pernah didustakan, maka mereka sabar terhadap perbuatan mendustakan dan menyakiti mereka, sehingga datanglah pertolongan Kami kepada mereka; dan sememangnyalah tiada sesiapa pun yang dapat mengubah kalimah-kalimah Allah (janji-janjiNya); dan Demi sesungguhnya, telah datang kepadamu sebahagian dari khabar berita rasul-rasul itu”. (Surah al-An’am, ayat 33-34).
Dengar mendengar cerita benar tentang pengorbanan dapatlah meredakan gelora perasaan para pejuang. Ya, mendengar cerita tidaklah dapat mengurang tekanan fizikal yang dihadapi, namun ia dapat mendamaikan perasaan.
Dalam banyak keadaan keperitan itu datang dari dalaman jiwa melebihi apa yang berlaku di luar. Maka al-Quran dan juga sunnah menghidang banyak kisah-kisah pengorbanan untuk menjadi bekalan pejuang dalam meneruskan agenda menyampai Islam ini.
Kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s dipilih sempena Aidil Adha untuk mengingatkan umat ini tentang perjuangan dan pengorbanan. Hidup Nabi Ibrahim adalah hidup yang dipenuhi oleh perjuangan dan pengorbanan tanpa henti. Bukanlah sukar untuk meletakkan pisau menyembelih seorang anak. Tetapi yang sukar itu ialah untuk bertarung dengan perasaan, kepentingan dan derita hati dalam melakukan perkara yang demikian.

- Gambar Hiasan
Allah Yang Maha Penyayang bukan mahu supaya Ibrahim a.s. membunuh anak, sebab itu digantikan dengan haiwan yang sebenar. Allah mahu Ibrahim a.s. memperlihatkan bahawa cintanya kepada Allah mengatasi segala perasaannya. Itu kemuncak seorang nabi, itulah kemuncak seorang da’i dan itulah kemuncak seorang pejuang. Apabila kepentingan diri itu tidak lebih besar dari kepentingan dakwah dan perjuangan yang ditanggung.
Apabila kita melakukan korban mencontohi perbuatan Nabi Ibrahim a.s. sedangkan kita gersang jiwa dan kefahaman tentang hakikat perjuangan, maka tujuan pensyariatan itu tidak menuju ke sasarannya. Jadilah kadang-kala majlis korban itu majlis bermegah-megah, atau sekadar memberikan daging dan melupai falsafah perjuangan dan perngorbanan di sebaliknya.
Apabila umat ini meninggalkan tanggungjawabnya sebagai penyampai risalah kebenaran, maka banyaklah syariat yang diturunkan itu hanya ada rupa luaran namun tandus isi dalamannya. Para pejuang itu berkorban haiwan pada hari Aidil Adha, yang bukan pejuang juga melakukan korban. Namun jiwa yang membara, makna yang dihayati dan hakikat yang difahami yang mengalir dalam tubuh setiap mereka tidaklah sama.
Berjuang dan sekadar bercerita tentang perjuangan tidaklah sama. Apabila jiwa tidak sama, rasa pun berbeza. Apabila rasanya berbeza, kelazatan nikmat agama yang dihirup oleh pejuang pastinya tidak sama dengan apa yang dihirup oleh seorang yang bersantai mencerita tentang agama.
Maka, bukan semua yang berkorban binatang pada aidil adha ini dapat menghayati hakikat perjuangan yang disampaikan dalam sejarah Nabi Ibrahim a.s.
Kategori: Ibadat

Tiada ulasan: